Hari 43 ( Rabu 2 Dis / 15 Zulhijjah )
Sebagaimana yang dinasihatkan oleh TH, jam 1.30 aku bangkit dan berjalan kaki ke MH bagi mengerjakan Tawaf Wada’. Tawaf ini merupakan wajib bagi sesiapa yang hendak meninggalkan Mekah bagi perjalanan melebihi dua marhallah atau ingin kembali ke kampung asalnya. Jemaah haji yang tidak melakukannya, dikenakan dam.
Setelah kekira sebulan ulang alik ke MH, tawaf, merenung, memandang, memerhatikan struktur berkelambu hitam tu, kini tibalah saat perpisahan. Akan ku rindui suasana kesibukan jemaah hamba Allah di MH, akan ku rindui gelagat jemaah bertawaf, saie dan mencari saf atau ke tempat mustajab berdoa. Akan ku rindui suara azan dan imam MH. Akan ku rindui juga gelagat jemaah wanita yang di'halau' ke belakang oleh pegawai masjid. Akan ku rindui kemeriahan kedai-kedai di kiri kanan jalan ulang alik ke MH.
Semua mahluk bergerak mentaati dalam keadaan tawaf, mengelilingi Kaabah melawan pusingan jam. Cakerawala yang terdiri daripada matahari, bumi, bulan bintang dan planet hinggalah mahluk sekecil zarah atom dan molekul, bergerak dalam keadaan tawaf melawan pusingan jam. Amalan tawaf melengkapkan sifat manusia sebagai mahluk terbaik Allah di sisi Allah, akur akan fitrahnya dan sebagai khalifah di bumiNya.
Tawaf Wada
Perjalanan tawafku agak lancar dan tenang sekali walaupun orang memang sentiasa ramai. MH memang sentiasa subuk dengan jemaah yang mengambil peluang melakukan ibadah sepenuhnya dalam musim haji. Ya Allah, berilah peluang sekali lagi untuk aku datang ke tempat ini. Sekiranya masa ini adalah kali terakhir bagiku dengan rumahMu, maka gantikanlah syurga untukku dengan rahmatMU Ya Allah. Kesedihan tidak tertahan ketika itu, air mata berlinangan.
Berat kaki ketika hendak meninggalkan Kaabah. Sesekali ketika melangkah keluar dari MH, aku jenguk jenguk semula ke belakang. Seperti tidak mahu hilang Kaabah dari pandangan. Patut pun aku pernah dengar ada orang jalan berundur keluar dari MH sebab hendak terus memandang Kaabah. Selamat Tinggal Kaabah, Selamat Tinggal Makam Ibrahim, Selamat Tinggal Hajarul Aswad, Hijir Ismail dan Multazam.
Suboh Di Hotel
Pulang semula ke bilik penginapan bersiap untuk solat di hotel. Aku turun ke surau Tingkat P. Orang sudah ramai di sana, tapi masih ada ruang kosong di saf hadapan.
Aku masih teringat-ingatkan Kaabah. Kenangan di MH masih berlegar dalam ingatan. Terbayang kesibukan manusia di sana ketika ini. Sedihnya ..
Bertolak Ke Jeddah
Lepas solat, aku sarapan di kafetaria bersama isteriku dan kemudian mengangkat bag ke tempat berkumpul yang ditetapkan mengikut nombor bas.
Bas untuk ku memang kira tepat tiba mengikut jadual iaitu jam 7.00 pagi. Kami ketika itu menunggu di kawasan surau di Tingkat P.
Yang lamanya ialah menunggu pekerja mengangkut barang-barang ke atas bumbung bas. Walaupun sudah naik bas, tetapi tunggu punya tunggu bas-bas yang lain, akhirnya 8.30 baru bertolak. Entah kenapa, tak tahu jalan ke tempat tujuan ke, lantas nak berkonvoi ?
Ku intai-intai MH ketika bas berjalan perlahan-lahan meninggalkan hotelku. Ya Allah Ya Allah, berilah peluang sekali lagi untuk aku datang ke tempat ini. Sekiranya masa ini adalah kali terakhir bagiku dengan rumahMu, maka gantikanlah syurga untukku dengan rahmatMU Ya Allah.
Perjalanan ke Jeddah
Sekurang-kurangnya sebanyak dua kali berhenti untuk pemeriksaan dalam perjalanan. Setiap kali berhenti ada saja ole-ole sumbangan diterima seperti kaset Al-Quran dan air Zamzam. Namun setiap kali itu juga ada yang turun hendak buang air kecil. Ini melambatkan perjalanan apabila menunggu cukup penumpang. Suatu ketika salah sebuah bas hampir jatuh barangan di atas bumbung. Lalu bas tersebut berhenti membetulkan kedudukan bag yang hampir jatuh. Maka pecahlah konvoi.
Pelbagai cuaca ditempuhi dalam perjalanan. Panas, ribut pasir dan hujan lebat. Kerisauanku ialah basah bag-bag yang diletakkan di atas bumbung bas. Maklumlah hanya ditutup ala kadar dengan plastik, tanpa menutupi keseluruhan tempat barangan. Suatu ketika pula berhenti lama. Aku sendiri tidak pasti, entahkan sesat entahkan tunggu bas yang lain. Pemandu bas tidak reti bahasa selain Arab. Penumpang pula reti bahasa lain kecuali Arab. Jadi macam kucing cakap dengan ayam, memasing tak faham.
Dalam menempuh perjalan sebelum sampai ke tempat yang dituju, dapat dilihat bangunan di Jeddah yang kelihatan modern sikit berbanding di Mekah dan Madinah. Keretanya pun bersih dan cantik-cantik berbanding di Mekah yang kalau kemek akibat langgar pun, dibiarkan macam itu saja. Entah dimana agaknya yang diheboh dan diberitakan kejadian banjir sehingga meragut beratus nyawa baru-baru ini.
Namun akhirnya tiba jua di tempat yang dituju iaitu Madinatul Hujjaj di Jeddah jam 1.30 tengahari. 5 jam perjalanan untuk sejauh 75 km !! Sabar ajelah …
Madinatul Hujjaj
Madinatul Hujjaj merupakan tempat transit sebelum jemaah diterbangkan ke Tanah Air. Di sana terdiri dua bangunan asrama setinggi 4 tingkat. Jemaah ditempatkan di bilik yang telah ditetapkan sebelum bertolak dari Mekah lagi. Setiap bilik menempatkan sehingga 20 orang jemaah yang dilengkapi dengan katil-katil bujang bertilam berserta bantal.
Bilik air yang luas disediakan di setiap tingkat. Turut disediakan klinik, kafetaria, surau dan tempat check-in bagasi selain pejabat pentadbiran TH.
Aku difahamkan oleh seorang jemaah, bangunan serta tapak Madinatul Hujjaj merupakan wakaf daripada kerajaan Arab Saudi kepada TH. Tapi aku rasa perkara yang sama boleh di buat untuk semua jemaah di Arafah atau Mina, atau sekurang-kurangnya di Mina. Selesa sikit walaupun taraf asrama sekolah sahaja. Kalau bimbang kerugian lantaran nganggur kosong semasa bukan musim haji, boleh digunakan untuk pelbagai bengkel atau kursus motivasi pebagai lapisan rakyat Arab Saudi pada masa lain. Masalah utama di Mina ialah tandas manakala di Arafah ialah hujan.
Harga jualan di kafetarianya agak mahal. Begitu juga jualan barangan di gerai yang terdapat di situ. Maknanya luar sahaja Mekah & Madinah, harga sudah lain. Tapi yang nak belinya tentu jenis yang sudah terdesak, lantaran itulah kedai terakhir sebelum ke airport.
Timbang barang
Saat mendebarkan tiba apabila jemaah KT03 bagi bas yang aku naikki dipanggil untuk timbang barang dan check-in terus. Rupanya tambahan berat diberikan sebanyak 5kg seorang. TH ulangkali ingatkan tidak boleh bawa dengan tangan lebih daripada dua bag ke dalam kapal terbang bagi setiap jemaah. Aku yang pada mula bercadang nak bawa dua bag sebagai hand luggage, terpaksa masukkan juga satu ke dalam bag besar untuk timbangan.
Apabila ditimbang 4 buah bag aku dan isteriku, beratnya 74.5 kg !!! Alamak, lebih 4.5 kg. Sepatutnya takat 70kg sahaja. Namun pak Arab Saudi Arabian yang bertugas tu kata OK. Sedangkan salah satu bag aku agak terasa basah kesan hujan tadi. Alhamdulillah, selamat 4.5 X 25 = SR112.5.
Entahlah, aku tidak dengar pulak sesiapa yang kena bayar sebab lebih berat barangan yang di timbang melebihi had yang diberikan percuma. Mungkin pihak Saudi Arabian tidak ketatkan sangat syarat berkenaan.
Malam selepas makan malam bersama isteriku di kafetaria, balik bilik, berehat dan tidur sahaja. Aku belek-belek catatan perjalanan ku sambil merangka bagaimana hendak diupdate dalam blogku apabila balik ke tanah air nanti.
Hari 44 ( Khamis 3 Dis / 16 Zulhijjah )
Sebenarnya tidur ku tidak lena. Asyik terkejut-kejut sahaja. Tarikan nak bangun qiamullail tidak begitu kuat sebagaimana kalau nak qiamullail ke MH. Memang luar biasa tarikan MH dan Kaabah. Maklumlah faktor gandaan pahala 100,000 kali.
Di sini hanya sebuah bilik biasa yang dijadikan surau. Namun aku bangkit juga kekira jam 3.30 pagi. Agaknya sebab sudah terbiasa bangun awal.
Pakai Seluar dalam Semula
Lepas solat suboh, aku mandi dan bersiap untuk ke airport. Dijadualkan kami bertolak jam 9 pagi dan berlepas ke Malaysia jam 11.30 pagi. Lepas mandi akupun menyarungkan semula seluar dalam yang kali terakhir aku pakai ialah semasa tiba di Madinah 42 hari yang lalu. Maknanya sejak itu sepanjang-panjangaku berada di Madinah dan Mekah, aku tidak pakai pun seluar dalam .. ha ! ha ! Mungkin ini suatu rekod peribadi. Buat berat bag saja bawa dari Malaysia.
Namun sebenarnya ada beberapa helai pakaian yang aku bawa tetapi tidak dipakai pun. Betullah kata orang, tak perlu bawa banyak pakaian. Cukup ke sana kemari dengan jubah dua tiga helai berpasangan dengan seluar panjang. Lagipun kalau nak beli, kat sini pun banyak dan murah.
Aku sarapan di kafetari sambil menunggu bas dengan isteriku. Roti canai cicah gula serta teh O sahaja. Ketika ini aku dan isteri juga sempat ambil gambar kenang-kenangan dengan jemaah lain, khususnya yang aku kenali dengan rapat sikit. Maklumlah, lepas ini entah dapat jumpa semula atau tidak.
Ke Airport
Kekira jam 8.30 kumpulanku pun dipanggil, beratur ambil passport masing-masing dan naik bas. Sebelum naik, kami dibekalkan dengan pek makanan yang mungkin sebagai sarapan pagi.
Perjalanan ke Lapangan Terbang Jeddah memakan masa kira-kira 20 minit sahaja. Nampak kecik aje lapangan terbangnya. Atau mungkin terminal yang aku pergi khas untuk jemaah haji sahaja.
Tersadai Di Airport
Sampai sahaja terus kami beratur untuk pemeriksaan passport dan diikuti pemeriksaan diri. Skrin TV Jadual Penerbangan menunjukkan penerbangan kami SV003 akan berangkat jam 12.30 tengahari. Maknanya terlewat dua jam setengah daripad asal 11.00 pagi.
Semasa pemeriksaan diri, banyak yang nak kena lucutkan daripada diriku. Tali pinggang, kamera, talipon, jam tangan, duit syiling, kasut malah gelang tanda jemaah haji Malaysia. Tapi aku menghadapi masalah nak buka gelang tu dalam keadaan kelam kabut. Akhirnya dilepaskan sahaja oleh kakitangan yang bertugas. Seorang jemaah haji dari Kelantan yang memang telah dikenali dalam KT03 kami, bermasalah apabila beratur. Lantas kami pakat-pakat suroh dia terus ke depan. Katanya, ‘Kawe nak kelik kelante jah, apa yang susoh sangat’.
Melepasi pemeriksaan, kami diberikan senaskah al-Quran dikaunter yang disediakan. Naskah tersebut adalah sumbangan kerajaan Arab Saudi kepada seuma jemaah. Namun tetiba jadual penerbangan SV003 hilang dari skrin TV Jadual Penerbangan. Apa sudah jadi ? Aku SMS orang di Malaysia yang bakal menungguku di KLIA nanti tentang kelewatan ini.
Mulalah kerisauan di hati. Dalam keadaan begini Allah masih nak berikan kami ujian lagi supaya bersabar. Mulalah memasing buat cerita, adakah sesiapa yang terbawa batu dari Mekah dan mesti dipulangkan, bawak air zamzam banyak sangat dan macam-macam lagi. Suasana ini sedikit sebanyak merobek kenangan manis semasa di Mekah dan Madinah.
Apabila dikenang kembali, sering apabila bergerak melibatkan pengangkutan bas, ada saja yang tidak lancarnya. Perjalanan bas dari Madinah Ke Mekah yang banyak henti tak tahu hujung pangkalnya, perjalanan meredah hujan lebat dari Mekah ke Arafah, masa menunggu yang terlampau lama berbanding perjalanan yang singkat antara Mudzalifah ke Mina, perjalanan tersangkut-sangkut dari Mina Ke Mekah dan perjalanan 5 jam dari Mekah ke Madinatul Hujjaj Jeddah.
Puas meronda-ronda kedai di airport, yang sudah tentu harganya lebih mahal berbanding di Mekah dan Madinah. Sekadar lihat-lihat sahaja. Pada jam 12.00 tengahari, kami dihidangkan dengan makanan. Maka beraturlah untuk mengambilnya. Kalau diberikan makanan, maknanya memang lama gendala ni.
Lepas itu aku dan isteri solat zuhor dan jamak asar secara bergilir di tempat kecil yang disediakan. Masih tidak dapat berita bila akan bertolak. Ada yang cuba menghubungi TH, tetapi apa yang TH boleh lakukan. Memasing kelihatan keletihan menunggu, tidur dengan gaya masing-masing. Nampak tidak sopan pulak jemaah Malaysia dipandangan jemaah negara lain yang turut menunggu di situ.
Bertolak Pulang
Akhirnya, tanpa sebarang pengumuman menggunakan pembesar suara, aku lihat jemaah haji Malaysia mulai beratur pada jam 3.15 petang. Akupun turut sama berkejar untuk beratur. Dapat naik bas pertama dan sampai dulu ke kapal terbang. Alhamdulillah aku dapat tempat duduk yang strategik bagi pandangan ku, iaitu senang nak menjulurkan kaki, keluar masuk daripada seat dan dekat tandas. Ketika itu aku maklumkan semula Kak Yong dan sedara mara yang kami baru nak berlepas dan dijangka penerbangan sampai jam 5.30 pagi waktu Malaysia.
Sebenarnya pada tiket kami diberikan nombor tempat duduk, tetapi kami sudah pakat-pakat tidak ikut nombor berkenaan kerana ianya memisahkan group suami isteri dan mahram.
Nampaknya pihak penerbangan Saudi Arabian agak longgar dengan barangan yang dibawa oleh jemaah, tidak seperti yang sering diperingatkan oleh pihak TH. Mungkin itu untuk penerbangan dengan MAS. Berat bag tangan lebih 5kg pun tidak kisah, lebih daripada satu pun tidak mengapa, malahan bawa air zamzam walau dalam bentuk apapun di biarkan sahaja. Entahlah. Namun ada juga jemaah lain yang merungut tidak muat tempat letak barang sebab memasing bawak lebih daripada satu bag.
Kekira jam 3.45 petang, kapal terbang pun berlepas dari Lapangan Terbang Jeddah. Selamat Tinggal Jedaah. Selamat Tinggal Madinah. Selamat Tinggal Mekah. Akan ku simpan kenangan Madinah dan Mekah. Semoga dapat kembali suatu masa nanti. Pilot memaklumkan bahawa penerbangan akan mengambil masa selama 7 jam 50 minit.
Hari 45 ( Jumaat 4 Dis / 17 Zulhijjah )
Mendarat jam 5.45 pagi waktu Malaysia. Alhamdulillah, selamat sampai. Tiada pemeriksaan imigresen, hanya cop atas passport sahaja. Mudah sahaja. Kelihatan alat pengesan suhu atau demam H1N1 dikendalikan oleh petugasnya berdekatan tempat pemeriksaan imigresen..
Sambil menunggu bag keluar, aku dan isteriku saling bergilir untuk solat suboh di surau yang disediakan. Agak lambat juga bag keluar daripada dua tempat menuntut bagasi. Keadaan jadi sesak dengan troli-troli untuk mengangkut bag.
Tidak ketinggalan aku mengambil air zamzam yang diberikan oleh TH kepada setiap jemaah sebanyak 5 liter seorang. Passport kena ditunjukkan dan dicop sebagai bukti telah ambil. Nampaknya macam air tersebut dibawa bersekali dalam kapalterbang yang kami naikki.
Kira-kira 6.45 pagi baru dapat keluar daripada tempat pengambilan bagasi ke balai ketibaan. Anak-anak dan keluarga telah menunggu. Ibuku, Kak Yong, Kausar, Che Adam , Che Nisa, Anis, Deja dan Alif menunggu sejak suboh lagi. Orang kelihatan ramai pada pagi berkenaan. Rupanya penerbangan kami adalah yang kedua tiba ke Malaysia. Penerbangan ketiga KT02 yang tiba jam 9 pagi ini akan disambut oleh DYMM Agung Sultan Mizan. Tak aci betul, masa berangkat pun Agung yang meraikannya.
Alhamdulillah kami selamat kembali kepangkuan keluarga. Terus balik ke rumah dan sarapan dengan Sate Kajang yang memang telah ku minta Kak Yong belikan sebelum ini.
Di rumah kami berborak-borak berkongsi pengalaman, kisah hal ehwal di Mekah dan Madinah, sambil membuka bag-bag yang mengandungi cenderahati dan barangan untuk di agih-agihkan. Argh letihnya. Macam tau-tau aje, aku dapat mesej daripada Hj Umar dan Hj Izmin. Tapi yang mengejutkanku, pejabatku sudah pindah ke Cyberjaya !!!
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
2 hours ago
0 Komen:
Post a Comment