Batu Pahat, Kg Batu, Keras Macam Batu, Kepala batu, Batu Api, Sumpah Jadi Batu dan Batu Belah Batu Bertangkup adalah sekadar contoh bagaimana batu berperanan dalam masyarakat kita. Batu juga merupakan unit jarak sebelum penggunaan kilometer menjadi standard metrik antarabangsa. Ketika ini sedang berlangsung Pameran Batu Pelik di Muzium Alam Semulajadi Putrajaya Precint 15, bermula 16 Disember 2010 dan berakhir 16 Februari 2011. Terdapat 80 spesimen batuan terdiri daripada batu meteor, fosil kayu terpetri, fosil batu cengkerang, fosil telur dinosaur dan pelbagai koleksi mineral unik yang terhasil daripada proses geologi selama jutaan tahun dipamerkan sepanjang pameran berkenaan.
Menyaksikan bahan pameran batu-batu di muzium berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan lanjut tentang batu. Bagaimana batu wujud dari segi saintifik ? Dari mana kewujudannya. Bagaimana kewujudan meteor ? Apa yang boleh dipelajari daripada batu meteor ? Sejauh mana batu berfungsi dalam dunia perubatan, menjadi penunjuk tentang usia alam ini, tentang kewujudan awal manusia serta mahluk lain seperti dinosour. Nampaknya batu yang dipamerkan bukan sekadar batu. Batu juga mahluk Allah yang mempunyai kegunaan dan keistimewaan tersendiri. Bukan sekadar untuk buat bangunan, jalan atau jadi senjata.
Koleksi batuan yang dipamerkan bukan dimiliki sepenuhnya Muzium Alam Semula Jadi. Ini kerana ia turut dipinjam daripada Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia, Galeria Perdana Langkawi, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta orang perseorangan yang menjadi pengumpul batuan terbabit. Malah ada batu dan fosil dipamerkan dibawa khas dari Russia, China dan Afrika Selatan yang turut ada nilai tinggi dari sudut perubatan alternatif.
Meteor
Banyak batu meteor dipamerkan. Solid molid terasa apabila memegang, mengangkat dan cuba mengetuknya. Yang terbesar ialah seberat 165kg walaupun cuma sebesar bag beras 10 kilogram. Meteor adalah serpihan daripada objek batuan yang berlaga sesama sendiri semasa mengorbit matahari yang berada di antara Marikh dan Musytari.
Batuan tersebut terbentuk dari awan gas dan debu purbakala semasa evolusi awalan sistem suria 4.5 ribu juta tahun dahulu. Ia melepasi angkasa lepas dan jatuh ke tanah melepasi atmosfera bumi. Kebanyakannya ialah serpihan asteroid atau berkemungkinan komet.
Semasa bergerak di ruang angkasa objek ini dikenali sebagai meteoroid. Pancaran cahaya yang dihasilkannya ketika melalui atmosfera bumi dikenali sebagai meteor. Kebanyakann meteor ini merupakan campuran bahan batu dan logam. Apabila diuji dengan magnet, ternyata ia melekat kuat.
Yang yang menarik ialah pada batu meteor yang seberat 165kilogram itu ialah terdapat corak tulis dikatakan seperti ayat dan kalimah Allah. Tapi aku perhatikan beberapa kali, walaupun setelah ditunjukkan, tak begitu jelas kelihatan, entahlah.
Koleksi Fosil
Fosil merupakan tinggalan organisma hidup yang pernah hidup zaman lampau, yang terawet secara semula jadi. Fosil juga termasuklah bahagian-bahagian yang keras dan lembut pada tumbuh-tumbuhan dan haiwan, tulang rangka, kesan, jejak, korekan, dan acuan. Fosil terbentuk apabila mineral menggantikan bahagian badan haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang tertanam.
Yang menarik ialah fosil telor dinosour yang dikatakan berusia 65 juta tahun, dibawa khas dari China.
Kayu Terkejur
Ada yang menyebutnya fosil kayu terpetri. Namun ia sejenis fosil kayu yang terjadi bermula apabila kayu tersebut dilitupi dengan agen-egen tertentu seperti abu gunung berapi, lumpur gunung berapi, endapan dalam tasik dan belukar atau bahan-bahan yang dihanyutkan oleh banjir besar yang menyebabkan tidak masuk oksigen dan ini menghalang pereputan.
Keindahan dan kepelbagaian warna fosil kayu ini adalah disebabkan kehadiran mineral lain yang telah meresap ke dalam kayu bersama larutan silica melalui proses kimia yang rumit dan lama.
Batu Sebagai Penawar Perubatan
Koleksi batuan itu turut merangkumi batu permata yang sejak zaman purba dipakai sebagai azimat dan tangkal kononhya untuk melindungi diri dari sebarang kuasa sihir serta gangguan syaitan, menjauhkan diri dari wabak penyakit, selain untuk menunjukkan status dan kedudukan di mata masyarakat.
Sejauh mana batu berkenaan masih lagi digunakan untuk tujuan perubatan alternatif ? Apakah ada bukti saintifik atau padangan Islam dalam hal ini. Kena kajian lanjut. Batu tersebut diletakkan di mana-mana bahagian tubuh yang sakit, ditumbuk halus menjadi serbuk lalu dimakan selain memadai dengan kehadiran batu itu saja buat menyembuhkan penyakit.
Alat Batu Dalam SUEVIT Bukit-Bunuh, Lenggong Perak
Alat batu dalam Suevit dijumpai hasil kajian di Bukit Bunuh, Lenggong, Perak pada tahun 2008 yang menemukan artifak alat batu seperti kapak genggam dan alat repehan. Artifak ini ditemui melekat di dalam batuan suevit,sejenis batuan yang terbentuk akibat hentaman meteorit yang dikatakan berlaku 1.8 juta tahun dahulu.
Penemuan ini mencadangkan bahawa artifak tersebut berusia lebih 1.8 juta tahun kerana artifak itu ditemui melekat di dalam batu suevit. Ini bermakna masyarakat terawal di rantau Asia Tenggara adalah di Malaysia, khususnya di Lembah Lenggong. Apakah ini menidakkan kewujudan Adam a.s sebagai manusia paling awal ? Atau macamana, sejarah perlu diubah ?
Apa yang dinyatakan di atas adalah sekadar perihal beberapa batu yang dipamerkan. Datanglah berkunjung untuk mengetahui lebih lanjut, atau sekurang-kurangnya membuka minda untuk mengetahui serta mengkaji keistimewaan mahluk Allah ini.
Klik untuk lagi gambar
DO I NEED TO EAT FRUITS EVERYDAY?
2 hours ago
0 Komen:
Post a Comment