Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Showing posts with label al-quran. Show all posts
Showing posts with label al-quran. Show all posts

Tafsir Surah Ke 113 : Al-Falaq ( Waktu Suboh )

Surat Al-Falaq terdiri daripada 5 ayat dan termasuk dalam golongan Surah Makkiyah ( diturunkan sebelum Hijrah Rasulullah s.a.w ). Surah ini diturunkan bersama dengan Surah An-Nas ( Surah Ke-114 ) dan keduanya disebut sebagai Surah Mu’awwidzatain yang mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai amalan bagi setiap Muslim.

Terjemahannya

مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ (2) قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (1
 وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِفِي الْعُقَدِ (4) وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (3
(وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ (5

1. Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh,
2. dari kejahatan makhluk-Nya,
3. dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita,
4. dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul,
5. dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki”.
Sebab-Sebab Turun ( Asbabun Nuzul )
Ibnu Abbas menyatakan suatau hari Rasulullah s.a.w mengalami sakit tenat. Lalu dua malaikat datang kepadanya. Satu duduk berjampiran kepala dan sati lagi di sii kakinya. Malaikat yang berada di sisi kaki berkata, “Apa yang engkau nampak”, Jawab Malaikat yang berada di kepala, “Guna-guna”. Bertanya lagi, “Apa itu guna-guna ?”,

Lalu di jawab, “Guna-guna itu adalah sihir”. Lalu ditanya lagi, “Sihir siapa ?, dijawabnya “Sihir kepunyaan Labid bin A’sim al-Yahudi. Ditanya lagi, “Di mana ia ? “. Dijawab pula, “Di perigi keluarga fulan, di bawah batu, dalam perigi itu. Pergi ke sana dan perintahkan mereka bagi menimba keluar airnya dan angkat batunya serta ambil gulungan itu, lalu di bakar”.

Keesokan harinya Rasulullah s.a.w mengutus Ammar bin Yasir dengan beberapa orang pergi ke perigi itu. Apabila sampai, mereka didapati airnya merah seperti air inai. Mereka pun menimba keluar airnya, kemudian mengangkat batunya serta mengambil gulungan di bawah batu. Terdapat 11 simpulan benang. Lalu diturunkan ayat dari dua surat, iaitu an-Nas dan al-Falaq. dan setiap kali ayat dibaca, satu demi satu simpulan benang itu terbuka.

Tafsir Ayat Pertama

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ

1. Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh,

Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk meminta perlindungan kepada-Nya sebagaimana pada awal Surah al-Falaq dan an-Nas. Perintah untuk Rasulullah s.a.w berarti juga perintah untuk umatnya.

Yang Menguasai suboh adalah Allah. Allah tempat kita berlindung. Kita diperintahkan untuk berlindung dengan Allah agar terlepas daripada sebarang bahaya di hadapan kita yang kita sendiri mungkin tidak tahu dan tidak menyangka bermula sebaik waktu suboh iaitu masa pergantian siang dan malam. Allah juga yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.

Memohon perlindungan daripada Allah merupakan suatu ibadah. Memohon perlindungan kepada selain Allah boleh menjerumuskan diri kepada perbuatan syirik.

Tafsir Ayat Kedua

مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

2. dari kejahatan makhluk-Nya,

Berlindung daripada kejahatan atau musibah daripada seluruh mahluk ciptaan Allah, termasuklah seperti manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, lautan yang luas, gempa bumi, hujan, taufan dan tsunami. Maksud ayat ini juga termasuk meminta perlindungan pada diri sendiri, iaitu nafsu daripada menguasai diri.

Tafsir Ayat Ketiga

وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ

3. dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita,

Keadaan malam yang gelap memang menakutkan lantaran di sebalik kegelapan, kemungkinan ada sesuatu yang tidak menyenangkan, tidak diingini dan tidak diduga boleh berlaku. Malam harilah syaitan, manusia dan haiwan suka berbuat kerosakan. Pencuri dan perompak giat beroperasi malam hari. Keghairahan nafsu yang timbul dalam kegelapan semasa seseorang itu kesunyian di tengah malam, sehingga sanggup keluar ke tempat maksiat dan mencari hiburan seperti di Kelab-Kelab Malam atau perjudian.

Binatang berbisa pun seperti ular, kala jengking dan lipan sering keluar waktu malam. Sedang kita nyenyak tidur malam hari, siapalah yang memelihara kita daripada sebarang mara bahaya, kalau tidak Allah ? Kepada Allah sahajalah kita meminta perlindungan dari sebarang kejahatan malam hari.

Tafsir Ayat Keempat

وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ

4. dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul,

Walaupun disebutkan diri memohon perlindungan daripada tukang sihir wanita, namun banyak tafsir menyebutkan bahawa ianya juga mencakupi tukang sihir lelaki. Hanya pada ketika dulu, umumnya yang menjadi tukang sihir adalah wanita.

Perbuatan menghembus kepada buhul atau simpulan tali adalah tindakan kebiasaan bagi tukang sihir dalam membaca jampi mentera. Maksud di sini ialah mohon berlindung daripada terkena sihir.

Tafsir Ayat Kelima

مِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ


5. dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki”.

Allah menutup surat ini dengan hasad, sebagai peringatan bahayanya perkara ini. Hasad dengki mula berlaku di langit apabila iblis dengki terhadap penciptaan Nabi Adam. Manakala akibat dengki juga dosa yang mula dibuat atas bumi, iaitu dengki Qabil terhadap Habil.

Hasad adalah berangan-angan hilangnya nikmat baik yang ada pada orang lain agar pindah kepada diri kita. Dengki adalah suatu perbuatan jahat, dendam seorang terhadap orang lain yang menerima nikmat Allah. Ini diiringi dengan keinginan kuat untuk menghapuskan nikmat yang diterima oleh orang itu, dengan melakukan kejahatan terhadap orang yang didengkinya, yang mungkin dilakukan juga dengan tindakan secara fizikal.

Sebagai jalan keluarnya,
a. Bertawakkal pada Allah, iaitu menyerahkan segala urusan kepada Allah s.w.t setelah pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan.

b. Membaca wirid-wirid atau zikir-zikir yang dapat membentengi dan menjaga dari segala macam kejahatan. Ini yang banyak dilupakan manusia, sama ada waktu pagi, petang dan hendak tidur sedangkan zikir tersebut mudah dihafal atau dibaca.
 

Hubungan Surah al-Falaq dengan Surah an-Nas

Surah al-Falaq dan Surah an-Nas, sama-sama mengajarkan kepada manusia hanya kepada Allah untuk menyerahkan perlindungan diri dari segala kejahatan. 


Surah al-Falaq memerintahkan kita untuk memohon perlindungan dari segala bentuk kejahatan, sedang Surah an-Nas memerintahkan untuk memohon perlindungan secara spesifiknya daripada jin dan manusia.

Fadhilat
a. Surah Pendinding ( Perlindungan )
Gabungan Surah al-Falaq dan Surah an-Nas yang dipanggil surah Mu’awwidzatain merupakan pendinding terbaik. Dari Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Ingatkanlah dan perhatikanlah, aku ajarkan kalian tentang meminta perlindungan yang paling ampuh”. Ibu Abbas menjawab, “Baik Ya Rasulullah”. Baginda berkata iaitu “Qul’audzu birabbilfalak dan Qul’audzu birabbin Nas”. ( H.R Ahmad )

b. Membacanya Selepas Solat
Dari ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, katanya Rasulullah s.a.w telah bersabda kepadaku, “Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas merupakan 3 surah yang digunakan untuk memohon perlindungan denganNya. Sesungguhnya tidak dipohon perlindungan ( kepada Allah s.w.t dengan tanpa melalui perantaraan ) seperti ketiga-tiga surah ini, Bacalah surah-surah al-Muawwizat ini setiap kali selepas solat 5 waktu”, lalu Rasulullah s.a.w pun menyebutkan surah-surah al-Mu’awwizat itu ( H.R Ahmad, Ibu Khuzaimah dan Ibnu Hibban )

c. Baca Sebelum Tidur
Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Aisyah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w apabila menuju ke tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengumpulkan kedua tapak tangannya, kemudian menghembuskan kepada keduanya lalu membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah An-Nas, dan menyapu kedua belah tangannya itu ke kepala, muka dan bahagian depan tubuhnya. Hal ini dilakukannya sebanyak tiga kali.

d. Penawar Gigitan Serangga
Sayyidiah’ Ali r.a. menerangkan bahawa pernah Rasulullah s.a.w. digigit kala, kemudian baginda mengambil air garam. Dibacakan Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu disapukan pada anggota badan yang digigit kala tadi.

Rumusan
Allah memerintahkan kepada kita untuk berlindung kepada-Nya dari malam apabila gelap gelita, dari sihir yang ditiupkan pada buhul-buhul dan dari orang yang hasad apabila dia hasad. Ini adalah kerana ketiga-tiga hal ini adalah perkara yang samar.

Banyak kejadian pada malam hari yang samar yang dapat memberikan bahaya kepada kita. Begitu juga sihir adalah suatu hal yang samar, jarang kita ketahui. Begitu juga hasad dari orang lain, itu adalah hal yang samar. Ketiga-tiga kejahatan ini masuk pada keumuman ayat kedua.

Sumber Rujukan
1. Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran Juz Ke-30, Sayyid Qutb, Perniagaan Jahabersa, 2010, ms 479-504
2. Tafsir Al-Azhar Juzu’ 30, Prof Dr Hamka, Yayasan Latimonjong, 1984, ms 281-292
3. Asbabun Nuzul, Zulkifli Yusoff & Muhammad Mukhlis, PTS, 2012, 872-873
4. 13 Kejaiban Amalan Surah-Surah Pilihan, Fadzli Nuruddin Mohamad, Pustaka Ilmuan, 2010, ms 89-94
5. Amalan Sunnah Selepas Solat & Kelebihannya, Muhammad Subki & Mohd Rifqi, Telaga Biru, 2012, ms 126-127



Nota : Sekadar perkongsian, merupakan teks persediaan untukku dalam pengisian Usrah Penduduk P14B
Share:

Miracle The Reference - Al-Quran 22 in 1

Sekali aku menemuinya terjual di sebuah kedai buku, terus terasa betapa aku harus atau perlu memilikinya. Sebelum ini aku juga telah memiliki Al-Quran Pra-kata, hadiah kenang-kenangan lantaran menjadi AJK Pembinaan Masjid Saujana Utama. Sebenarnya secara jujurnya, Al-Quran pra-kata tu sesekali sekala sahaja aku menatapnya dan meneliti akan kandungannya.

Al-Quran yang di luarnya terpampang perkataan Miracle The Reference menarik perhatianku lantaran dikatakan merupakan al-Quran yang mengandungi 22 unsur istimewa. Apa yang sampai 22 tu. Bagiku yang menariknya ialah terdapatnya tanda-tanda bacaan menurut hukum tajwid. Jadi mudah sikit nak membacanya menurut hukum tajwid walaupun masih mengekalkan penulisan perkataan demi perkataan dengan terjemahannya. Payah juga sebenarnya nak membaca perkataan demi perkataan apabila dipisahkan antara satu sama lain dengan jarak tertentu.

Apa yang sampai 22 perkara istimewa dalam al-Quran ini? Mungkin benar 22 perkara, tapi tidaklah semuanya dilakukan secara detail, umpamanya hanya pada ayat-ayat terpilih tafsir dan asbabun nuzul diperjelaskan. Kalau nak didetailkan semua ayat, tentu tebal giler al-Quran ini jadinya.

Selain al-Quran, disediakan sekurang-kurangnya dua buah buku berkaitan serta satu VCD mengenai kaedah membaca al-Quran yang dikatakan mudah serta praktikal.

Bagi yang belum memilikinya, bolehlah berbuat demikian. Harganya sekitar RM 170-200 setiap satu. Mungkin akan semakin murah dari semasa ke semasa. Yealah, sebelum ini ada al-Quran 15-in-1, selepas al-Quran prakata. Yang pentingnya al-Quran semakin canggih, mudah difahami dan dihayati berdasarkan teknologi dan inovasi tertentu.
Share:

Pesanan Dr. Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais

Dr. Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais memang dikenali menerusi kemerduan suaranya dalam membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Rasanya banyak dijual bahan audio bacaan al-Quran beliau. Memang sedap suaranya, tetapi aku lebih ‘gemar’ dengan bacaan Sheikh Said Al-Ghamidy. Dr. Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais kini berusia 50 tahun dan beliau merupakan Imam Besar Masjidil Haram. Diberitakan telah hafal al-Quran ketika berusia 12 tahun lagi. Beliau juga memiliki Phd dalam bidang Syariah Islam daripada Universiti Umma Al-Qura pada tahun 1995.

Baru-baru ini aku mendapat maklumat yang beliau telah berkunjung ke Malaysia. Tak pasti kunjungan tersebut atas program apa. Namun aku berkesempatan turut serta dalam salah satu program yang diatur untuk beliau, iaitu di Masjid Darul Quran Kuala Kubu Bharu pada tengahari Sabtu, 23 April 2011. Mungkin kehadiran beliau bagi memberi semangat kepada pelajar di Darul Quran ini. Kalau ke Mekah pun bukan boleh nampak wajahnya, apatah lagi nak bersalaman dengan beliau. Hanya mendengar menerusi keunikan bacaan ketika beliau menjadi Imam.

Dijadualkan program bermula jam 1.00 tengahari yang diikuti dengan solat Zuhor berimamkannya. Lamalah menunggu dengan setianya. Namun berlaku kelewatan dan kekira 2.30 baru sampai dan terus solat zuhor berimamkan beliau. Khabarnya telah sampai awal, namun diberikan sedikit taklimat di Pejabat Darul Quran dahulu.

Dalam awal ucapannya beliau menyatakan sentiasa berdoa di tanah suci agar semua yangterlibat dalam kepimpinan negara serta dapat menerapkan al-Quran dalam pentadbiran. Beliau juga bersyukur, kerana masih ada yang terlibat dalam pengajian dan pembelajaran al-Quran ( khususnya di Darul Quran Kuala Kubu Bharu ini ).

Seterusnya beliau menyatakan bahawa kita semua berkewajipan terhadap pelaksanaan kandungan al-quran dan sunnah, dengan menggariskan beberapa perkara berikut mengenai al-Quran sebagaimana yang dapat aku fahami daripada ulasan oleh penterjemah :-

a. Beriman sepenuhnya akan kandungan al-quran,

b. Bersungguh-sungguh membacanya sepanjang masa tidak pada masa atau musim tertentu kerana membaca al-quran itu dianggap perniagaan yang tidak akan rugi,

c. Menghafal kandungan al-Quran sejauh mana yang mampu dihafal,

d. Merenungi makna al-Quran ( tadabbur ) supaya dapat diaplikasikan dalam kehidupan,

e. Diterjemahkan kandungan al-Quran dalam kehidupan,

f. Berakhlak dengan ahlak al-Quran iaitu dengan melakukan apa yang disuroh dan tinggalkan apa yang dilarang oleh Islam, dan

g. Sebarang permasalahan yang timbul, penyelesaiannya hendaklah di rujuk kepada al-Quran

Pada akhir majlis beliau mempedengarkan sedikit bacaan al-Quran sebagi kenang-kenangan untuk para hadirin. Dengan kawalan keselamatan yang diberikan, terlepas peluangjuga nak bersalaman dengan beliau walaupun telah berbaris panjang menunggu giliran. Main jalan lalu aje, yang sempat aku tepuk bahunya saja.

Kini aku mula tertanya-tanya, apa fungsi Imam Besar Masjidil Haram ? Apakah seperti Imam-imam masjid di negara kita ? Apakah peranan beliau dalam pentadbiran Kerajaan Arab Saudi kalau pun tidak bagi Masjid seluruh dunia. Apakah ada kesatuan yang menghubung jalinkan ikatan antara masjid seluruh dunia ?

Petikan sebahagian rakaman ceramah yang disampaikan




Klik Untuk LIhat Lagi Gambar

Latar Belakang Sheikh As-Sudais Dipetik dari http://sheikhsudais.tripod.com

Dr. Abdul Rahman Al-Sudais [Arabic: عبد الرحمن السديس] is the Grand Imam of the Masjid al Haram in Makkah in Saudi Arabia. He is known world wide primarily for his beautiful recitation of the Qur'an (which he memorized at the age of 12). Imam Sudais was born in 1961 and is a doctor by profession. He comes from the Anza clan, his lineage is ABU ABDUL AZIZ Ibn ABDUL AZIZ bin ABDULLAH, bin ABDUL AZIZ bin MUHAMMAD bin ABDULLAH. He is renowned for his good character and simplicity. He also leads the Taraweeh Prayers during Ramadan (with the other Imams including Sheikh Saud Al-Shuraim).

Sheikh Sudais grew up in Riyadh and attended the Al Mathna Bin Hartha elementry school and also the Scientific Academy of Riyadh - he is one of the most famous students from there. He graduated from the Scientific Academy in 1399 with a grading EXCELLENT and then went on to the Al Sharia College. He obtained a degree in Sharia from Riyadh University in 1983 and became an IFK (Islamic Fundemental Knowledge) lecturer after the conclusion of his study.

He obtained his masters in Islamic fundamentals from the Sharia College of Imam Muhammad Bin Saud Islamic University in 1987 and received his PhD in Islamic Sharia from Umma Al Qura Universiy in 1995 while working there as an assistant professer after serving at Riyadh University. He was also taught the quran by Sheikh Muhammed Abdul Majid Zakir and also various others including Al Sheikh Muhammed Ali Hassan.

After this he became Imam and Khateeb of a mosque in Riyadh called Masjid Al Sheikh Al Allama Abdur Razzaq Al Afifi. At the same time he started teaching in the Academy of Imam Al Dawa Al Almy in 1404 and which time he was also appointed the Imam and Khateeb of Masjidal Haram in Mecca Mukarrama. He started his Imamat in Mecca on the 22/08/1404 leading the Asr salat, and his first Khutba to the people was on the 15/09/1404 which was in ramadhan.

In 2005 Al-Sudais was named by the Dubai International Holy Quran Award (DIHQA) Organising Committee as its 9th annual "Islamic Personality Of the Year" in recognition for his devotion to the Quran and Islam. When accepting his award in Dubai, he said: "The message of Islam and Muslims is modesty, fairness, security, stability, sympathy, harmony and kindness."
Share:

Membiasakan Membaca Al-Quran Digital

Apabila pertama kali menggunakan smartphone SE P800, aplikasi bagi membolehkan keseluruhan ayat-ayat al-quran dipaparkan dan dibaca menjadi pilihanku. Walaupun kecil tulisan dan tidak berapa terang, namun sekurang-kurangnya boleh dibaca untuk tujuan kelancaran atau hafazan. Begitu juga apabila aku bertukar kepada SE P910 dan SE P990i. Namun bagi siri ini, lebih jelas tulisannya sebab skrinnya lebih luas.

Sekarang aku memiliki BB Bold 9700. Terdapat pelbagai aplikasi al-Quran dan aku sempat masukkan 2 aplikasi diantaranya. Satu agak kecil dan satu lagi ok serta jelas tulisannya. Tetapi yang jelas tu dipaparkan secara on-line. Baris-baris ayat dipaparkan dengan cara download baris demi baris. Kalau cepat kita baca, kekadang tidak sempat baris ayat baru didownload dan dipaparkan.

Kini aku baru memiliki al-Quran Digital yang dinamakan eAlim EL100. Ianya seolah-olah sebuah ebook seiras iPad dengan saiz skrin 7”. Agak menarik juga gadget baru ku ini walaupun aku belum sempat habis menggodehnya. Maklumlah baru, masih kemaruk lagi.

Selain untuk membaca al-Quran, eAlim ini juga dilengkapi dengan terjemahan dan tafsir al-Quran, aplikasi e-Book, bacaan al-quran daripada pelbagai Qari, hadis, video pendek, doa serta rakaman ceramah.

Al-Quran digital boleh dianggap membantu mengenal ayat-ayat suci dengan mudah dan berkesan melalui teknik mendengar dan mengikut. Malah ia menjadi lebih berguna dengan aplikasi nilai tambah seperti terjemahan dan tafsir al-Quran. Dikatakan juga al-Quran digital mampu memberi minat yang lebih mendalam kepada pemiliknya untuk mempelajari bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Juga disertakan permainan atau edutainment yang ringkas. Aku rasa banyak lagi aplikasi boleh dimasukkan ke dalam eAlim. AKu telah cuba beberapa kali untuk membolehkan ianya dapat dihubungi dengan PC, namun masih gagal. Aku tidak pasti kenapa masih gagal sedangkan instruction seperti dalam buku manual yang disediakan telah aku akur.

Namun akan ku cuba lagi. Sebab bagiku targetnya kini ialah nak masukkan fail flash .swf al-Quran Tajwid, satu format yang biasa aku baca bagi al-Quran bermashaf. Ini kerana sekarang ini juga banyak sudah handphone yang mengandungi ayat-ayat suci al-quran, sama ada sudah diinstal siap-siap atau kita download daripada Internet.

Tetapi bagiku yang biasanya membaca al-quran secara mashaf, disertai dengan warna sebagai panduan mengikut ilmu tajwid, terasa agak kekok apabila membaca al-Quran menerusi eAlim ini. Mungkin nak kena selalu membaca menerusinya.

Kemudahan teknologi ini membolehkan al-Quran di bawa ke mana-mana sahaja apabila kita membawa handphone atau gadget digital berkenaan, walaupun masuk tandas dan walaupun tanpa ada wuduk. Jika hukum berkaitan menyentuh dan membawa al-Quran digital ini tidak sama dengan hukum menyentuh dan membawa al-Quran secara mashaf cetakan biasa atas kertas, apakah fadhilat membacanya juga tidak sama ?
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.