Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Jika Masa Lalu Bisa Diputar Kembali ..

10 Februari 2019 : Singgah sekadar nak ambil gambar.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Showing posts with label madinah. Show all posts
Showing posts with label madinah. Show all posts

Pengubat Kerinduan Mekah & Madinah

Melihat bakal haji sampai di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu pada 26 September 2013 untuk bertolak mengerjakan haji, mengingatkan aku kepada pengalamanku yang pernah sampai ke sana. Ini menimbulkan rasa kerinduan untuk sampai lagi ke sana mendakap bumi haramain. Kerinduan yang menggamit kenangan pada keindahan lantaran terpilih menjadi tetamu Allah. Rindu betapa seronoknya berada di sana, meskipun terpaksa meredah segala kepayahan, meskipun berjauhan daripada rumah, keluarga, kampung halaman dan sanak saudara.

Dalam aku menyaksi dan merakamkan pergerakan mereka, tidak aku sangka apabila aku lihat dalam foto yang aku ambil sebagaimana di atas ( cuba teka ), merupakan seorang Ahli Parlimen Malaysia yang aku kira agak lantang bersuara dan boleh dianggap tersohor kerana kepetahan berbicara dengan fakta dan hujah beraninya.

Mengunjungi Mekah dan Madinah bukan seperti ziarah biasa. Ia merupakan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bukan juga cuma ulang alik dari Masjid Nabawi ke Hotel penginapan sahaja atau ulangalik Hotel ke Masjidil Haram dan pakai redah sahaja Tawaf, Saie, Wukuf, Mina serta melontar jamrah. Ini kerana setiap perlakuan dalam ziarah, umrah dan haji mempunyai sejarah dan hikmatnya yang tersendiri. Oleh yang demikian, penziarah atau bakal haji sangat digalakkan untuk mengenali dua tempat penting itu iaitu Mekah dan Madinah, agar menjadikan penghayatan serta rasa kyusyu’ yang lebih lagi.

Buku Sejarah Mekah Dan Madinah
Masa pertama kali aku ke tanah suci mengerjakan haji, aku sempat membeli buku di bawah di bumi Madinah sebagai rujukan. Tetapi bahasa Indonesianya agak kelam kabut dan gambarnya agak lama serta banyak gambar hitam putih. Mungkin sekarang sudah tidak dijual di sana atau telah diupgrade mutunya.

Memang masa kursus sebelum ke Mekaqh dan Madinah ada disentuh, tetapi masa tu tumpuan pemahaman lebih kepada tatacara dan aliran kerja ibadah haji dan tawaf. Tak fikir sangat bab ziarah, sedangkan kita ada masa sehingga 45 hari di bumi Madinah-Mekah. Takkan nak ibadat khusus, mengaji, makan dan tidur sahaja. Apabila mengikuti program ziarah aku cuba merujuk kepada buku ini. Walaupun ada pemandu mengiringi kami, namun pengkisahannya adalah terhad. Kalau nasib tak baik, mereka cuma tunjuk itu dan ini sahaja.

Madinah Munawwarah & Mekah – Kelebihan & Sejarah
Dua buku ini aku anggap terbaik, padat dengan info bergambar, lengkap serta menyeluruh dalam menceritakan tentang Mekah dan Madinah sebagai bandar lama yang bersejarah. Gambarnya banyak yang terkini, berwarna dan jelas. Selalunya memang kena ada dua-dua, tentang Madinah dan tentang Mekah. Aku boleh kategorikan buku ini sebagai mesti baca sebelum berangkat ke tanah suci.

Penulisnya pun orang yang pernah tinggal lama di sana semasa belajar di Universiti Madinah daripada peringkat ijazah pertama sehinggalah ke peringkat kedoktoran. Tentulah kajiannya menyeluruh. Aku beli buku ini sebelum berangkat mengerjakan umrah bersama keluarga pada tahun 2011.

Walaupun harganya agak murah berbanding buku lain mengenai Madinah dan Mekah, namun ia mengandungi huraian yang agak terperinci berkenaan tempat-tempat yang ada sekitar Mekah dan Madinah. Turut disertakan nas-nas, kisah Nabi lain yang terlibat serta beberapa tokoh yang terkait dengan tempat-tempat tersebut.

Sejarah Kota Madinah Munawarrah Dan Tempat-Tempat Bersejarahnya
Aku beli buku ini semasa di Mekah. Tetapi aku tidak pasti mengapa hanya tajuk Madinah sahaja, tanpa buku tentang Mekah. Sudah habis stok, tidak cukup duit nak beli atau memang tiada versi Mekah ?

Buku ini dicetak di Arab Saudi tetapi dalam bahasa Indonesia agak standard dan mudah difahami. Aku anggap buku ini sesuai bagi mereka yang pertama kali masuk Madinah sebab penerangannya yang menyeluruh. Murah sahaja SR15.

Destinasi Haji dan Umrah, Travelog Haji Bergambar
Buku ini aku beli masa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Ia hasil atau buah tangan daripada orang yang banyak buat novel Islamik sehingga ada yang difilemkan. Membukanya lembaran demi lembaran yang penuh dengan gambar-gambar yang menarik, terasa syahdu lantas mengingatkan aku kepada pengalaman sama semasa berada di sana.

Bermula daripada persiapan hendak berangkat, pengkisahan beririnagan engan gambar-gambar sampai lah balik semula ke kampong halaman. Yang menariknya ialah perkara di belakang tabir yang kita tidak tahu seperti persiapan pihak berkuasa, kesihatan, pengangkutan dan pasukan keselamatan.

Bayu Kerinduan di Bumi Haramain
Ini merupakan buku terbaru tentang perjalanan Haji Mekah dan Madinah yang aku milikki dan sangat menarik untuk dibaca kepada mereka sebelum berangkat ke tanah suci. Malah bagi yang pernah ke sana, membacanya memberikan bibit-bibit kerinduan untuk berangkat ke tanah suci lagi.

Ini adalah kerana ia dipenuhi dengan pelbagai warna pengalaman sebenar penulis di Haramain yang turut menyingkap hikmah dan penghayatan setiap peristiwa, penuh dengan pelbagai info dan maklumat yang jarang diketahui umum, termasuk cara kupasan dan penceritaan yang santai. Tentunya ianya merupakan catatan perkongsian penulis yang boleh dianggap sangat berpengalaman dalam menguruskan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

Catatan Perjalanan Haji & Umrah
Tidak dinafikan aku sering mengimbas kembali perjalanan Haji dan Umrah sebagaimana dipaparkan dalam blog ini, khususnya apabila teringatkan Mekah dan Madinah.

Mungkin gaya bahasanya tidak mempunyai nilai komersial untuk dibukukan sebagaimana buku di atas, namun sekurang-kurangnya cukup untuk aku mengimbau kembali kenangan dan perasaan semasa berada di sana, selain dapat dimanafatkan oleh pengunjung blogku.
Share:

Perjalanan Haji - Hari Melontar Jamrah Kubra Di Mina

Hari 38 ( Jumaat 27 Nov / 10 Zulhijjah )

Kekira jam 1.30 pagi, barulah kelihatan bas tiba dan mulai mengangkut jemaah dari Mudzalifah untuk ke Mina. Di Mina nanti kami kena melakukan lontaran jamrah dan bermalam disana, yang merupakan wajib haji. Jarak perjalanan sebenarnya kekira 7 kilometer, tetapi masa menunggunya yang lama. Bas datang sebijik sebijik dalam selang masa yang agak lama berbanding dengan semasa hendak mengangkut kami dari Arafah ke Mudzalifah.

Tunggu punya tunggu, giliranku ketika hampir masuk waktu suboh. Aku jadi serba salah, bimbang tidak sempat nak solat suboh atau solat suboh atas bas sahaja. Wuduk telah aku ambil. Ah, naik sahajalah kata isteriku, berapa lama lagi nak tunggu, sempat solat suboh di Mina nanti. Mungkin hendak cepat-cepat meninggalkan Mudzalifah, setelah puas menunggu.

Masa bas yang kami naikki hendak berjalan, kelihatan para jemaah telah mendirikan saf dan siap sedia untuk solat suboh. Sejurus kemudian azan pun berkumandang. Aku hanya berharap sempat solat suboh di Mina. Dalam bas kelihatan ramai manusia sedang berjalan di atas jalanraya, barangkali menuju ke Mina. Ada juga yang solat berjemaah di tepi-tepi jalan.

Mudzalifah Mina Dekat Aja
Alhamdulillah, kekira 15 minit, bas pun sampai ke destinasinya. Dekat sahaja detik hatiku, agaknya kalau jalan kaki sudah sampai. Cuma tidak tahu kedudukan sebenar Maktab 77. Aku terus mencari khemah yang telah disediakan untukku.

Ah mudah saja rupanya sebab terletak di bahagian hadapan, berdekatan dengan pejabat operasi TH di Maktab 77. Setelah letakkan bag di khemahku, aku pun ikut solat dengan jemaah yang sedang menunaikan solat suboh. Argh, lega dapat aku berehat, melepaskan kesukaran Mudzalifah.

Khemah Di Mina
Jika di Arafah kongsi 10 orang setiap khemah, tetapi dengan keluasan 10kaki X 10 kaki yang sama di Mina, kami berkongsi 14 orang. Lebih sempit lagi. Tetapi tidaklah sampai kena tidur ikut syif sebagaimana disarankan oleh pihak Maktab semasa taklimatnya sebelum ini.

Khemahnya lebih tersusun berlantaikan karpet juga. Ada Alat hawa dingin dan alat pencegah kebakaran. Materialnya dikatakan dari jenis tahan api, ekoran kebakaran yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Malah dilengkapi dengan alat pemadam kebakaran jenis air dalam setiap khemah.

Hilang Ingatan
Mungkin aku dikira bernasib baik kerana orang yang sepatutnya disebelahku telah dipindahkan ke khemah berdekatan pejabat operasi Maktab. Jadi ruang untukku lebih luas lagi. Orang itu dikatakan hilang ingatan dan asyik berkata, ‘hendak balik rumah’ sejak di Arafah dan perlukan pengawasan rapi dari pihak TH. Padahal dikhabarkan ini kali ke-3 orang tersebut ke Mekah, cuma yang sebelum ini dengan pakej.

Hairan jugak, agaknya masa ikut pakej, tidak ramai sebilik atau se khemah. Tetapi bila ikut muasasah nie, nampak orang ramai sangat dan jadi tidak selesa.

Masalah Tandas
Seperti yang diperingatkan oleh TH, masalah utama di Mina ialah berkongsi tandas dalam kadar yang lebih tinggi berbanding dengan di Arafah. Tetapi bagiku yang merumitkan keadaan sejak aku tiba lagi ialah kehadiran jemaah Indonesia bersebelahan Maktab 77. Jumlah mereka memang ramai berbanding jemaah Malaysia.

Jadi beratur panjang untuk masuk ke tandas. Apabila diadukan kepada pihak pengurusan Maktab 77, jawab mereka, bersabarlah dan berkongsilah. Itu pihak muasasah yang sediakan.

Problem dengan jemaah Indon ni, ada yang mandi sakan dalam bilik air. Pulak tu ada yang siap membasuh pakaian, giler betul. Buang air dan mandi ala P. Ramlee sudah lah. Oh ! Mereka tidak ada P. Ramlee di sana. Mungkin Benjamin S !!

Ikut TH Atau Sendiri ?
Pihak TH tetapkan jemaah KT03 melontar jam 9.30 malam. Argh lama lagi. Ramai yang sudah pergi melontar sejak pagi lagi walaupun ketika sesak. Sesak sebab waktu Duha adalah waktu yang afdal. Aku bertambah cemburu melihat ada jemaah yang sudah berpakain biasa, maknanya telah pergi melontar dan tahlul awal.

Tahlul awal maknanya sudah bebaskan diri daripada 10 daripada 13 pantang larang. Tak sabar rasanya hendak pergi melontar. Adakah tidak mengikut arahan TH ketika ini suatu kesalahan yang boleh disifatkan mencacatkan kemabruran ibadah haji kita ?

Tak Solat Jumaat
Hari ini kami tidak solat Jumaat. Hanya solat jamak zuhor dan asar sahaja. Terasa janggal juga sebab tidak biasa tinggal solat Jumaat. Tetapi dengan suasana yang ada, memasing buat biasa saja. Tak macam hari Jumaat saja.

Nak buat camana, lagi pun masjid agak jauh. Itu pun tak pasti sama ada kat masjid itu pun tak buat solat Jumaat.

Makanan Istimewa
Memang setiap hari Jumaat, hidangan tengaharinya agak istimewa. Tak tahulah sama ada nasi minyak atau nasi apa, tetapi yang pastinya bukan nasi yang berwarna putih. Begitulah juga di Mina, hidangan agak special hari ini.

Cuma cara hidangan diedarkan sahaja terasa janggal. Macam orang pelarian pulak rasanya kita dibuatnya. Tak kisahlah, salahkan dapat makan buat mengalas perut.

Lagak macam pendekar bujang lapok pulak .. ha ! ha !

Melontar Jamrah Kubra
Kekira hampir zuhor, rakan-rakan satu khemah ku ajak pergi melontar selepas waktu zuhor. Tak payah ikut jadual TH. Aku mulanya serba salah juga, tetapi bila isteriku pun setuju, maka aku pun kata OK.

Maka jam 1.30 tengahari, aku isteriku serta rakan-rakan yang lain mula bertolak di hadapan pintu Maktab 77. Kerana pakaian ihramku sangat kotor semasa di Arafah, aku pakai satu lagi pakaian ihramku yang baru. Alang-alang sudah bawa, walaupun pakainya tidak lama. Sebab selepas melontar sudah boleh berpakaian biasa. Tapi aku pakai juga sebab nak ambik keberkatan.

Perjalanan kira lancar walaupun orang ramai. Tidaklah bersesak sangat. Kami melalui suatu terowong yang panjangnya kekira 300m. Dahulu terowong ini dua hala itu yanh sesak sehingga ada yang mati. Tapi sekarang sudah dibuat dua hala. Perjalanan lancar.

Keluar sahaja terowong, dari jauh sudah terseragam bangunan atau komplek melontar yang setinggi 4 tingkat. Kelihatannya macam masih belum siap dan khabarnya salah dibina oleh syarikat UEM Malaysia. Nampak dalam internet bukan main cantik lagi. Tetapi apabila dekat, lain aje.

Jam 2.10 petang sudah sampai ke tempat melontar iaitu Jamrah Kubra atau Aqabah di Tingkat 1. Sebelum sampai, kena melewati Jumrah Sughro ( Jamrah kecil / pertama ) dan diikuti Jamrah Wusta ( Jamrah pertengahan / kedua ). Itu untuk esok, memang takde orang melontar di situ pada hari ini. Orang tidak berapa ramai, tak tahulah di tempat lain.

Maka lontaran batu begitu mudah dihalakan kepada jamrah yang berbentuk dinding memanjang, yang dahulunya adalah berupa seperti tiang. Dengan nama Allah yang Maha Besar,aku melontar syaitan dan pengikutnya. Nyah kau syaitan dari diriku, nyah kau syaitan dari diri ku, 7 kali.

Sebenarnya ku hampir terlupa bilangan lontaranku. Mengganggu betul si syaitan ni. Atau memang sebab terlalu bersemangat. Tetapi disebabkan memang 7 biji batu disimpan dalam karung yang berasingan, maka aku yakin memang 7 lontaran. Itu kelebihan adanya karung lain, berasingan dengan karung yang turut mengisi batu spare, kot-kot tak sampai lontaran dan sebagainya.

Selesai Tahalul Awal
Habis melontar aku kamu cukur atau potong rambut. Isteriku potongkan rambutku yang memang sudah pendek. Kemudian kami saling bersalaman dan mengucapkan tahniah kerana telah selesai tahalul awal. Maknanya daripada 13 pantang larang, tinggal 3 sahaja dan kini boleh tukar kepada berpakaian biasa. Pakaian ihram nie entah bila entah dipakai semula. Balik ke mekah nanti dah tak sempat nak umrah-umrah lagi. Ya Allah, terimalah haji kami diterima, juga amalan kami dan semoga kami dapat kembali ke sini suatu masa nanti.

Kemudian kami pun berjalan pulang ke tempat penginapan. Aku kira jarak perjalanan pergi dan balik sejauh 5 km dan kekira memakan masa hampir 2 jam. Tidak begitu mencabar, selain jarak perjalanan sahaja.

Sebab itu bagi yang tidak mampu berjalan, mereka upah atau wakilkan sahaja kepada orang lain untuk melaksanakannya. Di tempat melontar, tidak kelihatan wheel chair, khabarnya di tingkat lain tetapi gunakan kenderaan khas.

Pasar Lambak
Aktiviti jualan di kiri kanan jalan berdekatan khemah maktabku memang rancak. Pelbagai barangan dijual ala pasar lambak. Ini turut menyumbang kepada kesesakan laluan. Memang tidak banyak kedai tetap, maklumlah meniaga hanya 7 hari setahun.



Jumpa Saimin
Dalam perjalanan untuk pulang, dekat dengan khemah, aku berjumpa Saimin Basir, ex-classmate semasa di Kelas Matrikulasi dahulu. Memang kami dah jumpa sebelum ini, iaitu semasa kursus Haji Intensif dan Perdana Wilayah Persekutuan. Rupanya beliau sudah melontar semasa waktu afdal pagi tadi lagi. Katanya orang memang ramai, tetapi ok saja.

Lantas kami tumpang tandas di Maktabnya yang nampak tidak berapa ramai orang, sebab tiada orang Indon yang menyeberang agaknya. Nampaknya ini suatu taktik dalam hendak mendapatkan bilik air, nyeberang ke Maktab jemaah Malaysia yang lain.



Cari Batu
Jam 5.00 petang, aku meronda-ronda untuk cari batu sambil lihat jualan di sekitar sepanjang jalan berdekatan khemah. Meriah sungguh.

Akhirnya aku naik ke lereng sebuah bukit berhampiran. Nampak ramai orang sedang cari anak batu. Aku pun naik sekali dan pemandangan agak menarik juga disitu. Dapat dilihat susunan khemah yang putih itu. Dikhabarkan kemah ini memang terletak di sini sepanjang tahun, tidak seperti di Arafah. Cuma dinding khemah sahaja dibuka digulung ke atas dan tinggal bumbung.

Ada kanak-kanak yang turu menjual anak batu dalam botol air mineral 330ml dengan harga SR4. Ah, aku cari sendirlah. Banyak batu boleh ditemui, cuma kena pastikan memang batu kerikil, buka batu simen. Sebab nafar awal, hari melontar ku seterusnya hanyalah dua hari iaitu pada 11 dan 12 Zulhijjah. Aku kena cari sekurang-kurangnya 7 biji X 3 jumrah X 2 hari = 42 bijik sahaja.

Khemah Persendirian
Terdapat banyak khemah persendirian didirikan dikaki bukit tersebut. Mungkin jemaah haji persendirian juga. Apakah keadaan ini masih dibenarkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi. Malahan terdapat juga khemah didirikan di lereng dan tepi bukit.

Tak berbahaya ke ? Mana tahu kalau ngigau masa tidur, berguling jatuh ke bawah !!

Takbir Raya
Lepas solat jamah maghrib dan isyak, kami bertakbir beramai-ramai macam takbir raya aidil fitri dan aidil adha. Tak adalah terasa sayu macam orang tak dapat balik kampong ingatkan ayah dan ibu. Memang jemaah haji disunatkan tabir raya nie, mulai selepas waktu zuhor 10 Zulhijjah hingga solat suboh pada 13 Zulhijjah

Ini berbeza dengan bukan jemaah haji di tanah halal iaitu sebaik masuk maghrib 10 Zulhijjah hingga selepas solat asar 13 Zulhijjah .

Bising
Hampir semua jemaah dalam khemahku telah berpakaian biasa. Hanya ada sorang dua yang berpakain ihram, kerana nak ikut jadual TH melontar jam 9.30 malam. Lepas solat dan makan malam, suasana dalam khemah jadi agak bising. Memasing berborak berkongsikan pengalaman setelah selesai tahlul awal. Nampaknya kenangan di Arafah dan Mudzalifah yang banyak dibicarakan.

Aku kira ada banyak masa di Mina. Melontar termasuk perjalanan cuma beberapa jam. Lepas tu tak kan asyik nak shopping saja. Banyak duit kau !!! Kalau di Mekah banyak berjalan, di sini asyik solat jamak kat khemah sahaja. Mungkin kurang kondusif seperti suasana dalam MH. Aku plan nak pergi masjid berdekatan esok.

Tawaf Awal
Aku pun sebenarnya pada asalnya plan nak ke Mekah buat Tawaf dan Saie Haji hari ini. Tetapi memandangkan kami hanya 3 hari 2 malam di Mina, bukan 4 hari sebagaimana orang yang lain ( nafar awal ), aku tak jadi nak buat. Lagipun isteriku mungkin takde masalah. Selalunya yang buat begini ialah kerana pasangan wanitanya hampir kepada waktu datang haid sebab hanya Tawaf sahaja yang mesti dilakukan dalam keadaan berwudku dan suci daripada haid. Roomateku pergi ke Mekah untuk buat tawaf dan saie hari ini. Tambang taxi SR50 sehala untuk seorang. tetapi disebabkan jam perjalanan, hampir tengah malam hari ini baru pulang semula ke tempat penginapan di Mina. Perjalanan pergi balik memang sesak katanya.

Aku mengaji beberapa muka surat yang terdaya. Terasa macam tidak sempat untuk habiskan bacaan untuk khatam kali ke-5 di Tanah Suci sebab hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum ke Jeddah dan pulang ke Malaysia.

Share:

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

Blog Tazkirah