KALIMAH ALLAH: EMOSI DAN REALITI
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Ramai minta saya tulis artikel tentang isu nama Allah yang dipanaskan semula dan terus menjadi krisis antara sesetengah pihak muslim dengan sesetengah pihak Kristian. Saya sebenarnya telah coretkan hal ini pada tahun 2007 masa saya masih memegang jawatan Mufti Negeri Perlis. Di sini saya sentuh sekali lagi.
Hanya Di Sini
Isu kalimah Allah ini akan menjadi satu sejarah yang menarik dan tersendiri di Semenanjung Malaysia. Isu seperti ini tidak wujud di negara-negara Arab kerana Kristian Arab dan Bible dalam Bahasa Arab sejak sebelum dan selepas Nabi Muhammad s.a.w memang menggunakan perkataan Allah merujuk kepada Tuhan. Bahkan kaum Quraish sebelum kehadiran Nabi Muhammad s.a.w juga guna nama Allah.
Bapa Nabi Muhammad s.a.w bernama Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Padahal bapa Nabi Muhammad s.a.w tidak sempat pun bertemu dengan Nabi s.a.w sebagai RasululLah. Kristian Qibti (Coptic) di Mesir juga sejak sekian lama memanggil Tuhan ‘Allah’. Demikian Kristian Lebanon dan Jordan, gereja-gereja mereka berdoa dengan memanggil ‘Allah’ sejak zaman silam. Apa yang hendak dihairankan, asal-usul ajaran mereka dari ajaran Nabi Isa a.s. Justeru bukan sahaja perkataan Allah, banyak lagi perkataan yang membabitkan akidah yang sama antara Islam dan Kristian seperti nama para nabi; Ibrahim, Musa, Harun, Isa dan lain-lain.
Orang Islam seluruh dunia setiap hari melafazkan ayat dalam Surah al-Fatihah (maksudnya): ‘segala puji bagi Allah tuhan segala alam’. Tiada muslim pun yang menyebut ‘segala puji bagi Allah Tuhan kaum muslimin sahaja’. Ini kerana muslim mengakui Allah itu tuhan untuk semua, bukan tuhan untuk kaum dan pihak tertentu sahaja.
Maka isu kalimah Allah tidak pernah timbul di negara-negara Arab. Bahkan mereka mungkin sukar untuk faham dan hairan apabila kita memberitahu kita menghalang pihak Kristian memanggil Tuhan itu Allah. Di Sabah dan Sarawak juga sudah berpuluh tahun mereka menggunakannya.
Kristianisasi
Di Semenanjung Malaysia, dalam kitab agama Sikh, nama Allah disebut. Sementara orang cina yang bukan muslim di Kelantan terbiasa dengan kalimah ‘inshaa Allah’. Ada lagu negeri-negeri yang terdapat ‘kalimah Allah’ yang dinyanyikan oleh semua rakyat berbilang agama. Logo-logo Polis dan Tentera tertulis ‘Allah’ dan ‘Muhammad’. Logo-logo itu dipakai oleh anggota yang muslim dan non-muslim.
Namun apabila orang muslim di Malaysia digembar-gemburkan isu tentang Kristianisasi, maka keadaan resah mula timbul dalam kalangan umat Islam. Kristianisasi sesuatu yang benar-benar wujud. Orang muslim dalam negara ini bimbang. Maka, apabila timbul edaran pihak Kristian dalam bahasa Melayu yang menyebut Tuhan sebagai Allah yang selama ini dari segi kebiasaan orang Melayu Semenanjung hanya mereka sahaja memakai kalimat ini, maka emosi mereka mula bangkit. Apa tidaknya, mengapakah hanya versi melayu sahaja yang hendak digunakan ‘perkataan Allah’?! Mengapa tidak edaran gereja yang berbahasa Inggeris, Cina, Tamil dan lain-lain juga menggunakan Allah?
Provokatif
Kelihatan seolah macam ada ‘hidden agenda’ ataupun ‘mala fide’ di situ. Maka ramai yang membantah dan menganggap ada unsur provokasi agama di pihak Kristian, bukan kerana mereka memang ingin memanggil tuhan itu Allah, tetapi sekadar umpan yang hendak digunakan bagi memancing umat Islam yang terbiasa dengan kalimah itu. Maka kelihatan unsur provokatif di situ.
Maka, bantahan untuk orang bukan muslim menggunakan nama Allah dalam edaran bahasa melayu kelihatan macam mempunyai alasan di sudut keharmonian masyarakat berbilang agama dan ijtihad pentadbiran. Ia bukan berasaskan nas yang jelas melarang secara langsung hal itu, tetapi atas asas pemerintah bertindak demi kepentingan awam.
Jika sekadar itu, maka bolehlah terima pendapat yang melarang. Ia bukan larangan mutlak bahawa bukan-muslim sama sekali tidak boleh menyebut dan menggunakan nama Allah, tetapi menggunakan nama tersebut dalam bentuk provokasi agama dilarang.
Salah Faham
Malangnya ada muslim yang tidak jelas hal ini sehingga menyatakan bukan muslim sama sekali tidak boleh menggunakan nama Allah. Kononnya nama Allah eksklusif untuk muslim sahaja. Ada pula yang berfatwa ‘murtad sesiapa yang membenarkan‘. Pada hal nas asal, dalam al-Quran dan al-Sunnah membenarkan bahkan menggalakkan mereka menggunakannya selagi mana penggunaan itu merujuk kepada Tuhan Yang Sebenar ataupun ‘The Supreme Being’. Banyak ayat al-Quran yang menegaskan hal ini. Firman Allah:(maksudnya)
“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).
Bahkan Nabi s.a.w ketika mencabar orang-orang Kristian bermubahalah ataupun bersumpah laknat, mereka diminta bersumpah dengan nama Allah, bukan nama Jesus. Firman Allah: maksudnya)
“Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka jadilah ia. Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau dalam kalangan mereka yang ragu-ragu. Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”. (Surah Ali ‘Imran 59-61).
Jika Islam larang mereka secara mutlak menyebut Allah, bagaimana mungkin mereka disuruh bersumpah dengan nama Allah?!
Al-Imam Muslim dalam sahihnya pula meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:
“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w: barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.
Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ertinya, Nabi s.a.w membenarkan penggunaan nama Allah seperti yang pihak kafir Quraish minta. Jika itu dilarang, tentu cadangan mereka ditolak!.
Lojik
Kita bayangkan jika mereka langsung tidak boleh panggil Allah, bagaimana dengan Kristian Arab jika datang ke Malaysia? Apakah mereka terpaksa menahan diri dari menyebut masya Allah dengan diganti ‘masyaa God’.
Jika bukan muslim bertanya siapakah tuhan saya yang sebenar. Muslim hendaklah menjawab Allah. Dia tidak boleh berkata ‘tuhan awak lain dan tuhan saya lain. Awak tidak boleh menyebut nama tuhan saya’. Jika dia berkata demikian, maka dia syirik.
Maka, sepatutnya larangan itu hanya apabila ia dalam bentuk provokasi yang menimbul ketegangan masyarakat. Kenyataan yang menyatakan larangan itu mutlak adalah tidak berasaskan ajaran Islam. Apatah lagi kenyataan yang memurtad sesiapa yang mengizinkan seakan memurtadkan Nabi s.a.w, dan umat Islam di seluruh dunia.
Maka, kita muslim hendaklah mengendali isu dan mengetahui hubung kait sesuatu itu sebelum hendak dibangkit sentiment agama mengenainya. Jangan kita melebihi kadar yang sepatutnya, juga jangan kita lalai tentang keamanan dan keharmonian hidup dalam negara yang pelbagai agama. Dakwah Islamiah hendaklah ditingkatkan. Sebarkan Islam dan banyakkan dialog antara agama seperti yang Dr Zakir Naik lakukan. Kenapa kita sentiasa ketakutan ditewaskan sehingga begitu defensive?! Bawalah mesej Islam dengan penuh hujah dan hikmah.
Disiarkan pada Oct 17, 2013
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
3 hours ago
0 Komen:
Post a Comment