Hari 39 ( Sabtu 28 Nov / 11 Zulhijjah )
Bangun seawal 3 pagi. Orang tetap ramai dan beratur panjang di tandas. Dapat juga berqiamullail di celahan orang sedang tidur. Khemah sebelahku ada buat kuliah suboh. Aku sekadar tumpang dengar daripada tempat tidurku.
Lepas solat suboh di khemah, ramai yang bertolak untuk melontar. Hari ini kami perlu melontar ketiga-tiga jamrah, tidak satu sahaja seperti semalam.
Tidak Ikut Jadual TH
TH tetapkan jadual melontar untuk jemaah KT03 jam 8.00 pagi. Pada asalnya aku hendak ikut jadual TH. Yealah, asyik tidak ikut ketetapan TH sahaja, nanti dibiarkan sahaja baru tahu. Tapi akhirnya aku pergi awal juga, iaitu sejam awal. Isteriku nampak bersemangat nak pergi awal.
Memang orang agak ramai pada pagi tersebut. Perjalanan agak perlahan berbanding semalam. Group jemaah Indonesia jalan sambil bertakbir menggunakan sistem PAnya. Bagus juga, rasa bersemangat walaupun takbirnya kekadang tu salah sebutannya. Jemaah TH dan Malaysia, sonyap aje, takbir dalam hati saja kot. Lagipun tak ada kepala !!
Melontar Tiga Jamrah
Jika semalam ke tingkat satu, hari ini aku bertekad nak masuk ke tingkat bawah. Tetapi malangnya, laluan dilencongkan hingga menyebabkan terpaksa kami naik ke tingkat 2 dengan escalator. Hasrat nak ke tingkat bawah ialah nak tengok di takungan sana, selain batu apa lagi yang dilemparkan oleh jemaah haji. Banyak ustas-ustaz cerita, kasut, bag, payung pun ada. Itu yang aku nak tengok, betul atau tidak kata-kata ustaz tu.
Ibadat melontar dapat dilaksanakan dengan mudah sebab orang tidak berapa ramai. Malahan kalau pergi depan sikit dan ambil sebelah hadapan, lagi luas dan terbuka peluangnya. Tetapi tak ada masalah sangat semasa hendak melontar jamrah. Lega dan lapang.
Satu demi satu jamrah kami singgah dan lakukan lontaran sebanyak 7 kali dengan anak batu yang aku kutip semalam. Namun perjalanan pulang agak jauh dilencongkannya. Tidak mengapa, jauh berjalan luas pemandangan.
Tentang Jamrah
Itu sahajakah perbuatan melontar Jamrah. Mudah sangat. Malah ada yang aku lihat jemaah lain, siap berlari-lari seperti bersukaria sambil melontar ? Apakah hikmahnya ?
Nabi Ibrahim a.s ketika diperintahkan untuk mengerjakan haji, sambil ditemani Jibril muncul syaitan cuba menghalanginya. Lalu Nabi Ibrahim melemparnya dengan tujuh kerikil kecil hingga syaitan pergi menghilangkan diri di tempat yang kini dinamakan Jamrah Kubra. Nabi Ibrahim meneruskan perjalanan dan syaitan pun cuba menghalanginya lagi sehingga sampai ke tempat yang kini dinamakan Jamrah Wusta, maka Nabi Ibrahim pun melemparnya dengan tujuh kerikil. Syaitan muncul buat kali ketiga lantas dilemparnya lagi dengan batu oleh Nabi Ibrahim di tempat yang kini dinamakan Jamrah Sughra. Syaitan jatuh tersungkur lantas hilang dan tidak muncul-muncul lagi.
Dinding yang terdapat di jamrah ialah sebagai tanda tempat munculnya syaitan yang kemudian dilempar dengan batu kerikil oleh Nabi Ibrahim a.s. Namun apakah syaitan yang hendak kita lontar dengan batu. Apakah ketika itu syaitan berkeliaran diantara ketiga-tiga Jamrah ?
Semangat Jamrah
Melontar jamrah adalah suatu bentuk ibadah mengingati Allah, bukan untuk melontar syaitan. Cumanya syariat Nabi Muhamad s.a.w menghendaki uruitan lontaran Jamrah daripada Sughra, diikuti oleh Wusta dan akhirnya Kubra. Terbalik dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim.
Semangat daripada ibadah melontar ialah hendaklah menyertai usaha untuk menentang syaitan yang sentiasa menyesatka umat Islam dan secara simboliknya untuk mengeluarkan sifat-sifat kesyaitanan serta perangai buruk daripada diri masing-masing.
Dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan, aku bertanyakan dengan Petugas TH. Memang jemaah Malaysia serta yang menginap di sekitarnya tidak berpeluang untuk melontar di tingkat bawah. Itu untuk orang dari kawasan lain. Last year katanya dapat melontar di tingkat bawah. Ini dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengelakkan kesesakan.
Kekira dua jam juga perjalanan dan ibadah melontar ini dapat diselesaikan. Terasa penat juga kali ini sebab belum sarapan pagi lagi.
Alhamdulillah, sampai khemah, sarapan telah tersedia. Nasi lemak sambat secuit bersama telor, epal, air kotak dan mee segera. Entah kenapa berada di Tanah Suci ni, mee segera jadi favorite. Padahal di Malaysia, jarang-jarang sekali makan.
Asal Mina
Mina diberi nama kerana disitulah tempat berkumpulnya manusia. Tempat yang digunakan untuk manusia berkumpul, orang Arab menyebutnya Mina. Mina juga menjadi tempat penyembelihan Nabi Ibrahim ke atas Ismail. Dinamakan Mina juga kerana banyaknya darah mengalir daripada binatang ternakan yang disembelih sebagai dam, korban atau sedeqah.
Mina juga bermaksud cita-cita. Ini merujuk kepada peristiwa semasa perpisahan antara Nabi Adam a.s dengan malaikat Jibrail. Jibril bertanya kepada Nabi Adam a.s, apa yang dihajat atau cita-citakan. Lantas Nabi Adam a.s menjawab bahawa ia mengharapkan syurga.
Lepas sarapan aku plan nak pergi jalan kaki ke pusat penyembelihan. Tetapi orang TH nasihatkan tak perlu pergi sebab jauh dari tempat penginapanku. Lagi beliau sendiri tidak pasti sama ada dibenarkan untuk kita masuk menyaksikannya.
Nampaknya pagi tersebut jemaah lebih banyak berehat dalam khemah. Entahlah, suasana khemah di Mina seperti kurang kondusif untuk mengaji dan berzikir. Sedangkan itulah yang digalakkan untuk dilakukan oleh jemaah haji.
Pertemuan Orang Saujana Utama
Petang lepas asar, aku menemani isteriku untuk mencari-cari rakannya iaitu Ustazah Kak Wan Noriah serta Zihan, isteri Abang Rashid. Pusing punya pusing, rupanya khemah mereka bertentangan sahaja dengan Maktabku. Akhirnya dapat juga bertemu. Batal rancanganku nak ke masjid di Mina.
Ustazah Kak Wan rasa terkilannya sebab pergi tidak dengan suami. Sedang orang lain dengan pasangan masing-masing, beliau rasa sedih sebab suaminya tidak bersama. Beliau pergi dengan anak sulongnya.
Dapat SMS daripada Rosli. Nampaknya perjalana haji beliau berlainan sikit. Sebaik melontar jamrah semalam, terus bergegas mengerjakan Tawaf dan Saie di Mekah. Tetapi tidak pulang semula ke Mina, sebaliknya besok baru ke Mina. Perlakuan beliau menyebabkan dikenakan dam, tetapi hanya dua cupak beras seorang sebab dua malam tidak bermalam di Mina. Kalau masuk tiga malam, dam seekor kambinglah jawabnya.
Kenapa dia buat demikian, tentu ada sebabnya. Kalau bimbangkan isterinya tidak sempat tawaf sebelum datang haid, kenapa tidak pulang ke Mina segera ? Rosli cadangkan buat gathering orang-orang Saujana Utama di D’Saji Menara Safwa selepas selesai haji. Elok juga, cuma aku rasa aku yang tidak sempat sebab nak kena balik awal.
Ronda Pasar Malam
Selepas isyak, aku round-round ke jualan pasar malam. Barangannya macam lebih mahal daripada di Mekah. Tapi banyak juga yang sempat aku beli, termasuk VCD cetak rompak. Nampak jemaah Malaysia bukan main terpesona nengok binatang dhob serta minyaknya. Siap nak borong semua dari seorang penjual tu !!!!
Kedapatan juga malam itu orang berkerumun mendapatkan kotak makanan sumbangan syarikat koperat barangkali seperti di Mekah. Aku dapat dua kota makanan. Lantas terfikir kenapa banyak sangat, sedangkan aku perlu tidak membawa banyak barangan untuk kembali Mekah. Tetiba kelihatan dua orang budak terkebil-kebil melihat-lihat kotak makanan yang aku bawa, lantas aku berikan kepada mereka.
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
2 hours ago
0 Komen:
Post a Comment