Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Islam Sebagai Cara Hidup ....

Satu hari, seorang Yahudi datang menemui Saidina Umar dan berkata, ‘Ya Amirulmukminin, ada satu ayat dalam kitab tuan yang tuan baca, kalaulah ayat itu diturunkan ke atas kami orang-orang Yahudi, nescaya hari turunnya ayat itu kami jadikan hari raya’. Saidina Umar bertanya, “Apakah ayat itu?’. Si Yahudi tadi pun membacakan ayat ke-3 Surah Al-Maidah, yang bermaksud, ‘Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu din ( agama ) kamu dan aku telah cukupkan nikmatku kepada kemudian telah aku redha Islam itu menjadi din ( agama ) kamu’. Berkata Saidina Umar, ‘Saya tahu benar akan hari dan tempatnya diturunkan ke atas nabi Muhamad, iaitu hari Juma’at semasa di Arafah.

Ayat tadi diturunkan ketika Musim Haji pada tahun ke 10 Hijrah yang dikenali sebagai Haji Wada’ iaitu Haji Perpisahan atau Haji Selamat Tinggal. Ini adalah kerana ia merupakan haji yang terakhir bagi Nabi Muhamad. Petang Jumaat ketika wukuf di Padang ‘Arafah, sedang Nabi Muhamad menaiki unta, datanglah wahyu tersebut menyebabkan lutut kaki unta Nabi Muhamad hampir terperosok ke dalam pasir.

Tidak seperti Aidil Fitri, Aidil Adha tidaklah seglamour sambutannya di kalangan umat Islam di negara kita. Muram dan hambar sahaja, seolah-olah tidak berminat hendak menyambutnya. Tiada budaya berduyun-duyun balik kampung, tambahan cutipun cuma sehari. Suasana hanya terasa pada pagi hari ketika solat Aidil Adha dan diikuti dengan penyembelihan korban. Selepas itu suasana kembali seperti biasa, berbanding Aidil Fitri yang sehingga habis bulan Syawal pun, masih diraikan. Aidil Adha atau Hari Raya Korban yang diraikan setiap tahun pada 10hb Zulhijjah sebenarnya mempunyai sejarah tersendiri yang mengandungi pengajaran yang baik untuk direnungi dan dihayati bersama.

Hari Raya Aidil Adha adalah hari untuk kita memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim di dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail menjalani perintah Allah.

Ini disebutkan dalam Surah As Saffat ( 102 - 103), ”Maka tatkala anak itu sampai ( pada umur sanggup ) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata : Hai anakku, Sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu. Ia menjawab : “Hai ayahku ! kerjakanlah apa yang perintahkan kepadamu, Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.

Di dalam melaksanakan perintah itu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah menyerahkan diri mereka sepenuhnya di dalam melaksanakan perintah Allah. Tetapi Allah telah menghantarkan seekor kibas untuk menggantikan Nabi Ismail yang juga disebutkan di dalam surah As Saffat (106 - 107), “Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.”

Itulah pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail di dalam mentaati perintah Allah di mana kepentingan Allah lebih diutamakan berbanding kecintaan terhadap anak dan keluarga, walaupun perintah tersebut nampak zalim dan tidak logik.

Aidil Adha yang disambut seluruh dunia adalah juga hari untuk kita memperingati akan turunnya ayat tadi. Ayat tersebut merupakan diantara ayat yang terakhir diturunkan oleh Allah, menunjukkan bahawa Islam telah lengkap sebagai ‘ad-din’. Allah mengistilahkan ‘din’bagi merujuk kepada Islam sebagai suatu cara hidup.

Pengajaran yang telah disampaikannya menerusi Nabi Muhamad s.a.w merupakan suatu tatacara yang merangkumi sekecil-kecil urusan peribadi, keluarga, masyarakat hingga kepada peringkat negara dan perhubungan antarabangsa. Ini termasuklah dalam bidang aqidah, akhlaq, hukum jenayah, ekonomi dan politik. Islam bukan sekadar solat, puasa, zakat, haji serta amalan peribadi perhubungan manusia dengan tuhannya. Secara logik mudahnya, Allah yang menjadikan manusia dan seluruh alam ini serta mengetahui semua yang telah lalu, sekarang dan akan datang, maka ajaran Islam yang disampaikannya melalui Nabi Muhamad s.a.w, sudah tentunya lengkap, sempurna serta serasi dengan hukum dan tabiat fitrah alam ini.

Bagaimanapun apa yang mendukacitakan kini, ajaran Islam yang serba lengkap dan sempurna ini tidak dapat dirasa atau dihayati sepenuhnya dalam kehidupan. Keindahan Islam hanya tinggal dalam buku-buku yang membicarakannya, tetapi tidak dalam realiti kehidupan. Ditambah dengan pemikiran dan perasaan yang masih terjajah, nilai-nilai Barat yang bertentangan dengan Islam masih terus mengkaburi sikap umat Islam hingga tidak lagi berbangga dengan ajaran Islam yang dianuti, apatah lagi untuk mempertahankannya. Umat sendiri semacam akur dengan tanggapan bahawa hukum Islam tidak lagi sesuai dengan zaman ini, menyekat kebebasan, menyekat kemajuan dan hukum jenayah Islam dianggap kuno dan kejam.

Marilah kita kembali menghayati Islam dan mendalami pengetahuan mengenai Islam. Ini merupakan juga suatu pengorbanan yang seharusnya dilakukan oleh umatIslam. Berusaha dan berkorban untuk mendaulatkan Islam, menterjemahkan keindahan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat bukanlah hanya kewajiban imam, ustaz atau alim ulama. Ini adalah juga tugas setiap individu Muslim. Menegak dan mengarahkan cara hidup kepada yang diredhai Allah menerusi ajaran Islam memerlukan pergorbanan. Pengorbanan melawan hawa nafsu serta kepentingan duniawi, melakukan suruhan Allah dan menjauhi larangannya.

Sambutlah Aidil Adha dengan penuh kesyukuran dengan menegakkan hukum Allah. Kemeriahannya terletak kepada sejauh mana kita dapat mendekatkan diri kita dengan Allah dalam tindak tanduk kita. Banyakkan bertakbir dan bertahmid pada hari tersebut dan dua hari selepasnya sebagai tanda kesyukuran dan membesarkan Allah. Kalimah takbir, tasbih dan tahmid yang dilafazkan seharusnya dihayati akan pengertiannya dengan mendalam. Ia adalah kalimah tauhid yang mengajar kita bahawa sesungguhnya yang Maha Besar hanyalah Allah, yang disembah dan diagungkan. Tiada ketaatan secara mutlak kecuali kepada Allah dan ketaatan kepada makhluknya hanyalah dalam kerangka mentaati Allah.

Apakah ertinya takbir yang dilaungkan jika tidak disertai dengan kepatuhan dan ketundukan kepada Allah serta menunaikan segala titah perintahnya ? Sedangkan sikap Muslim sejati adalah sanggup menyerahkan diri kepada Allah, menerima dan mentaati hukum Allah serta meyakini hanya hukum Allah yang sebaik-baik dan semulia-mulia. Adalah sesuatu yang janggal sekiranya mengaku beriman kepada Allah dan Rasulnya, namun kita masih mencari yang lain daripada jalan-jalan yang telah ditentukan oleh Allah dan Nabi Muhamad. Renungilah peringatan-peringatan berikut,

‘Dan tidaklah patut bagi lelaki yang Mukmin dan perempuan yang Mukminat, apabila Allah dan Rasulnya telah menetapkan suatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka’. (Al-Maidah:36)

‘Barangsiapa yang menghendaki din (agama) selain daripada Islam, maka tiadalah diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak termasuk dalam golongan orang termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi’. (Al-Imran:85)
Share:

Sekitar Korban Di Surau Al-Hidayah 1429H

Alhamdulillah, ibadah korban berjalan dengan lancar di Surau Al-Hidayah pada tahun ini. Sebanyak 6 ekor lembu telah dikorbankan sebaik selesai solat sunat Aidil Adha. Mungkin ini yang terbanyak pernah dibuat setakat ingatanku. Ini termasuk satu yang diterima dari Kerajaan Malaysia menerusi JKKKP Kuala Selangor yang aku sendiri hadir dalam majlis penyerahannya daripada Dato' Amiruddin Setro, ADUN Jeram.

Hujan gerimis yang turun sejak Solat Aidil Adha lagi nampaknya tidak mematahkan semangat ahli kariah untuk sesama bergotong royong menyembelih, melapah memotong dan mengagihkan daging-daging korban. Tapi bilangan yang hadir untuk solat raya memang nampak berkurangan berbanding tahun-tahun dahulu. Collection pun tak sampai RM1K.


Share:

Kelebihan Solat Berjemaah

Diriwayatkan daripada Hazrat ‘Abdullah bin ‘Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya solat berjemaah dua puluh tujuh ( 27 ) kali ganda lebih afdhal daripada solat bersendirian.” ( H.R Imam Malik, Bukhari dan Muslim ).

Setiap Langkah Ada Ganjarannya

Hazrat Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Seorang yang bersolat secara berjemaah akan digandakan sebanyak dua puluh lima kali pahala lebih daripada orang yang bersolat bersendirian di rumah atau di kedai. Ini adalah kerana apabila seseorang itu mengambil wuduk dengan sempurna lalu berjalan menuju ke masjid semata-mata untuk bersolat maka setiap langkah yang dilangkahinya akan ditingkatkan satu darjat dan digugurkan satu dosa.

Setelah bersolat, jika dia terus duduk di dalam masjid (dengan keadaan berwuduk) maka para malaikat akan memohon rahmat dan keampunan untuknya. Selama mana dia terus duduk menunggu untuk menunaikan solat yang seterusnya maka dia akan terus menerus mendapat pahala solat selama masa dia menunggu solat tersebut.” ( H.R Abu Daud, Tirmizi & Ibnu Majah ).

Daripada Saidina Othman r.a, sabda Rasulullah s.a.w, “Sesiapa yang berwuduk, kemudian menuju ke masjid dengan tiada tujuan lain melainkan semata-mata untuk bersolat, nescaya diampunkan segala dosanya yang terdahulu”. ( H.R Muslim )

Kelebihan Saf Pertama & Muazzin

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Kalaulah manusia mengetahui tentang pahala yang terdapat pada azan dan saf yang pertama, kemudian pekara itu tidak akan diperolehi kecuali dengan cara mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya. ( H.R Bukhari & Muslim )

Daripada Al-Barra’ bin Azib r.a, berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya berdoa untuk yang berdiri di saf pertama. Para muazzin pula akan diampunkan sebanyak mana suaranya dan siapa yang mendengarnya menjadi saksi. Dia akan mendapat pahala orang yang mengerjakan solat bersamanya”. ( H.R Al-Nasai )

Pahala Ibadah Sepanjang Malam

Daripada Othman bin Affan r.a, bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, seolah-olah ia telah beribadah separuh malam. Sesiapa yang ikuti pula dengan solat Suboh secara berjemaah, seolah-olah ia telah beribadah sepanjang malam”. ( H.R Imam Malik & Muslim )

Ibnu Umar r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sebaik-baik solat di sisi Allah adalah melakukan solat subuh pada hari Jumaat secara berjamaah”. (H.R al-Baihaqi)

Limpahan Rahmat

Dari Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sesungguhnya para malaikat berselawat ke atas salah seorang daripada kamu selama mana dia tetap berada dalam masjid yang dia solat di dalamnya selagi dia tidak berhadas. Para malaikat berdoa, Ya Allah, ampunilah untuknya. Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepadanya”. ( H.R Imam Malik, An-Nasai & Ibnu Hibban )

Lebih Ramai Jemaah Lebih Afdal

Dari Ubai bin Kaab r.a, sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya kedua-dua solat ( Subuh & Isyak ) ini amat berat ke atas orang munafik berbanding dengan solat lain. Kalaulah mereka mengetahui apa yang terdapat pada kedua-duanya, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun terpaksa merangkak dengan lutut.

Sesungguhnya saf yang pertama adalah seperti saf para malaikat. Kalaulah mereka mengetahuinya, nescaya mereka akan merebutnya. Sesunggunya solat seorang lelaki bersama seorang yang lain ( berjemaah ) lebih utama daripada solat yang dilakukan seorang diri. Solatnya bersama dua orang lelaki lebih mulia daripada solatnya bersama seorang lelaki. Setiap bertambah jumlah bilangan ( anggota jemaah ), yang bertambah itulah yang lebih disukai oleh Allah azza wa jalla. ( H.R Ahmad, Abu Daud
Share:

Kelip-Kelip Di Kg Kuantan, Kuala Selangor

Pada 30 November lalu, aku bersama anak isteri serta adik beradik sedara mara dari Johor seramai 13 orang telah berpeluang untuk melawat keajaiban kelip-kelip di Kg Kuantan, Kuala Selangor. Ia terletak di desa yang agak tersorok dan barangkali tak dapat di kesan menerusi peta. Namun kehadiran kelip-kelip yang dikatakan dikesan mulai awal 1970’an telaha berjaya menggamit ratusan ribu pelawatn dari pelusuk dunia. Kini seluruh dunia mengetahui Kampung Kuantan mempunyai koloni kelip-kelip yang terbesar di muka bumi. Malah ada yang mengatakan keajaiban ke-8 dunia.

Menurut pengayuh sampan perahu yang kami naiki, kawasan ini diusahakan oleh Majlis Daerah Kuala Selangor dengan TNB sebagai bapa angkat. Untuk melihat klip-klip, kena datang waktu malam mulai maghrib sehingga 11.00 malam. Lepas tu naik sampan bot dengan tiket RM 10 seorang. Pembahagian kutipan dengan MDKS ialah 60% MDKS dan 40% pengusaha bot.

Dikatakan spesis ini tidak terdapat di mana-mana lagi di dunia ini. Tapi ada juga yang kata ada di Brazil. Entahlah ... Spesies ini hidup di kawasan pokok berembang sebagai sumber makanannya yang banyak terdapat di kawasan tepi sungai itu. Apa yang unik pada spesis ini adalah kerlipan cahaya yang dikeluarkan dari ekornya.

Kata pengayuh sampan tu, kerlipan cahaya yang dikeluarkan oleh serangga ini adalah serentak pada setiap masa iaitu pada kadar 3 kerlipan sesaat. Dalam ribuan Kelip-kelip ini cahayanya bagaikan satu rentak yang bercahaya. Kelip-kelip berukuran cuma 6mm panjang. Kelip-kelip jantan mengeluarkan cahaya yang lebih terang berbanding yang betina untuk tujuan menarik perhatian Kelip-kelip betina. Jangka hayat Kelip-kelip ialah selama 2 hingga 3 bulan. Best juga berpeluang main-main dengan kelip-kelip tu bila pengayuh sampai berhenti dekat pokok berembang. Sempat curik seekor dua masuk dalam bag !!!

Ini berbeza dengan kunang-kunang yang hanya ’bercahaya’ dan tidak begitu berkelip-kelip cahayanya. Kunang-kunang masa kecik-kecik dulu agak ditakuti kerana kononnya ia keluar dari kuku mayat cina.

Masalahnya nak ambik gambar bersama kelip-kelip tu. Kalau pakai flash, terang sangat jadi tak nampak kerlipan cahayanya. Kalau tak pakai flash, nampak macam langit dengan beberapa bintik-bintik ’bintang’. Mungkin lain kalau pakai kamera mahal. Macamanapun pergilah sendiri untuk mengalamainya ... ha ! ha ! ha !


Share:

Mengikuti Bengkel Knowledge Managemant

Pada 24 hingga 28 November 2008 yang lalu, aku berkesempatan menghadiri Bengkel Pengurusan Pengetahuan atau Knowledge Managemant ( KM ). Bagiku KM dikira bidang yang baru, tetapi pernah aku didedahkan semasa kursus PTK4 yang lalu. Since aku dikatakan bakal mengetuai Unit KM dalam penstrukturan semula JPJ, so ini peluang baik bagi ku mendalami KM. Apa yang menarik dalam bengkel ini ialah diajarkan bagaimana hendak bermula, step-by-step secara bengkel dalam ‘bahasa’ yang ku kira mudah. Memang kalau baca pelbagai artikel tentang KM, dengan pelbagai istilah yang digunakan, memeningkan kepala malah menjadi konpius.

Asas kepada KM ialah semangat berkongsikan data, maklumat dan pengetahuan. Sistem komputer hanya sebagai alat penyampai dan pemudahcara. Dalam organisasi kerajaan, seseorang tu tertakluk kepada pertukaran tempat kerja apabila telah lama bertugas, kenaikan pangkat atau mengikut spouse. Ilmu dan kepakaran yang ada dikepala, fail, buku catatan sewajarnya dapat dikongsikan bersama supaya memudahkan orang lain mengambil alih tugasannya. Dengan peningkatan keupayaan infrastruktur IT sekarang, penggunaan audio video, imej dan softcopy menjadi mudah dikongsikan. Cumanya standard perlu dipersetujui mengikut ISO atau mana-mana standard yang sudah establish.

Namun cabaran dalam melaksanakan KM ialah pandangan pihak pengurusan berbanding core services kepada pelanggan. Makanya KM hanya dianggap sebagai penyokong kepada core services. Akibatnya terkesampinglah pelaksanaan KMS. Begitu jugalah apabila ku ajukan kepada bos bila nak mula KM ? Tunggu dulu, buat yang core sekarang … Pengetahuan juga dianggap sebagai power , untuk carik makan atau survival seseorang. Sebab itulah kekadang dalam sesuatu organisasi, masih ada sifat kedekut berkongsikan ilmu.

Tetapi entah macamana boleh tersebur kewujudan www.saujanautama.net dalam bengkel tersebut sehingga dijadikan contoh sebuah laman komuniti dalam berkongsikan maklumat. Katanya itu tindakan baik dalam mewujudkan awareness di kalangan komuniti, berkongsikan maklumat sebagai suatu dokumentasi bagi sesuatu komuniti. Memang pun bagiku kewujudan www.saujanautama.net untuk manfaat semua penduduk dan berharap akan lebih ramai.
Share:

Kenangan Di Johor Bahru 18 - 20 Nov 2008

Masa kecik-kecik dulu, ketika Pak Long Jaafar tinggal di kuaters berhampiran Masjid Abu Bakar, Johor Bahru, rasanya selalu juga pegi ke Johor Bahru. Tapi lepas habis sekolah kebangsaan, rasanya tersangatlah jarang ( macam tak pernah pulak ) ke Johor Bahru. Kalau pergi pun cuma di Pantai Lido dekat rumah Kuaters Paklong juga, ketika dia jadi Hakim Mahkamah Syariah sama ada beraya atau kenduri majlis. Lepas itu balik ...

Tapi pada 18 hingga 20 November 2008 lalu, aku berpeluang meredah Kota Raya Johor Bahru lantaran ada Urusan Seri Paduka Baginda. Berdasarkan buku peta jalan yang dibeli, nampaknya tidak berapa susah sama ada nak cari Hotel Penginapan atau jalan-jalan sekitar Johor Bahru. Singgah juga ke Kompleks Duty Free Stulang. Ingatkan macam di Langkawi, Pengkalan Kubur or Rantau Panjang. Tapi hampeh !!! Macam itu aje rupanya, orang takdelah ramai, lengang dan barang takdelah murah. Harap gah aje bangunan. Ke aku yang salah tempat ?

Sempat singgah ke Danga Bay yang selalu diperkatakan orang tu. Di situ barangan kira jauh lebih baik daripada Kompleks Stulang. Suasana selesa, barangan kira orait reganya, kecuali rega makanan. Cuma peliknya tak ada terjual ( atau tak terjumpa ) cenderahati kenang kenangan sempena ke Johor Bahru seperti keychain ke, magnet kat peti sejuk etc ... ke memang orang sini tak suka benda-benda tu ?

Tapi yang bestnya dapat melawat ke Zoo Johor. Rasanya the last time pegi sana agaknya ketika berusia 12 tahun or tahun 1975 yang lalu. Takde banyak sangat perubahan kecuali tambahan sebelah burung kaswari, rusa dan buaya yang menghala ke pantai Lido atau laut. Binatangnya pun not bad !!! Ramai juga pengunjung di sana. Singgah Masjid Abu Bakar, nampak ramai pelancong. Teringat masa kecik-kecik dulu ketika berada di rumah Pak Long. Kalau terdengar aje bas pelancong datang, cepat-cepat pergi dapatkannya. Kot-kot ada pelancong yang bermurah hari, sedekah duit barang seringgit dua. Entahlah, tak tahulah kenapa jadi begitu. Adakah nampak macam peminta sedekah atau saja mereka suka nak derma kepada orang yang beriman ( sentiasa ada dekat masjid ? ha .. ha ..). Kini tempat tinggal Pak Long tu dah jadi Kompleks Islam Johor.

Tapi Johor Bahru ku kira bandar yang berserabut. Banyak yang kelihatan macam terbengkalai dan tergendala. Johor Water Front, Gerbang Selatan serta beberapa komopleks membeli belah usang terbengkalai kelihatan begitu mencacatkan pemandangan. Sekitar Hotel Naza tempat penginapanku pun didapati bersepah tak terurus. Pelik juga sebab Johor Bahru diistiharkan sebagai Bandaraya Ke-2 selepas Kuala lumpur. Tetapi kawasan hadapan Istana, Kebun Bunga, Bangunan Majlis Bandaraya, Pejabat Pos tu kira masih menarik. Bangunan Pentadbiran Sultan Ibrahim masih gah menjadi suatu landmark yang boleh dibanggakan. Tak terasa teringin nak ke JB lagi ...

Share:

Tahniah Nurul Najihah Al-Kautsar

Mungkin bukan keputusan rasmi, tapi rasanya dah kompom. Anakku Nrul Najihah atau panggilan dalam keluarga Kauthar dapat nombor Satu dalam Kelas dan Tingkatan. Tapi yang lebih penting dapat semua A ( khususnya dalam subjek PMR ) kecuali Seni yang dapat C. Bulan lepas menerima anugerah Pengawas Akademik Terbaik bagi peringkat Menengah Rendah. Tahniah dan tahniah ...

Penganugerahan akan dibuat pada tahun depan, sekali dengan lepasan PMR dan SPM SMK Saujana Utama. Maknanya sekitar Mac 2009. Kekadang elok juga bila buat awal tahun. Teringat masa Hari Kecemerlangan KIDaS 2008 yang diadakan sebelum cuti sekolah. Budak-budak yang naik pentas terima anugerah, pakaiannya sudahlah kelihatan lusuh, sendat-sendat pulak. Maklumlah akhir tahun, takkan nak beli yang baru. Takut tak muat untuk dipakai semula tahun depan. Jadi membazir pulak nanti ...




Share:

Keajaiban Air Untuk Merawat

Semua orang tahu betapa air sangat penting dalam kehidupan kita. 70% permukaan bumi adalah air. Tetapi kebanyakkan, 98% adalah air laut yang masin. Hanya 2% merupakan H2O. Namun air sebenarnya benda hidup. Air bukan sahaja untuk menghilangkan dahaga, tetapi air berperanan untuk media pengubatan dan rawatan. Pendek kata air dapat menyembuhkan. Kitapun digalakkan untuk minum plain water sekurang-kurangnya dalam sehari 2 liter. Plain water, bukan teh, kopi, sirap dan apatah lagi air gas bikarbonat. Kesihatan kita banyak bergantung kepada kualiti dan kuantiti air yang kita minum. Mungkin benar jika dikatakan bahawa ‘you are not just what you eat, you are what you drink’.

Kajian sebagaimana diwar-warkan sebelum ini oleh Dr Masaru Emoto daripada Jepun telah mengemparkan orang ramai. Memang aku pernah membacanya. Terpulanglah kepada setiap individu untuk menilai kebenaran teori Emoto ini. Tetapi apabila mengikuti kuliah Mengapa Air Digunakan Dalam Rawatan & Pengubatan Islam pada 10 November 2008 yang lalu, ada beberapa perkara lain yang menarik untuk dicoretkan dan dikongsi bersama.

Berdasarkan penemuan Dr Masaru Emoto, bentuk Kristal air yang terbentuk dipengaruhi oleh peserkitaran. Jika manusia menumpukan pemikiran atau konsentrasi terhadap air, kristal air akan terbentuk mengikut apa yang kita fikirkan. Selalunya melalui doa, muzik ataupun dengan menulis ayat-ayat di gelas tersebut. Emoto mengambil gambar-gambar kristal air yang beku mengikut prosedur sains yang diiktirafkan Gambar-gambar berikut dipetik daripada buku The Secret Of Water oleh Dr Masaru. Aku tidak memiliki buku ini tetapi ini dicilok daripada sumber perkongsian maklumat dalam entah e-group mana.

Ini kristal yang terbentuk, di atas apabila dibacakan perkataan 'suka' dan bawah - `benci'. Perkataan `benci' menghasilkan kristal yang berlubang seperti tercekik.


Di bawah ni gambar kristal yang terbentuk dari perkataan `perang', (kristal yang buruk di atas). Dan `damai' menghasilkan kristal seakan bergabung.


Ini pula kristal yang terhasil dari `cinta suami isteri'. Seolah-olah yang besar mengiringi kristal yang kecil.

Yang ni gambar kristal air di danau Zurich, Switzerland. Gambar sebelum dan selepas doa dibacakan ke air.



Efek melodi terhadap kristal. Penyembuhan melalui muzik indah ?



Kristal air yang terbentuk dari perkataan `Islam'. Kristal dari perkataan agama lain juga cantik.


Itu petikan daripada buku Dr Masaru, Ada banyak lagi gambar yang menarik yang menunjukkan efek doa dan pemikiran terhadap kristal air.

Menurut Ustaz penceramah tu, bentuk air yang dikatakan baik ialah bersegi enam, Kalau serabut berbentuk tak tersusun tu dikatakan ‘celaru’. Takde sampelnya pulak … Ternyata ada kebenaran jika air yang didoakan, membentuk kristal yang sungguh cantik. Kita diajar membacakan surah atau doa tertentu lantas ditiupkan ke dalam air sebelum diminum, sapu atau dibuat mandi. Air tersebut seterusnya menjadi media membawa harapan dan doa bagi memberikan kebaikan serta menyembuhkan penyakit yang terdapat dalam badan kita. Namun jangan kita lupa, kuasa menyembuhkan adalah datang dari Allah s.w.t jua.

75% badan kita juga merupakan air. Kandungan darah 82% adalah air. Jantung 90% air, otak 76%, malahan tulang pun 25% adalah air. Kecuali tulang kering kot !!!! Bayangkan jika badan kita selalu diperdengarkan dengan ayat-ayat suci al-Quran, dengar ceramah atau kuliah agama, azan atau iqamat serta lagu-lagu irama nasyid ( agaknya ), sedikit sebanyak tentu memberikan kesan baik terhadap air yang mengalir dalam badan kita. Ibu-ibu mengandung diminta bacakan ayat-ayat surah-surah tertentu, membentuk air yang berkualiti untuk bekalan anak dalam kandungan.

Mungkin sebab itu juga Allah melarang kita berada bersama orang yang maksiat atau semeja dengan orang yang minum arak, kerana dibimbangi ‘aura’ maksiat itu tempias mengenai kita sendiri dengan membentuk air yang mengalir dalam badan kita. Cumanya aku menjadi syak kalau perkara ini juga dijadikan bukti akan kebenaran agama lain, khususnya apabila ‘mereka’ melakukan perkara yang sama terhadap air, sehingga membentuk air yang cantik bentuk kristalnya dan mampu memberikan ‘kuasa’ rawatan.
Share:

OSS Semakin Matang Dan Dipercayai ...

Pada 5 dan 6 November aku diarahkan boss untuk menghadiri persidangan Malaysian Government Open Source Software Conference MyGOSSCON 2008 atau MyGOSSCON 2008 di PICC Putrajaya. Bab ‘Open Source Software’ ( OSS ) ni memang dah lama didengari dan pernah juga hadiri beberapa seminar mengenainya 2/3 or 4 tahun lalu. Sebelum menghadiri seminar ini aku memang agak skeptikal sikit tentang OSS nie, walaupun aku sedar yang aku ada juga gunakan OSS seperti pada www.saujanautama.net.

Namun aku jadi berubah dan keyakinan aku kepada OSS begitu meninggi sebaik persidangan tersebut. Rupanya banyak fasiliti sekarang dibangunkan berdasarkan platform OSS, seperti Google, Yahoo dan Facebook. Penceramah serta pembentangan kertas kerja banyak berkongsikan pengalaman, panduan serta kemampuan masing-masing dalam melaksanakan OSS. Aku begitu impressed dengan pameran yang turut diadakan bagi menunjukkan kemampuan OSS, khususnya yang dibuat oleh negeri Terengganu, dengan pelbagai system yang telah dibangunkan berasaskan OSS. Turut dinyatakan perancangan kerajaan negeri-negeri lain dalam melaksanakan OSS dalam masa terdekat. Ini dilakukan utamanya bagi mengurangkan kos, khususnya lesen penggunaan perisian yang selalunya agak tinggi. Rasanya ini satu cabaran kepada pengeluar syarikat sistem perisian termasuk Microsoft.

Aku tanya kepada salah seorang orang kuat ICT MAMPU yang dulu kami pernah sepejabat di Lembaga Peperiksaan. Boleh ke sistem legacy yang besar-besar seperti di pejabat kerajaan menggunakan open source ? Apa taknya kata beliau penuh yakin. Memang kita handle banyak rekod, tetapi transaksi bukan banyak sangat setiap hari.

OSS dikatakan semakin matured dan reliable. Isu-isu berkaitan sekuriti kini semakin mantap ditangani termasuk keperluan semasa seperti untuk mobile user. MySQL dikatakan berkemampuan untuk handle trillion of records. Wau !!! Kekadang agak tercabar juga diriku ini apabila ada penceramah kata even budak tadika boleh download, install dan setup beberapa perisian OSS yang hebat-hebat.

Untuk melaksanakan OSS, tidak dapat tidak latihan pendedahan serta teknikal perlu dilakukan. Ini biasa, even kepada system perisian lain pun begitu. Tetapi yang mustahaknya ialah keep up dengan komuniti OSS supaya segala masalah dan penyelesaian dapat dikongsi. Menarik juga komuniti ini, sebab sejauh mana betul, benar dan ikhlas dalam mereka berkongsi menyelesaikan sesuatu masalah dalam ahli komuniti ? Sebab itu juga dicadangkan diwujudkan ‘Free Software Community’ di Malaysia … Aku harap dari material yang aku perolehi sepanjang MyGOSSCON 2008 ini dapat aku explore lanjut tentang pelaksanaan OSS dan lebih bersemangat untuk update www.saujanautama.net.


Share:

Jamuan Mesra Aidil Fitri Surau Al-Hidayah

Sekalipun Syawal telah berlalu, kemeriahan Aidil Fitri masih terasa dalam Jamuan Mesra Aidil Fitri Surau Al-Hidayah 1429H yang diadakan pada 1 November 2008 atau 2 Zulkaedah 1429H. Pada mulanya aku agak risau juga, ada orang ke ? Tetapi alhamdulillah, kehadiran begitu memberangsangkan sehingga aku dah keluarkan arahan kepada Hj Umar untuk goreng meehon untuk 50 orang. Nampaknya juadah istimewa malam tersebut seperti Nasi Beriani Kambing, cendol, keropok lekor, nasi impit dan mee hoon begitu laku sekali.

Antara pengisian, selain daripada ucapan alu-aluanku, ialah persembahan Nasyid daripada Ustaz Amal, tayangan wayang pacak cerita Upin dan Ipin dan pertunjukkan bunga api. Nampaknya sambutan terhadap wayang pacak boleh memberikan satu dimensi baru kepada ahli kariah. Aku memang teringin nak buatnya mungkin sebulan sekali di surau. Kemampuan peralatan yang asas sudah ada. Cuma kena cari filem yang seswai. Tetapi masalahnya ialah 'copyright law'. Sesambil kumpul-kumpul terpacak menonton filem bersama keluarga, anak-anak atau rakan-rakan.
Share:

Kendatipun 4 kali rega petrol turun ...

Sejak Debat Minyak antara DSAI dengan DASC, sudah 4 kali rega petrol diMalaysia turun. Sebelum debat,sekonyong-konyong naik 78 sen. Semua orang rasa marah, gelisah dan rasa tidak senang. Apa taknya tidak pernah berlaku dalam sejarah naik mencanak begitu. Akibatnya rega barangan terus melambung satu demi satu sehingga jadi macam pesta Barang Naik ... demi meredakan keadaan, kerajaan keluarkan insentif dan rebate. Ditambah dengan janji, rega petrol akan ikut kadar minyak mentah semasa. Maknanya memang boleh turun sedangkan DASC kata dalam Debat, tak boleh turun. Sekurang-kuranya benar kata DSAI sekarang. Apakah agaknya kalau takde DSAI atau debat itu, rega petrol kekal pada RM 2.70 seliter sehingga sekarang ?

Tetapi apabila rega petrol turun, puas pihak kerajaan mahu rega barangan diturunkan, tapi macam endah tak endah aje ... walaupun 4 kali mereka kata turun sikit aje agaknya. Kalau rega barangan maintain, tetapi lepas ini jika petrol naik 10 sen, tentunya rega barangan ikut naik ... Ini yang begitu tidak digemari. Dasar kapitalis apalah agaknya ni. Nak harapkan pasaraya besar-besar aje yang turun harga.
Share:

Muhasabah Madrasah Ramadhan

Kemeriahan Syawal serta sambutan Aidil Fitri masih begitu terasa dirayakan di sana dan sini. Aktiviti jamuan raya, rumah terbuka serta ziarah menziarahi masih rancak diadakan walaupun Syawal sudah hampir di penghujungnya. Mungkin sebulan Syawal masih belum cukup untuk merayakan atas kemenangan menjalani ibadah sebulan Ramadhan. Apakah benar sambutan yang diadakan mencerminkan rasa kesyukuran atas ibadah Ramadhan yang dilakukan ? Namun, disebalik kemeriahan merayakan Syawal, masjid dan surau yang begitu hidup sepanjang Ramadhan seolah-olah kini tinggal dalam kenangan. Tiada lagi limpahan para jemaah untuk solat isyak, terawikh, witir, solat suboh, mengikuti tazkirah atau majlis ilmu serta bertadarrus. Apakah kita perlu menunggu tahun hadapan untuk ketemu lagi dengan suasana tersebut. Mengapa surau dan masjid menjadi tumpuan sepanjang Ramadhan dan sebaliknya lesu apabila berakhir Ramadhan ? Di mana mereka semua ?

Ramadhan sering disebut sebagai ‘Madrasah Ramadhan’. Madrasah adalah suatu institusi pendidikan. Oleh itu, Madrasah Ramadhan diibaratkan seperti sebuah institusi pendidikan yang mendidik umat Islam dengan segala macam bentuk ilmu rohani dan jasmani, agar apabila individu Muslim yang keluar nanti dari Madrasah Ramadhan ini kelak, menjadi individu Muslim yang lebih bermutu dan bernilai di sisi Allah.

Al Marhum Ustaz Said Hawwa dalam kitabnya Al-Islam pernah mengeluarkan kenyataan, Ramadan pada hakikatnya adalah umpama sekolah. Ertinya tempat, masa, suasana dan persekitaran didikan yang khusus lagi istimewa dan tiada bandingannya. Kelebihan dan fadhilatnya adalah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah.

Tidak dapat di nafikan, faktor ganjaran pahala yang disediakan menjadi pendorong untuk kita beribadah kepadaNya sepanjang Ramadhan. Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi atau terbuka, lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah. Seseorang boleh makan dan berpura–pura lapar di hadapan manusia, tetapi tidak di hadapan Allah kerana menyedari bahawa Allah adalah Tuhan yang Maha Mengetahui.

Puasa juga mengekang keterlanjuran syahwat dan meringankan pengaruh serta penguasaannya lantaran puasa yang melemahkan gelora nafsu.
Ini adalah sekadar beberapa contoh aktiviti Madrasah Ramadhan. Namun apakah natijahnya sekadar terhenti pada 30 Ramadhan ? Menjadi sia-sia atau buang masa serta wang ringgit, jika mengikuti kursus tetapi selesai kursus, tiada kesan, natijah atau penerusan amalan hasil kursus atau tarbiyah sepanjang berada dalam Madrasah Ramadhan.

Madrasah Ramadhan mengajar kita mengenai waktu dan kegiatan bersesuaian yang harus dijalankan. Ia juga mengajar betapa pentingnya perjuangan, keperihatinan, keikhlasan dan kesabaran. Madrasah yang diikuti oleh umat Islam seluruh dunia ini, memiliki peraturan yang diawasi dan dinilai terus oleh Allah. Jika pada akhir Ramadhan dicetak Sijil Lulusan Madrasah Ramadhan, apakah kelulusan cemerlang atau setakat Sijil Kehadiran sahaja yang diterima ? Marilahkita menilainya bersama.


Sedekah yang paling utama adalah dalam bulan Ramadhan. Semasa Ramadhan, umat Islam menjadi pemurah. Berapa banyak pula sedeqah yang telah kita keluarkan ? Apakah kita dapat mengenang kembali mereka yang tidak berkemampuan. Bagaimana nasib anak yatim, fakir dan miskin yang begitu diraikan sepanjang Ramadhan, tetapi kini sepi setelah berakhirnya Ramadhan. Sumbangan ramai yang mereka harapkan, juga terhenti. Apakah memadai dan cukup sekali sumbangan diberikan kepada mereka untuk ‘cover’ setahun akan datang ?

Sepanjang Ramadhan kita juga diminta menjaga tutur kata daripada berdusta, maki hamun dan mengumpat keji. Namun sejauh mana kita berjaya mengekalkannya sebaik Ramdhan ? Bagaimana adab komunikasi kita dengan ibu bapa, suami, isteri, anak-anak serta orang yang sepatutnya dihormati seperti orang-orang tua, jiran tetangga dan guru-guru.


Sepanjang Ramadhan kita berpusu-pusu untuk pulang ke rumah seawal mungkin dari tempat kerja untuk bersama keluarga makan malam awal ( berbuka puasa ) atau bersahur. Teruskan amalan ini supaya dapat mengeratkan perhubungan di kalangan ahli keluarga.

Begitu juga sepanjang Ramadhan, kita mampu bangkit awal untuk solat Suboh setelah mengambil sahur. Tetapi mengapa begitu payah bangkit awal untuk solat Suboh dalam bulan-bulan lain. Malahan kadang kala kita ‘tersasar’ pulak. Kita begitu ‘punctual’ dengan waktu berbuka puasa, tetapi sejauh mana pula ‘punctual’ dalam melaksanakan solat fardhu lima kali sehari serta melaksanakan tugas rutin seharian di pejabat ?

Bertadarrus atau banyakkan mengaji sepanjang Ramadhan merupakan sunah Rasulullah. Amalan ini perlu diteruskan sepanjang masa. Peruntukkanlah waktu untuk menatap dan membaca Al-Quran setiap hari walaupun sekadar beberapa ayat.

Pertingkatkan diri memahami isi kandungan Al-Quran sama ada dengan menghadiri kuliah-kuliah tafsir atau menerusi kitab Tafsir Al-Quran. Al-Qur’an adalah pegangan kita. Meninggalkan Al-Quran bererti hilanglah Al-Quran daripada pegangan kita dan semakin jauh dan sesatlah kita daripada mendapat petunjuk Allah.

Sering-seringlah berkunjung ke surau untuk menunaikan solat berjemaah. Selain mendapat kelebihan 27 darjah berbanding solat sendirian, ia merapatkan silaturrahim di kalangan ahli masyarakat serta membolehkan kita mengetahui perkembangan hal ehwal kariah. Ini seterusnya dapat mendorong kepada aktiviti lain yang dapat membina perpaduan, kesepakatan dan saling bantu membantu serta hormat menghormati di kalangan ahli kariah.

Sepanjang Ramadhan kita sering mengikuti tazkirah yang diadakan di surau-surau atau masjid. Adalah diharapkan agar walaupun ringkas, namun tazkirah tersebut menjadi suatu pencetus untuk kita sering hadir dalam majlis ilmu Islam, ceramah atau kuliah yang sering diadakan sama ada di surau, masjid, pejabat atau di mana sahaja.

Ibubapa kita di kampong kini kesyunyian semula setelah anak-anak serta cucu kembali semula ke perantauan. Jesteru, sering-seringlah menghubungi mereka sama ada menerusi telefon, sms atau e-mail, selain pulang sekali-sekala menziarahi mereka apabila mempunyai kesempatan waktu. Teruskan bakti kepada ibubapa kita selama mereka masih ada. Sejauh mana kita berbakti kepada mereka akan menjadi tauladan kepada anak anak kita dan sejauh itulah yang mungkin akan kita terima apabila kita sudah tua dan anak-anak meningkat dewasa.

Apa yang paling penting sebagai natijah daripada Madrasah Ramadhan ialah sejauh mana kita terus konsisten atau istiqamah dalam memastikan diri tidak melaksanakan maksiat dan dosa, serta sejauhmana mana kita tetap berada di atas landasan Islam. Sepanjang Ramadhan kita begitu cekal, tabah dan sabar dalam memastikan tiada maksiat dan dosa yang dilakukan demi memelihara ibadah Puasa yang ditunaikan. Itulah bentuk latihan amali sepanjang Ramadhan yang sewajarnya menjadi amalan setelah berakhirnya Ramadhan. Mengapa kita mampu menghindar diri dari dosa dan maksiat sepanjang Ramadhan, tetapi sebaliknya bertukar menjadi ahli maksiat sebaik selesai Ramadhan ?

Marilah kita bermuhasabah diri.
Share:

Boling Raya Kelab Guru SMKSU 2008

Jom main boling, kata isteriku. Apo nie, sibuk-sibuk raya nak main boling pulak, balasku. Tapi bagiku ini peluang baik untuk menguji tangan kananku dalam permainan boling. The last time main boling adalah Feb 2007 dan itulah juga the first selepas kemalangan yang mengakibatkan patah 'tulang gagah' ku. Namun pada masa yang dijanjikan, 10.00 pagi 18 Oktober 2008 bertempat di Cineleisure Mutiara Damansara, berlangsung Kejohanan Boling Raya Kelab Guru SMK Saujana Utama 2008. Rupanaya arena boling tu, iaitu Pit Junction adalah milik pemain boling ternama negara aitu Shalin Zulkifli. Arena tidaklah besar atau secanggih mana, mungkin targetnya untuk the begineer.




Seramai 24 peserta yang dibahagikan kepada 8 kumpulan telah mengambil bahagian. Main 4 game. Mulanya aku pakai bola No 8 aje. Wah ! Kira ok, tangan kanan tak rasa sakit. Jatuhan walaupun tak sampai 100, tapi kira OK juga. Next 3 game dapat lebih 100. Sekali sekala pakai bola nombor 9. Tapi yang ralatnya mungkin 50% daripada balingan pertamaku berjaya menjatuhkan 9 pin. Bila tinggal satu pin, itu yang tension .... Rasanya cuma 3 kali strike dan beberapa kali spare. Kukira boleh improve lagi, but need practise. Kemenangan sebagai juara jumpulan ku anggap sebagai bonus. Mungkinbantuan daripada Sdra Mohd Sahidi yang juga tempat ke-3 kategori lelaki. Tapi yang buatku terkejut, isteriku menang juara kategori wanita. Tahniah.
Share:

Raya-Raya Di Saujana Utama

Nampaknya tiap weekend bulan Syawal ini banyak jemputan dan program ziarah. Tak adalah buat rumah terbuka, cuma anak-anak murid orang rumah ramai yang datang beraya rumah cikgunya. Tapi yang bestnya pada 12 Oktober lalu, Setiausaha MB Kelantan ke rumah selepas beri Kuliah Maghrib di Surau Al-Hidayah. Banyak kisah tentang peranannya, keperluan membukukan hasil fikiran MB Kelantan semasa dia masih ada, serta isu semasa.



Tapi aku missed gathering kengkawan sebatch SPM80 SM Sains Johor yang diadakan di rumah Syed Zakaria, Ampang pada 18 Oktober. Ini gara-gara open house traffic jam. Sampai aje semua dah takde, so sembang dengan tuan rumah sambil makan juadah saki baki yang kengkawan bawa. Malamnya sempat ke Jamuan Raya Surau An-Nur dan rumah Sulaiman. Keesokannya iaitu pada 19 Oktober, ramai lagi kengkawan orang rumah datang. Tapi petang tu aku ada meeting AJK KIDaS dan sebelum tu sempat ke rumah Abahkool serta Izmin. Orang rumah kata ramai anak murid yangbaru habis PMR nak datang, tapi cuma 4 orang. Hampeh !!!
Share:

Kecanggihan Payung Di Masjid Nabawi

Dari e-mail yang menyertakan gambar berikut. Tidak dinyatakan bila gambar ini diambil. Semoga aku sempat sampai ke sana, insya'allah.

Share:

Salam Aidil Fitri Drp Rahman Di University Of Alberta, Kanada

Gambar berikut tersiar dalam Berita Harian, Ruangan Salam Perantauan pada 9 Oktober 2008 dan juga di website Salam Perantauan Berita Harian di http://www1.bharian.com.my/Misc/RamadanAlMubarak/Puasa/GaleriFoto/salam_283/view


SALAM Aidilfitri buat keluarga dan rakan-rakan di seluruh Malaysia. Guru-guru di SMS Sabah, SOKSEK, MRSM Taiping, ASIS, SAINA, SMS Kuching, SDAR, STF, SMSTMFP, SBPI Temerloh, SM Abdul Rahman Talib, MCKK, MRSM PDRM dan SESMA. Juga penaja kami, YTN, JPA, Mara dan Petronas. Daripada pelajar-pelajar di University Of Alberta, Edmonton, Alberta, Kanada.

( Rahman berdiri paling kanan barisan belakang )





Share:

Pengertian Hari Raya

Sekembalinya dari beraya di kampong, aku menyambung cutiku di rumah untuk ’berkemas’ dan mengecat pagar depan rumah. Namun hujan yang turun sekejap-sekejap sedikit sebanyak menghalang aku menyiapkan tugasan ku. Suatu petang selepas asar sedang aku berbasah membersihkan lantai daripada titik cat yang jatuh, datang sekumpulan budak berbasikal, “Pakcik, nak raya pakcik”. Eh, bebudak nie, aku pelangkong kang, “lain kali ajelah dik, basah-basah macam ini camana nak raya ?”. Lalu mereka beredar.

Beberapa minit kemudian, datang sekumpulan budak pompuan berhenti di hadapan salah sebuah rumah jiranku, “Assalamualaikum Ustazah”, beberapa kali. Apabila tak de jawapan mereka pun beredar. Selang beberapa minit kemudian, datang semula budak yang sama, “Assalamualaikum Ustazah”. Takde jawapan pun. Lantas aku menyampuk, “adik, dah nak maghrib la dik, lain kali ajelah”. Mereka memandang kepadaku. “Lain kali kalau nak beraya rumah Ustazah, pakailah baju raya elok-elok, pakai tudung tu”. Bebudak nie teruk betul, sudahlah nak ziarah rumah Ustazah, bukan saja tidak bertudung, pakai baju pun jenis takde lengan dan nampak ketiak pulak. Patut pun ustazah tu tak nak terima tetamu begitu.

Apakah pengertian raya bagi budak-budak itu ? Just nak collect duit raya ? Dapat main bunga api ? Apakah anak-anak kita pun macam itu juga ?
Share:

Untuk Siapa Aidil Fitri

Pada suatu hari raya, Khalifah ‘Ali bin Abi Talib r.a didatangi seorang tetamu. Baginda ketika itu sedang makan sejenis roti yang dianggap oleh orang ramai sangat tidak bermutu dan hanya layak menjadi makanan bagi golongan fakir sahaja. Tetamu itu berasa takjub, lalu menegurnya dengan berkata, ”Hari ini adalah hari raya, mengapakah tuan makan roti ini?”. Baginda pun menjawab, “Hari raya adalah untuk orang yang puasanya diterima, perjalanan hidupnya direstui dan dosanya diampunkan. Memang hari ini adalah hari raya untuk kita. Setiap hari di mana kita tidak melakukan maksiat, maka hari itu adalah hari raya untuk kita”.


Ucapan Khalifah Ali itu memberikan gambaran yang jelas bahawa hari raya hanyalah untuk orang yang bertaqwa saja. Fakta ini memang selaras dengan motif ibadah puasa iaitu untuk mendapatkan sifat taqwa. Allah berfirman, ‘Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan puasa ke atas kamu sebagaimana yang telah di fardhukan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa’. ( Surah Al-Baqarah : 183 )

Orang yang berjaya mencapai sifat taqwa menerusi puasa ialah orang yang mengerjakan puasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh berbuat baik dan menjauhkan kejahatan zahir dan batin, seperti yang disebutkan dalam hadith yang bermaksud ,”Sesiapa yang puasa dengan keadaan ( penuh ) keimanan dan sentiasa mengira-ngira kebaikan dan kejahatan, dosa-dosanya yang lepas diampunkan”.

Berdasarkan fakta ini, dapat difahamkan dengan jelas bahawa hari raya atau Yaum al-aiyd tidaklah ada untuk orang yang tidak mencapai sifat taqwa dalam bulan Ramadhan. Tidaklah ada hari raya bagi mereka yang berpuasa tetapi masih bergelumang dengan maksiat, sama ada yang zahir mahupun yang batin. Tidaklah ada hari raya bagi mereka yang berpuasa cukup sebulan, tetapi solat fardhu lima waktu sehari semalam ditinggalkan. Sedangkan meninggalkan solat lima waktu adalah berdosa besar.

Di samping itu, ucapan Khalifah Ali itu juga menjelaskan bahawa setiap hari dianggap hari raya bagi orang mukmin yang sentiasa bertaqwa dalam hidupnya. Ini adalah kerana mereka sentiasa mendapat kurnia pelbagai rahmat dan nikmat yang melimpah ruah serta jauh daripada kemurkaan Allah.

Berkata Anas bin Malik, “Orang yang beriman mempunyai lima hari raya; Pertama, setiap hari yang dilalui itu tidak ditulis di atasnya dosa, Kedua, hari ia lahir kedunia ini dengan membawa iman, Ketiga, hari dia berjaya menempuh siratulmustaqim, aman daripada huru-hara qiamat, lepas daripada tangan permusuhan dan malaikat Zabaniah, Keempat, hari dia masuk ke dalam syurga dan aman daripada neraka Jahim dan Kelima, hari dia dapat melihat Tuhannya”.

Hari raya adalah hari kegembiraan bagi orang mukmin yang mengandungi dua unsur penting dan sentiasa berkait rapat antara satu sama lain, iaitu sifat taqwa dan kegembiraan zahir dan batin. Kedua-dua unsur itu membentuk konsep hari raya itu sendiri.

Bukanlah hari raya jika hanya ada unsur gembira dan sukaria semata-mata, tanpa taqwa. Sebab itulah Rasullullah s.a.w bersabda, “Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya”.

Kegembiraan pada hari raya termasuk dalam maksud ‘kegembiraan ketika berbuka’ yang disebut dalam hadith itu. Sedang kegembiraan ketika ‘menemui Tuhannya’ meliputi juga kegembiraan dan kesyukuran ketika seseorang mukim itu berzikrullah dan bermuraqabah mendekatkan diri kepadaNya. Sebab ketika itu, ia akan merasa hampir dengan Allah sehingga dapat musyahadah dan bermunajat.

Kegembiraan seperti yang digambarkan oleh hadith itu tentulah hanya akan didapati oleh orang yang benar-benar bertaqwa saja. Memanglah tepat jika dikatakan bahawa bukanlah hari raya itu bagi orang yang berpakaian baru, tetapi hari raya itu adalah bagi orang yang taqwanya tambah bermutu.

Istilah Al-aiyd membayangkan dengan jelas bahawa hari raya adalah untuk orang mukmin yang dapat mencapai sifat taqwa sahaja. Al-aiyd berasal dari kata kerja ada ya’udu yang bererti ia pulang atau kembali ke tempat asalnya. Oleh itu, Yaum al-aiyd secara literal bererti hari, masa kembali atau pulang kepada dirinya sendiri serta Allah.

Kembali kepada hakikat dirinya sendiri bermakna sedar terhadap sifat kehambaannya yang sebenar seperti lemah, hina, jahil, fakir, cuai, lalai dan pelbagai sifat kekurangan dan kehinaan hamba. Kembali kepada Allah bermakna sedar akan keagungan dan kesempurnaan uluhiyyah dan rububiyyah Allah.

Orang mukmin akan sentiasa menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa taatkan Allah dan menyerah kepadaNya. Dengan kata lain, seorang mukmin akan dapat menghayati sifat kehambaan dirinya dan bergantung semata-mata kepada sifat uluhiyyah dan rububiyyah Allah.

Seorang mukmin yang melaksanakan ibadah puasa fardhu bulan Ramadhan dengan penuh keimanan diiringi pula dengan pelbagai amal ibadat yang lain seperti membaca Al-Quran, berzikrullah dan bermuqarabah, bersedekah, membanyakkan solat sunat, beramal soleh, menjaga tutur kata dan bicara, menjauhkan segala maksiat yang zahir mahupun yang batin, tentulah akan dapat pelbagai kurnia Allah, baik zahir mahupun batin. Inilah proses yang mengembalikan kita kepada fitrah.

Antara kurnia Allah yang penting dalam bulan Ramadhan ialah mengejut dan menyedarkan seseorang mukmin sehingga berjaya mengenal dirinya dan Allah sebagai Tuhannya. Rasa gembira dan penuh syukur kerana menerima kurnia Allah seperti itulah yang dimaksudkan sebagai “bergembira dan sukaria pada hari raya”.

Oleh itu, sesetengah ulama’ berpendapat bahawa hari raya itu disebutkan dengan istilah al-Aiyd kerana pada 1 Syawal, seseorang yang mengerjakan ibadah puasa dengan penuh iman dan bersih daripada pelbagai dosa sehingga keadaannya seperti ia baru dilahirkan atau di dalam keadaan fitrahnya. Fitrah bersih sebagaimana dilahirkan ke dunia daripada sifat tercela dan unsur syirik.

Kembali seseorang kepada keadaan seperti itu adalah sebagai kurnia Allah yang tidak ada tolok bandingnya dan tidak dapat dinilai dengan apa jua kekayaan di dunia ini. Faktor inilah yang sewajarnya mendorong seseorang mukmin itu berasa gembira dan sukacita pada hari raya.

Jelaslah sekali bahawa orang yang tidak bertaqwa tidak ada bahagiannya pada hari raya. Sekali pun mereka kelihatan lebih gembira, lebih bergaya dengan pakaian baru, makanan yang lazat serta kelihatan hebat. Malah kegembiraan mereka seperti menjauhkan diri daripada rahmat dan nikmat Allah.

Dikhuatiri mereka itu termasuk dalam golongan yang disebutkan oleh Allah, “Maka apabila mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, kami pun membukakan semua pintu kesenangan dunia untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka seperti dimatikan tiba-tiba, maka mereka ketika itu terdiam kebingungan dan putus asa” ( Al-An’am : 44 )
Share:

Di Kompleks PKNS 13 September - Bersangka Baiklah Saja

Lepas Zuhor 13 Sept, aku dan keluarga ke Kompleks PKNS dan sekitarnya. Menariknya Kompleks PKNS semasa puasa ini ada persembahan kumpulan nasyid percuma sejak beberapa tahun lalu. Sambil my wife meround, aku duduk aje depan pentas. 13 Sept lalu, ada persembahan dari Kumpulan Brothers dan Muslim Voice yang baru selesai menyertai Akademi Nasyid TV9. Kalau ikut iklan yang aku pernah baca, patutnya yang hadir cuma Kumpulan Devotees. Namun Kumpulan Brothers dan Muslim Voice menarik jugak. Lama tak nampak Brothers, kecuali jadi backup singer dalam Akademik Nasyid tiap minggu. Sedang Muslim Voice rancak berbicara atas pantas, azan berkumandang dan mereka 'pause' menghormati suara azan. Bagus tu.

Lepas itu ke Plaza Alam Sentral, nengok-nengok handphone. Belikan juga handphone untuk Kak Di, sebagai hadiah Hari Lahirnya yang jatuh bulan lepas. Kebetulan handphone N-Gage yang digunakan rosak, tetapi dah antar repair.

Lepas tu, beli juadah berbuka puasa di bazar Ramadhan yang berhampiran Plaza PKNS. Ramainya orang bukan main. Jarang-jarang benar aku ke Bazar Ramadhan pengunjungnya seramai itu. Tak sempat nak 'surver' apa yang dijual. Pakai nampak dan beli aje. Teringat kata-kata ustaz kalau dalam kuliah or Tazkirah Ramadhan, betapa kita begitu pelahap berbeli juadah untuk berbuka puasa. Orangpun berbagai pesen dan gaya pakaian. Entah puasa entah tidak. Sangka baik ajelah, semoga menerima Hidayah daripada Allah. Aku pun belum tentu lagi.

Apakah pengertian puasa bagi kita. Main ikut-ikutan, tradisi atau akur dengan perintah Allah. Daripada Abu Hurairah ra,telah bersabda Rasulullah saw, “Banyak orang berpuasa yang tidak ada baginya daripada puasanya itu, selain daripada lapar dan dahaga”. ( H.R An-Nasai ). Dalam satu hadis lain pulak, Daripada Abu Hurairah ra, telah bersabda Rasulullah saw, “Barangsiapa yang tidak dapat meninggalkan kata dusta dan condong ke arah keburukan serta suka mengerjakan keburukan itu, maka tidak ada bagi Allah keperluan untuk meninggalkan makanan dan minumannya”. ( H.R. Abu Dzi’b )

Kedua hadis ini merujuk kepada kesalahan akibat 'mulut'. Ku kira lebih daripada itu. Puasa tetapi terdedah aurat, pakaian cuma sekerat, belah sana belah sini. Puasa tetapi tidak solat atau melengah-lengahkan solat. Dato' Abu Hassan Din Al-Hafidz dua kali datang ke Surau Al-Hidayah menyatakan bahawa, kesalahan kita ialah terlalu memaksa anak untuk berpuasa, tetapi tidak bertindak tegas terhadap solat. Kalau anak tu sudah akur dan rajin dengan amalan solat, secara automatik dia akan rajin untuk puasa tanpa dipaksa-paksa. Fenomena biasa orangyang puasa tetapi tidak solat, tetapi jarang berlaku orang yang solat tetapi tidak puasa.

Berbalik kepada kisah di Plaza PKNS, akhir sekali aku sekali singgah di KFC sebab nak belikan hidangan berbuka puasa untuk si Najihah sebagai hadiah dapat 9A dalam ujian bulanannya baru lalu. Mak datok, panjangnya queue !!!! Itu belum termasuk yang sudah book tempat duduk untuk berbuka puasa dalam restoran tersebut, sama ada anak beranak bersama keluarga, pakwe makwe atau pasangan belum mempunyai cahaya mata. Berbanding dengan berbuka di kedai atau restoran tepi jalan, sudah tentunya mereka bukan orang musafir. Apakah sekadar berbuka sahaja, tetapi di mana solat maghribnya nanti ? Ya, ada surau tetapi ... baik aku bersangka baik sahaja.


Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.