Sebaik sahaja menerima berita kematian MP PAS Bukit Gantang, ketika kemelut melanda di Perak, lantas berdetik di hatiku bahawa calon yang layak menggantikan allahyarham Roslan Shahrum ( pengamal Perubatan Darussyifa’ ) tentunya Dato’ Seri Ir Nizar Jamaluddin. Betul rupanya. Tetapi berbanding dengan kemenangan BN di Batang Ai, kemenangan calon PR di Bukit Gantang dan Bukit Selambau ku kira agak mengejutkan. Mengikuti siaran TV1 sampai TV9, seolah-olah calon BN di puncak kegemilangan untuk meneruskan kecemerlangan. Siaran Bernama 502 pun pada hari dekat mengundi nampak dah lain macam. Bak kata pengacara di RTM1 dalam mengakhiri siaran khas keputusan PRK-3B pada malam 7 April, yang menang tidak semestinya menang dan yang kalah tidak semestinya kalah ... apa barang !!!!
Keputusan di Batang Ai mungkin telah dijangka dan tidaklah setegang sebagaimana dijangka. Namun keputusan di Bukit Gantang dan Selambau memberikan 1001 mesej kepada parti pemerintah peringkat nasional. Apakah boleh rakyat di Bukit Gantang ingin memaklumkan bahawa Ir Nizar selayaknya 'menang' atau 'betul' dalam kemelut politik 2 MB di Perak, serta betul tindakannya terhadap Sultan Perak ? 21,800 pengundi Bukit Gantang menyokong 'penderhaka' Sultan atau memohon untuk turut 'menyembah derhaka' ? Pening Dr. Zamri memikirkannya. Najib dan Muhyiddin Yasin tak perlu risau sebab jawatan PM dan TPM sudah tentu dalam tangan.
Media arus perdana hari ini seperti takut untuk melaporkan berita kemenangan Pakatan Rakyat di kedua-dua kawasan pilihanraya kecil itu. Ini berbeza dengan paparan yang mereka buat saban hari menjelangnya tarikh pengundian. Tetapi entah kenapa PRK Bukit Gantang lebih mendapat liputan berbanding di Batang Ai mahupun Bukit Selambau. Apakah kerana Najib sebagai Ketua UMNO/BN Perak ? Kemenangan BN di Bukit Gantang umpama hadiah yang ingin dipersembahkan kepada Najib yang baru diangkat sebagai PM Malaysia ke -6, dan sedang mencari ilham dalam membentuk barisan kabinetnya.
Di sebalik pengumuman Najib bahawa tiada projek ’mee segera’, namun setiap hari dipaparkan tentang bantuan dan kebajikan yang diberikan oleh kerajaan untuk rakyat di kedua-dua kawasan itu. Selain memperlekehkan calon Pakatan Rakyat ( sudah tentunya ), tetapi yang lebih teruk lagi mereka memainkan isu-isu agama, perkauman dan sebagainya untuk meraih undi rakyat. Diulangi dalam TV ucapan Anwar Ibrahim ketika berada dalam kerajaan dulu bagi menunjukkan bahawa beliau bercakap tidak serupa bikin. Kemasukan semula Mahathir dicanang dapat menguatkan BN/UMNO, tetapi semua ini bukankah sekadar mengundang lagi kemarahan rakyat ?
Ini ditambah dengan tindakan PM Najib Razak dan MB Dr.Zambery yang memohon restu daripada rakyat Perak atas "rampasan kuasa" yang berlaku sebelum ini, mungkin menjadi penyebab tambahan rakyat melihat mereka bersalah dan akhirnya mengajar BN.
Kes calon BN di Bukit Gantang yang dikatakan payah memberikan senyuman, selalu ke selatan Thailand serta kehadiran Datuk Hj Zahid Hamidi dalam majlis yang diserikan oleh amoi seksi beraksi merayu undi atas pentas menambahkan lagi keperitan BN dalam meraih undi.
Namun ulasan menerusi RTM malam tadi iaitu Profesor Madya Adzmi Hassan yang secara jelas menyatakan kononnya kemenangan PAS sebenarnya tidaklah hebat. Malah katanya Ir.Nizar sepatutnya menang dengan majoriti lebih besar jika beliau benar-benar hebat katanya berbanding dengan Ismail Safian yang langsung tidak popular. Kata beliau lagi, dengan majoriti 2,789 undi bukanlah bermakna suara rakyat Perak secara keseluruhannya. Fuhh .. cuba Nizar yang kalah ...tentu ayatnya lebih kurang berbunyi, ’Walapun Ismail Safian tidak sepopular calon PAS, kekalahan Nizar menunjukkan bahawa rakyat tidak menerima calon yang derhaka kepada raja’ ....
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
2 hours ago
0 Komen:
Post a Comment