Walaupun sukar hendak mempercayai, namun itulah hakikatnya. Ibu saudaraku Hjh Rafeah binti Hj Dayat yang lebih aku kenali termasuk saudara mara terdekat dengan panggilan sebagai Che Inah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 10.05malam, Rabu 10hb April 2013 pada usia 53 tahun kerana kanser paru-paru dalam rumahnya sendiri di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Arwah baru sahaja pulang mengerjakan umrah bersama jiran-jiran taman perumahannya pada 12 Mac lalu. Sebelum berangkat pada 28 Februari, arwah dikatakan mengalami batuk-batuk sehinggalah sepanjang mengerjakan umrah dan sehari selepas pulang terus dimasukkan ke Darul Ehsan Medical Center ( DEMC ) Shah Alam. Aku dan keluarga sempat melawat arwah di DEMC pada 17 Mac dan beliau kelihatan ceria sahaja berborak walaupun mengadu agak sakit di dada apabila batuk dan bernafas.
Selepas beberapa hari sambil menunggu keputusan imbasan doctor, beliau disahkan menghidap kanser paru-paru dan di pindahkan ke HUKM, Cheras lantaran tidak ada kepakaran di DEMC. Hairan juga, sebesar DEMC yang nampak canggih, takde kepakaran tersebut. Sempat juga melawat arwah pada malam 21 Mac 2013. Pada ketika itu daripada raut wajah, nampak agak keletihan walaupun masih boleh bersapa dan cakap.
Selepas daripada itu, kunjungan ziarah aku ke HUKM hanya dapat memerhatikan keadaannya dalam keadaan kesukaran walaupun mendapat bantuan pernafasan. Namun alhamdulillah, arwah masih kuat untuk melakukan solat secara berbaring. Sepanjang arwah di HUKM, dua kali aku mendapat panggilan kecemasan tentang keadaan arwah.
Kali pertama pada tengah malam atau awal pagi 2 April, arwah dikatakan tenat walaupun mendapat bantuan pernafasan. Doktor kata stabil, cuma paru-paru masih tidak kuat serta demam sikit. Doktor kata tapi tidak boleh berikan harapan yang terlampau tinggi. Sesekali arwah kelihatan tercungap-cungap untuk bernafas, aku berserta sedara maraku yang berada yang berada di sana mejadi resah gelisah. Sedara maraku yang tinggal sekitar Lembah Kelang saling silih berganti mengajar mengucap, mengaji dan baca surah Yasiin. Memasing berdoa moga Allah memulih dan memberikan yang terbaik untuk Che Nah.
Pada petang 9 April mendapat panggil arwah tenat. Memang nampak perlahan sangat pernafasannya. Berdasarkan info doktor yang disampaikan tengahari tadi, memang arwah tengah tenat. Kanser dah melarat ke paru-paru sebelah kiri. Hanya 1/3 daripada paru kiri masih berfungsi. Yang sebelah kanan sudah 'out'. Rupanya kanser sudah tahap 4.
Aku semakin terasa akan kehilangan arwah. Aku hanya mampu membacakan Yassin di sisi arwah dan berdoa menagih keajaiban daripada Allah untuk arwah terus hidup serta berdoa agar Allah berilah yang terbaik baginya, sebagai insan suci setelah pulang menjadi tetamuNYA di tanah Al-Haram.
Kasihan pula aku melihatkan keadaan Che Rauf, suami kepada Che Inah yang turut keletihan berjaga berada di sisi Che Inah silih berganti dengan sesekali membisikan kalimah syahadah di telinga arwah. Makan minum pun sudah tidak lalu, badan pun mengurus jugak.
Kemudian aku mendapat maklumat yang arwah dibawa pulang ke rumah petang 10 April. Terdetik dalam hatiku, mungkin keputusan diambil setelah kesihatan semakin susut dan tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan. Lantas aku ke rumah arwah pada malam itu. Di rumah arwah diletakkan di atas katil di tengah ruang tamu rumah sedang para jemaah surau/masjid sedang bacakan surah Yasin. Bersamanya tong oksigen beserta alat pernafasan untuk arwah bernafas yang disewa daripada HUKM. Aku mendekati arwah yang masih bernafas perlahan. Keadaan arwah macam tak berubah, mungkin semakin susut.
Selesai kumpulan pertama, datang kumpulan kedua yang ramai membacakan surah Yasiin diikuti dengan bacaan doa. Sebaik bacaan doa, arwah terus kelihatan nazak dan meninggal menghembuskan nafasnya yanag terakhir dengan iringan bacaan beramai-ramai secara perlahan akan kalimah syahadah. Aku tidak sanggup melihatkan keadaan tersebut hanya mampu terduduk menangisi akan pemergian arwah yang dikasihi. Moga arwah dapat mengikuti bacaan kalimah tersebut sehingga nafasnya yang terakhir.
Arwah Che Nah pergi jua, setelah berjuang melawan kanser yang dihadapinya. Mungkin agak terkilan, arwah pergi pada usia baru 53 tahun, namun aku percaya ada hikmah daripada Allah. Cuba bayangkan sekiranya Allah menerima umrah beliau ( insya’allah ), arwah ‘pergi’ dalam keadaan suci bersih dosa diampunkan Allah …. Moga janji Allah, syurga buat arwah.
Inilah yang sempat aku bisikkan kepada suami arwah, ‘anggaplah pemergian arwah sebagai suatu rezeki buatnya setelah kembali daripada Umrah. Moga Allah menerima umrah arwah’. Nampaknya suami arwah redha dan tidak terkilan sangat sebab sempat 3 kali buat umrah semasa di Mekah bebaru ini.
Sebaik arwah meninggal, suasana rumah sunyi sepi sebentar. Mungkin masih tidak percaya arwah telah tiada. Namun tangisan daripada mereka yang menyayangi arwah memang tidak dapat ditahan-tahan lagi. Tiba giliran kumpulan wanita mengadakan tahlil dalam rumah. Turut hadir menziarahi arwah ialah exco kerajaan Selangor, iaitu YB Rodziah Ismail yang juga Adun Batu 3, Shah Alam.
Arwah merupakan seorang yang baik hati, rajin membantu serta disenangi bukan sahaja oleh sedara mara, tetapi juga oleh kengkawan pejabat serta jiran tetangga. Semasa diberitahu yang rumah berselerak ditinggalkan apabila arwah hendak di bawa pulang, ramai kengkawan arwah membantu mengemaskan rumah sehingga dibelikan katil serta tilam bantalnya. Di atas katil itulah arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Walaupun tidak dikurniakan zuriat, namun anak anak serta cucu sedara cukup menyayangi beliau. Semasa terlantar di hospital, tidak putus-putus menerima kunjungan sehingga terasa kesian pulak mungkin kepenatan.
Malah semasa menyembahyangkan arwah di surau, aku kira mungkin sampai 1,000 orang yang hadir termasuk lelaki dan wanita. Ini mungkin petanda memasing begitu terasa akan kehilangan dan pemergian arwah yang disayangi dengan begitu ‘cepat’. Sedang arwah juga dikatakan tidak pernah sakit sehingga dimasukkan ward sebelum ini. Setakat demam tu biasala ...
Semasa bangku sekolah rendah, aku kira agak rapat juga dengan arwah sebab ketika itu aku tinggal sebumbung bersama datuk dan nenekku, lantaran dekat dengan sekolahku berbanding rumah ibubapaku. Namun apabila aku masuk sekolah asrama, mulalah terpisah dengan beliau.
Masa remaja serta usia muda pun beliau agak aktif terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan di kampong sebelum berhijrah mendapat perkerjaan di Kuala Lumpur sehinggalah ke Syarikat Telekom yang kemudiannya di swastakan.
Ternyata Allah lebih menyayangi arwah yang merupakan seorang hamba Allah yang baik dan ‘berjurus’. Beliau merupakan anak bungsu daripada yang dari kalangan 8 orang adik-beradiknya termasuk ibuku yang masih hidup. Berehatlah dalam persemadian aduhai nindaku.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Kami yang sedang meneruskan penghidupan ini akan menyusul jua, cuma tidak tahu bila …
Antara Kenangan Bersama Arwah
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
2 hours ago
0 Komen:
Post a Comment