Sudah lama anakku Kausar bertanya dan mengajakku berkunjung ke Lembah Bujang. Pada 14 Februari bersempena dengan Cuti Chienese New Year 2010 lalu, kami berkesempatan ke sana. Dari hotel penginapan kami di Hotel Seri Malaysia Sg Petani Kedah, jaraknya kira-kira 19 kilometer sahaja. Agak ramai juga orang yang berkunjung ke Lembah Bujang ketika kami sampai di sana.
Daripada kunjungan tersebut dapat kutahu bahawa kewujudan Lembah Bujang serta tinggalan yang terdapat di sana menjadi penting bagi sejarah Malaysia, khususnya Kedah. Ia menjadi bukti kewujudan penempatan awal di sana serta kegiatan perdagangan yang aktif suatu masa dahulu.
Tinggalan kesan termasuk candi menunjukkan pengaruh Hindu yang dibawa oleh pedagang India serta menetap di kawasan tersebut. Memang ini menunjukkan pengaruh Hindu lebih awal datang berbanding Islam, tetapi tidak menunjukkan orang Hindu sebagai pribumi asal di Malaysia suatu ketika dahulu.
Nampaknya kesan sejarah di sana dijaga dengan baik. Bangunan yang menempatkan pengkisahan sejarah, gambar serta tinggalan orang dulu di simpan dengan baik dalam sebuah bangunan yang didirikan di situ. Candi-candi juga dikawal oleh pengawal yang ditugaskan. Mungkin sama ada hendak mengelakkan pemusnahan atau pemujaan oleh pengunjung. Anyway, melawat Lembah Bujang merupakan suatu pengalaman yang menarik dan berbaloi untuk dikunjungi.
Sebagai catatan yang agak mudah difahami, berikut disertakan petikan daripada internet untuk melatari gambar-gambar yang sempat kami rakamkan.
Sejarah Awal Lembah Bujang
Catatan dipetik dari http://memori-kedah.net
Lembah Bujang merupakan salah satu tempat bersejarah yang terkenal di Malaysia kerana mempunyai pelbagai khazanah tinggalan zaman. Kedudukan Lembah Bujang adalah merangkumi kawasan seluas 144 batu persegi dengan pembatasan Bukit Choras di bahagian Utara, Sungai Muda di bahagian Selatan, Selat Melaka di bahagian Timur dan Lebuhraya Utara - Selatan di bahagian Barat. Kedudukan ini dianggap strategik kerana amat sesuai dijadikan destinasi bersejarah.
Ramai pelancong yang datang ke Lembah Bujang tertarik dengan tinggalan sejarah di tapak arkeologi atau carigali seperti runtuhan candi, struktur bandar dan pelabuhan terpendam, ratusan ribu pecahan seramik, kaca dan manik dari China, Asia Barat atau Tanah Arab serta dari India, patung-patung dan arca, batu bersurat serta peralatan yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat kuno. Penemuan semula semua artifak sejarah ini telah membuktikan bahawa telah wujudnya sebuah petempatan dan kerajaan pada masa yang lampau di Lembah Bujang.
Kawasan Lembah Bujang pernah dikaitkan dengan Kerajaan Kedah Tua. Kerajaan Kedah Tua dikatakan bermula dengan pembukaan petempatan di Lembah Bujang.
Nama Lembah Bujang adalah merujuk kepada perkataan Sanskrit iaitu nama pangkal "Bujang" atau "Bhujangga" yang bermaksud ular atau naga yang melambangkan kemakmuran sesuatu tempat. Kemakmuran Lembah Bujang telah menarik minat ramai pedagang, terutama daripada India, China dan Arab untuk singgah di sini. Manakala perkataan "Bhujangga" diambil daripada perkataan asal iaitu "Phujangga" yang membawa maksud golongan cerdik pandai atau "Brahmin" di dalam sistem kasta Hindu. Dengan erti kata lain, nama Lembah Bujang diambil daripada perkataan Sanskrit yang mempunyai pengaruh Hindu - Buddha.
Lembah bujang berkembang sebagai sebuah petempatan dan pelabuhan kerana mempunyai ciri-ciri yang istimewa. Kebiasaannya, sesebuah tempat atau kawasan dipilih sebagai petempatan adalah berdasarkan beberapa kriteria. Antaranya ialah mudah didatangi kerana kemudahan pengangkutan contohnya sungai dan jalan darat yang baik, terlindung daripada bencana semulajadi dan serangan lanun serta bekalan makanan yang mudah didapati.
Keadaan muka bumi Lembah Bujang sangat sesuai sebagai sebuah petempatan kerana mempunyai pantai dan tebing di sepanjang Sungai Merbok yang mudah dimudiki, jalan air semulajadi di sepanjang Sungai Muda dan cerun bukit yang membolehkan pedagang berlindung. Kemudahan jalan air ini dikatakan menarik minat pedagang-pedagang untuk singgah di Lembah Bujang. Pedagang-pedagang terutamanya dari China akan menggunakan jalan air ini sebagai jalan pintas untuk pergi ke pelabuhan kerajaan-kerajaan lain seperti Langkasuka dan Srivijaya. Selain itu, terdapat juga faktor-faktor lain yang menjadikan Lembah Bujang sebagai tempat yang penting pada abad ke-4 hingga abad ke-11. Antaranya ialah pedagangan yang wujud antara China dengan India.
Pedagang-pedagang dari kedua-dua negara ini memerlukan tempat untuk mereka bertukar-tukar barang dagangan. Selalunya, tempat yang terletak di pertengahan jalan perdagangan kedua-dua negara akan dipilih sebagai pelaburan pertukaran barang. Lembah Bujang dilihat sebagai tempat yang sesuai di kalangan para pedagang untuk dijadikan pelabuhan untuk bertukar dan menyimpan barang-barang.
Pedagang dari China juga menggunakan Sungai Merbok sebagai jalan pintas untuk bertukar barang di pelabuhan kerajaan-kerajaan lain terutamanya Langkasuka. Sungai Merbok digunakan kerana ia dapat menjimatkan masa untuk cepat sampai ke destinasi perdagangan berbanding dengan penggunaan Selat Melaka dan Laut China Selatan yang memaksa mereka mengelilingi seluruh Kepulauan Melayu.
Lembah Bujang juga berfungsi sebagai tempat menunggu pertukaran angin monsun di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Keadaan laut bergelora serta ribut laut yang berlaku semasa Angin Monsun Barat Daya bertiup di Selat Melaka dan Angin Monsun Timur Laut di Laut China Selatan memaksa pedagang-pedagang mencari tempat untuk berlindung dan Lembah Bujang merupakan tempat yang sesuai untuk pedagang-pedagang berlindung.
Para pedagang juga turut berdagang dengan penduduk-penduduk tempatan di sekitar Lembah Bujang. Menurut H.G Quarith Wales, kawasan Lembah Bujang memang telah sedia didiami oleh masyarakat pribumi yang terdiri daripada Orang Asli dan mengamalkan sistem ekonomi sara diri bergantung kepada pertanian dan hasil hutan seperti damar, rotan dan kayu-kayan.
Barang-barang ini sangat diperlukan oleh para pedagang untuk perdagangan mereka, manakala masyarakat tempatan memerlukan barangan seperti kain, rempah, pinggan mangkuk, tembikar, barang pertukangan untuk keperluan harian mereka.
Masyarakat Asli ini menganuti fahaman animisme dan mudah menerima nilai-nilai baru. Ini memudahkan para pedagang yang membawa bersama mubaligh-mubaligh bagi mengembangkan ajaran agama masing-masing, sebagai contoh Pedagang India telah berjaya mengembangkan agama Hindu dan Buddha pada abad ke-5 di Lembah Bujang. Lembah Bujang seterusnya berkembang menjadi pusat penyebaran agama Hindu - Buddha yang terkenal kerana sikap terbuka penduduknya dan tiada langsung menerima penentangan daripada masyarakat tempatan.
Selain itu, Lembah Bujang juga berkembang sebagai petempatan dan pelaburan disebabkan oleh fungsi Gunung Jerai. Kedudukan Gunung Jerai yang merupakan gunung tertinggi di Barat Semenanjung Tanah Melayu menjadikan kawasan Lembah Bujang sebagai tempat penting.
Pedagang-pedagang telah menjadikan Gunung Jerai sebagai petunjuk arah dan panduan untuk mengelakan mereka sesat terutama pada waktu malam. Puncak Gunung Jerai dapat dilihat dengan jelas dari lautan.
Bagi pedagang dari India pula tertarik dengan keadaan berdekatan dengan Gunung Jerai terutama Lembah Bujang kerana mempunyai banyak air terjun dan subur untuk pertanian. Menurut ajaran agama Hindu, tempat tinggi seperti Kaki Gunung Jerai adalah tempat suci. Oleh itu, mereka memilih Lembah Bujang untuk mengembangkan Agama Hindu.
Abad ke-4 hingga abad ke-11 merupakan zaman kegemilangan Lembah Bujang. Lembah Bujang telah muncul sebagai sebuah pusat perdagangan terpenting di antara Laut Mediteranean dan China. Lembah Bujang pernah berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Ini membantu Lembah Bujang menjadi sebuah pelabuhan yang pesat.
Ramai pedagang yang singgah di sini untuk berdagang dan bertukar barang. Pedagang-pedagang China mengenali Kedah Tua atau Lembah Bujang sebagai "Yeh-po-ti" dan "Chieh Cha".
Pedagang India pula menggelarkan Lembah Bujang sebagai "Kataha", "Katahanagara", "Kidaram", "Kadaram" dan "Kalagam" manakala pedagang dari Arab mengenalinya sebagai "Kalah" atau "Qalha". Lembah Bujang juga terdapat di dalam catatan dan sumber bertulis Barat. Lembah Bujang dalam catatan Barat digelar sebagai "Quedah", "Quedaram", "Kheddah", "Gedda" dan sebagainya.
Peninggalan Agama Hindu - Buddha yang ditemui di Lembah Bujang merupakan kesan daripada proses kemasukan agama Hindu - Buddha melalui perdagangan. Ia juga menunjukkan bahawa "Proses Penghinduan" atau "Indianisasi" berlaku dengan ketaranya di utara Tanah Melayu.
Lamb (1959) telah mengemukakan beberapa peringkat perkembangan kebudayaan di Lembah Bujang dan kawasan sekitarnya.
1. Peringkat Perkembangan Awal Pengaruh Buddha.
Peringkat ini bermula pada abad ke-4. Kawasannya meliputi Bukit Meriam, Bukit Choras dan sekitar tepi pantai. Agama Buddha di bawa masuk melalui aktiviti perdagangan. Banyak candi dibina dan ditemui di kawasan-kawasan ini.
2. Peringkat Kegemilangan Kerajaan Srivijaya.
Pada abad ke-7 hingga abad ke-9, Lembah Bujang berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Lembah Bujang turut berkembang sebagai pusat perdagangan dan perkembangan agama Hindu di nusantara kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Kerajaan Srivijaya.
3. Peringkat Pengkalan Bujang.
Peringkat ini merangkumi abad ke-10 hingga abad ke-14. Lembah Bujang telah mencapai taraf pelaburan entrepot. Agama Hindu-Buddha telah berkembang ke kawasan Matang Pasir, Merbok, Batu Lintang dan Tikam Batu.
4. Peringkat Kuala Muda.
Peringkat ini berlaku pada abad ke 14. Perubahan muara Sungai Muda telah menyebabkan perkembangan kebudayaan semakin malap. Candi-candi banyak dibina di kawasan pedalaman.
Ahli-ahli sejarah lain pula mengatakan agama Hindu-Buddha dibawa masuk ke Lembah Bujang melalui tiga tahap. Tahap pertama ialah tahap Buddha awal. Ia berlangsung dari abad ke-4 hingga abad ke-5. Mubaligh-mubaligh agama Buddha telah masuk untuk berdagang bersama pedagang-pedagang India.
Tahap kedua ialah tahap Hindu iaitu penganut Dewa Siva. Tahap ini berlaku dari abad ke-6 hingga abad ke-8. Pada masa ini, Kerajaan Srivijaya ialah pusat penyebaran agama Hindu yang terkenal. Ia sekaligus dibawa ke Lembah Bujang melalui aktiviti penaklukan, perkahwinan dan hubungan diplomatik. Pada masa itu, Lembah Bujang masih berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Lembah Bujang seterusnya menjadi pusat agama Hindu menggantikan Srivijaya.
Tahap yang terakhir ialah tahap Buddha aliran Mahayana. Ia bermula pada abad ke-9 hingga abad ke-14. Pada masa ini, penduduk tempatan telah berkemahiran membina candi dan menguasai tulisan India terutamanya tulisan "Pallawa".
Pengaruh Lembah Bujang mula merosot apabila agama Islam dibawa ke Tanah Melayu oleh pedagang-pedagang Arab dan kemunculan beberapa pelaburan baru seperti Melaka, Acheh, Singapura dan sebagainya. Penduduk sekitar Lembah Bujang mula menganut agama Islam dan menghapuskan bukti-bukti peninggalan agama Hindu-Buddha.
Selain itu, perubahan muara Sungai Muda dan sungai-sungai berdekatan yang semakin cetek menyebabkan pedagang beralih ke pusat perdagangan lain.
Penulisan sejarah di Kedah Tua amat bergantung kepada peninggalan-peninggalan arkeologi di Lembah Bujang. Proses carigali adalah salah satu kaedah arkeologi. Penyelidikan terhadap arkeologi di Lembah Bujang telah dimulakan pada sekitar tahun 1840an oleh Kolonel James Low. Penemuan ini menarik minat pengkaji-pengkaji lain untuk membongkar sejarah Kedah Tua.
Di sekitar Lembah Bujang sehingga hari ini, sejumlah 41 buah tapak arkeologi atau Tapak Tanah Bersejarah telah dikenalpasti.
Tapak arkeologi atau Tapak Tanah Bersejarah tadi mengandungi pelbagai tinggalan sejarah, seperti struktur atau jumpaan artifak sama ada berkaitan dengan perdagangan atau yang berkaitan dengan artifak keagamaan atau struktur bangunan candi.
Artifak perdagangan terdiri daripada pecahan seramik tembikar tanah, tembikar batu, porselin, kaca, manik serta peralatan yang digunakan oleh masyarakat kuno. Artifak keagamaan pula terdiri daripada candi, patung-patung dan arca.
Kebanyakan barang-barang yang ditemui ini dibuat daripada tanah liat. Bahan binaan untuk candi pula terdiri daripada batu bata, batu sungai, mineral laterit dan batu granit.
Terdapat beberapa candi yang terkenal di Lembah Bujang yang telah ditemui, antaranya ialah Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8), Candi Kampung Pangkalan Bujang (Tapak 19,21 dan 22), Candi Estet Sungai Batu (tapak 5 dan 11/3), Candi Kampung Pendiat (Tapak 16), Candi Kampung Permatang Pasir (Tapak 31) dan Candi Kampung Bendang Dalam (Tapak 50).
Candi-candi ini menjadi bukti bahawa Lembah Bujang pernah menjadi pusat penyebaran agama Hindu suatu ketika dahulu. Walau bagaimanapun, sebahagian daripadanya telah musnah dan struktur asalnya tidak dapat dibentuk semula daripada bencana alam seperti banjir, hakisan, Perang Dunia II ataupun dimusnahkan oleh penduduk tempatan. Namun begitu, candi-candi ini tetap menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengunjungi Lembah Bujang.
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
2 hours ago
1 Komen:
saya suka Lembah Bujang...begitu indah dan uniknya sejarah lembah bujang.lawatan saya ke sana amat mengembirakan.
Post a Comment