Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Kaabah Menggamit Hatiku ... I'm Coming !!!

Insya’allah hujung bulan aku ini, aku sekeluarga serta bonda akan menunaikan Umrah ke Tanah Suci Mekah. Dalam membuat persiapan untuk melaksanakan ibadah tersebut aku dan keluarga telah beberapa kali mengikuti beberapa kali kuliah atau kelas mengenai ibadah Umrah yang dianjurkan oleh syarikat Travel Agent yang akan menguruskan pemergian kami nanti. Bagi aku dan isteri mungkin ini ulangkaji. Bagi anak-anakku barangkali perlukan penekanan yang lebih berbanding dengan apa yang pernah dipelajari masa sekolah menengah dulu.

Namun sebaik mengikuti kuliah yang diadakan pada Sabtu 7 Mei lalu, aku semakin tidak sabar nak berangkat ke sana. Lambaian Kaabah semakin terasa. Hatiku semakin tersentuh dan terharu. Apa tidaknya, Ustaz Haji Yahya menceritakan bahawa Kaabah apabila diarahkan masuk ke syurga pada Hari Akhirat nanti, enggan bergerak ke syurga selagi tidak diiringi oleh semua manusia yang pernah tawaf mengelilinginya. Adus .... Allahu Akbar !! Aku rasa macam tidak pernah dengar hadis atau kisah sebegini. Aku bertekad untuk tawaf sebanyak mungkin apabila di sana nanti. Semoga Allah permudahkan urusanku nanti.

Memang Kaabah begitu istimewa dan banyak fadhilatnya. Hadis dari Ibn Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, ‘120 rahmat turun ke atas Kaabah setiap hari dan malam, 60 untuk mereka yang melakukan tawaf, 40 bagi mereka yang mendirikan solat dan 20 untuk mereka yang melihat Kaabah.’ ( H.R Baihaqi dan Tabrani ) Ini ditambah dengan kelebihan solat di Masjidil Haram dimana Kaabah berada, sebagaimana disebutkan dalam hadis lain iaitu diganjarkan sehingga seumpama 100,000 kali solat.

Kursus Umrah
Hadir juga sebagai persediaan. Aku rasa payah juga syarikat nak kendalikan Kursus Umrah berbanding Kursus Bersiri Haji. Apa taknya, nak diceritakan sangat banyak. Kuliah 3 -4 jam tidak memadai. Kalau nak buat sehari suntuk, mungkin meletihkan juga dibuatnya. Atau mungkin kosnya jadi tinggi sebab kena sediakan makanan tengahari kot ?

Tambahan pulak kekadang beberapa siri ceramah dikendalikan oleh Ustaz yang sama, kisah pun sama walaupun tidak habis juga nak disampaikan semuanya. Banyak sangat kuah berbanding isinya. Cerita yang wajib dan rukun pun kekadang tidak habis, apatah lagi yang sunat. Memanglah umrah dan haji ini banyak perbuatan. Kalau tawaf dan saie main jalan saja ikut syarat sahnya pun sudah memadai. Nak tahu juga doa serta sunat yang besar ganjarannya. Jika kursus haji, setiap siri mungkin telah ditentukan topik khusus yang akan disentuh. Maka lebih mudah diuruskan.



Cucuk Imunisasi
Rupanya payah. Di Klinik Kerajaan memang dikatakan tidak ada sekarang. Payah nak dapatkan khidmat ini dari klinik swasta sekitar Putrajaya dan Bandar Baru Bangi. Sama ada habis stok atau reganya yang ku kira tidak munasabah, tidak selaras. Cucuk imunasasi Hajiku baru sahaj tamat April lalu. Yang itu memang proper rekodnya dalam buku rekod kesihatan jemaah haji.

Dengan berbantukan internet, hubungi satu demi satu dan akhirnya alhamdulillah settle semua. Namun cara keputusan direkod dan diberikan oleh pihak klinik ternyata berbeza dan tidak selaras. Ada yang sediakan kad atau buku khas. Namun aku punya rekod suntikan hanya ditulis atas sekeping kertas A4 yang dipotong bersaiz 2” X 3”. Boleh percaya ke, padahal nama klinik memang tersohor dengan rangkaian seluruh Malaysia.

Patutnya ada satu sistem yang merekodkan semua suntikan yang telah dibuat di klinik swasta yang dilantik sebagai panel. Menerusinya, apabila permohonan Visa diproses, semakan hendaklah dibuat kepada sistem berkenaan. Kira senang dan sahih, tiada berbanding pertikaian jika berdasarkan pelbagai rupa dokumen yang digunakan oleh klinik swast untuk merekod suntikan.

Gambar, Visa Dan Passport
Teknologi banyak membantu mempercepatkan proses. Kini gambar boleh siap dalam masa 15-20 minit. Kalau nak touch-up sikit pun tidak ambik masa yang lama.


Nak buat passport pun mudah. Dalam masa kekira dua jam boleh diselesaikan, pasport siap. Regapun baru dikurangkan kepada RM 100 sahaja untuk 2 tahun. Dulu hanya ada yang RM200 untuk 5 tahun. Kini hanya tinggal Visa yang akan diuruskan oleh Travel Agent dengan kedutaan Arab Saudi, kot ? Harap takde masalah.

Cuti
Cutiku telah kupohon dan diluluskan. Cuma kebenaran keluar negara yang baru dihantar. Isteriku kata dah settle. Kak Yong baru dapat tawaran kerja dan kena lapor diri mulai 19 Mei ini. Nampaknya terpaksa minta tangguh selepas balik umrah nanti.

Cuma Kausar ditolak cutinya oleh Pengetua sekolah. Kalau cuti juga kena gantung kad outingnya. Tengah plan nak dapatkan MC ... ha ! ha ! Perubahan tiket flight Kausar nak balik semula sekolah masih belum dibuat. Kena denda RM70 oleh Air Asia kalau tukar tarikh. Bayor ajelah. Cari flight syarikat lain, nampak lebih mahal kosnya.

Cabaran
Seolah-olah cabaran mula mendatangiku. Jika sebelum ini dijanjikan direct flight dari KLIA terus ke Jeddah dengan MAS, baru diberitahu yang kami akan naik MAS hanya dari KLIA ke Bangkok, then naik Etihad pulak untuk ke Jedah. Kena tipu ke kami ? Terasa geram dan nak marah juga.

Sengaja aku pilih pakej ini dulu sebab dikatakan direct flight ke Jedah dengan MAS. Bukan selebriti yang ada hubungan dengan syarikat berkenaan. Nak transit-transit ini dikatakan oleh yang berpengalaman, agak leceh dan bimbang bagasi tak sampai.

Cabaran kedua pulak apabila dikatakan aku tidak layak menerima diskaun sebagai dijanjikan ketika mula mendaftar Disember tahun lepas. Kira bertekak juga dengan pekerja di syarikat Travel Agent tu. Dikatakan kesilapan cakap orang yang menerima permohonan aku dulu dan diapun sudah 'dibuang' kerja lantaran banyak kesilapan yang telah dilakukan.

Akhirnya dapat juga tapi tidak sepenuhnya. Redho ajelah. Malah aku sebenarnya kalau tak dapat diskaun pun ‘terpaksalah redho’ juga. Mungkin ada hikmah lain, rezeki Allah nak ganti nanti, waullahualam.

Persediaan Diri
Sering dalam siri kuliah umrah yang aku hadiri, ustaz mencadangkan untuk perbanyakkan istighfar dan solat taubat pada ketika ini. Ini penting bagi membersihkan diri sebelum mengunjungi Mekah. Disamping itu juga, pohonlah diberikan kemudahan Allah dalam urusan mengerjakan umrah nanti.

Begitu juga doa-doa sebagaimana yang dicadangkan, biasakan membacanya supaya lancar membacanya atau sekurang-kurang tidak terkial-kial semasa tawaf atau saie nanti.
Share:

Miracle The Reference - Al-Quran 22 in 1

Sekali aku menemuinya terjual di sebuah kedai buku, terus terasa betapa aku harus atau perlu memilikinya. Sebelum ini aku juga telah memiliki Al-Quran Pra-kata, hadiah kenang-kenangan lantaran menjadi AJK Pembinaan Masjid Saujana Utama. Sebenarnya secara jujurnya, Al-Quran pra-kata tu sesekali sekala sahaja aku menatapnya dan meneliti akan kandungannya.

Al-Quran yang di luarnya terpampang perkataan Miracle The Reference menarik perhatianku lantaran dikatakan merupakan al-Quran yang mengandungi 22 unsur istimewa. Apa yang sampai 22 tu. Bagiku yang menariknya ialah terdapatnya tanda-tanda bacaan menurut hukum tajwid. Jadi mudah sikit nak membacanya menurut hukum tajwid walaupun masih mengekalkan penulisan perkataan demi perkataan dengan terjemahannya. Payah juga sebenarnya nak membaca perkataan demi perkataan apabila dipisahkan antara satu sama lain dengan jarak tertentu.

Apa yang sampai 22 perkara istimewa dalam al-Quran ini? Mungkin benar 22 perkara, tapi tidaklah semuanya dilakukan secara detail, umpamanya hanya pada ayat-ayat terpilih tafsir dan asbabun nuzul diperjelaskan. Kalau nak didetailkan semua ayat, tentu tebal giler al-Quran ini jadinya.

Selain al-Quran, disediakan sekurang-kurangnya dua buah buku berkaitan serta satu VCD mengenai kaedah membaca al-Quran yang dikatakan mudah serta praktikal.

Bagi yang belum memilikinya, bolehlah berbuat demikian. Harganya sekitar RM 170-200 setiap satu. Mungkin akan semakin murah dari semasa ke semasa. Yealah, sebelum ini ada al-Quran 15-in-1, selepas al-Quran prakata. Yang pentingnya al-Quran semakin canggih, mudah difahami dan dihayati berdasarkan teknologi dan inovasi tertentu.
Share:

Kemusykilan Emel 1Malaysia

Sekonyong-konyong PM melancarkan projek emel 1Malaysia. Rakyat keliru dan timbul suasana berbelah di kalangan rakyat. Malah terdapat beberapa laman facebook diwujudkan bagi membantah projek ini. Menurut projek ini, satu akaune-mel akan disediakan kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas secara percuma. Emel ini dikatakan akan menjadi saluran dalam meningkatkan penyampaian kerajaankepada rakyat. Turut disediakan nanti ialah perkhidmatan untuk menyemak bil serta bayaran.

Persoalan dan bantahan wujud lantaran nilai kontrak bernilai RM50 juta untuk melaksanakan projek tersebut yang macam dianggap membazir sedangkan banyak lagi perkara berfaedah boleh dibuat dengan duit tersebut, contohnya internet free kepada rakyat ? Tidak cukupkah lambakkan emel percuma yang boleh diperolehi secara mudah sejak mula dunia emel dan internet berkembang.

Apakah keistimewaan emel 1Malaysia berbanding dengan emel percuma tersebut. Apakah tidak boleh emel seperti yahoo, Hotmail dan gmail menjadi emel rasmi. Malau akaun emel tersebut juga dilengkapi dengan kemudahan chating, dengan live kamera lagi. Kira sudah memadai dengan emel percuma tersebut. Itu belum masuk akaun emel pejabat yang digunakan secara rasmi. Nampaknya alasan kesahihan pemilik akaun emel mungkin ada benarnya.

Rakyat juga membantah kerana projek tersebut dianugerahkan kepada Syarikat Tricubes Bhd yang sedang mengalami masalah untuk terus survive dalam industri ICT negara. Mengapa bantah Tricubes sedangkan syarikat dikatakan dilantik setelah melalu proses tender terbuka ? Bagi pihak Tricubes tentunya menarik nafas lega dengan kurniaan kontrak ini dan berharap boleh bernafas mengorak langkah kehadapan.

Terpaksa PM menjelaskan yang Emel 1Malaysia adalah projek sektor swasta. Tidak ada wang awam terbabit, dan ia adalah sepenuhnya sukarela. Habis tu darimana Tricube boleh dapat duit ? Rakyat terus keliru. Dalam Malaysiakini 26 April 2011, menerusi satu taklimat media di Kuala Lumpur, Khairun Zainal Mokhtar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tricubes Berhad mengesahkan bahawa agensi kerajaan akan dikenakan bayaran RM0.50 bagi setiap email yang dihantar kepada pengguna tetapi orang ramai tidak akan dikenakan sebarang bayaran.

Secara mudahnya, kerajaan tidak bayar apa-apa kepada Tricubes, tetapi agensi kerajaan yang guna emel 1Malaysia syarikat itu kena bayar 50 sen setiap satu emel yang dihantar. Apakah nanti, agensi kerajaan akan akan dikerah untuk guna perkhidmatan Tricubes dan membayar setiap perkhidmatan yang digunakan bagi menggantikan penghantaran secara konvensional sekarang iaitu melalui surat menyurat ? Kalau begitu perkirannnya, dari mana datang angka RM50 juta ?

Nampaknya yang juga menjadi pertikaian adalah penjelasan yang bercanggah daripada pihak-pihak yang terbabit mengenai bagaimana Tricube dapat hasil daripada projek ini. Jadi cakap sapa yang betul ? Pengarah Perkhidmatan NKEA bagi Pengisian dan Infrastruktur Komunikasi, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek juga berkata kerajaan akan membayar 50 sen bagi setiap emel kepada pemenang konsesi iaitu Tricubes Bhd.

Kebimbangan rakyat apabila menjadi ahli nanti, sejauh mana pangkalan data maklumat pendaftaran yang diberi adalah selamat dan tidak disalahguna. Sejauh mana pula akaun emel mereka tidak dihujani dengan spam politik, khususnya menjelang pilihanraya kecil dan pilihanraya umum nanti.

Sekiranya tukar PM nanti, apakah emel 1Malaysia akan diteruskan khsusunya jika PM baru tidak meneruskan konsep 1Malaysia. Memang sekarang konsep ini menjadi pegangan. Sejauh mana ? Sementara atau selamanya ? Jangan jadi macam islam Hadhari yang kini entah dimana kedudukannya. Institusi bertemakan atau ambil nama Islam Hadhari pun berada dalam persimpangan. Bagaimana dengan masjid Hadhari yang dibina di merata di terengganu ?

Dipetik daripada peraktoday.com

Projek E-mel 1Malaysia inisiatif sektor swasta sepenuhnya: Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan projek E-mel 1Malaysia yang diumumkan semalam adalah inisiatif sektor swasta sepenuhnya dan ia langsung tidak membabitkan dana awam. Katanya, penyertaan juga adalah secara sukarela dan mana-mana pihak yang enggan turut serta, mereka tidak perlu menyertainya.

Jelasnya, projek itu telah diluluskan oleh Unit Penilaian Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan ia adalah sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP). “Projek E-mel 1Malaysia ini adalah sebahagian daripada tujuh projek ETP yang dirancang oleh kerajaan dan secara sukarela,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 di Ipoh, petang tadi.

Projek E-mel 1Malaysia akan dipelopori syarikat IT tempatan, Tricubes Bhd yang melabur RM50 juta untuk menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas. Pelaburan bagi projek Emel 1Malaysia itu adalah bagi menyediakan akaun email kepada semua warga Malaysia untuk urusan rasmi dengan kerajaan.

Najib ketika merasmikan projek itu semalam berkata, e-mel berkenaan akan membolehkan komunikasi secara langsung dan selamat di antara rakyat dan kerajaan. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pengguna dan juga warga niaga.

Share:

Nasi Lemak oh Nasi Lemak !!!

Nasi lemak merupakan makanan kegemaran bagi orang Malaysia, malah mungkin seantario Asia Tenggara seperti Singapura, Selatan Thailand, Brunai dan mungkin juga Indonesia. Cuma kalau duu selalunya dimakan waktu pagi sebagai sarapan, kini sudah jadi sepanjang masa. Malah ia sudah boleh dianggap sebagai hidangan berunsur 1Malaysia lantaran menjadi kegemaran pelbagai lapisan masyarakat. Tetapi tetiba timbul isu pelajar atau murid sekolah obese ( terlebih berat badan ) dan Nasi Lemak dituduh sebagi punca dan akibatnya dihadkan penjualannya sebanyak dua kali atau hari seminggu sahaja. Wajar ke ?

Makanan Nasi lemak merujuk kepada nasi yang dimasak dengan menggunakan santan kelapa ( sebab itu berlemak !! ) dan kadangkala daun pandan dimasukkan bagi menambahkan baunya yang menyelerakan. Nasi lemak selalunya dihidangkan dengan telur, timun, ikan bilis goreng dan sambal tumis. Tetapi kini nasi lemak dijual dengan pelbagai lauk lain seperti daging, ayam, sotong, udang, limpa, paru dan hati lembu.

Pada asal dahulu, Nasi Lemak bukanlah satu makanan sarapan harian. Ia merupakan satu bekalan kepada pesawah-pesawah padi mahupun yang mengusahakan kebun seperti getah, kelapa sawit, sayur-sayuran dan lain-lain. Maknanya kerja-kerja berat. Tapi kalau di Pantai Timur Malaysia, ada Nasi Berlauk, Nasi Kerabu dan Nasi Dagang. Bekalan Nasi Lemak sering dibekalkan kerana ia mampu memberi tenaga kepada mereka ini yang kerja berat membanting keringat.

Pada masa kini, nasi lemak bukan sahaja dinikmati pada waktu pagi. Malahan, ia dinikmati pada waktu makan tengah hari dan malam. Oleh sebab itu, nasi lemak merupakan satu sajian makanan yang ringkas lalu dijadikan makanan pilihan warga kota yang sentiasa kesibukkan. Harga yang murah juga mendorong makanan popular ini semakin mudah didapati di mana-mana sahaja.

Namun semasa Persidangan Kesihatan Kedua Perak 2007, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Malaysia, Datuk Dr Ramlee Rahmat, telah meletakkan nasi lemak sebagai satu makanan segera, kerana ia dikategorikan sebagai satu makanan yang berkalori tinggi, dan juga mudah dan siap dihidangkan. Ini telah menimbulkan kontravesi.

Kontraversi terbaru ialah apabila nasi lemak dituduh sebagai penyebab murid-murid sekolah kebangsaan terutamanya, mengalami diabetes serta obesiti atau berat badan berlebihan. Nasi lemak dikatakan tidak begitu sihat untuk dimakan hari-hari kerana tinggi kalori dan lemaknya oleh pakar pemakanan. Akibatnya kantin sekolah hanya dibenarkan menjual nasi lemak dua kali dalam seminggu. Bukan nasi lemak sahaja, makanan junk-food lain termasuk minuman bergas juga dilarang dan dikawal penjualannaya.

Masa aku kecik-kecik sekolah rendah dulu, tak adapun dihadkan macam ini. Nasi lemak atau apa aku makan aje, takpun badan naik gemuk ? Yealah, dulu lain sekarang lain. Dulu pergi balik sekolah naik basikal. Sudah satu bentuk excercise !! Pepetang pulak main bola, badminton, hoki, galah dan pelbagai lain. Maknanya berpadanlah apa yang dimakan dengan xtvt harian. Itu belum lagi masuk kebun bila hujung minggu.

Zaman sekarang, sudahlah pergi balik sekolah naik van, bas atau dihantar ibubapa, petang pulak asyik terperap dirumah mengadap TV, main komputer atau berFacebook. Sambil nengok TV atau berFacebook tu ngunyah macam-macam lagi. Kekadangtu ibubapa ajak pulak makan diluar malam-malam. Walau duhadkan macamana pun, kalau tidak disambut oleh peranan ibubapa, tak kemana juga. Had penjualan nasi lemak di sekolah, tapi di rumah melantakdenghan pelbagai makanan segera ?

Walau ditegah beli nasi lemak di sekolah, mungkin ibubapa belikan di kedai atau gerai tepi jalan dan bekalkan anak ke sekolah. So, tiada kesan larangan yang dikenakan oleh pihak sekolah. Menjadi kebiasaan pulak pekedai mengambil kesempatan berjaja di luar pagar sekolah. Apa yang dijual tentunay bermacxam-macam. Anak-anak pun simpan duit yang diberikan ibubapa untuk beli apa yang djual kerana kelihatan lebih menarik. Akibatnya kuih seperti kaswi, karipap, serikaya dan kuih lapis yang dijual di kantin sekolah tak berapa ada yang nak beli.

Apakah kini yang perlu dilakukan ke atas nasi lemak ? Bagaimana boleh kalau nak kurangkan lemaknya ? Mungkin ini mendorong kepada satu inovasi, nasi lemak tanpa atau rendah lemak !!!



Share:

Solat Jumaat Di Surau As-Syakirin

Pada 13 April lalu, aku serta beberapa orang AJK Surau As-Syakirin SMK Putrajaya Precint 14(1) telah menghadiri taklimat mengenai kebenaran solat Jumaat di Masjid As-Shafie Taman Perkasa Maluri, KL. Alhamdulillah, Surau As-Syakirin SMK P14 telah dibenarkan untuk didirikan solat Jumaat mulai 6 Mei 2011, tertakluk kepada kesediaan kita. Bila aku ingat kembali, rasanya permohonan mula dibuat setahun lalu.

Taklimat telah disampaikan oleh Tn Hj Hashim bin Hj Salleh, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Kariah, JAWI. Ini diikuti dengan soal-jawab mengenai pelaksanaan solat Jumaat, maklumlah pentadbiran surau biasa dengan surau Jumaat sedikit berbeza.

Dalam taklimat yang disampaikan, penekanan diberikan kepada persediaan serta perkara yang perlu dipatuhi selaras dengan Akta 505 – Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1993 Berkaitan dengan Masjid Bahagian VII ( Seksyen 72 – 83 ).

Pada akhir majlis, aku tampil mewakili Surau As-Syakirin untuk menerima surat kelulusan rasmi daripada Tn Hj Hashim bin Hj Salleh. Turut menerima surat kelulusan ialah wakil dari 9 buah surau lain di sekitar Wilayah Persekutuan, yang turut dinaik taraf sebagai Surau Jumaat. Antara lain ialah Surau di Hentian Pudu Raya dan Ibu pejabat Polis Dang Wangi. Dari Putrajaya, hanya Surau As-Syakirin.

Kini apa yang dilakukan ialah persediaan kearah memastikan solat Jumaat dapat diadakan mulai pada 6 Mei 2011. Memang tidak mengharapkan yang perfect. Namun harapnya semuanya berjalan lancar. AJK pun nampak semangat dan bersungguh. Semoga ramai yang akan dapat manfaat daripada naik taraf ini.


Share:

Pesanan Dr. Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais

Dr. Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais memang dikenali menerusi kemerduan suaranya dalam membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Rasanya banyak dijual bahan audio bacaan al-Quran beliau. Memang sedap suaranya, tetapi aku lebih ‘gemar’ dengan bacaan Sheikh Said Al-Ghamidy. Dr. Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais kini berusia 50 tahun dan beliau merupakan Imam Besar Masjidil Haram. Diberitakan telah hafal al-Quran ketika berusia 12 tahun lagi. Beliau juga memiliki Phd dalam bidang Syariah Islam daripada Universiti Umma Al-Qura pada tahun 1995.

Baru-baru ini aku mendapat maklumat yang beliau telah berkunjung ke Malaysia. Tak pasti kunjungan tersebut atas program apa. Namun aku berkesempatan turut serta dalam salah satu program yang diatur untuk beliau, iaitu di Masjid Darul Quran Kuala Kubu Bharu pada tengahari Sabtu, 23 April 2011. Mungkin kehadiran beliau bagi memberi semangat kepada pelajar di Darul Quran ini. Kalau ke Mekah pun bukan boleh nampak wajahnya, apatah lagi nak bersalaman dengan beliau. Hanya mendengar menerusi keunikan bacaan ketika beliau menjadi Imam.

Dijadualkan program bermula jam 1.00 tengahari yang diikuti dengan solat Zuhor berimamkannya. Lamalah menunggu dengan setianya. Namun berlaku kelewatan dan kekira 2.30 baru sampai dan terus solat zuhor berimamkan beliau. Khabarnya telah sampai awal, namun diberikan sedikit taklimat di Pejabat Darul Quran dahulu.

Dalam awal ucapannya beliau menyatakan sentiasa berdoa di tanah suci agar semua yangterlibat dalam kepimpinan negara serta dapat menerapkan al-Quran dalam pentadbiran. Beliau juga bersyukur, kerana masih ada yang terlibat dalam pengajian dan pembelajaran al-Quran ( khususnya di Darul Quran Kuala Kubu Bharu ini ).

Seterusnya beliau menyatakan bahawa kita semua berkewajipan terhadap pelaksanaan kandungan al-quran dan sunnah, dengan menggariskan beberapa perkara berikut mengenai al-Quran sebagaimana yang dapat aku fahami daripada ulasan oleh penterjemah :-

a. Beriman sepenuhnya akan kandungan al-quran,

b. Bersungguh-sungguh membacanya sepanjang masa tidak pada masa atau musim tertentu kerana membaca al-quran itu dianggap perniagaan yang tidak akan rugi,

c. Menghafal kandungan al-Quran sejauh mana yang mampu dihafal,

d. Merenungi makna al-Quran ( tadabbur ) supaya dapat diaplikasikan dalam kehidupan,

e. Diterjemahkan kandungan al-Quran dalam kehidupan,

f. Berakhlak dengan ahlak al-Quran iaitu dengan melakukan apa yang disuroh dan tinggalkan apa yang dilarang oleh Islam, dan

g. Sebarang permasalahan yang timbul, penyelesaiannya hendaklah di rujuk kepada al-Quran

Pada akhir majlis beliau mempedengarkan sedikit bacaan al-Quran sebagi kenang-kenangan untuk para hadirin. Dengan kawalan keselamatan yang diberikan, terlepas peluangjuga nak bersalaman dengan beliau walaupun telah berbaris panjang menunggu giliran. Main jalan lalu aje, yang sempat aku tepuk bahunya saja.

Kini aku mula tertanya-tanya, apa fungsi Imam Besar Masjidil Haram ? Apakah seperti Imam-imam masjid di negara kita ? Apakah peranan beliau dalam pentadbiran Kerajaan Arab Saudi kalau pun tidak bagi Masjid seluruh dunia. Apakah ada kesatuan yang menghubung jalinkan ikatan antara masjid seluruh dunia ?

Petikan sebahagian rakaman ceramah yang disampaikan




Klik Untuk LIhat Lagi Gambar

Latar Belakang Sheikh As-Sudais Dipetik dari http://sheikhsudais.tripod.com

Dr. Abdul Rahman Al-Sudais [Arabic: عبد الرحمن السديس] is the Grand Imam of the Masjid al Haram in Makkah in Saudi Arabia. He is known world wide primarily for his beautiful recitation of the Qur'an (which he memorized at the age of 12). Imam Sudais was born in 1961 and is a doctor by profession. He comes from the Anza clan, his lineage is ABU ABDUL AZIZ Ibn ABDUL AZIZ bin ABDULLAH, bin ABDUL AZIZ bin MUHAMMAD bin ABDULLAH. He is renowned for his good character and simplicity. He also leads the Taraweeh Prayers during Ramadan (with the other Imams including Sheikh Saud Al-Shuraim).

Sheikh Sudais grew up in Riyadh and attended the Al Mathna Bin Hartha elementry school and also the Scientific Academy of Riyadh - he is one of the most famous students from there. He graduated from the Scientific Academy in 1399 with a grading EXCELLENT and then went on to the Al Sharia College. He obtained a degree in Sharia from Riyadh University in 1983 and became an IFK (Islamic Fundemental Knowledge) lecturer after the conclusion of his study.

He obtained his masters in Islamic fundamentals from the Sharia College of Imam Muhammad Bin Saud Islamic University in 1987 and received his PhD in Islamic Sharia from Umma Al Qura Universiy in 1995 while working there as an assistant professer after serving at Riyadh University. He was also taught the quran by Sheikh Muhammed Abdul Majid Zakir and also various others including Al Sheikh Muhammed Ali Hassan.

After this he became Imam and Khateeb of a mosque in Riyadh called Masjid Al Sheikh Al Allama Abdur Razzaq Al Afifi. At the same time he started teaching in the Academy of Imam Al Dawa Al Almy in 1404 and which time he was also appointed the Imam and Khateeb of Masjidal Haram in Mecca Mukarrama. He started his Imamat in Mecca on the 22/08/1404 leading the Asr salat, and his first Khutba to the people was on the 15/09/1404 which was in ramadhan.

In 2005 Al-Sudais was named by the Dubai International Holy Quran Award (DIHQA) Organising Committee as its 9th annual "Islamic Personality Of the Year" in recognition for his devotion to the Quran and Islam. When accepting his award in Dubai, he said: "The message of Islam and Muslims is modesty, fairness, security, stability, sympathy, harmony and kindness."
Share:

Pesta Buku Antarabangsa KL 2011

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 bermula pada 22.4.2011 hingga 1.5.2011. Entahlah, diam tak diam rupanya menyambut ulang tahun yang ke-30. Malah rasanya buku yang dibeli masa pesta buku tahun lepas ada yang tidak habis di baca .. ha .. ha. Maklumlah, berdasarkan kajian, rakyat Malaysia dikatakan hanya membaca satu muka surat buku dalam setahun.

Pesta ini dianggap sebagai pemangkin industri buku. Dalam pesta inilah jadi tempat pertemuan langsung penjual / penerbit buku dengan pembeli. Di sini kebiasaannya penjual akan memberikan promosi diskaun buku yang besar. Tapi tidak semua begitu. Pembeli pula akan membeli secara borong kerana harga buku yang ditawarkan pada pesta buku amat murah.

Tapi aku rasa masa aku berkunjung kesana pada petang Sabtu 23 April lalu, tidaklah ramai sangat orang atau orang bersesak di sana. Apakah sebab hujung bulan dan belum dapat gaji lagi. Next weekend, agaknya sesak. Mungkin ini suatu idea yang baik kalau nak berkunjung next year sekiranya hendak mengelakkan kesesakan semasa berjalan dari satu gerai ke gerai yang lain.

Situasa yang selalu kelihatan, ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka berkunjung ke pesta buku ini kerana inilah cerminan diri mereka. Kita seringkali menyuruh anak-anak kita membaca buku tetapi bagaimanalah rupa agaknya sekiranya kita sendiri tidak berminat kepada buku?

Namun sekurang-kurangnya dengan membawa anak-anak ke pesta buku ini maka ia akan dapat menyuntik pengalaman indah dalam jiwa anak-anak kita tentang betapa bernilainya sesebuah buku itu. Namun bagiku yang penting ialah aktiviti sampingan seperti sesi memperkata buku dan juta bertemu dengan penulis-penulis yang selama ini hanya dengar namanya sahaja.



Klik untuk lagi gambar
Share:

Gamat, Cokelat Dan ...

Sebut tentang gamat dan cokelat, tentunya Langkawi yang dibayangkan. Tapi mungkin benar bagi yang pernah pergi ke Langkawi. Suatu ketika dahulu, barangan kaca, pinggan mangkuk pelbagai berjenama menjadi tumpuan lantaran harganya yang jauh lebih murah berbanding tempat lain. Maklumlah pulau bebas cukai.

Namun apakah kini masih murah atau sejauhmana lebih murah berbanding di tempat lain di Malaysia. Entahlah, sebab sejak akhir ini kalau kesana, tidak berapa nak tengok bab pinggan mangkuk. Mungkin sudah tidak ada keperluan dan yang di rumah masih elok digunakan ? Mungkin tidak jauh berbeza dengan tempat lain, tambahan di tempat lain boleh bayar ansur. Jadi kurang berbaloi dengan nak mengangkutnya. Ini berbeza dengan gamat dan cokelat yang diguna dan dimakan. Beli banyak mana pun akan habis di makan, paling tidak beri kengkawan, jiran, sedara mara atau dibuang sebab sudah expired.

Ada yang mengatakan Langkawi sebagai Syurga Cokelat. Pengemar cokelat boleh mendapatkan pelbagai jenis cokelat dalam pelbagai rupa dan dengan harga yang murah. Khususnya yang diimport atau dikilangkan di luar negara. Benarkah harganya lebih murah ?

Cokelat Halal ?
Bagiku masalah dalam memilih cokelat ialah sama ada ianya ditanggung halal, tidak kira sama ada dikilangkan di luar negara atau dalam negara. Tapi kalau yang dikilangkan dalam negara, rasanya macam tidak jauh beza daripada segi harga, jika dibandingkan dengan yang dijual di pasaraya besar di tanah besar, khususnya di Lembah Kelang.

Walaupun tidak ada cop Halal Malaysia-JAKIM, at least ada logo jaminan halal antara bangsa atau daripada negara pengeluar kira orait juga. Ini kerana kandungan 'whey powder' yang antara menjadi persoalan, sama ada diperolehi daripada haiwan secara halal atau sayur-sayuran.

Malah ada satu jenama terkenal dan dikira agak popular juga, siap dipaparkan surat pengesahan halal daripada negara pengeluar. Ini satu cara untuk meyakinkan pembeli. Namun boleh percaya ke ?

Gamat
Gamat dengan pelbagai kegunaan masih menjadi tarikan orang ramai yang berkunjung ke Langkawi. Khasiat gamat serta nilai terapeutiknya masih dipercayai sehingga kini. Namun disebutkan bahawa gamat yang diproses di Langkawi di bawa daripada Thailand dan Pulau Pangkor sejak beberapa tahun lalu. Benarkah ?

Disebalik dakwaan gamat semakin pupus di Langkawi lantaran pengambilan yang tidak terkawal sehingga yang masih belum cukup umurpun diambil dan diproses, dipercayai usaha pemulihan untuk 'menternak' secara besar-besaran sedang dilakukan. Kepupusan ini juga disebabkan perubahan ekosistem yang mengganggu pembiakan gamat.

Industri berasaskan gamat perlu kekal menjadi suatu tradisi dan keunikan Langkawi. Perkara ini perlu dipertahankan dan semua pihak perlu berperanan, sama ada pihak kerajaan dan juga pengusaha gamat.

Klik untuk lagi gambar
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.