Terasa macam dah lama tak ke Langkawi. Tetapi kali terakhir ke sini ialah pada 6 Oktober 2013 .. ha .. ha. Bebaru ni aku berkesempatan ke sana lagi atas urusan rasmi ofisku. Lalu aku lanjutkan keberadaanku di sana selama sehari sahaja. Peluang ini aku ambil untuk ke Pulau Dayang Bunting serta aktiviti sampingannya iaitu ke Pulau Beras Basah dan aktiviti Eagle Feeding. Isteriku turut bersama.
Memang aku tidak pernah mengikuti aktiviti Island Hoping di Langkawi sebelum ini. Dengan kos perjalanan bot hanya RM35, aku mula menunggu seawal 9.00pagi di Jeti Awana.
Pulau Dayang Bunting
Sampai sahaja, tidak ramai orang di jeti berkenaan. Ingat salah tempat. Menjelang 9.30pagi, berduyun-duyun orang sampai. Terdapat pelbagai syarikat pengusaha aktiviti ini yang masing-masing dibezakan dengan tag yang ditampal pada pakaian mengikut identiti syarikat.
Maka bermulalah perjalanan kami menaikki boat dengan muatan 10 orang. Perjalanan agak lancar dengan kelajuan sederhana, tanpa gangguan ombak yang sering menghempas bot sehingga menyakitkan perut. Setiap penumpang diberikan jaket keselamatan.
Ketika melalui beberapa buah pulau, tetiba boat kami berhenti seketika setelah kekira 15 minti perjalanan. Pemandu boat kemudian mengarahkan kami melihat kepada sebuah pulau yang mempunyai bentuk seperti orang hamil sedang tidur.
Ituah Pulau Dayang Bunting katanya. Tampak bentuk kepala, dada, perut dan kaki. Bagaimana bentuk itu dimaintain ? Suatu kejadian semula jadi atau di ‘trim’ mana pokok yang terlebih tinggi tumbuh ke atas... ha .. ha. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan. Pemandu turut menunjukkan beberapa buah gua yang terbentuk di beberapa buah pulau yang kami lintasi. Gua-gua kecil tersebut terbentuk akibat hakisan air yang berlaku selama mungkin ratusan, atau mungkin ribuan tahun sebelum ini.
Ada yang dinamakan Gua Langsuir dengan bentuk yang pelbagai dan kononnya menyeramkan, entah mana satu. Melayu memang tidak lepas daripada mensensasikan hal sebegini. Kemudian kami sampai di Jeti Pulau Dayang Bunting. Pemandu kata sejam sahaja dan kemudian kumpul semula di Jeti. Aku ingatkan dia pun turun sama menunjukkan jalan, tetapi kami hanya ikut orang depan sahaja. Mudah perjalannnya lantaran lorongan perjalanan memang disediakan.
Cantik pemandangan di sekitar jeti dengan latar belakang bukit bukau batu kapur sekitarnya. Namun perjalanan menyusuri jeti agak ‘menakutkan’ disebabkan monyet-monyet yang berkeliaran menyambut ketibaan kami. Mungkin akibat kelaparan.
Beberapa pengunjung diterkam, mungkin terhidu makanan oleh monyet berkenaan. Namun terdapat juga aksi monyet yang melucukan seperti mencari kutu, selain menyelongkar bag-bag plastic sampah mencari makanan.
Pulau Dayang Bunting sebenarnya tiada penghuni bagi mengekalkan keadaan semula jadi. Namun ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan pelancongan seperti tandas, surau, kedai cenderahati dan makanan ringan.
Perjalanan bermula dengan mendaki bukit yang agak rendah, kemudian menurun menyusuri binaan tangga dua haluan, iaitu untuk menurun dan satu lagi menaik.
Kelihatan juga keterangan mengenai kejadian batu-batuan sebagai maklumat pengunjung. Sambil berehat kepenatan mendaki, bolehlah berhenti baca sekejap.
Semasa menuruni bukit sudah kelihatan tasik yang kelihatan cantik disebabkan persekitarannya.
Terdapat satu infoboard, Tasik Dayang Bunting asalnya merupakan gua yang kemudiannya runtuh bumbung atasanya. Di atas kolam runtuhan tersebut ia kemudian menakung air hujan sehingga menjadi tasik. Wau ...
Dikatakan ia seluas tiga kali keluasan padang bolasepak. Apakah permukaan air tasik tersebut lebih rendah daripada aras permukaan laut di jeti tadi ?
Setelah kira-kira 15 perjalanan, akhirnya sampailah kami di pelantar yang disediakan. Pemandangan sekitar memang menarik. Pelbagai aktiviti seperti mandi-manda dan mengayuh bot begitu rancak.
Dua kolam khas disediakan iaitu untuk dewasa dan kanak-kanak. Ada juga yang mandi di air tasik terbuka, sama ada dengan jaket keselamatan atau tidak. Yang Mat Salleh pulak, ikut suka merekalah dengan ‘pakaian mandi resmi’ mereka.
Aku tidak melepas peluang mandi di kolam yang disediakan. Airnya tawar sahaja, walaupun di tengah-tengah pulau yang dikelilingi air masin. Malah dikatakan suatu ketika dahulu pulau ini menjadi sumber air tawar untuk Langkawi.
Betulkan dikatakan air di sini mujarab untuk membantu wanita yang sukar hamil atau mandul, supaya boleh hamil apabila meminumnya ?
Tepuk dada tanya iman ... Mungkin ianya sekadar mitos atau gimik dalam menarik kunjugan pelancong dan orang ramai.
Selain mandi, ramai yang sekadar mengembil peluang merendam kaki ke permukaan air.
Dulu dikatakan ada ikan keli tasik yang akan mengigit kaki sebagai terapi. Sekarang dah takde ? Atau di tempat lain ?
Mengenangkan hanya sejam kami diberikan peluang di sini, aku kemudiannya bergegas pulang ke jeti terutamanya apabila melibat penumpang lain dalam bot aku tadi ada yang sudah bergerak kembali ke jeti.
Berjalan naik turun bukit sepanjang 1km boleh dianggap exercise. Hilanglah beberapa puloh kalori hari ini agaknya. Namun mood keseronokan berada di Pulau Dayang Bunting diragut dengan tempoh menunggu bot kami datang semula menjemput untuk destinasi seterusnya. Sejam kami menunggu, nak call takde line. Boring betul.
Kesesakan di jeti patutnya boleh diatasi. Umpamanya laluan turun dan naik yang berbeza atau besarkan sikit kawasan menunggu. Aku perhatikaan, pengunjung tidak putus-putus datang dan pergi ke Pulau Dayang Bunting ni.
Eagle Feeding
Apabila bot sampai, kami dalam kumpulan yang sama terus turun menaik bot dan bergerak menuju tempat eagle feeding. Pemandu kata ada emergency, terpaksa balik semula ke Jeti Awana. Argh ... aku dah mula terasa nak balik terus sahaja.
Kekira 10 minit kemudian, kami sampai di sebuah pulau dimana pulohan burung helang kelihatan berterbangan menyambar makanan yang timbul di permukaan laut. Makanan yang dimakan berupa kulit ayam yang ditaburkan oleh pemandu bot yang sampai di sini.
Agak menarik dan besar saiz burung ini jika dibandingkan dengan yang ada di Kilim Geopark. Warnanya kelihatan putih sedikit. Difahamkan pulau tersebut ialah Pulau Singa Besar. Terdapat binaan jeti yang kelihatan sudah usang.
Pulau Beras Basah
Seterusnya kami bergerak ke Pulau Beras Basah. Memandangkan kami telah lewat selama satu jam, ada kalangan ahlu kumpulan kami perlu kembali ke airport segera, kami mengambil keputusan untuk berhenti selama 15 minit sahaja di Pulau ini.
Mengapa dinamakan Pulau Beras Basah ? Memang cantik pemandangan di sini. Airnya pun agak bersih, pasirnya putih dan halus-halus.
Patutnya sejam kami bermandi-mandi dan menghabiskan masa di sini. Ramai yang mandi, bermain air dan tidak kurang Mat Salleh yang berjemur. Tak mengapalah tak dapat mandipun. Lagipun cuaca begitu terik ketika itu.
Pulau ini dikatakan menjadi perlindungan bagi nelayan ketika berlaku kecemasaan atau berhadapan dengan laut yang bergelora dan cuaca yang tidak mengizinkan. Jeti turut dibina bagi maksud tersebut.
Di sebalik kepanasan matahari yang terik, terdapat juga kawasan yang teduh, di bawah pokok-pokok di tepi pantai pulau dengan pasir pantainya yang kelihatan bersih. Memang sesuai untuk perkelahan.
Cukup masa kami pun berkumpul dan bertolak kembali ke Jeti Awana dan selamat sampai ke jeti kira-kira 10 minit kemudian. Alhamdulillah, suatu perjalanan yang berbaloi kalau tidak kerana sejam masa menunggu tadi. Di Jeti, telah menunggu gambar setiap ahli kumpulan yang dijual dengan harga RM10 sahaja setiap satu. Sebagai kenang-kenangan, belilah satu untuk aku dan isteriku.
Kenapa tidak disekalikan kami suami isteri, mungkin strategi. Kalau tidak kami hanya beli RM10 sahaja, bukannya RM20 ...
Hotel HIG
Kalau sebelum ini aku ke Langkawi, Hotel Hj Ismail Group masih dalam pembinaan walaupun kompleks membeli-belahnya telah dibuka. Kali ini Hotel tersebut telah dibuka dan terseragam indah bersebelahan kedai HIG dengan promosi harga penginapan.
Apakah ini boleh dijadikan sebagai suatu kebanggaan serta contoh kepada orang Melayu yang berjaya di Langkawi ? Semoha HIG terus maju jaya dan terus sinonim dengan nama Langkawi. Ingat Langkawi ingat HIG ... ha .. ha.
Nampaknya mudah, turun sahaja penginapan dah terus boleh membeli belah di kedai Hj Ismail Group ( HIG ) yang terkenal dengan rangkaian beberapa kedai yang menjual barangan yang menjadi kegemaran ramai untuk mendapatkannya di Langkawi.
Difahamkan kuliah Dhuha akan diadakan pada setiap Jumaat bermula jam 9.00 pagi di perkarangan kedai-kedai. Semasa aku ke sana, ia merupakan kali pertama diadakan dengan sepatutnya Tn Guru Dato' Haron Din memberikan kuliahnya. Tetapi kerana keuzuran, diganti oleh seorang pensyarah dari Kolej Universiti Insaniah Kedah.
Ada yang mengatakan Dato' Dr Haron Din merupakan penasihat atau rakan baik kepada taukey Kumpulan HIG, betulke ? Kalau demikian, mungkin faktor halal haram dalam perniagaan turut diambil kira dengan andaian juga cokelat-cokelat yang terjual dalam rangkaian kedai HIG juga halal.
Bolehke begitu ? Kalau dilihat, memang arak dan rokok umpamanya tidak terjual di kedai HIG.
Ayer Hangat Yang Suram
Setelah penat berjalan, terasa nak merendam kaki dalam kolam air panas di Ayer Hangat Village yang terletak kekira 20 minit memandu dari Pekan Kuah.
Aku tiba sudah agak lewat petang, kekira 5.30 petang. Orang pun tak berapa ada. Rupanya kompleks tersebut tutup jam 6.00 petang. Awalnya tutup, mengapa ?
Kedengaran keluhan peniaga-peniaga di situ. Orang tak mai dik, camana baranag nak habis ( laku ). Pernah aku ke sana sebelum ini, pun tidak berapa 'meriah' dengan pengunjung berbanding kunjungan pertama kali dahulu, kekira 10 tahun dulu agaknya.
Keadaan kolamnya macam kurang diselenggara dengan baik. Macamana boleh ada lumut dan hijau warna air. Nak rendam kaki pun terasa geli. Ingatkan bila BN ambil alih Kedah, berubah juga nasib kolam Ayer Hangat di sini. Rupanya sama sahaja. Mungkin ada masalah pengurusan yang diswastakan, bukan pemerintah.
Sayang juga sebab telah banyak binaan bilik-bilik privasi dan jacuzzi disediakan, tetapi terus tiada pengunjungnya. Nampaknya sampai bila Ayer Hangat ini akan terus suram.
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
3 hours ago
0 Komen:
Post a Comment