Putrajaya mula dibangunkan sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada April 1995. Pada Mei 1999, Kompleks Pejabat Perdana Menteri mula beroperasi menjadi penanda aras kepada pembangunan dan pentadbiran sesebuah bandar baik di peringkat dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Pembangunan diteruskan bagi menempatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain di samping pembinaan bangunan kediaman sama ada sebagai kuaters atau dijual kepada ramai.
Dengan keluasan 4,391 hektar, pembangunannya dikatakan tersusun rapi dengan landskap serta flora fauna yang indah serta infrastruktur untuk kemudahan penghuni dan pengunjungnya. Namun di sebalik itu, Putrajaya sebenarnya bermasalah daripada sudut akhlak para penghuni dan pengunjungnya. Apa taknya, Putrajaya kini dikenali juga sebagai lubuk maksiat, khususnya maksiat khalwat dan kelakuan tidak sopan di khalayak ramai.
Pening orang di JAWI kerana majoriti penghuni Putrajaya juga ialah orang Melayu Islam. Dua masjid besar iaitu Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin sekadar berdiri megah. Sementara lebih daripada 34 buah surau sekitar Putrajaya seolah-olah tidak memberikan faedahnya. Pelbagai berita tangkapan demi tangkapan khalwat terus tersiar dalam media masa yang membabitkan sama ada penghuninya serta orang luar, kakitangan kerajaan ataupun swasta.
Berdasarkan pengalamanku tinggal di kuaters selama kekira 1.5 tahun ternyata kemudahan masjid dan surau tempat ibadat yang disediakan tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Setiap kali solat jemaah, hanya beberapa kerat saja yang ‘turun’. Dua Masjid tersebut dan Surau Jumaat hanya penuh melimpah ketika solat Jumaat. Pendeknya masjid dan surau tidak dimanfaatkan sebagai pusat kegiatan masyarakat untuk memupuk ukhwah, khususnya bagi masyarakat setempat.
Selesa Memerap Dalam Rumah Sendiri
Perkara ini aku rasa ekoran sikap penduduk yang merasakan mereka bukan sebahagian masyarakat. Mereka hanya sewa atau duduk kuaters,maknanya berada di sesuatu kawasan tu tidak kekal lama dan akan berpindah ke tempat lain. Jadi mereka tidak mahu nak ‘mengikat diri’ sebagai sebagai sebahagian daripada masyarakat atau ahli persatuan penduduk.
Kalau jadi ahli nak kena bayar yuran lagi. Makanya balik kerja terus ‘selesa terperap‘ dalam rumah memasing dan tak keluar-keluar lagi. Tidak mahu ambil pusing hal jiran apatah lagi pening kepala nak jaga tepi kain orang. Tak mahu tambah pening dengan tugasan di pejabat. Program surau serta aktiviti persatuan penduduk terus lesu dan tidak mendapat sambutan.
Ini mendorong kepada berleluasanya maksiat khalwat sama ada membabitkan pasangan suami dan isteri orang yang berstatus kakitangan awam atau atau pasangan remaja yang kemaruk melakukan maksiat 'khalwat'. Apa yang hendak ditakutkan apabila jejiran pun buat tak kisah.
Hubungan intim di pejabat diteruskan di kediaman kuaters yang disewa, ketika pasangan memasing pun sedang sibuk di pejabat. Tak jauh mana daripada pejabat pulak. Manakala anak pun di tempatkan di nurseri. Kira 'line clear'. Mereka pun dikatakan bijak, menggunakan pelbagai taktik ‘cover line’ bagi mengaburi mata penghuni lain seperti dengan hanya membenarkan pasangan memasuki rumah selepas beberapa minit mereka masuk.
Port Strategik
JAWI telah melancarkan kempen Sasaran Sifar Maksit tahun lepas. Pada akhir tahun 2010 dikatakan kadar perlakuan maksiat menurun sebanyak 40%. Tak pasti sejauh mana butiran fakta berkenaan. Bagi JAWI, mereka masih memerlukan maklumat daripada orang ramai tentang kegiatan maksiat yang dilakukan dalam kediaman. Manakala operasi pencegahan dengan mengunjungi ‘port’ strategik yang sering menjadi tumpuan diteruskan bagi kesalahan kelakuan tidak sopan dikhalayak ramai.
Alah senang aje, jalan sahaja waktu malam khususnya di Jambatan Putra. Pelbagai gelagat pasangan sedang memadu asmara sambil menikmati keindahan flora dan fauna. Seolah-olah tidak apa-pa yang dirisaukan walaupun Masjid Putra gah dihadapan. Pak Imam dan pegawai JAWI pun tengah sibuk mengadap Allah s.w.t kot.
Pembangunan Modal Insan
Pembangunan modal insan yang juga menitikberat aspek penghayatan beragama yang tinggi dan ahlak yang mulia sepatutnya seiring dengan pembangunan fizikal Putrajaya sejak daripada awal dahulu. Bayangkan, sejak sekian lama wujudnya Putrajaya, pada 1hb Januari 2011 barulah Sekolah Rendah Agama Putrajaya beroperasi sepenuhnya bangunan sendiri di Presint 9. Manakala, Sekolah Menengah Agama Putrajaya pula beroperasi dengan menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaaan Presint 11 (2) dengan hanya mengambil pelajar baru dari tingkatan satu dan hanya menghadkan kepada 3 kelas sahaja.
Penduduk Putrajaya mengharapkan inisiatif para guru, ustaz ustazah Sek Kebangsaan untuk mengadakan kelas-kelas KAFA dengan menumpang di premis Sekolah kebangsaan pada sesi petang. Malah ada yang menggunakan surau-surau yang terdapat di kawasan masing-masing. Kekadang kelihatan sesak, kurang tersusun dan agak daif. Tetapi nak buat camana. Mungkin yang dibimbangi, kehadiran Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Menengah Agama sebegini boleh menjatuhkan imej Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan bertaraf dunia ?
Apalah sangat pembangunan sekolah agama tersebut jika hendak dibandingkan dengan Pertandingan Bunga Api Antarabangsa, Belon Panas, Pesta Flora, Karvinal Belia serta pelbagai siri karnival lain ? Bukankah Islam agama resmi negara ku yang tercinta ? Tak kan kita nak merangkak dan mengemis ihsan mencari tapak serta dana untuk mendirikan bangunan sekolah agama ?
Peranan Ibubapa
Ketika berdialog dengan Pimpinan PIBG Sekolah-Sekolah Putrajaya dalam Majlis Hari Raya Aidil Fitri pada 17 Syawal 1429H bersamaan 17 Oktober 2008 bertempat di Dewan Serbaguna Presint 8, Ketua Polis IPD Putrajaya OCPD Razak telah menyatakan kebimbingannya terhadap indeks jenayah Remaja yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah di Putrajaya yang meningkat, sehingga September 2008 sahaja melebihi 100% dari tahun 2007 kepada 46 kes.
Ahli Parlimen Putrajaya yang turut hadir dalam majlis berkenaan telah menyalahkan ibubapa dan mengumpamakan ibubapa berperangai sebagai syaitan, kerana tidak berjaya mendidik anak-anak mereka. Aduss ... termasuk aku juga syaitan, bapa syaitan ? Dari Pak-Pak Menteri, Pengarah, Ketua Jabatan hinggalah kepada pegawai kerajaan Gred 1 semuanya syaitan ? Mungkin beliau berseloroh atau sekadar hendak memberikan motivasi ... entahlah.
Seberapa baik pun ibubapa mendidik anak-anak mereka di rumah, akhirnya anak-anak tersebut akan bergelumang juga dengan persekitaran yang diwujudkan oleh pemimpin termasuk ibu bapa yang berada di dalam masyarakat. Jika ibubapa di rumah boleh dianggap syaitan, apakah pemimpin masyarakat di Putrajaya boleh pula dianggap bapa syaitan ?
Sikap Ibu Bapa
Menurut Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali, masyarakat sepatutnya memberi sokongan kepada sebarang aktiviti pencegahan dan tidak hanya mengharapkan pihak berkuasa menjalankan tugas. Ibu bapa walau bagaimana sibuk pun janganlah langsung tidak menghiraukan apa yang anak mereka lakukan sehingga jika anak tak pulang ke rumah pun, ada yang tak ambil peduli.
Akibatnya jika tertangkap oleh pihak berkuasa, ibu bapa suka campur tangan dan tidak percaya perilaku anak mereka terbabit dalam kegiatan maksiat atau gejala akhlak tidak bermoral. Mulalah call orang itu dan ini mohon bantuan pelepasan. Tindakan sering menyebelahi anak sendiri dan tidak menyokong aktiviti pencegahan atau penguatkuasaan JAWI dilihat mendorong meningkatkan kes salah laku akhlak termasuk hubungan luar nikah, maksiat, perjudian dan pergaulan bebas.
Tugas Semua
Sebenarnya, tanggungjawab mencegah kemungkaran di Putrajaya bukan hanya tugas pihak berkuasa seperti JAWI, tetapi tanggungjawab kita bersama khususnya yang berada di kawasan Putrajaya. Jadi fikir-fikirkanlah, bukan sekadar berserah dan berkata, "ah, maksiat ada di mana-mana sahaja".
Sabda Rasulullah s.a.w daripada Abu Said katanya: Aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang melihat (dan tahu) sebarang kemungkaran, maka hendaklah diubahkannya dengan tangannya (kuasanya), kalau tidak berkuasa, maka (ubahlah) dengan lidahnya, dan kalau tidak mampu juga, maka ubahlah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman. ( H. R Muslim )
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
2 hours ago
4 Komen:
setuju dengan apa yg Tuan Tanah tulis !
menarik!
Baru nie kluar kat RTM, alasan MP kenapa tiada pembinaan sekolah agama pada asalnya ialah kerana nak gunakan premis sekolah kebangsaan/kerajaan sedia ada pada waktu petang yang hanya mana mereka beroperasi satu sesi pagi sahaja ...
keruntuhan akhlak zaman ni sgt berleluasa
Post a Comment