Harap maaf ... Blog ini sedang dibangunkan semula .. akan kembal menemui anda !!!

Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Perjalanan Haji - Ke Arafah Yang Mendebarkan

Hari 36 ( Rabu 25 Nov / 8 Zulhijjah )

Bangun awal dan 3.00pagi berjalan ke MH. Walaupun pihak TH nasihatkan tidak payah ke MH, berehat dan solat sahaja di hotel. Aku rasa aku masih bertenaga dan bekemampuan, walaupun tidak tahu setakat mana tenaga diperlukan di Masyair nanti. Teruk sangat ke pekerjaan di Masyair ? Yang aku jangka cuma berjalan jauh untuk pergi melontar. Hari–hari ke MH pun sudah 6 km. Mungkin nasihat TH tersebut untuk orang-orang tua serta kurang upaya.

Habis solat di MH pun kekira 6 pagi. Masih banyak masa untuk bersiap jam 11 pagi bagi menaiki bas ke Arafah. Rasanya masih sempat. 5 jam takkan tidak sempat, mengalahi pengantin nak bersanding.

Di hadapan MH, memang ramai sungguh orang yang tidur di sana. Dapat saf di hadapan Kaabah pun agak mudah. Mungkin sudah ramai yang pergi ke Mina atau Arafah ? Aku berada dalam saf di hadapan Kaabah antara jemaah Malaysia dan Pakistan. Sedang aku mengaji, jemaah Pakistan menegur bacaanku. Wah, nampak macam lekeh sahaja tapi memang benar tegurannya. So don’t judge book by its cover !

Aku rasa bagus juga teguran tersebut, supaya aku lebih berhati-hati dalam bacaanku. Namun aku perhatikan semua teguran yang pernah aku terima, nampaknya semuanya bermula pada awal ayat. Kenapa ? Apakah itu sebagai isyarat atau tanda aku perlu berhati-hati dalam bacaanku atau memang ketika itu mudah nak ditegur akan kesalahan seseorang.

Lepas solat suboh aku terus balik, tanpa tunggu hingga masuk Duha. Aku lihat ramai yang berjalan kaki sambil bertalbiah. Mungkin mereka sedang menuju ke Mina atau Arafah. Apakah mereka berjalan menuju bas atau kendaraan masing-masing untuk ke Masyair, atau pun terus berjalan kaki ke Masyair ? Kalau jalan kaki dengan barang yang digalas bersama sejauh 22km ke Arafah atau 5 km ke Mina, adusss, sampai ke ?

Makanan untuk sarapan pagi dah habis terjual di kafetaria. Yang ada cuma pakej bekalan, mee segera dan bag makanan untuk ke Arafah. SR5 sebag. Maklumlah pagi ini ramai yang tidak ke MH. Sarapan dengan apa yang ada dengan isteriku. Entah kenapa saat ini aku menjadi syahdu. Malah sebenarnya sejak pagi tadi aku begitu berdebar-debar. Entah kenapa aku jadi berdebar apabila mengenangkan yang kejap lagi kami nak berangkat ke Arafah. Haji adalah wuquf di Arafah. Selama ini sebenarnya kami belom mengerjakan haji. Semuanya itu adalah persiapan untuk haji yang bermula niat, memakai ihram dan wukuf di Arafah.

Habis sarapan aku saling bemaaf-maafan dengan isteriku, minta halal makan minum dan mohon doakan kemudahanhaji serta kebahagian bersama hingga akhir hayat di arafah nanti. Syahdu hingga berlinangan air mata. Lepas itu mandi, basuh baju dan bersiaplah untuk Arafah.

Langit mendung kuat. Aku yakin hujan akan turun, seronoknya kalau nampak hujan di Kaabah. Kami solat sunat ihram di surau hotel paras P sahaja.

Patutnya bas bertolak jam 11.00 pagi. Tapi nampaknya terlewat. Kami menunggu di bilik serta lif hotel, menunggu panggilan untuk turun menaiki bas. Di bilik kami berborak-borak dengan roomate, sambil mengimbau kenangan sepanjang bersama duduk sebilik. Memang balik dari Mina nanti, sudah tidak banyak masa untuk kami bersama.

Tetapi entah kenapa aku asyik ke bilik air. Mungkin terlalu berdebar. Selalunya tidak begini walaupun sejuk air-cond bilik. Mungkin aku bimbang berlakunya halangan yang Allah timpa ke atasku yang seterusnya menghalang untuk aku sampai ke Arafah. Cobaan ...

Tunggu punya tunggu, akhirnya waktu zuhor pun masuk. Serentak dengan itu, hujan lebat mulai turun. Kami solar zuhor di perkarangan lif aras hotel dengan pakaian ihram. Nampaknya ada jemaah haji yang sudah berniat haji walaupun belom bertolak. Maknanya pantang larang 13 perkara telah bermula, nak kena jaga tu.

Jam 2.00 petang, bas untuk aku naikki sampai. Semua untuk jemaah KT03 ada 12 buah bas dan aku naik bas no 2. Bas biasa aja, tiada alat hawa dingin dan agak sempit. Kipas adalah. Memang agaknya ini rupa bas yang dikatakan digunakan setahun sekali, ketika musim haji. Asal bolehjalan. Tempat letak barang pun tak de. Nak letak bawah seat pun tak muat. Ini menambahkan sesak bas kami.

Kami menaikki bas dalam keadaan hujan dan sepanjang awal perjalanan pun hujan lebat turun. Sesekali pembantu pemandu mengelap cermin hadapan pemandu yang terhalang pandangan sebab wap melekat pada dinding. Maklumlah bas tanpa penghawa dingin.

Perjalanan sentiasa tersekat-sekat disebabkan air yang bertakung di atas jalan serta kenderaan rosak kerana terperangkap dalam genangan air.

Perjalanan sebenarnya sekitar 22km, tetapi kekira jam 3.15 petang, kami baru dapat sampai ke tempat yang dituju. Alhamdulillah. Ketika tiba, hujan rintik-rintik sahaja. Ah, terasa leganya dapat turun dari bas yang begitu tidak selesa. Tetapi tiba di khemah, argh … basah habis pulak karpet di lantai.

Ruang khemah yang besar tu sebenarnya dibahagikan kepada kawasan kecil 10kaki X 10kaki. Setiap kawasan kecil tu menempatkan 10 orang sahaja. Tetapi aku agak bernasib baik sebab tiga jemaah yang sepatutnya berada dalam khemah kami, tetapi tak muncul. Kira lapang sedikit ruang untuk berehat dan tidur.

Aku report dengan TH, tetapi katanya tak mengapa, mungkin duduk dengan kawannya. Masa ceramah sebelum datang ke Arafah, pegawai TH dah kata mereka akan semak dan pastikan setiap jemaah sampai di Arafah. Bilik-bilik akan di semak dan pastikan tidak ada yang menyorok enggan ke Arafah. Sampai begitu sekali. So kira adalah tu di mana-mana di Arafah.

Selepas solat asar di musalla yang disediakan, aku ronda-ronda berdekatan khemah dalam Maktab 77. Problem di musolla tu, sistem PAnya tidak berfungsi elok. Nampaknya setiap maktab diletakkan dalam kawasan masing-masing yang berpagar.

Terdapat 20 unit tandas, masing-masing 10 untuk lelaki dan wanita. Sebelum ini jemaah diingatkan untuk mandi ala kadar sahaja, atau mandi ala P.Ramlee dan jangan sesekali membasuh pakaian. Ini adalah bagi saling memberi peluang di kalangan jemaah. Bayangkan lebih 2,000 jemaah maktab 77, berkongsi 20 bilik air.

Sebelum Maghrib makanan diedarkan ke khemah-khemah. Pakai letak dan ambil sendiri sahaja nampaknya. Budak-budak awal belasan tahun digunakan. Malam tu gelap pulak. Lampu yang disediakan tidak dinyalakan, agaknya sebab terputus litar elektrik akibat hujan yang turun. Tidak ada apa yang dapat dilakukan selepas isyak dalam kegelapan, kesejukan serta nyamuk yang mengelilingiku. Argh … 8.30malam sudah tidur.

Ya Allah, apakah natijah daripada ujian yang sedang berlaku ini. Namun aku berkeyakinan ujian yang pernah ditempoh oleh para anbiya, Rasulullah s.a.w, para sahabat serta pejuang agamaNya tentu lebih hebat lagi. Yang aku hadapi ini cuma kecil sahaja walaupun seolah-olah hanya akibat perbuatan atau tindakan mahlukNya sahaja, yang tidak menyediakan tempat yang lebih selesa.

Share:

1 Komen:

Anonymous said...

Assalamualaikum....saya ingin mengucap terima kaseh atas perkongsian pengalaman anda di Tanah Suci. Saya sungguh terharu apabila membaca. Saya akan berangkat pada tahun ini untok pertama kali. Dgn membaca & melihat gambar anda, saya lebih memahami & mendalami itinerary haji terutama keadaan di Arafah, Mudzalifah & Mina. Semoga Allah berkati anda & sekeluarga. Amin....

Kak Su (singapore)

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

Blog Tazkirah