Tengahari Khamis 13hb Ogos 2009, dalam kesibukan tugas pejabat, aku dikejutkan dengan berita meninggalnya Ustaz Asri Ibrahim, vokalis utama Kumpulan Nasyid Popular Robbani. Macam tidak percaya pada mulanya, tetapi setelah menggelintar dalam internet, begitu terasa dalam diriku ini akan pemergian beliau yang Tidak Akan Kembali. Lagu Pergi Tak Kembali kini menjadi begitu menusuk kalbu bila didengarinya kembali sambil mengingati beliau yang memang telah pergi.
Ketika mula tumbuh pelbagai kumpulan nasyid, Robbani merupakan antara kumpulan yang awal bersama Kumpulan Raihan dan Hijjaz. Ketiga-tiga kumpulan ini begitu mementing dan amat bergantung harap kepada vokalis utamanya. Ini berbeza dengan kumpulan nasyid yang menyusul kemudianya yang aku rasa dimulai dengan In-Team, UNIC dan Mestica, di mana kebanyakkan ahli kumpulan boleh menyanyi dan tidak terlalu bergantung harap kepada vokalis utama. Sebagaimana Raihan yang nampak sepi selepas vokalis utamanya Nazri meninggalkan Raihan, apakah perkara serupa akan terjadi dengan Robbani ?
Aku sebenarnya menjadi sebak apabila mendengar perbualan telefon salah sorang anggota Rabbani, Sdra Azadan dengan Dejay di radio IKIM pada pagi 14 Ogos lalu, dalam menceritakan detik akhir bersama serta kebaikan akhlak Ustaz Asri sepanjang penglibatan dalam Rabbani. Memang tidak dapat dinafikan, Ustaz Asri bukan sahaja boleh dianggap ikon dalam dunia industri nasyid kotemporari, tetapi membakar semangat kumpulan nasyid lain untuk memperjuangkan irama nasyid negara. Pemergiannya merupakan suatu yang sukar dicari ganti. Hanya gemersik suaranya menjadi kenangan, sama ada dalam lagu nasyidnya, alunan zikir dan doa munajat serta takbir raya.
Aku tersentuh dengan kata-kata pembuka dalam blognya ( walaun nampak dah lama tak dikemaskini ) sebagaimana berikut ...
Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat; aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku ...
Berikut adalah beberapa tulisan serta berita berkaitan yang aku terima serta sempat kukorek untuk kenangan serta tatapan bersama.
1. Belasungkawa Ustaz Asri: 'Bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku'
Oleh ZIEMAN
Keluhuran budi Allahyarham Ustaz Asri akan senantiasa dikenang -foto blog Ustaz Asri
BELASUNGKAWA USTAZ ASRI RABBANI (3 Ogos 1969- 13 Ogos 2009)
BERITA kematian di bulan Syaaban sekali lagi menyentap di hati. Pemergian mengejut Ustaz Asri Ibrahim, teraju utama kumpulan Rabbani jam 10.30 pagi 22 Syaaban adalah perkhabaran yang cukup sedih kerana Allahyarham adalah seorang insan yang sangat istimewa, luhur budi perkerti, penuh hemah bila menyusun kata dan amat disayangi di kalangan rakan artis.
Terngiang-ngiang bait lagu 'Pergi Tak Kembali', 'Intifada', 'Qiblat', 'Suara Takbir' dan alunan zikrullah yang dititipkan oleh Allahyarham.
Kumpulan nasyid Rabbani.Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman begitu unik kerana ada konsep tersendiri
Sebaik membuka blog peribadi Dr Asri, (asrirabbani.blogspot.com) setiap patah perkataan bagai menggambarkan peribadi arwah selama 40 tahun di bumi ini. Jelas sekali kehadirannya sebagai penyanyi, sahabat, suami, ayah, adik, abang dan anak cukup disenangi. Hilangnya akan selalu dirindui....
"Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat; aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku."
Begitulah pembuka kata blog Allahyarham Ustaz Asri.
Ramadhan yang akan menjelma selang beberapa hari lagi akan membuat kita lebih mengingati Ustaz Asri kerana kegemersikan, kesyahduan ayat-ayat Quran alunannya sudah begitu sebati dengan kita.
Justeru bila saja perkhabaran tentang pemergian Ustaz Asri diterima, ramai wartawan yang tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata rasa kehilangan.
Memetik kata arwah Ustaz Asri tika ditanya bagaimana dia menjaga ukhuwah antara anggota kumpulan Rabbani. Kata arwah, "semuanya dianggap bagai teman sejati dan saling membantu dan mengingatkan masa susah dan senang."
TINGGAL KENANGAN...Saat-saat bahagia bersama anak-anak
Dan itulah yang diterapkan di dalam menjalin semangat persahabatan antara sembilan anggota Rabbani.
Kini hanya wajah-wajah sugul keluarga tersayang, teman dan taulan mengiringi pemergian arwah dengan doa agar ditempatkan bersama roh-roh yang baik.
Pernah beberapa kali ketika buntu mengalami kesulitan hidup, arwah sering berpesan, "walau selama manapun kita hidup, penghujungnya pasti mati. Jadi jangan lupa bawa bekalan untuk pulang. "
Begitulah sikap arwah yang paling diingati. Apa saja yang dilakukan, dia akan tetap selitkan nasihat berguna. Walaupun sedang berjenaka, arwah akan tetap berpesan agar buat kebaikan.
Anak bongsu Allahyarham Ustaz Asri...Hamdi Rabbani yang berusia 4 tahun
Ustaz Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor. Beliau mempunyai 13 orang adik beradik. Beliau meninggalkan seorang balu, Haliza, 38 dan enam orang anak iaitu Mohd Nasimudin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilhan, 10, Sufiyah Munawarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 4.
Arwah jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi tadi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar.
Jenazah telah dibawa ke rumahnya di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong, di sini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, di sini selepas Maghrib bagi memberi peluang kepada keluarga mertuanya yang datang dari Johor memberikan penghormatan terakhir buat arwah.
KUMPULAN RABBANI
Permata hati arwah Ustaz Asri...Hamdi Rabbani
Kumpulan Rabbani telah ditubuhkan pada 1 Mac 1997. Rabbani bermaksud "Yang Arif dan Yang Soleh" atau tafsiran umum "ingin mengajak diri, keluarga dan komuniti kepada kebaikan". Ianya dianggotai oleh 9 orang yang membawa kelainan dari sudut penampilan, imej dan persembahan. Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi dan memberikan kejayaan kepada Rabbani.
Anak arwah, Sufiyah Munawarah berusia 6 tahun paling manja dengan Ustaz Asri
Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman mempunyai tarikan mereka sendiri kerana konsep yang berbeza.
Bermula dengan berkonsepkan nasyid klasik melalaui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Mediteranean, kemudian diadun dan diolah mengikut citarasa yang sesuai dengan era semasa juga dipersembahkan bersesuaian dengan citarasa remaja.
Disamping itu, ianya ditampilkan dengan alunan muzik ala Melayu Timur dan digabungkan dengan adunan muzik Timur Tengah. Antara banyak kumpulan nasyid, konsep muzik Rabbani lebih global dan menampilkan world muzik.
Kegigihan dan kesungguhan kumpulan ini untuk senantiasa memberikan sesuatu yang baru dan terbaik, dibawah bimbingan Ustaz Asri maka terhasillah 'Rabbani Productions (M) Sdn Bhd' yang akhirnya turut mencipta nama dalam bidang perniagaan.
PENGHASILAN ALBUM
Rabbani telah melahirkan 16 album kesemuanya seperti berikut:
1) Rabbani. 19962) ARAH Dari Mana… Ke Mana… 19973) Muhammad Ya Habibi. (Kompilasi) 19984) Ramadhan Remix (Rabbani / H.Madani) 19995) Pergi Tak Kembali. 19996) Iqrar 1421. 20007) Intifada 20008) Aman 20019) Qiblat 200210) Kenangan (Kompilasi) 200311) Epik 200312) Yalla Beena 200413) Suara Takbir 200514) Malam Sinar Maulidurrasul 1427 (VCD) 200615) Ramadhan Syawal 200616) Maulana 200717) Rabbani 1418-1428H 200718) Rabbani 1418-1428H (VCD&VCD Karaoke) 2008
ANUGERAH INDUSTRI MUZIK (AIM)
1. Album Nasyid Terbaik 2001 - Iqrar - 14212. Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 - Iqrar-14213. Album Terbaik 2001 - Iqrar-14214. Album Nasyid Terbaik 2002 - Intifada5. Album Nasyid Terbaik 2003 - Qiblat
ANUGERAH BINTANG POPULAR BERITA HARIAN
1. Penyanyi Nasyid Popular 20012. Penyanyi Nasyid Popular 20023. Penyanyi Nasyid Popular 20034. Penyanyi Nasyid Popular 20045. Penyanyi Nasyid Popular 20056. Penyanyi Nasyid Popular 2006
ANUGERAH ERA
1. Lagu Nasyid Pilihan 2001 - Intifada2. Lagu Nasyid Pilihan 2006 - Nawaitu
ANUGERAH CARTA NASYID IKIM.FM
1. Juara ACNI 2004 - Handzalah2. Naib Juara ACNI 2005 - Yalla Beena3. Vokal Terbaik ACNI 2005 - Yalla Beena
ANUGERAH NASYID MINGGU INI
1. Naib Juara 2004 - Yalla Beena2. Persembahan Terbaik 20063. Penyanyi Solo Terbaik 2006
RINTIHAN ZIKRULLAH
Arwah Ustaz Asri seorang yang amat beratkan bacaan zikir Zikir adalah penawar sewaktu kita hadapi kesedihan dan kegelisahan hati. Justru 'Rintihan Zikrullah' merupakan album munajat Ustaz Asri yang menghimpunkan zikir-zikir, petikan ayat suci Al-Quran dan bait-bait rintihan. Sesiapapun akan rasa insaf mendengar alunan zikrullah ini, kolaborasi antara IME dan Rabbani Productions (M) Sdn. Bhd.
Arwah Asri menganggap album ini begitu bermakna kerana ia banyak memaparkan pengalaman hidupnya. Malah, Ustaz Asri menghasilkan 'Zikir Lailahailallah' buat arwah ayahandanya, Ibrahim Busro, 83, yang meninggal dunia 27 Mei 2007.
"Ia jadi kenangan manis buat saya kerana arwah sering mendendangkan zikir itu setiap kali bulan puasa," jelas arwah.
Dalam coretan terakhir di blognya, arwah merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan yang menjayakan konsert terakhirnya di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 Februari lalu.
Pencapaian kumpulan Rabbani amat membanggakan. Walaupun arwah adalah tunjak kejayaan kumpulan Rabbani selama ini, beliau lebih senang berkongsi setiap detik kejayaannya bersama anggota yang lain.
Peribadi arwah yang begitu luhur kini tinggal kenangan. Al-Fatihah buat Allahyarham. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin.
Dari http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/8/13/mstar_hiburan/20090813193415&sec=mstar_hiburan
2. Vokalis utama Rabbani meninggal
KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim (atas), meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai (PMC), Bangsar, di sini akibat sakit jantung, pagi semalam.
Allahyarham rebah kira-kira jam 10.30 pagi ketika raptai pelancaran program Syahadah musim kelima, di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum dihantar ke PMC untuk rawatan. Adik iparnya, Adha Buyong, berkata Mohd Asri, 40, dan berasal dari Klang, Selangor menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.
“Saya menerima panggilan memaklumkan abang ipar saya pengsan. Pagi tadi (semalam) memang abang Asri mengadu tidak sihat dan muntah-muntah, namun dia tetap menyertai raptai itu,” katanya ketika ditemui di PMC.
Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Jannah Shahdan, 38, dan enam anak, Mohd Nasimuddin, 15; Mohd Fathi, 14; Nor Afikah, 12; Mohd Ilham, 10; Sofiyah Munawarah, 6, dan Hamidi Rabbani, 4. Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam selepas Maghrib, semalam.
Allahyarham adalah vokalis utama Rabbani bersama lapan lagi anggota terdiri daripada Azadan Abdul Aziz, Rahmat Shafie, Mohd Asri Ubaidullah, Lokman Abdul Aziz, Rithahudeen Yaakob, Mohd Nazrul Azhar Tamrin, Zulkifli Azman dan Affendi Shahabudin.
Antara lagu popular nyanyian Mohd Asri bersama Rabbani ialah Pergi Tak Kembali, Subhanullah, Intifada, Assalamualaikum, Iqra, Di Ambang Syawal, Ingat Lima Sebelum Lima dan baru-baru ini berduet dengan Amy Search menyanyikan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.
Kumpulan itu dinobatkan sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama lapan tahun berturut-turut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya, berkata ketika kejadian beliau dalam perjalanan dari pejabatnya ke auditorium untuk menghadiri pelancaran program Syahadah yang akan disiarkan di RTM sempena Ramadan ini.
“Apabila sampai di situ, saya lihat orang ramai mengusung beliau untuk dibawa ke hospital. Tidak lama selepas itu, kami dimaklumkan Asri meninggal dunia.
“Majlis diteruskan, tetapi tanpa persembahan perasmian, sebaliknya memainkan lagu tema program Syahadah menerusi cakera padat,” katanya. Penerbitan dan Penyelaras Program Syahadah, Ibrahim Zaidi Ismail, berkata beliau terkejut apabila melihat Asri tiba-tiba jatuh sebelum program bermula.
“Kira-kira jam 10.30 pagi Asri masuk studio. Asri memegang mikrofon, tetapi beberapa saat sebelum program bermula Allahyarham rebah ke lantai,” katanya. Rakan karibnya yang juga anggota kumpulan Raihan, Che Amran Idris menganggap Mohd Asri sebagai idola kerana beliau mula mengenalinya sebelum kemunculan kumpulan nasyid kontemporari lain.
“Malah, banyak kumpulan nasyid sekarang, termasuk Raihan sendiri cuba meniru gaya dan penampilan arwah. Kami menganggap arwah sebagai pahlawan dan ikon nasyid,” katanya.
3. Asri Rabbani meninggal dunia
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA dan METRA SYAHRIL MOHAMED
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, Mohd. Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia kira-kira pukul 11.45 pagi selepas tidak sedarkan diri di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri hari ini.
Allahyarham bersama kumpulannya sepatutnya menyanyikan lagu tema sempena pelancaran program Syahadah musim kelima terbitan RTM. Allahyarham yang mesra dipanggil Ustaz Asri rebah kira-kira pukul 10 pagi ketika membuat latihan nyanyian lagu tema tersebut bersama anggota Rabbani lalu dikejarkan ke Hospital Pantai, Bangsar sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Allahyarham dikebumikan malam tadi selepas Maghrib di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor. Sebelum itu, jenazah Allahyarham dibawa ke rumah ibunya, Rubiah Ehsan, 70-an di Jalan Ikan Kelisa, Kampung Bukit Lanchong untuk disembahyangkan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Haliza Shahadan, 38, serta enam anak iaitu Mohd. Nasimudin, 15; Mohd. Fathi, 14; Nur Afikah, 12; Mohd. Ilham, 10; Sufiyah Munawarh, 6 dan Hamdi Rabbani, 4.
Menurut isterinya yang juga dikenali sebagai Noor Janah, dia dan anak-anak serta keluarga reda dengan pemergian Allahyarham meskipun berat di hati menerima takdir tersebut. Menceritakan detik-detik sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, Noor Janah berkata, malam tadi, Allahyarham mengajaknya makan malam berdua di luar.
'Allahyarham menyuruh saya memesan apa sahaja makanan yang saya mahu. Pulang sahaja ke rumah, kami terus menonton televisyen berdua. 'Pagi ini, dia mengadu pening kepala dan badannya berpeluh-peluh. Tetapi, dia gagahkan juga ke pejabat.
'Sebelum dia ke RTM untuk rakaman program Syahadah, saya sempat melihat wajahnya, salam dan cium tangannya. Cuma saya tidak sempat untuk memeluknya dengan erat seperti kebiasaan,' katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bukit Lanchong, Shah
Alam.
Haliza memberitahu, soal dirinya dan anak-anak selepas ini, dia bersyukur kerana semuanya telah terlatih untuk hidup berdikari. 'Allahyarham banyak menghabiskan masa dengan aktiviti dakwah dan nasyid.'Tahun ini, dua anak kami akan menjalani peperiksaan penting iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Insya-Allah kami akan tabah jalani hidup selepas ini," jelasnya.
Sementara itu, seorang anggota Rabbani, Mohd. Asri Ubaidullah ketika ditemui memberitahu, sebelum memulakan latihan, Allahyarham batuk dan wajahnya pucat.
Bagi meredakan batuk, Allahyarham sempat minum air limau dan madu. Bagaimanapun, Allahyarham muntah-muntah sebelum bertolak ke Angkasapuri.Walaupun kurang sihat, Allahyarham tetap mahu meneruskan latihan,'' katanya ketika ditemui di Hospital Pantai.
Selain anggota Rabbani, pekarangan Hospital Pantai dipenuhi hampir 100 kenalan dan keluarga terdekat Allahyarham termasuk Nash, Yasin Sulaiman, Amy Search, Mas Omar, Nazrey Johani, Ramli MS, Ali Mamak, Hafiz Hamidun, Ina Naim dan suaminya, Suhaimi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya yang ditemui di Hospital Pantai memberitahu, ketika kejadian, dia melihat pelbagai usaha telah dilakukan oleh anggota Rabbani bagi menyelamatkan Allahyarham.
Katanya, biarpun keadaan cemas, pelancaran program Syahadah tetap diteruskan.
'Secara peribadi, saya sifatkan ini sebagai satu kehilangan besar buat industri nasyid kontemporari. Memang sukar mencari bakat sepertinya,' kata Ibrahim.
Asri yang dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor memulakan penglibatan bersama kumpulan Rabbani pada 1 Mac 1997. Sebelum Rabbani, kumpulan tersebut dikenali sebagai kumpulan Nada Murni.
Selama 12 tahun memperjuangkan irama nasyid, Rabbani telah menghasilkan sebanyak 19 buah album termasuk ARAH (1998), Muhammad Ya Habibi (1999), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Iqrar - 1421 (2001), Yalla Beena (2004) dan Nostalgia Nada Murni (2008).
Bersama Rabbani, pelbagai kejayaan diperoleh oleh Allahyarham antaranya memenangi Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001 bagi kategori Album Nasyid Terbaik, Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album, Album Terbaik 2001 kesemuanya menerusi album Iqrar - 1421.
Khamis Ogos 13, 2009
4. Jenazah Ustaz Asri Rabbani selamat dikebumikan
Oleh KEITH JONATHAN DEUNTZER dan SHAHRIL ADZRIN
Jenazah Ustaz Asri akan dikebumikan selepas Maghrib hari ini di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
SHAH ALAM: Jenazah Ustaz Asri telah selamat dikebumikan pada jam 9.00 malam ini di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21. Sebelum itu, jenazah telah dibawa ke rumahnya di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong, di sini.
Vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi tadi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar. Antara rakan-rakan dan kaum keluarga yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah Asri.
Menurut salah seorang anggota Rabbani, Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, arwah jatuh pengsan semasa raptai dalam sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10 pagi tadi. Balu arwah, Haliza Shahadan hadir di hospital beserta dengan beberapa rakan artis seperti penyanyi Nash, Yasin Sulaiman dan Mas Omar.
Suasana sedih menyelubungi rumah arwah di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam.
Selain itu, lebih 100 orang melibatkan rakan terdekat dan ahli keluarga arwah turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.
Dua hari lalu, Asri bersama anggota Rabbani yang lain menghadiri majlis sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana untuk terus membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan ramadan yang bakal tiba nanti.
Rabbani akan mengadakan persembahan sepanjang ramadan di Hotel Singgahsana sambil menghiburkan para pengunjung yang hadir serta menikmati hidangan yang bertemakan 'Citarasa Ramadan 1 Malaysia' bermula 1 Ramadan nanti.
Rabbani telah bekerjasama dengan Hotel Singgahsana selama 18 tahun dan sejak itu Rabbani telah menghiburkan para pengunjung hotel tersebut yang datang untuk berbuka puasa dengan persembahan 'live' mereka.
Tinggal kenangan..Asri (dua dari kiri, bawah) ketika bersama anggota Rabbani yang lain pada dua hari lalu ketika majlis sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana untuk terus membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan ramadan yang bakal tiba nanti. -foto The Star
Dalam sidang media itu, Asri berkata mengadakan persembahan di Hotel Singgahsana merupakan satu ibadah bagi dirinya.
Amy Search juga hadir sebagai penyanyi yang pernah berduet dengan arwah.
"Saya rasa ibadah puasa saya tidak lengkap jika tidak mengadakan persembahan di hotel ini. Orang kata bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja, banyakkan ibadah, tetapi pada saya ini merupakan ibadah saya," katanya.
Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor.
Selain seorang balu, Haliza, 38, arwah turut meninggalkan enam orang anak iaitu Mohd Nasimudin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilhan, 10, Sufiyah Munawarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 4. Asri menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.
Mas Omar turut hadir.
Sebelum Rabbani, kumpulan itu dikenali sebagai Nada Murni yang ditubuhkan sekitar tahun 80-an. Asri juga pernah menyanyi secara duet dengan beberapa penyanyi terkenal seperti Mawi menerusi lagu 'Saksi' dan 'Mentari Merah Di Ufuk Timur' nyanyian bersama Amy Search. Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi sekaligus memberikan kejayaan kepada Rabbani dan industri muzik nasyid.
Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapan tahun berturut-turut.
Yasin antara artis yang hadir.
Tidak kurang juga anugerah yang dicapai di Anugerah Industri Muzik (AIM) seperti Album Nasyid Terbaik 2001 (Iqrar - 1421), Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 (Iqrar-1421), Album Terbaik 2001 (Iqrar-1421), Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), Album Nasyid Terbaik 2003 (Qiblat) serta Album Nasyid Terbaik 2009 (Nostalgia Nada Murni) dan Lagu Nasyid Terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati).
Revolusi muzik nasyid yang dilalui Rabbani selama berjuang dalam industri hiburan seringkali mencetus pelbagai perdebatan. Ada yang berpendapat, lagu-lagu nasyid nyanyian Rabbani tersasar daripada landasan muzik nasyid yang sedia ada.
Sebelum ini, kumpulan ini pernah merakamkan lagu Pergi Tak Kembali ciptaan KRU berteraskan genre pop yang mendakwa Rabbani seperti meminggirkan objektif utama lagu nasyid.
Antara anggota kumpulan Raihan yang hadir melawat jenazah Asri.
Namun,kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini tampil dengan konsep yang tersendiri.
Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti 'ARAH Dari Mana… Ke Mana…' (1997), 'Pergi Tak Kembali' (1999), 'Intifada' (2000), 'Yalla Beena' (2004) dan yang terbaru, 'Nostalgia Nada Murni'.
Bermula dengan berkonsepkan nasyid klasik, melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut citarasa yang sesuai dengan era yang terkini. Juga dipersembahkan bersesuaian dengan citarasa remaja.
Disamping itu ditampilkan dengan adunan muzik ala melayu timur dan digabungkan dengan adunan muzik timur tengah. Dan kini Rabbani muncul pula dengan konsep yang lebih global dalam bidang muzik tanpa mengurangkan kualiti mesej yang akan disampaikan dengan menampilkan world music didalam lagu-lagu terbarunya.
Ini adalah untuk menjadikan irama nasyid ini akan terus segar dari semasa ke semasa dan terus diminati oleh semua golongan tanpa mengira had bangsa dan negara.
Bagaimanapun dalam menyampaikan irama nasyid ini mesej adalah yang paling utama sekali dengan berpersepsikan bentuk nasihat, dakwah dan panduan. Sekurang-kurangnya sedikit demi sedikit pendidikan secara tidak langsung itu berjaya masuk ke ruang fikiran sambil berhibur. Lantaran itu juga boleh mendorong sikap kita ke arah kebaikan.
Menerusi AIM juga, Rabbani pernah memenangi Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), Album Nasyid Terbaik 2003 (Qiblat) serta Album Nasyid Terbaik 2009 (Nostalgia Nada Murni) serta Lagu Nasyid terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati).
Rabbani juga pernah memenangi Artis Nasyid Popular sebanyak lapan kali di Anugerah Bintang Popular (ABP) Berita Harian.
------------------------------------------------------------------------------------
4. http://lydecker86.wordpress.com/2009/08/13/ustaz-asri-selamat-dikebumikan/
Alhamdulillah, saya berkesempatan menziarahi jenazah Ustaz Asri, untuk kali terakhir. Walau terpaksa ponteng final touch untuk ke Kampung Orang Asli Teji & Abu esok. Walau tidak sempat untuk menatap wajahnya untuk kali terakhir, namun saya bersyukur, sempat juga saya menghadiri pengkebumian beliau.
Tiba saja saya di Tanah Perkuburan seksyen 21, Shah Alam, sejurus selepas Isya’, ternampak kelibat orang ramai. Masya Allah, orang ramai menghadiri majlis pengkebumian beliau.
Setibanya di tanah perkuburan, jenazah sudah siap dikebumikan, dan doa baru dibacakan. Ya Allah, ampunkanlah segala dosa Ustaz Asri, dan dosa-dosa kami.
Sebak melihat isteri beliau dan anak-anak yang masih berpakaian sekolah. Usai bacaan doa, sedikit ucapan dari seseorang yang saya tidak kenali. Kemudian, Azadan menarik nafas dalam-dalam, menyambung ucapan, berterima kasih. Kelihatan beberapa anggota Rabbani yang lain. Menahan sebak didada.
Takziah kepada isteri, anak-anak dan keluarga beliau, serta para anggota Rabbani yang lain. Yang pergi tetap pergi, pergi meneruskan hidup dialam yang satu lagi.
Usai bersalaman dengan isteri arwah, saya merenung anak-anaknya dari kejauhan. Muadz kelihatan memeluk seorang dari anaknya
Dari satu blog yang saya baca, mengenai Ustaz Asri:
” Saya melihat sesosok tubuh yang baring telah siap dikafankan. Kain putih yang bersih dengan tangan yang diletakakan dibadan.
Saya menatap wajah sahabat saya ini. Wajahnya bersih, tersenyum. Saya membacakan fatihah kepadanya. Perlahan-lahan saya menghampiri jenazahnya, saya cium dahinya yang bersih ini. Biasanya dahi ini akan ditemankan dengan kopiah beliau.
Saya menghampiri telinga beliau, saya bisikan. “aku saksikan, bahawa engkau telah banyak berjuang untuk agama”
Tiba-tiba saya menjadi sebak. Pada ketika itu air mata saya berlinang. Saya cuba menahannya tetapi saya tidak mampu. Saya menundukkan kepala saya, mengesat air mata yang mengalir di kelopak. Saya cium dahinya untuk kali kedua. Kali ini saya pegang bahu beliau, saya ucapakan lagi padanya:-
“Sahabat, selamat berehat”.
Dikatakan, sebelum beliau meninggal, beliau sempta meminta senaskhah al-Quran. MasyaAllah!
Dan di blog Abg Razin MESTICA juga.
Terima kasih kepada yang memandu arah, Abai Hijjaz yang ketika itu berada di Kelantan dan juga Muaz HME. Di antara yang saya temui, Abg Razin Mestica, Inteam [Salah seorang dari mereka kelihatan menitiskan air mata ketika jenazah selamat dikebumikan], dan ramai lagi, datang untuk pertemuan terakhir di dunia dengan Ustaz Asri. Semoga roh Ustaz Asri dicucuri rahmat Allah SWT.. Ameen~ Ustaz, terima kasih atas segalanya.
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
2 hours ago
0 Komen:
Post a Comment