Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Negara Rugi RM7.8b Akibat Nahas Jalan Raya

PULAU PANGKOR 21 Nov. — Negara mengalami kerugian berbilion ringgit pada setiap tahun akibat kes kemalangan jalan raya yang kadarnya meningkat setiap tahun, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Menurut beliau, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati pada tahun 2008 sahaja, negara mencatatkan kerugian sebanyak RM7.8 bilion yang bersamaan dengan 1.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Berdasarkan statistik pada tahun lepas sahaja, seramai 6,745 pengguna jalan raya maut berbanding hanya 6,527 orang pada tahun 2008, di mana 60 peratus daripadanya merupakan penunggang dan pembonceng motosikal, katanya kepada pemberita selepas menutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor di sini hari ini.

Mengenai program itu, beliau berkata ia merupakan antara program yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membantu kerajaan menangani kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan semakin meningkat setiap tahun.

“Sejak tahun 2004 hingga kini, seramai 8,805 orang di seluruh Perak telah mengikuti program tersebut bagi mendapatkan lesen memandu motosikal dan kesedaran terhadap aspek keselamatan jalan raya,” ujarnya.

Bagi tujuan itu, kata beliau, mereka hanya dikenakan bayaran RM170 bagi mendapatkan lesen motosikal berbanding RM261 jika melalui Institut Memandu.

Sementara itu, Kong turut mengumumkan pembinaan sebuah Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) cawangan Seri Manjung yang dijangka siap pada penghujung April tahun depan bagi menggantikan cawangan sedia ada di kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan. – bernama


Share:

Ibadah Korban On-Line

Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sesiapa yang memiliki kemampuan (keluasan rezeki) dan tidak menyembelih, maka jangan dekati tempat solat kami." ( H.R Imam Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 3114 ) Berdasarkan maksud hadis ini, ianya berupa ancaman bagi golongan yang memiliki kemampuan untuk menyembelih pada Hari Raya Aidil Adha, tetapi tidak mengerjakan ibadah korban. Agak berat juga ancaman ini. Maksudnya tidak boleh lagi nak beralasan jika tidak lakukan pada tahun ini, tahun depan sudah buat atau tahun sebelumnya sudah buat, berilah peluang orang lain pulak atau tahun depan kot.

Secara tradisinya di negara kita, ibadah korban seekor lembu dengan 7 bahagian dikongsi bersama dikendalikan sama ada dikalangan ahli, rakan jiran atau badan seperti surau, masjid atau NGO Islamik. Dagiing korban tersebut kemudian diuruskan secara bersama dan kemudiannya diagihkan kepada peserta korban, ahli kariah, fakir miskin, yang susah dan kurang berkemampuan.

Suasana ini mewujudkan satu silaturahim di kalangan ahli kariah atau petugas yang terlibat dalam urusan penyembelihan, melapah dan pengagihan. Si penerima yang mempunyai keperluan akan terasa syukur dan terima kasih atas pemberian serta merasai dirinya diambil perhatian dan mendapat tempat dikalangan penduduk atau ahli kariah setempat. Yang berkemampuan pula, supaya terdetik dikiran bila tiba giliran untuk berkorban juga. Sendiri mahu ingat.

Ini menimbulkan syiar di kalangan penduduk setempat atau ahli kariah. Bayangkan jika tidak ada korban dilakukan. Dulu selalu dikatakan Raya Haji di Kelantan & Terengganu meriah berbanding Raya Aidil Fitri . Memang meriah jika ada ibadah korban dilakukan. Ditempat lain pun kalau dilakukan ibadah korban, meriah juga dan terasa syira Islam itu hidup.

Namun kini wujud pelbagai skim, kaedah atau perkhidmatan korban yang diiklankan di Negara kita tetapi dilakukan di luar negara. Peserta boleh daftar dan bayar secara on-line kepada mereka yang bertindak sebagai wakil pelaksanaan korban itu. Dengan pelbagai tag line digunakan bagi menarik perhatian seperti Murah, Diyakini, Mudah dan Dijamin Sampai Kepada Yang Sepatutnya. Memang ada antara reganya murah,malah jauh lebih murah berbanding dengan caj yang dikenakan oleh pengendali di Negara kita. Apakah rega haiwan ternakan korban di Negara tersebut jauh lebih murah berbanding di Negara kita.

Jika dibandingkan rega daging lembu import yang dijual di pasar malam atau pasaraya, memang reganya jauh lebih murah. Juga ibadah ini dilaksanakan di tempat yang ramai umat Islam yang miskin dan memerlukan bantuan. Mereka dapat juga merasai secara langsung pengertian ukhwah Islamiah , Persaudaraan Islam Seantareo Dunia.

Ada logiknya alasan ini. Memang mudah untuk menyertainya, on-line saja. Namun apakah hukumnya, atau mana yang lebih afdhal ? Sedangkan untuk berkorban tu asalnya disunatkan yang hendak berkorban itu yang menyembelih dan menguruskannya. Ini adalah kerana mengambil pengajaran daripada Rasulullah s.a.w yang menyembelih sendiri haiwan korbannya pada Haji Widak dan menyerahkan sebahagiannya haiwanuntuk disembelih kepada Saidina Ali r.a. Jika tidak pun, peserta digalakkan menyaksi dan melihat sendiri penyembelihan dilakukan. Kalau secara on-line, tak nampak haiwan tersebut disembelih.

Diyakini ke penyembelihan korban dilakukan ? Maklumlah perniagaan dalam dunia internet pun tidak lari daripada penipuan dan pemalsuan. Daripada kemampuan membina laman web di internet, membuat perniagaan bagi menarik pelanggan, mengumpul dana bagi tujuan perniagaan, menjanjikan pelanggan dengan keuntungan yang besar dan segera, akhirnya diketahui syarikat-syarikat ini menyeleweng dan melarikan duit orang ramai sekaligus menipu mereka.

Aku kira tidak salah melakukan Ibadah korban melalui satu-satu syarikat yang ada di internet yang bertindak sebagai wakil. Yang penting ialah dapat pastikan betul-betul bahawa syarikat itu boleh dipercayai, amanah dan komited dalam mempraktikkan hukum agama, supaya tidak jatuh urusan itu kepada syarikat-syarikat yang diragui.

Seperti mana bermain game komputer, interaksi hanya dengan computer tanpa ada interaksi sosial dengan orang lain. Begitulah juga korban menerusi internet. Mana interaksi dengan penduduk, jemaah surau atau masjid. Hilang interaksi dengan komuniti setempat ? Mana yang kureng bercampur dengan masyarakat atau komuniti setempat, mungkin inilah pilihan baginya disebalik alasan tempat lain tu memang orangnya susah dan lebih memerlukan. Malah kalau semuanya dengan ibadah korban on-line, tiada penyembelihan dalam komuniti setempat. Kurang hidup syiar dalam komuniti setempat.
Share:

Digamit Lambaian Kaabah ..

Raya Haji atau 10 Zulhijjah semakin dekat. Di TV pula kini, terdapat beberapa rancangan khas saban malam ditayangkan yang memaparkan keadaan jemaah haji di Tanah Suci, selain perbincangan mengenai hikmah, pelaksanaan dan hukum hakam permasalahan sekitar haji dan umrah. Ah ... terasa kerinduan itu datang. Terasa Kaabah mengamit aku untuk kembali kepadanya. Terasa Kaabah melambai-lambai untuk aku kesana lagi. Timbul pula cemburu kepada yang terpilih dapat ke sana tahun ini.

Mungkin kalau tahun-tahun sebelum ini aku seperti tidak begitu kesahkan sangat rancangan atau program TV berkaitan haji. Sama ada tidak ada siaran seumpamanya atau kerana sikapku yang kureng minat hendak tengok. Malahan kalau dengar ceramah pun, selalunya jadi 'blur' atau tidak dapat gambaran serta menghayati apa yang diperkatakan oleh Ustaz penceramah apabila berkaitan ibadah haji.

Memang haji adalah amalan praktikal. Doa-doa yang minta kita baca berpandukan pelbagai jenis buku yang dibekalkan. Ianya adalah sekadar sunat sahaja. Malah kalau ikut buku cetakan di Arab Saudi yang aku baca, membaca doa dengan menatap buku sewaktu tawaf dan saif adalah tidak digalakkan serta bida'ah.

Apabila kini aku mendengarkan ceramah, soal-jawab mengenai hikmah serta hukum dan pelaksanaan dalam amalan Haji dan Umrah, aku dapat lebih memahami dan menghayatinya. Mungkin kerana adanya pengalaman melaluinya. Mungkin kerana keyakinan lantaran telah menyaksikan sendiri pelbagai bangunan serta kesan sejarah tentang kewujudan Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya serta perjuangannya.

Lantaran itu, liputan atau rancangan khas mengenai jemaah haji yang kini berada di Mekah menjadi tarikan bagiku untuk mengikutinya. Sekurang-kurangnya dapat aku ikuti perkembangan terbaru khususnya mengenai pembangunan Kota Mekah dan penggunaan monorail dari Mekah ke Mina. Teringat aku yang cuba diinterview oleh wartawan Astro tahun lepas, tetapi aku enggan sebab ketika itu sedang keletihan dan pening kepala dengan percampuran jemaah lelaki perempuan di Masjidil haram. Agak tahun ini bagaimana hal ini dikendalikan ?

Masa aku di sana tahun lepas, binaan rail yang menyokong monorail sedang rancak dibina. Tidak terfikir pulak olehku ketika berada di sana tahun lepas, tentang matlamat pembangunan menara tinggi yang saban hari berada di depan mata tu rupanya menara jam tertinggi di dunia tu ..



Share:

Islamic Fashion : Sukarnya Memahami Aurat Wanita ?

Bebaru ini tersebat meluas dalam internet, gambar-gambar yang dikatakan diambil dari satu majlis Pertunjukan Feshyen Pakaian Islam Antarabangsa ( Islamic Fashion Festival ) di Monte Carlo pada 9 Ogos 2010. Sekali imbas kalau berdasarkan nama majlis, aku membayangkan akan pertunjukan atau pameran Busana Muslim dan Muslimah. Namun aku jadi terkejut beruk melihatkan gambar tersebut. Apa nie ? Apa definasi Pakaian Islam ? Siapa yang mengiktiraf 'keislaman' pakaian tersebut. Bebudak taski atau pasti pun tahu tahu pakaian asas Islam.

Yealah, kalau makanan kita ada JAKIM yang mengiktiraf kehalalan makanan tersebut menurut Islam. Kalau Ustaz nak mengajar dan berdakwah pun kena dapatkan watikah atau tauliah. Majlis Raja-Raja pun 'merestui' parti atau pertubuhan yang menggunakan perkataan 'Islam'.

Apakah demi hendak mengantarabangsakan pakaian islam, jadi definasi pakaian Islam berubah. Atau apakah lantaran pencipta atau yang memperagakan pakaian tersebut orang yang mengaku beragama islam, maka jadilahnya ianya juga Islam. Tambah heran, backdrop pentas tu terpapar nama bandaraya Kuala Lumpur serta Jakarta.

Sukarkah memahami apa yang dinamakan pakaian Islam ? Bagiku bukan setakat bukan pakaian Islam, malah bercanggah langsung dengan apa yang difahami sebagai pakaian Islam. Garis panduan jelas dalam al-Quran dan hadis. Asasnya ialah macam ketika solat. Bolehkah pakaian tersebut dipakai ketika solat ? Kalau tak jelas, tanyalah ulama dan yang ariff.

Atau apakah ini propaganda musuh-musuh Islam yang berselindung disebalik orang Islam yang sama ada konpius atau tidak tahu tentang pakaian Islam. Atau bagi mereka pakaian tidak penting dan bersifat peribadi. Yang penting umat Islam maju dalam hal ekonomi, pendidikan dan menguasai pelbagai bidang yang diperlukan dunia ketika ini.
Share:

Membiasakan Membaca Al-Quran Digital

Apabila pertama kali menggunakan smartphone SE P800, aplikasi bagi membolehkan keseluruhan ayat-ayat al-quran dipaparkan dan dibaca menjadi pilihanku. Walaupun kecil tulisan dan tidak berapa terang, namun sekurang-kurangnya boleh dibaca untuk tujuan kelancaran atau hafazan. Begitu juga apabila aku bertukar kepada SE P910 dan SE P990i. Namun bagi siri ini, lebih jelas tulisannya sebab skrinnya lebih luas.

Sekarang aku memiliki BB Bold 9700. Terdapat pelbagai aplikasi al-Quran dan aku sempat masukkan 2 aplikasi diantaranya. Satu agak kecil dan satu lagi ok serta jelas tulisannya. Tetapi yang jelas tu dipaparkan secara on-line. Baris-baris ayat dipaparkan dengan cara download baris demi baris. Kalau cepat kita baca, kekadang tidak sempat baris ayat baru didownload dan dipaparkan.

Kini aku baru memiliki al-Quran Digital yang dinamakan eAlim EL100. Ianya seolah-olah sebuah ebook seiras iPad dengan saiz skrin 7”. Agak menarik juga gadget baru ku ini walaupun aku belum sempat habis menggodehnya. Maklumlah baru, masih kemaruk lagi.

Selain untuk membaca al-Quran, eAlim ini juga dilengkapi dengan terjemahan dan tafsir al-Quran, aplikasi e-Book, bacaan al-quran daripada pelbagai Qari, hadis, video pendek, doa serta rakaman ceramah.

Al-Quran digital boleh dianggap membantu mengenal ayat-ayat suci dengan mudah dan berkesan melalui teknik mendengar dan mengikut. Malah ia menjadi lebih berguna dengan aplikasi nilai tambah seperti terjemahan dan tafsir al-Quran. Dikatakan juga al-Quran digital mampu memberi minat yang lebih mendalam kepada pemiliknya untuk mempelajari bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Juga disertakan permainan atau edutainment yang ringkas. Aku rasa banyak lagi aplikasi boleh dimasukkan ke dalam eAlim. AKu telah cuba beberapa kali untuk membolehkan ianya dapat dihubungi dengan PC, namun masih gagal. Aku tidak pasti kenapa masih gagal sedangkan instruction seperti dalam buku manual yang disediakan telah aku akur.

Namun akan ku cuba lagi. Sebab bagiku targetnya kini ialah nak masukkan fail flash .swf al-Quran Tajwid, satu format yang biasa aku baca bagi al-Quran bermashaf. Ini kerana sekarang ini juga banyak sudah handphone yang mengandungi ayat-ayat suci al-quran, sama ada sudah diinstal siap-siap atau kita download daripada Internet.

Tetapi bagiku yang biasanya membaca al-quran secara mashaf, disertai dengan warna sebagai panduan mengikut ilmu tajwid, terasa agak kekok apabila membaca al-Quran menerusi eAlim ini. Mungkin nak kena selalu membaca menerusinya.

Kemudahan teknologi ini membolehkan al-Quran di bawa ke mana-mana sahaja apabila kita membawa handphone atau gadget digital berkenaan, walaupun masuk tandas dan walaupun tanpa ada wuduk. Jika hukum berkaitan menyentuh dan membawa al-Quran digital ini tidak sama dengan hukum menyentuh dan membawa al-Quran secara mashaf cetakan biasa atas kertas, apakah fadhilat membacanya juga tidak sama ?
Share:

Perlukah Mengadakan Rumah Terbuka ?

Tradisi berziarah atau baraan sepanjang Syawal adalah suatu amalan baik dalam merayakan Aidil Fitri sambil mengeratkan silatur rahim. Tetapi sayangnya tradisi ziarah ini bagi sesetengah orang dilambangkan dengan tradisi rumah terbuka. Walaupun tradisi ini kelihatan agak baik tetapi sesetengah sanak-saudara dan sahabat handai hanya menunggu kalau ada undangan rumah terbuka barulah ziarah akan bermula.

Sedangkan tradisi lama ialah sepanjang Syawal rumah kita adalah terbuka. Ia harus mendorongkan rasa ikhlas untuk berziarah bukan ziarah kerana diundang. Apakah hanya bila ada rumah terbuka baru kita hendak datang berkunjung atau menjemput serta meminta rumah kita dikunjungi ?

Tradisi ini kelihatan semakin berkembang terutamanaya di kawasan taman perumahan atau bandar-bandar. Malahan diperluaskan lagi oleh syarikat korporat dalam menghargai rakan niaga serta pelanggannya, walaupun bukan di adakan di premis mereka. Pelbagai pertubuhan seperti persatuan penduduk, NGO, persatuan belia, parti politik, masjid dan surau turut tidak ketinggalan.

Pak Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN juga tidak ketinggalan dalam memastikan sokongan mengadakan Rumah Terbuka sama ada di rumah memasing atau premis lain. Maknanya rumah mereka hanya ‘terbuka’ ketika itu, waktu lain bukan senang-senang terbuka untuk diziarahi ?

Tetapi martabat Rumah Terbuka telah dinaikkan kepada peringkat negara sehingga hendak dijadikan tarikan bagi pelancong. Panggil orang reramai makan free siapa yang tak mahu ? Surau masjid yang sentiasa terbuka pintunya susah nak datang walaupun ganjaran pahala telah sedia maklum ... ops, ke situ pulak !!!

Pengisian utama rumah terbuka selain bersua muka dengan penganjurnya ialah makan. Walaupun mungkin tidak sebanyak mana yang dimakan, ada sesetengahnya datang tunjuk muka dan tegur sapa barangkali sudah memadainya untuk menjalin satu ikatan silaturahim yang berpanjangan, walaupun datang dari jauh, walaupun mungkin kita tidak mengenalinya pun sebelum ini !!

Bagi pengunjung, mungkin makanan bukan tarikan utamanya, walaupun memang dapat makan free bila berkunjung. Tetapi bagi penganjur, soal juadah merupakan yang paling utama difikirkan. Apa yang istimewa hendak disediakan ? Banyak mana kuantitinya ? Cukupkah dengaan bilangan yang hadir nanti ?

Kalau tetiba tidak cukup apakah pelan B nya ? Juga bimbang kalau berlebihan jadi membazir pulak, sedang yang dijemput pulak belum tentu datang. Kalau datang pun mungkin sudah kekenyangan lantaran berkunjung juga ke rumah terbuka lain sebelum ini. Inilah dilema bagi penganjur atau tuan rumah.

Namun aku lega, majlis yang dianjurkan di kediamanku di Putrajaya pada 3 Oktober lalu berjalan lancar. Terima kasih kepada adik beradik serta keluarga, sedara mara, jiran dan sahabat handai yang hadir. Semoga ukuwah dan silaturahim akan berpanjangan. Kepada yang tidak berkesempatan, tidak mengapa. Jumpa lagi pada lain kesempatan. Insya'allah.

Klik Untuk Gambar Sekitar Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitriku
Share:

Cerita Seram Cemari Aidil Fitri ?

Sempena dengan Aidil Fitri 1431H kali ini, aku merasakan begitu banyak cerita seram di tayangkan oleh stesen TV di negara kita. Tak tahulah sama ada cerita baru atau lama yang diulang tayang, tetapi tentunya berkait rapat dengan cubaan stesen TV tersebut dalam berlumba-lumba menarik dan memuaskan selera penonton terperap menontoni stesen TV berkenaan. Benarkah masyarakat Melayu suka dengan cerita hantu dan seram yang menakutkan begitu ? Persoalan kedua, sejauh mana benarnya cerita itu, atau sekadar cerita rekaan dan dongengan bagi memastikan filem tersebut begitu menarik.

Namun hasil daripada menonton cerita-cerita sebegini, yang tinggal dalam fikiran masyarakat kita adalah ketakutan, kegerunan, kerisauan dan perasaan berkecamuk. Anak-anak akan takut ke bilik air seorang diri tanpa ditemani walaupun didalam rumah. Tidur pun takut apabila keseorangan. Keluar rumah pada malam hari akan gerun dan takut. Malah ibubapa juga menggunakan taktik cara mudah, melarang anak-anak dengan menakut-nakutkan mereka, kononnya nanti dicekup hantu atau disembunyikan puaka dan sebagainya.

Namun daripada satu segi, mungkin ada kebaikannya iaitu kita boleh mengetahui kelemahan diri serta menguji ‘iman’. Yang mana lebih ditakuti, antara Allah sebagai tuhan atau lebih takutkan hantu ? Betulke ?

Tidak dinafikan kewujudan makhluk halus seperti jin, syaitan dan ifrit, malah kita wajib mempercayainya adanya mereka sebagaimana disebutkan juga dalam al-Quran, "Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia (daripada kalangan lelaki), menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat." (Surah al-Jin, ayat 6)

Namun pada realitinya, tidak ramai yang benar-benar melihat jin dan mengalami kerasukan. Maksudnya, secara realitinya jarang berlaku. Yang ada hanyalan rekaan dan khayalan penulis skrip dan jalan cerita yang divisualkan sebegitu seolah-olah seperti realiti. Ditambah pula dengan cara menghindarinya seperti adat bersemah, berancak, berjamu makan kepada hantu, menjampi mantera yang direka-reka dan dilarang syarak sehingga membawa kepada syirik terhadap Allah SWT.

Bagi penerbit atau stesen TV yang menyiarkan cerita berkenaan mungkin memberikan alasan selain mahu mengubah selera penonton ( bersaing mengaut keuntungan ? ), ialah mahu memberikan pengajaran supaya tidak berlaku syirik dalam masyarakat. Aku tidak pasti sejauh mana petikan ayat-ayat al-quran atau penjelasan tertentu ada diberikan dengan tepat sama ada dalam filem atau cerita berkenaan atau pada akhir cerita. Dalam masa yang sama filem yang dihasilkan juga perlu memberi kesan positif agar manusia tidak hilang keyakinan diri.

Tetapi yang jelas ia memberikan kesan yang buruk kepada masyarakat. Cerita filem berkenaan terpengaruh dengan pemikiran penjajah yang mahu melemahkan Iman orang Islam dengan mengalihkan mengalih ketakutan manusia semata-mata kepada ALLAH kepada takutkan hantu, iblis dan syaitan.

Namun masalahnya apabila satu ketika dahulu ada tayangan gambaran azab seksa kubur untuk memotivasikan penonton supaya takut untuk membuat kejahatan dan memperbanyakkan berbuat kebaikan, ramai pulak yang bising sampai kepada Menteri. Diharamkan tayangan seumpama itu, kononnya boleh mengganggu ketenteraman khususnya anak-anak kecil, menakutkan dan menjadi tidak produktif kerana menjadikan kita sibuk ‘beramal ibadah’. Betulkan begitu ?

Sebagai seorang Islam, wajib kita mengimani tentang seksa kubor yang menanti bagi mereka yang melakukan kejahatan sama ada atas kemungkaran, kefasikan, berakhlak sumbang, berzina, mencuri atau merompak, yang meminum arak dan sebagainya. Gambaran seksa kubor tersebut sedikit sebanyak tentunya mampu menginsafkan diri, mendidik kita kepada mencintai kebaikan dan menjauhi keburukan, bagi mengelak seksa kubur.

Apakah alasan tidak boleh ditayangkan kerana menakutkan hanya kepada hal-hal keagamaan yang mendidik ke arah kebaikan, sedangkan filem seram tadi direkaciptakan, ia menakutkan, tetapi oleh kerana tiada kaitan dengan agama, ia dibolehkan ?

Satu persoalan dikemukakan kepada laman web JAKIM mengenai hukum menonton cerita / filem seram serta dalilnya ? Jawabnya, Hukum menonton filem seram adalah haram kerana boleh membawa kepada kepercayaan tahyul, khurafat, syirik, pemujaan syaitan dan lain-lain perkara yang bercanggah dengan hukum syarak. Dalilnya firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat 36 yang bermaksud "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu apa jua...".

Tetapi setakat mana masyarakat akur dengannya ?

Namun lambakan filem seram di negara kita akan berterusan kerana penerbitnya percaya filem sebegitu mampu memikat penonton dan membawa keuntungan. Filem yang mengkisahkan kehidupan para ulama, tokoh dan pejuang Islam tentunya jauh panggang dari api untuk diterbitkan lagi. Kita mungkin sekadar tumpang berbangga dengan filem seperti Muhammad The Messsanger, Umar Mokhtar The Lion Of Desert dan Saladin.

Sepatutnya cerita atau filem sedemikian boleh mengambarkan siapa sebenarnya hero kita serta layak menjadi contoh tauladan. Filem sedemikian sepatutnya membangkitkan semangat supaya Islam terus diperjuangkan agar terus tegak gemilang dan tidak lagi ditindas. Lambakan cerita dan filem seram yang disiarkan di TV kali ini bagiku mencemari kekudusan dan pengertian Aidil Fitri.
Share:

Berlalunya Ramadhan 1431H - Kecelaruan Berterusan ...

Ramadhan 1431H telahpun berlalu. Usah ditangisi pemergiannya. Tangisilah akan kelemahan diri lantaran tidak sepenuhnya memanfaatkan kehadirannya. Ya Allah, walaupun mungkin amalanku tidak seberapa mana Ya Allah, bebaskanlah diriku daripada api neraka kerananya dan kurniakanlah syurga bagiku. Berilah aku kesempatan agar ditemukan semula pada Ramadhan 1432H pada tahun hadapan yang dijangka jatuh pada 30 Ogos 2011. Ameen ...

Ramadhan 1431H meninggalkan beberapa peristiwa yang entah sama ada secara kebetulan ditakdirkan begitu atau tidak, berlakunya memberikan kita pelbagai pandangan dan persepsi terhadap apa yang sedang berlaku dan dihadapi oleh masyarakat Melayu Islam Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya.

Pelbagai peristiwa ngeri dan tragis berlaku dalam masyarakat yang dipaparkan serta mendapat liputan meluas dalam media masa sepanjang Ramadhan 1431H. Bapa sembelih anak, sumbang mahram, kemalangan ngeri jalanraya yang meragut nyawa, anak ditinggalkan ibubapa, anak dilarikan ke luar negara oleh suaminya, bunoh jiran, bunuh sana dan sini, berbuka puasa dengan arak, isu halal makanan hotel dan pelbagai lagi. Sebelum ini ada hal bapa saman anak dan anak saman bapa. Apakah yang sedang berlaku aduhai negaraku Malaysia.

Merdeka Yang Lesu
Dalam pada kelesuan sambutan Merdeka, kita cuba dibangkit dan diapi-apikan pula dengan demontrasi serta peristiwa Kedutaan Malaysia di Indonesia diserang dengan najis, memijak-mijak dan pembakaran Jalur Gemilang serta menghalang orang Malaysi daripada bergerak bebas menjalani urusan masing-masing di sana. Seingatan ku, ini kali kedua gerakan sedemikian dilakukan pada setiap kali Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan.

Di samping itu tidak banyak bendera digantung menghiasi bangunan serta di pacak di cermin hadapan kenderaan. Malahan warga di Putrajaya terpaksa diberikan surat peringatan dan galakan mengibarkan jalur gemilang di rumah masing-masing.

Walaupun pada asalnya kerajaan Malaysia seperti membiarkan sahaja kerana menganggap ianya dibangkitkan oleh segelintir warga Indon, namun nampaknya ada beberapa tindakan bersama cuba dilakukan khususnya dalam menyediakan pelan perancangan menyelesaikan beberapa isu tuntutan bertindih,

Mendoakan Kesejahteraan Non-Muslim
Namun ada beberapa isu yang cuba dipolitikkan pada awalnya tetapi senyap sunyi kemudiannya lantaran ianya seperti memakan diri bagi mereka yang mula-mula begitu pantang memainkan isu ini. Kecoh dengan dakwaan adanya seorang khatib kononya menggantikan doa untuk DYMM Agong kepada doa untuk KM Pulau Pinang dalam doa khutbah Jumaat di Pulau Pinang.

Ahli agama yang tidak melihat pembacaan politik pun terus mengeluarkan ‘fatwa’, haram mendoakan kesejahteraan non-Muslim. Rakyat biasa jadi keliru kerana semasa kempen pilihanraya di Hulu Selangor, adanya majlis tahlil dan doa selamat bagi memenangkan calon. Tak timbul soal haram atau kesalahan ?

MP Wanita DAP Masuk Surau Beri Tazkirah ?
Kemudian timbul cerita seorang ahli Parlimen DAP Serdang yang juga seorang wanita Cina non-Muslim kononnya memberi tazkirah dalam sebuah surau selepas terawih. Soal pertama, bolehkah seorang non-muslim masuk ke ruang solat utama sebuah surau atau masjid ? Soal kedua kalau boleh, bagaimanakah adabnya lantaran wanita MP DAP tersebut tidak pun memakai tudung. Soal ketiga, benarkah beliau memberikah tazkirah ?

Umat Melayu Islam khusunya JAIS dan ilmuan Islam digambarkan seolah-olah sedih dengan perkembangan ini. Malah para AJK surau-surau di Selangor agaknya juga keliru dengan penjelasan JAIS kerana rupanya dalam mengakuri keputusan majlis fatwa, kena tunggu garis panduan yang dikeluarkan oleh JAIS/MAIS dahulu. Persoalaannya, sejauh mana JAIS/MAIS ada mengeluarkan garis panduan pematuhan setiapa fatwa sama ada dikeluarkan olehnya atau Majlis Fatwa Kebangsaan ?

Pernah suatu ketika sekitar tahun 2001-2003, aku menghadiri majlis penyerahan bantuan morey daripada JAIS/MAIS yang dilakukan dalam Masjid Subang jaya, dihadiri oleh wakil rakyat serta ADUN non-muslim ( tetapi lelaki semuanya ). Ok aje, apakah kerana ianya telah mendapat kebenaran lantaran anjuran JAIS dan Wakil Rakyat yang hadir pun daripada parti pemerintah ?

MP Serdang itu, Ean Yong yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata beliau telah memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada jawatankuasa surau dan dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata. Pada ketika itu, beliau hanya menerangkan maklumat tentang skim pinjaman pengajian tinggi negeri Selangor kepada umat Islam yang hadir dan tidak menyentuh apa-apa isu politik dalam ucapan ringkasnya. Apakah kalau MP pembangkang masuk surau dan memberikan kata dua or berucap, dikatakan berpolitik tetapi yang parti pemerintah tidak ? Aku keliru ...

Persoalannya sama ada tidak boleh masuk dewan solat surau dan masjid disebabkan dia kafir atau sebab tidak menutup aurat. Bukan Islam mana wajib tutup aurat. Kalau yang Islam pun, apakah hanya ketika masuk masjid dan surau saja baru nak tutup aurat. Tetapi ketika lain ?

Aku pun tambah keliru apabila melihatkan gambar di atas, kerana seolah-olah double standard sedang berlaku. Ternyata isu ini begitu dipolitikan.

Pelaksanaan Syariat Islam Sebagai Penyelesaian ?
Mungkin ramai yang bersetuju bahawa kontroversi surau yang tercetus iaitu bukan Islam memasuki kawasan masjid dan surau, ada hikmah di sebaliknya. Mungkin kepada rakyat atau orang ramai tanpa mengira agama dan bangsa, akan lebih memahami beberapa perkara tentang Islam.

Malah masalah dan insiden yang berlaku serta isu yang ditimbulkan memberikan kita hikmat bahawa suatu musibah daripada Allah lantaran kita semakin renggang daripada melaksanakan syariat Allah dalam budaya dan cara hidup kita. Kita masih tidak yakin bagaimana hudud dan qisas umpamanya boleh menyelesaikan masalah seperti gejala buang bayi, zina, kecurian, rompakan dan pembunuhan. Alasan yang sering kita kemukakan ialah ketiadaan model rujukan. Benarkah begitu ? Apa yang hendak dilakukan oleh PAS pula dikatakan itu hudud tajaan PAS dan bukan Hudud Islam yang sebenarnya !!!

Masjid Surau Kembali Lengang
Kini masjid dan surau kembali lengang. Mana perginya mereka yang memenuhi deretan saf demi saf ketika terawih. Mana perginya deretan kenderaan yang menyesakkan laluan ke masjid dan surau setiap malam terawikh sebelum ini ? Pening para AJK Surau & Masjid memikirkannya ...

Apakah kesan dan natijah daripada puasa yang diamalkan ? Sewajarnya tekad ditanamkan bahawa selepas selesai Ramadhan ini, 'Aku mesti jadi ahli surau', dalam ertikata sering solat berjemaah di surau serta mengikuti kuliah pengajian serta aktiviti yang dianjurkan. Ini baru solat berjemaah, belum dilihat pada mengaji al-Qurannya selain solat witir, Dhuha serta tahajjud, taubat, tasbih dan solat hajat yang dilakukan semasa 'Qiamullail Perdana' dalam bulan Ramadhan.
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.