Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Showing posts with label raya. Show all posts
Showing posts with label raya. Show all posts

Catatan Rumah Terbuka Rayaku 1434H

Posting ini aku buat sekadar nak meraikan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara mara, sahabat handai, rakan sepejabat dan kenalan yang telah hadir dalam Majlis Kesyukuran dan Open House Aidil Fitri 1434H di kediamanku. Alhamdulillah walaupun terasa penat kemudiannya, tapi rasa seronok sebab ramai yang hadir termasuk yang telah lama tidak ditemui.

Aku sekalikan dengan majlis kesyukuran sebab anakku Nurul Najihah dapat masuk UM dalam jurusan perubatan dan akan mendaftarkan diri dan memulakan pengajian pada 1 September 2013.

Keluarga Adik Beradik
Alhamddulillah semuanya dapat hadir walapun jauh dari Johor dan Melaka. Tetapi memang mereka sentiasa datang setiap tahun setiap kali raya, walaupun aku tak buat rumah terbuka. Terlanjur datang, mereka akan beraya rumah sedara mara tempat lain pulak di Lembah Kelang.

Kali ini mereka aku jemput khas menerusi Group FB Keluarga Maklimah. Mereka juga antara yang terawal datang.

Selain membantu sama ada di dapor serta menyediakan hidangan, kehadiran mereka yang ramai telah memeriahkan suasana dengan keriuhan bocah-bocah anak sedara.

Saudara Mara
Aku kira merupakan kelompok kedua ramai yang hadir, mana-mana yang tinggal di sekitar Lembah Kelang.

Kebanyakan mereka adalah merupakan daripada keluarga sebelah ibuku yang tinggal di Kajang, Beranang dan Kepong.

Che Rauf Shah Alam hadir bersama abangnya yang tinggal di Cheras. Kesian dia, sebab ini merupakan raya pertama tanpa isterinya Che Nah yang meninggal bebaru ini.

Keluarga sebelah bapaku, cuma Mohd Hafis sahaja yang hair. Dia dan keluarga menetap di Pandan ( rasanya ). Tampak isterinya berbual dengan isteri rakannku dari Saujana Utama, macam pernah kenal dulu-dulu.

Teman-Teman Saujana Utama
Ini yang bestnya, daripada ramai-ramai yang aku jemput, ramai juga yang kata 'Insyaallah'. Siap ada yang mohon izin memanjangkan kepada geng-geng AJK Surau lamaku dahulu. Macam ada harapan bahawa ramai yang akan hadir.

Tapi yang hadir ada kekira lapan keluarga sahaja. Takpe, itupun sudah cukup orait dan kira mewakili yang lain.

Mungkin yang lain sibuk beraya di tempat lain. Memang perjalanan musim beraya ni sukar nak diramalkan. Lebih lama perjalanan menempuhi kesesakan jalan raya berbanding masa beraya di tempat tujuan.

Rakan Pengajian Universiti
Kemudian rakan seperjuangan semasa belajar di universiti dahulu. Seronok sebab mereka antara yang sudah lama tidak bersua muka.

Dr Khairuddin dan Pok Loh adalah antara yang terawal sampai. Kebetulan mereka memang berjiran di Bandar Salak Tinggi.

Rusdi dan keluarga masih di Subang tempat lamanya dulu dan masih juga bertugas di Telekom.

Rakan Sekolah Menengah
Aku hanya jemput menerusi Group FB, so hanya sesiapa yang buka saja nampaknya yang tahu. Akibatnya hanya dua keluarga yang hadir. Khabarnya akau patut war-warkan juga dalam e-YahooGroup teman sekolah menengahku.

Tetapi aku tidak kisah sebab aku mungkin tidak sepopular berbanding dengan rakan seangkatan sekolah menegahku.

Rakan Sepejabat
Masa puasa lagi mereka ah tanya, buat open house tak bos raya ni. Tapi seperti biasa, aku tidak mengharap ramai yang hadir. Sekitar 20 orang pun sudah cukup kuat walaupun ada yang kata nak datang dengan bas.

Ok juga, adalah beberapa keluarga yang hadir dan kira melebih daripada jangkaan asalku.

Malah ada yang hadir di penghujung majlis ketika makanan berbaki sedikit dan ada yang lalu ketika aku sedang berkemas.

Berbanding dengan tahun lepas, aku rasa kali ini lebih ramai rakan sepejabatku yang hadir. Alhamulillah. Mereka memuji keenakan masakah Nasi Dagang isteriku. Bodeklah tu ...

Wakil Keluarga Terengganu
Ada juga wakil yang dapat hadir. Tetapi semuanya ari keluarga Abang Mat Kuala Terengganu. Farah anak 'Baba' ada sejak awal membantu persiapan majlis dan sibuk di dapor.

Abu Darda yang bertugas sebagai pensyarah UKM datang lewat sikit dan tak sempat nak bergambar dengannya. Tetapi sempat mencetuskan idea untuk mewujudkan Whatsapp KeluargaHjIsmailAwang.

Yang Lain-Lain
Yang lain tu sama ada cikgu rakan setugas isteriku yang aku tidak berapa kenal sangat, kawan-kawan anak-anakku serta jiran tetangga.

Terima kasih semuanya kerana dapat hadir.


Share:

Falsafah Dan Asal Usul Ketupat

Apabila aku tiba di kampong rumah kediaman bondaku bagi meraikan Aidil itri 1434H, aku terasa teruja melihat ketupat yang telah masak dan masih dalam kelongsongnya. Aku kira sudah lama aku tidak berkesempatan untuk menganyam kelongsong ketupat dan pastinya skill menganyam kelongsong ketupat sudah hilang daripada diriku. Aku pelajari kaedah menganyam ketupat sejak di bangku sekolah menengah dengan harga yang mahal sekali. Maksudku, aku bersama kawan-kawanku telah menyebabkan gondol pokok-pokok kelapa di sekolahku sebab daunya kami gunakan untuk menganyam ketupat. Akibatnya kami semua kena rotan dengan Pengetua masa itu !!!

Memang sukar nak menganyam ketupat. Pernah aku cuba ajar kepada anak-anakku, tapi tidak berjaya. Sudahlah setahun sekali, belum sempat berjaya akupun sudah jadi lupa. Tidak hairanlah kalau suatu masa nanti, ketupat dalam kelengsong yang dianyam akan pupus. Tambah lagi alternatiffnya telah ada, ketupat segera yang kulit luarnya adalah plastik dengan bau pandannya. Kesusahan menganyam ketupat dikaitkan dengan pengertian ketupat itu sendiri yang dikatakan mencerminkan berbagai macam kesalahan manusia.

Apa signifikennya ketupat pada 1 Syawal. Kalau kita berkunjung ziarah kerumah-rumah di kampong kini pun jarang sekali dihidangkan ketupat. Tetapi selalunya menjadi hidangan kalangan keluarga sahaja. Mungkin kos lauk pauk yang mengiringinya telah mahal pada hari ini. Kalau jamuan raya di pejabat atau open house, ia menjadi suatu kemestian pulak.

Namun demikian, terdapat juga beberapa jenis ketupat di Malaysia. Nasi impit dan ketupat telah jadi begitu sinonim. Kalau makan sate atau lontong, ketupat atau nasi impit merupakan bahan utamanya. Siap ada nama ketupat sate yang kelihatan simple sahaja.

Ada juga juga ketupat lepat dengan isi pulut manisnya. Kalau di Pantai Timur masih popular dengan ketupat daun palas. Yang digorengpun sedap boleh tahan walaupun dimakan begitu saja. Adatu pulak ketupat sotong, iaitu sotong yang direbus dan disumbat dengan pulut.

Asal-Usul Ketupat
Terfikir pulak tahun ini persoalan ini sedangkan ia telah lama merupakan hidangan special Hari Raya. Lihat daripada internet, nampaknya ketupat di Malaysia berasal dari Indonesia. Harap mereka cepat mempatenkan, nanti gaduh lagi kalau orang Malaysia dakwa ketupat merupakan budaya asli Malaysia.

Hidangan ketupat dikatakan berasal dari saat Islam masuk ke tanah Jawa. Masyarakat Jawa mempercayai Sunan Kalijaga yang pertama kali memperkenalkan ketupat. Kata “ketupat” atau “kupat” berasal dari kata bahasa Jawa “ngaku lepat” yang berarti “mengakui kesalahan”. Lantaran itu, saling betukar-tukar ketupat melalui tradisi ‘munjung’ atau berkunjung adalah sebagai lambang ingatan, silaturrahim, mengakui kesalahan, saling permohonan maaf dan melupakan kesalahan dengan cara memakan ketupat tersebut.

Di kampong-kampung, ketupat masih dianyam sendiri. Namun di kawasan bandar dan yang sudah sulit untuk memperoleh daun kelapa muda, mereka lebih suka membeli kelongsong ketupat atau ketupat yang sudah dimasak.

Falsafah Pemakanan Ketupat
Banyak makna dan falsafah yang dikandung dalam makanan ketupat ini, walaupun ianya mengikut tradisi orang Jawa.

a. Bungkus yang dibuat dari daun kelapa muda yang masih kuning dikatakan melambangkan penolak bala

b. Bentuk segi empat mencerminkan prinsip “kiblat papat lima pancer”, yang bermakna bahwa ke mana pun manusia menuju, pasti selalu kembali kepada Allah.

c. Selain memberikan makna rumitnya anyaman bungkus ketupat yang mencerminkan berbagai macam kesalahan manusia, sedangkan warna putih ketupat ketika dibelah dua mencerminkan kebersihan dan kesucian setelah mohon ampun dari kesalahan.

d. Beras sebagai isi ketupat diharapkan menjadi lambang kebersamaan dan kemakmuran setelah hari raya.

e. Sebahagian masyarakat Jawa percaya bahawa KUPAT berasal dari perkataan dalam bahasa Jawa; KULO LEPAT, yang bererti 'Aku Lupa'. Yakni, kita mengakui kitalah hamba Allah yang sering lupa dan tidak luput dari khilaf dan salah. Oleh itu, jadilah ia satu tradisi pada 1 Syawal kita saling bermaaf-maafan sesama keluarga dan kenalan.

f. Ketupat terdiri dari nasi yang dibungkus dalam anyaman unik daun kelapa muda atau dipanggil 'Janur' dalam bahasa Jawa. Nasi adalah makanan ruji orang Asia yang menjadi simbol kepada 'nafsu dunia'. Manakala JANUR dalam budaya Jawa berasal dari perkataan 'Jatining Nur' bermaksud 'sejatinya nur', iaitu hati nurani. Jadi ketupat secara simbolik dari nafsu dunia yang dapat ditutupi oleh anyaman rapat hati nurani supaya ia tidak terlepas merosak manusia.

g. Orang tua-tua dahulu, bagi mengalakkan anak-anak mereka belajar menganyam ketupat, mereka dikatakan tidak akan dibenarkan kawin selagi tidak pandai menganyam ketupat. … ha X 3

Ujian Kesabaran
Menyediakan ketupat secara tradisional memang menguji kesabaran. Bermula daripada hendak mendapatkan daun muda atau 'janur'. Kemudian dengan penuh tekun pula menganyamnya satu demi satu. Lepas itu diisi dengan beras dalam setiap kelongsong ketupat yang masih kosong.

Akhirnya dengan penuh sabor juga, memasaknya berjam-jam hingga sampai 4-5jam. Dalam zaman yang hendak cepat seperti sekarang, semuanya tidak main nak sabor-sabor lagi. Ketupat sarung plastik juga menjadi pilihan.

Malahan kini telah ada ketupat palas dan lemang dalam bentuk paket sarung plastik. Kalau selepas ini tak nampak lagi kelongsong ketupat dauk kelapa, buluh lemang atau ketupat daun palas mungkin akan menerima nasib yang sama di mana orang tidak lagi nampak bagaiamana ianaya dimasak.
Share:

Raya Korban 1433H @ Besut

Aku tidak ingat, bila kali terakhir aku dan keluarga balik beraya Aidil Adha di Besut Terengganu. Maklumlah, cuti pun hanya sehari dua. Tetapi 10 Zulhijjah Aidil Adha 1433H jatuh pada Jumaat. So ambil cuti sehari, kami pun pulang ke Besut sambil berhasrat untuk meraikan serta memenuhi jemputan walimatul urus dan pernikahan anak sedara di Lembah Bidong. Kami bertolak awal 3.30 pagi 9 Zulhijjah. Perjalanan agak lancar walaupun agak sibuk di beberapa kawasan, terutamanya yang menjadi ‘port’ kereta berehat menghilangkan rasa ngantuk agaknya.

Namun perjalan pulang kembali ke Putrajaya sungguh menyeksakan. Masa perjalanan pulang kami menjadi double berbanding dalam perjalan biasa. Semuanya gara-gara kesesakan jalan bermula pada jam 3.30petang kira-kira 10km sebelum Plaza Tol Lanchang di penghujung LPT.

Memang aku sudah agak jalan sesak, tetapi tidak sangka sebegitu dahsyat. Bukan setakat sesak di jalanraya, nak masuk tandas di RnR pun jem jugak !!! Kalau perjalanan biasa boleh sampai jam 4.30 petang, tetapi akhirnya aku sampai rumah sekitar jam 10.00 malam. Kalau tol free pada hari tersebut, mungkin aliran trafik sedikit lancar.

Perbandingan
Sempena Aidil Adha, sering dikatakan meriah suasana di Pantai Timur. Bagiku meriah atau tidak bergantung bagaimana kita meraikannya. Walaupun tiada aktiviti ziarah menziarahi, kalau aktiviti korban tidak dilaksanakan, tidak kelihatan meriahnya. Aku walaupun tidak turut serta melaksanakan korban di tanah air, namun sempat menyibukkan diri membantu aktiviti penyembelihan korban di sana.

Berbanding dikebanyakkan tempat di pantai barat, penyembelihan korban di bawah anjuran surau, masjid atau persatuan penduduk dan dilakukan sama ada di padang, di surau atau masjid. Di pantai timur, nampaknya lebih kepada anjuran individu lantas mengajak atau menawarkan bahagian kepada jejiran untuk turut serta.

Penganjuran oleh persatuan penduduk, surau atau masjid nampak praktikal di kawasan bandar atau taman perumahan lantaran payah hendak mencari atau mengumpulkan orang yang pandai, berkemahiran serta sanggup turun bergotong royong melapah, memotong dan mengagihkan daging korban. Maklumlah, lakukannya setahun sekali.

Jamuan Korban
Setahu aku, disunat dan digalakkan daging sembelihan korban satu pertiga diambil oleh peserta korban, satu pertiga di bahagi kepada orang fakir miskin dan satu pertiga lagi kepada jiran-jiran walaupun mereka merupakan golongan yang berkemampuan. Tentu ada hikmahnya.

Tapi aku perhatikan, daging korban tersebut dibuat jamuan dengan memanggil ahli surau dan masjid. Siap dengan khemah macam majlis walimatul urus. Apakah mereka memang gunakan satu pertiga bahagian untuk mereka dan selebihnya di agigkan kepada yang berkelayakan ?

Kalau berniat korban untuk jamuan serta merasa dagingnya yang fresh dibuat salai atau masak singgang, mungkin telah lari daripada hikmah mengapa penyembelihan korban.

Sejauh Mana Golongan Susah & Miskin Memanfaatkannya
Sejauh mana sekurang-kurangnya satu pertiga bahagian sembelihan korban dapat dimanfaatkan kepada golongan susah, fakir dan miskin ? Kalau diberikan bahagian daging sekadar sekilo dua, tentunya dalam sehari dua habislah dimakan. Bagaimana dengan hari-hari yang lain ?

Seperti ibadah Zakat, mungkin perlu dilihat semula setakat mana daging korban boleh diperlakukan bagi membantu fakir dan miskin khususnya dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka ? Memang daging korban yang diagihkan boleh dijual, tetapi berapa RM sahaja diperolehi.

Ini belum diambil kira korban yang dilaksanakn oleh jutaan umat Islam jemaah Haji di Mekah. Kemana daging tersebut di agihkan ? Malahan kalau dilakukan di taman-taman perumahan, kekadangtu diagihkan kepada petugas serta jejiran sahaja pun tidak mencukupi. Apatah lagi kepada golongan susah, fakir dan miskin.

Korban Di Luar Negara
Memang diharuskan melaksanakan korban di luar kawasan kita, luar qariah kita, di tempat yang dikira umat Islam memerlukannya. Aktiviti begini semakin popular di kalangan umat Islam tanah air memandangkan harganya yang lebih murah berbanding dengan korban tempatan serta dipromokan sebagai 'dilakukan ditempat yang memerlukan'.

Jika semuanya hendak dilakukan di luar negara, hilanglah syiar korban di tempat atau dalam kariah kita. Ibadah ini bukan sekadar penyembelihan, tetapi juga melibatkan semangat gotong royong, bekerjasama dan silaturrahim di kalangan peserta, petugas ahli masyarakat di sesuatu tempat.

Di samping itu disunatkan para peserta melihat bagaimana penyembelihan dilakukan. Bayangkan jika kita turut serta korban di luar negara atau di surau masjid, tetapi dalam masa yang sama kita relax bersantai dirumah sambil menonton TV bersama keluarga. Apakah hikmah pengorbanan yang diperolehinya ?

Jika di dalam negara masih tidak nampak bagaimana Ibadah korban dimanfaatkan oleh orang yang memerlukan dalam bentuk jangka panjang, bagaimana juga yang dilakukan di luar Negara ? Terfikir juga kepada organisasi yang meguruskannya, bagaimana mereka boleh ‘untung’ daripada aktiviti ini. Aku rasa suatu masa nanti aku hendak turut serta menyaksikan bagaimana program ini dilakukan seperti di Kemboja.

Larangan Sembelih Bukan Di Rumah Penyembelihan
Tetiba tercetus isu ini beberapa hari sebelum korban, malah semasa hari raya korban. Khabarnya pihak Australia melihat cara penyembelihan di beberapa negara yang mungkin termasuk Malaysia, betapa zalimnya penyembelihan dilakukan. Apa yang dikatakan zalim dan kejamnya tu ?

Tidak dinafikan kekadang seekor lembu tetapi dihempap, pijak dan diduduk atasnya oleh orang ramai ketika sembelihan hendak dilakukan. Kesian tengok lembu tu. Kejamkah begitu ?

Jalan penyelesaian mudahnya, usah sembelih lembu korban dari Australia. Import dari Negara lain seperti Thailand dan India jika perlu. Bayangkan sekiranya semua korban dilakukan di pusat penyembelihan. Pelbagai persoalan timbul. Berapa banyak pusat penyembelihan ada, cukupkah ? Ini boleh meningkatkan harga haiwan korban !

Hilanglah seri, kemeriahan dan syiar ibadah korban. Hilang semangat gotong royong dan permuafakatan dikalangan ahli masyarakat. Bagaimana hendak mengambil manfaat daripada sunat menyaksikan sembelihan korbannya ? Selama inipun tidak pernah terdengar kes korban haiwan ternakan yang memberikan mudharat kepada orang ramai.

Sekarang Sesiapa Pun Boleh Serta Korban
Dalam saat rakyat negara kita pantang nampak jualan murah tiket kapal terbang melancong ke sana sini, masing-masing berebut untuk menggarap peluang dapatkan tiket murah. Bukan murah sangat pun. Duit terasa mudah sahaja keluarkan kalau nak terbang melancong sana sini. Dapat pahala ke ?

Tetapi bagaimana mengeluarkan sedikit wang untuk menyertai ibadah korban ? Nak tunggu apa lagi ? Tunggu bila gaji dah besar nanti ? Bayangkan dengan hanya RM1 sehari, dalam setahun kita boleh dapat RM365, tambah sikit sudah boleh serta mana-mana ibadah korban di negara kita.

Kita semua sebenarnya mampu, cuma keyakinan yang membezakan antara kita. Bimbang jadi fakir kalau keluarkan RM400 untuk sertai korban.

Walaupun merasai pengalaman kesesakan jalan raya yang dahsyat ketika pulang dari beraya, namun aku merasakan berbaloi serta berpuasa hati pulang beraya di Besut tahun ini. Banyak kenangan dalan pengalaman aku perolehi sebagai pengajaran diri. Sekurang-kurangnya sepanjang hari Tasyrik, tak pakai masak untuk makan tengahari dan makan malam.




Share:

Aidil Adha 1432H

Alhamdulillah, buat pertama kalinya pakatan berkorban seekor lembu dari kalangan ahli keluargaku telah dapat diadakan pada hari pertama Hari Raya Korban 1432H, yang jatuh pada hari Ahad, 6 November 2011. Selalunya Adil Adha aku tak balik kampong, kerana cuti pun sehari sahaja. Berbanding dengan Aidil Adha yang lalu, peluang cuti yang agak panjang tahun ini dapat juga dimanfaatkan untuk semua ahli keluarga dapat berkumpul. Memang sudah rancang beberapa bulan lalu supaya bolehlah memulakan simpanan bulan demi bulan.

Penyembelihan dilakukan oleh Imam Masjid Pt Kadir, iaitu Imam Hj Osman yang dibantu oleh kalangan jiran tetangga pada kira-kira jam 10.30 pagi. Begitu juga proses melapah dan membungkus daging korban dilakukan secara bergotong royong dengan jiran tetangga. Alhamdulillah, urusan semuanya siap kira-kira jam 1.30 tengahari.

Walaupun apa pun, adalah diharapkan agar ibadah korban yang dilakukan bersama diterima oleh Allah s.w.t. Kalau ada rezeki nanti, bolehlah pakat-pakat untuk buat lagi pada tahun-tahun yang akan datang.



Solat Raya
Ada satu kekurangan apabila solat raya, sama ada Aidil Fitri atau Aidil Adha di kampungku, iaitu ketiadaan jemaah wanita. Maknanya wanita tidak mengambil peluang untuk solat raya. Namun pada tahun ini, aku sertakeluarga solat di masjid kampung bersebelahan. Namun jemaahnya wanitanya boleh dibilang dengan jari.


Entahlah, terasa macam tidak meriah sahaja di Masjid pagi itu. Jemaahnya pun berpakaian bukan macam raya. Takbirnya tidak bersemangat manakala khutbahnya pun bukan sahaja tersangat, tetapi entah apa isinya dan gaya penyampaiannya pun kurang jelas.

Kentut Nyaring Ketika Solat
Masjid dua tingkat, bolehdikira baru. Binaan masjid yang lamam masih kekal di sebelahnya. Namun di masjid lama ini, mengingatkan aku tentang peristiwa ketia aku di sekolah rendah dahulu.

Ketika tahiyat akhir, tetiba aku terasa hendak kentut dan aku tahan-tahankannya. Namun akhirnya tidak tertahan dan meletuslah ia, mengeluarkan bunyi yang nyaring dan 'cantikkkkkk' ... apa lagi jemaah bubudak disekitarku ada yang tertawa kuat sedang aku cuba buat tak tahu menahan 'malu'.

Kesalahan Dalam Ibadah Korban
Aku ada menerima info dan e-mel mengenai perkara ini untuk dikongsikan bersama di sini tentang beberapa kesalahan dalam ibadahkorban. Tak pastinya bagaimana dengan dalil dan nas-nya.

1. Ada beberapa golongan masyarakat yang melakukan kesilapan dengan melakukan ibadah korban pada malam hari raya. Amalan ini tidak menepati sunnah dan sekiranya dilakukan juga, sembelihan tersebut tidak dikira sebagai ‘Ibadah Korban’, kerana para ulamak mengaggap perbuatan tersebut sebagai ‘Makruh’.

2. Begitu juga dalam masalah pembahagian daging korban. Masih ada amalan di mana daging yang telah dikorbankan dibahagi kepada tujuh bahagian, manakala bahagian tertentu (biasanya kepala, bahagian rusuk, batang pinang) diperuntukkan atau dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah. Tindakan ini sama sekali tidak dibenarkan, kerana setiap bahagian daging korban adalah sedekah dan sedekah sama sekali tidak boleh dijadikan sebagi upah. Sekiranya kita masih ingin memberikan upah kepada tukang sembelih, pihak yang berkongsi korban, boleh membayar lebih sedikit daripada harga sebenar binatang korban dan menyerahkan lebihan wang tersebut kepada tukang sembelih.

3. Melaksanakan ibadah korban dengan tujuan untuk menunjukkan kepada orang ramai akan kemampuan dirinya untuk melakukan korban, supaya dengan itu mereka akan dipandang mulia, dihormati dianggap sebagai orang yang hebat di sudut kemampuan kewangan, sedangkan dia sepatutnya insaf bahawa hanya korban yang disertakan dengan keikhlasan dan ketaqwaan sahaja yang diterima di sisi Allah. Firman Allah SWT maksudnya, Daging-daging korban dan darahnya itu, sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan) yang lahir dari ketaqwaan darimulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah memudahkan bagimu (binatang korban itu) untuk kamu supaya kamu mengagongkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”(Surah al-Haj : ayat 37)

4. Pembaziran daging korban, di mana terdapat daging korban yang lambat diagih-agihkan menyebabkan daging tersebut menjadi busuk. Di samping sikap sebahagain daripada kita yang terlalu tamak menghimpunkan daging korban, tetapi akhirnya menjadi busuk dan rosak, apabila ruang peti ais rumah kita tidak mampu memuatkan semua daging korban yang kita bawa pulang.

5. Pembahagian daging korban yang hanya ditentukan kepada kumpulan-kumpulan atau puak-puak tertentu sahaja, dengan mengenepikan hak orang lain terutama yang tinggal sejiran, sekampung atau setaman dengan kita.

6. Kedatangan ke masjid, ke surau atau ke tempat sembelihan, semata-mata untuk mendapatkan bahagian dari pembahagian daging korban, namun begitu tidak mensyukuri nikmat Allah setelah memakan dan menikmati daging korban tersebut, dengan cara melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Malah ada di antara mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke surau dan ke masjid atau bermuamalah dengan penduduk setempat.


Lagi Gambar Sekitar Aidil Adha Dan Majlis Korban
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.