Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Showing posts with label palestin. Show all posts
Showing posts with label palestin. Show all posts

Konsert Pray 4

Pada malam 7 September 2013 yang lalu, aku telah menghadiri Konsert Pray 4 di Stadium Bandar Baru Bangi. Konsert ini dikatakan menghimpunkan lebih daripada 100 orang daripada pelbagai kategori artis, penasyid dan penceramah dengan tujuan untuk menyedarikan orang ramai dalam mengambil perhatian terhadap apa yang sedang berlaku di 4 buah Negara Umat Islam iaitu Mesir, Syria, Gaza dan Rohingnya. Berbanding dengan promosi yang aku anggap besar-besaran dibuat, bagiku orang tidaklah seramai mana kehadiran. Mungkin sebabkan hujan lebat berselang seli gerimis yang turun sejak waktu asar lagi atau menonton menerusi internet sahaja.

Perlukah konsert sedemikian rupa dalam menyampaikan doa untuk Mesir, Syria, Gaza dan Rohingnya ? Sedang mereka berhadapan dengan tentera dan peluru serta pelbagai penindasan dan kesengsaraan. Kita di sini dengan konsertnya. Apakah betul caranya dan sejauhmana kesannya berbanding objektif untuk menyedarkan orang ramai tentang pergolakan yang tertimpa ke atas umat Islam di sana ?

Khabarnya kutipan sebanyak RM80k telah berjaya dibuat pada malam tersebut untuk disampai kepada 4 wakil negara berkenaan yang diiktiraf. Ada pula yang kata RM31 ribu sahaja.


Mungkin lantaran artis serta yang terlibat menjayakan konsert ini kira free sahaja, bolehkah ada ‘untungnya’. Kelihatan banyak juga persiapan fasiliti disediakan yang semuanya memerlukan kos juga.

Mesir
Antara Mesir, Syria, Gaza dan Rohingya, aku kira yang terkini dan begitu menyentuh ialah pergolakan semula dI Mesir. Betapa lemahnya kita umat Islam hanya kerana seorang As-Sisi yang lebih teruk dan jahat daripada Israel berbuat angkara yang jelas menguntungkan Israel dan Amerika. Yang ghalatnya banyak Negara umat Islam sekitar pun menyokong Morsi digulingkan. Siap bagi bantuan kewangan lagi.

Selain tidak ambil kisah, di Malaysia pun tidak kurang ada yang menyokong tindakan tentera dan berpendapat tindakan penyokong Morsi membuat demontrasi dan apa yanag dianggap keganasan tu adalah salah di sisi Islam. Habis tu suroh berdoa siang malam dalam Masjid saja dan redha dengan apa yang berlaku ?

Syria
Di Syria, pergolakan telah berlarutan begitu lama. Pergolakan di Syria kini dikaitkan pula dengan isu perselisihan antara Syiah dan Sunni ? Ini adalah lantaran Iran yang kuat berfahaman Syiah, dikatakan banyak membantu Syria. Orang Sunni dizalimi dan dibunuh di Syria. Apakah benar isu Syiah-Sunni merupakan utama di Syria hingga di Malaysia pun gempak dengan ajaran Syiah yang dikatakan menyesatkan, mulai menular dalam masyarakat Malaysia.

Ini menenggelamkan isu asal kebangkitan rakyat yang disebabkan oleh dinasti pemerintahan yang lama, zalim dan ala diktator tetapi bertopengkan demokrasi.

Malahan ada yang mengajak umat Islam Malaysia memboikot serta mengatakan haram makan kurma atau barangan daripada Iran, menggesa Kerajaan Malaysia hentikan import eksport barangan dengan Iran. Ada berani ke ?

So tahun depan jangan jemput Iran menyertai Musabaqah Al-Quran. Jangan benarkan orang Iran masuk Makkah dan Maddinah mengerjakan haji ? Camana ?

Gaza
Bukan setakat Gaza, rasanya merujuk kepada keseluruhan rakat Palestin yang berhadapa denganzionist Israel. Keperihatinan rakyat Malaysia memang telah lama terhadap Palestine. Terdapat pelbagai NGO yang memperjuangkan nasib dan memberi serta menyampaikan bantuan kepada Palestine.

Ini menimbulkan pertanyaan, sejauh mana Negara umat Islam sekitarnya memberikan bantuan selama ini ? Atas nama keselamatan Negara masing-masing, mereka menjalin hubungan strategik dengan Amerika yang sekaligus menguntungkan Israel.

Kemenangan Hamas dan Morsi menerajui Mesir mungkin tidak sempat dikecapi nikmat oeh penduduk Palestine sedang dunia Islam menanti tempias kebaikan yang bakal diterima oleh Palestine.

Rohingya
Berbanding dengan Mesir, Syria dan Gaza, mungkin Rohingnya paling kurang profail. Mungkin kerana tiada badan khas atau NGO yang memperjuangkannya berbanding dengan Palestin. Usah mengharap dan memuji sangat ‘ketokohan’ Aung San Suu Kyi yang dikatakan pejuang demokrasi di Myanmar tetapi membisu terhadap isu penindasan Rohingya.

Malah Suu Kyi pun tidak pasti sama ada Rohingya boleh dianggap sebagai warga Burma atau Myanmar. Apakah kerana mereka minoriti umat Islam ? Bagaimana kalau Keristian atau seugama dengannya ? Beliau pun mungkin rasa wajar etnik Rohingya diketepikan begitu, memandangkan demokrasi memerlukan majority bukannya minority.

Pengisian Konsert
Majlis konsert disikandengan bacaan qasidah, selawat, nasyeed, bacaan puisi, mini orum, tazkirah mini dan diakhiri dengan doa. Sebagai penyiar rasmi, TVIKIM menyiarkan secara langsung majlis ini menerusi laman web tvnya.

Doa yang dibaca dan diaminkan beramai-ramai diakhir majlis sangat menyentuh kalbu dan aku rasa ramai yang menitiskan air dengan harapan sinar baru akhirnya ditemui bagi Mesir, Syria, Gaza dan Rohingya.

Klik Untuk Lagi Gambar
Share:

Konsert Ana For Gaza Yang Suram ?

Jika umat Islam merasakan isu Gaza dan Palestine tiada kena mengena dengan mereka, bermakna telah berjayalah dakyah dan propaganda yang mereka mainkan. Palestine dan Gaza memerlukan sokongan umat Islam seluruh dunia. Palestine dan Gaza tidak boleh sendirian dalam perjuangan mereka. Jika tidak, sewenang-wenanglah pihak Israel bertindak ke atas Palestine dan Gaza. Oleh itu keperihatinan umat Islam terhadap Palestine hendaklah terus dipupuk dan tidak boleh luput sama sekali.

Atas dasar inilah, aku kira Konsert Ana For Gaza di adakan sebagai salah satu pengisian slot di Karnival Ana For Gaza yang diadakan bermula pada 29 Julai 2011 sehingga 31 Julai 2011 di Stadium Kajang. Konsert yang diadakan pada hari Sabtu, 30 Julai 2011 tersebut adalah rentetan daripada usaha-usaha sebelum ini untuk membantu rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang tertindas oleh kekejaman rejim Zionis Israel. Rabbani Productions Sdn.Bhd & Ana Edar Sdn. Bhd selaku penganjur utama konsert tampil dengan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat Palestin di Gaza untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka di sana.

Antara pengisiannya, persembahan nyanyian, sketsa, deklamasi puisi dan sajak, serta penceritaan pengalaman. Antara artis yang membuat persembahan ialah Kumpulan Rabbani Saujana, Nowseeheart dan Inteam. Turut diadakan persembahan istimewa dari Aishah, deklamasi puisi Dato’Ustazah Siti Norbahyah Mahmood serta Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar. “Disk Jockey” (DJ) Erwan dan DJ Maslina daripada radio IKIMfm menjadi pengacara majlis pada malam tersebut.

Walaupun dibarisi dengan persembahan daripada pelbagai kumpulan nasyid yang popular di tanah air dan bigname, namun rasanya konsert tersebut kurang mendapat sambutan. Konsert for Gaza yang pernah aku hadiri sebelum ini di Stadium Melawati tahun lepas, dihadiri oleh jumlah penonton yang jauh lebih ramai daripada yang berlangsung tempohari di Stadium Kajang. Malah jumlah sumbangan juga berlipat kali ganda dengan yang berjaya dikutip di konsert Ana For Gaza ini.

Mengapa ini berlaku ? Apakah orang ramai sudah kurang perihatin, kurang minat mengikuti isu ini. Memang tidak semestinya tidak hadir konsert bermakna sudah kurang perihatin terhadap isu palestin. Mungkin ramai yang datang berkunjung ke gerai jualan yang diadakan serta turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan sepanjang karnival.

Tapi aku difahamkan juga ada satu program lain berkonsepkan ‘Malam Amal Kesenian Islam’ dijalankan dalam tempoh masa yang sama di Bandar Baru Bangi. Apakah itu juga jadi penyebabnya ? Atau kedudukan stadium yang tidak strategik, terletak di tengah-tengah Bandar Kajang yang sentiasa sesak menjadi punca ?

Lagi Gambar Sekitar Konsert
Share:

Khutbah : Mengingati Peristiwa Nakbah

Bebaru ni aku ada memerima satu emel daripada rakanku yang merupakan cadangan teks khutbah mengimbas kembali suatu peristiwa yang mungkin jarang orang Islam khususnya ambil kisah. Sekadar untuk renungan dan peringatan diri, aku abadikan dalam blog ini. Walaupun mungkin terlewat sedikit dan agak panjang, kenalah baca dengan sabar dan pelan-pelan. Gambar yang disertakaan adalah sebagai hiasan, tetapi yang berkaitan dengan peristiwa Nakbah.

Hari ini khatib hendak membawa perhatian sidang Jumaat kepada satu peristiwa besar yang menimpa umat ini pada abad yang lalu. Persitiwa tersebut dikenali sebagi Nakbah yang membawa maksud malapetaka besar. Secara rasminya kemuncak peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya berkibarlah bendera 'The Star of David' dan pada keesokkan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram israel diistiharkan oleh Perdana Menterinya yang pertama David Ben Gurion.

Kenapa peristiwa Nakbah yang kini sudah memasuki ulang tahun ke 63 ini wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam. Sebabnya ialah kerana inilah tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh masyarakat antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat.

Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah lebih dari 5 juta orang dan sehingga kini mereka tidak mendapat sebarang pembelaan termasuklah dari negara-negara umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Jika ada di kalangan kita merasakan tragedi Nakbah ini tiada kena mengena dengan diri kita, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan pandangan hidup kita sebagai seorang muslim. Apakah asas kepada perkara ini?

Yang pertama inilah akibat dari leburnya konsep ummah dan digantikan dengan konsep negara bangsa 'nation state' yang dipaksakan oleh penjajahan ratusan tahun ke atas umat Islam. Umat ini diiktiraf oleh Al-Quran sebagai umat yang satu. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya ayat 92 'Sesungguhnya kamu ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyembah akan Daku'.

Di tempat yang lain Allah berfirman 'Sesungguhnya kamu adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau bertaqwa kepada Ku".( Surah al-Mukminun : 52 )

Oleh kerana begitu mendalamnya konsep 'nation states' yang diperkenalkan oleh penjajah maka kita pada hari ini tidak lagi menganggap umat Islam di luar dari batas sempadan antarabangsa sebagai saudara yang wajib dibela dan dipertahankan. Bahkan kadang-kadang timbul pula sentimen merendah-rendahkan muslim di negara lain atau dari bangsa lain.

Oleh kerana robohnya konsep umat ini, kesatuan umat Islam berjaya dipecahkan dan sememangnya itulah yang menjadi hasrat musuh-musuh Islam. Musuh Islam amat menyedari asas kepada kekuatan umat Islam bukan kekuatan ekonomi atau hasil mahsulnya tetapi kekuatan persaudaraan yang terbina di atas asas aqidah yang kukuh.

Apabila aqidah berjaya dihakis dari jatidiri umat Islam, tidak ada lagi sisa kekuatan ukhuwah yang terbina di atasnya. Akhirnya mudahlah wilayah umat Islam dijajah satu persatu. Bahkan 'legacy' penjajahan itu berterusan apabila mereka melakarkan sempadan-sempadan politik yang palsu sehingga wujudlah 50 negara Islam yg merdeka dan 19 negara lain yang bergabung bersama wilayah bukan Islam. Negara-negara Islam ini hanya dipisahkan oleh garisan lurus yang dilukis dengan pembaris seperti halnya Mesir dan Sudan, Libya, Tunisia, Maghribi, Mauritania, Chad, Somalia, Ethopia dan Eritrea.

Seperti halnya Jordan, Syria, Iraq dan bahkan Palestin. Seperti juga halnya Malaysia dan Indonesia yang dipisahkan di peringkat awal lagi oleh satu garisan lurus yang merentas Selat Melaka pada tahun 1824 hasil persetujuan British dan Belanda. Justeru negara Islam yang jumlahnya 69 buah dan menempatkan 1.6 billion umat Islam tidak mampu membela saudara seagamanya di Palestin. Hakikatnya Palestin di kelilingi oleh negara-negara Arab-Islam yang kaya raya dengan hasil petroluemnya tetapi seolah-olah mandul tidak dapat berbuat apa-apa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Ketidakpedulian umat Islam terhadap saudaranya di Palestin lebih parah dari sekadar kegagalan memenuhi tuntutan ukhuwah. Sebabnya ialah bumi Palestin bukan sekadar satu dari wilayah umat Islam yang dikuasai oleh musuh, tetapi lebih penting dari itu ia adalah tanah suci umat Islam. Mungkin umat Islam terlupa bahawa kita punya tiga tanah suci dan bukan dua.

Di samping Makkatul mukarramah dan Madinatul munawarah, kita punya tanah suci yang ketiga iaitu BaitulMaqdis di mana terletaknya masjid al Aqsa. Ia menjadi transit atau tempat persinggahan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Isra dan Mikraj. Ia mengisyaratkan Baitul Maqdis mempunyai makna yang cukup besar bagi Rasulullah SAW dan bagi umat Islam. Di samping itu masjid al Aqsa itu sendiri mempunyai pelbagai kelebihan berdasarkan hadis-hadis yang berkaitan. Bersembahyang di masjid al Aqsa menjanjikan pahala sehingga lima ratus kali lipat berbanding bersembahyang di tempat yang lain.

Solat di Masjidil Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat (ditempat lain), dan solat di masjid ku (di Madinah) adalah sama dengan solat 1000 kali, dan solat di Baitul Maqdis adalah sama dengan 500 kali solat. (Riwayat at-Tabarani).

Masjid al Aqsa juga merupakan kiblat pertama umat Islam sebagaimana yang dinyatakan berikut, Al-Hazimi mengemukakan satu riwayat daripada al-Barra' bin `Azib: Daripada al-Barra' bin `Azib bahawa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila sampai di Madinah ialah menemui datuk neneknya dari kalangan Ansar dan baginda bersembahyang mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 bulan atau 17 bulan.

Rasulullah SAW juga menganjurkan agar umat Islam menziarahi masjid al Aqsa dan bersama dalam menguruskannya. Abdullah ibn umar bertanya pada Rasulullah SAW "Ya Rasulullah, terangkan kpd kami hukum menziarahi BaitulMaqdis. "Jawab Rasulullah SAW, Ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin (ziarah dan solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid) – Sahih Bukhari

Jika membiayai pengurusan masjid manjadi tanggungjawab seluruh umat Islam apatah lagi tanggungjawab untuk membebaskannya dari penaklukan dan cengkaman musuh. Lantaran itu Sy Umar al Kahttab RA telah mengistiharkan Baitul Maqdis yang melengkari masjid al Aqsa sebagai tanah wakaf umat Islam yang wajib dipertahankan sepanjang zaman sebaik sahaja menerima kunci kota tersebut setalh ianya dibuka dan dibebaskan dari cengkaman kerajaan Rom timur (Byzantium).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Peristiwa Nakbah yang telah dirancang sejak tahun 1897, disususli dengan penaklukan British ke atas Palestin pada tahun 1917, direstui oleh Parlimen British melalui lobi yahudi yang mengizinkan bangsa Yahudi untuk memasuki Palestin sebagaimana yang termaktub dalam deklarasi Balfour 1917, dan pembahagian Palestin kepada negara Arab dan Yahudi oleh resolusi PBB 181 pada tahun 1947 dan pencerobohan pengganas-pengganas Yahudi yang merampas tanah air rakyat Palestin pada tahun 1948 sebenarnya adalah titik hitam kepada penderitaan yang berlanjutan sehingga kini. Pengistiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan kepada penaklukan seluruh bumi Palestin pada tahun 1967.

Pada tahun tersebut Baitul Maqdis timur di mana terletaknya masjid al aaqsa, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel. Masjid Al-Aqsa terus dikepung dan dikuasai oleh yahudi zionis sehingga ke hari ini. Mereka telah melakukan pelbagai rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di bawah binaan masjid. Di samping itu mereka juga menggali terowong di bawah masjid serta mendirikan kuil (synagogue) sementara di bawah permukaan masjid.

Kesemua peristiwa ini gagal untuk menggerakkan dhamir umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk membebaskan tanah sucinya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Salahuddin al Ayubbi ketika Baitul Maqdis dikuasai oleh kaum salibiyyah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Apa yang lebih mengecewakan lagi ialah sikap pemimpin-pemimpin negara umat Islam terhadap isu Palestin. Di saat ini ketika rakyat Palestin di Gaza menghadapi kepungan paling dahsyat sehingga sampai ke tahap membunuh, pemimpin negara-negara Islam diam membisu seribu bahasa. Rakyat Gaza berhadapan dengan sekatan bahan api, bekalan elektrik di potong, tidak ada barangan yang boleh di bawa masuk atau keluar, terputus bekalan ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas yang lain, bahkan bekalan klorin untuk merawat air minuman juga dinafikan kepada mereka.

Hari ini pesakit-pesakit meninggal semata-mata kerana hospital tiada bekalan elektrik dan tidak dapat membekalkan ubat-ubat untuk peyakit kronik seperti pesakit buah pinggang, kencing manis dan kanser. Ini tidak termasuk rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel yang melancarkan serangan demi serangan ke atas penduduk awam.

Bilangan orang awam yang terbunuh akibat serangan peluru berpandu dan bedilan meriam Israel untuk bulan April tahun ini sahaja telah mencecah puluhan orang, termasuk kanak-kanak dan orang tua yang tidak berdaya. Dalam keadaan yang begitu kritikal apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara umat Islam?

Walau bagaimanapun janji Allah itu benar. Tidak ada sesuatupun kehendak Allah yang bolih disekat. Kita menyaksikan hari ini bagaimana regim-regim negara Arab yang mengkhianati saudara-saudara seagama di Palestin ditumbangkan oleh rakyatnya satu persatu.

Regim Hosni Mubarak yang telah menindas rakyatnya selama lebih dari 30 tahun dan mewarisi satu pemerintahan yang melaksanakan dasar Amerika Syarikat dan melindungi Israel akhirnya dijatuhkan dengan penuh penghinaan. Kembalinya gerakan Ikhwan Muslimin yang telah memimpin umat Islam selama lebih 80 tahun di Mesir tetapi ditindas selama ini adalah berita yang amat menggembirakan umat Islam seluruh dunia.

Ikhwan Muslimin yang berada di barisan hadapan mempertahankan negara Palestin sejak perang 1948 insyaAllah akan kembali memimpin umat ini untuk mengembalikan baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa kepada umat ini.

Abu Hurairah menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Sebahagian dari umatku tidak akan berhenti berjihad di pintu-pintu Dimashq (Damsyik) dan di pintu-pintu al-Quds (palestin) dan di sekelilingnya. Pengkhianatan dan pembelotan bagi sesiapa yang berkhianat tidak akan menyakiti mereka sedikitpun. Mereka akan tetap menang, mempertahan kebenaran sehingga saat datangnya kiamat”. Riwayat At-Tabarani

Allah SWT adalah adalah sebaik-baik perancang. ”Mereka merancang dan Allah merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang” Surah al-Imran ayat 54

Manusia tidak dapat mengatasi perancangan Allah. Turki adalah satu contoh yang amat jelas. Musuh-musuh Islam menjatuhkan Khilafah Uthmaniah dan meletakkan Mustafa Kamal Attatuk untuk menegakkan sistem pemerintahan sekular yang anti Islam. Mereka mahu memastikan khilafah Islam yang pernah menaungi dunia Islam ini tidak akan bangkit lagi.

Justeru apabila Israel berdiri pada tahun 1948, Turki adalah antara negara yang paling awal mengiktirafnya. Turki menjadi sekutu paling kuat Israel. Tetapi apa yang berlaku. Bibit-bibit tarbiyah imaniah yang disemai oleh Syeikh Badiuzaman Syed Nursi akhirnya melahirkan pemimpin-pemimpin islam yang kembali meletakkan asas-asas Islam dalam pemerintahan.

Dengan penuh hikmah Raccip Tayyep Erdogan menggunakan hubungan diplomatik yang wujud di antara negaranya dan israel untuk menekan dan mengugut israel. Bahkan Turki kini menjadi negara yang menerajui usaha-usaha memecahkan tembok kematian yang dibina oleh israel untuk menjerut rakyat Palestin di Gaza dengan misi-misi kemanusiaan Mavi Marmara, Land Convoy dan Flotilla 2 yang dijangka akan berlayar ke Gaza pada bulan Jun ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Kita ingin mengingatkan seluruh umat Islam, isu yang berkaitan dengan permasalahan bumi Palestin bukan isu politik tetapi ia adalah isu yang berkait langsung dengan akidah umat Islam. Apakah jawapan yang bakal kita berikan nanti di hadapan Allah SWT, apabila umat Islam membiarkan saudara-saudara seagamanya dizalimi, dianiaya, dibiarkan mati kebuluran bahkan dibunuh dengan kejam oleh rejim zionis Yahudi?

Kekecewaan dan rasa dukacita kita terhadap kebobrokan sebahagian umat Islam dan pemimpin-pemimpinnya terubat apabila kita teringat kepada hadis Rasulullah SAW yang memberi khabar gembira dari sebegitu banyak hadis. Di antaranya:

Nahik Ibn Surim al-sakuni menyampaikan dari Rasulullah SAW “Kamu akan memerangi golongan kafir sehingga sebahagian kamu yang tinggal akan berperang di Sungai Jordan, kamu di sebelah timur (Jordan pada hari ini) dan mereka di sebelah barat (Palestin yang terjajah)”.

Dari Ibn Hajar al-Asqalani, Muadz bin Jabal menyampaikan dari Rasulullah SAW “Allah Maha Besar akan member kamu kekuatan untuk menawan as-Syams (Palestin) selepas kewafatanku.Orang laki-laki dan wanita akan bertahan di sana sampai kiamat. Sesiapa di kalangan kamu yang memilih salah satu dari pantai-pantai as-Syams (termasuk Gaza) atau Baitul Maqdis adalah mereka itu berada di dalam jihad sehingga hari pengadilan.”

Rasulullah SAW mengatakan berhubung penghuni Tanah suci (al-Quds), “Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak mereka dan hamba (pembantu-pembantu mereka – lelaki dan perempuan) adalah di dalam ‘ribat (pengawal pada kubu) pada jalan Allah”. ( H.R At-Tabarani )

Muawiyah bin Abi Sufyan menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Ada di kalangan umat ku yang sentiasa berada di atas al-haq. Tiada sesiapa yang menentang mereka akan menyakiti mereka sehingga datangnya kiamat” Para sahabat bertanya ‘Di mana mereka itu”? Rasulullah SAW menjawab, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis”. ( H. R. Iman Ahmad )

Hadis-hadis yang terbit dari lidah Rasulullah SAW adalah satu bukti bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah satu kebenaran yang telahpun disusun oleh Allah SWT. Kita pada hari ini amat beruntung kerana para sahabat hanya mendengar beritanya dari rasulullah SAW sedang kita menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri.

Alangkah ruginya jika kita tidak mengambil sebanyak manfaat dari peristiwa ini untuk menyuburkan iman kita dan keyakinan kita untuk berjuang pada jalan Allah?

Teks khutbah disediakan oleh Aqsa Syarif
1 Mei 2011 (Sempena Bulan Naqbah)

Keterangan lanjut mengenai Aqsa Syarif boleh kunjungi http://www.aqsasyarif.org.my/
Share:

Pergolakan Dunia Arab : Pengajaran & Harapan

Belumpun sempat aku mengetahui lebih lanjut tentang pergolakan yang berlaku di Tunisia, tiba-tba kedengaran kisah pergolakan berlaku di Mesir. Rakyat bangkit mengadakan protes, memberontak dan membuat demontrasi dijalanan sehingga melumpuhkan pentadbiran negara selain mendesak pemimpinnya meletakkan jawatan. Puncanya dikatakan hampir sama, peningkatan kadar pengangguran, korupsi, kemiskinan, rakyat hidup susah serta tidak mempunyai pekerjaan sedangkan pimpinan tertinggi serta kerabat keluarganya terus hidup dalam kemewahan.

Mungkin tidak banyak diberitakan dalam media massa di negara kita. Sekonyong-konyong kedengaran rusuhan menuntut Presiden Tunisia Zine el-Abidine Ben Ali ( agaknya kalau di Malaysia, Zainal Abidin bin Ali) meletakkan jawatan. Bantahan rakyat menyeluruh di seluruh negara Tunisia yang mempunyai penduduk sebanyak 12 juta. Kebangkitan rakyat telah digerakkan melalui internet, Facebook, Blog dan laman web sosial yang lain sehinggakan ada rakyat Tunisia yang bekerja di luar negara, pulang untuk menyertai demonstrasi apabila mendapat maklumat dari Facebook dan Blog.

Keadaan di Tunisia ditambah dengan keserakahan isteri Presiden Tunisia Leila Trabelsi, 52 tahun. Leila bekas pereka rambut berumur 20 tahun lebih muda dari Zine el-Abidine, sangat cintakan kekayaan dan kemewahan hidup sehingga beliau disamakan dengan Imelda Marcos Arab. Rakyat sudah jijik dengan keserakahan isteri beliau.

Akhirnya Ben Ali yang telah bertahta di Tunisia selama 23 tahun lari mendapatkan perlindungan di Arab Saudi, manakala isterinya dikatakan bersembunyi di Dubai, bandaraya mewah untuk beliau terus shopping. Dua anak perempuan mereka melarikan diri ke Hotel Disneyland di Paris, di mana mereka bersembunyi di suite-suite VIP. Malah dikatakan hasil korup keluarga ini dianggarkan sebanyak £3.5billion telah disimpan di Peranchis bekas penjajah Tunisia.

Jenayah Ben Ali tidak setakat itu sahaja. Ben Ali dikatakan memerintah secara diktator. Beliau benar-benar berusaha terus 'membuang' Islam dari tubuh negeri yang pernah berjasa menyebarluaskan Islam ke seantero Afrika dan Eropah. Kebangkitan rakyat Tunisia dalam menumbangkan Ben Ali menimbulkan keresahan negara lain yang berhampiran. Semangat kebangkitan rakyat dibimbangi menular kepada negara lain khususnya di Utara Afrika dan Dunia Arab Asia Barat. Terbaru selain Mesir ialah Algeria dan Yaman.

Ini suatu iktibar buat pemerintah supaya mengingati tentang amanah yang diberikan oleh rakyat, supaya tidak lupa diri dan bongkak dengan anggapan kuasa dimilikki sepenuhnya oleh pemerintah. Namun alangkah baiknya sekiranya kebangkitan ini menggantikan pemerintahan sedia ada dengan bangkitnya kembali semangat melaksanakan syariat dalam pemerintahan.

Bagiku satu jenayah bagi Hosni Mubarak sebagai Presiden Mesir ialah tindakan beliau membina tembok di sempadan Mesir-Palestine di Rafah yang menghalang daripada orang Palestine daripada menyeberang masuk mendapatkan keperluan harian, bantuan dan menyelamatkan diri angkara keganasan Israel. Malah kehadiran misi Live Line For Gaza terpaksa melalui jalan laut lantaran tidak dibenarkan oleh Mesir untuk menjadi laluan dalam memberikan bantuan masuk ke Gaza. Sempadan Rafah ditutup 'rapat' sebaik Hamas menang di Palestine atas kebimbangan hubungan baik Hamas dengan parti pembangkang Mesir Ikhwanul Muslimin.

Hosni Mubarak juga dianggap sebagai presiden yang tidak membawa pembaharuan ekonomi. Hampir separuh daripada 80 juta penduduk Mesir hidup di bawah paras kemiskinan berdasarkan kadar pendapatan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu AS$2 ( RM6.11 ) sehari. Negara itu juga dikatakan mempunyai pendidikan yang berkualiti rendah. Tetapi benarkah begitu ? Ramai pelajar Malaysia di sana khususnya Universiti Al-Azhar dan Iskandariah termasuk dalam bidang perubatan.

Mesir dan Israel telah menamatkan konflik antara mereka dengan menandatangani satu perjanjian damai semasa Anwar Sadat dan diwarisi oleh Hosni Mubarak. Walaupun perjanjian 'perdamaian yang dingin', ia merupakan kerjasama strategik Israel paling penting di Timur Tengah. Keadaan ‘selamat’ itu memberi peluang kepada Israel untuk menumpukan aspek ketenteraan di perbatasan sebelah utara serta membolehkan Israel memotong peruntukan pertahanan, yang sekaligus membantu membangunkan ekonomi.

Orang-orang di Mesir kini dikepung kerajaan rejim Mubarak yang melarang Facebook, Twitter, dan semua laman web popular yang lain. Internet benar-benar disekat di Mesir. Seterusnya rangkaian telefon bimbit disekat yang akan diikuti dengan sambungan telefon rumah telefon dipotong untuk mengelakkan agensi berita mengetahui dan menyiarkan apa yang sedang berlaku disana.

Sejauh mana perubahan akan berlaku di Mesir ? Sejauh mana ianya memberi kesan terhadap hubungannya dengan Israel. Apakah Israel kini tidak senang duduk apabila sekutunya bergolak ? Apakah Israel akan bertindak mencari sekutu baru ? Negara mana pula yang akan menjadi mangsa. Semoga Allah akan memberikan cahaya kesedaran untuk kebangkitan Islam di dunia Arab dan pergolakan yang berlaku menguntungkan Islam.
Share:

Konsert Mahabbah Gaza IKIMfm

Sekitar 5,000 pengunjung terhibur sambil menghayati mesej yang dialunkan dalam persembahan konsert bersempena dengan Karnival Sambutan Ulang Tahun Ke-9 Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) di Stadium Melawati malam 10 Julai 2010. Sebanyak RM 27ribu telah berjaya di kutip menerusi derma yang lancarkan pada malam tersebut.

Konsert yang diberi nama 'Mahabbah Gaza (in my hearts)' itu menyaksikan gabungan kumpulan nasyid popular seperti Raihan, Rabbani, Nowseeheart, Saujana, In-Team dan Ummul Qura yang menyampaikan lagu-lagu bertema Palestin, perjuangan dan kedamaian.

Turut mencuri perhatian adalah para penyampai IKIMfm yang membuat persembahan khas berpaksikan sajak dan nasyid. Penyiar-penyiar yang tampil ke pentas adalah Zamri Zainal Abidin, Nik Hasnah Ismail, Siti Fairuz Nordin, Siti Rohani Surani, Mazlina Ismail, Norhayati Paradi, Zarita Kassim, Mohd Erwan Johari, Mohd Nasri Mohd Yusuf dan Mahathir Shaharuddin. Erwan paling mendapat perhatian apabila menyanyikan dengan baik sebuah lagu Brothers, 'Lagu Kedamaian' melatari persembahan sajak penyampai-penyampai lain.

Konsert Mahabbah Gaza dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan turut menjemput khas ketua misi kemanusiaan 'Flotila' ke Gaza Mei lalu, Norazman Shamsuddin. Norazman dijemput naik ke pentas selepas persembahan Saujana oleh ketua kumpulan nasyid tersebut, Sufian Amrin dan diminta mengulas sedikit berkaitan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Tambah menarik, konsert malam tadi turut dijayakan oleh persembahan daripada bukan Melayu seperti Udesh yang berbangsa India, serta seorang Cina Muslim dari Kelantan yang mendeklamasikan sajak dengan penuh penghayatan dan menusuk kalbu.

Ketika kumpulan Nowseeheart sedang menyampaikan lagu 'Damai yang Hilang', Norazman sekali lagi tampil ke pentas menenangkan vokalis utama, Azahari yang tidak dapat meneruskan bait-bait lagunya kerana sebak justeru lirik lagu tersebut memang jelas ditujukan kepada umat yang hilang kedamaian oleh kezaliman peperangan.

Kumpulan Rabbani yang membuat persembahan pada penghujung konsert turut mengenang bekas penyanyi utama dan ketua kumpulan mereka, Allahyarham Asri Ibrahim. Seorang anak Allahyarham berganding dengan Rabbani menyampaikan lagu 'Di Pondok Kecil'.

Karnival Sambutan Ulang Tahun Ke-9 IKIMfm dari 9 hingga 11 Julai 2010 diadakan untuk meraikan para pendengar IKIMfm yang telah memberikan sokongan berterusan kepada stesen radio unggul berkonsepkan Islam di negara kita.

Menerapkan konsep 3M iaitu "Mendidik, Menyampaikan Maklumat, dan Menghibur", beberapa acara menarik telah diatur. Antaranya rakaman langsung Forum Mahabbah Gaza, forum "Keluarga Sakinah", Konsert Mahabbah Gaza, Nasyid on Stage disusuli program untuk kanak-kanak iaitu Alam Ria Si Kecil, untuk para ibu, rancangan D'Dapur, sukaneka dan sesi beramah mesra bersama penyampai-penyampai IKIMfm.

Sepanjang sembilan tahun penubuhannya, IKIMfm tampil dalam industri penyiaran negara dengan penuh tanggungjawab untuk menjadi rangkaian maklumat, penerangan dan hiburan yang seimbang dalam usaha mendidik dan merangsang akal fikiran serta jiwa pendengar.

Konsert Mahabbah Gaza malam tadi adalah acara kemuncaknya yang turut disiarkan secara langsung melalui IKIMfm. Hujan lebat yang turun mulai maghrib tidak menghalang orang ramai hadir ke Stadium Malawati. Kesesakan lalulintas berlaku kerana dalam masa yang sama perlawanan bolasepak antara Selangor dan Kelantan di adakan di Stadium Ahah Alam yang terletak bersebelahan.



Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.