Kali terakhir aku ke Tanah Tinggi Cameron atau Cameron Highland ( CH ) ialah sekitar tahun 1996-98. Aku ke sana kerana menghadiri bengkel dengan menumpang kereta rakan sepejabatku. Dengan jalan yang berliku-liku daripada keluar highway hingga sampai ke hotel penginapan, mengakibatnya aku mabuk. Sepanjang bengkel aku melayani mabukku hinggalah hari terakhir pulang semula ke rumah.
Sejak itu aku terasa serik dan tidak teringin ke sana semula, sehinggalah bebaru ni anakku beria-ia benar mengajak ke sana. Sempena cuti Tahun Baru Cina lagi pulak tu yang selalunya sesak lebuhraya. Terpaksalah aku menghubungi rakannku Hj Bahazin yang mengusahakan tempat penginapan di sana. Nasib kami baik sebab masih ada satu bilik masih kosong, terus book tanpa tanya detail jenis bilik yang ada.
Nama Cameron diperolehi mengambil sempena nama seorang juruukur British, William Cameron yang menjalankan kerja-kerja ukur dan membuat peta di kawasan tersebut pada tahun 1885. Beliau kemudian menyatakan ideanya untuk mendirikan rumah-rumah percutian untuk berehat, ladang-ladang dan markas tentera di situ kepada Residen Inggeris ketika itu. Maka dengan nama tambahan menunjukkan terletak di tanah tinggi atau ‘highland’, maka jadilah nama Cameron Highland.
Kini CH telah menjadi sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang popular di Semenanjung Malaysia. Walaupun 90% perjalanan dari Putrajaya berada di luar negeri Pahang, CH sebenarnya terletak di barat daya negeri Pahang. Dikatakan kini telah ada jalan baru dari Raub untuk orang Pahang datang ke CH. Kalau tidak mereka terpaksa lalu negeri lain dulu sebelum balik semula masuk negeri Pahang.
Kami bertolak jam 7.30 pagi, bagi mengelakkan terperangkap dengan kesesakan jalanraya khususnya di lebuhraya PLUS dengan orang yang pulang bercuti panjang sempena CNY. Tapi terkena jem juga sebab ada kereta dikatakan terbakar. Kami juga memilih jalan dari Tapah, berbanding jalan yang dikatakan baru dari Ipoh. Itu juga cadangan Hj Bahazin, lebuh dekat dan kurang jem.
Walaupun jalan masih tetap berliku, namun aku tidak terasa mabuk atau pening kepala. Mungkin disebabkan aku yang memandu ? Sesekali jalan agak sempit danberbahaya terutama di selekoh apabila kenderaan bertentangan khususnya bas yang kelihatan sering terlajak masuk di laluan jalan bertentangan.
Sesekali pemandangan sekitar mengingatkan aku ketika ke Kundasang dan kaki Gunung Kinabalu dulu. Sebelum sampai hotel penginapan, dah nampak beberapa destinasi untuk dikunjungi selepas ini, lantaran balik nanti kami nak ikut jalan lain iaitu jalan turun ke Ipoh.
Hotel Madani & Restoran Ar-Raudah
Kami tiba di Hotel Penginapan, Hotel Madani kekira 11.30 pagi. Disebabkan bilik belum siap, kami pun pergi makan dulu. Lagipun terasa lapar, sarapan pun ala kadar dalam kereta sahaja sebab RnR Plus tadi asyik nampak sesak saja.
Restoran Ar-Raudah sebelah lobi hotel sahaja. Wah memang best rasa hidangan yang disajikan. Kami berempat makan set Menu Nasi Arab untuk makan 3 orang. Jenuh juga nak perabiskan. Dikatakan ketika ini tiada restoran lain yang menyediakan hidangan nasi Arab di sekitar CH.
Pengusahanya dikatakan juga mempunyai cawangan lain di Serdang, bertentangan dengan Pasar Borong Selangor. Boleh try kat sana pulak nanti.
Solat Jumaat @ Masjid Sultan Abu Bakar
Walaupun sudah hampir Zohor, terasa panas juga. Kata sejuk sebab berada di tanah tinggi. Aku pergi Masjid Sultan Abu Bakar Tanah rata untuk solat jumaat, manakala ahli keluargaku lain terus check-in hotel.
Dalam masjid nampak ringkas. Maksudnya tidak serabut dengan kipas angin dan alat penghawa dingin. Pakai yang natural Allah sediakan sahaja. Senang nak maintain masjid-masjid di sini gamaknya. Bil elektrik rendah saja kot ?
Ladang Teh Bharat Cameron Valley
Dari Tanah Rata, destinasi pertama kami ialah, Ladang Teh Bharat Tanah di Tanah Rata yang membawa jenama Cameron Valley. Kami singgah di Tea Housenya yang terletak betul-betul di tepi jalan utama antara Pekan Ringlet ( 12km ) dengan Tanah Rata ( 3km ).
Ladang ini mula beroperasi pada tahun 1933, dibuka oleh seorang saudagar India, bermula dengan 50 ekar tanah yang dibelinya dan meningkat sehingga kini kepada seluas 1,600 ekar pokok teh. Ladang ini kini diusahakan oleh Bharat Tea Plantations iaitu syarikat ladang teh kedua terbesar di CH. Jenis teh asalnya dari Uttar Pradesh, India.
Kalau sebelum ini tengok kat TV saujana mata memandang akan ladang teh di CH, kini aku dapat saksikan sendiri secara real. Susunan tanaman pokoj teh dengan aturan yang mencorakkan keindahan.
Mengapa teh hidup subur di CH ? Pokok teh tanah tinggi hidup subur dengan iklim sederhana dengan suhu antara 12 C- 26 C.
Nampak hidangan teh dijual agak mahal juga berberbanding di kedai/gerai biasa. Biasalah tempat pelancongan. Caj tambahan dapat tengok pemandangan ladang teh.
Tapi sebab beratur panjang, aku lebih berminat nak turun bergambar, melihat keluasan ladang teh daripada dek pemerhati yang disediakan dan turun melihat dengan lebih dekat akan pokok teh. Pemandangan ladang teh di sini sungguh cantik. Subhanaullah ...
Sebelah cafe juga terdapat jualan cenderamata dan teh jenama Cameron Valley. Terasa macam tidak biasa dengan teh jenama ini berbanding jenama lain. Harga juga tidak dapat nak bandingkan dengan kalau di KL/Putrajaya.
Aku syak lebih mahal sebab ini kawasan pelancongan. Nak dikatakan lebih segar pun entah-entah kilang memproses terletak di Lembah Kelang. Ha .. ha
Air Terjun Sungai Berbisek
Kemudian kami turun lagi dan singgah di Agro Highlands Air Terjun Sungai Bisek. Selain tanaman buah strawberry, di sini ada dijual pelbagai jenis kaktus dan bunga-bungaan.
Orang tidak berapa ramai, mungkin tempat baru atau bukan suatu destinasi pilihan ramai.
Di sebelah belakang kawasan, terdapat air terjun yang kecil serta kolam dengan ikan kap koi. Mungkin sebab itu dipanggil berbisik.
Tidak banyak air yang turun dan bunyi air yang jatuh perlahan seperti orang brbisik.
Boh Plantation
Kami teruskan lagi perjalanan menurun. Target kami ialah ladang teh Boh milik Boh Plantations. Agak jauh masuk ke dalam, dengan jalan sempit yang berliku-liku di lereng bukit.
Terdapat papan tanda mengalakkan kita membunyikan horn kereta di selekoh tertentu sebagai isyarat kepada orang di hadapan. Memang kalau selisih dengan kenderaan lain, kena ada yang mengalah.
Namun keluasan ladang dan kehijauan bukit-bukau yang dipenuhi pokok teh di sekeliling cukup mengkagumkan. Mungkin kerana cuti CNY, tidak nampak orang memetik daun teh. Tetapi kami terserempak dengan pekerja yang sedang mengumpulkan daun teh yang mungkin baru dipetik.
Sampai destinasi, kami masuk ke kedai jualan teh jenama Boh. Aku rasa reganya sedikit mahal. Sebelah kedai ada juga cafe. Nampak ramai juga yang minum di situ.
Namun aku lebih berminat untuk masuk ke kilang, bimbang nanti ditutup pulak kepada pengunjung sebab hari sudah petang. Kilang nampaknya biasa sahaja, bukan sebuah bangunan yang kukuh dan bersih.
Dalam kilang kelihatan pemprosesan teh sedang dilakukan. Agaknya sepanjang masa siang hari kot. Tapi terfikir olehku sekiranya itulah keadaan kilangnya, apakah bersih dan bermutu teh yang dihasilkan.
Nampak macam kotor sahaja dalam kilang. Macam tak lalu aje nak minum teh selepas ini. Tapi diakhir urutan proses, kami hanya dapat lihat disebalik bilik yang bercermin sahaja.
Tak ada pula pemandu atau jurucakap disediakan untuk bertanya tentang hal ini.
Keistimewaan ladang di sini ialah ia mempunyai satu view point yang terletak di atas sebuah bukit setinggi 174 meter. Kita boleh mendaki sehingga ke puncak sambil merakam gambar pemandangan sekitar yang cantik.
Penat mendaki memang penat. Kiranya kalau nak berjalan di CH, memang kena prepare untuk banyak berjalan sama ada daripada segi stamina, kaki masih kuat berjalan dan pakai kasut yang sesuai.
Kalau tidak, tengok orang dari jauh sahajala ... Walaupun agak jauh, namun kunjungan ke Ladang Boh ini tidak mengecewakan. Nak datang lagi ? Mungkin tidak. Ha .. ah ..
Ladang Lebah ( Bee Farm )
Perjalanan balik, kami singgah di ladang menternak lebah untuk mendapatkan madu. Masuk percuma sahaja tetapi takut nak mendekatinya. Bimbang kena sengat dengan lebah.
Selain madu, turut dijual ialah sarangnya yang terlekat cairan madu padanya yang boleh dimakan begitu sahaja. Reganya boleh tahan jugak.
Selain lebat, menjadi tarikan lain ialah tanaman bunga-bunga serta pokok strawberry yang dapat dilihat dalam pendakian ke ladang lebah tersebut dari pintu masuk.
Pasar Malam Brinchang
Kemudian hendak patah balik ke Tanah Rata dan seterusnya hendak ke Bandar Brinchang untuk mengunjungi Pasar Malam Brinchang. Tetapi sebelum itu turun ke Ringlet untuk isi minyak kereta sebab tidak kelihatan stesen minyak di tanah rata.
Pasar malam ini terletak di tengah-tengah Bandar Brinchang. Walaupun cuma 5km jarak daripada Tanah Rata, namun disebabkan kesesakan jalan raya yang teruk pada petang itu, 90 minit perjalanan baru sampai.
Sudah sampai, cari parking pulak masalah besarnya. Akhirnya parking jauh. Aku singgah di Masjid Brinchang untuk solat sambil merehatkan badan setelah terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
Memang besar dan luas pasar malam ini. Pelbagai khususnya jualan berkaitan produk CH boleh didapati di sini dengan harga yang aku kira murah berbanding dengan destinasi pelancongan yang aku kunjungi tadi.
Lain kali beli sini sahaja, tak payah beli di pusat-pusat pelancongan. Tapi kena awas daripada segi kualiti sebab macam bantal-bantak strawberry tu ada gred-grednya.
Ramai dan majority penjual rasanya terdiri daripada bangsa Cina, malahan termasuk yang jual makanan.
Aku terperasan sebagai strategi jualan mereka, akan ada seorang dua pekerjanya berbangsa melayu Islam dengan kononnya imej Islam seperti bersongkok dan bertudung. Tujuannya tentu bagi menarik pelanggan Melayu Muslim.
Sejuk Malam
Balik dari Pasar malam, aku sempat jumpa dan sembang dengan Hj Bahazin di lobi hotel. Beliau baru tiba dari Saujana Utama setelah meredah perjalanan selama 5 jam setengah berbanding perjalanan biasa 3 jam. Ini gara-gara kenderaan yang banyak menggunakan Lebuhraya PLUS.
Masih ramai yang menanyakan sama ada bilek kosong. Menurut Bahazin, bilik seminar pun dah dijadikan bilik tidur kepada mereka yang terdesak.Tidur malam walaupun tanpa penghawa dingin serta kipas, cukup menyejukkan.
Hari Kedua
Aku terkejut bila sampai di masjid untuk Solat Subuh. Orang begitu ramai dan begitu juga kereta. Aku tanyakan kepada Hj Bahazin yang kut emui selepas balik semula hotel.
Katanya itu fenomena biasa. Sebab hotel semua penoh, orang pun terdesak lantas menginap saja di masjid. Berani dan nekad sungguh mereka, datang jauh-jauh dengan famili tanpa membuat tempahan bilik atau hotel penginapan terlebih dahulu.
Atau ada yang memang sudah biasa buat macam itu, nak jimat duit sikit. Pihak masjid pulak tidak membuat halangan.
Sarapan pagi RM5
Gerai biasa di Tanah Rata dikatakan tutup. Kebetulan ada restoran berdekatan menawarkan pakej buffet sarapan RM5 seorang.
Hidangan walaupun nampak simple, nasi lemak tanpa lauk ayam/daging, roti bakar, air kopi, kek dan koko crunch. Boleh untung ke RM5 ?
Taman Agro Teknologi Mardi
Kemudian kami ke Taman AgroTeknologi Mardi yang terletak berdekatan sahaja dengan hotel penginapan kami. Taman ini dikendalikan oleh MARDI bagi pihak kerajaan yang membuat penyelidikan dan pembangunan teknologi tanam-tanaman tanah tinggi.
Objektif penubuhan taman ini ialah untuk pembelajaran dan pendidikan, pemindahan teknologi dan agro pelancongan sesuai dengan moto Mardi - Pemimpin Agro Teknologi.
Taman ini dibuka setiap hari mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Bayaran masuk untuk dewasa ialah RM 3.00, kanak-kanak RM 1.50 dan percuma untuk kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah.
Tanaman di sini nampaknya disusun mengikut tema-tema tertentu. Antara yang terdapat di sini ialah Taman Inggeris, Kebun Strawberry, Kebun Teh, Plot Bunga-Bungaan, Plot Sayur-Sayuran, Plot Anggur, Plot Organik, Plot Kajian Tanaman, Taman Ros, Taman Herba, Rumah Orkid dn pelbagai lagi termasuk Pusat Jualan.
Menarik buah strawberry di sini, besar yang nampak macam sedap aje. Ladang anggur walaupun cuma beberapa seksyen, tapi nampak banyak buah dan saiznya pun besar, khususnya anggur hijau.
Bunga-bunganya pelbagai dan subur menarik. Bagi kaum pompuan tentunya seronok berada di sini. Agak luas kawasannya, tak larat nak pergi semua.
Aku rasa mengunjungi taman ini sudah cukup untuk cover semua yang ada di CH. Cumanya kebanyakkan ianya tidak dijual. Atau mungkin bukan musimnya ketika itu untuk jualan. Penyelidikan diutamakan.
Kampung Taman Sedia dan Al-Mashoor
Ada sebuah petempatan orang Melayu yang pertama di CH,iaitu Kampung Taman Sedia yang terletak di lembah antara Tanah Rata dan Brinchang, 1.5 kilometer daripada Tanah Rata. Di sini menawarkan banyak pakej penginapan 'Homestay' untuk para pengunjung.
Pengunjung serta penginap berpeluang untuk membeli hasil-hasil tanaman ladang kerana harganya bukan sahaja berpatutan bahkan masih segar kerana baru sahaja dipetik secara langsung dari ladang.
Salah satu daripadanya yang agak popular dengan konsep agro pelancongan berasaskan tanaman strawberi ialah Taman Agro Al-Mashoor. Merasa dengan tenang strawberry celup cokelat serta aiskerim strawberry.
Jenama Al-Mashoor adalah antara jenama yang terkenal di CH yang meliputi jem, jus, kordial yang dibuat sendiri (homemade). Taukeh dia,Tuan Syed Abdul Rahman adalah bekas ketua stesen Mardi CH.
Ladang Teh Boh Sungai Palas
Seterusnya kami menuju Ladang Teh Boh Sungai Palas yang merupakan lokasi pelancongan terkenal di dalam dan di luar negara. Persimpanagan masuk ke ladang ini terletak kira-kira 3.5 km dari Brinchang dan hanya 500 meter dari Kea Farm. Namun jalanraya yang sesak, menyebabkan kereta kami bergerak merangkak-rangkak.
Kesesakan ini sedikit sebanyak cuba meragut keseronokan berada di CH. Mungkin lain kali jangan datang masa cuti-cuti panjang begini. Cukup kalau weekend biasa sahaja.
Berbanding dengan ladang Boh semalam, perjalanan menyusuri bukit ke sana lebih berliku, lebih sempit, mencabar serta mengerikan. Maklumlah jalannya sempit dan sesekali sekala sebelah kiri dan kanan tebing jurang yang tinggi. Sekurang-kurangnya ini mengajar kita memandu berhemah dan bertolak ansur dengan kenderaan bertentangan.
Namun pemandangan untuk sampai ke sana sungguh indah, damai dan nyaman. Terbentang luasa saujana mata memandang jaluran pohon tanaman teh yang menghijau menyelaputi bukit bukau umpama carpet. Ia lebih menarik berbanding dengan ladang Teh Boh Ringlet semalam.
Lebih kurang 15 minit drive, sampailah ke ruang tapak parking di bawah Cafe House Ladang Boh. Bagi van pelancong serta yang ada permit khas, mereka boleh terus naik ke atas berdekatan deck pemerhati tanpa perlu mendaki.
Mendakilah kami dilaluan yang disediakan untuk sampai ke Cafe House. Waduh memang cantik sekali pemandangan dari deck pemerhati.
Pemandangan ladang teh yang luas dan tersusun cantik serta hijau yang menyegarkan mata. Allahu Akhbar !!
Kelihatan orang beratur panjang untuk mendapatkan teh bagi dihirup sekitar deck pemerhati. Mahal pulak reganya sampai RM3.00+ untuk secawan teh.
Selain daripada itu, disediakan kedai jualan teh Boh, galeri penerangan tentang CH dan sejarah operasi Teh Boh.
Aku juga tidak melepaskan peluang memasuki kilang yang kelihatan sudah using. Mungkin tidak banyak beza dengan kilang Teh Boh semalam.
Kebersihan masih menjadi persoalan. Ataukah di sini cuma menghasilkan ‘bahan mentah’ yang kemudiannya diproses di tempat lain ?
Ada yang mengatakan bahawa percutian anda ke CH seakan tidak lengkap jika tidak berkunjung ke ladang teh tertua ini ( bermula tahun 1929 ). Aku boleh setuju.
Pasti teringat dengan panorama indah Ladang Teh Sungai Palas sehingga bakal meninggalkan kenangan terindah dalam hidup anda.
Kea Farm
Ingat nak singgah esok dalam perjalanan pulang melalui jalan ke Ipoh. Memandangkan jalan asyik sesak, kami mengambil keputusan untuk singgah dalam perjalanan pulang semula ke Tanah Rata. Esok balik ikut Tapah sahaja.
Kea Farm adalah satu tempat persinggahan dan pusat jual beli harian khususnya sayur-sayuran tempatan dengan jumlah yang banyak untuk dibawa pulang.
Kea Farm terletak lebih kurang 3 km dari Pekan Brinchang dikatakan merupakan pusat jualan hasil-hasil ladang dan pertanian yang terbesar di CH.
Selain menjual hasil pertanian Kea Farm juga menyediakan gerai menjual barangan cenderahati, bantal hiasan dan makanan. Kedudukan kawasan jual beli dan jalan yang agak sempit, berliku dan terletak di kawasan yang berbukit menyebabkan kesesakan yang berpanjangan sejak dari persimpangan turun ladang Teh Boh.
Jarak tak jauh mana tapi lebih sejam baru sampai. Parking sementara yang disediakan juga mengerikan, jauh ke bawah di lereng bukit.
Tanah Rata
Perjalanan balik ke Bandar Tanah Rata terus-terusan sesak. Sebenarnya dalam perjalanan balik, banyak tempat yang boleh disinggah. Tapi sudah terasa penat meredah kesesakan lalu lintas, terasa nak cepat sampai Tanah Rata. Mungkin lain kali.
Tanah Rata merupakan pusat pentadbiran kerajaan dan pusat perniagaan. Ia mendapat namanya dari penemuan dan penempatan awal di kawasan tanah yang rata. Tanah rata tersebut kini merupakan padang Majlis Daerah CH.
Terdapat deretan kedai yang menjual pelbagai jenis barangan, cenderahati dan aneka makanan. Kami sampai lewat untuk makan tengahari di bandar ini, nasi campur sudah habis.
Makan Steam Boat
Sampai bilik, rehat kepenatan seharian berjalan. Dari dalam bilik, kelihatan kenderaan berjalan perlahan, barangkali akibat kesesakan untuk ke Pasar malam Brinchang.
Malam setelah berehat, kami makan ala steam boat di restoran berhampiran di deretan hotel penginapan kami.
Rasanya tidaklah seberapa, tidak banyak lauk. Masih teringat nasi arab semalam.
Hari 3
Di masjid pagi ini seperti semalam juga ramainya. Aku kira sebahagian besar jemaah ialah mereka yang ‘menginap’ dalam masjid malam tadi. Alhamdulillah ada masjid, jika tidak tidurlah di stadium bersebelahan masjid tu. Ha .. ha ...
Moga lepas ini, mereja akan rajin-rajin ke surau masjid yang pernah menjadi penyelamat kepada mereka yang dalam kesusahan dan kesukaran mendapatkan tempat penginapan.
Bertolak balik hari ni. Penuh barangan dalam kereta. Cari sarapan sekitar Kg Taman Sedia. Tak banyak pilihan kedai yang telah dibuka.
Lepas sarapan kembali ke kedal Agro Al-Mahsoor untuk membeli buah strawberi yang rasanya termurah, segar untuk di bawah balik. Tetapi rupanya belum ready lagi.
Jadi kami ambil kesempatan untuk ronda-ronda kebun strawberry yang terletak berdekatan dalam kawasan kedai. Seperti ladang lain, nampaknya kaedah tanaman fertigasi banyak digunakan. Dikatakan kalau tanam di atas tanah, walaupun bentuknya tidak berapa cantik, tetapi rasanya lebih manis. Dengan kaedah fertigasi, tanaman nampak lebih cantik dan kemas serta lebih menjadi daya tarikan pelancong.
Tertanya-tanya, berapa jangka hayat pokok strawberry ? Berapa kali or berapa bijik sepohon strawberi berbuah ? Bagaimana pula ianya membiak ?
Dalam perjalanan menurun, kami singgah semula di Cameron Valley semata-mata nak bergambar.
Terdapat pula banyak gerai-gerai tepi jalan yang menjual hasil hutan yang aku kira dijual oleh orang asli CH. Kami kemudian singgah di suatu gerai tepi jalan untuk nak merasa durian sini.
Durian hutan, rasa sebiji dengan rega RM12 sahaja. Tebal isinya dan rasanya lemak berkrim. Sodap dan memang puas hati. Selain durian ada juga dijual barangan kraft rotan. Nampak cantik-cantik. Reganya boleh tahan juga. Lagipun kereta dah penuh dengan barangan.
Nak Pergi lagi ?
Dulu takut mabk tapi sekarang ? Walaupun dicemari dengan kesesakan jalan raya yang memeritkan, namun pengalaman menikmati keindahan pemandangan dan suasana yang nyaman pastinya menyeronokkan dan menginginkan untuk datang lagi.
Tapi datang pada hujung minggu biasa, bukan seperti cuti-cuti CNY. Ada banyak lagi tempat yang tidak sempat dikunjungi seperti Butterfly Farm, Time Tunnel, Perkampungan Orang Asli dan Air Terjun Rekreasi.
Klik untuk lagi gambar-gambar
2 remaja sengaja rentang tangga tengah jalan
45 minutes ago
1 Komen:
perkongsian menarik!
mkasih 4 sharing...
:D
Post a Comment