Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Amal Mudah Tetapi Tinggi Nilainya

Al-Quran dalam Surah As-Sajadah ayat ke-12, ada mengkisahkan tentang sesalan besar manusia yang kufur ketika siksaan pedih neraka sedang menanti sehingga meminta dikembalikan ke dunia untuk beramal soleh bagi menampung kekurangan sehingga membolehkannya masuk ke Syurga. “Dan jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami, kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami telah yakin.” ( As-Sajadah : 12 )

Manakala dalam surah Al-Mukminun ayat ke 99-100, “Golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia, “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku supaya aku dapat mengerjakan amal soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Mana boleh? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh sehingga hari mereka dibangkitkan semula.

Sekiranya diberikan pilihan untuk kembali ( tetapi mana boleh ? ), apakah amalan yang hendak dilakukan yang tentunya besar fadhilatnya sehingga boleh cover dosa yang tertanggung ? Setiap kita, malah setiap Muslim sering berdoa dengan menginginkan umur panjang, sihat wal-afiat dengan bertambah kebaikannya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w tatkala baginda ditanya, “Siapakah orang yang paling baik itu? Rasulullah s.a.w menjawab, “Iaitu orang yang panjang umurnya dan baik amalannya.” ( H R. At-Tirmidzi dan Ahmad ).

Sementara kita hidup, sementara ada nyawa dan sementara ada masa dan ruang diberikan Allah s.a.w, usah dipersiakan usia agar kita tidak menjadi sebagaimana kisah tadi. Kehidupan di dunia adalah sementara dan dunia merupakan tempat untuk menambah dan memperbanyak amalan-amalan yang baik agar manusia senang setelah kematian serta rela dengan apa yang ia kerjakan.

Berdzikir ia adalah amalan yang ringan tapi bernilai berat disisi Allah s.w.t. Kalau nak solat atau puasa kena tengok time jika diberi peluang dikembalikan ke dunia. Nak bersedeqah, mana ada harta yang nak disedeqahkan. Harta dalam bank pun tidak boleh nak dikeluarkan. Orang yang hendak menerima pun sudah takde. Huhu … membaca al-Quran mungkin boleh juga.

Namun apa yang hendak dicoretkan di bawah atau beberapa siri posting nanti ialah beberapa amalan yang kelihatan mudah tetapi mempunyai timbangan dan nilai yang tinggi di sisi Allah. Untuk posting ini khusus mengenai dzikir.

Pertama : Membaca Subhaanallaahi Wa Bihamdihi Subhaanallaahil 'Adzim
Dari Abu Hurairah, Nabi s.a.w bersabda, "Ada dua kalimat yang dicintai oleh Allah, ringan di lisan, dan berat ditimbangan: ( iaitu bacaan )
Ertinya : Mahasuci Allah dan dengan memujiNya, Mahasuci Allah Yang Maha Agung.” (HR. Al Bukhari)

Kedua : Membaca 'Subahanallah Wa Bihamdihi' Setiap Pagi Dan Petang.
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, "Barangsiapa di waktu pagi dan petang membaca:
Ertinya : Maha Suci Allah dan dengan memuji kepadaNya ) seratus ( 100 ) kali maka tidak ada seorang pun yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala yang lebih baik dari pahala yang dia bawa, kecuali orang yang membaca seperti yang dia baca atau lebih banyak. "( H.R. Muslim )

Ketiga : Berzikir Ketika Terbangun Dari Tidur
Dari Ubadah bin Shamit, Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang terbangun ketika tidur malam kemudian dia membaca,

( Ertinya : Tiada sembahan yang berhak disembah selain Allah semata tiada sekutu bagiNya, milikNyalah seluruh kerajaan, milkNyalah segala pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Segala puji milik Allah, Mahasuci Allah, tiada sesembahan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar. Tiada daya dan kekuatan kecuali dari Allah ) kemudian dia beristighfar atau berdo'a maka akan dikabulkan. Jika dia berwudhu kemudian solat dua rakaat, maka solatnya diterima." ( H.R. Bukhari & Abu Daud )

Keempat: Selalu Beristighfar
Dari Ibn Abbas, Nabi s.a.w bersabda, "Sesiapa yang rajin beristighfar maka Allah akan berikan jalan keluar setiap ada kesulitan, Allah berikan penyelesaian setiap mengalami masalah, dan Allah berikan rezeki yang tidak disangka-sangka." ( H.R. Abu Dawud )

Rasulullah s.a.w bersabda, “Aku membaca: ( Ertinya : Maha Suci Alloh, segala puji bagi Alloh, tiada tuhan yang berhaq diibadahi selain Allah dan Allah Maha Besar ). Bacaan itu lebih aku sukai daripada mendapat kekayaan sebanyak apa yang dibawah sinar matahari.”( H.R. Muslim)

Dari Abu Malik Al-asy’ari r.a Rasulullah s.aw bersabda, “Kebersihan itu separuh keimanan dan ucapan alhamdulillah itu memenuhi timbangan amal dan Subhaanallohi walhamdulillah itu memenuhi keduanya atau memenuhi antara langit dan bumi.”( H.R Muslim )

Kelima : Membaca Subhanallah
Sabda Rasulullah s.a.w, “Apakah seorang diantara kamu tidak mampu mengerjakan seribu kebaikan dalam setiap harinya?? Salah seorang sahabat yang ikut duduk bersama beliau bertanya, ”Bagaimana cara salah seorang diantara kami dapat mengerjakan seribu kebaikan?” Beliau menjawab, ”Membaca tashbih ( ) seratus ( 100 ) kali dapat mendatangkan seribu kebaikan atau menghapus seribu dosa atau kesalahan.” ( H.R. Muslim )

Keenam : Membaca Zikir Ketika Masuk Pasar Atau Tempat Keramaian.
Dari Abdillah bin Amr bin 'Ash, Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang masuk pasaran kemudian dia membaca:


( Ertinya : Tiada sesembahan yang berhak disembah selain Allah tiada sekutu bagiNya, milikNyalah seluruh kerajaan. Dan milikNyalah seluruh pujian, Dia menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha hidup dan tidak mati, di tangannyalah segala kebaikan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu )

Maka Allah catat untuknya sejuta kebaikan, Allah hapuskan sejuta kesalahan, dan Allah angkat untuknya satu juta darjah. " ( H.R. At Tirmidzi, Al Hakim, Ad Darimi dan dinilai hasan oleh Al-Albani)

Penutup
Hendaknya kita menggunakan waktunya dengan ketaatan kepada Allah. Umur dalam lingkungann 60-70 tahun bukanlah lama berbanding tempoh masa di akhirnat nanti. Jadikan waktu terluang dengan amalan bermanfaat agar tidak sia-sia belaka, agar kita tidak dilalaikan seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, “Dua nikmat yang (sering) dilupakan oleh kebanyakan orang, yaitu: kesihatan dan kekosongan (waktu).” (HR. Bukhari).

Semoga Allah yang Maha Memberikan taufiq kepada kita semua agar umur kita dipanjangkan oleh-Nya dalam kebaikan serta dapat mempergunakan kesempatan-kesempatan yang berlipat ganda (pahalanya) dimana kebanyakan orang melalaikannya. Jumpa dalam posting berkaitan akan datang.

Share:

Aku, Pembentangan Budget 2015 dan …

Seminggu dua menjelang 10 Oktober 2014 mungkin tidak begitu dirasakan. Namun beberapa hari menjelang tarikh Pembentangan Budget 2015 oleh Menteri Kewangan, ramai orang mula menaruh pelbagai harapan, khususnya setelah dikejutkan dengan kenaikan rega petrol sebanyak RM0.20 akibat rasionalisasi subsidi petrol RON95 dan diesel.

Budget ini akau lihat macam main tarik-tarik. Dari satu sudut dilihat macama ‘menekan’ rakyat, tetapi dalam masa yang sama pelbagai insentif seperti BRIM, PRIMA dan baucer buku diberikan dalam memastikan golongan rakyat tertentu mendapat bantuan. Ini meningkatkan kebergantungan rakyat kepada kerajaan yang seterusnya bakal memberikan undi dalam PRU14 nanti.

GST
Pada dasarnya aku bersetuju dengan pelaksanaannya. Ia meningkatkan pendapatan kerajaan dengan lebih menyeluruh dan sistematik. Tambahan ia diiringi dengan pemansuhan cukai jualan serta penurunan kadar cukai pendapatan individu. Tetapi 1-3% masih tidak mencukupi, kena tambah lagi.

Cumanya, apa jaminan pihak kerajaan bahawa tidak akan berlaku kenaikan harga barang yang tidak tidak sepatutnya atau tidak munasabah. Siapa pula boleh bagi jaminan penurunan harga setelah tiada cukai jualan, sebelum dikira pula GST ? Pengusaha mesti menaikkan harga barangan disebabkan kos pengeluarannya telah meningkat.

Sering dikatakan pemantauan serta penguatkuasaaan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dan tindakan akan diambil kepada peniaga. Tetapi yang yang sering berlaku, ianya bermusim, secara selective dan tidak menyeluruh.

Menghadapi Kenaikan Petrol
Walaupun cuma RM0.20 seliter, namun kesan berangkainya. Penjual pisang goreng memang tidak mengoreng pisang dengan petrol. Tetapi akibat kenaikan kos mengangkut pisang, mengangkut minyak masak, kenaikan gas memasak, kos plastik dan pembungkus, kos pengangkutan pekerjanya. Kosnya terpaksa ditanggung juga oleh pembeli. Aganya lepas ini RM1 cuma boleh dapat tiga ketul pisang yang telah dibelah tiga dari sebijik pisang.

Persoalannya kenapa naik harga petrol sedangkan harga minyak mentah dunia berada pada paras yang rendah. Kalau dulu antara alasan kenaikan disebabkan rega minyak mentah dunia yang naik. Orang minyak lagi marah ...

Tindakan terdekat, aku pasang alat penjimat minyak. Entahlah, harap berjaya. Katanya teknologi ini telah digunakan oleh beberapa syarikat pengeluar kereta dalam usaha mereka untuk menjimatkan penggunaan petrol.

Keadilan Kepada Warga ?
Sering dikatakan langkah rasionalisasi subsidi petrol adalah untuk berlaku adil kepada rakyat berbanding warga asing atau pelancong yang masuk dan menikmati kadar petrol yang dikatakan murah. Ia juga dikatakan dapat mengurangkan aktiviti penyeludupan minyak yang sering berlaku khususnya di sempadan.

Aku akui kerana aku sendiri pernah menyaksikan bagaimana sebuah kereta di Padang Besar asyik keluar masuk mengisi petrol ke dalam tangki petrol keretanya lantaran rega petrol yang lebih tinggi di Thailand.

Berbalik kepada soal penguatkuasaan. Padahal di stesen minyak tersebut ada anggota rela yang bertugas. Apakah itu di luar bidang kuasa RELA ? Paling tidak menghubungi pihak berkuasa yang berkaitan untuk bertindak.

Bonus Cuma Setengah Bulan Gaji
Ini intipati yang ditunggu oleh penjawat awam sepertiku. Agak kecewa apabila cuma setakat setengah bulan gaji sahaja. Harapan nak ke Beijing kalau dapat bonus sebulan gaji tertangguh lagi ... huhu.

Tidak mengapalah, yang lebih mendukacitakan kedudukan skim perkhidmatan, lain-lain elaun khususnya seperti yang diminta oleh CEUPACS, tiada satu pun yang menyangkut. Bagiku apalah sangat cuti setahun bagi ibu muda ?

Perancangan 2015 Ofisku
Sekiranya apa yang dipohon untuk diperolehi atau dilaksanakan pada tahun 2015 diluluskan, banyak kerja nampaknya menantiku pada tahun 2015 demi meningkatkan pemodenan dan merealisasikan program transformasi Jabatanku.

Apapun aku berharap ianya diluluskan. Mengharapkan produktiviti dan keberkesanann dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai, nak meningkatkan hasil karajaan, maka kenalah ditambah dan dipertingkatkan fasilitinya. Motivasi dalam menjalankan tugas akan turut meningkat.
Share:

Maksiat Dalam Surau Masjid ?

Umumnya ke surau dan masjid khususnya untuk solat berjemaah adalah untuk untuk memenuhi tuntutan Islam serta meraih fadhilat dan ganjaran pahala besar yang dijanjikan. Namun tidak semudah itu bagi kita sebagai makmum atau orang awam.

Kita boleh sama ada secara sedar atau tidak, melakukan kesalahan berupa perbuatan dosa atau maksiat dalam masjid surau, sama ada semasa solat atau di luar solat. Bagaimana ini berlaku. Daripada ingin mendapat ganjaran pahala, sebaliknya dosa yang ditanggung. Berikut adalah beberapa perkara yang tersebut itu.

Melintas Depan Orang Sedang Solat
Ini selalu berlaku. Sama ada sebab tidak sabar nak keluar dari surau masjid, atau ada urusan penting atau hajat kena pastikan tidak melintas depan orang lain yang sedang solat. Sebabnya ? Dosa kesalahannya ?

Hadis Rasulullah s.a.w, ‘Seandainya orang yang lalu di depan orang yang solat mengetahui besarnya dosa yang ditanggungnya, nescaya ia akan memilih berhenti selama 40, itu lebih baik baginya dari lalu di depan orang yang shalat’ ( H.R Bukhari dan Muslim ).

Namun ianya sering berlaku. Pakai redah sahaja. Dapatkah kita bayangkan dosanya sehingga kalau tahun sanggup ditunggu 40 tahun.

Pergerakan Mendahului Imam
Kata solat berjemaah. Kenalah ikut imam dan pergerakan makmum adalah setelah imam melakukannya. Dari Anas bin Malik r.a, dia berkata, “Pada suatu hari Rasulullah s.a.w pernah solat mengimami kami, selesai sholat, beliau menghadapkan wajahnya kepada kami dan bersabda, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku adalah imam kalian, maka janganlah kalian mendahuluiku dalam hal rukuk, sujud, berdiri, atau salam, sesungguhnya aku dapat melihat kalian dari depanku dan dari belakangku”. ( H.R Muslim )

Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w beliau bersabda, “Tidakkah salah seorang di antara kalian takut jika dia mengangkat kepalanya sebelum imam, maka Allah akan merubah kepalanya menjadi kepala keledai, atau Allah akan menjadikan bentuknya seperti bentuk keledai?” ( H.R Al-Bukhari )

Tidak Thuma`ninah dalam Solat
Di antara kejahatan pencurian terbesar adalah pencurian dalam solat. Rasulullah s.a.w bersabda, “Sejahat-jahat pencuri adalah orang yang mencuri dalam shalatnya, mereka bertanya : “ bagaimana ia mencuri dalam solatnya? Beliau menjawab : ( Ia ) tidak menyempurnakan ruku’ dan sujudnya”. ( H.R Ahmad )

Thuma’ninah adalah diam beberapa saat setelah tenangnya anggota-anggota badan. Para Ulama memberi batasan minimal dengan lama waktu yang diperlukan ketika membaca tasbih. Ini termasuklah, tidak meluruskan dan mendiamkan punggung sesaat ketika ruku’ dan sujud, tidak tegak ketika bangkit dari ruku’ serta ketika duduk antara dua sujud, semuanya merupakan kebiasaan yang sering dilakukan oleh sebagian besar kaum muslimin.

Menjadi Pencuri Terbesar
Ini berkait rapat juga dengan thuma’ninah. Sabda Rasulullah s.a.w, “Sejahat-jahat encuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya,” para sahabat bertanya, “Wahai utusan Allah, seperti apakah bentuk pencurian yang dilakukan seseorang dalam solat ?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” ( H.R Ahmad )

Sudahlah pencuri, sejahat-jahat di kalangan pencuri pulak tu. Bagaimana pula bentuk rukun dan sujud yang sempurna ? Aku tidak berhasrat yang ceritarita panjang lebar, cuba tetanya al-Ustaz kalau pun tidak Ustaz Google.

Suatu ketika Rasulullah s.a.w solat bersama sahabatnya, kemudian beliau duduk bersama sekelompok dari mereka. Tiba-tiba seorang laki-laki masuk kedalam masjid dan berdiri menunaikan solat. Orang itu rukuk lalu sujud dengan cara mematuk.

Maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Apakah kalian menyaksikan orang ini?, barang siapa meninggal dunia dalam keadaan seperti ini ( solatnya ), maka dia meninggal dalam keadaan di luar agama Muhammad ( Islam ). Ia mematuk dalam solatnya sebagaimana burung gagak mematuk darah. Sesungguhnya perumpamaan orang yang solat dan mematuk dalam sujudnya bagaikan orang lapar yang tidak makan kecuali sebutir atau dua butir kurma, bagaimana ia boleh merasa cukup ( kenyang ) dengannya". ( H.R Abu Ya’la dengan sanad hasan, Khuzaimah dan Tabarani dari Abu Abdullah Al Asy’ary )

Dari Abu Hurairah r.a.. berkata:“Aku telah disuruh oleh kekasihku, tiga perkara dan ditegah aku dari tiga perkara, iaitu mematuk-matuk rukuk dan sujud seperti patukan ayam dan duduk seperti duduk anjing dan berpaling-paling sebagaaimana tsa’lab ( sejenis anjing hutan ).” ( H.R. Abu Ya’la )

Terlebih Rajin Rajin Solat Sunat ?
Sama ada disebabkan suasana yang kondusif di surau masjid dengan kebersihan, cantik dan hawa dinginnya,berbanding di rumah atau ada tujuan lain. Setelah solat, kita begitu ‘rajin’ untuk solat sunat. Apakah hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain betapa warak dan rajinnya kita solat sunat sama ada sebelum atau selepas solat. Adakah begitu juga kalau di rumah, ketika sendirian atau tidak kelihatan oleh orang lain ?

Rasululah s.a.w bersabda, Mahukah kamu aku khabarkan suatu perkara yang sangat aku takutkan melebihi rasa takutku terhadap fitnah dajal ?” Para sahabat menjawab, “Sudah tentu kami mahu wahai utusan Allah.” Rasulullah bersabd, “Perkara itu ialah syirik yang sangat halus iaitu seorang yang sedang solat, dia berasa orang lain sedang memerhatikannya solatnya. Dia lantas mengelokkan solatnya supaua mendapat pujian daripada orang yang melihat dia solat.” ( H.R Ibnu Majah )

Seorang sahabat bertanya, "Rasulullah s.a.w suatu ketika pernah ditanya sahabatnya mengenai posisi solat sunnah. Rasulullah s.a.w menjawab, kerjakanlah beberapa diantara solatamu itu di rumah dan jangan kamu jadikan rumahmu seperti kuburan”. ( H.R Bukhari )

Memakai Pakaian Dengan Logo Iklan Maksiat
Iklan seumpama mengajak atau mendorong seseorang kepada sesuatu perkara, perbuatan, nama atau jenama. Setidak-tidaknya supaya barang itu dikenali, diminati lalu pengguna akan tertarik dan membelinya suatu masa nanti. Bagaimana jika solat dengan memakai pakaian dengan iklan yang tertera sesuatu yang mengagungkan apa yang di larang syariat atau bertentangan Islam seperti tanda salib, arak dan pelbagai maksiat atau pusat hiburan yang lagha.

Dalilnya, maksud firman Allah s.w.t, “Dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya”.( Al-Maidah : 2) Hadis ini menjelaskan lagi larangan member apa jua bantuan sama ada tersirat dan tersurat kepada hal ehwal yang bertentangan dengan aqidah dan hukum Islam.

Hadis juga menyebutkan, “Barangsiapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit”. ( H.R Muslim & Ibn Majah )

Lain-lain
Terpulang kepada diri anda semua menilai beberapa gambar berikut kerana mungkin bukannya terhad di surau masjid sahaja, tetapi tabiat yang biasa telah terbawa-bawa ke dalam masjid pula.

Sama ada di luar atau dalam surau masjid, dianggap sama sahaja.

Penutup
Itu sekadar beberapa perkara sebagai orang awam atau makmum. Tidak termasuklah yang datang surau masjid seperti mahu mencuri duit dari Tabung Masjid, sengaja mengotorkan masjid, membuat bising dan menghalang orang hendak ke surau masjid.

Kalau bagi Imam, Bilal, Pengerusi, AJK Masjid atau penceramah jemputan mungkin lain pula kisahnya. Apa yang dipaparkan sekadar untuk ingat mengingati dalam melaksanakan solat serta mencapai amal ibadah yang sempurna.

Cadangan bacaan :
Share:

Bagaimana Menyambut Hari Malaysia ?

Sebelum tahun 2010, kita hanya menyambut Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan pada tanggal 31 Ogos yang mengambil sempena kepada tarikh kemerdekaan daripada penjajah Inggeris pada 31 Ogos 1957. Mengapa pula kemudiannya timbul 16 September yang disambut sebagai Hari Malaysia dan menjadi hari cuti umum mulai pada 16 September 2010.

Berbalik sejarah, tarikh tersebut merupakan tarikh termeterainya persetujuan lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu yang sebelumnya mendapat tentangan hebat daripada Filipina dan Indonesia. Tetapi mengapa sekarang baru hendak di sambut ?

Keputusan Pilihanraya Umum (PRU) Ke-12 pada Mac 2008 menunjukkan bahawa tanpa kemenangan parti komponen pemerintah di Sabah dan Sarawak, Malaysia tentunya diperintah oleh parti pembangkang. Begitu juga keputusan dalam PRU13 menunjukkan pola pengundian yang sama. Oleh yang demikian, Sabah dan Sarawak begitu relevant untuk dijaga hatinya, dibelai dan diberikan perhatian khususnya oleh parti pemerintah sekarang. Benarkah begitu ?

Sempena sambutan hari kemerdekaan, selalunya kita sambut dengan acara-acara mengenang jasa tokoh yang telah berkorban demi mencapai kemerdekaan untuk tanah air, agar kita dapat mengukuhkan jati diri rakyat Malaysia, selain kita dapat mengekalkan perpaduan antara kaum di negara kita yang secara tidak langsung meningkatkan imej negara kita sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan sejahtera.

Jadi bagaimana nak disambut Hari Malaysia yang dijadikan hari akhir atau penutup sambutan Hari Kemerdekaan ? Cukupkah sekadar kempen mengibar jalur gemilang untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara serta memupuk perpaduan di kalangan pelbagai lapisan rakyat ? Dulu-dulu memang meriah dengan kibaran jalur gemilang, namun kini tak meriah seperti duu lagi. Agaknya sebab orang sekarang mengibar jalur gemilang dalam hati sahaja … huhu

Jadi menyambut Hari Kemerdekaan sama sahaja dengan menyambut Hari Malaysia ? Kalau sama sahaja, kenapa sampai perlu cuti dua hari yang berlainan ? Bila cuti, itu yang keesokan hari terpampang berita di dada akhbar tangkapan khalwat di sana sini sama ada anak muda atau orang tua-tua.

Pendek cerita, kalau dulu mungkin kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia disebabkan faktor ekonomi dan keselamatan daripada ancaman komunis, tetapi kini Sabah dan Sarawak banyak menyumbang kepada ‘Malaysia’ daripada segi pelancongan disebabkan kepelbagaian kumpulan etnik dan anutan kepercayaan serta keajaiban alam semula jadi yang dapat dipersembahkan kepada dunia.

Hari Malaysia juga mengingatkan kita bahawa kita pernah bermusuh dengan Filipina, malah berhadapan dengan konfrantasi ketenteraan dalam gerakan “Ganyang Malaysia” oleh negara Indonesia. Brunei hampir menyertai Malaysia, tetapi mendapat bantahan oleh rakyatnya yang turun memberontak.
Share:

Jom Umrah dan Haji Setiap Hari ?

Untuk mengerjakan haji di Mekah, bukan setakat perlu mempunyai simpanan wang yang mencukupi tetapi atas faktor kuota yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, maka terpaksa mengikut giliran pendaftaran. Lewat daftar lewatlah gilirannya. Malah mungkin tidak kesampaian hajat lantaran giliran yang panjang.

Namun sementara menunggu giliran sampai, atau yang berhajat nak pergi lagi tetapi tidak dapat melaksanakan, sebagai gantinya mari kita beramal dengan amalan harian yang pahalanya seumpama mengerjakan haji atau umrah. Namun bukan bermaksud dengan melaksanakannya, sudah tidak perlu mengerjakan Haji dan Umrah. Tetapi kini kita boleh mendapat pahala mengerjakan haji dan umrah bila-bila masa sahaja.

Berdasarkan study yang dilakukan, terdapat beberapa amalan berikut yang pahalanya seumpama mengerjakan haji atau umrah. Harapnya bukan bidaah, bukan daripada maksud hadith yang dipertikaikan atau hadis dhaif, walaupun ada dikatakan hadis dhaif dibolehkan jika sekadar untuk amalan.

Pertama : Solat Berjemaah & Solat Dhuha Di Masjid
Daripada Abu Umamah (r.a) bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya; “Barangsiapa berjalan (ke masjid) untuk mengerjakan solat fardhu berjemaah, maka solatnya sama dengan melaksanakan ibadah haji. Barangsiapa pergi mengerjakan solat sunat (dhuha) di masjid, maka solatnya itu sama dengan mengerjakan ibadah “umrah" ( H.R Imam Ahmad )

Dari Abu Umamah r.a, ia mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,"Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan suci ( telah berwudhu ), menuju masjid untuk melaksanakan solat fardhu jemaah, maka pahalanya seperti pahala seperti orang yang sedang melaksanakan haji dalam keadaan ihram." ( H.R. Imam Ahmad dan Abu Daud )

Kedua : Terus Tetap Berada Di Masjid Setelah Solat Suboh Sehingga Terbit Matahari
Dari Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang solat subuh berjemaah, kemudian tetap duduk di masjid ( berdzikir mengingat Allah s.w.t ) sehingga terbit matahari, kemudian solat dua rakaat ( solat sunat Isyra’), maka dia mendapat pahala haji dan umrah, sempurna, sempurna dan sempurna." ( H.R. At-Tirmidzi dan dinilai hasan oleh Al Albani )

Berzikir mengingati Allah s.w.t boleh bermaksud membaca al-quran atau mengikuti kuliah suboh di masjid selain zikir biasa. Besar pahala rupaanya … Cuma dalam hadis ini terdapat penafsiran solat dua rekaat itu sama ada solat terbit matahari ( solat sunat Isyra’ ) atau solat dhuha.

Ketiga : Menghadiri Halaqah Atau Majlis Ilmu Di Masjid
“Barangsiapa yang berangkat ke masjid dia tidak menginginkan kecuali untuk belajar sesuatu kebaikan atau mengajarinya maka baginya adalah seperti pahala orang yang beribadah haji dengan sempurna.” (H.R. At-Thabrani ).

Keempat: Membaca Tasbih (Subhanallah), Tahmid (Alhamdulillah) dan Takbir (Allahu Akbar) selepas solat
Disebutkan bahawa sekelompok orang-orang fakir miskin datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata, “Ya Rasulullah, orang-orang kaya telah memborong semua kedudukan yang tinggi serta kebahagiaan yang abadi dengan harta memreka. Mereka shalat dan berpuasa sebagaimana yang kami lakukan. Akan tetapi mereka mempunyai harta untuk menunaikan haji, umrah dan bersedekah.”

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Sukakah kalian saya ajarkan sesuatu yang dapat mengejar orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang kemudian, dan tidak ada yang lebih utama dari kalian, kecuali mereka melakukan seperti yang kalian lakukan?” Mereka menjawab, “Baiklah ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w lalu bersabda, “Setiap selesai sholat bacalah olehmu Tasbih ( Subhanallah ), Tahmid ( Alhamdulillah ) dan Takbir ( Allahu Akbar ) masing-masing sebanyak 33 kali.” ( H.R Bukhari )

Kelima : Berbakti Kepada Kedua Orang Tua
Ada seorang lelaki menghadap Rasulullah s.a.w. dan berkata kepada beliau, “Sesungguhnya saya ingin ikut berjihad, namun saya tidak mampu.” Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, “Apakah di antara kedua orang tuamu ada yang masih hidup?” Lelaki itu menjawab, “Ibu saya masih hidup.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda, “Berjuanglah karena Allah dengan cara bersikap baik kepada ibumu. Bila kamu melaksanakannya, maka kamu ( bagaikan ) orang yang haji, umrah, dan juga berjihad.” ( H.R. Abu Ya’la dan At-Thabrani)

Keenam : Menolong Orang Lain Dalam Kesusahan
Daripada maksud suatu hadis Rasulullah s.a.w., ”Siapa yang berjalan menolong orang yang susah maka Allah akan menurunkan baginya tujuh puluh lima ribu malaikat yang selalu mendoakannya dan dia akan tetap berada dalam rahmat Allah selama dia menolong orang tersebut dan jika telah selesai melakukan pertolongan tersebut, maka Allah akan tuliskan baginya pahala haji dan umrah dan sesiapa yang mengunjungi orang yang sakit maka Allah akan melindunginya dengan tujuh puluh lima ribu malaikat dan tidaklah dia mengangkat kakinya melainkan akan dituliskan Allah baginya satu kebaikan, dan tidaklah dia meletakkan tapak kakinya untuk berjalan melainkan Allah angkatkan daripadanya, Allah akan ampunkan baginya satu kesalahan dan tinggikan kedudukannya satu derajat sampai dia duduk disamping orang sakit, dan dia akan tetap mendapat rahmat sampai dia kembali ke rumahnya.” ( H.R. At-Thabrani )

Ketujuh : Isteri Bersabar Melayan Kerenah Pasangan
Wasiat baginda Rasulullah s.a.w kepada puterinya Saidatina Fatimah az-Zahra’ berkaitan peranan dan ganjaran bagi seorang isteri yang solehah. Wasiat Baginda bukan khusus kepada puterinya saja bahkan ditujukan kepada semua wanita yang bergelar isteri.

Kata Baginda, “Ya Fatimah, tidaklah wanita yang melayani suami selama sehari semalam dengan rasa senang serta ikhlas, melainkan Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosanya serta memakaikan pakaian padanya di hari kiamat berupa pakaian yang serba hijau dan menetapkan baginya setiap rambut pada tubuhnya seribu kebaikan. Allah memberikan kepadanya pahala 100 kali beribadah haji dan umrah.”

Itulah ganjaran pahala seorang isteri dalam melayani kerenah suaminya, selagi tidak melakukan kemungkaran. Namun tidak dapat dipastikankesahihannya walaupun ianya dipetik dari artikel yang disiarkan di akhbar Berita Harian pada 11 Oktober 2012.

Penutup
Ada beberapa lagi amalan seumpama umrah dan haji seperti solat di Masjid Quba dan umrah dalam bulan Ramadan. Namun kena juga pergi ke Mekah Madinah sana. Ada juga disebutkan pahala solat sunat Aidil Fitri seperti pahala umrah manakala solat sunat Aidil Adha seperti pahala haji. Namun diragui kesahihannya. Namun, usah gundah gulana. Peluang terbuka selagi hayat dikandung badan. Mari kita beristiqamah untuk mendapat pahala menunaikan haji setiap hari.
Share:

Mengekalkan Momentum Ramadan

1 Shawal telah berlalu, juga berlalunya Ramadan 1435H yang tidak akan kembali lagi. Tunggu Ramadan tahun depan pulak, itupun jika masih dipanjangkan usia dan diberikan kesempatan Allah s.w.t. Ramadan adalah bulan penghayatan untuk melatih mengendalikan diri menjadi insan bertakwa. Lantaran itu Ramadan dikatakan juga bulan latihan atau madrasah Ramadan dengan tawaran ganjaran lumayan bagi setiap amalan yang dikerjakan sepanjang bulan tersebut.

Kini sejauh mana pula dengan segala amal ibadah serta pantang larang yang dihadapi dapat memberikan kekuatan dalam pertempuran untuk kekal berada dalam ‘fitrah’ dan keredhaan Ilahi dalam melawan nafsu bagi 11 bulan mendatang, sebelum munculnya semula Ramadan tahun hadapan. Apa yang kita perolehi dengan manahan diri daripada berlapar dan dahaga sepanjang Ramadan ?

Malam 1 Shawal
Cabaran bermula pada malam 1 Shawal. Apa perasaan diri pada malam tersebut ? Bergembira kerana selesai azab berpuasa menahan lapar dan dahaga ? Betul ke benar-benar bersedih kerana berlalunya Ramadan yang penoh berkat. Atau bersedih kerana tidak dapat bersama ibubapa serta keluarga tersayang.

Apa pula amalan yang dilakukan ? Memanglah sudah tiada lagi solat terawih. Bagaimana engan amalan-amalan sunat yang lain lantaran saban malam Ramadhan mengaji dan solat witir tidak pernah ketinggalan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda, "Barang siapa menghidupkan malam Eid dengan beribadah kepada Allah s.w.t, niscaya hatinya tidak akan mati di hari dimana hati-hati manusia telah mati." ( H.R. Thabrani )

Menghidupkan malam Idul Fitri dengan memperbanyak beribadah kepada Allah, berzikir bertakbir, sholat sunat atau membaca al-Qur'an. Sekurang-kurangnya solat Isyak dan Subuh berjemaah. Malam 1 Shawal lalu aku melalui Masjid Kayu Jertih, kedengaran mereka sedang solat sunat tasbih berjemaah.

Puasa 6 Shawal
Mesti dilakukan dalam Shawal, berturut-turut atau tidak asal cukup 6 hari. Nak mula 2 Shawal rasanya macam ‘nak mati aqal’ ? Berbanding puasa Ramadan, puasa 6 dianggap mencabar. Kita berpuasa di kala kebanyakan orang lain tidak beruasa, khususnya apabila jemputan jamuan raya yang tidak putus-putus dan meeting demi meeting. Takkan asyik nak beralasan saya berpuasa, takut riak pulak, nak tunjuk alim sangat ke ?

Kerana itulah ganjarannya lumayan, seumpama berpuasa sepanjang tahun. Berpadananlah dengan cabaran yang mendatang. Puasa ini juga mengajar kita bahawa Shawal bukanlah bulan untuk melantak melepaskan geram dengan pelbagai juadah makanan setelah sebulan tidak berbuat demikian.

Solat Berjemaah
Bukan sekadar tak tinggal solat fardhu 5 kali sehari semalam, tetapi dalam keadaan solat berjemaah. Kita begitu rajin solat berjemaah dalam bulan Ramadan sama ada bagi mendapatkan ganjaran lumayan atau nak buang masa daripada duduk saja atau untuk tunjuk kat orang. Tidak mengapalah, lama kelamaan jadi biasa dan tidak timbul soal ikhlas atau tidak. Jemaah tidak kira sama ada di rumah, pejabat, RnR atau surau masjid. Tetapi yang afdal bagi lelaki ialah di surau masjid, di mana azan kedengaran dilaungkan. Pengekalan kita melakukan solat berjemaah ini dapat menerus kesinambungan perlakuan kita semasa Ramadan.

Solat berjemaah sangat penting khususnya bagi solat Isyak dan Subuh lantaran maksud hadis dari Saidina Uthman bin ‘Affan r.a yang meriwayatkan bahawa beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang solat Isyak secara berjamaah seumpama bangun mengerjakan qiam separuh malam dan barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjamaah seumpama dia solat keseluruhan malam.” ( H.R. Muslim ). Kena usahakan sedaya upaya.

Solat Sunat Rawatib
Ganjaran besar yang diberikan apabila mengerjakan solat sunat yangmengiringi solat fardhu seumpama melaksanakan solat fardhu sepanjang Ramadhan wajar diteruskan dalam bulan-bulan lain. Namun kena dengan ilmu, solat sunat mana yang dibolehkan sebelum atau selepas solat fardhu. Jangan pakai redah sahaja.

Dalam pada itu ada solat yang tinggi darjatnya sebagaimana maksud beberapa hadis-hadis berikut antaranya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah s.w.t akan mengharamkan dirinya dari api neraka” ( H.R. Abu Daud & Tarmizi). Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; “Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat.” ( H.R Ahmad dan Tarmizi)

Pada Solat Sunat Rawatib sebelum Asar adalah dua hingga empat rakaat manakala selepas Asar tidak ada rawatib Ba’diyyah. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah s.w.t akan mengharamkan jasadnya dari api neraka.” ( H.R. Tabrani )

Solat sunat 2 rakaat sebelum Solat Fajr (atau Subuh) itu amat disukai oleh Rasulullah s.a.w dan beliau mengajak umatnya menjadikankan suatu ketetapan atau meruntinkan dalam mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Dari Aisyah, Rasulullah s.a.w bersabda, “Dua rakaat solat ( sunat ) sebelum Solat Fajr itu lebih baik dari ( nilainya dari nilai ) dunia dan seisinya.” ( H.R Muslim )

Puasa Dan Solat Sunat Lain
Saban malam Ramadan kita solat witir setelah solat Terawikh. Walaupun dah takde solat terawikh, wajarlah diteruskan solat witir tu atas beberapa maksud hadis seperti “Witir itu hak ( benar ). Barangsiapa yang tidak berwitir ia bukan dari golongan kita! Witir itu hak maka barang siapa yang tidak mengerjakannya ia bukan dari golongan kita! Witir itu hak, barangsiapa yaang tidak mengerjakannya maka ia bukan dari golongan kita!” ( H.R Ahmad dan Abu Daud )

Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Sesungguhnya Allah telah memberikan (hadiahkan) kepada kamu satu solat, yang mana ianya adalah lebih baik daripada unta-unta yang terbaik. Iaitulah Solat Witir.” ( H.R Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah )

Ditambah lagi dengan amalan sebagaimana sabda Rasululah s.a.w, “Sesiapa yang mengerjakan sembahyang dhuha, berpuasa tiga hari daripada sebulan dan tidak pernah meninggalkan sembahyang witir sama ada dalam pelayaran dan bermuqim, dicatat baginya pahala orang syahid.” ( H.R at-Thabran )

Sabda Rasulullah s.a.w lagi, “Jika kamu mampu solat tasbih setiap hari, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, maka lakukanlah setiap hari Jumaat atau sebulan sekali atau setahun sekali atau seumur hidup sekali.“ ( H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah )

Membaca Al-Quran
Budaya membaca al-Quran bergitu subur sepanjang Ramadhan. Tidak kira sama ada membaca berseorangan atau secara tadarus ikut program surau masjid. Semunya memasang nekad untuk khatam sekurang-kurangnya sekali dengan hanya membaca 20 muka surat sehari atau 4 muka surat sebelum atau selepas solat fardhu.

Bagaimana selepas 1 Shawal ? Jangan terus ditinggalkan. Kenaah pula upgrade sikit dengan meneliti tafsir ayat-ayat yang dibaca atau menghafalnya, khususnya pada surat atau ayat-ayat tertentu. Al-Quran adalah mukjizat Allah s.w.t. Walaupun mungkin kita tidak memahami isi kandungannya, namun kita tetap tidak akan jemu-jemu membacanya. Dengan membacanya, tanpa kita sedari akan berlaku perubahan luar dan dalam diri. Itulah nikmat dan kerja Allah dalam kehidupan kita.

Menghadiri Majlis Ilmu
Ini yang sangat penting. Untuk recaj atau memulihkan semula semangat dengan peringatan dan ilmu yang disampaikan menerusi ceramah atau kuliah agama dari semasa ke semasa. Kebanyakkan majlis tersebut percuma sahaja di masjid-masjid atau surau. Hanya berbekalkan kemahuan serta minyak kenderaan.

Kalau kita mampu melancong ke sana kemari walaupun dengan tambang yang sebenarnya tidaklah berapa murah, tetapi kenapa berat sangat untuk kesana kemari mendapatkan syurga duniawi yang disajikan oleh Allah s.w.t dalam majlis ilmu yang didoakan kebaikan oleh para malaikat? Apabila sering menghadiri majlis ilmu, terhindarlah kita daripada menghadiri majlis-majlis maksiat dan yang tidak berfaedah.

Carilah mana-mana majlis ilmu yang diadakan secara regular. Kalau berpandukan buku atau kitab lagi baik. Apabila sering menghadiri majlis ilmu, timbul keinginan untuk mendapatkan maklumat lanjut. Ini boleh diperolehi menerusi pembacaan buku-buku agama, laman web yang ‘reliable’, mendengar dari CD, MP3, radio TV atau boleh juga dari youtube.

Kenalilah sejarah hidup Rasulullah s.a.w serta para anbiya dan para solihin melalui pembacaan buku khususnya sejarah para sahabat kerana semua ini akan membangkitkan jiwa yang penuh azam dan tinggi cita-cita.

Bersedeqah Jariah
Umpama Rasulullah s.a.w dalam bulan Ramadan, baginda paling banyak bersedeqah membantu orang lan. Ianya wajar kita teruskan dalam bulan-bulan lain mengikut kemampuan kita. Biarpun sekadar RM1 atau RM2. Tapi lagi banyak lagi bagus. Apalah sangat boleh dibeli dengan RM1 atau RM2. Orang yang kita hulurkah derma dan sedeqah masih memerlukan sumbangan kita dalam bulan-bulan lain. Dengan sumbangan yang dihulurkan kita boleh mengharapkan penerima mendoakan yang terbaik untuk kita, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan dan dipermudahkan urusan.

Allah juga meletakkan ‘infaq’ atau ‘sedekah’ adalah ciri-ciri seorang muslim. Umat Islam dianjurkan bersedekah dan Allah membenci sifat kedekut. Harta kita setelah kita mati nanti ialah harta yang dapat memberikan manfaat kepada kita setelah kita mati. Oleh yang demikian, selama masih hidup perbanyakkanlah bersedeqah dan menyumbang amal jariah. Usah dihirau sama ada penerima tu ada sendikit, penyelewengan atau salah guna. Insya’allah ada pahalanya.

Rasulullah s.a.w, “Tidaklah ada satu hari pun yang dilalui oleh setiap hamba pada pagi harinya, kecuali ada dua malaikat yang turun, berkata salah satu dari keduanya: Ya Allah berilah orang yang suka menginfaqkan hartanya berupa ganti ( dari harta yang diinfaqkan tersebut), dan berkata ( malaikat ) yang lain: Ya Allah, berilah orang yang kedekut kebinasaan ( hartanya ).” ( H.R. Bukhari dan Muslim)

Berterusan Bermujahadah Melawan Nafsu
Mujahadah melawan hawa nafsu daripada melakukan perkara maksiat sepanjang Ramadan sebaiknya diusahakan seperti biasa selepas Ramadan. Bercakap yang tidak baik seperti mengumpat mencaci, mencarut, menfitnah dan yang sewaktu dengannya selain melakukan, menyeru dan mengajak kepada perkara maksiat perlu diusahakan sebaiknya untuk dihindari dan dijauhi sebagaimana kita mampu melakukannya sepanjang Ramadan.

Elok juga sering beristighfar, perbanyakkan berzikir dan sering melaksanakan solat taubat. Di samping itu kita pohon pertolongan Allah supaya kita sentiasa dalam hidayah dan keteguhan iman.

Jauhi Perkara Yang Merosakkan Hati
Hendaklah sentiasa menjauhkan diri daripada perkara boleh merosakkan hati seperti bersahabat dengan orang yang burok akhlaknya, suka berbuat dosa walaupun dosa kecil, suka melemparkan kata-kata kesat dan lucah.

Juga boleh merosakkan hati dengan banyak tidur, makan sehingga terlalu kenyang ( apatah lagi yang tidak halal atau syubhah ) serta banyak angan-angan.

Penutup
Pengekalan momentum amalan yang dilakukan sepanjang tempoh sebulan latihan dalam Madrasah Ramadan perlu diusahakan dan cuba dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi kebahagian dunia dan akhirat. Jangan hanya menjadi hangat-hangat tahi ayam yang apabila tiba Ramadan seperti wali yang beribadat dan beramalan, hampir dan mendekatkan diri kepada Alla. Tetapi apabila Ramadan berlalu ibarat pula syaitan yang bermaharajalela bebas melakukan apa sahaja.

Kita sebenarnya memerlukan sikap dan komitmen yang tinggi untuk terus istaqamah mengekalkan tahap amal dan ketakwaan yang diserlahkan dalam akhlak, sahsiah, ketrampilan diri dan tingkah laku. Apa yang dicatatkan hanyalah sebagai suatu muhasabah bagi memberikan motivasi serta iltizam dalam memastikan agar diri terus berkeupayaan untuk istiqamah dalam mengerjakan amal soleh mengabdikan diri kepada Allah. Moga bermanfaat juga kepada sesiapa yang membacanya.
Share:

Selamat Tinggal Ramadan 1435H

Ramadan 1435H telah berlalu meninggalkan pelbagai kenangan dan peristiwa yang mungkin sukar difahami, di luar kawalan dan di luar jangkaan kita. Ia mungkin juga mahu menguji sejauh mana keikhlasan, kekuatan, kesepaduan kita khususnya umat Islam sama ada di Malaysia atau serata dunia.

Ramadan 1435H tiba disebalik kerancakan pesta Kejohanan Bolasepak Piala Dunia yang berlangsung di Brazil, atau dipanggil Brasilia 2014. Ia mungkin dianggap sbagai the greatest show on earth. Entahlah … Namun ramai umat Islam khususnya di Malaysia serta negara serantaunya, berpeluang menyaksikannya secara live disamping makan sahur.

Satu lagi yang musykil ialah bagaimana kejohanan yang turut disertai oleh pemain Muslim termasuk dari negara Islam ‘tersengaja’ diadakan dalam bulan Ramadan. Tidak dinafikan zaman nabi pun pernah berperang dalam bulan Ramadan. So bolehlah tidak berpuasa demi memastikan kecergasan semasa perlawanan, demi jihad untuk mendapatkan kemenangan negara ?

MH370 vs MH17
Belum pun selesai operasi pencarian MH370, Malaysia malah dunia dikejutkan dengan terhempasnya kapaterbang MH17 di satu wilayah Ukraine yang dikatakan ditembak jatuh pada 17 Julai 2014. Ia dikatakan menjadi mangsa akibat pertikaian sekian lama antara kerajaan Ukraine dengan pihak pemisah atau anti Ukraine yang disokong oleh Russia.

Tak sangka peluru penembak boleh sampai sejauh laluan kapalterbang komersil. Sungguh tragis dan tidak berperikemanusiaan. Tak kan tidak dapat beza antara kapalterbang komersil dengan tentera ? Silap percaturan, silap perkiraan ?

Mayat dan sisa bertaburan, kawasan tidak dikawal, orang bebas keluar masuk. Tidak dapat bayangkan bagaimana agaknya keadaan detik-detik akhir yang dialami oleh penumpang sebelum terhempas.

Salah seorang mangsa ialah seniorku 3 tahun semasa di SMS Johor, Kluang iaitu Tn Hj Mohd Ghaffur yang merupakan Ketua Pramugara. Namun ada perkara menarik mengenai beliau yang dipaparkan di merata media social. Antaranya ialah ketegasan untuk tidak menghidangkan arak dalam kapalterbang, menulis surat kepada Jakim untuk melarang pengidangan arak dalam kapalterbang MAS serta pakaian menutup aurat pramugari.

Keganasan Zionis Israel
Pada saat umat Islam sibuk dengan puasa dan ibadah Ramadan. Pada ketika Brasilia 2014 sedang rancak, tetiba Israel membuat serangan demi serangan ke atas Palestine khususnya di kawasan Gazza.

Namun kali ini, serangan Israel mendapat tentangan luarbiasa dari pihak Hamas. Pihak Israel dikatakan terkejut dengan kemampuan serangan balas Palestine. Namun seperti biasa pihak Israel mendapat sokongan banyak negara, walaupun mereka yang kelihatan memulakan keganasan. Dalam hal ini yang jelas kelihatan ialah dunia Arab yang semakin lemah dan berpecah belah. Malah dunia Islam lain pun seperti tidak tahu nak berbuat apa-apa seolah-olah membenarkan kata-kata bahawa Israel tidak akan dapat menawan Gazza, sebalik telah berjaya menawan semua negara di dunia ini kecuali Gazza.

Di Malaysia selain demontrasi menyuarakan bantahan serta membuat kutipan bagi membantu Palestine kita kelihatannya mengorak langkah kepada pemboikotan barangan Israel serta yang mempunyai kepentingan membantu Israel. Banyak rupanya, malah banyak juga dagangan Malaysia dengn Israel.

Apakah akhirnya ? Daripada segi logik aqal, aku kira tidak berapa lama lagi seluruh Palestine akan jatuh ketangan Israel. Terlalu banyak ketidakadilan dunia pada masa ini.

Kekalutan Kerusi Menteri Besar Selangor
Serabut betul. Aku rasa sudah elok-elok Selangor dengan pentadbiran dan kemajuan yang yang diterajui oleh PR dengan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MBnya. Tetiba, berpanjangan pulak krisisi dalaman Parti Keadilan Rakyat yang mengheret sama masalah dengan sekutu PKR dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PAS.

Sayang Selangor, terlalu banyak politiking oleh PKR. Aku secara peribadi pun tidak setuju dengan Datin Sri Wan Azizah sebagai MB Selangor sebab dia perempuan dan bukan anak jati Selangor pulak tu. Langkah Kajang ? Pilihanraya Kecil DUN Kajang pun aku berpandangan tidak wajar.

Seandainya bubar DUN Selangor, aku kira PR termasuk PKR akan kehilangan banyak kerusi dan BN akan memerintah semula. DAP dan PAS tentunya bimbang keadaan ini.

Sukan Komanwell
Ramadan 1435H ditutup dengan kerancakan Sukan Komanwell Kali Ke-20 yang diadakan di Glasgow, Scotland di sebalik serangan yang berterusan oleh Israel ke atas Gazza dan kekalutan kerusi MB Selangor.

Mungkin tidak banyak yang boleh diharapkan kejayaan Malaysia dalam Sukan Komanwell memandangkan ianya bukanlah arena yang popular. Kejayaan penganjuran tidak lebih sebagai menunjukkan betapa England merupakan suatu kuasa besar yang pernah menakluki atau memerintah pelbagai negara di dunia ini. Sedangkan Englandlah yang membuat keputusan yang menempatkan bangsa Yahudi di bumi Palestine … jahat England ni sebenarnya
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.