Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Showing posts with label teknologi. Show all posts
Showing posts with label teknologi. Show all posts

Van Kaunter 1JPJ

Bermula dengan tiga unit sebagai pilot pada Jun 2013, melihat kepada impak pelaksanaannya, ditambah 12 unit lagi menjadikannya 15 unit ketika ini. Itulah van kaunter 1JPJ yang menawarkan beberapa transaksi tertentu JPJ dijalankan ‘on-the-wheel’, bergerak kesana sini untuk memberikan perkhidmatan kepada orang ramai, dalam membantu orang ramai untuk berurusan dengan JPJ.

Van yang diwarnakan dengan warna koperat JPJ serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan ICT dan talian online itu menyediakan transaksi seperti memperbaharui lesen memandu, pembaharuan road-tax, semakan senarai hitam, pindaan alamat, semakan tarikh luput lesen memandu, semakan tarikh luput lesen kenderaan motor, pembayaran saman dan permohonan ID Portal orang awam.

Majlis Penyerahan
Untuk tambahan 12 unit, asalnya nak buat ringkas sahaja, just penyerahan kepada wakil negeri yang juga peserta kursus yang sedang dijalankan. Penyerahan hendak dilakukan pada akhir majlis dan seterusnya di bawa pandu pulang ke negeri masing-masing.

Namun barangkali sempena PRK Kajang, majlis penyerahan kepada wakil-wakil JPJ negeri telah diadakan di PPD Kajang. Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan.

Walaupun dalam keadaan short notice perubahan format dan lokasi dibuat, akhirnya dapat juga majlis diadakan dan kira berjalan lancar walaupun petang sebelum majlis tersebut hujan lebat turun. Sudah tentunya bahang kempen PRK Kajang menjadi moral ucapan perasmian.

Penyerahan 2 unit masing-masing untuk Sabah dan Sarawak dilakukan pada 23 April 2014 lalu di Kota Kinabalu, bersekali dengan kursus untuk petugas di sana.

Kemudahan Bergerak
Kawasan tumpuan Kaunter Van 1 JPJ ini adalah di kawasan dimana selalu JPJ menganjurkan program turun bersama orang ramai seperti program Satu Komuniti 1 JPJ serta juga di karnival, ekspo dan pameran tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai.

Penyediaan talian selalu menjadi masalah daripada segi masa proses bagi pihak negeri atau cawangan dalam menyediakan keperluan ICT untuk penganjuran program outreach. Tetapi kini mudah sahaja dengan van bergerak ini.

Pasar-pasar malam, pasar tamu atau pasar tani atau pasar Ramadhan merupakan antara potensi tumpuan. Namun nak kena ‘consistent’ kehadirannya supaya orang ramai boleh membuat persediaan sewajarnya supaya tidak tertunggu-tunggu kedatangan kaunter bergerak yang sebelumnya pernah masuk kampung atau berkunjung ke pasar-pasar malam.

Pemilihan Transaksi
Maknanya bukan semua transaksi JPJ, tetapi yang terpilih.Yang terpilih pula terhad pilihannya. Pemilihan dibuat mengikut kesesuaian dengan peralatan ICT yang disediakan, tidak melibatkan proses kerja yang rumit, kritikal serta melibatkan beberapa aras semakan dokumen dan beberapa kelulusan penyelia .

Umpamanya pembaharuan lesen memandu, hanya menggunakan semula gambar daripada myKad. Tidak boleh ambil gambar semula atau scan foto sebagaimana dilakukan di kaunter biasa JPJ.

Pelaksanaan 24 X 7 ?
Daripada segi sistem aplikasi, secara teknikalnya mungkin tidak ada masalah. Namun dengan mengambilkira keselamatan serta pertukaran tarikh selepas 12 tengahmalam daripada segi kutipan hasil kerajaan, ianya tidak digalakkan.

Walau bagaimanapun, usaha sedang dijalankan untuk urusan bank-in hasil berbentuk wang tunai. Ini untuk mengurangkan risiko sekiranya berlaku rompakan terhadap van tersebut.

Bayangkan sekiranya beroperasi jauh-jauh di luar bandar dan on-the way balik kena tahan oleh gangster di tengah-tengah jalan ? Maka bergantung haraplah dengan seorang pegawai atau anggota penguatkuasa bersenjata sahaja yang menurut SOPnya perlu menganggotai dalam setiap operasi van berkenaan.

Kemudahan Satelit
Sistem sekarang bergantung kepada kesediaan coverage Celcom atau Maxis. Kalau di lokasi cadangan tidak mempunyai liputan tersebut atau jika adapun tersangat lemah, maka van tidak boleh beroperasi.

Apakah penggunaan satelit menjadi alternative penyelesaiannya. Atau sebaliknya kalau takde coverage tak payah buatlah. Cari tempat lain. Bukankah bumi Malaysia ini luas juga.

Penggunaan satelit bagi mendapatkan liputan talian telekomunikasi selalunya melibatkan kos yang lebih tinggi sama ada kos permulaan untuk menyediakan peralatan berkaitan, penyelenggaraan dan juga caj penggunaan setiap bulan.

Memaksimumkan Penggunaan
Setiap unit kosnya agak tinggi juga. Selain van, renovasi dalaman, tambahan luaran, cat, penyediaan infra ICT, genset, kerusi meja dan sebagainya yang menjadikan ianya unik untuk JPJ dan tidak perlu dipatenkan.

Penyelenggaraan van mungkin sebagaimana penyelenggaraan kenderaan Jabatan semasa. Mungkin masih baru, tidak timbul masalah kecuali berlakunya kemalangan, vandalisme atau dirosakkan orang.

Dengan itu, sepatutnya van tersebut digunakan seoptimum mungkin dalam memenuhi objektif penggunaannya. Jika bimbang tiada coverage, bimbang tentang keselamatan, laksanakanlah di tempat yang kurang risiko dahulu. Tidak perlulah fikirkan yang ekstrime atau yang negative sahaja. Kalau ada kekurangan atau cadangan pembaikan, boleh diperbaiki atai ditambah dari semasa ke semasa.

Tidak tahulah mana yang betul. Apakah penyediaan kaunter van 1JPJ ini selaras dengan konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam atau selaras dengan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian di Utamakan.
Share:

mySIKAP Oh mySIKAP !!

Mahu tak mahu, system lama SIKAP perlu ditamatkan perkhidmatannya walaupun mungkin sistem baru mySIKAP masih bergelut dengan pelbagai masalah sehingga mendapat liputan media arus perdana. Memandangkan semua fungsi SIKAP telahpun ready dan terdapat dalam mySIKAP, maka pada jam 4.30 petang, Khamis 28hb November 2013, Sistem Kerangka Utama lama yang diperolehi pada tahun 2009 dan menjadi nadi kepada pelaksanaan sistem SIKAP pun ditutup untuk selama-lamanya. Mungkin kerana yang lain sibuk melayani kerenah pelaksanaan mySIKAP, maka akupun diberikan kesempatan untuk menutup dan mengakhiri Sistem SIKAP.

Mengapa mySIKAP perlu dilaksanakan bagi menggantikan SIKAP ? Ini soal teknologi dan kebanyakkan perisian sistem dan perkakasan dalam Sistem SIKAP ,sudah tidak mempunyai khidmat sokongan daripada pembekal. Penutupan ini juga dikaitkan penjimatan, tidak perlu nak maintain dua sistem komputer utama dan mengelakkan daripada sistem SIKAP yang lama itu memberikan masalah daripada segi data kepada sistem baru mySIKAP.

Projek mySIKAP telah bermula pada Julai 2010 sebaik sahaja perlantikan kontraktor. Tragisnya, tender terpaksa dibuat dua kali apabila tender pertama dibatalkan. Akibatnya spesifikasi yang berasaskan kajian yang dilaksanakan pada tahun 2005 menjadi over taken by teknologi dan keperluan semasa. Semakan semula spesifikasi dilakukan dalam memenuhi keperluan semasa dan teknologi. Itu yang memakan masa.

Deliverables projek daripada segi aplikasi, mula dilaksanakan secara berfasa sejak akhir 2011. Walau pun sistem awalnya berjalan dengan tidak lancar, slow dan kerap paras CPU mencecah 100%. Sesetengah cawangan kata ‘tarian tiang’. Biasalah tu kot. Dalam mode testing jalan cantik, masuk produksi kena perhati molek. Namun akhirnya dapat diselesaikan.

Kajian Impak
Masa berjalan dan pelbagai fungsi mula dilaksanakan termasuk integrasi dengan fungsi yang tidak dalam skop pelaksanaan asal. Prestasi CPU mula menurun dan mySIKAP mulai slow.

Pihak kontraktor diminta membuat kajian impak pelaksanaan pertambahan fungsi terhadap keupayaan sistem komputer yang dibekalkan. Hasil awal, dikatakan tidak realistik. Kemudian dicadangkan dilakukan ujian stress di makmal yang terletak di Singapura.

Mula berangan untuk ke sana. Tetapi kemudiannya dikatakan tidak dapat nak simulate sebab sukar nak membina suatu persekitaran aplikasi seumpama Jabatanku. Lalu dibuat sahaja analisa berdasarkan sistem semasa. Masa terus berjalan, kajian masih tidak selesai juga dan prestasi sistem masih tidak menentu.

Mengapa Berlaku Gangguan Sistem ?
Paras penggunaan CPU tinggi bukanlah bermakna fully utilized. Tetapi apabila CPU tinggi processing power menurun akibat bebanan pemprosesan bertambah. Dikatakan bilangan transaksi bertambah secara mendadak di luar jangkaan. CPU menjadi sibuk dan mengakibatkan prestasi sistem komputer menjadi perlahan. Maka terjadilah gangguan terhadap prestasi sistem, CPU seperti menjadi under power.

Apakah gangguan disebabkan CPU tak cukup power ? Memula orang kata line slow atau network slow. Orang aplikasi kata ini masalah network, sebaliknya orang network kata masalah aplikasi. Namun ‘tools’ membuktikan bahawa usage masih rendah walaupun gangguan sistem berlaku. ‘Tools’ juga membuktikan capaian pengkalan data menjadi sibuk oleh kaedah capaian yang ‘tidak sihat’.

Pertambahan Transaksi Di Luar Jangkaan ?
Tidak dapat dinafikan juga bahawa peningkatan transaksi yang dikatakan luar jangkaan menyumbang sedikit sebanyak kepada ketidakmampuan sistem komputer sedia ada. Bermakna perkiraan yang dilakukan semasa kajian awal telah jauh meleset. Ataupun kemelesetan disebabkan persekitaran yang berubah dan perbandingan one-to-one tidak praktikal dilakukan. Dulu transactional based, tetapi sekarang web based.

Dalam bab ini nampaknya IT dipersalahkan. Patutnya IT tidak boleh terima inisiatif atau tambah fungsi baru untuk dilaksanakan sekiranya sistem tersebut dijangka memberikan impak kepada prestasi sistem komputer terutama pelaksanaan semasa masih belum stabil.

IT dikatakan gagal meyakinkan mereka yang mahukan inisiatif baru dilaksanakan. Patutnya boleh diestimate berapa prosessing power diperlukan apabila sesuatu penambahan fungsi transaksi hendak dilakukan. Sedangkan jerebu pun boleh dikira indek IPUnya, mengapa sistem komputer tidak boleh dijangka atau diukur seumpamanya. Betulke hujah begitu ?

Akibat CPU Tinggi
Apabila CPU tinggi, pelbagai urusniaga menjadi lambat atau tidak dapat diselesaikan. Pelbagai masalah sistem dan aplikasi timbul, sehingga ada yang diluar jangka. Aduan masalah pelaksanaan semakin meningkat.

Ini memaksa Bilik Gerakan mySIKAP dibuka khusus bagi menangani sebarang masalah yang timbul. Suatu ketika, tidak menang tangan dibuatnya. Suasana Bilik Gerakan seperti bursa pasaran saham lagaknya. Setiap aduan perlu diselesaikan segera. Aplikasi Whatsapp diwujudkan sebagai tambahan saluran penyampaian masalah.

Perkhidmatan dikaunter pula menjadi tidak lancar, masa untuk menyelesaikan sesuatu transaksi dikaunter menjadi lama. Akibatnya masa menunggu pelanggan menjadi lama. Ruangan pelanggan dikaunter menjadi sesak dipenuhi mereka yang hendak berurusan.

Mulalah pelanggan menjadi resah, apabila lama menunggu. Masa cuti dihabiskan menunggu giliran atau menyelesaikan urusan di kaunter. Mereka mulai hilang sabar. Petugas di kaunter mula dimarahi dan menerima kecaman daripada mereka yang sudah hilang sabar.

Ketua Pengarah pun tak memang tangan memberikan respon kepada wartawan serta stake holder.

Masalah mySIKAP juga sampai ke Dewan Rakyat dan hangat diperbincangkan. Aku yang kebetulan hadir, terasa macam meeting post mortem pelaksaanaan mySIKAP di pejabatku sendiri. Detail aduan masalah yang dikemukakan.

Peningkatan Atau Penggantian CPU
Seminggu sebelum Raya 1434H, gangguan sistem komputer menjadi tersangat kritikal. CPU yang dibekalkan dalam projek mySIKAP diistiharkan underpower. Lalu pihak kontraktor berbesar hati meminjamkan CPU yang mereka ada.

Ironicnya, CPU sedia ada kami tidak boleh dipertingkatkan kerana telah tamat khidmat sokongan peningkatannya dua bulan sebelum kejadian gangguan sistem ini. Selepas penggantian dibuat, prestasi sistem menjadi lega. Kami pun boleh beraya dengan tenang.

Namun panas yang dijangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kelegaan kami tidak berpanjangan. Gangguan sistem berlaku lagi. Mungkin akibat pertambahan fungsi dan inisiatif, khususnya dengan pembukaan laluan kepada rakaniaga.

Keupayaan CPU dipertingkatkan lagi. Namun itu masih tidak menjamin kelancaran sistem komputer Jabatanku lantaran masih banyak inisiatif yang masih belum dilaksanakan. Berdasarkan siri perbincangan, pembentangan dan mesyuarat, keputusan dibuat untuk melaksanakan perolehan darurat CPU yang lebih power ... dikatakan yang power giler. Cuma persoalannya, entah bila kami akan menerima dan menggunapakai CPU baru, menggantikan yang sedia ada.

mySIKAP tidak diuji ?
Terdapat telahan bahawa pelaksanaan patutnya melalui proses pengujian, setelah stabil barulah dan semua pihak ready, barulah dilaksanakan. Mungkin benar, but easier said than done !!!

Sebelum keputusan untuk national-rollout, pilot selama hampir sebulan dilakukan di semua pejabat di dua buah negeri. Hasilnya dianggap positif.

Mulalah pelbagai aktiviti yang telah berjalan sebelum ini diperhebatkan, seperti taklimat dan latihan familiarisasi kepada anggota, operator kaunter serta agensi rakaniaga.

Ini juga merupakan peluang aku kesana kemari menjaja mySIKAP, dari Perlis sampailah ke Sabah.

Walau apapun, mySIKAP diteruskan. Sebarang masalah akan diselesaikan sebaik mungkin sehinggalah mySIKAP berjalan lancar serta diterimapakai oleh semua anggota serta orang ramai. Biasanya benda baru yang memerlukan masa untuk fine tuning lagi sehinggalah benar-benar stabil.

Gangguan mySIKAP sedikit sebanyak telah menarik minat pelbagai pihak kerajaan datang melawat pejabat cawangan Jabatanku. Bagus juga bersama berkongsikan pengalaman. Mudah-mudahan ada manfaatnya.

Share:

Pencipta Tetikus, Engelbart Meninggal Dunia

SAN FRANCISCO — Doug Engelbart, pencipta tetikus, versi awal e-mail, program pemprosesan kata dan Internet telah meninggal dunia pada usia 88 tahun. Menurut Muzium Sejarah Komputer di Mountain View, California, di mana Engelbart telah menjadi seorang fellow sejak 2005, pihak muzium dimaklumkan tentang kematian beliau melalui e-mail dihantar oleh anak perempuannya, Christina.

Institut Penyelidikan Standford di mana beliau bekerja, juga mengesahkan kematiannya. Namun punca kematian masih belum diketahui. Engelbart membayangkan dunia di mana orang ramai menggunakan computer untuk berkongsi idea tentang penyelesaian masalah pada tahun 1950an dan 60an.

Beliau membangunkan tetikus pada 1960an dan mendapatkan patennya pada 1970.Pada waktu itu, ia diperbuat daripada kayu ditutup dengan dua roda besi.

Tetikus mula menembusi pasaran komersial pada 1984, dengan Macintosh dari Apple. Pada 1987 teknologi itu boleh didapati di domain awam - bermakna Engelbart tidak dapat mengumpul royalty bagi tetikus apabila ia diguna secara meluas. Kira-kira 1 billion tetikus telah dijual sejak pertengahan 1980an.

Pada 1997, Engelbart merangkul anugerah pencipta Amerika paling lumayan, Hadiah Lemelson-MIT bernilai $500,000. Tiga tahun kemudian bekas Presiden, Bill Clinton menganugerahkan Engelbart medal teknologi kebangsaan kerana mencipta asas pengkomputeran peribadi.

Douglas Carl Engelbart dilahirkan pada 30 Januari, 1925, dan membesar di sebuah ladang kecil berhampiran Portland, Ore. Beliau mempelajari bidang kejuruteraan elektrikal di Oregon State University, mengambil cuti selama dua tahun ketika Perang Dunia kedua untuk berkhidmat sebagai juruteknik radar dan elektronik tentera laut di Filipina.

Dipetik dari http://news.abnxcess.com/bm/2013/07/pencipta-tetikus-engelbart-meninggal-dunia/
Share:

Al-Fatehah Untuk Azli Paat

Semasa aku tinggal di Saujana Utama dan berulang alik ke tempat kerjaku di Kuala Lumpur sekitar awal 2000, sambil memandu aku sering mengikuti siaran yang membincangkan tentang perkembangan ICT di Radio Malaysia Kuala Lumpur ( RMKL ) yang dikendalikan bersama Sdra Azli Paat. Kemudian entah mulai bila aku mulai hilang daripada mengikuti celoteh beliau di Radio sehinggalah kepada minggu lalu, aku terkejut apabila mendapat berita tentang kematian beliau pada 6 Februari 2013, pada usia 46 tahun setelah beberapa hari mengidap demam panas.

Azli Paat meninggal dunia pada kira-kira jam 7.00 malam di rumahnya di Bukit Segambut. Namun jenazahnya kemudian dikebumikan di Batu Pahat Johor, atas permintaan arwah sendiri. Baruku tahu beliau orang Kampung Pedada Kuning, Batu Pahat rupanya. Dia dulu sekolah di Sekolah Tinggi Batu Pahat dan merupakan graduan Sains Komputer dari Universiti Iowa USA ( 1982 ).

Azli Paat merupakan CEO dan juga Founder Syarikat Vista dapat Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun 2000. Rasanya Azli Paat adalah orang Melayu paling awal berceloteh tentang ilmu IT yang berkumandang di corong radio sejak tahun 90 an. Dari beliau menerangkan apa itu IT, bagaimana nak buka akaun email, bagaimana IT dapat membantu masyarakat berinteraksi dan berbagai topik IT. Mungkin cara penyampaian beliau yang mudah difahami oleh orang ramai ketika itu, beliau semakin diminati, semakin dikenali dan sering menjadi panel diberbagai rancangan IT di berbagai saluran Radio dan TV.

Berdasarkan cara perbulan beliau menerusi radio dan beberapa kali pernah aku lihat di kaca TV, aku kira beliau seorang ‘intelligent’ yang jujur, luhur, ikhlas, ceria dan disenangi ramai. Cara penyampaian khususunya dalam Bahasa Melayu agak mudah difahami berbanding orang lain yang kerana kononnya hendak menampakkan ‘pakar; maka pelbagai istilah dan hal teknikal disebutkan.


Walaupun di mana beliau berada, beliau jarang miss dalam slot yang disediakan di Radio untuknya kerana mengunakan pelbagai teknologi ICT bagi membolehkan beliau terus bersiaran.

Terasa benar akan kehilangannya. Antara pencapaian dan sumbangan besar beliau semasa hayatnya adalah memperkenalkan Kod DAPAT (32728) yang digunakan dalam ribuan perkhidmatan, membangunkan sistem Rakan Cop untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mewujudkan sistem mySMS 15888 dengan pihak kerajaan yang membolehkan pesanan tanpa sempadan antara pelbagai syarikat telekomunikasi untuk perkhidmatan awam di Malaysia.

Beliau baru memperkenalkan produk yang dinamakan 'Adacode', yang membolehkan kandungan dihantar ke emel atau SMS dengan hanya membuat panggilan miscall. Pada majlis Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik (APICTA) 2012, allahyarham Azli Paat menerima anugerah Best of the Best Award daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau juga pernah merangkul anugerah Best of e-Inclusion and e-Community Service, MSC Malaysia APICTA (2009) dan Best of Communications Application, MSC Malaysia APICTA (2007).

Salam takziah buat seluruh ahli keluarga arwah. Arwah meninggalkan seorang balu, Dr Fadhilah ( Pegawai di Bahagian Teknologi Pendidikan ) dan 10 orang anak ( 6 lelaki dan 4 perempuan ) yang berusia antara 6 tahun hingga ada yang baru memasuki alam pekerjaan. Diberitakan isterinya hanya menyedari setelah mendapati arwah tidak bernafas lagi sebaik pulang ke rumah dari menjemput anak-anak pulang dari sekolah.

Dunia IT negara kehilangan seorang tokoh keusahawanan, pakar inovasi dan pakar teknologi maklumat. Beliau telah membawakan pelbagai inovasi dalam dunia IT dan kandungan mudah-alih di Malaysia. Moga ilmu yang disampaikan arwah menjadi penyuluh beliau di alam barzah sana. Semoga Allah s.w.t menempatkan roh arwah di kalangan orang-orang yang beriman dan golongan solehin.

Al-Fatehah.
Share:

Kemusykilan Emel 1Malaysia

Sekonyong-konyong PM melancarkan projek emel 1Malaysia. Rakyat keliru dan timbul suasana berbelah di kalangan rakyat. Malah terdapat beberapa laman facebook diwujudkan bagi membantah projek ini. Menurut projek ini, satu akaune-mel akan disediakan kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas secara percuma. Emel ini dikatakan akan menjadi saluran dalam meningkatkan penyampaian kerajaankepada rakyat. Turut disediakan nanti ialah perkhidmatan untuk menyemak bil serta bayaran.

Persoalan dan bantahan wujud lantaran nilai kontrak bernilai RM50 juta untuk melaksanakan projek tersebut yang macam dianggap membazir sedangkan banyak lagi perkara berfaedah boleh dibuat dengan duit tersebut, contohnya internet free kepada rakyat ? Tidak cukupkah lambakkan emel percuma yang boleh diperolehi secara mudah sejak mula dunia emel dan internet berkembang.

Apakah keistimewaan emel 1Malaysia berbanding dengan emel percuma tersebut. Apakah tidak boleh emel seperti yahoo, Hotmail dan gmail menjadi emel rasmi. Malau akaun emel tersebut juga dilengkapi dengan kemudahan chating, dengan live kamera lagi. Kira sudah memadai dengan emel percuma tersebut. Itu belum masuk akaun emel pejabat yang digunakan secara rasmi. Nampaknya alasan kesahihan pemilik akaun emel mungkin ada benarnya.

Rakyat juga membantah kerana projek tersebut dianugerahkan kepada Syarikat Tricubes Bhd yang sedang mengalami masalah untuk terus survive dalam industri ICT negara. Mengapa bantah Tricubes sedangkan syarikat dikatakan dilantik setelah melalu proses tender terbuka ? Bagi pihak Tricubes tentunya menarik nafas lega dengan kurniaan kontrak ini dan berharap boleh bernafas mengorak langkah kehadapan.

Terpaksa PM menjelaskan yang Emel 1Malaysia adalah projek sektor swasta. Tidak ada wang awam terbabit, dan ia adalah sepenuhnya sukarela. Habis tu darimana Tricube boleh dapat duit ? Rakyat terus keliru. Dalam Malaysiakini 26 April 2011, menerusi satu taklimat media di Kuala Lumpur, Khairun Zainal Mokhtar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tricubes Berhad mengesahkan bahawa agensi kerajaan akan dikenakan bayaran RM0.50 bagi setiap email yang dihantar kepada pengguna tetapi orang ramai tidak akan dikenakan sebarang bayaran.

Secara mudahnya, kerajaan tidak bayar apa-apa kepada Tricubes, tetapi agensi kerajaan yang guna emel 1Malaysia syarikat itu kena bayar 50 sen setiap satu emel yang dihantar. Apakah nanti, agensi kerajaan akan akan dikerah untuk guna perkhidmatan Tricubes dan membayar setiap perkhidmatan yang digunakan bagi menggantikan penghantaran secara konvensional sekarang iaitu melalui surat menyurat ? Kalau begitu perkirannnya, dari mana datang angka RM50 juta ?

Nampaknya yang juga menjadi pertikaian adalah penjelasan yang bercanggah daripada pihak-pihak yang terbabit mengenai bagaimana Tricube dapat hasil daripada projek ini. Jadi cakap sapa yang betul ? Pengarah Perkhidmatan NKEA bagi Pengisian dan Infrastruktur Komunikasi, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek juga berkata kerajaan akan membayar 50 sen bagi setiap emel kepada pemenang konsesi iaitu Tricubes Bhd.

Kebimbangan rakyat apabila menjadi ahli nanti, sejauh mana pangkalan data maklumat pendaftaran yang diberi adalah selamat dan tidak disalahguna. Sejauh mana pula akaun emel mereka tidak dihujani dengan spam politik, khususnya menjelang pilihanraya kecil dan pilihanraya umum nanti.

Sekiranya tukar PM nanti, apakah emel 1Malaysia akan diteruskan khsusunya jika PM baru tidak meneruskan konsep 1Malaysia. Memang sekarang konsep ini menjadi pegangan. Sejauh mana ? Sementara atau selamanya ? Jangan jadi macam islam Hadhari yang kini entah dimana kedudukannya. Institusi bertemakan atau ambil nama Islam Hadhari pun berada dalam persimpangan. Bagaimana dengan masjid Hadhari yang dibina di merata di terengganu ?

Dipetik daripada peraktoday.com

Projek E-mel 1Malaysia inisiatif sektor swasta sepenuhnya: Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan projek E-mel 1Malaysia yang diumumkan semalam adalah inisiatif sektor swasta sepenuhnya dan ia langsung tidak membabitkan dana awam. Katanya, penyertaan juga adalah secara sukarela dan mana-mana pihak yang enggan turut serta, mereka tidak perlu menyertainya.

Jelasnya, projek itu telah diluluskan oleh Unit Penilaian Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan ia adalah sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP). “Projek E-mel 1Malaysia ini adalah sebahagian daripada tujuh projek ETP yang dirancang oleh kerajaan dan secara sukarela,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 di Ipoh, petang tadi.

Projek E-mel 1Malaysia akan dipelopori syarikat IT tempatan, Tricubes Bhd yang melabur RM50 juta untuk menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas. Pelaburan bagi projek Emel 1Malaysia itu adalah bagi menyediakan akaun email kepada semua warga Malaysia untuk urusan rasmi dengan kerajaan.

Najib ketika merasmikan projek itu semalam berkata, e-mel berkenaan akan membolehkan komunikasi secara langsung dan selamat di antara rakyat dan kerajaan. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pengguna dan juga warga niaga.

Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.