Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Showing posts with label ramadhan. Show all posts
Showing posts with label ramadhan. Show all posts

Majlis Penyampaian Sumbangan Ihya Ramadhan Parlimen Putrajaya

Menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Ihya Ramadhan Parlimen Putrajaya yang diadakan sendiri di kediaman Ahli Parlimen Putrajaya semalam.

Pada Ramadhan kali ini YB telah bermurah hari menyumbang bahan2 untuk morey, beberapa gulong tikar sejadah serta wang tunai kepada semua Surau di Putrajaya.

Selain daripada itu, sumbangan tajaan juadah berbuka puasa juga akan dibuat kepada semua surau sekitar Putrajaya secara bergilir setiap hari.

Ini bermakna Majlis Berbuka Puasa percuma di Food Court P8 yang telah idadakansaban tahun oleh beliau, tidak lagi diadakan pada tahun ini.

Sebaliknya diganti dengan buka pose di surau2 yang ditajanya, setiap malam 3 buah surau. lhamdulillah.
Share:

Selamat Tinggal Ramadan 1434H

" Ya Allah, janganlah Engkau jadikan puasa ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku. Seandainya Engkau berketetapan sebaliknya, maka jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati, bukan puasa yang sia-sia.

Seandainya masih ada padaku dosa yang belum Kau ampuni atau dosa yang menyebabkan aku diseksa kerananya, sehingga terbitnya fajar malam ini atau sehingga berlalunya bulan ini, maka ampunilah semuanya wahai Zat Yang Paling Pengasih dari semua yang mengasihi.

Ya Allah, terimalah puasaku dengan sebaik-baik penerimaan, perkenan, maaf, kemurahan, pengampunan, dan hakikat keredhaanMu. Sehingga Kau memenangkan aku dengan segala kebaikan yang dituntut, segala anugerah yang Kau curahkan di bulan ini.

Selamatkanlah aku di dalamnya dari kebimbangan terhadap bencana yang mengancam atau dosa yang terus-menerus. Demikian pula, dengan rahmatMu golongkanlah aku ke dalam orang-orang yang mendapatkan (keutamaan) malam al-Qadar. Malam yang telah Kau tetapkan lebih baik dari seribu bulan dalam keagungan ganjaran, kemuliaan perbendaharaan, keindahan syukur, panjang umur, dan kemudahannya yang berterusan.

Semoga perpisahanku dengan bulan Ramadhan ini bukanlah perpisahan untuk selamanya dan bukan pula akhir pertemuanku. Sehingga aku dapat kembali bertemu pada tahun mendatang dalam keadaan penuh keluasan rezeki dan keutamaan harapan."

Amin Ya Rabbal'alamin..
Share:

Ramadan & Shawal 1433H

Walaupun Ramadhan dan Shawal telah berlaku, entah kenapa Imam di tempat aku sering solat berjemaah sering membacakan Surah Al-Qadar. Buat apa nak ingatkan tentang kelebihan Malam Al-Qadar yang telah berlaku. Apakah itu tanda kerinduan kepada Ramadan yang telah berlalu dan tanda tak sabar nak jumpa Ramadan tahun depan ? Apakah kelebihan membaca Surah Al-Qadar, khususnya dalam solat ? Bukankah banyak lagi surah lain dalam Al-Quran, ataukah hanya itu yang dihafal atau mudah dibacakan.

Apa pun aku harap Ramadan 1433H yang dilalui memberikan impak kepada diriku di dunia ini daripada apa amal kebajikan yang terdaya aku lakukan. Walaupun mungkin tidak seberapa, diharapkan dapat membantu ku di alam akhirat nanti, ketika pengadilan Allah dilaksanakan. Ya Allah, ampunilah dosa-dosakuku dan terimalah taubatku. Ya Allah, terimalah puasaku, ibadahku, solatku, hidupku dan matiku hanya keranMu Ya Allah.

Mungkin catatanku kali ini agak panjang sebab nak cover setelah dua bulan berehat dari mengemaskini blogku. Banyak yang berlaku dan aku kira ambil mana yang wajar untuk diceritakan. Semoga lepas ini Allah sentiasa memberikan aku peluang untuk terus membuat catatan di sini.

Menjelang Ramadan 1433H
Menjelang Ramadan agak sibuk. Persiapan baju raya memang dibuat sebelum Ramadan lagi. Di pejabat pula nak siapkan serba serbi seperti takut ‘keletihan’ tak terbuat pada bulan yang siang harinya tidak boleh makan.

Persiapan di Surau As-Syakirin dimana aku sebagai Pengerusinya pula perlu dibuat bagi menyambut kebanjiran jemaah untuk berterawih. Giliran Imam serta Bilal, pengurusan moreynya, kuliah, tadarus dan berbuka puasa perlu diuruskan.

Cuma tahun ini pakai Imam dan Bilal sedia ada sahaja. Memudahkan tak payah fikir banyak perkara kalau ambil Imam luar. Tak payah nak fikirkan juadah berbukanya, kena ambik pergi balik surau, penginapan serta makan sahurnya. Kedengaran pula kebanyakan masjid surau ambil Imam tempatan yang pernah belajar di negara Islam timur tengah, berbanding menjemput Imam dan bilal dari sana. Bunyi bacaan pun kira ala-ala arab juga ...

Namun dalam kesibukan persiapan, tetiba aku dapat panggilan untuk menerima sumbangan Netbook dari UMNO Putrajaya.

Berdasarkan label dan slip yang dikepilkan, mereka gunakan saluran daripada Inisiatif Jalur Lebar Negara. Katanya diagihkan kepada Pengerusi Surau-Surau di Putrajaya untuk kegunaan peribadi.

Trend Majlis Berbuka Puasa
Berbanding dengan tahun lepas, tahun ini agak kurang jemputan rasanya. Kurang business agaknya. Bagiku nak harap pakai duit sendiri berbuka di hotel jangan harapla … Tapi yang bagusnya tahun ini kebanyakkan hotel yang menyediakan juadah atau buffet berbuka puasa telah mendapat sijil halal JAKIM.

Ada satu syarikat besar jemput berbuka puasa di dewan yang selalu diadakan majlis perkahwinan. Tak tahu di mana silapnya, sudahlah makanan lambat disediakan, tak cukup pulak tu. Kelam kabutnya walaupun orang beratur panjang macam di kantin sekolah. Yealah, memasing nak makan berbuka juga sebaik azan maghrib berkumandang.

Yang dapat nama buruk tentunya syarikat tersebut walaupun yang jadi punca adalah syarikat catering tu. Esoknya dapat emel mohon maaf daripada syarikat tersebut. Patutnya dia kena apply juga konsep monitoring dan steering projek, bukan pakai lepas tangan sahaja.

Seperti biasa, syarikat meraikan customernya melalui Buffet Berbuka Puasa selain kononnya mengeratkan silaturahim seperti yang dilakukan juga di Pejabatku. Di pejabatku, selain berbuka, juga solat berjemaah dan mendengar tazkirah bersama. Bagus juga.

Projek Ofisku
Agak kritikal projek besar pejabatku yang melibatkan ratusan juta duit telah diperuntukkan. Ya, ia memang duit rakyat. Dalam bergelumang dengan meeting demi meeting, perbincangan, bengkel, demo, ujian dan sebagainya, projek yang sepatutnya siap 31 Julai 2012, terpaksa ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga 31 Januari 2013. Malah tidak sempat pun nak aturkan program sempena Ramadan anjuran Kelab Kebajikan di Pejabatku, yang aku juga sebagai pengerusi.

Payah juga nak dipersetujui mendapat tarikh sambung projek sehingga kepada 31 Januari 2013, iaitu 6 bulan tambahan berbanding tarikh asal. Ketua pejabatku pada mulanya nak tamatkan sahaja kontrak dengan kontraktor yang bertanggungjawab. Tetapi impak penamatan berbanding dengan penangguhan dilihat lebih besar. Namun usaha untuk menyiapnya perlu diteruskan.

Sebelum puasa dan semasa jamuan raya, kami adakah majlis doa selamat dan solat hajat. Sebelum itu pun pernah. Mungkin kelewatan ini ada hikmah besar disebaliknya untuk lebih berusaha, lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah lantaran perancangan Allah yang terlebih baik.

Perletakan Jawatan Sebagai Pengerusi Surau
Akibat kerja ofis yang semakin banyak aku semakin tidak dapat memberikan tumpuan kepada tugas sebagai Pengerusi Surau As-Syakirin SMK P14(1). Perkara yang asas seperti meeting AJK pun tak dapat dilakukan, asyik tetangguh. Aku dengan berat hati terpaksa melepaskan jawatan, semoga dapat diganti dengan orang lain yang lebih baik untuk menguruskan surau dengan baiknya. Apatah lagi Surau As-Syakirin merupakan Surau Jumaat.

Memula terasa berat juga, sebab melepaskan peluang untuk ‘menimba pahala’. Tapi kalau nama aje Pengerusi tapi tak buat kerja, buat dosa adala .. Walaupun pernah menjadi Pengerusi Surau Al-Hidayah sebelum ini, namun menjadi Pengerusi Surau biasa berbanding dengan Pengerusi sebuah surau yang terletak dalam kawasan sekolah, ditambah pihak sekolah pun mempunyai expectation tersendiri, memang sukar.

Aku melepaskan jawatan menerusi surat yang di hantar ke JAWI Putrajaya berkuatkuasa 29 Ramadan 1433H. Walaupun mungkin cuba dipujuk, namun aku kena ‘berkeras'. Untuk sementara waktu sehingga kini, aku solat jemaah di tempat lain bagi mengelakkan timbulnya rasa untuk setuju merujuk semula ... gila jawatan namanya tu !! Semoga Allah tetapi menerima segala kederat dan usahaku ketika menjadi Pengerusi Surau As-Syakirin sebagai suatu ibadah dan saham akhirat.

Tawaran Biasiswa Perubatan Ke Mesir
Tetiba dapat panggilan tawaran anakku Nurul Najihah mendapat tawaran biasiswa melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang perubatan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan ( MAIWP ). Memang kami sekeluarga menganggapnya suatu rezeki atau pencapaian Najihah @ Kausar dalam SPMnya yang lalu.

Namun berdasarkan taklimat yang diberikan, tawaran tersebut dengan syarat mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi ( KPT ). Semak punya semak, memang Kausar tidak apply dan tarikh permohonan pendaftaran telahpun ditutup.

Masih mengharap dengan menggunakan bantuan agen yang menguruskan pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Namun apa yang diperlukan oleh pihak MAIWP tidak seperti yang disediakan oleh agen berkenaan. Entahlah, aku pun kurang faham dengan prosedurnya. Agen pula kata MAIWP yang tak ‘terbuka’. KPT pula kata surat tawaran dari universiti tu tak kompon dan tidak boleh dipercayai.

Akhirnya ‘terpaksa redha’, melepaslah tawaran tersebut walaupun orang kampong sudah tahu sebab masuk TV dan surat khabar. Pelbagai keperluan lain telah dipenuhi seperti pemeriksaan perubatan dan passport.

Rezeki tak ada, mungkin ada hikmahnya. Kami cuba memujuk hati yang agak kecewa juga. Sudah tidak guna kalau nak tanam 'pokok kalau' dan berkalau aku tahu itu dan ini dulu …

Isu Hudud
Mungkin lantaran PRU13 semakin hamper. Isu ini aku lihat sengaja dibangkitkan sepanjang Ramadan dan Shawal dalam media massa bagi menunjukkan ketidak sepakatan antara parti dalam Pakatan Rakyat menjelang PRU13. Tetapi dalam masa yang sama ia merupakan suatu promosi kepada warga negara Malaysia tentang apa itu Hudud, sama ada kepada yang Muslim dan non-Muslim. Di surau masjid tanpa segan silu ustaz buat kuliah, diskusi atau forum hudud.

DAP dikatakan kafir harbi kerana menolak Hudud. Ayat-ayat bahawa UMNO tidak menolak hudud tapi yang ditolak ialah Hudud PAS juga berkumandang. Tun Mahathir kata tidak tolak dan minta UMNO keluarkan Hudud versi yang dikatakan Hudud Islam. Hudud diwarwarkan tidak boleh dilaksana kerana rakyat belom faham lagi, ayat yang pernah aku dengar 30 tahun lepas. Apakah pelbagai undang-undang, akta dan enakman yang pernah diluluskan di parlimen d negara kita ni semua rakyat faham ?

Dulu masa nak tubuhkan Bank Islam, pelbagai kekhuatiran dan ramai yang agak skeptikal. Namun ia berjalan dan melalui pelbagai cabaran sehingga sekarang, setiap bank mempunyai kaunter Islamiknya pulak. Pelbagai akta atau peraturan digubal bagi membolehkan pelaksanaannya.

Begitu juga sekiranya hudud dilaksanakan. Mungkin mulanya ada kekurangan dan menjadi polemik pula yang cuba digambarkan dalam media apa yang berlaku di negara umat Islam lain. Ia seperti menjadi satu isu 'memfire back' Islam. Memang pelaksanaan hudud di negara Islam lain juga tiada yang kelihatan telah sempurna untuk dijadikan model.

Namun semakan dan pembaikan perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya selaras keperluan semasa termasuk dengan peraturan, undang-undang dan akta civil sedia ada. Kita ada ramai ulama dan bijak pandai yang boleh digunakan. Jadi kalau tidak dilaksanakan juga bagaimana hendak menuju Hukum Hudud yang sempurna ?

Lagipun apa yang nak dirisaukan, Hudud yang aku fahami pun mulanya untuk orang Islam sahaja. Apa yang non Muslim nak risaukan. Hanya orang yang jahat sahaja tidak suka hukuman hudud yang kononnya kelihatan zalim. Tidak dipromotekan sangat bahawa hukum Hudud itu bertujuan untuk memelihara agama, nyawa, aqal fikiran, harta benda dan keturunan.

Yang digembar gemburkan ialah isu hudud merupakan isu politik terbaik bagi memecahbelahkan PR menjelang PRU13. Hudud sepatutnya menjadi asas utama yang diikuti dengan hukum qisas dan takzir. Tapi yang berlaku di negara kita sekarang hukuman takzir sahaja. Kalau nak tunggu non-Muslim setuju, cuba taya mereka setuju tak kita lakukan solat fardu 5 waktu seharian ?

Serangan Kepada PR
Ahli politik pembangkang, MB dan EXCO kerajaan PR tidak boleh cakap silap sikit dan tidak boleh menunjukkan kelemahan sikit. Tentu akan dieksploitasi bagi mewujudkan imej atau persepsi bahawa PR tidak berkeupayaan mentadbir jika diberi peluang memerintah Malaysia, tidak boleh dipercayai janji mereka, burok akhlak dan rendah moral.

Program PAS Ganti UMNO di Terengganu dibalas dengan gerakan PAS-Parti Ajaran Sesat di Terengganu dan TUKAR yang mengabungkan NGO di Kelantan untuk tukar kerajaan Kelantan. Pelbagai tindakan diambil bagi ‘memujuk’ rakyat termasuk semakan royalty minyak kepada kerajaan Kelantan oleh PM sendiri.

Petanda pilihanraya umum memang semakin jelas kelihatan dengan isu-isu lama yang di rebranding semula. Tokoh-tokoh yang muncul setiap kali pilihanraya hendak diadakan, banyak yang sudah muncul dan mendapat ruang dalam media massa.

Sebaliknya parti pemerintah dengan bantuan media massa terus ditonjolkan sebagai parti yang berwibawa memerintah negara, boleh diharakan dan janjinya ditepati. Brand 1Malaysia dicanang setiap pelusuk negara bersama skim serta produk yang berkait dengannya.

Nampaknya imej PM semakin baik dan popularitinya meningkat. Namun apa yang ditunggu lagi untuk umumkan PRU13 ? Mungkinkan kerana masih tidak yakin dengan kedudukan di Sabah Sarawak, khususnya dengan keluarnya beberapa tokoh politik di sana dari komponen parti pemerintah.

Sambutan Raya
Selain daripada beraya dengan perjalanan Putrajaya ke Johor then Besut, kembali semula Kuala Terengganu dan balik semula Putrajaya yang memakan kekira 1800km, aku kira banyak kenangan masa raya yang lalu untuk dicatatkan.

Perjalanan sejauh itu tidak begitu dirasakan apabila dapat pulang beraya dengan keluarga baik di sebelah keluarga ku atau keluarga isteriku. Telah menjadi biasa dan tidak terasa kepenatan pun lantaran itu yang sering dilakukan setiap kali merayakan Aidil Fitri.

Alhamdulillah, perjalanan sejauh itu agak lancar tanpa kesesakan yang amat sangat di jalanraya. Ini dapat dirasakan jika berbanding dengan tahun-tahun lepas. Apakah lantaran keberkesanan operasi Ops Selamat oleh PDRM dan JPJ ? Jadual balik kampung yang dicadangkan oleh Plus atau memang cuti yang agak panjang ?

Alhamdulillah aku berpeluang jumpa rakan-rakan kariah Surau Al-Hidayah Saaujana Utama apabila dijemput hadir ke majlis Jamuan Raya Surau Al-Hidayah. Kalau nak pergi rumah setiap orang, tentunya tak larat. Dapat juga melepas rindu dengan mereka di surau saja.

Yang Ditemui Dan Pergi
Dalam tempoh Ramadan Shawal juga aku mendapat berita beberapa kenalan malah yang rapat telah kembali ke Rahmatullah. Yang begitu terasa ialah kematian Sdra Mazlan Ibrahim yang dianggap mentor ku semasa di kampus dulu. Rupanya mati dalam kemalangan tahun 2006 di Thailand. Argh, terasa bila pula giliran ku dan bagaimana nasibku di sana nanti.

Kematian Mazlan diceritakan oleh Sdra Hamdan, kira rakan seperjuangan masa di kampus dulu dan kini menetap dan jadi cikgu di Jertih Terengganu. Rupanya anak beliau dan anakku kawan rapat di UIA ketika ini. Bila bertemu mulalah cerita macam-macam bertanyakan status rakan yang lain.

Beberapa hari lepas kebanyakan staf kerajaan kembali semula ke ofis, seorang programmer ex-officemate masa di Lembaga Peperiksaan telah meninggal dunia dalam satu kemalangan di Putrajaya pada usia 48 tahun. Memang ajal dan maut tidak mengenal usia.

Musim Kawin Ketika Musim Raya
sebenarnya jarang dilakukan di kampungku Johor khususnya, tetapi nampaknya berleluasa di Pantai Timur. Aku sempat menghadiri jemputan walimatul urus di 3 tempat, dua anak kawanku dan satu tempat lagi rumah abang iparku di Terengganu.

Agak unik juga majlis perkahwinan serentak dua pasang adik beradik. Pernikahan juga dibuat satu demi satu pada satu malam. Jimat belanja tenaga dan masa untuk buat kenduri kendara walimatul urus. Tapi upah jurunikah serta saksi still double juga ...

Suatu yang janggal dalam 3 majlis yang aku hadiri, semua ketua keluarga tidak menerima 'sumbangan' seperti yang sering dilakukan di tempat-tempat lain. Moga Allah murahkan rezeki mereka.

Akhirnya adik aku pun menamatkan zaman bujangnya pada musim cuti kemerdekaan lalu. Maka habislah semua adik beradikku telah mendirikan rumahtangga. Kepada Nazir adikku serta pasangan lain, Selamat Pengantin Baru, moga berkekalan sehingga akhir hayat dan mendapat keberkatan Allah.

Open House Penamat
Mungkin sepatutnya majlis ini adalah kesyukuran dan doa selamat sempena keberangkatan Kausar ke Mesir, namun akhirnya sekadar Open House Penamat Raya. Mulanya ingat tak mahu mengadakannya ( masih kecewa ), tapi akhirnya kami adakan juga pada 1 Zulkaedah 1433H.

Walau bagaimanapun terima kasih kepada sedara mara, jejiran dan kengkawan yang sudi hadir.


Share:

Serbuan Gereja & Mengaji Dicorong Speaker Sebelum Suboh

Jika pada Ramadhan tahun lepas, heboh diperkatakan seorang YB DAP wanita Cina masuk surau, tetapi Ramadhan yang lalu, kes sebaliknya. Diberitakan pasukan penguatkuasa JAIS membuat serbuan ke atas sebuah gereja. Bunyi serbuan meninggalkan pelbagai tafsiran yang seolah-olah ganas, menceroboh masuk dan pelbagai istilah negatif lain. Berita kejadian ini disensasikan lagi dengan kepentingan politik kepartian, bagi memastikan satu pihak terasa kelihatan dalam keadaan bersalah, manakala satu pihak lagi dilihat jaguh sebenar dalam memperjuangkan Islam. Akhirnya MB Selangor mengarahkan semua YBnya tutup mulut sehingga keluar kenyataan daripada pihak Sultan sebagai ketua agama, serta hasil laporan daripada pihak JAIS. Tidak pasti bagaimana nada minta maaf MB Selangor keatas pihak gereja sehingga menimbulkan pula kemarahan sesetengah pihak dan pertubuhan ‘Islamik-Melayu’.

Sebelum kes serbuan gereja di Selangor, kecoh kejap tentang Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang mengeluarkan surat arahan untuk meminta pihak surau dan masjid tidak memasang kaset mengaji atau membaca tarhim di corong speaker sebelum masuk waktu atau azan suboh kerana boleh ‘mengganggu’ orang ramai. Muka depan dada Berita Harian 12 Ogos. Sohor kejap imam tu. Bagi ahli politik Melayu/Islam, pelbagai tuduhan mula dilemparkan dengan menuduh JHEIPP menjadi tunggangan parti kerajaan pemerintah negeri iaitu DAP serta mempersoalkan di mana PAS ?

Namun setelah dimaklumkan ianya selaras dengan Fatwa Negeri yang ditandatangani oleh Agung sendiri, isu menjadi reda sikit. Tetapi ada yang masih tidak berpuas hati lagi, sehinggalah Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan meminta Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang menimbangkan sehalus-halusnya larangan kerana ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan Umat Islam di negara ini.

Pengerusinya Prof Datuk Dr Abd Shukor Husin, berkata larangan itu sebenarnya tidak perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, sebaliknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.

Berbalik dengan kes di Selangor. Dikatakan, apa yang berlaku ialah pemeriksaan oleh pegawai JAIS, berdasarkan maklumat awam yang mendakwa berlakunya jemputan beberapa orang Islam ke Majlis Berbuka Puasa yang dinamakan 'Thanksgiving Diner Program' seperti di Gereja Damansara Utama. Program ini disyaki bertujuan untuk menyambut orang Islam berbuka puasa dan meraikan Thanksgiving.

Tindakan pemeriksaan dilakukan berdasarkan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1955 iaitu menghina atau mempersenda ibadat agama Islam di kalangan penganut agama Islam sendiri. Siasatan juga dibuat mengikut Enakmen agama bukan Islam (Kawalan Perkembangan di kalangan orang Islam ) Negeri Selangor tahun 1988. Ia juga selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan keran mempunyai unsur penyebaran dan pemgembangan agama bukan Islam kepada oranmg Islam. Operasi ini disertai oleh 13 Pegawai Penguatkuasa Agama JAIS dan dibantu oleh sepasukan PDRM seramai 20 orang daripada IPD Petaling Jaya dan Sea Park.

Namun dipihak yang lain, mereka tetap mempertahankan perhimpunan berkenaan berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan iaitu hak dan kebebasan bercakap dan bersuara, berhimpun secara aman dan tanpa senjata serta membentuk persatuan.

Murtad
Terdapat banyak laman web dan blogger yang memaparkan gambar, malahan rakaman video mengenai kejadian ini. Hairan juga bagaimana ianya boleh ‘terlepas’ dari pihak JAIS atau PDRM. Apakah ini sememangnya dirancang ? Atau ada yang tidak bertanggungjawab dari kalangan ahli rombongan ‘serbuan’ sehingga bahan tersebut terlepas keluar.

Isunya bukan setakat ‘serbuan’ tersebut, ada beberapa perkara lain yang berkaitan telah terbongkar. Bagaimana pihak Keristian dalam cubaan memujuk kalangan orang Islam menuruti dan menukar kepada agama Keristian dengan memberikan bantuan berupa kewangan, khususnya kepada orang Islam yang dalam kesusahan dan kesempitan serta memerlukan bantuan.

Tugas Berdakwah
Mungkin sudah tidak boleh dinafikan lagi, hakikatnya memang semakin ramai orang Melayu Islam memeluk Keristian hasil dakwah dan pujukan halus berkenaan. Tentunya pemimpin Keristian tempatan tidak akan dan tidak mungkin mengaku perkara itu. Bagaimanapun, mereka tidak tidak harus disalahkan apabila semakin ramai orang Melayu/Islam termakan dengan dakwah dan dakyah mereka.

Mereka juga ada tugas dan tanggungjawab dakwah. Kita juga akan berbuat demikian jika mempunyai ruang dan peluang untuk mengajak penganut agama lain, memeluk Islam. Kejadian di Gereja Methodist Damansara Utama itu seharusnya membuka mata kita kenapa gejala ini semakin membimbangkan sekarang.

Peranan Baitulmal
Yang disalahkan pula ialah bagaimana Baitulmal, Pusat Zakat atau badan kebajikan Islam untuk counter attack kepada tindakan tersebut. Pusat zakat dikatakan payah sangat nak memberikan bantuan, banyak sangat prosedur, borang yang perlu disi serta siasatan yang mengambil masa.

Baitulmal atau Pusat Zakat disaran untuk tidak hanya berbangga dengan jumlah kutipan yang meningkat saban tahun, tetapi realitinya ada umat Islam meninggalkan agama kerana kemiskinan dan kesukaran hidup. Ini akan mengurangkan kepercayaan ramai sebagai pembayar zakat terhadap kemampuan Pusat Zakat menjalankan tugasnya.

Kesan Politik
Isu ini terus disensasikan. Semua pertuduhan yang masih samar-samar dan memerlukan penelitian supaya pelbagai pihak tidak terjerat dalam kancah ciptaaan musuh politik masing-masing lantaran pilihanraya umum dikatakan semakin hampir. Ada yang mungkin membangkitkan apa salahnya umat Islam ke gereja seperti bukan Islam ke masjid. Malah ada yang mengatakan tindakan JAIS bertentangan dengan semangat 1Malaysia.

Namun sehingga kini aku rasa isu ini masih senyap atau disenyapkan. Yang dihebohkan pula tentang hal mengaji atau tarhim sebelum suboh di Pulau Pinang. Persoalan yang ditumbulkan ialah kenapa baru sekarang hendak dilarang. Sebelum ini ok sahaja ? Timbul kenyataan daripada pihak Pejabat Sultan Selangor dalam surat khabar. Namun dikatakan disalah erti atau salah tafsirkan. Entahlah.

Patutnya isu ‘serbuan gereja’ kena segerakan siasatan dan tindakan penyelesaian. Semakin lewat kemelut tidak dirungkaikan, kewibawaan pula semakin hilang dan kemurtadan terus berlaku, sedang umat Islam terus leka serta melepaskan tugas dakwah hanya kepada pertubuhan dakwah dan agensi kerajaan sahaja.

Share:

Tiga Kerugian Manusia

Dalam satu kuliah suboh yang aku hadiri beberapa hari sebelum berakhirnya Ramadhan, al-Ustaz mengulas satu maksud hadis mengenai kecelakaan tiga golongan manusia. Satu ketika, sedang Rasulullah s.a.w menaikki mimbar untuk berkhutbah, pada tangga pertama baginda mengucapkan “Amin”. Begitu juga pada anak tangga kedua dan ketiga. Selesai solat, para sahabat bertanya, “Mengapa Rasulullah s.a.w mengucapkan Amin ?”. Baginda menjawab, “Malaikat Jibrail datang dan berkata ; celakalah seorang yang apabila disebutkan nama mu lalu dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu. Lalu aku menjawab Amin. Kemudian katanya lagi, celakalah orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi tidak perihatin terhadapnya. Lalu aku menjawab Amin. Kemudian katanya lagi, celakalah orang yang berkesempatan hidup dalam bulan Ramadhan, tetapi tidak terampun dosa-dosanya. Lalu aku mengucapkan Amin.

Tapi daripada semakan maksud terjemahan hadis daripada dikisahkan sebagaimana berikut. Satu ketika, sedang Rasulullah s.a.w menaikki mimbar untuk berkhutbah, pada tangga pertama baginda mengucapkan “Amin”. Begitu juga pada anak tangga kedua dan ketiga. Selesai solat, para sahabat bertanya, “Mengapa Rasulullah s.a.w mengucapkan Amin ?”. Baginda menjawab, “Malaikat Jibrail datang dan berkata ; kecewa dan merugilah seorang yang apabila disebutkan nama mu lalu dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu. Lalu aku menjawab Amin. Kemudian katanya lagi, kecewa dan merugilah orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya, tetapi tidak sampai mengizinkannya masuk syurga. Lalu aku menjawab, Amin. Kemudian katanya lagi, kecewa dan merugilah orang yang berkesempatan hidup dalam bulan Ramadhan, tetapi tidak terampun dosa-dosanya. Lalu aku mengucapkan, Amin. ( H.R Ahmad )

Satu menyebutkan celaka dan satu lagi disebutkan kecewa dan merugilah. Perkataan celaka tu agak ‘ganaz’. Terdapat beberapa versi lain hadis yang hampir serupa. Sebelum Ramdhan dahulu aku aku terima e-mel yang menyatakan hadis seumpamanya adalah palsu, sebagaimana hadis Malaikat Jibrail berdoa, ”Ya Allah, tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut; tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada), tidak berma’afan terlebih dahulu antara suami isteri, tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. Maka Rasulullah s.a.w pun mengatakan Amin sebanyak 3 kali.

Malah teringat juga bahawa pernah juga aku mendengar kupasan hadis seumpamanya oleh Ustaz Junaid di Surau Al-Hidayah Saujana Utama beberapa tahun lalu seumpama hadis palsu di atas. Namun kalau di lihat daripada segi isinya, mungkin ada pengajaran yang hampir serupa boleh diambil.

Jom Berselawat
Berselawat kepada Nabi Muhammad adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Ia sebagai tanda suatu perhubungan antara kita dengan Allah dan Rasulullah s.a.w. Oleh itu tidak sewajarnya dipandang ringan oleh setiap umat Islam. Ini sesuai dengan kedudukan selawat itu sendiri yang memiliki berbagai keistimewaan dan kelebihan di sisi Allah.

Di segi bahasa pula, selawat bererti doa, rahmat dari Allah, memberi berkah dan ibadat. Dalam pengertian yang lebih luas, berselawat kepada Nabi Muhammad bererti memperbesarkan, mengagungkan serta mendukung perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh alam ini.

Kelebihan atau keistimewaan selawat antara lain juga dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya. ” (Surah Al-Ahzab: 56).

Sejajar dengan itu, selawat kepada Rasulullah s.a.w merupakan ibadah yang mulia dan terpuji, mengandungi berbagai kelebihan dan mendapat pertolongan dan perlindungan yang istimewa dari Rasulullah s.a.w serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak. Sabda Rasulullah s.a.w, “Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” ( H.R Tabrani ).

Hadis yang sering didengar, dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; “Barang siapa berselawat terhadapku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali” ( H.R Muslim ). Dalam hadis yang lain pula, sabda Rasulullah s.a.w, “Barang siapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barang siapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya". ( H.R Al-Baihaqi dan Al-Khatib).

Nak berselawat tak perlu menunggu musim maulud, ketika perarakan maulidur rasul atau bulan Rabiul awal. Galakan adalah sepanjang masa. Seterusnya dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah s.a.w,. “Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” ( H.R Ahmad, Nasai dan Al Hakim).

Oleh yang demikian,memang merugilah orang yang setelah dihidangkan kelebihan berselawat kepada Rasulullah s.a.w, namun masih melepaskannya begitu sahaja. Malah disebutkan amaran akibat berat atau kengganan berselawat sebagaimana maksud hadis Rasulullah s.a.w, ”Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku” ( H.R Tirmizi ).

Dari Ibnu Abbas r.a pula berkata ia, telah bersabda Rasulullah s.a.w; “Barang siapa melupakan ( meninggalkan ) selawat terhadapku, maka akan tersalah dia dari jalan surga.” ( H.R. Ibnu Majah dishahihkan oleh al-Albani dengan hadits lain )

Tidak Kisah Akan Kehadiran Ibubapa
Antara celakalah orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi tidak perihatin terhadapnya dengan kecewa dan merugilah orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya, tetapi tidak sampai mengizinkannya masuk syurga, dilihat banyak perbezaannya.

Oleh yang demikian, aku tidak mahu nak komen banyak di sini. Maksud yang aku fahami ialah kita tidak mengambil fadhilat dan kelebihan dengan kehadiran ibubapa kita, untuk berbakti kepadanya. Al-Ustaz dalam kupasannya pun lebih menumpukan kepada mengambil perhatian dengan berbakti serta mengembirakan kedua ibubapa. Mengembira tidak semestinya dengan harta dan kemewahan.

Memang banyak saranan dan fadhilat yang besar, berbakti kepada orang tua atau ibubapa sebagaimana disebutkan dalam hadis dan maksud al-Quran. Memang merugilah jika kesempatan ketika masih ada kedua ibubapa, kita tidak mengambil peluang berbakti terhadapnya, walaupun kita sendiri tidak pasti apakah dengan bakti yang diberikan, mampu memasukkan diri kita ke dalam syurga Allah s.w.t nanti.

Ramadhan Berlalu Tanpa Keampunan
Sungguh berat maksud yang ini, apakah maksud sebenar ? Di sebalik limpahan rahmat dan tawaran di atas kelebihan Ramadhan, mengapa kita enggan memanfaatkan bulan suci Ramadhan dengan sebaik-baiknya. Seolah-olah Ramadhan tidak memiliki keistimewaan apa-apa sehingga ia tidak berbuat apa-apa di dalam bulan Ramadhan.

Pahala amalam dilipat gandakan manakala dosa diampun. Bahkan ada Lailatul Qadar, satu malam yang lebih mulia dari seribu bulan. Amal kebaikan di dalamnya nilainya lebih baik daripada amal serupa dikerjakan selama seribu bulan atau ( 83 tahun ) yang tak ada Lailatul Qadar di dalamnya. Apakah kita masih tidak teruja dengan maksud hadis Rasulullah s.a.w, “Barangsiapa yang menghidupkan Ramadhan karena iman dan mengharapkan pahala, Allah mengampuni dosa-dosanya yang telah berlalu.” ( H.R. Bukhari )

Jika demikian, tentulah merugi ( kalau tidak celaka ) kita tidak menghiraukan tawaran Allah dan membiarkan ianya berlalu begitu sahaja. Merugilah seseorang yang sesudah Ramadhan pergi lantaran gagal dalam melaksanakan ibadah Ramadhan sehingga ia tak mendapat ampunan dosa dan tak mendapatkan hidayah yang membimbingnya untuk lebih baik dan bertakwa. Semoga Allah tidak menjadikan kita antara orang-orang yang merugi dan celaka, saat Ramadhan pergi.

Dari Ibnu Abbas r.a. Rasulullah s.a.w bersabda, “Kalau sekiranya umatku mengetahui segala ( kebaikan ) didalam bulan suci Ramadhan, niscaya mereka menginginkan agar semua tahun itu menjadi Ramadhan”, kerana semua kebaikan itu berkumpul di bulan suci Ramadhan, ketaatan bisa diterima, semua doa dikabulkan, semua dosanya diampuni dan surga sentiasa merindukan mereka” ( H.R. Ahmad ).

Kerana itu pernah kita mendengar kisah para sahabat Rasulullah s.a.w menangis ketika Ramadhan berlalu pergi. Memang wajar. Jika pada bulan Ramadhan kita tidak mendapatkan ampunan apatah lagi pada bulan yang lain ? Apakah masih mungkin jika seseorang gagal mendapat keampunan dalam bulan Ramadhan, boleh mendapat ampunan pada bulan yang lain ? Namun Allah s.w.t Maha Luas ampunannya ...

Ramadhan telah berlalu dan tidak boleh dikesalkan lagi. Perginya tidak akan kembali. Kita hanya boleh mengharapkan dipanjang usia untuk dapat menemui Ramadhan tahun hadapan. Namun apakah kita pasti dipanjangkan usia sehingga Ramadhan tahun hadapan. Atau apakah kita pasti untuk tidak mengulangi kesilapan lalu, leka lagi dan tidak akan melepaskan peluang akan diberikan nanti ?

Semoga perasaan atau terasa berat hati kita berpisah dengan Ramadhan yang lalu menjadi tanda bahwa puasa kita sangat bermakna tidak sekedar lapar dan dahaga. Sabda Rasulullah s.a.w, “Banyak orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan apa-apa kecuali lapar dan dahaga” ( H.R. An-Nasa’i).


Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.