Hari 12 ( Ahad 1 Nov / 13 Zulkaedah )
Jam 2.30 pagi bangun bersiap untuk umrah kali ke-3. Aku rasa tidaklah payah sangat nak kerjakan umrah. Jadi aku dan isteriku merancang nak buat berturut-turut setiap hari sehingga 7 kali. Yealah, bukan senang nak sampai sini. Since peluang dah ada, manfaatkan sebaiknya masa yang ada. Ramai dalam van yang boleh memuatkan sehingga 14 orang.
Dalam perjalanan ke MH dari Tanaim, kami bertalbiah beramai-ramai. Terasa semangat pulak. Van singgah isi minyak, nampak rega minyak untuk Ron 91 ialah SR0.41 dan Ron 95 ialah SR0.61, murah giler !!!
Tiba MH dalam 3.30 pagi, qiamullai dulu. Tawaf dan saie, kami buat selepas suboh. Ketika menunggu suboh, anakku Kakyong talipon dari Malaysia tanyakan jalan ke KLCC, nak bawak adikku yang berkunjung ke Putrajaya untuk jalan-jalan di sana.
Semasa berehat di bukit Marwah selepas habis Saie, ada seorang budak belasan tahun yang mengambil upah menggunting rambut untukbertahallul, memakai baju pasukan bola Liverpool dengan terpampang nama penaja araknya tu. Aku panggil budak tu dengan tanganku. Lalu aku katakan berualng kali kepadanya, ‘Carlsberg, Haram, Change’ sambil jariku menunjukkan perkataan tersebut pada bajunya. Budak tu macam terpingga-pingga lalu beredar menuju rakannya dan berbisik-bisik sesuatu. Entah faham entah tidak teguranku. Adake dalam MH yang mulia, dia boleh pakai baju karut tu ?
Balik hotel, sarapan minum teh cicah dengan roti sahaja. Makanan di kafetaria telah habis. Mungkin orang sudah semakin ramai, atau aku yang terlewat. Jumpa tukang masak Restoran Mai Sini yang sebelum ini beroperasi di Saujana Utama. Rupanya dia bertugas sepanjang musim haji ini dengan Dsaji Felda.
Lepas sarapan pergi bayar dam Haji Tamattu’ dan keluarkan sikit duit dari Pusat Pengeluaran TH yang disediakan. Juga ke Pusat perkhidmatan Maktab, kerana isteriku nak tanyakan Ustazah TH perihal beliau memakai mask atau penutup mulut ketika ihram sebaik beredar dari Bir Ali Madinah, sebab terlupa. Ustazah kata tak kena dam, sebab cepat-cepat buka apabila teringat. Lainlah kalau patahkan pokok atau cabut rambut, sebab kerosakan sudah berlaku dan tidak boleh disambung semula. Kemudian kami daftar untuk join aktiviti Ziarah sekitar Mekah.
Di Mekah, makanan yang dihidangkan oleh TH nampaknya lebih sedap berbanding dengan semasa di Madinah. Barulah rasa masakan orang Melayu atau Malaysia. Berbeza sungguh, maklumlah join venture Dsaji Felda dengan TH. Tapi masih kena beratur dan ambil pada yang ditetapkan. Tak kisahlah tu.
Ketika hampir maghrib, aku turun ke lantai kaabah dan berada kekira saf yang kelima. Sebaik azan maghrib, aku solat sunat. Sedang sujud, tetiba suatu benda kuat mengenai kepalaku. Terkejut dan rupanya kepalaku dilanggar orang yang sama ada masih bertawaf atau mencari saf. Tercampak kopiahku, nasib baik tidak jauh perginya. Teringat pesanan Ustaz Jamil Khair semasa Kursus Haji Perdana. Bersangka baik sajelah, mungkin Allah nak mengampunkan dosa-dosa yang dilakukan oleh kepala kita.
Memasuki Hijir Ismail
Selepas solat maghrib, sebab sudah hampir, aku cuba masuk ke ruang Hijir Ismail. Alhamdulillah, aku dapat masuk dalam asakkan dan himpitan orang ramai. Ah ! Tapi ruang yang ku perolehi sempit sangat, tak dapat nak tenang dan khusyuk memberikan tumpuan untuk solat dan berdoa di dalamnya. Namun ku harap Allah sudi memperkenankan doaku, walaupun dalam keadaan demikian. Semasa keluar daripada Hijir Ismail barulah akau sentuh Kaabah serta asasnya, Syahzarwani.
Hajarul Aswad : Cubaan Kedua
Keluar dari Hijr Ismail, aku dibawa oleh arus asakan orang ramai sehingga hampir dengan Hajarul Aswad. Aku kira aku sudah bersedia nak ‘merempuh’ masuk ke Hajarul Aswad. Bingkai cermin mata telah ku simpan elok dalam poket. Bingkai Hajarul Aswad semakin hampir, tetiba dua orang ‘usher’ Indon cuba membantu. ‘Cepat Pak cepat, dilorongi … cepat pak, ikut, ikut’, argh buat kacau pulak si Indon ni. Aku teringat pesanan orang yang pernah pergi sebelum ini, jangan diikuti orang ini. Kelak akan di minta beratus SR sebagai upah. Aku jadi serba salah dan dalam keadaan memikirkan apa yang hendak ku lakukan, aku pun hanyut di bawa arus orang ramai. Melepas cubaan mencium Hajarul Aswad buat kali kedua.
Keistimewaan Hajarul Aswad
Hajarul Aswad berasal dari batu-batu mulia dari syurga yang diberikan kepada Nabi Ibrahim oleh malaikat Jibril sebagai tanda permulaan tawaf ketika pembinaan Kaabah dahulu. Pada asalnya berwarna putih berkilauan. Rasulullah pernah menciumnya sebagaimana nabi-nabi sebelumnya sehingga menjadi tempat bertemunya bibir para nabi serta orang soleh. Hadis menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, 'Demi Allah, dia atas mengutusnya pada Hari Kiamat kelak dengan dua matanya ia akan melihat dan dengan lidahnya ia akan memberikan kesaksian atas siapa yang menyalaminya dengan kebenaran'. ( H.R Tarmidzi ).
Hajarul aswad telah pecah kepada lapan ketul batu kecil sebesar buah tamar dan diletakkan di dalam bingkai perak sebagaimana terdapat di kaabah ketika ini. Warnanya kini menjadi gelap kehitaman, dikatakan lantaran dosa umat yang menciuminya. Di atas permukaan bumi ini, mungkin hanya Hajarul Aswad sahaja yang disunatkan kita mencium atau mengucupnya.
Hari 13 ( Isnin 2 Nov / 14 Zulkaedah )
Jam 2.30 pagi bangun bersiap untuk umrah kali ke-4. Seorang wanita berkeras mahu tambang pergi balik ke Tanaim hanyalah SR5. Entahlah, aku kira SR10 pun sudah ok, walaupun kalau daripada Tanaim ke MH sahaja Cuma SR2. Lagipun masih awal pagi.
Nampaknya orang semakin ramai untuk melaksanakan tawaf dan saie selepas suboh. Mungkin kami nak kena tukar strategi. Selepas zuhor, singgah kedai-kedai dalam perjalanan pulang ke hotel. Aku rasa macam harga di sini lebih murah daripada yang dijual di Madinah. Mungkin sebab sewanya murah.
Room-mateku kata, kedai di situ kebanyakkannya buka semasa musim haji saja. Kalau bulan-bulan lain, tutup tak meniaga. Tetapi khabarnya, kadar sewanya mencecah hingga SR10,000 sebulan, biar betul !
Sepetang Di Bukit Safa
Lepas asar, baca Mathurat di Bukit Safa dan berehat-rehat di sana sambil melihat gelagat orang mengerjakan saie. Lagipun waktu asar di Bukit Safa dan Marwah dikatakan sebagai oleh Imam Basri sebagai mustajab doa.
Berborak dengan seorang jemaah dari Selatan Thailand. Katanya kos mengerjakan haji baginya sekitar 150,000 bath atau kekira RM 15K. Tetapi makan 3 kali sehari. Beliau melahirkan rasa tidak puas hati dengan gelagat orang Islam dalam melaksanakan ibadah di MH, sehingga seolah-olah menindas dan mengenepikan hak orang lain.
Beliau bersetuju dengan pendapatku, sepatutnya kita bukan setakat berulang-alik ke MH, berzikir, mengaji, buat tawaf dan saif tetapi sebaliknya perlu memikirkan tentang nasib, kemajuan dan pencapaian umat Islam seluruh dunia dalam segala bidang. Ini boleh dilakukan seperti dengan mengadakan pameran, seminar, diskusi sehingga mampu meningkat kesedaran betapa perlunya kita umat Islam sedunia bersama dan bersatu padu dan saling bantu membantu.
Bukan setakat berasak-asak, berhimpit dan berebut nak cium Hajarul Aswad, nak masuk Hijir Ismail atau mendapat tempat di Multazam. Tetapi apakah luahan ini sekadar hendak mententeramkan perasaaan, memandangkan tidak berkeupayaan kami mendapatkannya ?
Runding Harga
Hampir maghrib aku ke lantai Kaabah. Kelihatan dua orang Indon sedang melakukan perundingan harga, yang ku kira upah kerana melorongkan satu pasangan yang juga warga Indon ke Hajarul Aswad. Tetapi pasangan Indon tu seperti mengatakan tidak bawak wang, sambil menunjukkan dompetnya. Hanya ulangan ‘terima kasih ya, terima kasih’. Mungkin ini satu taktik yang boleh dituruti, pura-pura tak de duit. Ah ! Tak tergamak nak buat, nanti Allah ‘bayar cash’, duit kita memang betul-betul hilang, macamana ? Nak dapat pahala sunat, buat kerja haram menipu pulak.
Kelihatan juga ramai jemaah bersedia untuk berbuka puasa Isnin hari ini. Ringkas sahaja nampaknya. Aku pun tumpang sebutir dua merasa tamarnya. Benarlah bagai di kata, di Mekah agak sukar mendapatkan buah tamar berbanding Madinah. Sebab itu kalau adapun, reganya agak mahal sikit.
Percampuran Jemaah
Nampak betapa sukarnya pihak masjid untuk asingkan jemaah lelaku dan wanita dihadapan kaabah. Sedang sentiasa ada jemaah lelaki dan wanita melaksanakan tawaf. Mungkin boleh buat peraturan 15 minit sebelum masuk waktu, ‘no entry’ untuk mereka yang baru hendak memulakan tawaf. Jemaah wanita pun satu hal juga, lihatlah keadaan dan cari tempat yang lebih sesuai untuk solat sunat lepas tawaf, khususnya apabila hampir masuk waktu solat. Percampuran jemaah lelaki perempuan agak ketara, termasuk di lantai hadapan kaabah.
Walau ada jemaah wanita diminta beredar oleh pegawai Masjid, masih ada yang berat dan tidak mahu berpisah dari pasangannya. Malahan semasa tawaf pun ada yang berpegangan tangan dengan pasangannya. Sah ke ? Mungkin pendapat mazhab mereka.
Namun tempat solat khas untuk wanita sepatutnya disediakan dengan jelas dan semua kenalah akur. Walaupun wanita tidak digalakkan ke masjid, namun memandangkan pahala 100,000 kali lebih baik, maka peluang yang sama perlu disediakan. Mungkin perkara ini hanya berlaku semasa musim haji. Luar musim haji, tiada masalah langsung. tetapi aku pening melihat suasana ini.
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
2 hours ago
0 Komen:
Post a Comment