Berkuatkuasa tengah malam 15 Ogos 2011, tiada lagi sekatan jalan raya dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan. Sebaliknya, kesalahan lalu lintas tertentu akan dirakam menggunakan kamera oleh 3,500 penguatkuasa bertugas di seluruh negara. Sesiapa yang cuba merasuah penguatkuasa JPJ mereka akan diheret ke muka pengadilan. Itu antara pendekatan terbaru JPJ dalam kempen bersepadu Agensi Keselamatan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Siang tadi, berlangsung majlis pelancaran operasi penguatkuasaan bersepadu musim perayaan Aidilfitri. Ia dirasmikan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan. Tugas merakam gambar kenderaan dan pelaku kesalahan jalan raya akan dilakukan penguatkuasa berpakaian preman. Datuk Solah Mat Hassan, Ketua Pengarah JPJ: “Mereka akan ambil gambar. Kalau guna telefon semasa memandu, potong sebelah kiri, lorong kembar, lorong kecemasan. Peronda banyak guna kamera sementara elak jam. Mereka yang disyak akan disiasat selepas raya.”
Bagi memastikan bas dinaiki penumpang selamat dari segi teknikal, JPJ turut menempatkan 240 anggotanya di 32 terminal bas utama di seluruh negara. Mana-mana bas ekspres yang gagal pemeriksaaan Puspakom, kerana kegagalan sistem brek 3 kali berturut-turut, lesen kenderaan akan digantung sebulan. Selain itu, pendekatan penyamaran sebagai penumpang akan dilakukan selain memeriksa bas ekspres di depoh bas.
Julung kalinya, Ops Aidilfitri JPJ tahun ini disertai SPRM. Ia ekoran peningkatan kes iaitu cubaan merasuah pegawai JPJ membabitkan pemandu dan pemilik syarikat kenderaan. Datuk Mustafa Ali, Pengarah Siasatan SPRM: “Dengan ada kempen berterusan, ada hasil 2 tahun ini. 4 tahun kebelakangan ini, kita amik tindakan lebih tinggi”.
Bas ekspres mencukupi
Sementara dalam www.utusan.com.my menyebutkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman menggunakan bas ekspres sempena Hari Raya Aidilfitri, tidak perlu bimbang untuk mendapatkan tiket kerana kenderaan awam itu akan ditambah dua kali ganda. Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangannya dengan beberapa pihak pengurusan bas ekspres, baru-baru ini.
“Oleh itu orang ramai tidak perlu risau sekiranya belum mendapatkan tiket bas untuk pulang ke kampung masing-masing kerana tiket bas akan sentiasa disediakan selagi ada permintaan. “Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga dijangka menerima kira-kira 1,500 permohonan Lesen Perubahan Sementara dari pengusaha bas kilang, bas sekolah dan bas sewa khas untuk digunakan sebagai bas ekspres,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar sempena pelancaran Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Musim Perayaan Aidilfitri di Stesen Penguat Kuasa JPJ Gombak, dekat sini hari ini. Pada majlis sama, seramai 37 anggota dan pegawai JPJ menerima sijil penghargaan sempena Kempen Melaporkan Tawaran Rasuah yang dijalankan agensi itu sejak Mei lalu dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Solah sehubungan itu, memohon kerjasama dan komitmen pemandu bas ekspres memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang sepanjang musim perayaan ini. Pihaknya akan meningkatkan operasi terhadap bas-bas ekspres bagi memastikan penumpang selesa dan selamat sepanjang perjalanan menuju ke destinasi.
“Antaranya anggota JPJ akan ditempatkan di terminal-terminal bas utama di seluruh negara, menjalankan pemeriksaan bas ekspres di depot bas dan menyamar sebagai penumpang,” katanya.
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
2 hours ago
0 Komen:
Post a Comment