Selalunya dalam menyambut Maulidur Rasul atau kelahiran Rasulullah s.a.w, pengkisahan kelahiran beliau sering menjadi topic utama dalam sambutan yang dilakukan. Ini diikuti dengan pahit getir perjuangan baginda serta nilai yang wajar menjadi teladan kepada umat memandangkan Rasulullah s.a.w diutuskan sebagai pembawa rahmat untuk sekalian alam ini.
Namun aku jadi sebak pada Malam Konsert Berselawat 1433H yang aku dan famili hadiri pada 6 Febuari 2012 lalu di AU5C Hulu Kelang. Ustaz Zulkifli Pandan dalam tazkirahnya menceritakan detik-detik kewafatan Rasulullah s.a.w di mana beliau sentiasa mengingati ummatnya walaupun dalam keadaan nyawanya hendak dicabut.
Ini ditambah dengan alunan nasyid yang disampaikan oleh kumpulan nasyid yang tidak asing lagi di negara kita, Kumpulan Inteam. Kumpulan tersebut menyampaikan lagu Pemergianmu di celahan selawat qasidah berkumpulan bersama Al-Walid dan pelajar Mahad Tahfiz Dar Al-Quran Wal-Hadith.
Sebelum itu, kumpulan nasyid Unic memberikan persembahan mereka. Tetapi tidak satu pun lagu mereka berkaitan dengan tema konsert selawat. Setelah tazkirah oleh Ustaz Zulkifli Pandan, diikuti dengan persembahan bersama Ustaz Zul dengan Sham Kamikaze yang menyampaikan lagu Pelangi Petang dan KepadaMu Kekasih. Boleh tahan juga Ustaz Zul menyanyi.
Sham Kamimaze puntidak ketinggalan memberikan tazkirah kepada orang ramai serta menyampaikan beberapa mesej khusus untuk orang muda pada malam tersebut.
Lagu Pemergianmu sebenarnya bukanlah lagu baru, malah sering aku dengari sebelum ini. Tetapi entah macamana baru aku sedari rupanya lagu tersebut mengkisahkan Pemergian Rasulullah s.a.w. Apabila mendengarkan semula serta mengulang-ulanginya menerusi youtube, terasa ianya menusuk kalbu dan terasa ingin terbang menziarahi makam Rasulullah s.a.w di Masjid Nabawi sekarang juga. Mengapa tidak aku menyedarinya sebelum ini, sebelum dua kali kunjungan aku ke Madinah.
Pemergianmu
Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan
Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan isterimu Humaira?
Menunggu saat ketikanya
Diangkat rohmu bertemu Yang Esa
Tangan dicelup di bejana air
Kau sapu di muka mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat dan akhirat
Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu
Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusia kan mati akhirnya
Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya
Ya Rasulallah
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu
Pemergian Rasulullah s.a.w menyebabkan Bilal enggan mengalunkan azan lantaran begitu sedih. Bilal tidak pernah azan selepas Rasulullah s.a.w wafat, sehinggalah pada suatu hari di mana para sahabat yang selama ini sibuk berjuang dan berjihad menyebarkan Islam ke pelusuk dunia berkumpul di Bukit Golan Baitulmaqdis.
Pada salah satu waktu solat, Umar meminta Bilal mengalunkan azan. Bilal yang tidak pernah azan setelah Rasulullah wafat, tidak dapat menyelesaikan azan lantaran menangis ketika azan dilaungkan. Sebak dan berlinangan air mata para sahabat kerana azan tersebut mengingatkan mereka dengan Rasulullah s.a.w, perjuangan pahit getir serta pengorbanan sehingga menimbulkan kerinduan yang teramat sangat dengan Rasulullah s.a.w, yang walaupun telah agak lama wafat, terasa seperti baru pergi meninggalkan mereka.
Rasulullah s.a.w yang agung telah pergi dan menjadi lumrah setiap manusia, setiap yang hidup pasti akan mati kembali menemui Allah. Ya Rasullullah, terima kami sebagai umatmu, pengikutmu dan menerima syafaatmu di Padang Mahsyar nanti.
Gambar Sekitar Konsert Selawat 1433H
Teringat semasa ke Masjid Nabawi dahulu. Di bawah kubah hijau itulah terletaknya maqam Rasulullah s.a.w.
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
3 hours ago
1 Komen:
AsSalam
Ustaz Zul tu kalau nyanyi rock, boleh tahan suara dia..
Laila
orang SU
Post a Comment