Jika mengikut perkiraan tarikh lahir Masehiku sebagaimana tercatat atas surat beranak dan Kad Pengenalan, 8 Muharram 1434 Hijrah ini genaplah usiaku 51 tahun mengikut perkiraan Hijrah. Nampaknya lebih tua daripada perkiraan mengikut tahun Masehi. Apakah akan menjadi azamku untuk menyambutnya setiap tahun bagi menggantikan tarikh mengikut Masehi ? Entahlah ... apa signifikannya. Sekurang-kurangnya aku sedar angka usiaku mengikut tahun Masehi atau Hijrah. Apatah lagi kita baru menyambut Maal Hijrah 1434H.
Kita begitu lumrah di mana-mana surau dan masjid, Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah, diadakan menjelang berakhirnya Zulhijjah dan menjelmanya Muharram. Malahan menjadi program rasmi bagi pihak pemerintah dengan mengadakannya di masjid negeri atau utama sesebuah negeri yang diakhirnya dengan perhimpunan Sambutan Maal Hijrah kemudiannya. Tidaklah aku berhajat nak membahaskan hukumnya salah atau tidak, boleh atau tidak.
Pemilihan tahun berdasarkan kalendar Islam bermula semasa pemerintahan Khalifah Saidina Umar apabila timbul kekeliruan merujuk dokumen dalam baginda menjalankan urusan pemerintahannya. Lalu peristiwa besar penghijrahan Rasulullah s.a.w dipilih sebagai tahun pertama. Manakala Muharram dipilih sebagai bulan pertama dengan hujjah bahawa Muharram adalah bulan orang ramai bersurai daripada perhimpunan besar kerana mengerjakan haji, pulang ke kampung halaman dengan keperibadian baru setelah dosa diampunkan Allah hasil ibadah haji.
Daripada sudut bahasa, Muharram bermaksud diharamkan atau pantang. Ini kerana suatu ketika dahulu dalam bulan ini, Allah melarang keras sebarang peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian, larangan ini dikatakan ditamatkan setelah pembukaan semula Mekah oleh Rasulullah s.a.w setelah baginda berhijrah.
Terdapat banyak tulisan sama ada dalam buku, majalah, surat khabar serta laman web dan blog memperkatakan tentang hikmah dan falsafah hijrah, serta kelebihan dan kemuliaan bulan Muharram. Namun bagiku, kita perlu berhati-hati dengan hadis-hadis mengenai kelebihan, amalan khusus dan peristiwa dalam bulan Muharram. Aku berharap apa yang aku catatkan di bawah, tidak lari daripada itu. Yang penting kita kena jelas kaitan 1 Muharram dengan peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w.
Peristiwa Hijrah Dan Bulan Muharram ?
Muharram bukanlah bulan berlakunya penghijrahan Rasulullah s.a.w ke Madinah. Tetapi ia adalah bulan pertama yang dipilih dalam dalam kalendar tahunan Islam. Hanya tahun penghijrahan Rasulullah s.a.w dipilih sebagai tahun pertama. Terdapat pendapat pengkaji sirah menyatakan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi Rasul. Baginda kemudian memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal.
Habis tu, kenapa 1 Muharram kita menyambutnya dengan cuti kelepasan am sambil saranan untuk menghayati pengertian hijrah ? Bagaimana pula kini dikaitkan dengan Maal Hijrah serta penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah, selain mengambil tahun penghijrahan Rasulullah sebagai tahun pertama dalam Islam.
Hari Asyura atau 10 Muharram
Hari ke 10 Muharram disebut juga sebagai Hari Asyura. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Bagi masyarakat kita, lekat nama Bubur Asyura yang diambil sempena bubur masakan mereka yang terselamat bersama Nabi Nuh, keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan dengan bah besar.
Apa yang disunatkan pada hari tertsebut ialah berpuasa dan bersedekah. Dari Ibnu Abbas, “Bahwa Rasulullah s.a.w berpuasa pada hari ‘Asyura dan memerintahkan untuk berpuasa padanya”. (Muttafaqun ‘Alaihi). Manakala dari Abu Qatadah r.a bahawaq Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari ‘Asyura. Beliau menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu” ( H.R Muslim ).
Akhirnya, hadits yang Ketiga, Dari Ibnu Abbas r.a.beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Apabila (usia)ku sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan” ( H.R. Muslim ) Ini adalah lantaran orang Yahudi juga membesarkan 10 Muharram ketika itu. Jadi puasa 9 Muharram bagi membezakannya dengan orang Islam. Namun Rasulullah s.a.w tidak sempat melaksanakannya kerana wafat tahun berikutnya.
Abu Musa al-Madani pula meriwayatkan dari Ibnu Abas, “Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura adalah seperti berpuasa setahun dan sesiapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah baginya bersedekah setahun” ( H.R Al-Bazzar )
Daripada Ibnu Mas'ud, daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda, "Sesiapa yang memperluaskan makanan ke atas keluarganya pada hari Asyura, akan sentiasa berada salam keadaan diperluaskan rezekinya sepanjang tahun itu" ( H.R al-Tabrani )
Peristiwa Besar Muharram
Berbanding dengan hal 1 Muharram, nampaknya 10 Muharram lebih besar peristiwanya. Berdasarkan kisah yang dicatatkan dalam pelbagai media, terdapat pelbagai kejadian besar berlaku ketika 10 Muharram, antaranya seperti berikut :-
• Hari pertama Allah menciptakan alam.
• Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
• Hari pertama Allah menurunkan hujan.
• Allah menjadikan 'Arasy.
• Allah menjadikan Luh Mahfuz.
• Allah menjadikan Malaikat Jibril.
• Nabi Adam a.s. dicipta.
• Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah.
• Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit.
• Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
• Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud.
• Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
• Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun.
• Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut.
• Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.
• Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
• Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s..
• Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
• Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah.
• Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
• Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda.
• Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh tentera khalifah Bani Umaiyyah iaitu Khalifah Yazid.
Kepentingan Hijrah
Memang kita akui akan kepentingan Hijrah Rasulullah s.a.w untuk kita hayati sempena Maal Hijrah. Jika tidak bersempena dengan Maal Hijrah 1 Muharram, bila lagi hendak diperingati ? Rasulullah s.a.w dan para sahabat berhijrah untuk menyelamatkan agama dan akidah, mencari jalan bagi melicinkan usaha memantapkan penghayatan agama dan merupakan usaha mengembangkan risalah Islam kepada seluruh manusia sekalipun mereka terpaksa menanggung kerugian duniawi. Mereka berhijrah meninggalkan semua harta setelah kaum muysrikin Mekah menghalang mereka membawa bersama-sama harta mereka.
Ini berbeza dengan hijrah atau perpindahan manusia zaman kini dari kampung ke bandar yang bertujuan mencari rezeki dan keselesaan hidup. Namun, kedua-dua bentuk hijrah dan perpindahan tersebut aku kira tetap mendapat ganjaran dari Allah s.w.t selagi mana dilakukan kerana-Nya.
Intipati peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah bukan sahaja tertumpu kepada perpindahan jasad, tetapi antara tujuan yang penting ialah untuk membimbing dan mendidik para Sahabat yang baru sahaja memeluk agama Islam ke arah kesempurnaan penghayatan Islam sedikit demi sedikit.
Pendek kata, falsafah penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah adalah untuk memastikan perpindahan keyakinan, tasawur, akhlak dan sikap para Sahabat dari pengaruh jahiliyah kepada pengaruh wahyu dan fitrah, dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Buktinya, Islam menjadi lebih terbilang setelah penghijrahan berlaku.
Hijrah Meninggalkan Maksiat
Dari sudut bahasa, Hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah, hijrah adalah meinggalkan sesuatu yang dilarang. Ini adalah berdasarkan hadis bahawa Rasulullah s.a.w, "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan kejahatan, maka dia menjauhinya" ( H.R Ahmad )
Makna yang luasnya, hijrah difahami sebagi perpindahan dari suatu keadaan tidak baik atau kurang baik kepada keadaan yang lebih baik dan tentunya yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Nota : Dipublish semula, pertama kali pada SATURDAY, DECEMBER 11, 2010 dengan sedikit penyesuaian. Kemudian pada 27 November 2011 dan pada hari ini sempena 1 Muharram 1434H.
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
2 hours ago
0 Komen:
Post a Comment