Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Showing posts with label Aceh. Show all posts
Showing posts with label Aceh. Show all posts

Menyelami Sedekad Tsunami @ Aceh : Day 4 - 28/12/2014

Dapat solat suboh sekali lagi di Masjid Kodam. Namun dukacita melihatkan beberapa orang dengan berpakaian tentera terusan tidur dianjung masjid walaupun setelah kami solat suboh. Boleh diharap ke anggota seperti itu ? Mungkinkah mereka non-Muslim ?

Patut flight balik Malaysia tengahari, tapi AirAsia tukarkan masa kepada pagi. Terasa rugi masa pulak. Patutnya boleh jalan-jalan lagi pagi ini sebab rasanya banyak yang tidak sempat dikunjungi. Mungkin juga next time jangan pergi semasa sambutan ulangtahun tsunami sebab banyak tempat kunjungan ditutup. Tapi tak berpeluang pulak lihat dan hayati bagaimana sambutan ulangtahun tsunami dilakukan. Sedangkan itupun tarikan untuk aku ke sini.

Bertolak Ke Airport
Sebaik sarapan, terus bersiap bertolak ke Airport. Jalan agak lengang sebab hari Ahad juga merupakan cuti hari minggu di Aceh selain Sabtu. Tetapi jalan di Aceh memang tidak sibuk seperti Jakarta dan Bandung. Walaupun nampak kurang patuh kepada peraturan memakai topi keledar bagi penunggang motorsikal, namun mereka pemandu yang sopan.

Kod Plet Pendaftaran kenderaan di Aceh bermula dengan BL untuk wilayah Aceh diikuti dengan nombor dan diakhiri dengan huruf menunjukkan daerah di Aceh. Umpamanya BL 234 A menunjukkan kenderaan yang didaftarkan di Banda Aceh. Sekiranya bertukar wilayah, perlu didaftakan pindah lantaran kadar roadtax yang berbeza antara wilayah.

Kereta buatan Jepun seperti Toyota dan Honda adalah majoriti. Tidak kelihatan kenderaan buatan Malaysia, kecuali sekali kami menemui motorsikal Modenas.

Di persimpangan lampu trafik, walaupun lampu telah merah, kenderaan masih boleh meneruskan perjalanan jika hendak masuk ke kiri.

Gunung Selawah
Daripada airport nampak jelas gunung ini. PPku sering menyebutkannya sebagai Gunung Fuji sebagaimana di Jepun. Ia sering kelihatan di mana-mana apabila berada di banda Aceh. Puncaknya yang sering ditutupi awan, membayangkan ianya seperti Gunugn Fuji, Jepun.

Nama asal ialah Gunung Selawah. Nama itu diberikan memandangkan dulu-dulu, apabila melaluinya akan kedengaran suara ‘orang’ sedang berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. Kata PPku memang terdapat jalan raya berdekatan gunung tersebut yang menjadi laluan untuk ke banda Aceh dari wilayah luar.

Aceh Sebelum Tsunami 2004
Daripada segi sejarah, Aceh pernah menjadi sebuah kerajaan yang hebat suatu masa dahulu. Aceh dikatakan antara yang terawal menerima kedatangan Islam di nusantara kita. Lantaran itu dipanggil juga sebagai Serambi Mekah. Kewujudan kerajaan Islam Samudera-Pasai (1200-1400) dan kerajaan Islam Lamuri (sebelum 1500) menjadi bukti kegemilangan Aceh. Aceh di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda ( nama Airport sekarang ) adalah zaman kegemilangan tamadun Aceh.

Kegemilangan kemudiannya musnah akibat penjajahan dan peperangan dengan Siam, Majapahit dan Portugis sehinggalah akhirnya kesultanan Aceh jatuh kepada penjajah Belanda. Istana sultan dibakar dan kemudianya digantikan dengan bangunan baru yang sekarang menjadi kediaman rasmi Gabenur Aceh.

Ketika Republik Indonesia dibentuk pada tahun 1945, Acheh dimasukkan sebagai salah satu wilayahnya. Pada tahun 1975, Gerakan Acheh Merdeka ( GAM ) diwujudkan bagi menuntut kemerdekaan Aceh dari Republik Indonesia.

Ini membawa kepada pertempuran puluhan tahun di antara sebahagian penduduk Aceh dan tentera pemerintah Indonesia. Pihak Jakarta berkeras lantaran PPku kata Aceh mempunyai sumber ekonomi yang kuat seperti minyak dan lombong emas yang menyumbang kepada pendapatan Jakarta.

Akhirnya pada Mei 2003, kerajaan Indonesia mengisytiharkan darurat di Aceh dan melancarkan operasi ketenteraan selepas GAM menolak autonomi khas yang diberikan pemerintah. Aceh tidak aman dan sering berlaku pertempuran antara kedua pihak. Akhirnya pihak Jakarta mendakwa kumpulan pemberontak GAM berjaya dipatahkan. Walau apapun, konflik ini memberikan kesan kepada masyarakat Aceh.

Tsunami Membawa Perdamaian ?
Bencana tsunami yang menimpa bumi Acheh telah membawa kedua pihak kembali ke meja rundingan. Pada Julai 2005 rundingan persefahaman Helsinki, Finland telah berjaya mencapai perdamaian dengan kuasa autonomi khusus kepada Acheh seperti yang pernah ditawarkan pada 2002.

Nampaknya bencana itu menjadi penyelesaian dan penyelamat yang datang daripada Allah s.w.t. Kita yang hidup bolehlah beranggapan begitu, bagaimana yang telah pergi ? Bagaimana nasib mereka walaupun kita mengelarnya syuhada tsunami ?

Benarkah Maksiat Besar Malam 25 Disember 2004 ?
Menurut PPku memang ada dengar, di beberapa lokasi tertentu. Tetapi tidaklah obious sangat. Semuanya kuasa Allah s.w.t. Sama ada secara kebetulan, atau mainan Amerika seperti yang aku coretkan semalam atau memang gempa bumi dalam laut. Waullahualam.

Dikatakan juga pada malam sebelum kejadian berlaku pesta hiburan berdekatan dengan makam ulama besar Aceh ialtu Makam Syiah Kuala, khabarnya sempena Hari Natal ? Mereka berhibur, berjoget dan mabuk-mabuk lelaki dan wanita.

Menurut cerita ada soranag lelaki berjubah putih datang cuba memberikan nasihat, namun tenggelam dengan kegimitan pesta. Lantas beliau berdoa di makam berkenaan dan melaungkan azan 3 kali sebelum hilang dalam kegelapan malam.

Azan Suboh yang bergema dari berdekatan, Masjid al-Waqib masih tidak mampu menghentikan pesta yang masih meriah dan berterusan walaupun matahari mulai terbit. Kemudian datanglah ombak tsunami. Bukan sahaja menghentikan dan mengorbankan mereka berpesta, tapi juga merosakkan Kompleks Makam Syiah Kuala serta penduduk sekitar.

Namun Masjid Al Waqib yang menjadi peninggalan Tengku Syiah Kuala mengabdi dirinya pada ilmu pengetahuan dan pembinaan masyarakat tetap berdiri kokoh.

Tentang Air Tsunami
Tsunami dikatakan mula melanda pantai Uhe-Lhee jam 7.50pagi 26 Disember 2004, kira-kira 30 minit sebaik gempa. Kederasan gelombang selaju 800 km/j ( kelajuan kapalterbang komersial di udara ) dan mencapai setinggi 20-30 meter. Punca mula ledakan dan kekuatan skala richter ada percangahan antara versi Amerika, Jepun, Australia dan Jakarta.

Kata PPku, walaupun setelah beberapa hari mayat masih bertebaran, perut mayat tidak kembung. Malahan ada yang mengempis. Mayat tidak juga berbau walaupun ribuan. Juga tiada wabak penyakit. Air tsunami tersebut dikatakan berwarna hitam dan juga kemerah-merahan. Apakah kandungan belerang atau bahan kimia tertentu ( jika tsunami ciptaan Amerika ) beserta isi perut bumi yang kemudiannya dimuntahkan kepermukaan laut ?

Yang meninggal mungkin bukan semuanya disebabkan ‘lemas’, tetapi juga kerana terminum air tsunami. Juru penerang di Kapal PLTD Apung mengakui terminum sedikit air ketika bertarung menyelamatkan diri dan ibunya. Jika mengikut kisah mereka yang terselamat di Kapal Atas Rumah Lampulo, sebahagian Aceh ( 5-6km daripada pantai ) ditengelami air tsunami selama 7 jam. Juga dikatakan hempasan ombak sunami itu berjumlah 3 kali.

Kebangkitan Aceh Selepas Tsunami
Sekiranya kita pernah ke Aceh sebaik sebelum tsunami, selepas tsunami dan 10 kemudiannya, mungkin dapat melihat perubahan Aceh serta kebangkitannya setelah tsunami. Pun begitu PPku kata kehidupan tidak banyak bezanya.

Sambutan 10 tahun tsunami ini, Aceh memilih "refleksi, apresiasi dan kebangkitan" sebagai slogan. Bagi Datuk Bandar Aceh, Illiza Sa'aduddin Djamal, 10 tahun adalah tempoh yang membuktikan kepada dunia, bahawa Aceh mampu membangun dengan lebih baik.

Melihatkan kepada suasana serta isu yang masih timbul, apakah 10 tahun mencukupi ? Khususnya setelah jutaan sumbangan diberikan oleh 55 negara penderma. Sejauhmana ianya dimanfaatkan sepenuhnya. Apakah tidak sampai or sangkut di Jakarta atau di tengah-tengah birokrasi?

PPku kata selain daripada rumah bantuan yang kini kosong, ada juga bangunan sumbangan luar kini tidak diselenggara atau manfaatkan. Bayangkan kalau mereka datang lagi ke sini melihatkan suasana ini.

Benarkah Aceh Miskin ?
Menurut PPku Aceh sebelum dan selepas tsunami masih belum nampak perbezaan yang ketara daripada segi taraf sosio ekonominya. Antara sebab mengapa pihak Jakarta enggan memenuhi tuntutan penduduk Aceh untuk berpisah dan merdeka daripada Indonesia ialah kekayaan yang ada di bumi Aceh.

Selain kaya dengan hasil pertanian seperti nelayan, padi dan kopi, terdapat perlombongan minyak serta emas di wilayah Aceh. TetapI mengapa Aceh kelihatan miskin. Apakah sebab nilai mata wang Rupiah atau keseluruhan Indonesia.

PPku hanya membayangkan masalah pengurusan pemerintah sejak dulu lagi. Kekayaan hasil bumi Aceh banyak disumbangkan kepada Jakarta sahaja. Sumber bumi tidak diusahakan oleh wilayah tempatan sebagaimana dilakukan oleh Petronas kepada Kerajaan Pusat dan Terengganu. Bagaimana dengan peruntukan untuk Aceh dari Jakarta ?

Pada tahun 2011, jumlah penduduk miskin di Aceh ialah sebanyak 20% atau kekira 900,000 orang. Kadar ini menurut pada 2013 kepada 17.5%. Aku macam tak percaya yang garis kemiskinan tahun 2013 ialah Rp350,00 per kapita bulanan ? Ini setara RM 120 sahaja. Biar betol …

PPKu kata gaji seorang jururawat kelulusan diploma adalah dalam anggaran sekitar Rp 1juta ? Manakala kelulusan fresh graduate cuma sekitar Rp 2 juta ? Mengejutkan, cukup ke untuk survive !! Menerusi internet aku dapati pendapatan perkapita Aceh ialah sebanyak Rp17.46 juta, ( atau RM 5,240 ) berbanding pendapatan perkapita rakyat Malaysia ialah USD 15,589. ( atau RM 46,700 ). Jauhnya beza.

Meskipun demikian, kita tidak rimas dengan desakan oleh perayu jualan serta peminta sumbangan sebagaimana berlaku jika berkunjungke Bandung dan Medan. Penceritaan tsunami memberikan kesedaran untuk kita meringankan tangan menyumbang dan memasukkan Rp dalam peti-peti derma di sana sini.

Aku rasa cabaran besar pemerintah walaupun selepas sedekad tsunami ialah menangani kemiskinan rakyatnya. Peningkatan industri pelancungan sewajarnya dapat membantu membantu sedikit sebanyak.

Pelancungan Aceh Dan Muhasabah Diri
Industri pelancungan dikatakan semakin pesat berkembang di Aceh. Dulu orang tidak mahu datang ke Aceh sebab masalah keselamatan disebabkan konflik dalaman Indonesia. Peristiwa tsunami menambahkan lagi tarikan bagi kunjungan para pelancung.

Aku tanya PPku, kalau setakat bangunan masjid dan perkuburan syuhada kesan tsunami, apa pilihan bagi non-Muslim. Apakah non-muslim takut hendak datang lantaran hukum syariat Islam yang dilaksanakan sekarang ? Katanya ada pilihan lain seperti Pulau Sabang dengan aktiviti perkelahan dan snorkeling, Muzium Tsunami, Muzium Aceh dan Perkuburan Belanda.

Walaupun tsunami telah 10 tahun berlalu, kebangkitan kota Serambi Mekah dan perubahan wajahnya itu sendiri boleh menjadi sebagai produk pelancungan. Pengekalan kesan tsunami seperti Kapal PLTD Apung, Kubah Tsunami dan Kapal Atas Rumah Lampuuk, selain untuk tarikan pelancungan, juga menjadi peringatan kepada generasi akan datang.

Tsunami bukan setakat bencana alam sahaja, tetapi sebagai seorang Islam, tsunami dianggap satu teguran dan peringatan daripada Allah s.w.t. Walaupun pahit bagi mereka, hari ini Aceh mula mengerti hikmah yang tersirat di sebalik semua itu. Kesan tsunami bukan sekadar bencana runtuhan dan kerosakan bangunan dan infrastruktur. Tsunami membawa perdamaian di Aceh. Bencana itu seolah-olah membawa penyelesaian terhadap konflik yang berlaku sebelum itu. Allahu Akbar !!

Sebagai pelancung, ia juga merupakan suatu muhasabah diri. Aceh yang sebelum ini hilang dari mata dunia, tetiba timbul balik setelah berantakan dilanda tsunami. Begitu mahal hikmah yang Allah s.w.t hendak tunjukkan. Ratusan ribu ‘terpaksa’ menjadi korban selain pelbagai kerosakan dan kemusnahan fizikal.

Benarkah Hanya Masjid Tidak Musnah ?
Ada dikatakan orang Aceh bahawa masjid adalah rumah Allah dan tiada siapa boleh merobohkannya melainkan Allah sendiri. Difahamkan sekurang-kurangnya 27 masjid tidak musnah dihempas badai tsunami walaupun terletak berhampiran pantai. Bukan semua masjid. Ada juga yang musnah seperti masjid yang kubahnya sesat di tanah sawah Guroh.

Bagaimana kita melihat suasana ini kerana terdapat juga rumah dan bangunan lain yang tetap teguh strukturnya walaupun dilanda tsunami seperti rumah sakit di Perkuburan Uhle-Lee. Cumanya ia tidak dibaik pulih semula.

Berdasarkan ini, mungkin struktur asas binaan konkrit bangunannya yang kukuh berbanding bangunan sekitarnya yang telah musnah. Masjid Raya Baiturrahman direkabentuk oleh standard Eropah yang kukuh. Aku perhatikan, masjid di Aceh pintunya besar atau kurang dindingnya. Oleh yang demikian, mungkin air boleh melaluinya tanpa banyak merosakkan struktur binaan yang menghalanginya.

Pun demikian terdapat sebuah masjid di Sigil ( aku tidak mengunjunginya ) dikatakan tetap teguh walaupun dibuat daripada kayu dan binaan lain sekitarnya ranap. Jadi macamana ? Apakah ada faktor keberkatan. Berkat kerana diliputi kebaikan, banyak dikunjungi untuk ibadah, beramal dan berdzikir menyebut-nyebut dan memuja Allah s.w.t. Masjid atau musolla yang kurang diimarahkan, kurang diberkahi lantas menerima pembalasan lantaran kelekaan ahli kariahnya terhadap tanggungjawab kepada agama ?

Satu teori jahat, kebanyakan masjid dibina menerusi derma ikhlas. Maka sang kontraktor akan membinanya dengan jujur, mengikut spesifikasi dan kualiti yang baik, tanpa penipuan dan rasuah dengan menggunakan bahan berkualiti rendah seperti yang digunakan dalam pembinaan bangunan lain bagi mengurangkan kos, logik ke ? Ha .. ha!

Jika masjid di Aceh hendak membuktikan bahawa masjid itu sebagai Rumah Allah dan Allah telah menyelamatkan rumah-Nya, bagaimana pula misalnya di Sri Lanka terdapat beberapa buah kuil Hindu yang tidak terjejas. Di Thailand ada pula Wat Siam yang turut tidak dirosakkan oleh tsunami. Di beberapa tempat lain ada patung Buddha serta salib Kristian serta gereja yang juga terselamat walaupun kawasan sekelilingnya rosak teruk.

Allah s.w.t juga yang memeliharanya ? Atau lantaran konkrit atau bahan logam yang sangat berat dan teguh ? Atau tanda Allah ‘menghormati’ rumah ibadah mereka sebagaimana maksud firman Allah s.w.t yang melarang kita membinasanakan tempat ibadah agama lain

Pelaksanaan Syariat Islam
Bagaimana pula kini Aceh perlu bersyukur dengan nikmat tsunami ini. Pelaksanaan undang-undang syariat Islam sewajarnya mendapat sokongan masyarakat agar bukan sahaja kemurkaan Allah tidak datang lagi tetapi untuk menuju kembali kegemilangan Aceh sebagaimana Kesultanan Pasai dahulu. Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang dikatakan melaksanakan hukum syariah secara kaffah atau menyeluruh.

Aku sebenarnya kurang pasti setakat mana menyeluruh yang dimaksudkan. Patutnya kena buat sedikit homework sebelum datang. Ini dapat dilakukan lantaran kuasa atonomi yang diberikan kepada Aceh hasil perjuangan GAM sebelum tsunami melanda lagi.

Apakah sekadar larangan wanita berpakaian ketat di tempat awam, tiada penjualan arak, larangan berjudi, tiada kelab malam dan panggung wayang ? Tak nampak pulak apa ayang disebut sebagai polis syariah. Tak kebetuan pula melihat hukuman sebat dikhalayak ramai diamalkan bagi pesalah tertentu. Mungkin ditangguh sempena 10 tahun tsunami ?

Menurut PPku, semuanya berjalan lancar lantaran majority adalah umat Islam dan peristiwa tsunami menjadi pemangkin kesedaran tersebut. Mungkin masih ada yang berdegil atau ingkar.

Doa Dari Semua
Aceh kini cuba membangun dan mereka mengharapkan doa dari dunia seluruhnya. Tsunami bukan sahaja merubah geografinya. Ia turut meletakkan cita-cita dan hasrat dalam diri penduduk Aceh dalam memulakan hidup baru. Biarpun Banda Aceh tidak sehebat Jakarta atau Bandung, tapi ia tenang. Rakyatnya kini 'bebas' menjalankan aktiviti tanpa ketakutan ekoran konflik dengan Jakarta.

Semoga Aceh akan kembali menjadi tamadun yang gemilang seiring dengan syariat Islam, sebagaimana buminya suatu ketika dahulu. Insya’allah kalau panjang umur dan ada rezeki, aku akan ke Aceh semula. Menjejakkan kaki sahaja di KLIA2, terima berita kehilangan flight AirAsia Surabaya-Singapura, QZ8501. Syukur selamat pulang
Share:

Menyelami Sedekad Tsunami @ Aceh : Day 3 - 27/12/2014

Aku bangkit awal dengan harapan dapat solat suboh berjemaah dengan masjid terdekat. Semasa pulang semalam, aku kira jaraknya tidak sampai 200meter atau 5 minit perjalanan, iaitu Masjid Kodam Iskandar Muda. Kodam bermaksud Komando Daerah Militer, agensi di bawah Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat.

Masjidnya kecil sahaja, mungkin kalau penoh boleh muat sekitar 300 orang. Jemaah pula tidaklah ramai, kekira 20 orang termasuk wanita. Selepas solat ada kuliah suboh, rupanya dikendalikan oleh Al-Ustaz yang membawa rombongan dari Shah Alam, Selangor. Al-Ustaz menjelaskan mengenai bagaimana menjadikan sesuatu perbuatan dan tindakan kita menjadi ibadah kepada Allah.

Perkampungan Nelayan Lampulo
Selepas sarapan pagi, kami bertolak ke Lampulo yang merupakan perkampungan nelayan di Banda Aceh.

Kerana menghormati peristiwa tsunami, selalunya mereka tidak turun ke laut menangkap ikan, menjelang 26 Disember. Apatah lagi tahun ini, ia jatuh pada hari Jumaat dan genap 10 tahun.

Nelayan memang dilarang menangkap ikan pada hari Jumaat, lagipun bagaimana nak solat Jumaat nanti ?Melalui tepian sungai dan jeti pelabuhan agak sunyi dan kelihatan banyak kapal nelayan berlabuh.

Kapal Atas Rumah Lampulo
Satu lagi keajaiban tsunami. Sebuah kapal nelayan berada di atas rumah yang telah musnah sebahagiannya. Sebelum tsunami, kapal yang berukuran 25meter panjang dan 5 meter lebar itu sebenarnya sedang berada di dermaga untuk pembaikan.

Datang tsunami, ianya dihanyutkan tanpa pemandu dan enjin. Apabila surut, ianya tersangkut dan mendarat di atas rumah seperti yang ada sekarang .

Dikatakan kira-kira 59 orang telah terselamat dan menyelamatkan diri ke kapal ini. Termasuklah keluarga tuan rumah serta Ustaz Mujibur TV Al-Hijrah yang ku temui semalam. Mereka terpaksa bertahan kira-kira 7 jam di atas kapal tersebut sehinggalah air surut. Apakah bermakna tsunami menenggelami Banda Aceh selama itu ?

Bagaimanakah pengalaman mereka yang di atas kapal melihatkan kejadian sekeliling di hadapan mata.Dikatakan turut terselamat dalam rumah di bawah kapal tersebut ialah beberapa ekor buaya yang terlepas dari muara sungai. Mengerikan ….

Ketika pembersihan selepas tsunami, banyak saki baki binaan, rumah diroboh dan pecah dindingnya. Namun dituliskan perkataan di satu dinding meminta ianya tidak dipecahkan bagi membolehkan kapal tersebut terus berada di atas.

Kini telah dibuat beberapa binaan untuk menyokong kedudukan kapal tersebut supaya kukuh dan tidak jatuh untuk jangka panjang dan boleh menjadi tontonan ramai demi mengenang tsunami.

Juga dibina laluan menaik sehingga menyamai paras kapal bagi membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat bahagian dalam dan atas kapal. Bila berada di atas, dapat juga melihat pemandangan sekitar Lampulo.

Daripada atas, PPku menunjukkanku beberapa bangunan awam seperti sekolah, rumah sakit sekitar Lampulo dibangunkan semula dengan pembiayaan pelbagai negara dan syarikat besar dunia.

Terdapat juga binaan rangka besi yang dulunya diletakkan bumbung, namun sekarang sudah tiada. Terdapat juga gerai-gerai menjual souvenir di sekitar.

Rumah Bantuan Tahan Gegaran Gempa
Berdekatan kapal atas rumah tersebut aku ditunjukkan oleh PPku sebuah rumah bantuan yang dilengkapi dengan besi sebagai penahan gegaran oleh gempa bumi.

Melihatnya aku terasa macam serabut pula. Mencacatkan pandangan dan rumah jadi tak cantik. Pilihan, antara keselamatan dan cantik mata memandang ?

Apakah Aceh Di Ramal Akan Dilanda Gempa ?
Janganlah berdoa macam itu, kata PPku. Contoh dari rumah tahan gegaran tadi, maksudku apakah Aceh bersedia untuk berhadapan dengan bencana gempa pada masa akan datang.

Tidak dinafikan semuanya ketentuan Allah s.w.t. Namun Aceh malah sebahagian besar Indonesia terletak di atas Lingkaran Api Pasifik yang merupakan rangkaian gunung berapi. Potensi tu ada, cuma masa menentukan.

Untuk itu, pelbagai program evakuasi dilakukan oleh pemerintah yang melibatkan latihan menyelamatkan diri sekiranya berlaku bencana besar. Ini dikendalikan oleh Pusat Riset Tsunami dan Mitigasi Bencana atau Tsunami and Disaster Mitigation Research Center (TDMRC) bagi menguji kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana.

Latihan evakuasi selalunya mendapat kerjasama ramai membabitkan semua golongan masyarakat termasuk pelajar sekolah, universiti, pekerja kerajaan dan swasta, penduduk kampung serta Bandar. Maklumlah keselamatan mereka sendiri. Kesan tsunami 2004 telah mengajar mereka. Jalan-jalan baru dibina melebar untuk laluan menyelamatkan diri dengan papan tanda arah.

Pusat Riset Tsunami
PPku kata ada sekurang-kurangnya 5 bangunan evakuasi sekitar Aceh untuk orang ramai menyelamatkan diri. Bangunan tersebut bertingkat, setinggi 18 meter dan tahan gempa bumi sehingga skala 10 Richter.

Dengan harga kira-kira RM40 juta setiap satu, pembinaannya dibiayai bersama oleh pihak Aceh serta Kerajaan Japun melalui Japan International Cooperation Agency ( JICA ). Ia juga dilengkapi dengan siren dan pemancar untuk memberikan amaran sekiranya berlaku bencana.

Pada sesuatu masa, ia boleh menempatkan sekitar 2000 orang dan di tingkat atas sekali atau bumbung, helikopter boleh mendarat bagi membawa mangsa keluar dari Banda Aceh atau ke tempat yang lebih selamat.

Tugu Tanda Aras Ketinggian Bah Tsunami
Aku ditunjukkan oleh PPku satu tugu atau tiang yang menjadi tanda aras, bahawa aras air semasa tsunami di sesuatu kawasan ketika tsunami melanda pada tahun 2004. Ia juga peringatan kepada orang ramai.

Entah berapa banyak dibina dan pembinaannya dibiayai oleh kerajaan Jepun. Tanda aras berdasarkan tanda sekitar kawasan berkenaan seperti tanda dipokok serta binaan yang terselamat.

Tsunami Ciptaan Jahat Amerika ?
Semasa mengaji di Malaysia, PPku kata dia ada beli sebuah buku dekat kedai dia Masjid Jamek KL yang membongkarkan satu teori bahawa tsunami yang berlaku 2004 itu adalah ciptaan Amerika. Agak mengejutkan, tak pernah aku dengar.

Menurut beliau, gempa bumi dalam laut sering berlaku di Sumatera tetapi kesan ombaknya tidaklah besar seperti tsunami 2004. Tentu ada ledakan air di kedalaman tertentu, umpamanya tenaga nuclear !!! Tsunami kata sampai Afrika Selatan, tetapi kenapa pengkalan Tentera Amerika di Deigo Garcia tidak terjejas ?

Hipotesis ini dikuatkan lagi dengan keadaan mayat syuhada tsunami yang kulitnya berwarna hitam pekat seumpama mayat bom atom Hiroshima dan Nagasaki. Selalunya kematian akibat lemas di lautan tidak mengubah sangat warna kulit.

Ok, mungkin kerana belerang letusan gempa. Tetapi bagaimana kapal laut perang Amerika USS Abraham Lincoln boleh tiba di perairan Aceh dengan cepat ‘memberikan bantuan’ di Aceh. Aset tentera Amerika, Apache berlegar-legar di udara Aceh. Apa yang dicarinya ?

Dua bulan selepas tsunami, Program Alam Sekitar Pertubuhan PBB ( UNEP ) menemukan sampah nuklear di wilayah Somalia yang kemudian dikatakan datang dari Lautan Hindi ( Aceh ).

Jika benar, kenapa tidak diheboh-hebohkan perkara ini ? Ini suatu kebiadaban dan jenayah terancang paling besar lantaran kemusnahan yang berlaku !! Mungkin sebab dunia takutkan Amerika. Sebelum ini pun didakwa Amerika sendiri dalang dalam peristiwa 9/11 dan MH370 ?

Rumah Aceh Di Muzium Aceh
Akhirnya sampai ke kawasan Muzium Aceh, nampak sibuk dengaan pelbagai acara. Kata PPku, walaupun kesultanan Aceh telah terhapus oleh Belanda, masih ada mereka yang mengaku keturunan Sultan Aceh meneruskan kingdomnya.

Kekiranya macam di Malaysia juga, ada yang mengaku Sultan Melaka. Kemudian kami ke bangunan yang dinamakan Rumah Aceh.

Rumah tersebut dibina oleh keraajaan Belanda dulu untuk menyertai satu pertandingan diadakan di Jakarta. Ia telah memenangi beberapa anugerah..

Rumah adat ini ada 3 bahagian utama iaitu serambi depan, serambi tengah yang meninggi sikit dan serambi belakang.

Di serambi tengah, satu hujung menempatkan bilik ibu bapa. Manakala satu hujung lain ialah bilik anak wanita. Kata PPku, anak lelaki kena tidur di surau bagi mendalami agama.

Para tetamu dilayan di serambi depan. Manakala serambi belakang menempatkan dapur serta stor makanan. Serambi depan dan belakang mempunyai tangga yang unik untuk membolehkan naik turun melaluinya.

Yang uniknya, atap rumbia rumah ini diikat dengan tali khas. Sekiranya ada musoh atau orang membakar atap rumah ini, tali tersebut diputuskan bagi menjatuhkan atap ke tanah. Ini dapat mengelakkan rumah daripada terbakar keseluruhannya.

Loceng Cakra Dunia
PPku membawa kami ke satu binaan yang tergantung dalamnya apa yang dinamakan Loceng Cakra Dunia. Memang berbentuk loceng yang besar giler …

Loceng tersebut dikatakan pemberian Kerajaan China dulu melalui Laksamana Cheng Ho kepada Kesultanan Samudera Pasai sebagai tanda persahabatan. Nama Cakradonya adalah nama kapal perang sultan ketika itu yang bermaksud ‘kabar dunia’.

Lonceng tersebut berfungsi sebagai tanda isyarat perang. Pernah loceng itu di gantungkan di Masjid Raya Baiturrahman dan dibunyikan untuk memanggil orang ramai mendengar pengumuman daripada sultan. Banyak lagi ruang pameran hendak dikunjungi, namun disebabkan halangan oleh banyak aktiviti lain sedang berlangsung, kami terus beredar.

Museum Tsunami Aceh
Seterusnya kami ke Muzium Tsunami Aceh. Mendekati muzium, Jalan agak sesak dan orang ramai. Mungkin sebab semalam di tutup. Muzium ini dibangunkan setelah tsunami melanda yang mengenang peristiwa tsunami kepada orang ramai.

Muzium yang berbentuk kapal ini direkabentuk oleh Encik Ridwan Kamil iaitu Dekan Institut Teknologi Bandung yang kemudiannya menjadi Datuk Bandar Acheh. Ia telah dibuka dengan rasminya oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 23 Februari 2008.

Bangunannya juga berbentuk ombak mengambarkan tsunami yang pernah melanda Aceh. Muzium ini berada tinggi sedikit dengan tiang besar ‘rumah Aceh’ bagi membolehkan air lalu di bawahnya. Terdapat 4 tingkat, setinggi 45 meter dan Ia boleh memuatkan seramai 2,000 orang bagi tujuan evakuasi sekiranya tsunami atau bencana melanda.

Rebentuk serta corak warna dinding luarnya juga agak unik. Kata PPku dia menyerupai anyaman saman, satu corak yang sohor di Aceh. Memasukki pntu masuk, kami melalui lorong yang gelap. Kata PPku sepatutnya ada air di kiri dan kanan yang turun dari atas. Rosak kot ? Ia bagi mengambarkan ketinggian air tsunami ketika melanda Aceh.

Ruang Ingatan
Ditemukan pula ruang yang besar sedikit dengan beberapa monitor yang di susun bertingkat-tingkat.

Semua monitor memaparkan foto-foto yang sama, kejadian tsunami dalam bentuk slide bagi mengingati semula detik-detik hitam bagi Aceh.

Sumur Doa
Kemudian kami memasuki satu ruangan atau bilik yang suram di mana tercatat dikeliling dinding, sebahagian daripada mangsa yang terkorban selepas kejadian gempa dan tsunami.

Katanya baru sekitar 2,000 nama dan akan ditambah dari semasa ke semasa memenuhi ruangan ke atas sehinggalah sampai kepada ‘siling’ di atas dengan tulisan kalimah Allah.

Ia mengambarkan bahawa, "Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali" ( Surah Al-Baqarah : 156 )

Lorong Kebingungan
Kemudian kami melaalui Lorong Kebingungan yang suram dan permukaan lantai yang tidak rata. Itu gambaran dimana sebaik berlaku tsunami, masyarakat Aceh kebingungan mengenakan apa yang telah berlaku serta bagaimanakah masa depan mereka selepas ini.

Bingung mencari saudara mara dan harta benda yang hilang dan musnah.

Jambatan Kedamaian
Di tengah-tengah bangunan Bahagian dalam di bina satu jambatan yang dinamakan Jambatan Perdamaian. Tsunami datang memberikan perdamaian kepada Aceh, lantaran konflik sosial politik yang berlarutan sebelum ini, ditamatkan disebabkan tsunami.

Jambatan Perdamaian sepanjang 15 meter berada di atas kolam ikan dengan dikelilingi 55 batu besar ( yang boleh dijadikan tempat duduk ) bagi menunjukkan 55 buah negara penyumbang kepada pembangunan semula Aceh.

Tayangan Video
Aku berkesempatan masuk menyaksikan tayangan dalam bilk tayangan yang boleh menempatkan kekira-100 orang pada satu-satu masa.

Namun tayangan kekira 9 minit, suasana tsunami melanda banda Aceh itu adalah seperti apa yang sering kita lihat di internet dan youtube. Tiada apa yang menarik sangat.

Selepas itu, kami menyaksikan bahan-bahan pameran berupa foto kejadian, tayangan simulasi atau animasi kejadian tsunami, program pemulihan, foto kebangkitaan Aceh, bahan kesan tsunami serta diorama gambaran tsunami.

Aku kira muzium ini menarik dan wajib dikunjungi sekiranya ke Aceh bagi menyelami lebih detail, kejadian tsunami daripada pelbagai aspek.

Masuk pun percuma. Kami tidak sempat nak lama dalam muzium ini kerana jam 12.00 tengahari, muzium ditutup rehat.

Ayam Penyet Wong Solo
Atas permintaan kami, seterusnya PPku bawai lunch di kedai ini. Kata anakku, ini antara jenama yang terdapat di Malaysia yang disahkan Halal JAKIM. Dalam bahasa jawa, wong solo bermaksud orang Solo. Solo tu sama ada bermaksud bujang atau keseorangan.

Agak besar restorennya. Walaupun macam gerai biasa, tetapi bersih. Ruang parking pun cukup luas dan pelayan atau pekerja wanitanya semuanya bertudung.

Orang pun agak ramai. Kami pun memesan apa yang special di kedai ini, iaitu Nasi Ayam Penyet Wong Solo.

Memang sedap ayam penyetnya. Aku pernah juga makan yang di Malaysia, tetapi bukanlah ayam penyet yang branded. Memang terasa perbezaannya. Harganya pun kalau ditukar kepada RM, murah sangat-sangat. Sekitar RM6 satu set tanpa air.

Universiti Syiah Kuala
Bunyi ‘syiah’ tu macam senstif sahaja di Malaysia. Sebenarny bunyi ‘Shah’. Tetapi itulah nama ulama besar Aceh dulu banyak berjasa kepada orang Aceh. Aku pun tidak pasti kenapa ada lawatan ini dalam acara kunjungan kami. Padahal kami hanya tengok dari dalam kereta sahaja. Lagi pun tengah mengantuk kekenyangan, tak dapat fokus apa yang PPku ‘berceloteh’.

Universiti ini merupakan university tertua ( 1960 ) dan terbesar di Aceh yang menyediakan pelbagai aliran pengajian seperti ekonomi, perubatan, undang-undang, pertanian dan kejuruteraan, tapi tiada aliran agama rasanya. Mereka juga terlibat dalam penyelidikaan berkaitan riset tsunami menerusi Tsunami and Disaster Mitigation Research Center ( TDMRC )

Banyak bangunan yang dibina dengan biaya syarikat negara-negara luar termasuk Petronas. Semasa tsunami, pelajarnya sedang bercuti ‘winter’. Ribuan pelajar dan ratusan staf serta keluarga telah syuhada dan hilang. Tsunami juga telah merosakkan kira-kira 1/3 daripada bangunan dan kemudahan kampus.

Shopping Di Pasar Atjeh
Kembali ke Pusat Banda Aceh untuk memulakan aktiviti shopping. Aktiviti lawatan telah selesai. Kiranya bangunan Pasar Atjeh ni macam Pasar Baru di Bandung dengan jualan telekong, tudung dan kain baju.

Tetapi jualannya tidaklah sebanyak macam Pasar Baru Bandung. Daripada segi harga, tak pastilah. Mungkin tidaklah semurah di Bandung.

Menurut PPku, bangunan baru Pasar Atjeh ni dibangunkan semula dengan bantuan negara Jepun. Banyak juga kedai-kedai lain bersekitaran Pasar Atjeh ni yang menawarkan banyak pilihan.

Kebanyakan mereka tidak menerima belian dengan kad kredit, tetapi menerima RM Malaysia.

Yang selesanya tiada sangat orang meminta dan merayu simpati mohon sumbangan itu ini seperti di Pasar Baru Bandung.

Kota Seribu Warong Kopi
Kota Banda Aceh bukanlah pengeluar kopi, tetapi wilayah Aceh merupakan pengeluar 40% kopi Indonesia. Mungkin kerana itulah, dimana-mana akan terdapat apa yang disebut sebagai ‘warkop’ ataupun warong kopi sehingga disebukan bahawa Aceh merupakan Kota Seribu Warong Kopi.

Ada yang berbentuk warkop biasa, sehinggalah yang menyajikan music, tontonan TV dan wifi, warkop sederhana dan esklusif sehingga membentuk rangkaian business dalam industry warkop. Kekira budaya minum di warkop telah menjadi budaya sejak dulu kala lagi.

Aku berkesempatan dibawa singgah ke salah satu rangkaan warkop iaitu warkop solong. Suasana kedainya biasa sahaja. Pengunjungnya ramai lelaki, lantaran itu kuat sangat bau asap rokok.

Mungkin aku bukanlah pengemar sangat kopi. So tak tahulah sejauh mana ‘best’ nya rasa kopi di sini. Turut terdapat juadah berupa kuih-kuih tempatan.

Dibahagian belakang, terdapat bilik memproses serbuk kopi yang dihidang dalam warkop ini. Aku berpeluang melihatnya. Nampaknya diproses dalam suasana yang tidak terkawal kebersihannya.

Shopping di Matahari Mall
Shopping Complex Matahari mungkin antara yang modern dan terbesar. Kata PPku, sebesar macam Kajang Metropoint sahaja. Tidaklah grand seperti kebanyakan di Malaysia.

Mungkin ini pilihan bagi generasi baru yang mementingkan mutu dan jenama. Tetapi seramai mana orang di Aceh yang mempunyai cita rasa sebegini.

Sempat memasuki beberapa kedai utamanya. Jualan murah sedang berlangsung. Aku kira harganya boleh tahan murah juga jika dibandingkan dengan RM. Kad kredit juga diterima.

Ke Masjid Raya Baiturrahman Lagi
Hampir memasuki waktu maghrib, kami bergegas ke Masjid Raya Baiturrahman lantaran isteriku berhajat nak solat Maghrib di sana.

Walaupun seperti pergerakan kami ke hulu hilir, namun sebab jalan yang tidak sesak, perjalanan tidak memaskan masa yang lama. Padahal Pasar Atjeh bersebelahan dengan Masjid Raya Baiturahman.

Bangunan indah dan megah yang mirip dengan Taj Mahal di India ini terletak di pusat Banda Aceh dan menjadi titik pusat dari segala kegiatan di Aceh.

Masjid ini telah mengalami beberapa fasa perkembangan daripada dibina oleh pemerintah Belanda dengan satu kubah pada tahun 1879 sehinggalah kini memiliki 7 kubah dan 4 menara azan. Asal mulanya merupakan bangunan kayu yang kemudiannya dibakar oleh penjajah Belanda dalam satu pertempuran dengan tentera Aceh.

Beberapa jam setelah masjid terbakar, Jenderal Kohler komandan tertinggi Belanda yang sedang berada di halaman masjid, berjaya dibunuh oleh tentera Aceh di tempat di mana binaan batu tanda sekarang. Ia juga dikenali sebagai Tugu Kohler.

Semasa tsunami, Masjid Raya Baiturrahman masih tetap berdiri dengan megahnya walaupun air setinggi kira-kira 2 meter memenuhi sekitar masjid . Malah Masjid Raya Baiturrahman menjadi tempat bagi rakyat Aceh berlindung sebagai tempat evakuasi. Apabila surut pula, menjadi tempat ribuan jenazah para korban tsunami diletakkan.

Masjid ini mempunyai siaran radionya sendiri serta penerbitan surat khabar mingguan yang diedarkan secara percuma. Program kuliah atau ceramah dari masjid akan disiakrkan secara langsung menerusisaluran radionya.

Menariknya masjid ini lagi, ia menjadi pengukur kepada beberapa perkara di Banda Aceh. Tiada masjid atau musollah yang boleh melaungkan azan selagi azan tidak berkumandang dari Masjid Raya Baiturrrahman. Menara setinggi 45 meter yang disebut sebagai Menara Perjuangan, merupakan bangunan tertinggi di Banda Aceh. Tiada bangunan lain yang boleh setingginya, kata PPku.

Makan Mee Ketam
Selepas solat kami ke satu gerai yang menjual mee ketam untuk makan malam. Mie Ayah ? Tak pasti apa nama tempatnya. Mak datuk !!! Besarnya ketam. Menurut PPku, memang speciality gerai ini ialah mee ketam.

Untuk memakannya siap disediakan pengepit bagi memecahkan ketam sekiranya payah untuk memecah bagi mendapatkan isinya. Harganya pula Cuma Rp 30,000 sepinggan. Murah kan ?

Shopping Souvenir
Terus kami kembali ke hotel. Namun kami tidak masuk ke bilik, sebaliknya singgah ke kedai menjual souvenir di hadapan hotel. Kami dah tidak ada masa lagi untuk shopping sebab esok terus ke airport sebaik selesai sarapan pagi.

Since dah survey semalam, memudahkan kami membuat pilihan. Tambahan pula kedai dibuka sehingga 10.30 malam. Jadi tidak perlulah terburu-buru membuat keputusan.

Aku kira Aceh banyak hasil kraftangan rakyatnya yang menarik untuk dibeli sebagai ole-ole. Harganya pun kira murah berbanding RM. Malam itu kami berkemas supaya tidak tergesa-gesa untuk balik esok pagi. Lagi pun kami hanya tempah bag sebanyak 20kg sahaja untuk check-in. Nampak macam lebih muatan sahaja.

Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.