Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Showing posts with label PM. Show all posts
Showing posts with label PM. Show all posts

Utusan Bukan Lagi Pemangkin Fikiran Rakyat ?

Pendedahan bekas wartawan kanan Utusan Malaysia ( Utusan ), Sdra Hata Wahari bahawa agenda Utusan ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin Presidennya, yang juga PM agak mengejutkanku. Aku juga pasti ia juga mengejutkan pelbagai pihak. Maknanya agenda Utusan juga agenda Umno dan apakah juga bermakna Utusan sebagai lidah rasmi Umno ? Ini tentunya akan menjadi punca ramai yang mula tawar hati dengan Utusan, yang mengakibatkan kurangnya pembaca dan seterusnya jualan akhbar Utusan akan semakin jatuh.

Ini berbeza dengan Harakah, Suara Keadilan dan terbitan parti pembangkang lain yang memang terang-terang ‘Untuk Ahli-Ahli Sahaja’ ( walaupun dijual secara terbuka ) dan diketahui umum sebagai lidah rasmi parti politik berkenaan. Usah marah dengan mereka dan dijadikan alasan untuk Utusan menghalalkan tindakan mereka.

Rasanya macam tidak ada penafian daripada Utusan, sebaliknya Pemuda Umno dan Perkasa mengemukakan memorandum dalam mempertahankan Utusan. Entah apa yang dipertahankan, aku sendiri pun kurang jelas. Sama ada mempertahankan segala tindakan Utusan, mempertahankan Utusan daripada bungkus tutup kilang atau mempertahankan daripada sesiapa yang hendak menggugat Utusan.

Memang tidak dapat dinafikan, media arus perdana di Malaysia selama ini umumnya tidak banyak memberikan ruang positif kepada parti pembangkang. Sebaliknya berita yang memberikan imej buruk dan negatif sahaja. Pada 1 Mac 2011, Ketua Pengarang Utusan, Datuk Aziz Ishak sendiri telah mengakui bahawa peranan Utusan adalah untuk menyokong Umno dan BN.

Persoalannya kini, sejauh mana penetapan agenda Utusan ditentukan oleh Biro Politik Umno pimpinan PM ? Apakah secara langsung atau tidak langsung ? Sejauhmana sokongan terhadap Umno dan BN ? Ini kerana sejak akhir ini terdapat pelbagai pandangan dan perspektif daripada Utusan yang agak mengelirukan. Apakah itu juga pandangan Umno ? Bagaimana pula dengan isu-isu politik lain yang begitu digarap dalam akhbar Utusan.

Mengapa Hatta Dipecat ?
Rupanya kisah ini dah lama. Hata yang juga Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan ( NUJ ), merupakan telah Wartawan Kanan Utusan yang telah digantung kerja sejak Januari 2011. Beliau sering mengutarakan pandangan yang lantang berhubung isu pemilikan akhbar Utusan, kejatuhan edaran akhbar dan ‘kelemahan’ dalam kepengarangan akhbar berkenaan.

Pada 14 April lalu, panel siasatan dalaman Kumpulan Utusan mendapati Hata bersalah atas tuduhan memburuk-burukkan nama syarikat melalui laporan yang disiarkan beberapa media tempatan. Belia juga dikatakan secara berani mengkritik tindakan Utusan sendiri yang sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman melalui penerbitannya dan mengambil pendirian yang berat sebelah terhadap Umno di dalam laporan politiknya.

Gagasan 1Malaysia Vs 1Bumi, 1Melayu
Antaranya slogan 1Bumi 1Melayu. Apakah maksudnya kini ? Tidakkah ianya bertentangan dengan keazaman yang diutarakan oleh PM dalam memperkenalkan 1Malaysia. Malah dalam Forum Kempimpinan Asean bebaru ini, PM mengutarakan idea 1Asean pula.

Ini benar-benar mengelirukan rakyat ? Atau aku sahaja yang terkeliru, orang lain semua ok ? Apakah 1Bumi, 1Melayu serta 1Malaysia sekadar slogan retorik untuk kepentingan dalam menarik semula sokongan orang ramai terhadap Umno dan BN, khususnya setelah melihat rentetan kemenangan BN dalam beberapa Pilihanraya Kecil lalu ? Apa yang dibimbangi, ini meningkatkan tanggapan orang ramai betapa PM bersikap bermuka-muka dan ini boleh menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap beliau dan terhadap tindakan kerajaan pimpinannya.

Isu ‘Kristian Agama Rasmi’
Kegelisahan rakyat timbul lagi apabila isu Kristian Agam Rasmi cuba dicetuskan dan digarap dengan meluas oleh Utusan yang mungkin mempunyai agenda bagi menimbulkan kebencian ramai terhadap Pakatan Rakyat, khusunya DAP.

Isu ini mungkin agak sensitif sehingga Pengerusi Perkasa hendak melancarkan Jihad menentang gerakan untuk menjadikan Keristian sebagai Agama Rasmi Persekutuan. Penafian daripada parti yang dituduh menjadi dalang tidak mendapat tempat, sebaliknya terus diutarakan penemuan-penemuan apa yang dikatakan sebagai bukti oleh pihak Polis untuk melakukan siasatan.

PM akhirnya muncul sebagai hero apabila mengadakan perbincangan dengan majlis tertinggi Gereja Keristian peringkat nasional yang sekaligus dikatakan meredakan suasana yang timbul atau segaja ditumbulkan.

Utusan Menjadi Kebal
Walaupun apapun isu, sentimen, berita dan pelbagai rencana dibangkitkan dalam Utusan, pastinya tidak akan ada tindakan daripada Kementerian Dalam Negeri ( KDN ) yang mengeluarkan permit penerbitannya. Utusan akan menjadi kebal. Utusan boleh kata apa sahaja dan Biro Politik Umno yang kebetulan dianggotai beberapa menteri kabinet, pasti akan mempertahankan tindakan Utusan.

Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dilaporkan telah dipanggil dan diberikan surat teguran oleh KDN berikutan penyiaran berita bertajuk “Kristian Agama Rasmi?” pada 7 Mei lalu. Tindakan itu dikatakan dibuat selepas mendapati penyiaran berita itu menggemparkan fikiran orang ramai. Bagaimana hasil pertemuan tersebut ?

Utusan Porno ?
Berita dan liputan perbicaraan Ketua Pembangkang mendapat liputan yang begitu meluas tanpa selindung, siap dengan gambarnya seklai. Mungkin nak menjelaskan dengan sejelas-sejelasnya supaya orang ramai menjadi jelas. Akibatnya pembaca yang terdiri daripada pelbagai golongan dan lapisan umur yang pada mulanya atas dorongan ingin mengetahui, menjadi muak dan geli gelemang nak membacanya.

Ini ditambah dengan kisah video porno yang juga kononnya dikaitkan dengan hubungan seks Ketua Pembangkang dengan seorang pelacur warga Cina. Saban hari dipaparkan, khususnya menjelang pilihanraya DUN Sarawak. Memang kebenarannya hanya Allah dan mereka yang terlibat dalam video tersebut saja yang tahu. Kalau satu ketika dahulu hal ini dikira tersangat janggal dengan budaya kita, nampaknya Utusan menjadi pelopor mempopularkannya.

Pemangkin Fikiran Rakyat ?
Utusan mungkin boleh dianggap tidak lagi melambangkan pemikiran dan kemahuan masyarakat Malaysia. Tagline Pemangkin Fikiran Rakyat seperti sudah tidak boleh digunapakai lagi. Utusan seperti hanya melambangkan mentaliti dan kemahuan pimpinan Umno yang sedang berkira-kira dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan datang.

Yang pastinya, pihak pembangkang dan para penyokongnya akan terus meningkatkan pemboikotan terhadap Utusan. Utusan bukan lagi akhbar media arus perdana, ia adalah tabloid lidah rasmi Umno. Kerajaan negeri Pulau Pinang umpamanya, telah melarang wartawan Utusan untuk masuk membuat liputan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Apakah nasib Utusan selepas ini ?

Share:

Mengapa Perlu APCO ?

Ketika sepatutnya Dewan Rakyat membahaskan titah ucapan Seri Paduka Yang Dipertua Agung, nampaknya Ketua Pembangkang menjadi sasaran ahli dewan yang lain serta perhatian umum rakyat Malaysia. Isu yang dibangkitkan ialah APCO dan kaitannya dengan kerajaan sekarang. Rupanya APCO pernah dibangkitkan sebelum ini. Tapi bagiku baru ku ketahui baru-baru ini. Memang agak panas permulaan sidang parlimen kali ini setelah MP Bebas yang bebaru ini keluar PKR membuat pelbagai pendedahan sensasi.

Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada 22 Oktober 2009 mengesahkan di parlimen bahawa kerajaan telah melantik APCO Worldwide sebuah syarikat antarabangsa berkaitan public affairs dan perhubungan media bagi meningkatkan imej kerajaan di persada dunia dengan kontrak bernilai RM20juta. Pada 10 Ogos 2009, APCO Worldwide membuka cawangannya di sini selepas perjanjian ditandatangani dengan kerajaan. Kat mana agaknya ? Tugas APCO WorldWide ialah untuk promote dan meningkatkan imej Malaysia di luar Negara. Perlantikan ini juga dikatakan bagi memastikan amalan komunikasi negara setara dengan standard antarabangsa.

Berbahaya
Mengapa perlu lantik orang luar ? Walaupun banyak dipraktiskan oleh negara lain tetapi persoalannya tidak bolehkah gunakan orang tempatan sahaja. Tidakkah ini berbahaya kepada Negara apabila seolah-olah ada campurtangan luar dalam aturan politik dan hal ehwal pentadbiran negara. Bagi membolehkan APCO memainkan peranannya, tentu mereka diberikan akses atau sekurang-kurangnya maklumat yang strategik serta perancangan berkait rapat dengan masa depan dan halatuju negara.

Pelbagai institut kajian diwujudkan di negara kita seperti Institut Kajian Dasar, Institut Penyelidikan Ekonomi, Institut Kajian Dasar Pertanian. Mengapa tidak boleh wujudkan yang seumpamanya bagi peranan yang sama dilakukan oleh APCO ?

Dikatakan semasa Pak Lah dan Tun Mahathir pun menggunakan bantuan luar bagi meningkatkan imej pentadbiran masing-masing. Bagi PM sekarang, mungkin firma perunding tersebut diperlukan bagi meningkatkan imej setelah hampir kecundang dalam PRU12 lalu. Namun yang tak sedapnya ialah kaitan syarikat tersebut dengan Zionist Israel. APCO merupakan sebuah syarikat yang ramai lembaga pengarah dan panel penasihatnya adalah dari negara Zionis Israel

Penubuhan APCO
APCO Worldwide merupakan sebuah firma perunding antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat. Margery Kraus, CEOnya, telah menubuhkan syarikat APCO pada 1984. Di antara keistimewaan khususnya adalah untuk membantu para pelanggannya bagi membuat tinjauan yang kompleks dan sering merumuskan dunia perniagaan, industri dan kewangan, media, pendapat umum dan masyarakat serta kerajaan dan dasar awam.

Selain APCO, Kraus juga membantu menubuhkan dan mengembangkan Close Up Foundation, sebuah yayasan pendidikan yang ditaja sebahagian oleh Kongres AS. Kraus juga aktif dalam pertubuhan-pertubuhan lain yang kurang bersifat pendidikan, seperti mengetuai dewan penasihat Kumpulan Menatep, sebuah syarikat holding Russia, dan terlibat dalam Teuza Fund, dana modal ventura yang diperdagangkan secara awam di bursa saham Tel Aviv, Israel.

Kaitan Dengan Zionis Israel
Hubungan dengan Israel melalui Kraus, tidak berhenti di situ. Dalam APCO, terdapat 50 individu yang sangat berpengaruh berada dalam Majlis Penasihat Antarabangsa. Mereka terdiri daripada bekas ahli politik, para pemimpin perniagaan dan diplomat. Sekurang-kuragnya 3 antara mereka, Itamar Rabinovich, Shimon Stein dan Doron Bergerbest-Eilon adalah individu yang berkait terus dengan Zionis Israel.

Robinovich pernah menjadi duta Israel ke US dan bertindak sebagai ketua perunding rejim Zionis dengan Syria ketika era Yitzhak Rabin. Pernah menjadi Presiden University Tel Aviv, beliau juga Pengerusi Yayasan Dan David ( berasaskan Israel ). yang diberi nama selepas kelahiran Romania dermawan Yahudi yang aktif dalam pergerakan pemuda Zionis tahun 1940-an.

Shimon Stein pernah bertugas sebagai duta Israel ke Jerman. Dia kemudiannya bertugas sebagai penasihat menteri dalam urusan politik bagi Kedutaan Israel di Washington.

Doron Bergerbest-Eilon adalah mantan kepada bahagian perlindungan dan keselamatan dan Pegawai Keselamatan Kanan bagi Israel Security Agency (ISA), satu kedudukan setara dengan pangkat majer jeneral. Pada Mei 2005, Bergerbest-Eilon dianugerahkan dengan The Director’s Recognition Award, pujian tertinggi Pengarah US Secret Service. Di antara kemahiran yang dipaparkan adalah keselamatan dan pertahanan, dengan Singapura sebagai salah satu bidang kepakarannya.

Palestine Terluka Lagi
Tidakkah pihak kerajaan melihat akan perkara ini terlebih dahulu ? Atau merasakan tidak kisah sebab APCO akan bertindak secara professional ? Tidakkah memikirkan di sebalik sebagai Negara umat Islam yang menjadi jaguh dalam pejuang kemanusiaan atas Isu Palestin, tetapi berkat hubungan APCO dengan individu-individu yang telah berada di pusat kuasa Zionis, tindakan ini terus melukai mereka.

Persoalan juga kini, sejauh mana kesan peranan APCO dalam pentadbiran kerajaan sekarang ? Apakah apa yang PM lakukan sekarang atas nasihat APCO. Di mana peranan Setiausaha sulit, setiausaha politik, setiausaha peribadi, setiusaha akhbar, penasihat ekonomi dan penasihat agamanya. Apakah kini boleh relaks sikit.

1Malaysia vs 1Israel ?
APCO dikatakan memperkenalkan konsep 1Israel pada tahun 1999. Platform 1Israel menjanjikan perkhidmatan-perkhidmatan yang lebih baik terutamanya di dalam pendidikan dan kesihatan yang terpampang di papan tanda besar. Mesej-mesej yang konsisten di papan tanda besar ini adalah tumpuan 1Israel untuk mendahulukan rakyat; dengan mendahulukan perkhidmatan seperti pendidikan dan kesihatan sebelum meluaskan kawasan penempatan Israel.

Slogan Rakyat Didahulukan
Jadi mesej 1Israel adalah “rakyat didahulukan”, mesej 1Malaysia adalah “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”. Tetapi pihak kerajaan menafikan dengan mengatakan konsep 1Malaysia diperkenalkan sebelum APCO dilantik secara rasmi.

Bagiku tidak kisahlah sama ada tiru atau tidak, asalkan niatnya baik dan caranya betul. Kebetulan aje sama. Tetapi sebelum lantik APCO, mungkin telah dilakukan homework serta dikaji peranan serta keberkesanan peranan APCO dengan testimonial lain ?

Klinik 1Malaysia
Satu lagi inisiatif utama kerajaan 1Israel adalah dengan merombak sistem kesihatan. Di bawah 1Israel, fungsi Kementerian Kesihatan diubah dengan menjadi perancang dan mengurangkan penekanan kepada rawatan wad dan hospital.

Sebaliknya rakyat digalakkan mendapatkan rawatan pencegahan sebelum ke hospital; sama ada di klinik atau dengan ubat-ubatan yang diberikan. Maka 1Israel penekanannya adalah klinik, di Malaysia kita ada Klinik 1Malaysia.

Tabung Yayasan 1Malaysia
Selain itu di bawah 1Israel pelbagai tabung, yayasan dan kempen dilancarkan secara bertubi-tubi; semuanya di bawah payung 1Israel. Begitulah juga di Malaysia tiap-tiap hari kita disuap dengan pelancaran, yayasan ( contohnya Yayasan 1Malaysia ), tabung, kampung dan pelbagai lagi, semuanya kononnya berkonsepkan 1Malaysia.

Penjelasan PM Diperlukan
Penjelasan yang menyakinkan daripada pihak kerajaan khususnya PM sendiri kini diperlukan, supaya semangat 1Malaysia akan terus sesama kita warga Malaysia laungkan. Kalau tidak asyik teringatkan 1Israel juga ... letihlah kalau begini.

Apakah APCO akan membantu menyediakan jawapannya ? Tidak kisahlah asalkan ada jawapan, bukan sekadar membawa Ketua Pembangkang kepada Jawatankuasa Hak & Kebebasan Parlimen yang akhirnya bakal menggantung keahlian Ketua Pembangkang dengan alasan tuduhan palsu. Peranan pembangkang diperlukan sebagai check & balance. Namun hairan juga apabila Ketua pembangkang mendedahkan dokumen perjanjian berkaitan. Darimana dia dapat ?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kepentingan Yahudi ada di mana-mana di seluruh dunia ini termasuk di Malaysia. Namun dengan masuknya APCO, sekadar menambah kan lagi senarai panjang tersebut, walaupun pihak APCO menafikan keterlibatannya dengan Kerajaan Israel.

Share:

Pesta Buku Antarabangsa KL 2010 - II

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 menutup tirainya hari ini dengan kunjungan oleh Perdana Menteri untuk sesi pembacaan buku 'Menakhoda Zaman" karyanya di gerai Institut Terjemahan Negara ( ITNM ). Tahun hadapan jumpa lagi dengan cabaran untuk mengekalkan rekod tahun 2010 ini. Pesta Buku telah berlalu, sekarang masa untuk membaca pula.

Semalam, aku ke sana sekali lagi bersama isteriku atas dorongan kuat untuk menyaksikan pelancaran buku "Polemik Isu Kalimah Allah" anjuran Kemilau Publika Sdn Bhd. Namun aku kecewa, sebab pelancar utamanya tidak dapat hadir kerana dikatakan ada program lainyang terpaksa dihadiri pada saat-saat akhir. Kalau aku tahu awal, mungkin aku tidak ke sana pada hari tersebut.

Aku agak terkejut apabila pengacara majlis pelancaran adalah Sdra Baharuddin Ali Masrom atau BAM yang ku kenali semasa sesama belajar di UKM 25 lebih tahun lalu. Tak sangka pula jumpa semula, hidup lagi dia. Masa belajar dulu, dia dulu memang orang kuat dengan pengaruh Anwar Ibrahim yang berselindung di sebalik ABIM, seangkatan dengan Sdra Mustafa Kamil Ayyob yang kini sebagai Naib Presiden Keadilan.

Sekarang macamana ? Lepas grad dia dikatakan bergiat cergas dalam UMNO sehinggalah krisis Anwar Ibrahim yang dipecat dari jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri yang menyebabkan beliau turut sama dengan Parti Keadilan Rakyat ( Keadilan ). Belia diberitakan pernah menjadi Ketua Keadilan Tanjung Karang, tetapi kemudian memohon untuk masuk semula UMNO semasa kempen ketika pilihan raya kecil Parlimen Teluk Kemang dahulu. Sekarang ? Penganjur memaklumkan kepadaku, baru 3 bulan lepas dia join PAS !!!

Ada beberapa perkara yang menarik diperkatakan oleh pengulas serta penulis buku semasa pelancaran tersebut. Antaranya Ustaz wan Ji menjelaskan betapa istilah atau nama negeri Melaka juga dikatakan diambil dari perkataan Arab 'Malakat' yang bererti tempat pertemuan dengan merujuk kepada pertemuan pedagang pada ketika itu.

Bagi pelajar sekolah Tingkatan 1 sekarang, mereka telah ketahui hal ini. Tapi aku yang dah lama meninggalkan bangku sekolah, mungkin ini dianggap suatu yang baru.

Selepas pelancaran, biasalah bagi hadirin untuk mendapatkan tandatangan daripada penulis sebagai 'azimat' serta kenang-kenangan. Kelihatan rakanku Berlingo Merah turut sama tidak melepas peluang mendapatkan tandatangan daripada penulis Dato Mokhtar Petah

Sebelum bali, namapaknya aku bertuah kerana berpeluang bertemu dengan penulis buku parenting islamik yang tidak asing lagi di gerai Galeri Ilmu, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Beliau juga dikenali menerusi laman blognya iaitu di http://saifulislam.blogspot.com.


Share:

2 Prinsip 4 Tiang Utama 4 Nilai Asas - Tonggak Pentadbiran PM

Itulah yang dapat aku simpulkan daripada mendengar Amanat daripada PM kepada Penjawat Awam di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesebelas ( MAPPA X1) pada 9 Mac 2010, PICC. Dewan Plenary yang pertama kali aku hadir itu, penuh sesak dengan penjawat awam atau kakitangan kerajaan.

Pada mulanya agak sukar hendak memahami apa yang diucapkan oleh PM. Nak kata bahasa yang digunakan terlampu tinggi, mungkin tidak juga. Ataukah aku yang sudah 'lembab'. Namun setelah meneliti semula catatanku, sedikit sebanyak aku mulai faham.

Memang ramai yang hadir. Sementara menunggu TPM dan PM masuk dewan, hadirin dihidangkan dengan halwa telinga persembahan pasukan koir. yang hadir bukan setakat dari Lembah Kelang, tetapi seluruh Malaysia. Just imagine, berapa kos pengendalian program untuk mendengar amanat PM yang cuma sejam dua. Walaupun sejam dua, namun mungkin boleh merubah prestasi keseluruhan perkhidmatan awam.

Ucapan alu-aluan dimulakan oleh Tan Sri KSN sebagai ketua penjawat awam yang seterusnya menjemput PM untuk memberikan amanatnya. Namanya Majlis Perdana, namun pengisiannya cuma mendengar amanat PM. Berikut adalah beberapa catatan ringkasku.

2 Prinsip Pentadbiran PM
* Mahukan kehidupan rakyat hari ini lebih baik daripada hari semalam dan kehidupan mereka pada masa depan akan lebih baik lagi daripada hari ini.
* Utuk menggerakkan ekonomi negara dan meletakkannya kembali atas landasan pertumbuhan yang sihat serta mapan.

Memperjelaskan dua prinsip tadi supaya lebih objektif, 4 Tiang Utama diperkenalkan iaitu :-
- 1Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan
- Pelan Tranformasi Kerajaan ( PTK )
- Model Baru Ekonomi
- RMK10

Bagi menyangga 4 Tiang utama tadi, 4 Nilai Asas pelengkap perlu menjadi dokongan, iaitu :-
- Budaya kreatif dan inovasi
- Kepantasan bertindak dan membuat keputusan
- Nilai untuk wang ( Value for money)
- Intergriti

2 Prinsip 4 Tiang Utama dan 4 Nilai Asas yang digariskan ini bagiku perlu direalisassikan oleh penjawat awam bukan sekadar demi kesinambungan parti pemerintah, tetapi juga survival negara dalam era globalisasi yang semakin mencabar serta survival sebagai penjawat awam.

Dalam pada itu beberapa quotation atau kata-kata yang aku kira menarik untuk dicatatkan di sini, antaranya ...

* Penjawat awam adalah khadam pemelihara kepentingan awam atau "Custodian of the public interest". Jika tuan-tuan dan puan-puan sekalian tidak memiliki integriti maka kepercayaan dan keyakinan rakyat akan hilang.

* Penjawat awam perlu mendakap realiti berkhidmat untuk rakyat sebagai satu keluarga besar. Khidmat yang diberi hendaklah mencerminkan kesungguhan seperti mana kita ingin memberi yang terbaik kepada keluarga sendiri

Sebaik amanat diberikan, majlis dibuka kepada soal jawab dan ketika ini, semua wakil media diminta keluar daripada dewan. Kenapa ? sulit sangat ke ? Mungkin bimbang keluar perkara yang tidak elok yang kemudiannya disensasikan oleh pihak media.

Akhir sekali penyampaian cenderahati kepada PM serta TPM yang disampaikan oleh Tan Sri KSN.

********************************************************************************

Bersama ini aku serta kekira transkrip ucapan yang kupetik dari Berita Harian untuk tatapan bersama penjawat awam lain atau rakyat Malaysia sendiri.

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua telah memungkinkan saya bertemu muka dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) buat kali yang ke-sebelas ini. Sesungguhnya interaksi dengan pegawai kanan pelbagai sektor dalam perkhidmatan awam seumpama ini amat wajar untuk membolehkan gagasan, hasrat dan jangkaan Kerajaan dapat dikongsi secara terus dan tulus.

Justeru, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Y.Bhg Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara, juga kepada Y.Bhg Tan Sri Ismail Adam selaku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang telah mengaturkan ruang dan kesempatan ini untuk saya menyampaikan pandangan dan pesanan sebagai panduan kepada kita semua dalam menggalas tanggungjawab selaku anggota pentadbiran dan penjawat awam.

Terutamanya juga saya ingin mengucapkan penghargaan yang tinggi kepada seluruh anggota perkhidmatan awam atas komitmen dan pencapaian cemerlang yang dicatatkan sepanjang tahun 2009. Apa yang lebih mustahak, saya dapati adalah, kesungguhan para pegawai awam untuk terus memahami dan mendokong hasrat Kerajaan ke arah kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

Para bijak pandai menyebut, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Lantaran, di peringkat perencanaan saya menyaksikan sendiri iltizam luar biasa penjawat awam semasa sessi percambahan idea makmal NKRA yang telah berlarutan sehingga awal pagi. Di sudut lain, di peringkat pelaksanaan, rangkaian Klinik 1Malaysia yang saya kemukakan semasa Bajet pada bulan Oktober tahun lalu, Alhamdulillah telah pun menjadi realiti pada minggu pertama tahun ini apabila hampir 50 buah klinik telah mula beroperasi. Hakikat ini telah berjaya menyuntik kepercayaan tinggi rakyat terhadap perkhidmatan awam dan juga membuktikan bahawa jika ada tumpuan, ketanggungan dan motivasi tinggi, sebarang kerja dan cita-cita dapat dilunaskan.

Sebuah Kerajaan Yang Baik
Di persimpangan ini, satu persoalan pokok yang perlu ditanya dan diperoleh jawapannya untuk terus bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara ialah, apakah sebenarnya sebuah kerajaan yang baik? Nyatanya, kerajaan secara asas adalah mekanisma kolektif rakyat, bagi melaksanakan aspirasi yang tidak dapat dilakukan dengan berkesan secara bersendirian seperti memelihara keselamatan, memastikan kebajikan dan mencipta kemakmuran. Pada dasarnya lagi, kerajaan berdaya maju adalah kerajaan yang terus berusaha untuk menyediakan eko-sistem terbaik agar setiap warga dapat mengembangkan potensi dan bakat mereka secara optima.

Dua Prinsip Pentadbiran
Oleh yang demikian, saya ingin perjelaskan dua prinsip penting kepada pentadbiran ini. Pertamanya, saya mahukan kehidupan rakyat hari ini lebih baik daripada hari semalam dan kehidupan mereka pada masa depan akan lebih baik lagi daripada hari ini. Ke arah matlamat tersebut, kerajaan perlu terus mengkhidmati rakyat dengan memakmurkan kehidupan serta memelihara kebajikan mereka.

Sekalipun kerajaan tidak mempunyai jawapan terhadap semua persoalan, namun dalam konteks sejarah Negara Malaysia telah terbukti selama ini kerajaan yang memerintah berjaya menangani aspirasi rakyat terbanyak. Sejak sekian lama, kerajaan bersungguh untuk mewujudkan eko-sistem terbaik bagi merealisasikan hasrat menjadi sebuah negara maju serta berpendapatan tinggi.

Keduanya pula, adalah untuk menggerakkan ekonomi negara dan meletakkannya kembali atas landasan pertumbuhan yang sihat serta mapan. Matlamat ini telah menemui kejayaan awal yang memberangsangkan apabila kesan dua pakej stimulus fiskal telah mengembalikan pertumbuhan ekonomi negara kepada daerah positif, bermula suku ke-4 tahun 2009 daripada penguncupan tiga suku berturut-turut sebelumnya.

Di kesempatan ini, sayugia saya merakamkan penghargaan kepada para penjawat awam yang telah menjayakan kedua-dua pakej stimulus ini dengan tindakan yang pantas dan berkesan. Syabas dan Tahniah. Mustahaknya, kejayaan ini perlu dipertahan dan diperkukuhkan lagi bagi menetapkan kita berada di garis yang betul dalam merealisasikan wawasan nasional.

Secara keseluruhannya, harus barang diingat, dalam konteks aspirasi nasional untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi ini, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan dan perubahan secara lonjakan berganda, bukan lagi secara berdikit-dikit tanpa pula, mengenepikan agenda keadilan sosial.

4 Tiang Utama
Meniti di atas dua prinsip yang saya nyatakan itu, sebagai satu pentadbiran bersifat objektif, jelas dan berhala tuju, kerajaan telah menukilkan 4 Tiang Utama: Pertama, satu falsafah induk sebagai panduan yang bersifat merentas dasar serta pelaksanaan yakni 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan; Kedua, satu prakarsa teras peranan kerajaan yakni Program Transformasi Kerajaan dan dua inisiatif ekonomi bagi memeta hala tuju jangka panjang, sederhana juga jangka pendek negara yakni Model Baru Ekonomi serta Rancangan Malaysia ke-10.

Tiang Utama Pertama: Gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan adalah satu falsafah induk yang bersifat merentas dasar serta pelaksanaan kerana matlamat gagasan 1Malaysia adalah perpaduan nasional. Inilah matlamat yang menjadi cita-cita dan aspirasi semua warga Malaysia semenjak dahulu lagi.

Sama ada suka ataupun tidak, sebagai sebuah negara majmuk tanpa dipacu perpaduan nasional, apa pun cita-cita kebangsaan yang lain seperti usaha mencapai taraf hidup yang lebih baik untuk setiap warga akan hanya tinggal angan-angan kosong. Terbukti, tanpa perpaduan nasional tidak mungkin wujud kestabilan politik yang menjadi teras kepada segala-galanya.

Jelasnya, merealisasikan perpaduan nasional bukannya kerja sehari, seminggu, sebulan, setahun mahupun sedekad. Ia adalah usaha berterusan semenjak negara mencapai kemerdekaan lebih lima dasawarsa yang lalu. Ia akan terus menjadi perjuangan yang akan diwariskan dari generasi ke generasi. Oleh itu, menjadi amanah kepada semua untuk terus membugar dan membajainya.

Tugas ini perlu dilaksana dengan kesedaran bahawa, pemupukan perpaduan nasional tidak berlaku dalam situasi yang bersifat utopia, ataupun segalanya sempurna. Ini pastinya menjadi cabaran kepada sebuah kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengekalkan keseimbangan agar perpaduan nasional mampu terus tumbuh dan mekar.

Syukurlah, bapa-bapa kita telahpun menunjukkan jalan dan meletakkan asas yang kukuh bagi pencapaian perpaduan nasional ini, melalui dua faktor pemersatu yakni, dengan penggubalan undang-undang tertinggi negara dalam bentuk Perlembagaan Persekutuan dan juga Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan.

Kendati begitu, peraturan dan undang-undang tidak mungkin melenyapkan segala kebimbangan dan merungkaikan segala permasalahan. Untuk bergerak ke hadapan, rakyat Malaysia perlu berubah dari mendefinasikan diri mereka berasaskan perbezaan yang wujud kepada mencari kesamaan yang ada. Bukankah kita semua manusia biasa, yang hanya menumpang lalu di bumi Tuhan ini buat sementara waktu? Bukankah kita semua mendambakan perkara yang sama, iaitu kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak kita pada masa depan? Bukankah kita ini hamba-Nya menghirup udara yang sama di maya pada ciptaan-Nya?

Hakikatnya, Gagasan 1Malaysia tidak akan berjaya jika tidak didokong oleh prinsip Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Perpaduan pula tidak akan bermakna jika aspirasi, kebimbangan dan kepentingan setiap warga Malaysia tidak diambilkira. Perpaduan akan hanya menjadi retorik kosong jika pencapaian tidak diutamakan. Makanya, marilah kita menilai sesama kita bukan kerana warna kulitnya tetapi nilailah berasaskan keikhlasan dan integritinya.

Tiang Utama Kedua: Kerajaan menyedari bahawa segala apa yang diaspirasikan tidak akan terjelma dan menjadi realiti tanpa pelaksanaan yang pantas, tepat dan berkesan. Inilah tugas para penjawat awam dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.

Melalui Program Transformasi, kita mahukan Kerajaan menjadi lebih responsif terhadap aspirasi dan lebih prihatin kepada denyut nadi rakyat. Seperti yang sering disebut, era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir. Jadinya, kerajaan perlu bersifat sebagai pemudahcara dan bukannya "absolute arbiter of wisdom".

Melalui enam bidang keberhasilan utama atau NKRA dan Indeks Petunjuk Prestasi atau NKPI pula, matlamat serta keberkesanan kerajaan akan bersifat lebih telus dan kuantitatif. Rakyat bukan sahaja akan dapat mengetahui apakah matlamat kerajaan dan kaedah pelaksanaanya tetapi juga turut memainkan peranan dalam menggubalnya.

Seterusnya, Tiang Utama Ketiga dan Keempat adalah dua prakarsa penting ekonomi yakni Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10. Di sini, untuk mencapai cita-cita nasional bagi menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, memerlukan kita keluar dari perangkap atau kepompong paradigma serta struktur negara berpendapatan sederhana. Ia bukan satu tugas yang mudah, namun, ia tidak juga sesuatu yang mustahil. Jika ditinjau susurgalur sejarah ekonomi negara maka kita akan dapat menyaksikan bagaimana setiap cabaran era baru berjaya kita tangani hasil kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan melalui pendekatan berhemah yang sentiasa berada di hadapan keluk bersifat sistematik lagi pragmatik.

Hasilnya, dari sebuah ekonomi pertanian berpendapatan rendah yang bergantung kepada eksport komoditi, kita telah berjaya meningkat menjadi sebuah ekonomi perindustrian berpendapatan sederhana tinggi dan merupakan antara 20 negara pengeksport terbesar di dunia. Ketahuilah bahawa ini bukan satu pencapaian yang mudah mahupun bersifat biasa. Bersyukurlah, kerana bukan semua negara mampu mencapai apa yang berjaya kita kecapi.

Cabaran Hari Ini
Namun hari ini, cabaran yang kita hadapi amat berbeza iaitu bagaimana untuk meningkatkan taraf ekonomi negara daripada sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi kepada negara berpendapatan tinggi. Apabila saya menggunakan istilah negara berpendapatan tinggi bukanlah maksud saya kita beraspirasi untuk menjadi seperti sesetengah negara yang pernah saya lawati di mana kos hidupnya begitu tinggi sehingga kualiti hidup dikompromi dan lumpuh nilai manusiawinya.

Apa yang kita inginkan ialah peningkatan selari di antara pendapatan dan kualiti kehidupan. Peningkatan pendapatan harus berkadar terus, bukan berkadar songsang dengan peningkatan mutu hidup. Tidak ada gunanya pendapatan yang tinggi jika, "we cannot afford to spend quality time with our families and be able to take the time to smell the roses".

Lalu, bagi mencapai matlamat ini, iktisad negara perlu meningkat dalam rantaian nilai ekonomi. Kita mesti melabur dan menarik pelaburan dalam sektor yang mampu menjana pulangan yang besar. Hari ini, bidang ekonomi yang terbabit bergantung kepada input kreativiti, inovasi dan nilai tambah yang tinggi.

Pokoknya, realiti semasa membuatkan kita tidak boleh lagi alpa berenang di lautan merah sebagai sebuah ekonomi yang hanya mampu menarik pelaburan dalam sektor-sektor yang bernilai rendah. Ketagihan kepada buruh murah berkemahiran rendah serta sumber asli akan hanya menumpulkan daya saing ekonomi negara dan seterusnya dalam jangka panjang menjejaskan taraf hidup rakyat Malaysia.

Kebergantungan dan kegianan, seperti saya sebutkan di atas akan hanya menjadi faktor penolakan yang mengakibatkan penghijrahan keluar tenaga mahir tempatan. Ini kerana, rakyat tempatan berkemahiran tinggi sudah tentu akan gagal mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka. Sayang sekali, akhirnya kemahiran yang mereka miliki akan tertumpah khidmatnya di bumi asing dan rugilah kita.

Tambahan lagi, dengan fenomena ketirisan pekerja berkemahiran tinggi, lengkaplah putaran yang akan melemaskan kita dalam perangkap pendapatan pertengahan. Beringatlah bahawa, di celah-celah era globalisasi ini "our loss is always somebody elses gain". Jika gejala ini terus berlaku dan tidak ada sebarang usaha untuk merubahnya, maka, cita-cita negara untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi hanya akan tinggal impian.

Menuju Wawasan 2020
Selanjutnya, dalam waktu terdekat kerajaan akan menzahirkan Rancangan Malaysia Ke-10 sebagai siri mutakhir rancangan pembangunan lima tahun negara. Ia merupakan blok binaan pertama kepada "road map" Model Baru Ekonomi. Ia akan menjadi jendela sulung kita ke arah Wawasan 2020. RMK-10 ini yang akan berjalan dari tahun 2011 hingga 2015 akan diikuti kemudiannya oleh jendela kedua dalam bentuk Rancangan Malaysia Ke-11. Tempoh ini merangkumi tahun-tahun 2016 hingga 2020. Sesungguhnya, Kedua-dua rancangan Malaysia ini adalah penting demi masa depan rakyat dan kemakmuran negara.

Oleh sebab itu, kita tidak boleh takut mahupun bimbang untuk melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan kerana jika kita mengambil sikap suka melewatkan apa yang perlu diubati dengan segera hanya kerana kita khuatir terhadap kesakitan yang bakal ditempuhi dek kerana rawatan tersebut, maka kita sebenarnya sedang mendedahkan diri untuk ditimpa bencana yang lebih serius.

Sepanjang tempoh pentadbiran, pelbagai inisiatif, perubahan dan penambahbaikan sedang, serta telah dilaksanakan bagi meningkatkan motivasi kerja serta produktiviti perkhidmatan awam. Baru-baru ini, kerajaan telah melaksanakan perubahan skim perkhidmatan Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis serta Konstabel yang melibatkan jumlah seramai hampir 99,000 anggota. Perubahan skim perkhidmatan ini adalah berlandaskan prinsip taraf kemasukan yang telah dinaikkan. Berdasarkan prinsip ini juga pihak kerajaan telah meluluskan kenaikan gaji bagi pangkat Inspektor, Penolong Penguasa Polis dan Timbalan Penguasa Polis. Ini hakikatnya adalah kesinambungan kenaikan kepada lain-lain pangkat yang telah dilaksanakan pada masa lalu.

Lantas, saya ingin menegaskan bahawa kenaikan ini seharusnya disyukuri dan menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti. Mudah-mudahan ia akan membantu membendung pelbagai hambatan negatif terutama sekali godaan rasuah.

Laluan Kerjaya Penjawat Awam Yang Lebih Baik
Selain itu, kerajaan juga komited untuk menyediakan prasarana kesihatan yang terbaik dan berkemampuan untuk rakyat. Kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan penambahbaikan laluan kerjaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia secara komprehensif dari gred lantikan hingga ke Gred 54 dengan peluang peningkatan dalam tempoh yang lebih wajar.

Semua usaha ini akan membabitkan tambahan perbelanjaan kerajaan yang dianggarkan sejumlah RM 200 juta setahun. Oleh yang demikian, kerajaan berharap Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi di KKM akan terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Dalam usaha mengukuhkan khidmat sektor awam lagi, kerajaan telah menggerakkan inovasi dengan memperkenalkan sistem kemasukan pelbagai peringkat yang bertujuan menarik bakat-bakat terbaik di luar pasaran Perkhidmatan Awam. Bagi menggapai hasrat kepimpinan global ini, di antara formula baru yang telah diterokai dan dilaksanakan ialah kemasukan pelbagai gred terhadap pegawai-pegawai secara inter-skim perkhidmatan.

Sebenarnya, terdapat 31 skim perkhidmatan dalam sektor awam memperuntukkan Kelayakan Masuk Pelbagai di mana, gaji permulaan yang lebih tinggi akan diberi berdasarkan kelayakan akademik, kelayakan profesional serta kompetensi-kompetensi lain yang berkaitan.

Nampaknya, hasrat dan kesungguhan Kerajaan untuk memperkukuh dan memodenisasikan perkhidmatan awam dengan menarik bakat terbaik melalui Program Cross Fertilization telah membuahkan hasil dan sudah mula menambat hati generasi muda untuk menabur jasa kepada negara. Kerajaan akan meneruskan program-program Cross Fertilization ini dengan beberapa pihak lain seperti agensi antarabangsa, syarikat multinasional, Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Johor.

Di sini, saya berterima kasih kepada Y.Bhg Tan Sri Ketua Setiausaha Negara kerana mengambil ownership ke atas program Cross fertilization di mana saya difahamkan Y.Bhg Tan Sri KSN telah mengadakan perjumpaan berkala dengan peserta PCF setiap 2 bulan bagi mendapatkan maklum balas secara langsung dari mereka. Impak yang ditunjukkan sangat memberangsangkan. Melalui program sebegini, Kerajaan percaya bahawa, matlamat untuk membangunkan pemimpin generasi baru yang berpotensi dan berprestasi tinggi di sektor awam akan tercapai akhirnya dan meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara maju di dunia.

Pengeluaran Modal Insan Yang Berkualiti
Salah satu lagi agenda nasional bagi merealisasikan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi ialah pengeluaran modal insan yang berkualiti. Untuk itu kita mahukan institusi pengajian tinggi awam mempunyai murabbi yakni tenaga pengajar dan penyelidik yang terbaik dan bermotivasi. Kerana itulah, kerajaan akan mengkaji skim perkhidmatan pensyarah IPTA dan pensyarah Institut Perguruan. Hari ini contohnya, seorang profesor di IPTA hanya boleh mencapai Gred Khas A. Kita akan mengkaji semula untuk membenarkan Profesor di IPTA naik hingga peringkat tertinggi Turus tanpa perlu memegang sebarang jawatan pentadbiran di IPTA terbabit.

Untuk itu satu mekanisme khas akan diwujudkan pada peringkat nasional yang akan melibatkan elemen panel berkecuali dan "peer review" bagi memastikan penilaian yang adil diberi terhadap proses kenaikan gred ini. Kenaikan tersebut, hendaklah berdasarkan meritokrasi kerana negara memerlukan yang terbaik. Mahu tidak mahu, dalam apa jua bidang dan lapangan, kita tidak boleh bertolak ansur dengan tahap mediokriti atau budaya kecincaian. Pokok pangkalnya, kita mahukan IPTA di Malaysia menjadi "paragon of excellence".

Bisikan Suara Hati Penjawat Awam
Dalam pada itu, ingin saya nyatakan di sini bahawa saya mendengar bisikan dan suara hati para penjawat awam. Saya tahu dan saya peduli. Jangan berasa gundah gulana dan menganggap saya tidak prihatin atau tidak peka walaupun bisikan itu datang secara perlahan dan bersifat sayup-sayup kedengaran.

Oleh itu, saya telahpun mengarahkan satu kajian komprehensif terhadap penggunaan sistem "pool" yang wujud sebagai alat tindakan pentadbiran bersifat menghukum. Dalam kata lain, elemen "natural justice" iaitu hak untuk didengar dan dinilai secara berkecuali perlulah menjadi sebahagian daripada prosedur.

Di penjuru yang lain, kerajaan juga akan mengkaji konsep "closed service". Kita tidak mahu penjawat awam menjadi jumud oleh kerana sudah terlalu selesa dengan kedudukan masing-masing akibat tidak dapat lagi meningkat dalam karier masing-masing.

Saya mahukan JPA memberi lebih perhatian kepada ehwal "continuing education", "skills upgrading", "succession planning" dan "career advancement" para penjawat awam. Penjawat-penjawat awam muda terutamanya yang terlibat dengan tugas-tugas diplomasi dan rundingan antarabangsa perlulah didedahkan dengan pengalaman yang secukupnya.

Melentur buluh kata orang, biarlah dari rebungnya. Janganlah melihat sebagai satu kerugian untuk menghantar pegawai-pegawai muda ini untuk terlibat dengan rundingan-rundingan antarabangsa kerana dengan cara ini sahajalah mereka dapat menimba pengalaman. Sehubungan itu, para penjawat awam hendaklah dari masa ke semasa memahirkan diri dengan menguasai pelbagai bahasa.

4 Nilai Asas Pelengkap
Bagi menyangga, empat tiang utama yang telah saya kumandangkan tadi, perlu didokong pula oleh empat nilai asas pelengkap; Pertama: Membudayakan Kreativiti dan Inovasi. Mahu tidak mahu para penjawat awam mesti berfikir di luar lingkungan kotak. Saya tidak mahu budaya "automation" menjadi satu hakikat kehidupan dalam sektor awam. Kita seharusnya berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian-penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman.

Kedua : Mementingkan Kepantasan bertindak dan membuat keputusan. Janganlah kita melengahkan apa yang mampu kita laksanakan hari ini kepada hari esok atau lusa. Mengambil petua orang tua-tua, kerja bertangguh tidak menjadi, kerja beransur tidak bertahan. Dalam konteks ini janganlah kita lambatkan apa yang kita boleh selesaikan saat ini kepada detik, minit, jam, hari, minggu, bulan mahupun tahun yang berikutnya. Sememangnya kepantasan bertindak dan membuat keputusan akan menyebabkan keyakinan rakyat bertambah kepada kerajaan.

Kerajaan perlu dilihat pantas mengotakan janji. Contoh terbaik adalah, apabila saya mengumumkan Klinik 1Malaysia dalam ucapan bajet tahun lalu, lebih kurang dua bulan kemudian ia sudah menjadi realiti. Begitulah juga imbuhan tetap bulanan kepada Johan Qari dan Qariah Tilawah Antarabangsa, telah kita tunaikan tidak sampai 3 minggu setelah diumumkan.

Kepantasan bertindak dan membuat keputusan seperti ini akan juga meningkatkan "velocity of money" atau halaju kitaran wang dalam sistem ekonomi negara. Keputusan cepat, pantas dan tanpa bertangguh perlu dibuat terutamanya yang melibatkan kelulusan urus niaga, pemberian lesen, development order, tender, kontrak, sebut harga, pembayaran kerja dan lain-lain perkara yang melibatkan implikasi kewangan kerana ia mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara seterusnya menambah kekayaan nasional. Hal ini tidak lain tidak bukan, pada analisa akhirnya akan menguntungkan negara dan rakyat. Jelas sekali, budaya melambat-lambatkan sesuatu keputusan akan hanya merugikan rakyat dan negara.

Ketiga : Nilai untuk Wang atau "Value for money". Dalam aspek ini, pembaziran, penyelewengan dan gejala salah urus hendaklah dihapuskan daripada pengurusan kewangan awam. Sesungguhnya, setiap ringgit dan sen perbelanjaan hendaklah mendapat pulangan nilai paling maksima kepada kerajaan dan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan perlu berhemah dalam perbelanjaannya.

Untuk mencapai matlamat nilai untuk wang, maka kaedah pengurusan nilai atau "value management" perlulah diterapkan dalam semua pengurusan projek-projek kerajaan bermula dari peringkat awal lagi. Pengurusan nilai perlu menjadi wahana yakni alat pengurusan atau "management tool" untuk mencapai nilai untuk wang. Dengan kaedah ini diharapkan dapat mengubah cara kita merancang dan melihat sesuatu projek. Kita perlu menyoal assumption atau andaian yang ada, adakah terdapat kaedah atau cara yang lebih baik untuk mendapat pulangan optimum kepada perbelanjaan kerajaan.

Ada banyak contoh di mana perbelanjaan kerajaan berjaya dijimatkan dengan pengurusan nilai. Ia seharusnya merangkumi pra dan pasca projek termasuklah pemilihan lokasi, rekayasa dan reka bentuk sehingga pemilihan bahan pembinaan yang bersesuaian. Kita perlu mengambil kira "total life cycle cost" atau kos keseluruhan kitar hayat sesuatu projek. Sekiranya kita tidak mengambil kira kos-kos yang tersembunyi termasuk kos penyelenggaraan, maka, ia mungkin mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan kewangan kerajaan kemudian hari nanti.

Sehubungan itu, sukacita saya mengesyorkan bahawa ganjaran istimewa akan diberikan kepada mana-mana pegawai atau kumpulan pegawai yang berjaya mendatangkan penjimatan yang besar kepada pihak kerajaan. Pendek kata, kita mahu para penjawat awam sentiasa mencari kaedah pelaksanaan yang berkesan dan efektif melibatkan penjimatan. Ertinya dengan jumlah kos yang sama tetapi kita berupaya mendapat kualiti yang lebih baik.

Keempat : Nilai Integriti. Sememangnya, transformasi ke arah menjadi masyarakat maju bukan sahaja diasaskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi, tetapi juga kemajuan dalam pembangunan sosial, budaya, intelek dan rohani. Fokus terpenting bagi pembangunan sedemikian ialah peningkatan dan pemantapan etika dan integriti yang perlu menjadi budaya masyarakat. Ringkasnya, tanpa integriti maka segalanya tidak akan bermakna.

Sesungguhnya, penjawat awam adalah khadam pemelihara kepentingan awam atau "Custodian of the public interest". Jika tuan-tuan dan puan-puan sekalian tidak memiliki integriti maka kepercayaan dan keyakinan rakyat akan hilang. Kata pepatah lama, harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama. Kita boleh mencari kuasa, kekayaan, kedudukan dan ilmu pengetahuan tetapi tanpa integriti kita tidak akan mempunyai nama yang baik sedangkan nama yang baik amatlah mustahak. Inilah yang akan dikenang oleh rakyat dan dicatat dalam sejarah.

Kesimpulan
Kesimpulannya, empat tiang utama dan empat nilai asas sebagai pelengkap ini merupakan lapan tonggak perdana pentadbiran saya. Setiap satu saling melengkapi antara satu sama lain. InsyaAllah jika lapan tonggak perdana ini dijunjung dan dipegang erat, ia akan memandu para penjawat awam, rakyat dan negara ke arah masa depan yang kita cita-citakan bersama.

Di atas semuanya, para penjawat awam perlu mendakap realiti berkhidmat untuk rakyat sebagai satu keluarga besar. Maksud saya, janganlah ada budaya dan mentaliti keterpisahan antara penjawat awam dan rakyat yang selama ini hanya dianggap kelayan atau pelanggan. Saya mahukan penjawat awam dan rakyat yang dikhidmati menjadi sebagai satu keluarga besar. Dalam erti kata lain, khidmat yang diberi hendaklah mencerminkan kesungguhan seperti mana kita ingin memberi yang terbaik kepada keluarga sendiri. Pastinya nanti laungan Rakyat Didahulukan tiba pada maknanya.

Kita juga tidak mahu ada mentaliti silo dalam perkhidmatan di mana masing-masing penjawat awam melihat kepentingan terhad kepada jabatan, agensi dan kementerian mereka sahaja. Sepatutnya, budaya bekerja sebagai satu pasukan dan saf yang kukuh hendaklah merentasi silo atau kokun masing-masing demi kepentingan rakyat. Barulah nanti kerajaan akan dapat menunaikan amanahnya mengkhidmati rakyat secara tuntas.

Mendasari segalanya adalah kesetiaan para penjawat awam adalah sine qua non kepada kewujudan pentadbiran. Jumlah penjawat awam terkini melebihi sejuta orang. Kesatuan fikiran dan kesatuan tindakan adalah prasyarat kepada kejayaan yang kita idamkan. Kesetiaan adalah nilai paling mustahak yang menunjang budaya sepasukan. Kesetiaan yang saya maksudkan di sini adalah kesetiaan kepada negara berlandaskan kesetiaan kepada perlembagaan. Dalam kata lain, satu bentuk kesetiaan yang penuh profesional oleh para penjawat awam.

Dalam situasi ini, moleklah kita mengambil mafhum dan pedoman daripada Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat 59: Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta 'Ulil-Amri' yakni para pemerintah dan orang-orang yang berkuasa daripada kalangan kamu. Pendek kata, apapun kecenderungan peribadi atau siapapun yang diidolakan, bila bekerja hendaklah taat setia kepada mandat amanah rakyat yakni pentadbiran negara yang telah dipilih. Nescaya, Allah S.W.T akan memberkati kita.

Pepatah Arab menyebut, "Siapa yang bersungguh-sungguh, maka dialah yang mendapat". Mengakhiri kalam, saya mahukan nilai-nilai kerja bermutu tinggi, kehebatan bertindak, kesungguhan, ketabahan, proaktif dan komitmen jitu sebagai satu pasukan terus disemai, tumbuh, kembang dan mewangi dalam perkhidmatan awam.

Itulah tonggak peradaban bangsa yang mampu mencapai kecemerlangan seperti terakam dan tergambar dalam Sejarah Melayu "Belum diseru sudah menyahut, belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah pergi". Mudah-mudahan, tahun 2010 ini dan dekad seterusnya menjanjikan pelbagai lagi kejayaan buat kita semua.
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.