Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Showing posts with label surau. Show all posts
Showing posts with label surau. Show all posts

Perhimpunan Warga Agama Qaryah Wilayah Persekutuan

Pada 6 April 2012, lepas solat Jumaat aku terus bergegas ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi menghadiri Perhimpunan Perdana Warga Agama/Qaryah Wilayah Persekutuan, mewakili Surau Jumaat qaryahku. Dewan yang pada mulanya hanya dipenuhi dengan sebahagian kecil wanita, dengan sekejap sahaja penuh sesak dengan orang ramai. Peliknya kenapa dinamakan Perhimpunan Warga Agama / Qaryah ? Bukan perhimpunan semua penganut agama satu Malaysia ?

Dalam majlis perhimpunan tersebut, pelbagai sumbangan daripada kerajaan diumumkan mengikut beberapa kategori seperti termasuk guru-guru KAFA, Sekolah rendah Agama (SRA), para imam, guru-gurutakmir, Ahli Jawatankuasa Masjid, Surau Jumaat, dan Surau yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( JAWI ) yang semuanya berjumlah sebanyak RM 211,658,600.

Sebagai AJK Surau Jumaat pun ada imbuhan, berapa agaknya ? Lumayan tak ? Jika jumlah sumbangan kepada AJK Surau Jumaat yang berjumlah RM 821,000 di bahagikan kepada 10 orang bagi setiap Masjid dan Surau Jumaat yang mungkin berjumlah 160 buah, maknanya dapat sekitar RM500 sorang !!!

Apa pun yang jelas mesej yang hendak disampaikan ialah bagaimana kemampuan pihak kerajaaan selain menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat, juga memberikan pelbagai sumbangan dan imbuhan ialah disebabkan kebijaksanaan serta kemampuan pihak kerajaan dalam mentadbir negara ini.

Oleh itu, kerajaan yang ada perlu dikekalkan. Senang cakap sokong, pilih dan undilah kerajaan sedia ada yang sudah elok dikekalkan. Ternyata PRU13 semakin dekat.

Disebalik nyanyian lagu 1Malaysia pada awal majlis, para hadirin juga diminta mengebarkan bendera Malaysia. Entahlah, di sebalik semangat tinggi yang cuba disentuh atau diusik oleh Datuk Jamil Khair dalam ucapan aluannya, aku lihat sebenarnya ramai yang tidak mengibarkan bendera dan tidak juga menyanyikan lagu tersebut. Mengapa ini berlaku ? Protes ? Tak tahu ? Kalau tidak suka kenapa datang juga ke majlis begini.

Apakah apabila ada pengumuman tentang imbuhan atau sumbangan akan disampaikan, lalu ramai yang hadir bagi menyatakann rasa kesyukuran dan kegembiraan tersebut. Ini jauh berbeza dengan majlis Seminar Gagasan 1Malaysia dan Pengertian Wassatiyah yang aku hadir beberapa minggu lalu, dimana daripada anggaran 400 peserta akan hadir, tetapi sebaliknya tidak sampai 40 yang hadir.

Klik untuk maklumat lebih lanjut mengenai sumbangan peruntukan yang diluluskan.
Share:

Mengikuti Kapsul Pengurusan Jenazah

Pada 3-4 Mac 2012 lalu, bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya atau juga dikenali sebagai Masjid Besi, aku mengikuti Kursus Pengurusan Jenazah. Kira-kira 150 orang mengikuti kursus yang yang kebanyakkannya merupakan wakil dari surau-surau sekitar Putrajaya. Beberapa orang AJK serta ahli kariah surau tempatku, Surau As-Syakirin telah mengikuti kursus yang diadakan secara percuma ini.

Berbanding dengan kursus-kursu lain yang pernah aku ikuti sebelum ini, nampak ada kelainan pengisian dana bagaimana ianya dikendalikan. Cuma mungkin akanmenjadi lebih berkesan sekiranya para peserta tidak seramai yang mengikuti kursus tersebut. Kalau separuh daripadanya mungkin lebih baik dan efektif.

Kursus pada awalnya dikendalikan oleh Ustaz Md Tahir bin Md Yusoff dengan beberapa slot ceramah. Agak panjang dan meletihnya, tambahan tiada nota sebagaimana diceritakan dan tidak menggunakan sepenuhnya teknologi maklumat terkini. Al-Ustaz rupanya orang Kg Kenangan Batu Pahat dan telah lama terlibat dalam pengurusan jenazah, termasuk jenazah orang kenamaan, VIP serta raja-raja. Harapnya pihak penganjur atau ada peserta yang secara volunteer membantu al-Ustaz yang banyak ilmu dan pengalaman itu untuk menyediakan bahan atau nota secara multimedia agar penyampaian lebih mudah di fahami.

Dalam tiga slot ceramah dari pagi hingga petang, ceramah menyentuh tentang Adab Serta Tanggungjawab Terhadap Orang Yang Nazak Dan Selepas Kematian, Tatacara Pengurusan Jenazah dan diikuti dengan Pengurusan Mandi Dan Kafan Jenazah.

Sebelum bersurai, simulasi bagaimana menyediaan kain kafan, memandi serta mengkafankan jenazah dilakukan dengan bantuan daripada fasilitator program. Hanya beberapa peserta yang terlibat, manakal yang lain jadi pemerhati sahaja.

Patutnya para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan, tetapi barangkali tidak cukup fasilitator dan kelengkapan, maka pemecahan hanya dibuat untuk peserta lelaki dan wanita sahaja.

Hari Kedua
Pada hari kedua, program di sambung di Tanah Perkuburan Putrajaya Presint 20. Pertama kali aku menjejakkan kaki ke sana.

Memang luas kawasannya. Ia sebenarnya kompleks tanah perkuburan yang menempatkana bukan sahaja jenazah orang Islam, tetapi juga agama lain di kawasan-kawasan yang diasingkan antara satu sama lain.

Di sana para peserta ditunjukkan secara apraktikal bagaimana pengendalian jenazah daripada sudut pengkebumian serta hal tanah kubur. Lubang kubur sudah siap digali, guna jentera barangkali. Tetapi bukanlah saiz sebenar, hanya contoh. Lebar dan panjang sudah ok, Cuma kedalamannya tidak cukup 6 kaki.

First time ikut kursus jenazah, sampai di bawa ke tanah kubor. Bagus juga, suatru kelainan selain lebih memberikan keinsafan tentang kematian yang akan datang menjemput kita suatu masa nanti.

Sempatlah tengok-tengok atau ziarah kubor orang kaya, kenamaan serta Allahyarhaman Pn Seri Hendon, isteri mantan PM Malaysia Pak Lah. Simpel tanpa sebarang binaan di atasnya. Al-Ustaz mengatakan itu memang menjadi tradisi keluarga serta keturunan Pak Lah sejak dahulu lagi.

Program kemudian dikuti dengan minum pagi dan seterusnya majlis penerangan serta dialog bersama Pengurus Tanah Perkuburan Putrajaya Presint 20. Keluasan tanah perkuburan tersebut yang kini menempatkan kira-kira 500 jenazah, dijangka akan penuh 80 tahun lagi. Kubor tersebut hanya untuk jenazah penduduk Putrajaya dan bukan sedang nak dikebumikan di situ, kena ada kelulusan serta proses tertentu.

Share:

Solat Jumaat Pertama Surau As-Syakirin : 6 Mei 2011

Alhamdulillah, solat Jumaat pertama di Surau As-Syakirin SMK Precint 14(1) telah diadakan pada 6 Mei 2011 lalu. Kira-kira 800 jemaah memenuhi ruang solat utama yang melimpah sehingga ke luar dan ruang solat di belakang. Sebagai solat Jumaat pertama, sambutan yang diberikan oleh orang ramai sangat memberangsangkan. Sedangkan sebelum itu, aku berdebar juga kot tak cukup 40 orang yang akan datang. Bimbang ramai yang masih tidak tahu, malah dalam Majlis Kesyukuran yang diadakan malam sebelumnya hanya dihadir kira-kira 30 orang sahaja.

Aku mengambil kesempatan memberikan ucapan alu-aluannya sebelum azan berkumandang. Selain mengalu-aluannya kehadiran jemaah, terima kasih atas kehadiran dan sokongan para jemaah yang hadir. Aku berharap agar penduduk sekitar dapat juga mengimarahkan surau ini dengan hadir dalam solat waktu yang lain. Sumbangan orang ramai masih dialu-alukan supaya dapat pihak AJK Surau meningkatkan infrastruktur surau dalam memberikan keselesaan kepada para jemaah.

Ustaz Amiruddin yang juga Bilal Surau Jumaat As-Syakirin bertindak sebagai Bilal pertama pada hari tersebut. Manakala khutbah disampaikan oleh Ustas Hasrul Aidil yang kemudiannya mengimamkan solat. Mungkin bersempena dengan sambutan Hari Ibu, khutbah ‘Air Mata Ibu’ disampaikan berdasarkan teks yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( JAWI ).


Sedang segalanya tampak sempurna pada hari tersebut, tetiba cordless microphone Imam tidak berfungsi. Terpaksalah Imam meninggikan suaranya. Sure yang dibelakang tidak dengar. Kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan. Sementara itu banyak juga sumbangan diterima daripada Pejabat Ahli Parlimen Putrajaya. Antaranya ialah mimbar, sejadah, kipas, tambahan tempat wuduk serta membuat bumbung pada ruangan terbuka di belakang surau. Mimbar masih dalam pembinaan dan yang digunapakai sekarang adalah pinjaman dahulu. Agaknya lagi cantik sedangkan bagiku yang sekarang pun kira sudah ok.

Yang penting difikirkan selepas ini sekiranya jemaah melimpah sehingga di tingkat bawah. Manakala sistem siaraya juga perlu dipertingkatkan. Sekurang-kurangnya apabila azan berkumandang, kedengaran sehingga penduduk di Precint 14, Jalan 14A. So, tak adalah alasan untuk tidak mendengar laungan azan.

Cabaran lain selain memastikan solat jemaah 5 waktu sentiasa berjalan di surau, ialah bagaimana untuk memastikan solat Raya Puasa juga dijalankan. Ini kerana musim-musim cuti semuanya nak balik kampung, termasuk Imam dan Bilal sekali. Malah AJKnya pun tidak ketinggalan. Tidak kiralah, cuti sekolah, hujung bulan atau musim durian luruh di kampung. Ha .. ha .. Nak harap Pakcik Pengawal saja yang solat ??
Share:

Solat Jumaat Di Surau As-Syakirin

Pada 13 April lalu, aku serta beberapa orang AJK Surau As-Syakirin SMK Putrajaya Precint 14(1) telah menghadiri taklimat mengenai kebenaran solat Jumaat di Masjid As-Shafie Taman Perkasa Maluri, KL. Alhamdulillah, Surau As-Syakirin SMK P14 telah dibenarkan untuk didirikan solat Jumaat mulai 6 Mei 2011, tertakluk kepada kesediaan kita. Bila aku ingat kembali, rasanya permohonan mula dibuat setahun lalu.

Taklimat telah disampaikan oleh Tn Hj Hashim bin Hj Salleh, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Kariah, JAWI. Ini diikuti dengan soal-jawab mengenai pelaksanaan solat Jumaat, maklumlah pentadbiran surau biasa dengan surau Jumaat sedikit berbeza.

Dalam taklimat yang disampaikan, penekanan diberikan kepada persediaan serta perkara yang perlu dipatuhi selaras dengan Akta 505 – Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1993 Berkaitan dengan Masjid Bahagian VII ( Seksyen 72 – 83 ).

Pada akhir majlis, aku tampil mewakili Surau As-Syakirin untuk menerima surat kelulusan rasmi daripada Tn Hj Hashim bin Hj Salleh. Turut menerima surat kelulusan ialah wakil dari 9 buah surau lain di sekitar Wilayah Persekutuan, yang turut dinaik taraf sebagai Surau Jumaat. Antara lain ialah Surau di Hentian Pudu Raya dan Ibu pejabat Polis Dang Wangi. Dari Putrajaya, hanya Surau As-Syakirin.

Kini apa yang dilakukan ialah persediaan kearah memastikan solat Jumaat dapat diadakan mulai pada 6 Mei 2011. Memang tidak mengharapkan yang perfect. Namun harapnya semuanya berjalan lancar. AJK pun nampak semangat dan bersungguh. Semoga ramai yang akan dapat manfaat daripada naik taraf ini.


Share:

Keutamaan Azan Yang Tidak Diendahkan

Pada cuti sekolah yang lalu, aku singgah dan menginap di salah sebuah hotel di Bandar Chukai. Ketika hendak check-in, kedengaran suara azan. Lantas aku teringat berita yang tersiar di sebuah akhbar beberapa bulan lalu, Masjid Jamek Chukai terpaksa menggunakan telivesyen untuk memperdengarkan azan pada setiap kali masuk waktu solat fardhu. Ini dilakukan memandangkan ketiadaan bilal bagi menggantikan bilal yang telah bersara sejak tiga tahun lalu. Tapi tak dapat hendak ku bezakan, azan yang aku dengar ini, live atau dari siaran TV.

Sekali mendengar kisah ini, menggelengkan kepala juga. Apa taknya, berlaku di sebuah Negeri Darul Iman, saban tahun mencatatkan keputusan memberangsangkan dalam UPSR, PMR dan SPM, sering mewar-warkan visi melahirkan generasi ulul albab. Majoriti penduduknya beragama Islam pulak tu.

Mungkin ada sebab teknikal lain yang mengakibatkan berlakunya perkara ini, sehingga belum ada pengganti bilal. Apakah bilal tetap yang hendak dilantik mesti ahli parti pemerintah negeri ? Tiada calonkahdari parti pemerintah ? Sejauhmana merit politik diambil kira ? Atau imbuhan bulanannya tidak menarik. Atau bilik atau Sistem PA untuk melaungkan azan berkunci atau terlalu canggih sehingga menyukarkan sesiapa yang volunteer nak melaungkan azan ? Mungkin ada yang boleh azan, tapi merendahkan diri mengatakan suara tak bagus, tak sedap atau tidak lantang.

Profession muazzin dalam masyarakat kita dipandang agak tinggi, seperti Imam, Ketua Kampung dan Penghulu. Namun profession ini mendapat nilaian yang rendah daripada segi imbuhan yang diterimanya sama ada sebagai Bilal Tetap, apa tah lagi bilal sambilan atau volunteer. Maklumlah, semua orang boleh melaungkan azan. Kalau tidak azan pun ekonomi dan keselamatan negara tidak tergugat. Kedudukan parti pemerintah pun tidak tergugat. Tidak semestinya pula ada Ijazah atau diploma untuk melayakkan seseorang melaungkan azan.

Keutamaan Azan
Dari Al-Barra’ bin ‘Azib r.a bahwasanya Nabi s.a.w bersabda, ‘Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya akan bershalawat untuk orang-orang yang berada di shaf yang terdepan. Muazzin akan diampuni dosanya sepanjang suaranya, dan dia akan dibenarkan oleh segala sesuatu yang mendengarkannya, baik benda basah maupun benda kering, dan dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang-orang yang solat bersamanya”. ( H.R. An-Nasai dan Ahmad )

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Seorang imam adalah penjamin ( pelaksanaan shalat ) dan muazzin adalah orang yang diberikan kepercayaan untuk menjaganya. Ya Allah tunjukilah para imam dan berilah ampunan untuk para muazzin.” ( H.R. Abu Daud dan Tirmizi )

Dari Muawiah bin Abi Sufyan r.a berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Orang-orang yang azan (muazzin) adalah orang yang paling panjang lehernya pada hari kiamat.” ( H.R. Muslim ) Maksudnya ketika manusia sudah berdesak-desakan dan ketika keringat-keringat manusia sudah membanjiri mereka, bahkan ada yang keringatnya setinggi mulutnya, muazzin selamat dari semua itu karena lehernya yang panjang.

Dari Abu Hurairah r.a bahwasanya Rasulullah s.a.w bersabda : ‘Kalau seandainya manusia mengetahui besarnya pahala yang ada pada panggilan (azan) dan shaf pertama kemudian mereka tidak bisa mendapatkannya kecuali dengan undian maka pasti mereka akan mengundinya. Dan kalaulah mereka mengetahui besarnya pahala yang akan didapatkan karena bersegera menuju solat maka mereka pasti akan berlomba-lomba ( untuk menghadirinya ). Dan kalaulah seandainya mereka mengetahui besarnya pahala yang akan didapatkan dengan mengerjakan solat isya dan subuh, maka pasti mereka akan mendatanginya meskipun harus dengan merangkak.’ ( H.R Al-Bukhari dan Muslim )

Dari Ibnu Amru bin Al-‘As r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Tukang azan yang melaungkan azan secara sukarela adalah seperti seorang syahid yang berlumuran darah, jika dia meninggal dunia, matinya tidak berulat di dalam kubur’. ( H.R Al-Imam At-Thabrani)

Terasa begitu besar ganjaran yang dijanjikan oleh Allah di akhirat nanti. Apakah lantaran ganjaran begitu besar di sana, maka tidak perlulah diberikan ganjaran yang besar juga di dunia ini ? Bayangkan kalau Allah janjikan juga ganjaran secara cash berbentuk $RM di dunia ini, tentunya berebut semua orang nak berazan di surau atau masjid.

Berdasarkan pengajaran Hadith diatas dapat disimpulkan, tanggungjawab mengazankan bukanlah terletak dibahu muazin(bilal) semata-mata, sesiapapun boleh mengambil peluang untuk melaungkan azan apabila telah masuk waktunya. Sebagai ahli kariah rebutlah peluang ini sementara kita masih hidup, jika muazin atau bilal terlewat melaungkan azan, eloklah kita kedepan untuk melaungkan azan. Insya Allah semoga kita tergolong di dalam golongan sebagaimana di atas.

Fungsi Azan
Azan dilaungkan sebagai tanda telah masuk waktu solat. Azan juga sebagi pemberitahu tempat untuk solat berjemaah. Yang pentingnya azan sebagai menzahirkan tanda Islam dan Kalimah Tauhid. Bayangkan di suatu tempat, tiada azan dilaungkan ketika masuk waktu solat, timbul pertanyaan. Tiada orang Islamkah di sini, tiada masjid or suraukah di sini ?

Selain daripada itu, laungan azan mempunyai banyak kelebihan lain, antaranya ialah laungan azan itu dapat mengusir syaitan sebagaimana disebutkan dalam hadis Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Apabila azan dikumandangkan maka syaitan akan lari sambil kentut hingga dia tidak mendengarkan azan lagi. Ketika azan sudah selesai maka dia kembali lagi. Ketika qamat dikumandangkan untuk solat dia kembali pergi, ketika qamat sudah selesai dia kembali lagi hingga dia boleh mengganggu hati orang yang solat. Dia mengatakan, ‘Ingatlah ini, ingatlah itu,’ yang mana hal tersebut tidak teringat olehnya sebelum solat. Sehingga akhirnya seseorang tidak menyadari lagi sudah berapa raka’atkah solatnya.’ ( H.R. Al-Bukhari dan Muslim )

Azan juga boleh digunakan untuk mengubati orang yang sedang dalam kerasukan dan menghindarkan mereka daripada kejahatan jin.

Sunat mengazankan orang yang buruk sifatnya sama ada daripada manusia atau binatang dan orang yang resah gelisah kerana azan itu boleh menghilangkan keresahan itu. S

Sunat melaungkan azan ketika menghadapi kebakaran atau untuk orang yang hendak musafir atau untuk bayi yang baru lahir supaya anak itu tidak akan diganggu oleh Ummu Syibbyan iaitu daripada kalangan jin.

Waktu di antara azan dan iqamah merupakan di antara saat-saat mustajab di mana doa diperkenankan oleh Allah s.w.t. Oleh kerana itu kita disunatkan untuk berdoa pada ketika itu seperti memohon selamat daripada musibah dan penyakit sebagaimana hadis dari Annas bin Malik katanya : Telah bersabda Rasulullah s.a.w : Doa tidak ditolak antara azan dan iqamah. Mereka berkata : Apakah yang kami katakan wahai Rasulullah ? Baginda bersabda : 'Kamu memohon kepada Allah afiat ( keselamatan ) di dunia dan di akhirat'. ( H.R. Al-Imam At-Termidzi )


Share:

Buku : Misteri Solat Subuh

Solat adalah tongak bagi seorang mukmin. Tanpanya bukan setakat hilang pahala ganjaran segala amalan, kemukminan dan kemusliman sesorang terungkai. Solat menjadi pemisah antara keimanan dan kekufuran. Solat adalah rukun Islam, tanpanya dimanakah keIslaman seseorang ? Namun diantara 5 waktu solat yang difardukan sehari semalam, solat Subuh dianggap paling mencabar kerana dikerjakan pada waktu yang sangat sulit, sulit untuk bangun dari tidur. Masa pun tidak panjang. Di sebalik itu, Solat Subuh sebenarnya mempunyai misteri tersendiri, menjanjikan banyak kelebihan selain ganjaran yang sangat lumayan.

Buku Misteri Solat Subuh ku beli bagi memberikan motivasi diri agar istiqamah mengerjakan solat Subuh secara berjamaah. Memang solat Subuh begitu mencabar. Tidak kiralah bagi seseorang ustaz, yang mengaku sebagai pejuang Islam dan sentiasa berjuang di jalan Allah, yang sering berceramah atau berdakwah tentang Islam di sana sini, Pengarah Jabatan Agama Islam, Pegawai Agama, Pengerusi atau AJK Masjid/Surau, Pengerusi Biro Agama, AJK Khairat Kematian, para Huffaz, Imam serta Bilal ( bukan bertugas ), bagaimana solat Subuhnya ?

Selain daripada fadhilat dan keutamaan Solat Subuh, buku ini turut menyenaraikan tips bagaimana hendak bangun pagi bagi mengerjakan solat Subuh, khususnya nntuk berjemaah di Masjid/Surau bagi lelaki. Solat Subuh berjamaah adalah ujian bagi mereka yang mengaku berjaya merangkul keimanan. Bangkit Subuh memerlukan tekad gigih serta usaha yang berterusan. Rasulullah s.a.w pernah menjadikan solat Subuh berjamaah sebagai ukuran keraguan baginda terhadap keimanan atau kemunafikan seseorang. Ngeri bunyinya ...

Solat Suboh Untuk Mencari Jaminan Allah
Sabda Rasulullah s.a.w : ‘Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah s.w.t. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah s.w.t. dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka’. ( H.R Muslim )

Dalam satu hadia yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Barangsiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka". ( H.R Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)

Didoakan Rasulullah s.a.w
Rasulullah s.a.w mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis, ‘Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun Subuh (iaitu mengerjakannya)’. ( H.R Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah) Siapa yang tidak mahu didoakan oleh Rasulullah s.a.w ?

Solat Subuh Dan Isyak
Dari Usman bin Affan berkata, Rasulullah s.a.w bersabda : ‘Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh’. ( H.R. Muslim).

Ubai bin Ka'ab ra berkata, Rasulullah s.a.w solat Subuh kemudian bersabda, ‘Apakah kamu menyaksikan bahawa si fulan solat?' Mereka menjawab,’Tidak’. Baginda bersabda lagi, ‘Si fulan?’ Mereka menjawab, ‘Tidak’. Maka, bagindapun bersabda yang bermaksud: ‘Sesungguhnya dua solat ini( Subuh dan Isyak ) adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak’. ( H.R Ahmad dan an-Nasa'i)

Janji Syurga
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya, 'Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga'( H. R Bukhari ). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar. Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT.

Lebih Baik Dari Dunia Dan Seluruh Isinya
Dari Aisyah, telah bersabda Rasulullah s.a.w, “Dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya". ( H. R Imam at-Termizi )

Segala kelebihan yang dinyatakan boleh dijadikan motivasi bagi kita untuk bangkit waktu pagi mengerjakan solat Subuh. Kecualilah jika kita masih tidak yakin dengan janji Allah dan Rasulnya.

Ayoh, mari bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh atau apabila terdengar alarm membangkitkan tidur sebelum Subuh. Walaupun ini ujian yang sukar, namun bukan sesuatu yang mustahil. Seorang yang mengaku mukmin mestilah cuba untuk lulus dalam semua ujian untuk membuktikan kebenaran iman dan untuk menyelaraskan antara lisan dan hati dengan kemampuan perbuatan.

Antara tips untuk dapat bangkit dan melaksanakan solat Subuh secara berterusan sebagaimana dalam buku Misteri Solat Subuh ini dapat diringkaskan sebagaimana berikut :-

a. Tidur lebih awal
b. Niat yang ikhlas serta tekad untuk bangkit Subuh sebelum tidur
c. Bersungguh-sungguh dalam bersuci dan berzikir sebelum tidur
d. Meminta bantuan keluarga dan orang soleh untuk mengejutkan bangun
e. Menggunakan alat untuk memnbangunkan dari tidur
f. Tidak banyak makan sebelum tidur
g. Tidur sebentar di waktu tengahari
h. Jangan tidur sendirian
i. Meminta bantuan orang memercikkan air pada wajah untuk mengejutkan daripada tidur

Share:

Nostalgia Majlis Makan Malam Amal Sajoha 2010

Pada 28 Mei 2010, aku menghadiri Majlis makan Malam Amal Sajoha ( MMMA ) 2010 yang diadakan di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur. Majlis ini sebenarnya diadakan bagi mengutip dana bagi Tabung Pendidikan & Kerohanian khususnya menaik taraf bangunan surau SMS Johor ( SMSJ ), Kluang bagi membolehkan ianya selesa digunakan oleh kira-kira 650 pelajarnya secara serentak. SMSJ adalah sekolah menengahku dahulu. Aku belajar di sana dari tahun 1976 hinggalah mengambil SPM pada tahun 1980. Kiranya aku group SMSJ Alumni 1980 atau SAJOHA80.

Ya, kekira 30 tahun aku telah meninggalkan SMSJ. Itu yang buat aku terpanggil untuk menyertai majis tersebut. Melihatkan bekas-bekas guruku yang bakal hadir, aku hadir terharu dan keinginan kuat untuk menemui semula guru yang telah berjasa kepadaku dahulu. Namun tidak semuanya dapat hadir pada malam yang dijanjikan itu.

Majlis bermula agak lewat, lantaran tetamu terhormat YB Datuk Hj Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri lewat tiba. YB merupakan junior ku 3 tahun. Rasanya masa tu beliau memang agak low profile seperti aku juga. Tetapinya kemudiannya dikenali ramai sehingga berjaya membawa pasukan SMSJ buat pertama kalinya berjaya ke Final Bahas Piala Perdana yang disiarkan live di TV pada tahun 1983. Lawan SMSJ di final tersebut ialah Kolej Islam Kelang ( KIK ) yang diketuai oleh Ustaz Idris Ahmad, bekas Naib Ketua Pemuda dan AJK PAS Pusat sekarang. Tapi SMSJ kalah kepada KIK.

Sementara menunggu ketibaan YB yang baru pulang dari New Zealand, pengacara Zainal Alam Kadir ( junior ku 2 tahun ) berceloteh dan membawa kisah-kisah kenangan silam. Since jarak masa beliau bersama ku dikira tidak jauh beza, aku agak bernasib baik sebab celotehnya berkisar dengan zamanku juga dan faham apa yang dicelotehkannya. Ini membawaku kembali mengingati nostalgia lamaku di SMSJ.

Antara guru yang hadir pada malam tersebut ialah bekas Pengetua zaman ku Cikgu Hamzah Rashid serta isterinya. Memang nampak telah berusia, tetapi masih steady. Sebelum ini pernah juga terserempak beliau, semasa beliau di Kementerian serta dalam satu mesyuarat surau-surau di Selangor suatu ketika dulu.

Aku benar-benar tidak ingat sama ada aku termasuk dalam kumpulan pelajar yang dirotan oleh Cikgu Hamzah lantaran membotakkan daun pokok-pokok kelapa di tepi padang sekolah untuk belajar menyanyam ketupat. Peristiwa ini diulas semula oleh Zainal Alam dan menarik perhatian ramai. Tapi sehingga kini aku kira aku pandai menganyam kelongsong ketupat hasil sekolah di SMSJ.

Keduanya Cikgu Abdul Rahman Karim, Ketua warden yang dianggap paling garang pada zamanku. Beliau yang juga guru pasukan hokiku tidak dapat mengingatiku walaupun telah ku cuba beri hint kepadanya. Selepas sekolah pernahku lihat beliau menjadi jurulatih pasukan hoki remaja kebangsaan pada awal 1900an. Beliau juga kelihatan masih segak dan steady lagi. Agaknya berapa umur beliau ketika ini ? Aku meninggalkan SMSJ sudah 30 tahun. Jika ketika itu umur beliau 35 tahun, maka kini 65 tahun !!!

Begitu juga dengan Cikgu Abdul Jalil dan Ustaz Ismail. Tapi aku tidak berkesempatan bertemu dengan Ustazah Salmiah yang turun dari Kota Bharu. Lagipun mejanya jauh dari mejaku. Aku juga baru tahu, Dr Robiah Kulub Hamzah pakar motivasi tu rupanya bekas guru SMSJ tahun 70an. Patutlah nampak dari jauh pada malam tersebut macam kenal aje. Dia ketika itu dia Warden Asrama Puteri dan ajar KRT, tak mengajar aku kot !!!

Selain daripada jamuan makan serta ucapan perasmian, majlis diselangselikan dengan persembahan oleh Kumpulan Alam yang dipimpin oleh Zainal Alam sendiri, persembahan spontan bekas pelajar selain pelajar-pelajar dan cabutan bertuah. Doa makan dibacakan oleh YB Datuk Haji Ahmad Mazlan sendiri. Rupanya dulu dia sering ditugaskan membaca doa di dewan makan !!!

Tapi persembahan pentas malam tersebut sedikit meragukan. Apakah sesuai dengan pengisian untuk mengisi dana surau khususnya penamapilan mereka yangmembuat persembahan ? Sejauh mana pula lagu-lagu bertemakan kerohanian dan universal yang disampaikan bersesuaian dengan tujuan majlis dan mood malam tersebut ? Mungkin para hadirin tidak kisah persembahan tersebut, sebaliknya sibuk berceloteh bertemu dengan rakan-rakan lama ...

Selain daripada itu, turut diadakan dua majlis pelancaran Koperasi SAJOHA yang baru diluluskan penubuhannya serta menandatangani Perjanjian Persefahaman Pengantarabangsaan SMSJ dengan Universiti Tun Hussain On Malaysia ( UTHM ). Dikatakan perjanjian persefahaman ini adalah sebagai satu hasrat dalam memenuhi impian pihak sekolah sebagai salah satu syarat untuk dijadikan sekolah kluster pada masa akan datang.

Pengerusi Projek MMMA, Pn Noryn kemudiannya mengumumkan jumlah kutipan berserta sumbangan daripada pihak kerajaan melalui YB Datuk Ahmad Maslan menerusi peruntukan ICU Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM 100K. Jumlah keseluruhan setelah ditolak kos penganjuran MMMA berjumlah sebanyak RM 328, 783 ( termasuk yang dijanjikan untuk diberikan sumbangan ). Ok jugak. Aku lantas teringatkan kalau nak buat untuk Dana KIDaS ( Pembinaan KAFA Darul Syahadah ) seperti mana yang pernah diimpikan dahulu ( katakan tiada yang RM100K daripada kerajaan ) boleh dapat ke ?


Melihat penganjuran ini, agaknya kalau dibuat dua tahun sekali pun OK. Disamping dapat jumpa kengkawan dapat juga cikgu-cikgu lama kita. Mungkin juga ada antara cikgu-cikgu pun hendak bertemu muka mana yang terpisah jauh. Kalau buat di KL, senang sikit sebab di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.

Tetapi kalangan SAJOHA80 ramai yang selalu berjumpa dan berhubungan menerusi eGroup dan Facebook, hanya beberapa sahaja pada malam tersebut. Ramai yang datang lelaki sahaja, maklumlah yang pompuan dah jadi isteri payah sikit nak keluar malam ini. Tetapi dapat jumpa beberapa senior dan junior yang masih dikenali, bertanya khabar dan kenangan best juga.

Junior setahunku yang ku kira rapat juga dahulu sebab sepatrol dalam Pengakap, Salehuddin Hassan rupanya kini jadi YDP Majlis Perbandaran Baru Pahat. Katanya teruk kerja, tension !!! Ada yang berkahwin dikalangan SAJOHA, malah anak pun sekarang belajar di SMSJ. Ada juga yang tiga beradik di SMSJ tetapi tidak pernah bersekali, maksudnya abang keluar adik masuk.

Kalangan sedara maraku juga ada yang masuk SMSJ, tapi tidak nampak malam tersebut. Atau aku yanga tak kenal mereka dan sebaliknya ... ha ! ha ! Jauh di Johor kot. Tetapi yang terharunya, apabila disebut beberapa kali nama arwah Cikgu Azman yang menjadi sedara rapat denganku lantaran berkahwin dengan mak sedaraku.

Mungkin kerana 3 orang daripada AJK Alumni SAJOHA kini sama batchku dan dua tiga orang lagi dekat-dekat dengan batchku, kebanyakkan gambar adalah yang dipaparkan dalam persembahan multimedia yang disediakan merupakan yang berkaitan dengan batchku. Apakah kerana ketika itu Kelab Fotografi begitu aktif ? Atau itulah masa memula gambar foto dijual kepada para pelajar sedangkan beberapa tahun kebelakangan ini memasing guna kamera digital, snap but simpan sendiri sahaja.

Berbanding dengan sekolah berasrama penoh cluster atau premier lain, mungkin SMSJ tidak sehebat mereka. Namun diperingkat kebangsaan, ku kira bekas pelajar SMSJ tidak kurang juga memberikan peranannya walaupun asalnya dari aliran sains. Mungkin ramai lagi dan perkara ini patut didokumentasikan oleh pihak SAJOHA.

Antaranya

a. Prof. Dr. Ghizan Saleh (UPM) yang baru menduduki Majlis Professor Negara sebagai Ketua Kluster Pertanian dan Keselamatan Makanan,

b. Prof Dr Musa Ahmad Timbalan Naib Canselor ( Akademik & Antarabangsa ) USIM.

c. Regunath Kasavan, Presiden Majlis Peguam Negara.

Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.