Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Di sebalik Tangisan Sebatang Tamar

Mengabdikan kisah, sejarah atau peristiwa pada zaman para Rasul termasuk Rasulullah s.a.w ke dalam lagu nasyid telah banyak dilakukan. Namun banyak kisah tersebut dikaitkan juga dengan orang lain seperti Sumayyah, Balqis etc ... Lagu Tangis Sebatang Tamar oleh Daqmie yang sehingga Ahad 11 Mei 2014 telah menjuarai Carta IKIMFm selama 16 minggu berturut-turut, memberikan suatu kesan yang agak mendalam.

Kisah tangisan pohon tamar tersebut memang pernah didengari sebelum ini, namun ia begitu mengesankan dalam lagu yang disampaikan sendiri oleh Daqmie. Mungkin kerana intonasi chorus dalam lagu tersebut yang betul-betul merupakan pukolan maut yang mencabar diri kita. Betulkah atau sejauh mana kita cinta, rindu dan menghargai Rasulullah ???

Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manaf bukanlah seoarang yang baru dalam dunia music tanah air. Beliau berasal dari Alor Gajah, Melaka. Pada sekitar tahun 1990-an, Daqmie merupakan penyanyi rock Kumpulan East dan pernah menerbitkan dua buah album iaitu East (1991) dan Generasi Metal (1996). Pada tahun 2003 pula album beliau bersama Kumpulan Rock Barongan.

Selepas itu, beliau lebih banyak memberi tumpuan kepada kerjaya di belakang tabir dan terbabit dengan penciptaan lagu, penerbitan album beberapa kumpulan nasyid dan menjadi pengarah muzik untuk persembahan seperti konsert berkonsepkan irama nasyid dan ketuhanan selain diberi kepercayaan mencipta lagu runut bunyi untuk beberapa filem tempatan.

Aku pernah menyaksikan persembahan live beliau dalam sambutan Tahun Baru Kerajaan Selangor dua tahun lepas serta Konsert Pray 4, September 2013. Ternyata suara live on stage dengan CD Audionya tidak banyak berbeza. Kekuatan vokal beliau agak luar biasa.

Mungkin kerana terdedah atau dekat kepada lagu-lagu yang berunsur ketuhanan, memberinya ilham untuk terus terlibat dengan serius ke dalam industri nasyid negara sehingga akhirnya berjaya menerbitkan sebuah album nasyid terbitan syarikat beliau sendiri yang diberi judul Daqmie – Maulaya. Album Maulaya telah dilancarkan secara rasmi pada 27 November 2013. Ternyata album ini mempamerkan kekuatan vokal Daqmie yang lunak dan bertenaga.

Dalam banyak-banyak lagu dalam album Daqmie-Maulaya, lagu Tangis Sebatang Tamar begitu mengesankan. Ia mengingatkan kepada kisah benar tentang sepohon tamar @ kurma yang menangis kerana terlalu rindukan Rasulullah s.a.w. Bagaimana agaknya pohon kurma boleh menangis ? Kat mana matanya, bagaimana linangan airmatanya ? Atau bunyi special effect ?

Perhatikan dulu liriknya sebagaimana berikut :-

Sedu sedan Itu bak ratapan si kecil
Yang rindu belaian dan perhatian
Yang mendambakan kasih dan sayang
Dari seorang insan yang penyayang

Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru kerna keuzurannya

Kisah tangisan sebatang tamar
Menyentuh hati, mengocak perasaan
Benarkah aku cinta, benarkah aku rindu
Sedangkan tak pernah gugur air mata ku mengenangkan mu

Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru kerna keuzurannya

Betapa kerasnya hatiku ini
Untuk menghayati perjuangan mu
Betapa angkuhnya diri ku ini
Untuk menghargai perjuangan mu

Ya Rasulallah
Ingin aku menjadi sebatang tamar
Yang menangis rindu kepada mu

Ya Rasulallah
Biarlah aku hanya sebatang tamar
Namun dapat bersama mu di dalam syurga

Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru kerna keuzurannya

Kisahnya
Al-Kisah, suatu ketika sedang Rasulullah s.a.w naik mimbar baru di Masjidil Haram. Kedengaran rintihan seperti rintihan unta dan goncangan tanah yang terus bergetar sehingga para sahabat pun bertanya-tanya. Dalam riwayat lain, tangisan seperti tangisan atau teriakan budak kecil.

Rasulullah s.a.w tersenyum, lantas turun dari mimbar dan mendatangi pohon kurma yang tidak jauh dari mimbar tersebut. Rasulullah s.a.w meletakkan tangan baginda pada batang pokok kurma dan mengusap-usap dengan perlahan-lahan.

Rasulullah s.a.w berkata pada pohon kurma itu: ‘Jika engkau mahu, aku akan jadikan engkau dinding masjid ini, akarmu tumbuh lagi, tubuhmu hidup lagi dan engkau berbuah lagi. Atau jika engkau mahu, engkau aku tanam di syurga, supaya para wali Allah boleh memakan buah buahmu’. Batang kurma itu menjawab: ‘Aku memilih untuk ditanam di syurga sehingga wali wali Allah dapat memakan buahku dan saya berada di tempat di dalamnya saya kekal’.

Lantas goncangan tanah dan suara rintihan pun berhenti. Rasulullah s.a.w kemudian kembali pada mimbar dan menyampaikan kejadian tersebut kepada para sahabatnya. Rasulullah s.a.w berkata: ‘Ia memilih negeri yang kekal berbanding negeri yang fana’. Rasulullah s.a.w kemudian menyuruh agar dikafankan pelepah tamar dan mengatakan bahawa ia akan dibangkitkan di dalam syurga. Apakah maksudnya nanti ada banyak pokok kurma di syurga ? Atau ini satu-satunya. Argh, usah bingung. Yang penting dapat masuk syurga.

Rindukan Rasulullah s.a.w ?
Lantaran jemaah dan umat Islam bertambah ramai, kaum Ansar mencadangkan agar di buat mimbar daripada kayu dan lebih tinggi supaya orang ramai dapat melihat Rasulullah s.a.w ketika berkhutbah. Pada masa itu Masjid Nabawi hanya beratap batang pokok kurma. Manakala mimbar asalnya diperbuat dari pohon tamar. Itulah tempat Rasulullah s.a.w bersandar ketika menyampaikan khutbah. Apabila sudah tidak digunakan lagi, menangis sedihlah pohon tamar itu, menangis kerana rindu kepada Rasulullah s.a.w yang mulai menjauhinya. Juga menangis kerana ia tidak digunakan lagi untuk mengingati Allah s.w.t.

Bagaimana dengan kita? Bukan sekadar pengakuan lidah, apa bukti kecintaan dan kerinduan kita kepada Rasulullah s.a.w ? Sejauhmana kita merasakan rindu untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Maafkan kami aduhai Rasulullah s.a.w.

Tiang Mukhallaqah
Tempat tumbuh pohon tamar tersebut didirikan sebuah tiang dan dinamakan tiang Mukhallaqah yang sering disapukan pewangi Khaluq. Ia juga sebagai tanda kewujudan pohon tamar yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah s.a.w.

Kalau ke Masjid Nabawi sekarang, kedudukan tiang tersebut kini bersekali dengan binaan mihrab sebagaimana dalam gambar di atas. Tiang tersebut juga dipanggil sebagai Tiang Hannana dan juga Mushaf.Ada juga menyebutkan bahawa pewangi tersebut disapukan lantaran Rasulullah s.a.w ternampak seseorang yang meludah dipokok tersebut. Lantas seorang sabahat membersihkannya dan menmyapukan dengan pewangi Khaluq.

Share:

Ziarah Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas

Berpusing-pusing perjalanan menggunakan Map handphone androidku. Rupanya adalah lencongan baru. Tetapi akhirnya sampai juga. Bukannya kompleks mega dengan binaan atau bangunan yang besar, tetapi simple sahaja. Apa istimewanya kompleks ini sehingga menjadi lokasi wajib dilawati oleh beberapa laman web apabila berada di Port Dickson yang lebih dikenali sebagai tempat perkelahan tersohor negara ?

Kompleks sejarah ini terletak kira-kira 35 km ke selatan daripada Bandar Port Dickson dan 21 km daripada Pantai Teluk Kemang. Kedudukannya agak terpencil. Sunyi sepi ketika aku sampai dan hanya aku sorang diri sahaja.

Kompleks terbuka berbumbung tersebut menempatkan makam seorang yang dikatakan Wali Allah dan beberapa batu megalit. Namun tiada catatan, bahan bacaan atau pameran yang menceritakan lebih lanjut. Yang ada papan tanda Jabatan Agama jangan buat benda khurafat di makam berkenaan

Apa yang menjadi sejarahnya ? Apa yang menarik sehingga dikatakan pelancong luar negara pun ada yang sanggup datang ke sini ? Lantas aku pun gelintar kat internet. Rupanya banyak history dan misterinya yang menarik untuk dikongsikan di sini.

Binaan Batu Megalit
Terdapat tiga bentuk batu megalit saling berdekatan yang dikatakan menyerupai pedang dan senduk dengan ukiran purba. Satu lagi terasing dibawah binaan yang melindunginya. Apakah ia struktur asal atau di bawa daripada tempat lain ?

Bentuk pedang ( sebelah kanan sekali ) dikatakan merujuk kepada pedang yang dipakai oleh Syeikh Ahmad Majnun. Manakala bentu sudu yangditengah-tengah pernah patah dan disambung kembali dengan simen. Batu-batu tersebut mempunyai ukiran tertentu.

Berdasarkan catatan pada batu tanda sebelum memasuki kompleks tersebut, dikatakan batu tersebut telah wujud sejak abad ke-3 dan ke-4 atau antara 200-300 tahun Masehi. Penduduk tempatan dulu-dulu mengenalinya sebagai ‘batu hidup’ kerana dipercayai semakin membesar, mempunyai keramat atau kuasa tertentu jika memohon sesuatu padanya.

Tertanya juga, apakah pula maksud ukiran pada batu megalith tersebut ? Batu Megalit merupakan batu yang sering digunakan untuk membina manumen atau struktur binaan orang dulu-dulu di merata dunia. Ia sama ada berbentuk rumah, dijadikan perkuburan atau sekadar batu tanda.

Makam Syeihk Ahmad Majnun
Pertamanya terdapat apa yang dikatakan makam Sheikh Ahmad Majnun. Ia dianggap sebagai makan Islam yang tertua di Malaysia. Tak faham juga aku maksudnya. Apa definisi makam berbanding kubur ? Makam adalah kubur para wali atau pembesar Negara ?

Makam tersebut terdiri daripada beberapa binaan bongkah batu-batu lama. Bentuk dan susunannya juga agakpelik. Tidak tahulah apa maksudnya. Pagar kecil dibina mengelilingi makam tersebut, barangkali bagi mengawal kesesakan sekiranya terdapat ramai pelawat.

Mengapa tiada cacatan lanjut diberikan dalam kompleks tersebut. Tulisan pada salah satu batu pada makam tersebut menyebutkan tahun 1467-1468 Syeikh Ahmad Majnun meninggal dunia.

Pada satu binaan batu ( barangkali merupakan batu nesan ) yang mempunyai tulisan seperti Arab-Jawi, terdapat lubang bulat elok. Berdasarkan kajian internet, dikatakan lubang tersebut menjadi alat ‘lying detector’ agar penjenayah membuat pengakuan dalam menyelesaikan masalah antara penduduk kampung pada zaman dahulu.

Dengan memasukkan tangan ke dalamnya, jika tidak bercakap benar, dikatakan batu tersebut akan mencengkam ketat tangan orang tersebut. Hebat !!! Tertanya juga, apakah maksud tulisan yang terukir pada batu ‘lying detector’ tadi ? Nama Syeikh Ahmad Majnun bagaimanapun tercatat jelas.

Siapa Ahmad Majnun ?
Catatan pada batu tanda sebelum memasuki kompleks tersebut mencatatkan bahawa Syeikh Ahmad Majnun merupakan seorang pendakwah yang menyebarkan syiar Islam pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Semasa dalam suatu perjalanan, beliau meninggal dunia dan dimakamkan di sini.

Pendapat kedua pula, beliau merupakan seorang ulama yang menganut mazhab yang berbeza dengan mazhab yang dianuti oleh pemerintah dan masyarakat Melaka pada masa itu. Oleh yang demikian, Syeikh Ahmad Majnun dan pengikutnya berpindah ke Pengkalan Kempas.

Bimbang penyebaran mazhab ini akan menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat Melaka, pemerintah Melaka pada zaman itu, Sultan Mansur Syah telah menitahkan Bendahara Tun Perak mengetuai angkatan Melaka untuk memerangi Syeikh Ahmad Majnun dan pengikutnya di Pengkalan Kempas. Dalam peperangan tersebut Syeikh Ahmad Majnun tertewas dan terbunuh.

Tulisan Kalimah Allah
Tulisan ini tertera di salah satu batu megalit. Sama ada diukir atau timbul semula jadi ( dengan kehendak Allah ) ? Ini juga menimbulkan misteri. Jika ‘timbul sendiri’ bila ianya timbul, apakah sejak kurun ke-3 atau ke-4 lagi ?

Jika demikian, ini bermakna kewujudannya sebelum Rasulullah s.a.w dilahirkan ke dunia ini ? Malah sebelum Islam sampai ke Tanah Melayu lagi. Wah tentunya ini suatu yang hebat, wajar di war-warkan, boleh menjadi tarikan untuk kunjungan ramai ke sini. Lantas pemeliharaannya perlu diteruskan. Tetapi apakah benar begitu ? Atau orang tidak kisah, melainkan kalau dikatakan mereka yang berdoa di manumen dengan kalimah Allah tu mereka akan jadi kaya raya !!!!

Selain daripada makam, kawasan berpagar kompleks ini juga menempatkan surau terbuka dan rumah kuaters penjaga. Kompleks ini dibuka setiap hari dari 9.00 paagi hingga 6.00 petang dan masuk adalah percuma.

Selain Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas, ia juga dipanggil Keramat Sungai Udang, Keramat Ujung Pasir atau Fort Kempas. Googlelah untuk mengetahui lebih lanjut.

Sumber:
http://ms.wikipedia.org/wiki/Pengkalan_Kempas
http://wikitravel.org/en/Port_Dickson
http://www.portdickson.net/about#history
Share:

KLIBF 2014 & Budaya Membaca

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur edisi yang ke-33 ( KLIBF 2014 ) berlangsung 24 April hingga 4 Mei 2014 di PWTC. Dikatakan ini adalah pesta buku yang terunggul di Malaysia. Mungkin kerana usia, dari dulunya hanya dinamakan Pesta Buku Kuala Lumpur. Masih teringat juga masa di universiti dulu pernah juga hadir. Hanya sejak 10 tahun lalu ianya menjadi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Dari setahun ke setahun, ia menjadi semakin popular dan berjaya menarik penyertaan syarikat berkaitan buku dari pulohan kepada ratusan serta berjaya menarik pengunjung daripada jumlah puluhan ribu kepada ratusan ribu. Mungkin kini jutaan pengunjung datang ke pesta buku ini. Apa tidaknya, pada hari ketiga sahaja, dikatakan sudah menerima lebih daripada 300,000 pengunjung. Mungkin selaras dengan pertambahan penduduk Malaysia juga.

Aku yang hadir pada hari ke-3 sejak ianya dibuka, terasa akan kesibukan dan kesesakan di mana-mana bilik, ruang legar dan dewan pameran.


Apakah fenomena ini Ini menjawab persoalan atau kebimbangan cendikiawan pencinta buku terhadap resolusi satu kajian dahulu bahawa minat membaca buku di Malaysia sangat rendah. Kita hanya membaca 2 mukasurat setahun.

Memang penemuan itu telah mencetuskan pelbagai polemik. Tidak kisahlah bagaimana kajian dilakukan, tetapi bagaimana sebuah negara sedang membangun membangun dengan Wawasan 2020nya mempunyai rakyat yang dikira malas membaca ? Ini belum lagi soal apa yang dibaca.

Aku, malah mungkin ramai rakyat Malaysia lain pun dulunya banyak membaca untuk lulus periksa dan untuk pekerjaan. Dari sekolah rendah sehinggalah ke universiti. Kita belajar macam bukan untuk menambah ilmu, tapi untuk lulus periksa, demi mengenggam sijil dan ijazah bagi melayakkan kita memperolehi kerja.

Mungkin lantaran itulah gerakkan mengalakkan membaca dipromosikan dengan berleluasa oleh pihak kerajaan khususnya menerusi Perpustakaan Negara dan Kementerian Pendidikan.

Dasar Galakan Membaca telah dibuat bagi melaksanaan fungsi Perpustakaan Negara Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perpustakaan Negara (Pindaan) 1987 (Akta A667) Bahagian II Seksyen 4(2) iaitu : “menggalakkan dan memudahkan penanaman sifat gemar membaca”.

Dasar ini pula menyokong matlamat Dasar Buku Negara yang diluluskan oleh kabinet pada tahun 1988, iaitu berobjektif memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan yang berkualiti. Ia menjadi pemangkin kepada pelbagai penganjuran pelbagai program dan aktiviti kesedaran, memupuk minat dan pengalakkan membaca termasuk Pesta Buku Kuala Lumpur.

Selepas beberapa tahun gerakan dijalankan, kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia kemudiannya mendapati setiap orang secara purata membaca dua buku setahun.

Buku Dan Budaya Membaca
Ada peningkatan. Bagaimana pula sekarang ? Sejauh mana aktiviti membaca telah menjadi pilihan ketika berehat dan meluangkan masa untuk diri sendiri.

Sejauh mana rakyat Malaysia membaca dan mendapatkan buku untuk menambah pengetahuan, memperkembangkan hobi dan bakat, mencari penyelesaian atau membuat sesuatu persediaan ?

Aku kira walaupun pelbagai angka kajian dikeluarkan, namun orang Malaysia pada pandanganku masih tidak mempunyai budaya membaca yang baik. Masih jarang kita melihat orang membaca ketika menunggu atau setelah berada di dalam bas, keretapi atau kapalterbang. Baca facebook aje ?

Mungkin memang ada banyak pembaca, membaca akhbar, blog online dan majalah, tetapi mungkin tidak banyak orang membeli buku. Harapkan yang free sahaja.

Benarkah faktor harga juga menyebabkan kita kekadang masih berkira-kira untuk membelanjakan RM50 bagi membeli buku yang bagus berbanding membeli DVD cetak rompak atau rokok. Bagiku sebenarnya kita masih kurang dalam hal menghargai hasil orang lain, atau kita sendiri tidak dapat menilai sama ada sesuatu karya atau buku tersebut bagus dan bermutu. Jika tidak, masakan CD audio, VCD movie dan DVD software cetak rompak masih berleluasa.

Tidak tahulah sama ada kajian empirical hubungkait antara minat membaca dengan membeli buku untuk dibaca. Namun umumnya lebih ramai orang minat membaca, maka lebih banyak buku dikeluarkan di negara kita lantaran ada pembelinya. Kalau tidak tentu banyak syarikat penerbit gulung tikar.

Aku dan Penulisanku
Bagiku keterlibatan aku dalam menjadi editor kepada beberapa penerbitan majalah bulanan atau bulletin kelab di ofis dulu-dulu menyebabkan aku perlukan lebih membaca.

Ini ditambah keinginan memupuk minta membaca yang sama kepada anak-anak lantaran aku percaya ibubapa yang membaca akan mempengaruhi anak-anak untuk membaca.

Malahan pelbagai aktiviti membaca yang diterap kepada pelajar sekolah menerusi program NILAM ( Nadi Ilmu Amalan Membaca ) juga telah mempengaruhi ibubapa mereka juga untuk kembali kepada buku.

Facebook Membunuh Blogspot
Kiranya kemuculan awal blogspot menyemarakkan budaya membaca. Untuk menulis sesuatu, kita perlukan membaca beberapa penulisan dan pemikiran orang lain daripada makallah dan buku selain kini google di internet sahaja. Begitulah yang berlaku kepada ku, kekadang perlu mebaca untuk mencipta entry memenuhi blog.

Namun blogspot atau yang seumpamanya dengannya seperti wordpress, makin kurang popular apabila munculnya Facebook. Bagiku facebook membunuh orang ramai berkarya dan menulis menerusi blogspot dan wordpress. mana ade orang tulis panjang-panjang dalam facebook.

Hari Raya Buat Pecinta Buku
Walau apapun bagi pencinta buku, mungkin menerusi pesta buku seumpama KLIBF ini menjadi peluang bagi mereka untuk mendapatkan buku-buku yang sukar dicari dengan harga yang kira murah kalau pun tidak harga yang berpatutan.

Kiranya Pesta Buku Kuala Lumpur adalah hari raya untuk semua yang cintakan buku dan suka membaca. Kehadiran rombongan bas sekolah dari pelbagai negeri membuktikan betapa KLIBF memang sesuatu yang istimewa dan di tunggu-tunggu ramai. Baguslah begitu.
Share:

Van Kaunter 1JPJ

Bermula dengan tiga unit sebagai pilot pada Jun 2013, melihat kepada impak pelaksanaannya, ditambah 12 unit lagi menjadikannya 15 unit ketika ini. Itulah van kaunter 1JPJ yang menawarkan beberapa transaksi tertentu JPJ dijalankan ‘on-the-wheel’, bergerak kesana sini untuk memberikan perkhidmatan kepada orang ramai, dalam membantu orang ramai untuk berurusan dengan JPJ.

Van yang diwarnakan dengan warna koperat JPJ serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan ICT dan talian online itu menyediakan transaksi seperti memperbaharui lesen memandu, pembaharuan road-tax, semakan senarai hitam, pindaan alamat, semakan tarikh luput lesen memandu, semakan tarikh luput lesen kenderaan motor, pembayaran saman dan permohonan ID Portal orang awam.

Majlis Penyerahan
Untuk tambahan 12 unit, asalnya nak buat ringkas sahaja, just penyerahan kepada wakil negeri yang juga peserta kursus yang sedang dijalankan. Penyerahan hendak dilakukan pada akhir majlis dan seterusnya di bawa pandu pulang ke negeri masing-masing.

Namun barangkali sempena PRK Kajang, majlis penyerahan kepada wakil-wakil JPJ negeri telah diadakan di PPD Kajang. Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan.

Walaupun dalam keadaan short notice perubahan format dan lokasi dibuat, akhirnya dapat juga majlis diadakan dan kira berjalan lancar walaupun petang sebelum majlis tersebut hujan lebat turun. Sudah tentunya bahang kempen PRK Kajang menjadi moral ucapan perasmian.

Penyerahan 2 unit masing-masing untuk Sabah dan Sarawak dilakukan pada 23 April 2014 lalu di Kota Kinabalu, bersekali dengan kursus untuk petugas di sana.

Kemudahan Bergerak
Kawasan tumpuan Kaunter Van 1 JPJ ini adalah di kawasan dimana selalu JPJ menganjurkan program turun bersama orang ramai seperti program Satu Komuniti 1 JPJ serta juga di karnival, ekspo dan pameran tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai.

Penyediaan talian selalu menjadi masalah daripada segi masa proses bagi pihak negeri atau cawangan dalam menyediakan keperluan ICT untuk penganjuran program outreach. Tetapi kini mudah sahaja dengan van bergerak ini.

Pasar-pasar malam, pasar tamu atau pasar tani atau pasar Ramadhan merupakan antara potensi tumpuan. Namun nak kena ‘consistent’ kehadirannya supaya orang ramai boleh membuat persediaan sewajarnya supaya tidak tertunggu-tunggu kedatangan kaunter bergerak yang sebelumnya pernah masuk kampung atau berkunjung ke pasar-pasar malam.

Pemilihan Transaksi
Maknanya bukan semua transaksi JPJ, tetapi yang terpilih.Yang terpilih pula terhad pilihannya. Pemilihan dibuat mengikut kesesuaian dengan peralatan ICT yang disediakan, tidak melibatkan proses kerja yang rumit, kritikal serta melibatkan beberapa aras semakan dokumen dan beberapa kelulusan penyelia .

Umpamanya pembaharuan lesen memandu, hanya menggunakan semula gambar daripada myKad. Tidak boleh ambil gambar semula atau scan foto sebagaimana dilakukan di kaunter biasa JPJ.

Pelaksanaan 24 X 7 ?
Daripada segi sistem aplikasi, secara teknikalnya mungkin tidak ada masalah. Namun dengan mengambilkira keselamatan serta pertukaran tarikh selepas 12 tengahmalam daripada segi kutipan hasil kerajaan, ianya tidak digalakkan.

Walau bagaimanapun, usaha sedang dijalankan untuk urusan bank-in hasil berbentuk wang tunai. Ini untuk mengurangkan risiko sekiranya berlaku rompakan terhadap van tersebut.

Bayangkan sekiranya beroperasi jauh-jauh di luar bandar dan on-the way balik kena tahan oleh gangster di tengah-tengah jalan ? Maka bergantung haraplah dengan seorang pegawai atau anggota penguatkuasa bersenjata sahaja yang menurut SOPnya perlu menganggotai dalam setiap operasi van berkenaan.

Kemudahan Satelit
Sistem sekarang bergantung kepada kesediaan coverage Celcom atau Maxis. Kalau di lokasi cadangan tidak mempunyai liputan tersebut atau jika adapun tersangat lemah, maka van tidak boleh beroperasi.

Apakah penggunaan satelit menjadi alternative penyelesaiannya. Atau sebaliknya kalau takde coverage tak payah buatlah. Cari tempat lain. Bukankah bumi Malaysia ini luas juga.

Penggunaan satelit bagi mendapatkan liputan talian telekomunikasi selalunya melibatkan kos yang lebih tinggi sama ada kos permulaan untuk menyediakan peralatan berkaitan, penyelenggaraan dan juga caj penggunaan setiap bulan.

Memaksimumkan Penggunaan
Setiap unit kosnya agak tinggi juga. Selain van, renovasi dalaman, tambahan luaran, cat, penyediaan infra ICT, genset, kerusi meja dan sebagainya yang menjadikan ianya unik untuk JPJ dan tidak perlu dipatenkan.

Penyelenggaraan van mungkin sebagaimana penyelenggaraan kenderaan Jabatan semasa. Mungkin masih baru, tidak timbul masalah kecuali berlakunya kemalangan, vandalisme atau dirosakkan orang.

Dengan itu, sepatutnya van tersebut digunakan seoptimum mungkin dalam memenuhi objektif penggunaannya. Jika bimbang tiada coverage, bimbang tentang keselamatan, laksanakanlah di tempat yang kurang risiko dahulu. Tidak perlulah fikirkan yang ekstrime atau yang negative sahaja. Kalau ada kekurangan atau cadangan pembaikan, boleh diperbaiki atai ditambah dari semasa ke semasa.

Tidak tahulah mana yang betul. Apakah penyediaan kaunter van 1JPJ ini selaras dengan konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam atau selaras dengan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian di Utamakan.
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.