Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Umrah Keluarga 2011 - Jumaat Yang Meriah

3 Jun 2011 – Jumaat Yang Meriah

Sepatutnya hari ini ada program ziarah, tetapi memandangkan hari Jumaat, maka progam ziarah di tunda kepada esok. Namun seperti biasa kami bangun awal untuk ke Masjidil Haram, seawal 2.00 pagi. Lagipun nak ambil keberkatan malam Jumaat. Suasana di Masjidil Haram memang meriah, khususnya di lantai Kaabah. Seperti musim haji sahaja nampaknya.

Aku berseorangan diri untuk solat Jumaat di Masjidil Haram. Ahli keluargaku lain tidak ikut. Kat Malaysia pun tak gi solat Jumaat. Buat menyesakakan masjid aje. Lagipun waktu lelaki solat Jumaat adalah waktu shopping bagi wanita. Tetapi di sini, waktu solat kedai-kedai ditutup. Inilah satu-satunya solat Jumaat yang sempat aku kerjakan sepanjang tempoh perjalanan umrah ini.

Sejak jam 10.00 pagi lagi orang sudah berduyun ke Masjidil Haram. Jemaah wanita pun ada jugak. Kelihatan pasukan keselamatan berkumpul seperti untuk mendengar taklimat persediaan apa yang perlu dilakukan pada hari ini.

Sampai saja di Masjid, aku ambil kesempatan untuk tawaf sunat. Alhamdulillah, aku kemudiannya dapat tempat yang baik, strategik, agak teduh dan nampak Kaabah clear depan mata. Tapi aku bercadang nak duduk atas lantai apabila menghampiri Zuhor nanti. Aku banyak habiskan masa dengan mengaji al-Quran.

Sesekali rehatkan mata melihat suasana, termasuk menara jam yang terseragam hingga terpaksa mendongak ke langit untuk melihatnya. Mana yang lebih dikagumi, antara binaan Kaabah yang seciput itu kalau nak dibandingkan dengan Menara jam yang tertinggi di dunia itu ? Mana yang lebih sedap dipandang mata ? Mana yang lebih canggih binaannya ? Orang semakin ramai dan suasana sekitar tempat dudukku kelihatan agak meriah.

Sebaik azan kedua Zuhor, akupun turun ke bawah lantai Kaabah. Memang terik dengan cahaya matahari, tetapi lantainya sejuk seperti yang pernah aku alami masa haji dahulu. So yang penting cover kepala dan muka sahaja.

Kendatipun tidak faham sepatah habuk khutbah yang disampaikan, namun keinginan nak mendengar terus tersemat dihati dan tidak langsung tertidur. Aku lihat orang disekitarku pun tiada yang tertidur, tidak seperti di Malaysia yang aku kira 90% jemaah tidur semasa khutbah dibacakan walaupun dalam bahasa yang difahami

Habis solat Jumaat, canggih betul. Mimbar khutbah digerakkan dengan roda yang dipasangkan dan dipandu menerusi panel khasnya. Ramai yang melingkunginya termasuk aku yang agak terpegun.

Suasana di luar masjid sungguh sibuk selepas solat Jumaat. Memang sungguh ramai orang. Jalan raya pun menjadi sesak.

Seperti biasa, makan tengahari pada hari Jumaat agak spesel punya. Sekurang-kurangnya bukan nasi putih. Tapi peserta atau jemaah semakin ramai makan di kawasan ku. Tapi ada yang dari syarikat TA yang sama dan ada yang lain tetapi di keawsan lain. Bagi mengelakkan sesak atau beratur panjang untuk mengambil makanan, dua kaunter dibuat. Ok juga.

Penyumbang Kesesakan
Selain daripada jualan lambak di tepi jalan yang illegal, kesesakan jalan juga disebabkan orang ramai meletakkan kenderaan di tepi jalan yang bukan kawasan yang dibenarkan. Acapkali kelihatan kereta peunuda penguatkuasa menunda kenderaan lain yang meletakkan kenderaan mereka di tempat yang salah. Tidak pastilah berapa saman yang dikenakan.

Aku kira ini biasalah bagi kita di Malaysia. Adakah ini tabiat biasa bagi umat Islam. Nak senangkan diri sendiri sahaja. Agaknya kalau boleh nak parking bukan setakat Kaabah, tapi terus drive-thru ke Hajarul Aswad.

Bukit Abi Qubais
Untuk pergi balik Masjidil Haram, memang aku melintasi atau melalui hadapan Hotel Istana Diraja Kerajaan Arab Saudi. Hotel ini selaian menjadi tempat penginapan kerabat diraja Kerajaan Arab Saudi, juga menjadi penempatan bagi pembesar dan tetamu negara Islam lain. Kompleks bangunannya terletak di atas sebahagian daripada Bukit Abi Qubais, berdekatan Bukit Safa.

Berdasarkan buku Makkah Al-Mukarramah : Sejarah & Monumen yang aku beli serta buku Makkah Al-Mukarramah : Kelebihan & Sejarah yang aku bawa dari Malaysia, ada banyak perkara menarik tentang Bukit Abi Qubais ini.

Ada riwayat yang menyatakan bahawa Jabal Abi Qubais merupakan bukit atau gunung yang pertama diciptakan Allah di permukaan bumi ini. Ibn Abas r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Bumi yang pertama dicipta ialah tapak Kaabah kemudian dilebarkan kawasan sekelilingnya, manakala bukit pertama dicipta ialah Bukit Abi Qubais”.

Diberikan nama Abi Qubais kerana mengambil sempena nama orang yang mula-mula tinggal di situ. Bukit ini juga pernah dikenali dengan sebutan Jabal al Amin atau bukit kepercayaan, kerana mengambil sempena Allah s.w.y telah menyelamatkan batu Hajar Aswad ketika taufan dan banjir bah semasa zaman Nabi Nuh a.s. Hajar Aswad kembali ditemukan oleh Nabi Ibrahim AS atas pertolongan Malaikat Jibril, ketika akan membangun Kaabah yang musnah. Batu-batu dari bukit inilah yang digunakan untuk membina Kaabah oleh Nabi Ibrahim a.s. ketika membina semula Baitullah. Jabal Abi Qubais mengeluarkan kembali Hajarul Aaswad, lalu dibawa oleh Sayyidina Jibril a.s. dan serahkan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Ketika berlaku Rasulullah s.a.w memperlihatkan mukjizatnya yang membelah bulan menjadi dua bahagian, satu bahagian berada di atas bukit ini dan satu bahagian lagi diriwayatkan di atas bukit Qu’aiqi’an ( bertentangan dekat Bukit Marwah ).

Disebabkan kedudukannya yang tinggi juga, ia menjadi tempat strategik untuk melihat keadaan persekitaran , sama ada ketika berlaku peperangan, rombongan masuk dan menyeru orang ramai. Di atas bukit ini, Nabi Ibrahim a.s dan Rasulullah s.a.w pernah berdiri di bukit ini menyeru kepada umat manusia untuk meyembah Allah. Bilal juga pernah melaungkan azan dari atas bukit ini. Malah ada juga disebutkan Nabi Adam dikebumikan di kaki bukit ini. Waullahu alam.

Tapi yang tak sedap dengar ceritanya, kalau diperhatikan gerbang Masjidil Haram ang menghadap istana, hanya memiliki satu menara dan bukannya dua sebagaimana di tempat lain. Dikatakan jika satu lagi menara dibuat, ia akan menghalang pemandangan Raja kepada Kaabah dari bilk tidurnya. Entahlah.

Bukit Qu’aiqi’an
Mungkin boleh disebut kembarnya. Ia terletak bertentangan dan berdekatan Bukit Marwah. Ketika ini sebahagian bukit ini sedang rancak dibangunkan semulas sebagai sebahagian daripada pembesaran dan pembangunan semula persekitaran Masjidil Haram. Terdapat sekurang-kurangnya dua hadis atau peristiwa yang dikaitkan bukit ini dengan Bukit Abi Qubais. Satu darinya sebagaimana disebutkan tadi iaitu ketika peristiwa mukjizat terbelah bulan.

Satu lagi ialah ketika peristiwa menyayat hati setelah kembalinya Rasulullah pulang dati berdakwah ke Taif. Bukan setakat tidak menyahut dakwah Rasulullah s.a.w, malah baginda di baling batu sehingga berdarah. Dalam keadaan sedih dan kecewa, tiba-tiba malaikat datang menawarkan diri, “Wahai Rasulullah, perintahkan apa saja, jika kamu mahu aku menimpakan al-Akhsyabain ( dua bukit besar ) ke atas mereka. Al-Akhsyabain merujuk kepada dua bukit iaitu Abi Qubais dan Bukit Qu’aiqi’an ini.

Munajat di Kawasan Saie
Dua anakku yang period, kami bawa juga ke Masjidil Haram semasa solat Maghrib dan Isyak. Yealah, sekurang-kurangnya boleh berzikir dan bermunajat sambil melihat-lihat Kaabah di celahan tiang dalam masjid. Kami difahamkan bahawa wanita yang period, boleh berada di kawasan saie, antara Safa dan Marwah kerana dianggap di luar Masjidil haram.

Hairan juga, habis tu apa takrifan sebenar kawasan masjid kalau wanita masih dibenarkan mengerjakan Saie sekalipun dalam keadaan period. Tapi itulah yang kami diajar dan dimaklumkan. Habis tu kalau duduk bilik, nanti asyik nak tidur saja atau tertidur. Maklumlah sejuk ada air-cond. Nak tengok TV pun siaran 100% bahasa Arab.

Seperti biasa, solat Maghrib dan Isyak kali ini aku dapat berada di lantai Kaabah lagi. Tetapi antara keduanya aku ke tempat saie dimana anak-anak berada. Di sana agak sejuk sikit sebab ada air-cond dan kipas.



Share:

Umrah Keluarga 2011 : Hari Merehatkan Diri ...

2 Jun 2011 – Hari Rehat

Memang terasa keletihannya, namun kami gagahkan juga untuk ke Masjidil Haram untuk solat Suboh. Kena paksakan diri lantaran ganjaran gandaan pahala 100,000 kali. Sedang kami bersiap, tiba-tiba seorang lagi anak perempuanku menjerit, aaaaaa .... period ! Menangis-nangis dia ... nak buat camana, sudah fitrahnya begitu. Berdoa sudah berdoa, tapi Alllah tak kabulkan juga. Takkan nak lawan fitrah. Tapi alhamdulillah, berlakunya setelah selesai Umrah pertama.

Ini kes macam Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah s.a.w yang menangis teresak-esak lantaran period ketika nak menunaikan haji dan umrah. Setelah bersih, beliau kemudiannya pergi bermiqat di Tanaim. Itu yang dapat nama Masjid Aisyah.

Tiba Masjidl Haram, orang sudah ramai. Kami masuk saja asal dapat tempat untuk solat. Lepas solat Suboh, aku termenung merung dan memandangkan Kaabah. Alhamdulillah, kita bersua semula. Masih seperti dahulu juga, tiada bezanya. Cumanya pembangunan di belakang yang bertentangan dengan bangunan menara jam kelihatan sedang rancak berjalan, Kren bekerja nampak tinggi-tinggi. Bagaimanakah rupanya apabila siap nanti.

Orang ramai mulai melakukan tawaf sunat. Aku yang keletihan masih tidak dapat membuat komitment, berapa kali sasaran untuk tawaf. 120 kebaikan dan barkah turun ke atas Kaabah, 60 untuk orang yang tawaf, 40 untuk orang yang solat di Kaabah dan 20 untuk orang yang merenung. Ambil pahala merenung dan memandangnya sajalah.

Kemudian kami pulang semula ke hotel. Harapnya nak rehat setelah keletihan seharian dalam perjalanan sehingga selsai umrah. Kami lihat sekitar masjid, khususnya berhampiran kompleks bangunan jam. Wah, tingginya. Masa aku pergi tahun 2009 dulu, bangunan sedang dibina dan tidak tergambar pulak jadi bangunan jam tertinggi dan terbesar di dunia.

Tawaf Kedai
Lepas sarapan dan rehat-rehat, anak-anakku mengajak lihat-lihat kedai di bawah. Nampak banyak juga kedai di tepi jalan berhampiran dengan hotel penginapan kami. Memang aku Cuma nak lihat-lihat sahaja. Tiada target khusus di sini, kecuali di kedai borong kopiah di tempat yang pernah aku kunjungi dahulu. Entah ada lagi entah tidak.

Salah satu kedai yang aku masuk penjualnyal bergurau berkata Malaysia Bagus, tapi Nik Aziz Kelantan tak bagus. Lantas aku buat olok-olok, nak jalan keluar dari kedailah sebab kata MB Kelantan tak bagus. Dia minta maaf seraya berkata Nik Aziz bagus, tapi kedekut. Kenapa, tanyaku, dia tidak menjawab. Mungkin tidak cukup vocabulary untuk nak menjawabnya.

Dalam sebuah kedai buku dan audio cd, aku beli dua buah buku mengenai Madinah dan Makkah. Agak menarik dengan susunan cerita dan gambar warna-warni yang menarik. Bahasa Indonesia pun kita modern sikit berbanding yang pernah aku beli masa musim haji 2009.

Zuhor Yang Panas
Menjelang zuhor, kami berjalan dalam kepanasan menuju ke Masjidil Haram. Rupanya dimaklumkan banyak pejabat yang sudah mula cuti weekend atau sekurang-kurangnya half-day hari ini. Itu yang terasa ramai di Masjidil Haram, termasuk esok dengan Solat Jumaatnya.

Berbanding dengan Masjid Nabawi, walaupun dalam Masjidil Haram, kepanasan terasa lantaran kebanyakan kawasan atau tempat solat adalah terdedah atau terbuka. Kipas yang ada pun pun kurang membantu. Nak berada di saf hadapan itulah masalahnya, walaupun struktur Kaabah jelas kelihatan.

Di bilik kami disediakan dengan TV flat-screen 32 inci yang mana ada rancangan yang membuat liputan secar langsung dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Jadi daripada siaran tersebut, mungkin boleh mencongak strategi waktu yang paling sesuai untuk mengerjakan umrah, tawaf atau kalau nak mencium Hajarul Aswad.

Sejenak bersama KR
Balik solat Zuhor, aku bersembang dengan KR yang kebetulan sedang berehat di sofa lobi hotel penginapan. Apa ni Hj, kelam kabut pengurusan setakat ini. Apa yang tidak kenanya, KR menjawab. Banyak Tn Hj, tiada satupun apa yang dikatakan oleh pihak TA adalah betul. Kata menginap satu tingkat yang sama di Makkah, lain jadinya. Kata bag akan diangkat ke tingkat bilik penginapan. Kena angkat sendiri juga. Malah semalam air entah dari mana melgalir melalui kumpulan bag jemaah kita.

Malahan aku cuba komplen tentang kedudukan bilikku. Aku tempah 1 bilik untuk berdua dan 1 bilik untuk berempat. KR kata, mungkin mustahil untuk tukar sebagaimana pakej asal sebab urusan sudah dibuat oleh mutawwif dengan pihak hotel. OK, akan aku adukan kepada pihak pengurusan di Malaysia nanti.

KR juga menyatakan, sebenarnya kita tidak dapat keluar dari Hotel Karam semalam disebabkan pihak hotel enggan mengembalikan passport. Ini ekoran pihak hotel tidak menerima bayaran dari TA sedangkan TA telah jelaskan kepada parent company-nya. Payah juga urusannya. Namun bas jalan juga menuju Bir Ali dengan pesanan tunggu dan berehat di Bir Ali sehingga diberitahu untuk bergerak semula, sambil pihak TA selesaikan masalahnya dengan Karam Hotel. Tapi maklumat yang diberikan lain pulak bunyinya. Menunggulah kami kepanasan dalam bas.

Aku bandingkan pengalaman semasa mengerjakan haji dengan Tabung Haji, dua hari sebelum bertolak sudah tahu naik bas nombor berapa, hotel penginapan dan nombor biliknya sekali. Maka tag pengenalan bag senang dibuat. Tapi dengan pakej TA ini, bukan setakat nombor bilik, hotel penginapan sebenar pun tidak diberitahu.

Bukan itu saja, ramai juga yang tidak berpuas hati dengan kendalian ziarah luar semasa di Madinah tempohari. Macam melepas batuk ditangga, macam main kira asal buat. KR minta maaf bagi pihak TA dan mengakui akan hal ini. Benarlah ini sebahagian daripada cabaran, tetapi wujud dari kelemahan yang ketara oleh pihak TA. Kalu gitu senanglah tugas menguruskan jemaah umrah. Kalau tak betul atau terurus elok, katakan saja jadikanlah itu sebagai cabaran.

Menjelang Maghrib
Hari ini Khamis. Jemaah tempatan ramai yang telah tiba untuk menghabiskan weekend di Masjidil Haram agaknya. Ada pejabat yang telah cuti pada hari Khamis dan ada yang separuh hari sahaja. Jummat memang cuti hujung minggu.

Manakala di Masjidil Haram, mereka yang berpuasa telah siap sedia seawal 6.30 petang. Maghrib kira-kira 7.05 malam. Sementara masuk maghrib, aku ambil kesempatan untuk mengaji al-Quran.

Terasa kurang selesa juga sebab masih terasa bahang panas. Lepas solat maghrib, aku turun ke lantai Kaabah hinggalah ke Isya. Lepas Isyak, barulah kami pulang ke hotel penginapan.

Jelas kelihatan di luar Masjidil Haram, orang begitu ramai sekali. Memang Masjidil Haram tidak putus menerima kunjungan dan keadaan menjadi bertambah pada hari hujung minggu.

Jualan Haram lagi ..
Dalam perjalanan pulang, ramai orang berjaja dengan pelbagai barangan jualan di tepi jalan. Laluan pejalan kaki menjadi semakin sesak. Ini mengingatkan aku kepada suasana haji 2009.

Sekali sekala tu tengok juga apa yang dijual. Mungkin ada sesuatu yang menarik. Aku perhatikan memang murah giler jualannya. Tapi macamana dengan kualitinya ?

Lepas makan malam, kami berehat dengan target bangun untuk subuh di Masjidil Haram jam 2.00 pagi. Mungkin esok malam nak buat umrah. Ziarah pertama yang sepatutnya dilakukan lusa ditangguhkan kepada hari Sabtu kerana esok adalah Jumaat. Katanya orang ramai, jalan sibuk dan bimbang tidak sempat kembali ke Masjidil Haram sebelum zuhor.

Klik Untuk Gambar Hari Ke-6
Share:

Umrah Keluarga 2011 : Umrah Pertama Dengan Pelbagai Cabaran

1 Jun 2011 – Memasukki Makkah Dengan Penuh Cabaran

Memang terasa suntuk masa di Madinah. Terasa masih belum puas di Masjid Nabawi. Tengahari ini sudah nak berangkat ke Makkah. Tapi kalau tak ke Makkah, tidak kerjakan umrahlah namanya. Beberapa perkara nak kena selesaikan sebelum berangkat. Shoppingnya belum habis terutama yang kiriman serta ziarah wida’.

Beberapa ketika selepas solat suboh, kami berjalan bersama ke hadapan Masjid Nabawi sehingga di hadapan Perkuburan Baqi’. Sekaligus melalui kubah hijau yang dibawahnya makam Rasulullah s.a.w dan kira ziarah selamat tinggal kepada Rasulullah s.a.w khususnya bagi yang perempuan. Bagiku, aku berhajat untuk lakukan sebelum zuhor nanti, sebab aku bercadang nak masuk Raudhah lagi nanti.

Seperti biasa, perempuan tidak dibenarkan masuk kedalam kawasan Perkuburan Baqi. Tapi aku dah masuk kelmarin. Kami hanya berdoa dari luar sahaja. Agak ramai juga orang ketika ini, maklumlah ini masa ziarah kubor Baqi dan cuaca masih belum begitu panas.

Keindahan Payung Terbuka
Dalam perjalanan pulang ke Hotel Penginapan, payung di sekitar Masjid Nabawi terbuka. Ia dikatakan menunjukkan waktu Dhuha telah masuk, begitulah sebagaimana aku dimaklumkan.

Nampak cantik, terbuka secara perlahan-lahan sehingga terbuka keseluruhannya.

Hari Ulang Tahun Kelahiranku
Aku rasakan hari ini sepatutnya hari yang istimewa. Bukan kerana hari ini Hari Ulang Tahun Kelahiranku, tapi ini kiami akan masuk ke Makkah. Beradanya kami sekeluarga di sini merupakan satu hadiah dariku untuk semua. Semoga ada manfaatnya, insya’allah. Semasa sarapan, aku menerima ucapan selamat hari lahir dari ahli keluargaku. Selepas sarapan aku dapat bekalan pil Panadol dari al-Ustaz mutawwif. Agak lega sikit dari demamku, Alhamdulillah. Aku perlu berkeadaan sihat dan kuat sebelum memasukki Makkah petang atau malam ini kerana sampai saja kena terus buat umrah.

Lepas sarapan pagi, kami keluar pergi shopping lagi. Kali ini targetnya kedai-kedai di bawah tanah di beberapa hotel berhampiran Masjid Nabawi. Disini banyak pilihan, harganya pun ok dan sejuk sikit kerana ada air-cond berbanding kedai-kedai di atas dan tepi jalan.

Dapat tukar duit dikedai pengurup wang, RM 100 = SR 121. Duit RM kita lebih tinggi nilainya dan secara tidak langsung keupayaan berbelanja juga jadi lebih tinggi. Apabila membeli selalunya sifir dharab 0.8 atau 0.85 digunakan. Kalau rasa berbaloi, maka belilah.

Ketika dalam perjalanan balik ke hotel, aku lihat kekecohan berlaku di tempat jualan lambak terbuka. Ada yang sibuk menyelamatkan diri dan jualan lantaran pihak berkuasa sedang membuat rondaan penguatkuasaan. Memang jualan lambak yang terbuka itu tidak dah ikut undang-undang tempatan, sama seperti di negara kita lantaran bukan di tempat yang dibenarkan dan entah-entah takde lesen pun.

Sampai hotel terus siap berkemas dengan tambahan barangan yang baru dibeli. Alah, bukannya banyak pun. Lagipun barangan nak kena letak di luar bilik hotel, sebelum diangkat ke bawah.

Raudhah Lagi
Setelah bersiap, kami ke Masjid Nabawi awal sikit. Maklumlah ini kali terakhir ke sana. Entah bila dapat datang lagike sini. Semoga diberikan peluang untuk kembali ke sini semula.

Aku ambil kesempatan untuk masuk ke Raudhah. Kali ini nampaknya sukar dan berasak sikit dengan orang ramai. Tidak seperti kunjungan akau dua hari lepas. Sedang aku menunggu mencari peluang dan giliran untuk masuk, tetiba aku ditegur. Argh, rupanya Bilal Surau As-Syakirin, Ustaz Amiruddin menyapa. Ok, memang aku tahu beliau dan keluarga datang umrah beberapa hari setelah keberangkatanku.

Aku dapat ruang di Raudhah tetapi agak sempit. Tapi orang disebelahku menyempitan keadaan, sedangkan dia duduk saja. Tak nampak pun sama ada solat, zikir atau mengaji. Apabila sujud dan duduk antaranya, sempit dengan kaki lutut orang sebelah. Tak mengapalah, aku manfaatkan ruang yang ada.

Ziarah Wida’
Kemudian aku keluar dari kawasan Raudhah dan menuju ke Makam Rasulullah s.a.w melalui kawasan Imam. Nampak penuh sekitar kawasan Imam, kelihatan juga rasanya berpuluh microphone di bahagian atas ( barangkali untuk ketika Imam berdiri ) serta di bahagian bawah ( barangkali untuk ketika imam duduk atau sujud ).

Sebagaimana biasa, orang ramai di hadapan makam Rasulullah s.a.w. Masih juga ramai yang berdoa menghadap makam Rasulullah s.a.w.

Ya Allah kurniakan aku dan keluargaku syafaat Rasulullah s.a.w pada hari akhirat nanti. Berilah aku kekuatan untuk melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w. Terimalah amal ibadah dan doaku semasa aku berada di sini. Berilah peluang untuik aku kembali ke sini suatu masa nanti. Amin ya rabbal ‘alamin.

Zuhor Terakhir Di Masjid Nabawi
Walaupun terasa agak panas, namun payung yang terbuka di sekitar Masjid Nabawi sedikit sebanyak dapat memberikan keteduhan kepada jemaah ketika menghampiri Masjid Nabawi.

Sebagaimana biasa, sebelum masuk zuhor, sempat aku mengaji. Nampaknya target untuk aku habiskan 80 muka surat al-Quran sehari sukar untuk dicapai. Banyak masa dihabiskan untuk ziarah dan tawaf kedai nampaknya. Lagipun macam aku kata tadi, masa di Madinah agak suntuk. Kecualilah skip ziarah dan shopping.

Jadi aku habiskan masa dengan mengaji sebelum masuk zuhor dan sementara menunggu solat setelah azan berkumandang. Aku teruskan hajat untuk khatam sekurang-kurangnya sekali sepanjang berada di tanah suci.

Bergerak Ke Makkah
Selesai solat terus balik ke hotel untuk makan tengahari. Wah, nampaknya juadah best hari ini. Nasi arab, tapi tak macam kat Restoran SABA Cyberjaya pun.

Selesai makan tengahari, akupun bersiap mandi sunat ihram. Beg telahpun dibawa turun ke lobi hotel agaknya, lantaran sudah tiada dari muka pintu bilik. Akupun mengenakan pakai ihramku yang ku bawa hanya satu set sahaja. Itulah set yang hanya sekali digunakan semasa wukuf di Arafah dahulu.

Dulu aku bawa dua set, tetapi set satu lagi aku tinggalkan entah di mana, kotor sangat lantaran khemah wukuf yang basah selepas hujan lebat turun. Aku kira untuk umrah kali ini, cukuplah dengan satu set. Targetnya kali ini supaya dapat buat umrah sekurang-kurangnya 4 kali, maknanya selang sehari semasa di Makkah.

Bas tiba jam 2.15 tengahari. Aku terus naik dan booking untuk enam tempat duduk berhampiran. Tetapi setelah mendapat tempat duduk, bukan main lama kami terpaksa menunggu dalam bas. Entah apa yang ditunggu sedangkan barangan telahpun dimasukkan ke dalam perut bas. Hampir jam 3.00 petang baru bertolak.

KU memperkenalkan Ustaz yang akan bertindak sebagai mutawif bagi anggota kumpulan dalam bas kami kami naikki, iaitu Ustaz Sazwan. Nampaknya slang Indonesianya pekat sekali. Bas B yang kami naikki disebutkan sebagai ‘Bes Bay’. Jenuh nak fahaminya mula-mula. Ketika berangkat keluar dari Madinah, ustaz membacakan doa sepatah demi sepatah untuk kami ikuti.

Miqat Di Bir Ali
Sampai di Bir Ali, kami pun turun. Banyak bas kelihatan di kawasan berdekatan masjid ini. Memang inilah tumpuan jemaah umrah dari Madinah. Al-Ustaz memperingatkan kami untuk solat tahitul masjid dan sunat ihram. Ustaz memperuntukkan 20 minti sahaja, sedangkan waktu asar ada kira-kira 25 minit lagi masuk.

Sebaik sahaja habis solat sunat ihram, azan waktu Asar berkumandang. Aku pun ikut sahaja mana-mana jemaah yang buat solat asar secara berjemaah, tanpa perlu tunggu iqamat bilal. Kalau dah selesai solat Asar, lega sikit rasanya.

Selesai sahaja terus ke bas, bimbang ditinggalkan. Rupanya ramai yang menunggu di luar bas. Pintu bas masih berkunci. Ahli keluargaku pun dah ambil kesempatan solat asar sekali. Sekali lagi kami terpaksa menunggu lama dalam bas yang agak panas. Entah apa yang ditunggu lagi. Kesabaran kami terus diuji. Tak larat nak merungut. Kalau naik bas beginilah selalunya. Masak kami dibuatnya dalam bas.

Kira-kira jam 4.30petang kami pun bertolak. Kalau berjemaah ikut Imam Masjid pun sempat agaknya. Mesti ada sesuatu yang tidak kena. Sebaik mula bertolak, ustaz memperingatkan untuk sama-sama berniat Umrah. Bagi yang wanita, ada niat bersyarat.

Monyet Gurun
Dalam keadaan lalai melihat keadaan sekitar dari cermin bas, aku tertidur. Beberapa kali juga terbangun. Perjalanan sekitar 400km dan anggaran memakan masa sekitar 6 jam tentu meletihkan. Tiba-tiba menjelang gelap, bas kami berhenti sebentar di tepi jalan yang kelihatannya lapang dan tandus sahaja. Kelihatan ramai jemaah yang turun.

Rupanya al-Ustaz nak menunjukkan kepada kami satu lagi hidupan selain unta yang dapat bertahan di padang pasir, iaitu monyet gurun. Kelihatan banyak dan bergerombolan. Seolah-olah mereka menantikan makanan daripada jemaah yang berhenti di sana.

Memang menurut al-Ustaz, di padang pasir yang tandus, mana ada makanan. Monyet tersebut mengharapkan ihsan daripada jemaah yang berhenti. Malah ada jemaah yang biasa, sengaja membeli dan memberikan makanan seperti roti kepada monyer tersebut.

Keuzuran
Kemudian kami meneruskan perjalanan dan ketika hari telah gelap, bas kami berhenti di satu R & R untuk solat jamah Maghrib dan Isyak. Tiada makanan diberikan oleh TA untuk kami, beli aje di kedai yang terdapat di situ. Agaknya makanan di Makkah sedang menunggu.

Tiba-tiba dalam bas, salah seorang ahli keluargaku keuzuran, datang haid. Macamana, sedangkan sudah berniat ihram. Apakah kena teruskan patang larang sehingga bersih atau ada dam yang membebaskan diri daripada pantang larang yang 13. Dam yang macama mana pulak ?

Aku cuba tanya dimana al-Ustaz untuk dapatkan kepastian. Ada juga ustaz lain dalam rombongan kami, tapi beliau tidak pasti dalam bab ini. Jika mengikut buku semasa mengikut kursus umrah dengan TA, serta penerangan beberapa ustaz, sekiranya keuzuran datang sebelum tawaf dan saie, maka gugur dengan sendirinya jika niat bersyarat umrah diniatkan tadi.

Bagaimanapun untuk membebaskan diri daripada pantang larang, kena juga bertahallul dengan gunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut. Takpe nanti kami tanya ustaz atau ustazah semula apabila sampai di Makkah. Persoalannya kini yang bermain dalam kepalaku, sempatkah bersih untuk mengerjakan umrah nanti dalam jangkamasa 7 – 8 hari di Makkah ?

Makkah Yang Mengimbau Kenangan
Sebaik bas meneruskan perjalanan, al-Ustaz menyatakan kira-kira 2 jam lagi akan sampai di hotel penginapan. Tak sabar pulak rasanya. Lagipun dah terasa penat dan puas perjalanan dalam bas. Apakah ada kenaikan lain dari Madinah ke Makkah ? ERL or monorail ...

Hampir memasukki Makkah. Al-Ustaz mengejutkan sambil memberikan beberapa penerangan serta berdoa dengan doa memasukki Makkah. Seperti biasa, kami menuruti bacaan doa beliau patah demi patah.

Daripada bas, sudah kelihatan jam menara yang tersergam dari jauh, menunjukkan di bawahnya adalah Masjidil haram. Cantik menghijau menerangi suasana malam. Melintasi Masjid Aisyah di Tanaim, membuatkan aku mengimbas kenangan lalu. Itulah miqat paling dekat bagi penduduk atau sesiapa yang tinggal di Makkah untuk mengerjakan umrah.

Semakin hampir kepada Masjidil haram, kami melewati salah satu pintu dalam perjalanan menuju ke hotel. Hatiku semakin tidak sabar. Tidak sabar untuk sampai hotel,lagipun perut sudah lapar. Tidak sabar sampai nak masuk bilik penginapan dan tidak sabar nak selesaikan umrah malam ini juga.

Kalut Mencari Penyelesaian
Tiba sahaja di perkarangan hotel penginapan, Hotel Saraya Eiman, kami terus naik ke tingkat 4 untuk makan malam dan penyerahan kunci. Sedang duduk menantikan arahan aku bertanyakan KR hal anak perempuan ku yang keuzuran dalam perjalanan tadi. Dia kata kena dam untuk bebaskan tahallul, aneh bunyinya ! Aku tanyakan al-Ustaz mutawwif pula. Wah, ustaz kata agak berat ni, kena menjaga pantang larang sehingga bersih.

Lalu aku tunjukkan kandungan buku panduan umrah yang kami terima dari TA semasa kursus dahulu. Lalu dia kata cuba dapatkan pengesahan dari orang lain dahulu. Kami tanyakan juga seorang Ustazah pembantu mutawwif, ini soalan cepumas katanya. Ustazah juga cadangkan kekalkan menjaga pantang larang sehingga bersih, apa yang susah sangat katanya sebab rambut kalau gugur tak mengapa asal jangan dicabut, wangian nak buat apa sekarang. Ah, senang aje cakap.

Kalut juga nak cari penyelesaian. Kami bukannya nak cari yang mudah atau ringan, tetapi mengikut buku serta catatan kuliah lain pulak. Aku hubungi Ustaz Yahya di Malaysia untuk mendapatkan pandangan. Aku kira masa aku telefon tu, waktu Malaysia sudah 3 pagi, tapi Alhamdulillah al-Ustaz mengangkatnya. Memang Ustaz Yahya sudah pesan, tak mengapa call saja dari Makkah bila-bila masa, walaupun tengah malam.

Lantas isteriku bercakap dengan Ustaz Yahya dan mengesahkan apa yang kami fahami sebagaimana dalam buku panduan serta catatan nota. Ini yang kami pegang dan yakin dengannya. Segala cakap-cakap al-Ustaz Mutawwif, KR dan ustazah tadi kami abaikan. Kemudian al-Ustaz Mutawwif datang dan katanya terdapat pelbagai pandapat dan terpulang kepada kita. Kalau memilih lagi yang sukar, mungkin pahalanya lebih besar.

Kalut Lagi
Lepas makan, kami dibahagikan kunci. Apalah, aku tempah pakej sebilik dua orang dengan sebilik 4 orang, tapi yang diberinya dua bilik bertiga. Aku letih dan tak larat nak bantah. Di Madinah sudah aku ingatkan perkara ini, jangan berulang lagi. Memang kalut pengurusan TA ni. Tapi di Makakah kali ini bilik kami bersebelahan, berbanding di Madinah, bilik kami di tingkat yang berlainan.

Kemudian kami diberitahu beg angkat sendiri. Rupanya jemaah rombongan kami ditempatkan di tingkat yang berlainan. Memang geram dengan kekalutan pengursan TA ni. Lantas kami turun ke bawah untuk angkat barang sendiri. Memang sebahagian jemaah sedang mendapatkan bag masing-masing. Dalam masa yang sama kelihatan air entah dari mana mendekati kumpulan bag kami. Salah satu kotak barangan aku basah terkena air. Tambah geram ...

Lalu kami kumpul dan bawa naik bag ke bilik penginapan. Sebab ada beberapa bag tambahan, dua kali trip juga membawanya. Nampaknya jemaah lain juga turut merungut. Cakap tidak serupa bikin TA ni.

Terus Buat Umrah
Pihak TA ada memaklumkan lepas masuk bilik kumpul di lobi untuk melaksanakan urmah bersama-sama mutawwif. Aku rasa dengan kekalutan yang ada, nak tunggu pukol berapa semua dapat kumpul ? Sekarang sudah menghampiri 11.30 malam waktu Makkah. Lantas kami berlima pergi sahaja ke Masjidil Haram untuk buat umrah, aku jadi mutawwifnya.
Jarak hotel penginapan dengan pintu No 1 adala kira-kira 350meter. Senang aje nak cam jalannya sebab beberapa menara Masjidil Haram jelas kelihatan menerusi kecerahan cahayanya.

Sampai di Masjidil Haram, apabila terpampang sahaja Kaabah berdiri gagah di depan mata, aku jadi terharu. Allahu Akbar, Alhamdulillah aku dapat ke sini lagi. Syukur diberikan peluang ke sini lagi, walaupun pelbagai cabaran ditempuhi hari ini. Anakku kata macam tidak percaya, Kaabah kini ada di depan mata secara live.

Kami solat tahiyatul masjid, dan terus menuju garisan permulaan tawaf berlampu hijau. Aku jelaskan kepada anak dan ahli keluargaku, ikuti track sebagaimana dilantai bagi memastikan bahu kiri ke Kaabah. Jika hilang atau terputus, jangan pandang belakang. Sebaliknya teruskan perjalanan dan jumpa semula di bawah lampu hijau.

Aku bersama makku dan anak-anakku bersama isteriku, kami memulakan Tawaf. Memula kami bersama, tetapi kemudian terpisah dua. Orang tidaklah berapa ramai. Tawaf dilakukan dengan perlahan kerana sebenarnya agak kepenatan. Penat dalam bas, penat perjalanan yang panjang, penat menunggu dalam bas dan penat menguruskan bag. Mungkin sikit aje berbanding Rasulullah s.a.w atau orang dulu-dulu yang sudahlah jauh perjalanan, kenderaan tidaklah secanggih sekarang.

Dalam masa 40 minit selesai Tawaf. Aku dan makku tunggu anak dan isteriku di tempat sebagaimana dijanjikan. Kekira 10 minit, tak nampak muka, akupun teruskan perjalanan ke tempat Saie. Harapannya jumpa masa Saie nanti.

Selesai Umrah Pertama
Alhamdulillah, Saie dilakukan juga lancar. Kami lakukan Saie di tingkat bawah sekali. Orang tidaklah berapa ramai. Cumanya terasa kepenatan kaki. Beberapa kali dalam perjalanan aku berhenti minum air Zam Zam yang disediakan sepanjang perjalanan Saie.

Nampaknya Bukit Marwah masih seperti itu, Cuma Bukit Safa yang sudah dipagar cermin. Hanya boleh dilihat daripada luar sahaja. Masa aku pergi haji 2009 dahulu, pemagaran cermin belum dibuat. Hanya dipagar dengan plywood sahaja.

Dalam pusingan ke-6 aku Nampak isteri dan anakku. Rupanya mereka pun dalam pusingan yang sama. Nampak mereka laju sahaja berjalan, macam tidak terasa letih. Kami berkumpul semula dalam pusingan ke-7 dan sama-sama mengakhiri Saie dan bertahallul.

Sedang menggunting rambut, ada jemaah lain yang cuba meminjam gunting. Kami tak beri. Mereka macam berkata ‘why, what wrong’. Dah tahu nak buat umrah, gunting serial dua pun tak boleh bawak ? Bukan kami tak mahu bagi, kalu bagi nanti dikongsi-kongsikan dalam kumpulan jemaah mereka, tak kembali gunting tu atau kalau nak juga kena menunggu pulak.

Alhamudlillah, satu umrah selesai. Kami yakin dengan tawaf, saie dan tahallul yang dilakukan. Kami yakin dengan umrah yang ditunaikan. Kami segera balik ke hotel untuk bersih diri, rehat hilangkan kepenatan. Jam menghampiri 3.00 pagi. Subuh masuk 4.05 pagi dan nak kena datang lagi.

Klik Untuk Lagi Gambar Hari Ke-5
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.