Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Ke Bario Sarawak

Bario bermaksud angin dalam bahasa Kelabit. Kelabit merupakan suku kaum utama di Bario. Bario merupakan dataran tinggi yang terletak kira-kira 1,150 meter dari aras laut, di kawasan timur-laut Sarawak bersempadan dengan Kalimantan Indonesia. Bario dikelilingi hutan tebal yang bergunung ganang yang cantik pemandangannya, termasuklah Gurung Murud setinggi 2,400 dari paras laut, yang merupakan gunung tertinggi di Sarawak. Memandangkan terletak di kawasan tinggi, udara di sekitar Bario sentiasa sejuk ( sekitar 15 – 25 darjah Celcius ) dan boleh dikatakan nyaman.

Aku berkesempatan ke sana pada September lalu atas program Jabatanku. Perjalanan ke Bario dari Miri adalah dengan kapal terbang kecil yang dipanggil Twin Otter. Muat untuk 19 orang tidak termasuk 2 orang pilot dan pembantunya. Sebelum berlepas, kena timbang dimana setiap orang tidak melebihi 100kg termasuk beg hand-carry. Aku bersama jajan yang dibeli, seberat 99.5kg !!! Jajan ku beli di Miri atas pesanan rakan untuk di sumbangkan kepada penduduk, khususnya bebudak di Bario nanti.

Walaupun penerbangan cuma selama kira-kira 50 minit, namun ia merupakan pengalaman yang cukup menyiksakan. Kapal terbang terbang rendah sahaja. Pemandangan luar yang cantik pun tidak dapat nak dihayati sepenuh hati lantaran bunyi bising enjin kapal terbang serta flight macam tidak stabil, terutamanya selepas melanggar awan.

Bergoyang-goyang kejap turun dan naik ke atas, kecut perut jadinya. Aku tak dapat bayangkan kalau angin kuat atau hujan lebat turun ketika itu. Bebanyak istighfar, mengicap dan berselawat sajalah.

Perjalanan darat menerusi jalan raya serta off-road dari Miri ke Bario dikatakan memakan masa kira-kira 14 – 17 jam, bergantung kepada cuaca. Fuh !! Aku kira Twin Otter yang dikendalikan oleh MASWing sekadar khidmat masyarakat. Hanya dua penerbangan sehari ke Miri dengan tambang kira-kira RM 98 sehala.

Hutan, gunung ganang, ladang, kawasan sawah, berpenduduk dapat dilihat dengan jelas semasa perjalanan dari tingkap Twin Otter. Sempat juga melihat Bukit Lawi yang merupakan nature yang agak ajaib di kawasan pergunungan berdekatan Bario.

Sambutan Bario
Di Bario, kapal terbang mendarat di Lapangan Terbang Bario, sebuah lapangan terbang bersaiz kecil, khusus untuk pesawat penumpang MASWings Twin Otter. Sampai di airport, kami di sambut mesra oleh Penghulu serta pimpinan penduduk di sini.

Kemudian kami dibawa dengan kenderaan 4WD ke satu kawasan lain untuk sambutan kedatangan daripada penduduk pula.

Selain daripada alunan muzik dan tarian tradisional, kami juga dihulurkan dengan buah nanas, untuk di sedut airnya dengan menggunakan straw yang disediakan. Memang tengah kehausan, sebab tidak disediakan minuman atas flight tadi.

Homestay Pak Mus
Kemudian kami makan tengahari di tempat penginapan kami berupa ala-ala homestay. Itulah satu-satunya rumah tumpangan yang dikendalikan oleh seorang Muslim yang juga ketua salah sebuah kampung bernama Mustaffa Raja (a Muslim convert ) atau kami panggil Pak Mus.

Dalam homestay binaan kayu tersebut, terdapat kira-kira 12 bilik yang berkongsi dua orang setiap bilik. Terdapat dua bilik air yang dikongsi semua penghuni serta kemudahan TV satelit. Air dan api Nampaknya kena ambik giliran nak masuk bilik air.

Nanas Dan Beras Bario
Kerana terlalu lapar, atau terasa kosong perut selepas kecut perut menaikki Twin Otter tadi, banyak juga yang dimakan. Aku dimaklumkan bahawa banyak bahan mentah yang dibawa oleh Jabatanku dari Miri lagi. Selain memastikan kehalalan, juga memudahkan berbanding jika beli di sini yang juga tinggi harganya.

Khabaranya nasi tengahari tersebut merupakan beras Bario. Memang terasa lemak semacam, walaupun butirannya kecil-kecil sahaja. Tapi yang paling bestnya ialah rasa nanas bario. Manis, sedap dan tidak lidas. Rupanya di sini memang terkenal dengan nanas Barionya.

Kalau di Semenanjung, nanas banyak terdapat di tanah gambut seperti di Benut dan Pontian. Tetapi nanas Bario di tanam juga di lerang-lereng bukit.

Sawah Padi Bario
Selesai makan dan solat, kami di bawa ke Rumah Panjang Bario Asal. Dalam perjalanan kami dapat melihat suasana sekitar Bario. Memang cantik pemandangan sawahnya yang luas menghijau serta berlatar belakangkan gunung ganang.

Namun ketika ini, kebanyakkan sawah seperti masih baru ditanam. Tiada pokok padi yang telah berbuah, apatah lagi sedia untuk dituai. Malah ada yang sedang di semai lagi. Kelihatan petak sawahnya seperti biasa di semenanjung sahaja.

Cuma kelebihannya barangkali di tanam di dataran tinggi. Sebelum ini aku ingat padi bario ditanam di lereng bukit. Ternyaka salah sangkaan aku. Jentera moden seperti bajak kelihatan digunakan. Aku difahamkan benihnya Padi Bario disemai terlebih dulu pada Jun sebelum dipindahkan ke sawah sekitar Julai dan Ogos. Manakala musim menuai bermula pada Disember hingga awal Februari.

Beras Bario memang dikenali ramai dan harganya juga mahal. Apakah mahal kerana ianya sedap atau mahal kerana kos hendak membawanya keluar dari Bario adalah tinggi. Tetapi kalau tiada permintaan dari luar tentang beras Bario ( lantaran keistimewaannya ), tentunya tiada nilai dagangan juga beras ini.

Beras Bario dihasilkan secara organik dan bebas daripada pencemaran alam, menyebabkan ia selamat dan sesuai dimakan semua peringkat umur. Tak pastilah kandungan kanjinya.

Rumah Panjang Asal Bario
Penduduk Bario pada asalnya dulu merupakan sebuah rumah panjang yang kemudiannya berkembang dan menjadi lebih moden sehingga hari ini. Kini hanya terdapat sebuah rumah panjang yang dianggap moden juga serta menjadi tarikan pelancung atau sesiapa yang berkunjung ke Bario. Rumah Panjang Bario Asal itu merupakan satu-satunya rumah panjang yang masih tinggal.

Ia juga dikaitkan dengan usaha pihak berkuasa suatu ketika dahulu untuk mengumpulkan penduduk Bario yang bertaburan khusunya yang bersempadanan dengan Indonesia, bagi melindungi mereka daripada serangan semasa konfrantasi.

Tiba sana, kami di sambut mesra keluarga ketua rumah panjang tersebut serta penghuninya. Kebanyakkan mereka nampaknya berpakaian tradisional mereka.

Ikut sahaja tarian mereka yang simple, kemudian sesi ucapan balas, jamuan serta gambar beramai-ramai. Kami juga diberikan peluang masuk ke dalam rumah-rumah tersebut untuk melihat dengan lebih lanjut lagi keadaan rumah panjang.

Rumah panjang ini merupakan rumah kayu beratap zink dengan kira-kira 30 buah rumah atau pintu. Not too bad, lengkap dengan set sofanya, peralatan elektrik, malahan flat TV 42 inci pun ada. Terdapat juga kedai yang menjual hasil kraftangan penduduk Bario barangkali. Dikatakan reganya murah jika dibandingkan dengan di Miri nanti. Tidak ketinggalan, mereka juga melanggani siaran stesen TV berbayar.

Kebanyakan penduduk Bario terdiri daripada kaum Kelabit, etnik terkecil di Sarawak. Dikhabarkan masih terdapat sekitar 5,000 orang Kelabit di Sarawak dari 1,000 daripadanya menetap di Bario. Majoritinya penganut keristian.

Di Padang Bola
Selepas itu, kami di bawa ke padang sekolah bagi menyaksi pertandingan bolasepak antara penduduk dengan Jabatanku. Padangnya sangat tidak rata.

Mungkin itulah satu-satunya juga padang untuk masyarakat Bario bermain bola. Kami dimaklumkan ada pemain Sarawak yang berasal dari Bario. Hebat juga.

Sambil menonton perlawanan bola, sempat berbuat dengan salah seorang guru SK Bario yang berasal dari Melaka. Dah dua tahun mengajar di ini. Katanya tiada masalah dengan orang di sini walaupun berlainan agama. Orang Bario baik-baik belaka dan menghormati kehadiran beliau.

Apa Istimewanya Bario ?
Kalau nak dikirakan, apa istimewanya Bario ? Beras dan nanas Bario sahaja ? Dikatakan ramai orang Bario telah menjadi terkenal dan memegang jawatan tinggi. Antaranya Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Manteri yang sebelumnya merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia. Aku berkesempatan melalui rumah keluarga beliau di sini. Rumah kayu biasa sahaja tapi agak besar juga.

Aku difahamkan, setiap keluarga di sini mempunyai sasaran, mesti ada di kalangan ahli keluarga mereka yang berjaya ke menara gading. Walaupun mempunyai pelajar atau murid sekitar 200 orang, SK Bario dan SMK Bario menjadi begitu penting di sini.

Just imagine, sekiranya ada pasukan atau penyertaan dari sekolah di sini hendak menyertai sebarang pertandingan peringkat MMSD atau MSSM, dengan flight Maswing Twin Ottter juga ? Yang duduk asrama, belajar di IPTA pula ....

Kemudahan Awam
Selepas habis perlawanan bola, hujan gerimis turun dan kami balik ke rumah penginapan untuk bersiap bagi progam malam ini. Dalam perjalan pulang kami melalui bangunan sekolah serta asrama yang menempatkan pelajar dari pendalaman. Terdapat juga perpustakaan awam serta gereja yang berdekatan.

Nampaknya banyak juga kemudahan yang terdapat di sini. Rasanya pelbagai inisiatif dan projek dilaksanakan. Antaranya yang jelas kelihatan ialah Pondok / Balai Polis, Kem Tentera, Sekolah Menengah dan Sekolah Kebangsaan, klinik, Projek eBario ( perhubungan Internet menerusi komputer untuk komuniti ) serta ‘kompleks perniagaan. Di sini nampaknya hanya talian Celcom 019 sahaja yang boleh digunakan.

Khabarnya kadar kelahiran di sini masih rendah. Pasangan muda yang telah berkahwin banyak yang memilih untuk keluar dari Bario. Ada juga mana yang hampir bersalin, memilih untuk ke bandar Miri atau Marudi yang lebih dekat.

Bekalan elektrik di sini katanya masih menggunakan generator. Suatu ketika dulu ada usaha membina empangan hidro elektrik. Tapi projek yang bernilai RM 13 juta, terbiar begitu sahaja hanya selepas berkhidmat tidak sampai 10 minit memberikan bekalan elektrik kerana tak ‘cukup power’. Ia kemudian dikatakan musnah akibat tanah runtuh.

Rasanya tak ada bank serta tak nampak pulak pejabat pos di sini. Bagaimana orang sini nak pos-mengepos ?? Masjid mahupun surau ?

Jalan-jalan di sini nampaknya merupakan jalan tanah biasa. Permukaannya tidaklah rata. Sesekali jalan simen. Tetapi tidaklah boleh bergerak laju. Kelihatannya hanya kenderaan 4WD digunakan di sini. Kalau hendak buat jalan tar tentunya kos tinggi untuk membawanya dari luar. Kos penyediaan jalan bersimen di sini pula khabarnya menelan belanja RM 3,000 untuk sepanjang 6 kaki sahaja.

Tiada pengangkutan awam di sini. Kenderaan pickup atau 4WD diguna untuk mengangkut barang dan motosikal serta basikan menjadi pengangkutan utama oleh penduduk di sini. Tidak kelihatan pulak kereta jenis saloon.

Kesejukan
Hujan semakin lebat. Air paip begitu sejuk. Tapi terasa badan tak sedap, aku gagahkan diri dan mandilah juga. Sejuk sungguh, tambahan hujan pulak tu. Aku difahamkan air di sini disalurkan daripada empangan yang juga dibina untuk pengairan sawah di Bario.

Lepas Maghrib, kami berkumpul semula di Dewan Orang Ramai untuk acara jabatanku. Kami dibawa dengan kenderaan 4WD secara bergilir, 3 atau 4 orang setiap trip. Jalan tanah berselut akibat hujan yang turun tadi.

Majlis Harga Barang Negara – MHBN
Macam pertama kali aku dengar. Perkataan MHBN banyak terdapat di beberapa premis pekedai di sekitar Bario. Ia merupakan usaha Kementgerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan bagi membolehkan orang Bario mendapatkan barangan perlu dan barangan kawalan seperti minyak masak, gula, susu, tepung, bawang, makanan tin dengan harga sama dengan di bandar Miri.

Umpamanya sebelum adanya MHBN, orang Bario terpaksa membayar RM 150 – RM 250 untuk setong gas masak, RM5 untuk satu liter petrol dan diesel, RM4 untuk 1kg gula dan RM3 untuk 1kg tepung gandum. Di bawah projek itu, kementerian melantik peruncit terpilih untuk membekalkan barangan keperluan dan minyak dengan kos pengangkutan ditanggung kementerian.

Permintaan gas memasak semakin tinggi di sini, memandangkan kayu api dikatakan sukar juga hendak diperolehi ketika ini. Ia juga berkaitan dengan pertambahan permintaan daripada homestay yang turut mengguna gas berkenaan.

Peruncit MHBN banyak beroperasi di kawasan pendalaman khususnya di Sabah dan Sarawak, dimana pengangkutan menjadi masalah yang besar.

Perubahan Budaya
Semasa majlis Jabatanku pada malam tersebut barulah nampak penduduk Bario dengan pelbagai rupa dan gaya. Aku kira orang di sini berkulit agak putih, maklumlah di tanah tinggi dengan suhu yang rendah. Tak adalah panas terik yang membakar kulit.

Betulkah bagai dikatakan, orang pendalaman di sini cantik-cantik berbanding kalau pendalaman Semenanjung. Entahlah. Tak nampak sangat anak dara, kecuali pelajar sekolah yang membuat persembahan atas pentas.

Mungkin ini majlis lebih kepada orang yang tua-tua dan tidak menarik minat remaja. Atau mungkin mereka sedang belajar di asrama or IPT di luar Bario atau telah berhijrah ke bandar dengan pelbagai pekerjaa.

Migrasi penduduk ke luar menjadi masalah di sini. Apabila kadar literasi bertambah, taraf pendidikan penduduk juga bertambah, mereka akan ke luar dari Bario. Perhubungan telefon juga ada. Tambahan TV satelit dan internet juga telah masuk di sini. Ini memberikan kesan kepada budaya penduduk Bario, khususnya generasi muda.

Makam malam itu, aku semeja dengan Pak Mus. Rupanya Pak Mus pernah mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Pulau Melaka kelantan.

Beliau juga menunjukkan jam tangan yang dipakainya, yang merupakan hadiah daripada Tuan Guru. Pak Mus beristeri dua, seorang lagi tinggal di Miri. Harap Pak Mus diberikan kekuatan dan dapat istiqamah dengan Islamnya.

Garam Bario
Satu lagi kemahsyuran Bario ialah garam Bario. Di sini terdapat lubang yang dipanggil Bario Salt Springs. Airnya yang masin, dimasak selama 24 jam sebelum diekstrak garamnya. Garam ini kemudian dimasukkan ke dalam paip buloh dan dibakar untuk mengeraskannya. Ia kemudiannya dikeluarkan dari buloh, dibungkus dengan daun dan dicadangkan disimpan di tempat yang kering dan selamat. Garam ini digunakan dalam masakan serta untuk preserve daging.

Untuk menggunakannya, buka daripada bungkusan dan dipecah hancurkan. Warnanya cokelat kelabu gitulah. Apa keistimewaan garam ini ? Rasanya tidaklah begitu masin berbanding garam biasa yang terdapat di kedai atau supermarket. Mungkin istimewa sebab ia dihasilkan dari sumber mineral yang natural.

Ke Bario Semula ?
Oh tidak !! Tak terfikir langsung. Bukan kerana kecut perut naik Twin Otter, tetapi tak ada istimewanya jika nak pergi semula dengan family. Terdapat juga dua-tiga kerat mat Salleh yang dah jadi ‘warga’ Bario lantaran berkahwin dengan penduduk di sini. Tak tahulah apa kerja dia orang.

Apakah memang ada usaha pihak kerajaan untuk mempromisikan aktiviti pelancungan supaya dapat datang ke Bario ? Setakat mana beras, nanas, garam Bario dan etnik Kelabit menjadi tarikan orang. Kalau nak berehat menenangkan fikiran di tengah-tengah pergunungan yang nyaman, tetapi berada pula ditengah-tengah kekurangan kemudahan awam, payah juga. Kalau tak ada tugas, memang tidak terfikir untuk ke sini.

Terima Kasih Musti
Yang menariknya, bersama aku sepanjang berada di Bario ialah kawan lama masa di sekolah menengah dahulu. Masa sekolah kami panggil Musti. Nama sebanarnya ialah Musti @ Sunif bin Naiman. Beliau kini bertugas sebagai Pegawai Kanan Lapangan Terbang Kuching. Tak sangka betul ...

Selepas habis tingkatan 5, kami berpisah. Dua bulan lepas jumpa sekejap di KLIA, tapi kini jumpa lagi di Bario. Beliau hadir mewakili Pengerusi Malaysia Airport Kuching.

Lagi Gambar Di Bario
Share:

Irfan Makki - Waiting For Your Call

Kali pertama mendengar nama Irfan Maki adalah kerana berduet dengan Maher Zain dalam lahu Allahi Allah Kiya Karo dalam album Thank You Allah. Kemudian aku berkesempatan melihatnya secara live semasa konsert Maher Zain di Shah Alam yang lalu. Lagunya pada malam konsert tersebut berjudul Mabruq menarik minat penonton sehingga dinyanyikan dua kali atas permintaan ramai. Mungkin kerana beberapa bait dalam senikata lagu tersebut dinyanyikan dalam bahasa Melayu.

Selepas konsert tersebut, memang aku tercari-cari album dari Irfan Makki. Akhirnya berjumpa juga. Pertama kali mendengar lagu track pertama dalam album baru ini, terasa menarik susunan muziknya. Waiting For Your Call - Panggilan siapa yang dinantikan ? Rupanya panggilan Allah untuk menunaikan ibadah Haji dan Umrah di Tanah Suci Mekah.


Waiting For Your Call

Miles away, oceans apart
Never in my sight always in my heart
The love is always there it will never die
Only growing stronger a tears rose down my eye

I am thiking all the time
When the day will come
Standing there before you
Accept this Hajj of mine

Standing in ihram, making my tawaf
Drinking blessings from your well
The challenges that I have suffered
And might were rekindles my imaan

O Allah! I am waiting for the call
Praying for the day when I can be near the Kabah wall
O Allah! I am waiting for the call
Praying for the day when I can be near the Kabah wall

I feel alive and I feel strong
I can feel Islam running through my Veins
To see my muslim brothers, their purpose all the same
Greeting one another, exalting one True Name
I truly hope one day that everyone's a Muslim.
That they remember you in everything they say

Standing in ihram making my tawaf, making my tawaf
Drinking blessings from your well
The challenges that I have suffered
And might were rekindles my imaan

O Allah! I am waiting for the call
Praying for the day when I can be near the Kabah wall
O Allah! I am waiting for the call
Praying for the day when I can be near the Kabah wall


Suara Irfan Makki agak unik dan sesekali mengingatkan kita kepada suara Micheal Jackson. Dalam Album terbaru ini juga, Irfan Makki berkolaborasi lagi dengan Mahir Zain. Tentulah sebab Maher Zain sendiri bertindak sebagai orang yang penting dalam penghasilan album ini. Mereka berkolaborasi dalam lagu I Believe yang sungguh menarik. Insya'allah kita akan menemui Rasulullah s.a.w suatu masa nanti. Aku percaya.



I Believe

When you're searching for the light
And you see no hope in sight
Be sure and have no doubt
He's always close to you

He's the one who knows you best
He knows what's in your heart
You'll find your peace at last
If you just have faith in Him

You're always in our hearts and minds
Your name is mentioned every day
I'll follow you no matter what
My biggest wish is to see you one day

Chorus:
I believe
I believe
Do you believe, oh do you believe?

Coz I believe
In a man who used to be
So full of love and harmony
He fought for peace and liberty
And never would he hurt anything
He was a mercy for mankind
A teacher till the end of time
No creature could be compared to him
So full of light and blessings

You're always in our hearts and minds
Your name is mentioned every day
I'll follow you no matter what
If God wills we'll meet one day

Chorus

If you lose your way
Believe in a better day
Trials will come
But surely they will fade away
If you just believe
What is plain to see
Just open your heart
And let His love flow through

I believe I believe, I believe I believe
And now I feel my heart is at peace

Share:

Sepetang di Kedai Buku Perubatan Kamal

Melihat daripada luar kedai, macam kedai runcit sahaja. Tetapi apabila masuk ke dalam, terasa takjub dan kehairanan. Kedai macam ini pun ada di Malaysia. Fasiliti tidaklah ada sangat, takde aircond. Kipas sahaja rasanya. Kedai pun macam sudah uzur sahaja dan sempit. Tetapi dalam kedai ini terdapat bermacam-macam ( mungkin ratusan ribu ) buku rujukan untuk pelajar perubatan. Pengunjung pun tak henti-henti, mungkin sebab ketika aku ke sana, baru mula semester pengajian.

Buku-buku disusun dalam rak-rak yang kelihatan biasa sahaja. Kebanyakkan buku di balut plastik. Mungkin untuk menjaga kualiti luaran buku tersebut. Maklumlah setiap buku reganya mahal-mahal. Kalau rosak tentunya nanti pelanggan tidak mahu nak beli dan rugilah pekedai.

Melihatkan buku-buku yang mahal-mahal di sini, terdetik di kepala. Bagaimana kalau tidak mampu nakbeli buku-buku yang mahal itu ? Kena ada modal yang besar juga. Patutpun kos perkhidmatan bagi seorang doktor adalah tinggi. Bukan setakat main dengan nyawa sahaja. Itu belum diambil kira penat lelah ketika mempelajari isi kandungan buku serta kuliah yang diikuti.

Kekadang tu ada buku jumlah mukasurat cumi 100+, tapi reganya hampir RM200 dan ada juga muka surat hampir 500, tapi rega sekitar RM70. Apa yang mempengaruhi rega buku tersebut ?

Malangnya tidak semua buku mempunyai tanda harga. Bagi yang nak tengok-tengok budget RM yang ada dalam wallet, tentunya asyik nak tanya rega setiap buku yang hendak dibeli. Katanya lebih murah daripada kedai lain di luar. Entahlah.

Aku difahamkan kedai ini telah beroperasi di situ sejak berpulih tahun. Bagi pelajar perubatan, memang ianaya tidak asing lagi. Pekedai dapat menjual buku dengan rega yang murah sedikit sebab mereka beli dengan rega yang mahal, lantaran mendapat kontrak pembekalan dari kerajaan. Tidak tahulah sejauh mana betulnya.

Nak bayar pun selalunya queue panjang. Yang hairannya, pekedai di kaunter bayaran tu tahu pulak harganya. Mungkin sebab telah selalu bergelumang dengan buku berkenaan, tetapi betul ke harga yang dikenakan. Tambahan tidak di berikan resit pembelian bagi menunjukkan harga setiap buku yang kita beli sekiranya lebih daripada sebuah. Walau bagaimanapun pembayaran menggunakan kad kredit diterima, dengan tambahan caj 2% daripada harga buku.


Inilah serba sedikit pengalamaku pada suatu petang di kedai buku perubatan yang terletak betul-betul bertentangan dengan pintu masuk Hospital Kuala Lumpur, Jalan Pahang.
Share:

Selamat Maju Jaya Untuk Nadiah

6 September yang lalu, aku ke Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ( UIAM ) yang terletak di Bandar Indera Mahkota Kuantan Pahang untuk mendaftarkan Nadiah anak ketigaku meneruskana pengajian di sana. Setelah hampir 5 bulan bercuti setelah menamatkan pengajian di Matrikulasi UIA Petaling jaya, kini tibalah masa untuk masuk kuliah semula.

Memang tidak dinafikan bahawa Nadiah akan berdepan dengan cabaran yang begitu hebat. Namun mohon doa daripada pengunjung sekalian agar beliau boleh berjaya menghabiskan pengajiannya dalam bidang kedoktoran. Pagi tersebut agak ramai juga pelajar datang bersama keluarga yang menghantarnya. Proses pendaftaran berjalan lancar dan tidaklah memakan masa yang lama.

Kampus UIAM Bandar Indera Mahkota merupakan kampus yang agak baru dan siap dibuka dengan rasminya pada Jun 2004. Kampus ini menempatkan pelajar bagi pengajian Perubatan, Kejururawatan, Sains Bersekutu, Sains, Farmasi dan Pergigian.

Manakala asrama tempat penginapan Nadiah terletak kira-kira 2km dari kampus. Khabarnya bas untuk mengangkut pelajar dari kampus ke asrama disediakan oleh pihak kampus.

Asrama pun nampak baru. Lantai masih berdebu bekas dari pembinaan yang baru siap. Kontraktor tidak basuh ke lantainya ? Ruang tidur bagi setiap pelajar agak sempit tetapi ada privacy bagi pelajar. Setiap bilik dihuni oleh anatara 6 - 8 pelajar. Manakala tandasnya terletak berasingan dari bilik, barangkali penghujung asrama sebagaimana sediakala asrama lain.

Berdekatan asrama, tetapi di luar pagar terdapat bangunan kompleks perniagaan yang menempatkan pelbagai kemudahan untuk pelajar seperti gerai makan, kedai runcit dan pelbagai lagi. Tapi nampak masih baru dan belum banyak yang dibuka. Atau mungkin masih bercuti Raya Aidil Fitri lagi.

Tetapi yang menariknya sebelum berpisah dengan anakku, ketemu semula dengan rakan semasa mengaji di universiti dahulu. Hamdan namanya. Sebaik graduate 25 tahun lalu, rasanya kami tidak pernah bertemu. Kini beliau menjadi guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Besut.



Lagi Gambar Semasa Pendaftaran
Share:

Serbuan Gereja & Mengaji Dicorong Speaker Sebelum Suboh

Jika pada Ramadhan tahun lepas, heboh diperkatakan seorang YB DAP wanita Cina masuk surau, tetapi Ramadhan yang lalu, kes sebaliknya. Diberitakan pasukan penguatkuasa JAIS membuat serbuan ke atas sebuah gereja. Bunyi serbuan meninggalkan pelbagai tafsiran yang seolah-olah ganas, menceroboh masuk dan pelbagai istilah negatif lain. Berita kejadian ini disensasikan lagi dengan kepentingan politik kepartian, bagi memastikan satu pihak terasa kelihatan dalam keadaan bersalah, manakala satu pihak lagi dilihat jaguh sebenar dalam memperjuangkan Islam. Akhirnya MB Selangor mengarahkan semua YBnya tutup mulut sehingga keluar kenyataan daripada pihak Sultan sebagai ketua agama, serta hasil laporan daripada pihak JAIS. Tidak pasti bagaimana nada minta maaf MB Selangor keatas pihak gereja sehingga menimbulkan pula kemarahan sesetengah pihak dan pertubuhan ‘Islamik-Melayu’.

Sebelum kes serbuan gereja di Selangor, kecoh kejap tentang Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang mengeluarkan surat arahan untuk meminta pihak surau dan masjid tidak memasang kaset mengaji atau membaca tarhim di corong speaker sebelum masuk waktu atau azan suboh kerana boleh ‘mengganggu’ orang ramai. Muka depan dada Berita Harian 12 Ogos. Sohor kejap imam tu. Bagi ahli politik Melayu/Islam, pelbagai tuduhan mula dilemparkan dengan menuduh JHEIPP menjadi tunggangan parti kerajaan pemerintah negeri iaitu DAP serta mempersoalkan di mana PAS ?

Namun setelah dimaklumkan ianya selaras dengan Fatwa Negeri yang ditandatangani oleh Agung sendiri, isu menjadi reda sikit. Tetapi ada yang masih tidak berpuas hati lagi, sehinggalah Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan meminta Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang menimbangkan sehalus-halusnya larangan kerana ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan Umat Islam di negara ini.

Pengerusinya Prof Datuk Dr Abd Shukor Husin, berkata larangan itu sebenarnya tidak perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, sebaliknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.

Berbalik dengan kes di Selangor. Dikatakan, apa yang berlaku ialah pemeriksaan oleh pegawai JAIS, berdasarkan maklumat awam yang mendakwa berlakunya jemputan beberapa orang Islam ke Majlis Berbuka Puasa yang dinamakan 'Thanksgiving Diner Program' seperti di Gereja Damansara Utama. Program ini disyaki bertujuan untuk menyambut orang Islam berbuka puasa dan meraikan Thanksgiving.

Tindakan pemeriksaan dilakukan berdasarkan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1955 iaitu menghina atau mempersenda ibadat agama Islam di kalangan penganut agama Islam sendiri. Siasatan juga dibuat mengikut Enakmen agama bukan Islam (Kawalan Perkembangan di kalangan orang Islam ) Negeri Selangor tahun 1988. Ia juga selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan keran mempunyai unsur penyebaran dan pemgembangan agama bukan Islam kepada oranmg Islam. Operasi ini disertai oleh 13 Pegawai Penguatkuasa Agama JAIS dan dibantu oleh sepasukan PDRM seramai 20 orang daripada IPD Petaling Jaya dan Sea Park.

Namun dipihak yang lain, mereka tetap mempertahankan perhimpunan berkenaan berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan iaitu hak dan kebebasan bercakap dan bersuara, berhimpun secara aman dan tanpa senjata serta membentuk persatuan.

Murtad
Terdapat banyak laman web dan blogger yang memaparkan gambar, malahan rakaman video mengenai kejadian ini. Hairan juga bagaimana ianya boleh ‘terlepas’ dari pihak JAIS atau PDRM. Apakah ini sememangnya dirancang ? Atau ada yang tidak bertanggungjawab dari kalangan ahli rombongan ‘serbuan’ sehingga bahan tersebut terlepas keluar.

Isunya bukan setakat ‘serbuan’ tersebut, ada beberapa perkara lain yang berkaitan telah terbongkar. Bagaimana pihak Keristian dalam cubaan memujuk kalangan orang Islam menuruti dan menukar kepada agama Keristian dengan memberikan bantuan berupa kewangan, khususnya kepada orang Islam yang dalam kesusahan dan kesempitan serta memerlukan bantuan.

Tugas Berdakwah
Mungkin sudah tidak boleh dinafikan lagi, hakikatnya memang semakin ramai orang Melayu Islam memeluk Keristian hasil dakwah dan pujukan halus berkenaan. Tentunya pemimpin Keristian tempatan tidak akan dan tidak mungkin mengaku perkara itu. Bagaimanapun, mereka tidak tidak harus disalahkan apabila semakin ramai orang Melayu/Islam termakan dengan dakwah dan dakyah mereka.

Mereka juga ada tugas dan tanggungjawab dakwah. Kita juga akan berbuat demikian jika mempunyai ruang dan peluang untuk mengajak penganut agama lain, memeluk Islam. Kejadian di Gereja Methodist Damansara Utama itu seharusnya membuka mata kita kenapa gejala ini semakin membimbangkan sekarang.

Peranan Baitulmal
Yang disalahkan pula ialah bagaimana Baitulmal, Pusat Zakat atau badan kebajikan Islam untuk counter attack kepada tindakan tersebut. Pusat zakat dikatakan payah sangat nak memberikan bantuan, banyak sangat prosedur, borang yang perlu disi serta siasatan yang mengambil masa.

Baitulmal atau Pusat Zakat disaran untuk tidak hanya berbangga dengan jumlah kutipan yang meningkat saban tahun, tetapi realitinya ada umat Islam meninggalkan agama kerana kemiskinan dan kesukaran hidup. Ini akan mengurangkan kepercayaan ramai sebagai pembayar zakat terhadap kemampuan Pusat Zakat menjalankan tugasnya.

Kesan Politik
Isu ini terus disensasikan. Semua pertuduhan yang masih samar-samar dan memerlukan penelitian supaya pelbagai pihak tidak terjerat dalam kancah ciptaaan musuh politik masing-masing lantaran pilihanraya umum dikatakan semakin hampir. Ada yang mungkin membangkitkan apa salahnya umat Islam ke gereja seperti bukan Islam ke masjid. Malah ada yang mengatakan tindakan JAIS bertentangan dengan semangat 1Malaysia.

Namun sehingga kini aku rasa isu ini masih senyap atau disenyapkan. Yang dihebohkan pula tentang hal mengaji atau tarhim sebelum suboh di Pulau Pinang. Persoalan yang ditumbulkan ialah kenapa baru sekarang hendak dilarang. Sebelum ini ok sahaja ? Timbul kenyataan daripada pihak Pejabat Sultan Selangor dalam surat khabar. Namun dikatakan disalah erti atau salah tafsirkan. Entahlah.

Patutnya isu ‘serbuan gereja’ kena segerakan siasatan dan tindakan penyelesaian. Semakin lewat kemelut tidak dirungkaikan, kewibawaan pula semakin hilang dan kemurtadan terus berlaku, sedang umat Islam terus leka serta melepaskan tugas dakwah hanya kepada pertubuhan dakwah dan agensi kerajaan sahaja.

Share:

Tiga Kerugian Manusia

Dalam satu kuliah suboh yang aku hadiri beberapa hari sebelum berakhirnya Ramadhan, al-Ustaz mengulas satu maksud hadis mengenai kecelakaan tiga golongan manusia. Satu ketika, sedang Rasulullah s.a.w menaikki mimbar untuk berkhutbah, pada tangga pertama baginda mengucapkan “Amin”. Begitu juga pada anak tangga kedua dan ketiga. Selesai solat, para sahabat bertanya, “Mengapa Rasulullah s.a.w mengucapkan Amin ?”. Baginda menjawab, “Malaikat Jibrail datang dan berkata ; celakalah seorang yang apabila disebutkan nama mu lalu dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu. Lalu aku menjawab Amin. Kemudian katanya lagi, celakalah orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi tidak perihatin terhadapnya. Lalu aku menjawab Amin. Kemudian katanya lagi, celakalah orang yang berkesempatan hidup dalam bulan Ramadhan, tetapi tidak terampun dosa-dosanya. Lalu aku mengucapkan Amin.

Tapi daripada semakan maksud terjemahan hadis daripada dikisahkan sebagaimana berikut. Satu ketika, sedang Rasulullah s.a.w menaikki mimbar untuk berkhutbah, pada tangga pertama baginda mengucapkan “Amin”. Begitu juga pada anak tangga kedua dan ketiga. Selesai solat, para sahabat bertanya, “Mengapa Rasulullah s.a.w mengucapkan Amin ?”. Baginda menjawab, “Malaikat Jibrail datang dan berkata ; kecewa dan merugilah seorang yang apabila disebutkan nama mu lalu dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu. Lalu aku menjawab Amin. Kemudian katanya lagi, kecewa dan merugilah orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya, tetapi tidak sampai mengizinkannya masuk syurga. Lalu aku menjawab, Amin. Kemudian katanya lagi, kecewa dan merugilah orang yang berkesempatan hidup dalam bulan Ramadhan, tetapi tidak terampun dosa-dosanya. Lalu aku mengucapkan, Amin. ( H.R Ahmad )

Satu menyebutkan celaka dan satu lagi disebutkan kecewa dan merugilah. Perkataan celaka tu agak ‘ganaz’. Terdapat beberapa versi lain hadis yang hampir serupa. Sebelum Ramdhan dahulu aku aku terima e-mel yang menyatakan hadis seumpamanya adalah palsu, sebagaimana hadis Malaikat Jibrail berdoa, ”Ya Allah, tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut; tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada), tidak berma’afan terlebih dahulu antara suami isteri, tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. Maka Rasulullah s.a.w pun mengatakan Amin sebanyak 3 kali.

Malah teringat juga bahawa pernah juga aku mendengar kupasan hadis seumpamanya oleh Ustaz Junaid di Surau Al-Hidayah Saujana Utama beberapa tahun lalu seumpama hadis palsu di atas. Namun kalau di lihat daripada segi isinya, mungkin ada pengajaran yang hampir serupa boleh diambil.

Jom Berselawat
Berselawat kepada Nabi Muhammad adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Ia sebagai tanda suatu perhubungan antara kita dengan Allah dan Rasulullah s.a.w. Oleh itu tidak sewajarnya dipandang ringan oleh setiap umat Islam. Ini sesuai dengan kedudukan selawat itu sendiri yang memiliki berbagai keistimewaan dan kelebihan di sisi Allah.

Di segi bahasa pula, selawat bererti doa, rahmat dari Allah, memberi berkah dan ibadat. Dalam pengertian yang lebih luas, berselawat kepada Nabi Muhammad bererti memperbesarkan, mengagungkan serta mendukung perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh alam ini.

Kelebihan atau keistimewaan selawat antara lain juga dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya. ” (Surah Al-Ahzab: 56).

Sejajar dengan itu, selawat kepada Rasulullah s.a.w merupakan ibadah yang mulia dan terpuji, mengandungi berbagai kelebihan dan mendapat pertolongan dan perlindungan yang istimewa dari Rasulullah s.a.w serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak. Sabda Rasulullah s.a.w, “Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” ( H.R Tabrani ).

Hadis yang sering didengar, dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; “Barang siapa berselawat terhadapku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali” ( H.R Muslim ). Dalam hadis yang lain pula, sabda Rasulullah s.a.w, “Barang siapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barang siapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya". ( H.R Al-Baihaqi dan Al-Khatib).

Nak berselawat tak perlu menunggu musim maulud, ketika perarakan maulidur rasul atau bulan Rabiul awal. Galakan adalah sepanjang masa. Seterusnya dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah s.a.w,. “Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” ( H.R Ahmad, Nasai dan Al Hakim).

Oleh yang demikian,memang merugilah orang yang setelah dihidangkan kelebihan berselawat kepada Rasulullah s.a.w, namun masih melepaskannya begitu sahaja. Malah disebutkan amaran akibat berat atau kengganan berselawat sebagaimana maksud hadis Rasulullah s.a.w, ”Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku” ( H.R Tirmizi ).

Dari Ibnu Abbas r.a pula berkata ia, telah bersabda Rasulullah s.a.w; “Barang siapa melupakan ( meninggalkan ) selawat terhadapku, maka akan tersalah dia dari jalan surga.” ( H.R. Ibnu Majah dishahihkan oleh al-Albani dengan hadits lain )

Tidak Kisah Akan Kehadiran Ibubapa
Antara celakalah orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi tidak perihatin terhadapnya dengan kecewa dan merugilah orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya, tetapi tidak sampai mengizinkannya masuk syurga, dilihat banyak perbezaannya.

Oleh yang demikian, aku tidak mahu nak komen banyak di sini. Maksud yang aku fahami ialah kita tidak mengambil fadhilat dan kelebihan dengan kehadiran ibubapa kita, untuk berbakti kepadanya. Al-Ustaz dalam kupasannya pun lebih menumpukan kepada mengambil perhatian dengan berbakti serta mengembirakan kedua ibubapa. Mengembira tidak semestinya dengan harta dan kemewahan.

Memang banyak saranan dan fadhilat yang besar, berbakti kepada orang tua atau ibubapa sebagaimana disebutkan dalam hadis dan maksud al-Quran. Memang merugilah jika kesempatan ketika masih ada kedua ibubapa, kita tidak mengambil peluang berbakti terhadapnya, walaupun kita sendiri tidak pasti apakah dengan bakti yang diberikan, mampu memasukkan diri kita ke dalam syurga Allah s.w.t nanti.

Ramadhan Berlalu Tanpa Keampunan
Sungguh berat maksud yang ini, apakah maksud sebenar ? Di sebalik limpahan rahmat dan tawaran di atas kelebihan Ramadhan, mengapa kita enggan memanfaatkan bulan suci Ramadhan dengan sebaik-baiknya. Seolah-olah Ramadhan tidak memiliki keistimewaan apa-apa sehingga ia tidak berbuat apa-apa di dalam bulan Ramadhan.

Pahala amalam dilipat gandakan manakala dosa diampun. Bahkan ada Lailatul Qadar, satu malam yang lebih mulia dari seribu bulan. Amal kebaikan di dalamnya nilainya lebih baik daripada amal serupa dikerjakan selama seribu bulan atau ( 83 tahun ) yang tak ada Lailatul Qadar di dalamnya. Apakah kita masih tidak teruja dengan maksud hadis Rasulullah s.a.w, “Barangsiapa yang menghidupkan Ramadhan karena iman dan mengharapkan pahala, Allah mengampuni dosa-dosanya yang telah berlalu.” ( H.R. Bukhari )

Jika demikian, tentulah merugi ( kalau tidak celaka ) kita tidak menghiraukan tawaran Allah dan membiarkan ianya berlalu begitu sahaja. Merugilah seseorang yang sesudah Ramadhan pergi lantaran gagal dalam melaksanakan ibadah Ramadhan sehingga ia tak mendapat ampunan dosa dan tak mendapatkan hidayah yang membimbingnya untuk lebih baik dan bertakwa. Semoga Allah tidak menjadikan kita antara orang-orang yang merugi dan celaka, saat Ramadhan pergi.

Dari Ibnu Abbas r.a. Rasulullah s.a.w bersabda, “Kalau sekiranya umatku mengetahui segala ( kebaikan ) didalam bulan suci Ramadhan, niscaya mereka menginginkan agar semua tahun itu menjadi Ramadhan”, kerana semua kebaikan itu berkumpul di bulan suci Ramadhan, ketaatan bisa diterima, semua doa dikabulkan, semua dosanya diampuni dan surga sentiasa merindukan mereka” ( H.R. Ahmad ).

Kerana itu pernah kita mendengar kisah para sahabat Rasulullah s.a.w menangis ketika Ramadhan berlalu pergi. Memang wajar. Jika pada bulan Ramadhan kita tidak mendapatkan ampunan apatah lagi pada bulan yang lain ? Apakah masih mungkin jika seseorang gagal mendapat keampunan dalam bulan Ramadhan, boleh mendapat ampunan pada bulan yang lain ? Namun Allah s.w.t Maha Luas ampunannya ...

Ramadhan telah berlalu dan tidak boleh dikesalkan lagi. Perginya tidak akan kembali. Kita hanya boleh mengharapkan dipanjang usia untuk dapat menemui Ramadhan tahun hadapan. Namun apakah kita pasti dipanjangkan usia sehingga Ramadhan tahun hadapan. Atau apakah kita pasti untuk tidak mengulangi kesilapan lalu, leka lagi dan tidak akan melepaskan peluang akan diberikan nanti ?

Semoga perasaan atau terasa berat hati kita berpisah dengan Ramadhan yang lalu menjadi tanda bahwa puasa kita sangat bermakna tidak sekedar lapar dan dahaga. Sabda Rasulullah s.a.w, “Banyak orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan apa-apa kecuali lapar dan dahaga” ( H.R. An-Nasa’i).


Share:

Ketika Hutang Nazariaku Berakhir ...

Akhir bulan lalu adalah bulan terakhir jelaskan ansuran pinjaman kenderaanku selama tujuh tahun. Kiranya settlement telah dibuat. Namun belum sempat lagi pergi ke HQ bank berkenaan untuk urusan seterusnya. Kalau melalui bank cawangan, caj RM60 dikenakan. Mungkin tertanya, pakai kereta apa pulak lepas ini ? Since nilai pasaran semasa pun tidak berapa ada harga, pakai sahaja setakat mampu. Harapnya tidak memberikan masalah besar untuk menjaganya lepas ini.

Namun dalam bulan terakhir itu pula banyak pula RM dibelanjakan untuk perkara lain mengenainya. Argh ... Bermula dengan tayar yang bocor terkena kepingan logam yang menusuk masuk dan melekat kepada tayar. Cubaan untuk menampal secara biasa tidak boleh dan terpaksa cuba ditampal dari dalam. Pun tidak berjaya dan pekedai sarankan ganti tayar baru. Apa pulak ? Tayar masih elok, bunga masih tebal dan baru beberapa bulan lalu dipakai. Sebiji tayar tu bagiuku bukannya murah.

Lalu aku ke kedai lain untuk masukkan tiub. Memang tidak digalakkan dan kata pekedai di Serdang tu ianya tidak akan tahan lama. Aku pernah gunakan tiub dalam tayar kenderaanku sebelum ini, ok sahaja. Tak ada masalah pun. Setelah 7 tahun baru aku tahu, boleh tampal tayar bocor dari dalam dan kalau nak tukar tayar keretaku ini, loosekan sikit skru di rim tayar sebelum di jack naik. Kalau jack dulu, bukan setakat tayar ikut pusing, tapi tidak akan berjaya membukanya. Macamana rim @ tayar tu boleh kenal ? Kereta lain begitu juga ke ?

Sehari sebelum peristiwa tayar bocor, aku ke kedai aksesori di Bandar Baru Bangi meminta pekedai tu checkkan lampu kanan bahagian depan yang tidak menyala sempurna sejak beberapa bulan lalu. Dua kali pernah ke kedai lain, setelah beberapa mentol diganti, lalu dikatakan ini nak kena buat rewiring. Ini tentunya memerlukan kos yang tinggi. Namun aku agak terkejut, pekedai tersebut just tukar mentol, then OK pulak. Alhamdulillah.

Kemudian berlaku kebocoran dalam kenderaan. Dulu pernah berlaku tetapi sangat minor, hanja kalau hujan betul-betul lebat. Tetapi kali ini, semasa basuh jereta di kedai Car Wash pun air menitik masuk di bahagian hadapan cermin. Aku pergi bengkel di P15 dan dia syak kebocoran dicermin, sebagaimana biasa berlaku.

Nak buat RM200 dan since dah terselamat daripada kos rewiring yang aku kira lebih mahal daripada itu, aku pun setuju walaupun takde gerenti kalau cermin pecah. Risau juga mulanya, tapi katanya pengalaman kerja tidak pernah berlaku pecah, kata sahaja ...

Hampir dua jam kerja-kerja membuka cermin hadapan, menggantikan getah dan gam pelekatnya serta memasangnya semula dilakukan oleh dua orang sahaja. Tidak banyak modal digunakan, hanyalah kepakaran mereka melakukannya. Nampak kemas dan teratur. Memang specialist. Alhamdulillah, puas hati. Kebetulan hujan lebat beberapa hari selepas itu. Tiada lagi kecbocoran berlaku.

Seminggu lepas terpikat pulak dengan 'rayuan' kedai cermin gelap kenderaan. Rega asal RM 1600, tapi diberinya diskaun sehingga dapat RM500. Memang dari dulu nak juga gelapkan cermin, maklumlah cermin kereta besar-besar. Tapi dulu reganya agak mahal.

Sekarang memang nampak trend ramai orang pakai cermin gelap. Lagipun harganya sudah agak murah, berbanding dahulu. Dalam masa hampir 2 jam selesai pemasangan di buat.

Namun dalam perjalan pulang ke rumah, aku terperasan yang lampu 'opened door' menyala walaupun semua pintu telah ditutup. Ini tidak boleh jadi sebab ada lampu dalam lain juga menyala walaupun semua pintu kereta ditutup dan kenderaan berjalan. Kalau dibiarkan seharian, tentu boleh habis bateri.

Lalu aku berpatah balik kekedai cermin gelap semula. Tapi pekedai tu kata dia tak usik apa-apa dan minta saya pergi check wiring di kedai eksoseri kereta. Hari hampir petang dan mula masuk waktu berbuka puasa. Pekedai eksoseri tu pula kata memakan masa yang lama untuk check kemudian repair. Tak ada pilihan, terpaksa tinggalkan di kedai tersebut. Keesokannya pekedai telefon, kereta siap dan boleh ambil.

Rupanya benarlah bagai dikata oleh pekedai tiub tayar tadi, Memang tidak tahan lama. Dalam perjalanan pulang ke Besut untuk beraya, tayar yang diganti tiub tu 'flat'. Nasib baik ketika itu di RnR LPT dan dengan bantun anakku, penggantian dengan tayar spare mudah sahaja dilakukan.

Sampai Besut, tercari-carilah tayar baru. Mak datuk !! Mahal giler sebiji ( antara RM 315 - Rm 330 ) berbanding last beli di Bandar Baru Bangi, RM 250. Mungkin nasib menyebelahi ku, terjumpa tayar second hand di sebuah kedai berdekatan. Masih dengan rimnya sekali. Pekedai kata pemilik asal tukar rim.

Sedang nego harga dengan pekedai, tetiba ada orang menghulurkan salam denganku. Terkejut aku, rupanya 'anak sedara' kerja sementara di kedai tersebut, sejak selesai STPM sementara mula mendaftar di UPSI pertengahan September ini. Tetiba sahaja pekedai bagi harga special, sebab anak sedara kerja kat situ ... ha ! ha !

Sepanjang 7 tahun, masalah yang kerap berlaku ialah tentang air-cond. Kerap sangat. Lelain tu cuma tayar dan tak ada apa sangat. Setiap yang berlaku ada hikmah. Itu setakat ini, apakah seterusnya. Allah jua yang mengetahuinya.

Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.