Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Kursus Haji Perdana Masjid Putra 2009

Pada 3 dan 4 Oktober 2009 yang lalu, aku serta isteri telah mengikuti Kursus Haji Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan. Seramai 2,700 peserta telah menyertai kursus ini dimana 1,200 darinya terdiri daripada bakal haji lelaki dan selebihnya wanita. Nampaknya wanita lebih ramai dari lelaki. Kenapa agaknya wanita lebih ramai ? Apakah memang wanita lebih ramai dari lelaki dewasa ini ? Atau wanita tidak perlu tunggu bersuami baru nak ke Mekah sedangkan yang lelaki selalunya tunggu dah berkahwin akan ke Mekah bersama isteri.

Dalam perjalanan pulang 4hb tu, isteriku menalipon Tabung Haji Centre, lantas kami dimaklumkan bahawa penerbangan kami ke Mekah adalah pada 1.30 pagi, 21 Oktober dengan menaiki KT03 dana pulang Ke Malaysia pada 4 Disember 2009. Kami agak terkejut, tak sangka penerbangan awal begitu. Tiba-tiba terasa macam tidak bersedia lagi. Entahlah ....

Berbalik kepada Kursus Haji Perdana tadi, hampir waktu Zuhor 3hb Oktober aku sampai dan parking kereta di hadapan bangunan Kementerian Kewangan. Telah banyak kereta tersusun di kawasan itu, maknanya telah ramai yang sampai. Kemudian kami diangkut dengan bas ke Masjid Putra.

Sebaik pendaftaran dan solat zuhor, kami diminta menukar kepada pakaian ihram. Tempat penginapan mengikut kumpulan atau Maktab hanyalah kawasan anjung masjid yang kosong dengan berlantaikan lantai masjid. Kemudiannya kami berkumpul untuk taklimat pelaksanaan program. Diumpamakan kami mengerjakan Haji Tamattu’, iaitu masuk ke Mekah awal dan mengerjakan umrah dahulu sebelum buat haji.

Pihak penganjur meminta yang lelaki khususnya memakai pakaian ihram betul-betul, iaitu tanpa baju dan seluar dalam. Memula terasa janggal pulak, tapi lama kelamaan tak adale rasa kekok. Tawaf dilakukan di dataran hadapan Masjid Putra dan Saie di Jambatan Putra. Semuanya dilakukan secara berkumpulan mengikut maktab. Aku dalam Maktab 70. Tapi di Mekah nanti tidak semestinya ikut nombor ini.

Setelah selesai taklimat, kami pun keluar beramai-ramai mengikut kumpulan atau Maktab untuk mengerjakan tawaf dan saie umrah. Berbanding dengan kursus bersiri serta kursus intensif sebelum ini, beza kursus perdana ini ialah untuk cuba merasai suasana dalam kumpulan yang lebih ramai. Barangkali supaya tidak terkejut apabila berhadapan dengan jutaan jemaah haji lain nanti.

Kepenatan selepas mengerjakan tawaf dan saie umrah, kami pun berehat dan mengambil peluang untuk berkenalan dengan orang sebelah dalam maktab yang sama. Agaknya begitulah suasana apabila di Mekah nanti, tapi setakat berkenalan tu takde hal. Kemudian makan malam pun sediakan walaupun masih awal lagi. Nampaknya time management agak lemah dalam kursus ini. Banyak masa terluang tanpa sebarang pengisian. Atau mungkinkah kami yang melaksanakan sesuatu aktiviti terlalu cepat ?

Selepas itu bersiap untuk solat maghrib. Di sini pengalaman menarik apabila memasing cuba mendapatkan tandas atau masuk bilik mandi. Kami terpaksa beratur panjang menunggu giliran. Lihat sahajalah gambar berikut. Cuma yang kurang eloknya adab berpakain masih tidak begitu di jaga iaitu dengan menampakkan aurat, walaupun ketika mengambil wuduk. Aku terfikir juga, jika masih berpakaian ihram, camana nak mandi. Mungkin aku merancang untuk tidak mandi ketika masih bertahallul. Itu belum lagi hal menjaga pakaian daripada najis.

Lepas solat maghrib, diadakan majlis perasmian oleh Y Bhg Dato' Jamil Khair Baharum, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Menarik juga pesanan beliau walaupun simple. Cara ucapan perasmian pun macam gaya berceramah dulu-dulu. Beliau mengingatkan supaya kita sentiasa banyak bersabar dan sentiasa memujuk hati jika berlaku sesuatu perkara. Jika selalu anggota badan seperti kaki, tangan dan badan selalu dipijak-pijak atau dilanggar orang, redhakanlah dengan anggapan sekiranya itu balasan Allah ke atas apa yang telah kita lakukan selama ini dengan anggota badan kita itu. Tidak perlulah untuk marah dan timbul keinginan untuk membalas dendam.

Selepas solat isyak, diadakan ceramah motivasi haji olah adik kepada Allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim, iaitu Ustaz Ghazali Ibrahim. Menarik juga ceramahnya dan wajah beliau pun tidak jauh bezanya dengan allahyarham abangnya. Dalam ceramahnya beliau mengingatkan bakal haji bahawa sebenarnya memang kita terpilih untuk ke sana, oleh itu manfaatkan sepenuhnya ruang masa di sana dengan ibadah.

Selepas ceramah motivasi, kami pergi melontar dalam kumpulan mengikut Maktab. Kiranya diumpamakan dari Mudzalifah, ke Mina dan melontar Jumrah Aqabah. Jarak perjalanan agak jauh juga, iaitu pergi dan balik dalam 3 KM. Kemudian melakukan lontaran ketiga-tiga jumrah untuk hari ke-11, 12 dan 13.

Aku mulai terasa bahawa mungkin di sana tak dapat nak ikut sangat kumpulan-kumpulan Maktab ini. Apabila berada dengan orang yang ramai, semuanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk memastikan yang kita dapat melakukan segala rukun dan wajib haji dengan sempurna. Sudah tidak boleh tengok-tengok orang kiri dan kanan, apatah lagi nak bertanya itu dan ini. Malah sehingga kini pun aku taka kelihatan kelibat isteriku yang kali terakhirku lihat masa mula masuk masjid. Timbul persoalan bagaimana nak berhubungan di Mekah nanti ?

Kelihatan Ustaz Zamri Zainal Abidin, pengacara IKIM.fm turut serta sebagai pembimbing jemaah haji di Mekah nanti. Mengikut makluman, ini kali pertama Ustaz Zamri dilantik sebagai pembimbing haji. Pembimbing tidak semsstinya terbuka kepada sesiapa yang memohon, tetapi ada juga yang dilantik oleh Tabung Haji.

Habis dari melontar, disediakan minum malam dan kemudian terus tidur kerana terlalu letih. Walaupun di atas lantai keras, namun itu tidak menjadi hal. Cuma masalahnya ramai yang tidak tidur lagi sebaliknya berborak-borak hingga aku pun tidak lena tidur. Asyik terjaga.

Terjaga awal pagi, memula tu tidak begitu terasa nak bangun lagi. Tetapi teringatkan payah nak dapatkan giliran masuk bilir air, lantas itu menjadi motivasi untuk terus bangkit. Di Mekah nanti, mungkin cara begitu seswai dilakukan, iaitu mandi atau selesaikan qada hajat ketika orang tengah tidur.

Tapi apabila terjaga dan siap awal, apa pula pengisiannya ? Itu yang aku lihat pelbagai dilakukan di dalam Masjid sementara menunggu masuknya waktu suboh. Ada yang tersengguk-sengguk. Ada yang menyandar lena di tiang. Ada yang mengaji, berzikir dan mengerjalkan solat sunat. Agaknya begitulah juga suasana di Mekah dan Madinah nanti dalam memanfaatkan masa kehadiran kita di masjid.

Selepas solat suboh, kami diberikan taklimat rumusan awal serta aktiviti yang hendak dilakukan, iaitu Tawaf Haji dan Saie pula. Kali ini pergi secara sendiri, iaitu tidak dalam kumpulan. Mungkin diandaikan nanti di Mekah sudah biasa dan tidak perlukan pembantu. Namun kira ok sebab dilakukan pada waktu pagi dan takdelah terasa panas. Kami juga dimaklumkan suhu di Mekah dan Madinah ketika ini seperti di Malaysia sahaja.

Lepas Tawaf dan Saie Haji, kami berehat sambil menikmati sarapan pagi di sekitar Masjid. Kemudiannya kami berkumpul semula untuk majlis penutup dan rumusan program. Masa ini juga kami dah mula packing untuk balik ke rumah.

Majlis tamat pada kira-kira jam 10.45 pagi dengan selawat dan bersalam-salaman dikalangan peserta dan urusetia. Kami kemudiannya beratur untuk mendapatkan bas kembali ke tempat letak kereta kami. Mungkin inilah juga suasana menunggu bas nanti, tanpa berebut-rebut.

Ramai juga aku temui rakan-rakan atau orang yang aku kenali dalam kursus ini. Antaranya my senior masa di SMS Kluang Johor iaitu Jelani Jasmani ( ex-setiausaha akhbar Ustaz Ashari Al-Arqam ), Ahmad Mazlan F54 senior Sains Komputer di UKM, Saimin roomate kelas matrikulasi di SMS Melaka, Zainal Abidin yang pencen F48 di JPJ dua tahun lalu, Abg Rashid Saujana Utama, offismate di Lembaga Peperiksan dahulu dan Kahar Arkitek bangunan JPJ IT Cyberjaya. Memasing belum tahu flight bila tetapi kecuali Zainal yang dalam penerbangan KT01 yang akan pergi pada 20 Oktober 2009 dari KLIA.
Share:

The Jindo Miracle Moses

The Jindo Moses Miracle merupakan salah satu daripada keajaiban yang menakjubkan hasil fenomena nature yang berlaku. Dua kali dalam setahun iaitu pada akhir Februari dan pertengahan Jun, ketika air laut surut, terbuka saluran daratan sepanjang 2.8km dan lebar sehingga 40 meter antara pulau Jindo dan Mondo di Korea Selatan selama beberapa jam.

Kejadian ini mengingatkan kita kepada peristiwa terbelahnya Laut Merah apabila Allah memerintahkan Nabi Musa a.s memukul tongkatnya ke laut, ketika dikejar oleh Firaun dan tenteranya. Lantaran itulah kejadian ini dikaitkan dengan "The Miracle of Moses".

Bagaimanapun kejadian alam ini belum begitu diketahui dunia sebelum ini, sehinggalah pada tahun 1975, Mr. Pierre Randi, duta besar Perancis Ke Korea ketika itu berkunjung ke lokasi. Lantas beliau mempromosikannya di surat khabar Perancis dan tempat tersebut mulai dikenal ramai.

Ketika ini, orang ramai berpeluang dari kedua-dua belah pulau berjalan melalui laut yang terbelah itu untuk tempoh beberapa jam, sebelum air laut naik atau pasang dan menutupi semula daratan yang terhasil.

Menakjubkan ke ? Entahlah, mungkin kita macam pernah melihat fenomena ini acap kali berlaku di pantai-pantai negara kita. Umpamanya macam di Port Dickson. So apa istimewa dengan apa yang berlaku antara Pulau Jindo dan Modo ini ? Apakah saiznya ? Apakah kerana jaraknya yang jauh atau kerana antara dua buah pulau.

Namun terdapat legenda di Korea yang menjadi latar belakang fenomena alam ini. Dikatakan suatu ketika dahulu, desa Jindo telah diserang oleh harimau dan semua penduduk desa melarikan diri berlindung di pulau Modo. Seorang perempuan tua yang tidak berdaya telah ditinggalkan. Lantas dia berdoa kepada kononnya Dewa Laut, bermohon agar dapat berkumpul kembali dengan keluarganya. Dewa mengabulkan doanya dengan membuka jalan dipermukaan laut dan membantu perempuan tua tersebut lari dari pemangsa haus darah tadi.

Bagi memeriahkan suasana atau menjadikan fenomena ini memberikan kesan kepada pengunjung serta pelancung dari seluruh dunia, suatu pesta bersempena dengannya diadakan oleh pihak berkuasa. Pesta ini dinamakan The Yeongdeung Festival, didedikasikan khusus untuk meraikan keajaiban nature ini.



Share:

Nilai 3 or Nilai Square : Apa Istimewanya ?

Sejak duduk di Putrajaya, beberapa kali juga ke sana sebab semakin dekat jarakanya, iaitu kira-kira 30 minit perjalanan dengan melalui Lebuh Raya PLUS. Malah sebelum ini pun pernah beberapa kali ke sana. Pendek kata sudah banyak kali, sama ada di Nilai 3 atau Nilai Square. Nilai Square dekat sikit, lepas lalu Plaza Tol Nilai masuk ke kanan di simpang tiga bertrafik light. Kalau Nilai 3 jauh sikit iaitu masuk ke kiri di simpang tiga trafik light tu. Tetapi Nilai 3 lebih luas dan lebih banyak pilihan berbanding di Nilai Square.

Namun apa istimewanya ? Betul ke memang murah rega barangan di sana ? Memang pelbagai barangan terjual di sana. Yang popularnya fabrik seperti kain ela, kain langsir, baju siap, alas meja sofa, cenderahati, hiasan rumah dan barangan serta peralatan perkahwinan. Terdapat juga karpet, kedai spare part kenderaan, kedai eletrik, bunga dan pelbagai lagi. Tetapi suasana membeli belah di sana tidaklah sama seperti di kompleks atau gedung membeli belah sebagaimana dibandar besar dengan hawa dinginnya.

Ada satu gudang jualan karpet yang mendakwa daripada pengeluar karpet terbesar di Malaysia. Gudang ini terletak sebaik kita melepasi pintu gerbang masuk ke kawasan Nilai 3. Masya’allah, bukan main besar gudang tersebut. My wife kata reganya memang murah. Entahlah, mungkin betul juga. Pelbagai jenis karpet dari semurah sekitar belasan RM, hinggalah kepada ribuan RM rega karpet.

Orang kata, walaupun sudah dipotong atau turunkan harga, masih boleh ditawar menawar lagi. Memang benar berdasarkan pengalaman ke sana cari kain langsir. So pastikan jika membeli di sana, usah hiraukan tag harga yang telah diturunkan, minta tawar lagi rega.


Kalau beli kain langsir, siap boleh dapatkan khidmat nasihat secara percuma mengenai bentuk fesyen serta ukuran kain yang diperlukan.

Pernah aku tanya kepada pekedai di sana, mengapa boleh jual murah. Katanya mereka beli terus daripada pengeluar, tanpa melalui orang tengah. Kekadang terpaksa pergi sendiri membuat pemilihan dan tempahan di luar negara termasuk di Hong Kong, Korea dan China. Pembelian juga dilakukan secara pukal dan ini membolehkan mereka mendapat harga yang lebih rendah. Dengan itu mereka boleh jual dengan harga yang murah.

Kalau di Nilai Square, Masjid besar bersebelahan aje, tetapi kalai di Nilai 3, macam tak nampak surau apatah lagi masjid. Tandas awam di Nilai Square tu entah sudah diperbaiki atau tidak. Terkena itu hari aku ... Nampaknya cuma ada satu mesin ATM di Nilai 3 iaitu di dalam kedai serbanika 24 jam. So kena sediakan cash secukupnya. Tetapi sesetengah kedai menyediakan khidmat bayaran dengan kad kredit. Kedai atau gerai makan turut disediakan di sana, usah risau jika kelaparan dan setelah penat bershopping.
Share:

Alat Jerat Pemandu Laju

Pemandu tegar yang sering memandu melebihi had laju dijangka tidak dapat mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan apabila kerajaan memasang Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di jalan raya yang mampu mengesan kelajuan secara automatik tanpa perlu meletakkan anggota polis trafik. Alat pengesan kelajuan, iaitu 'piezo' akan dipasang di 831 lokasi di seluruh negara bagi mengesan dan merekodkan kelajuan, nombor pendaftaran serta merakam gambar pemandu menerusi kamera automatik jika kenderaan dipandu melebihi had laju.

AES mampu beroperasi 24 jam sehari sepanjang 365 hari setahun serta kalis panas dan hujan akan menggantikan sistem manual sedia ada untuk mengesan mereka yang sering memandu melebihi had laju. Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata sistem yang bertujuan mengurangkan kadar kemalangan, terutama pada musim perayaan sudah diuji dan masih menunggu kelulusan kerajaan untuk dilaksanakan di lokasi tertentu di seluruh negara.

Beliau berkata, menerusi sistem itu, maklumat kesalahan akan dihantar terus kepada pusat kawalan bagi mengenal pasti pemandu atau pemilik kenderaan berdasarkan maklumat dalam pangkalan data JPJ. Katanya, ia kemudian akan mengeluarkan saman secara automatik untuk dihantar melalui pos kepada pesalah.


Solah berkata, maklumat yang direkodkan boleh digunakan sebagai bukti dalam perbicaraan mahkamah kerana ia menyimpan maklumat lengkap termasuk gambar pemandu, selain lokasi dan masa kesalahan serta nombor pendaftaran kenderaan.

"Selain berfungsi mengesan kesalahan lalu lintas, sistem itu juga berupaya mengesan dengan mudah penjenayah yang menggunakan kenderaan," katanya. Solah berkata, pihaknya sudah menjalankan ujian di Putrajaya dan di Lebuh Raya Guthrie bagi menguji tahap kecekapan sistem berkenaan. Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu dijangka dapat merealisasikan pelan jangka panjang kerajaan mencapai sasaran dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar menjelang tahun 2010.

Idea melaksanakan sistem itu timbul selepas JPJ dan beberapa pihak berkuasa lain diarah oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya untuk mengenal pasti inisiatif terbaik mengurangkan kadar kemalangan terutama kemalangan maut. Penggunaannya juga hasil kajian di 12 negara yang mengguna pakai AES, termasuk Australia, United Kingdom, Kuwait, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Sweden dan Jerman.

Dipetik dari Berita Harian online.
Share:

Tradisi Baraan

Baraan ialah istilah jawa yang bermaksud berjalan atau ziarah beramai-ramai dalam kumpulan pada hari raya. Baraan adalah tradisi orang Jawa yang telah dipraktikkan sejak mereka mula mendarat di Malaysia dulu-dulu. Agaknya kalau kita nak mengaku ini tradisi orang Malaysia dalam merayakan aidil fitri, bakal ada demontrasi oleh warga Indonesia membantah dan kena bakar lagi bendera Malaysia pulak.

Selalunya kumpulan ini melibatkan pelbagai peringkat, sama ada lelaki sahaja atau pompuan sahaja, kanak-kanak remaja dan dewasa. Ini bergantung kepada sesuatu masyarakat di kampung atau taman perumahan berkenaan. Mereka akan bergaya dengan pakaian raya yang lengkap. Dalam melakukan ziarah atau kunjungan dari hujung ke hujung kampung atau taman sama ada secara berbasikal atau bermotor, mereka bersalam-salaman bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Kesempatan ini juga digunakan untuk menjenguk sahabat handai dan rakan taulan. Mana yang bujang, akan mengambil peluang mengintai anak dara yang available lagi agaknya. Mana-mana rumah yang tiada wakil dalam kumpulan baraan tersebut, alamat tidak disinggahilah …. Jadi, hendak tak hendak, kena ada wakil daripada kalangan ahli rumah dalam masyarakat berkenaan.

Masa aku kecik-kecik dahulu, selalu juga aku form kumpulan baraan ini dan sesekali aku jadi leadernya untuk kumpulan kanak-kanak. Masa bulan puasa lagi kami sudah berlatih untuk menyanyikan lagu khas untuk dipersembahkan kepada tuan rumah apabila berkunjung ke rumahnya. Tapi aku tak pasti apakah nyanyian seperti ini masih diamalkan lagi. Mungin sebagai ganti kini ada selawat nabi atau marhaban dan doa. Selalunya kini ada ucapan dan permohonan maaf dari wakil rombongan baraan kepada pihak keluarganya dan selalunya disambut ucapan balas daripada wakil anggota keluarga.

Tahun berganti tahun, rumah semakin bertambah dalam sesuatu kampung. Oleh kerana terlalu banyak rumah untuk diperabiskan dalam satu hari, akibatnya kunjungan sesebuah rumah memakan masa 5 – 10 minit sahaja, malah mungkin lebih awal daripada itu. Yang kepala sudah hendak habis berselawat dan berdoa, yang ekor baru nak menjejak kaki naik tangga rumah. Juadah yang disediakan pun kadangkala tidak begitu dijamah. Kalau buat ringkas takut dikatanya ‘kedekut’ dan kalau buat heavy or special, takut membazir pulak. Ini dilema tuan rumah.

Budaya baraan ini pernah aku cuba popularkan pada mula aku tinggal di di Saujana Utama atas nama surau. Baraan dilakukan selepas solat isyak ke rumah-rumah yang ingin diziarahi. Sambutan ketika itu amat mengalakkan sehingga dikatakan di Saujana Utama ni, puasa sebulan, tetapi morey dua bulan. Tetapi apabila rumah semakin banyak diduduki, orang semakin tidak berani untuk menjemput. Mereka mungkin bimbang jika terlalu ramai yang hadir dan menjadi bebanan dalam menyediakan juadah pulak. So akhirnya aterkubur begitu sahaja.

Namun budaya baraan ini sebenarnya antara aktiviti yang menjadikan sambutan raya di kampung-kampung orang jawa khususnya, menjadi meriah. Penat memang penat. Kalau mula dari rumah pertama dengan perut kosong, tiba di rumah akhir agaknya sudah macam ular sawa kekenyangan dengan juadah raya. Kadangkala rumah terakhir merupakan rumah Tok Penghulu atau Ketua Kampung, bergantung kepada keadaan.

Tradisi ini bukan sahaja perlu dipertahankan untuk menyemarakkan lagi sambutan hari raya, malah perlu diperluaskan kepada kawasan-kawasan lain. Bukan setakat orang jawa sahaja yang perlu memainkan peranan, tetapi kita semua bangsa 1Malaysia ...
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.