Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Kenangan Di Medan Indonesia

Medan oh Medan. Baru Balik dari Medan Indonesia. Pada 2 Julai 2010, buat pertama kalinya berpeluang menjejak kaki ke Negara Indonesia. Dari LCCT hanya 55 minit untuk sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia Medan. Dekat aje. Tetapi kecik aje bangunan terminal lapangan terbangnya. Lapangan Terbang Senai pun jauh lebih besar.

Masuk bangunan terus ada pemeriksaan imigresen. Diambil gambar dan cap kelima-lima jari tangan kiri dan kanan lagi. Keadaan Lapangan Terbang Polonia nampak agak sibuk dengan orang ramai, tapi sibuk macam stesen bas lagaknya. Namun dikatakan oleh pemandu pelencong kami, sebuah lapangan terbang lain sedang dibina bagi menggantikan Lapangan Terbang Polonia disebabkan terlalu hampir dengan pusat bandar Medan.

Bandar Medan merupakan bandar ke tiga besar di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya dengan jumlah penduduknya seramai 2.5 juta orang. Medan dianggap pusat perdagangan bagi Sumatera Utara dan menjadi pintu masuk kepada bandar atau tempat menarik lain seperti Tasik Toba, Pulau Nias, Aceh, Bukit Tinggi dan Padang di utara Sumatera. Memang teruja pada asalnya sebab terdapat dalam jadual program semasa di Medan, ada lawatan ke Tasik Toba.

Melepasi Lapanganterbang, terus ketemu Stesen Petrol Petronas dan khabarnya ada 3 buah di seluruh Medan ketika ini. Ada dikatakan Medan berasal daripada perkataan Medinah, Kota Madinah Arab Saudi. Ada pula mengatakan dulunya menjadi ‘medan peperangan’ antara Raja Deli dan Sultan di Utara Sumatera ( Aceh ). Ada juga disebutkan berasal dari Kampung Medan Putri yang berkembang.

Namun ternyata agak sesak jalan-jalan meredah bandar Medan. Kami di bawa untuk makan tengahari di Restoran Simpang Tiga. Makan secara berhidang, entah apa jenis masakan, tetapi sedap dan kira sama dengan selera Malaysia. Agak besar sekitar restoran dan yang menariknya ada gambar berbingkai DSAI digantung di dinding seperti sedang makan di restoran ini. Kenapa agaknya, apa yang istimewanya ? Apa kaitannya dengan pemilik restoran ini ?

Lepas makan tengahari, kami terus ke Gudang Pakaian / Batik. Wah mulalah shopping dan memborong. Kekiranya rega memang murah apabila diambilkira dengan kadar wang RM.

Kadar pertukaran adalah kekira 3,000 Rupiah = 1 RM. Kiranya tukar RM 350 di Pengurup Wang, sudah menjadi jutawan rupiah !!!! Nak mudah, rega Rupiah di bahagi 3. Tapi yang menariknya di kedai borong Hajjah Mariani ini, kad kredit juga boleh digunakan tanpa sebarang extra Caj.

Lepas itu kami di bawa ke kedai menjual makanan berasaskan kacang tumbuk. Tidak semestinya kacang tumbuk, kerepek dan keropok juga ada di jual. Baru beberapa jam menjejak kaki di Medan, sudah banyak yang di beli.

Namun di luar kedai, penjual jalanan yang menawarkan barangan mereka semasa di Kedai Hajjah Mariani tadi, berada di sini. Mereka yang dipanggil ‘paparazi' ini mengekori bas kami agaknya. Salah seorang jurujual pernah kerja di Kluang Johor beberapa tahun lampau. Tapi ramai peserta rombongan yang takut tertipu agaknya, tidak melayani gelagat paparazi ini.

Lepas itu kami singgah di Masjid Raya Al-Mashun yang mula dibuka pada September 1909. Ianya dibangunkan dengan biaya Kesultanan Deli ketika itu. Kini dianggap sebagai salah satu landmark kota Medan dengan senibina yang agak unik dan menarik.

Di masjid ini, kami ambil kesempatan untuk solat jamak zuhor dan asar. Seterusnya kami dibawa kepada hotel penginapan kami iaitu Hotel Sochie Novotecl. Rasanya tidak jauh dari Masjid Raya, tetapi disebabkan penggunaan jalan sehala dan kesesakan, pusing-pusing terasa macam jauh sahaja. Dari tingkat di mana bilik penginapan, dapat di lihat kesesakan dan kepadatan bangunan di Kota Medan.

Malam, program bermula dengan ucapan alu-aluan, jamuan dan cabutan bertuah. Dalam masa yang sama, kumpulan entah apa, membuat persembahan dengan lagu-lagu evergreen pelbagai bahasa seperti Sepanyol, Filipino, Inggersi dan Melayu. Nampak tak ada rezeki, nombor cabutan tidak naik. Balik bilik tengok bola FIFA 2010, Belanda mengalahkan Brazil 2-1, suatu perlawanan yang sengit dan mendebarkan tetapi menarik.

Hari Kedua : 3 Julai 2010
Selepas sarapan, terus dengan program sesi Technology Update : Cloud Computing. Argh !! Agak sarat dengan perkara teknikal, dari jam 9.00 pagi sampai 4.00 petang, sampai terlintuk-lintuk. Memula tu OK jugak. Analogi penggunaan elektrik digunakan dimana kita hanya sediakan infra yang patut dan terpulang kepada TNB sediakan bekalan elektrik yang mencukupi mengikut keperluan kita. So begitu juga sistem komputer, pengendali Cloud Computing sedaikan semua, kita cuma just a PC atau notebook. Tak payah fikir tentang maintenan dan lesen penggunaan. Nanti cerita detail lah ...

Masa tengahari rehat, sempat meround sekitar hotel sambil nak cari ATM. Melihatkan keadaan jalan dan kaki lima, macam tidak terurus dengan baik dan kemas. Kotor pulak tu ...

Namun satu ciri unik pengangkutan di sini ialah penggunaan pelbagai jenis beca bermotor, bukan pakai kayuh. Nampaknya ianya digunakan dengan meluas. Pemandunya pakai topi keledar, tetapi penumpangnya tidak.

Satu lagi bentuk pengangkutan ialah macam taxivan atau minibus, dipanggil sudako. Ianya macam minivan atau lori kecil yang diubahsuai tempat duduknya. Bas biasa dipanggil 'bus' ( bunyi ejaan melayu ) di sini. Selain itu, ada jalan keretapi merentasi Kota Medan. Tetapi dilihat, kenderaan seperti Inova yang dipanggil Kijang di sini, serta Avanza begitu dominan di sini.

Selepas habis sesi petang, rehat sahaja dibilik sehingga turun ke lobi untuk dinner di luar iaitu Restoran Garuda. Letih juga dibuatnya seharian dalam bilik seminar.

Tanpa disangka-sangka dapat menang cabutan bertuah dengan hadiah berupa Netbook Prolink Model Geetha 009. Memang ada luck malam tersebut kerana banyak nombor sebelum itu apabila dicabut, empunya nombor berkenaan tidak hadir dan hadiah kira burn atau dipaskan kepada cabutan nombor berikutnya. Hadiah Utama ialah iPad.

Sebelum balik, layan juga jualan paparazi yang mengekori bas kami. Belilah beberapa untuk dibawa balik. Murah mahal tu tak pasti, tetapi kalau dibahagi dengan 3, kira terasa masih murah dan berbaloi juga membelinya. Kualiti balik Malaysia baru tahu kot ?

Sampai bilik, buka TV siaran langsung FIFA2010, Jerman sedang mendahului Argentina. Akhirnya Jerman menang perlawanan tersebut, sungguh tak sangka dengan jaringan 4-0. Fuyoo ..

Hari Ketiga : 4 Julai 2010
Awal pagi, jalan round-round sekitar Hotel sambil menikmati suasana dan kehidupan awal pagi Kota Medan. Kotanya yang mungkin disebabkan telah lama, banyak bangunan yang telah usang dan tidak dimaintain dengan baik.

Diperhatikan juga betapa sukarnya penduduk mencari rezeki dengan pelbagai usaha sejak awal pagi. Tapi ada juga orang-orang kaya rasanya dengan rumah-rumah yang besar dan luas tanahnya di tengah-tengah kota. Ternyata jurang antara yang kaya dan yang miskin teramat jauh.

Agak jauh juga berjalan, hingga sampai Masjid Raya dan Istana Maimun. Rupanya Istana Maimon menjadi juga sebagai salah satu landmark Kota Medan. Memang agak menarik bangunan ini dengan keindahan senibinanya, walaupun kelihatanagak lama. Istana ini diduduki oleh Kesultanan Deli dan terletak kira-kira 200m dengan Masjid Raya.

Dikatakan senibina bangunan merupakan perpaduan antara ciri Moghul, Timur Tengah, Spanyol, India, Belanda dan Melayu. Pengaruh tampak pada bentuk pintu dan jendela yang lebar dan tinggi. Tapi, terdapat beberapa pintu yang menunjukkan pengaruh Sepanyol. Pengaruh Islam tampak pada keberadaaan lengkungan pada atap. Bentuk lengkungan ini dikatakan amat popular di kawasan Timur Tengah, India dan Turki.

Dalam istana kayu ini, terdapat pelbagai barangan Kesultanan Deli dahulu yang dijadikan bahan pameran. Sebenarnya masuk free sahaja, namun sebarang sumbangan derma dialu-alukan.

Jam 11.15 kena check-out hotel. Agak sibuk dilobi sebab semua rombongan 4 buah bas kami checkout serentak. Sambil tunggu bas, ambik order kek lapis yang diorder serta urusan lain lagi.

Kemudian kami dibawa untuk makan tengahari buffet di Hotel lain. Tak pastilah kenapa dibuat begini, kenapa tidak lunch di Hotel Soechi sahaja? Argh … memang enak hidangannya. Asyik makan di hotel atau restoran besar, tidak tahu apa keadaan rupa makanan yang dijual di tepi-tepi jalan.

Lepas lunch kami di bawa ke Kedai / Kilang Kraftangan Mayang Sari. Tetapi rupanya rumah yang buat perushaan tersebut. Mungkin sebab curi Ahad hujung menggu, tiada yang bekerja di bahagian belakang kedai tersebut. Rasanya tidak ramai yang berminat, sebab reganya pun boleh tahan. Patut 45 minit punya visit, rasanya tidak sampai 15 bas dah berangkat pergi.

Kemudian kami ke kedai / gudang kain batik jubah dan telekong lagi. Nampak sesak kedai yang kecik aje, tetapi menerima kunjungan rombongan 2 bas dari kami. Mungkin sebab hari Ahad, tiada kedai-kedai lain di sebelah dan hadapan kedai. Entahlah ...

Last sekali kalau ikut program, ke Factory Outlet yang menjual pakaian modern. Pun tidak menarik sangat. Ada juga yang berkenan, tetapi saiznya pulak yang tak ada yang sesuai. Barulah teringat semula kepada si 'paparazi' tu ...

Kiranya membeli sesetengah souvenir dengan si paparazi masih berbaloi, jika dibandingkan di tempat-tempat yang dilawati. Cuma kaedahnya yang kita rasa kurang selesa, bimbang tertipu. Kalau memula kita berlagak jual mahal, makin lama penjual akan kurangkan harga sehingga tergerak hati kita untuk membelinya.

Disebabkan waktu masih awal, kami diletakkan di kompleks membeli belah Sun City yang menempatkan salah satu gedung perniagaan yang popular di Negara kita. Agak ramai juga orang dalam kompleks tersebut. Just round-round tak ada sangat tujuan nak membeli. Dah penat jalan, berhenti rehat. Nak makan di kedai-kedai yang ada tu bimbang tidak halal, sebab takde logo halal pun ?

Cuma beli kaset lagu Opick di kedai buku. Ternyata kaset & CD Indonesia amat murah. CD cuma RP 30,000 manakal kaset RP 10,000. Ada beberapa album lain ingin dibeli, tetapi tidak ketemuan. DVD & CD Pirate pun nampak banyak dijual dengan regak kekira RM3 sahaja !!! Semasa queue hendak membayar CD di kedai buku tu, ternampak iklan Upin & Ipin.

Kemudian kami dibawa untuk dinner di Restoran Padang dan kemudian terus ke lapangan terbang untuk check ini selewat-lewatnya jam 8.00 malam. Flight jam 10.05 malam dan dijangka tiba 1159 malam.

Tetapi semua urusan check-in agak lancar dilaksanakan oleh travel agent yang mengiringi rombongan kami. Memang senang agaknya berurusan dengan mereka, yealah mereka telah dibayar untuk service itu.

Kecewa juga sebab tak ada si paparazzi mengikut bas kami. Ingat nak beli beberapa cenderahati, tapi tak mengapalah. Baki Rupiah masih banyak. Akhirnya terpaksa habiskan sisa Rupiah di Lapangan Terbang. Ternyata harga jualan si paparazzi lebih murah berbanding dengan yang di airport.

Kalau nak dikirakan, tak adalah sangat pengalaman yang menarik sepanjang berada di Medan. Tak teringin nak datang semula. Terasa kecewa sebab tidak ke Lake Toba. Tetapi yang mustahaknya, pengetahuan tentang Cloud Computing, dapat melihat negara orang dan betapa bernasib baiknya menang cabutan bertuah sebuah Netbook.

Untuk lihat semua gambar, sila klik http://picasaweb.google.com/jhm1663/MedanIndon24July2010#
Share:

Ekspo Barangan Buatan Malaysia Di PWTC

Selalu juga kedengaran diadakan pesta jualan, ekspo atau kempen Belilah Barangan Malaysia atau barangan tempatan. Tetapi entah kenapa aku jadi tertarik hendak mengunjungi Pameran atau Ekspo Barangan Malaysia yang diadakan di PWTC Kuala Lumpur mulai dari 16 hingga 20 Jun 2010. Aku pergi pada hari terakhir, serentak dengan Hari Konvokesyen sebuah universiti swasta. Itu yang kelihatan agak ramai pengunjung ekspo ini.

Memang banyak barangan diperagakan dalam ekspo ini dan khabarnya hampir 200 syarikat menyertainya. Since ekspo ini dianjurkan oleh sebuah agensi kerajaan, mungkin ianya dilihat sebagai usaha kerajaan untuk melindungi industri tempatan. Tetapi jika setakat menumpukan kepada pasaran tempatan, mungkin kurang bermakna. Sebagaimana pesanan PM, syarikat tempatan pelu lebih berani bersaing, membuat inovasi dan meningkatkan produktiviti barangan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Tetapi banyak barangan yang aku lihat seperti tidak kelihatan di pasaran tempatan umpamanya industri cokelat. Banyak booth pameran di sekitar booth kawasan Lembaga Koko negara mempamerkan cokelat yang macam tidak pernah ku tengok di pasaran tempatan. Daripada segi rasa cokelat tersebut, aku kira boleh tahan juga. Ku kira setanding juga dengan jenama terkenal lain.

Bila aku tanya, kebanyakkan mereka kata masih dalam peringkat promosi, jualan esklusif di Airport dan mengikut tempahan serta ada di jual di pasaraya besar yang jarang-jarang aku kunjungi.


Apabila menyebutkan barangan Malaysia, tidaklah terhad kepada barangan tradisional sahaja seperti kraftangan, batik, songket serta minuman herba seperti tongkat ali, mas cotek dan tunjuk langit.

Dalam hal ini aku kira packaging juga memainkan peranan. Ianya perlu dilihat sebagai 'global' selain menepati mutu dan standard antarabangsa. Sebagai pengguna pun rekabentuk dan mutu packaging menjadi kriteria dalam pemilihan sebelum membeli.

Aku tertarik dengan beberapa produk lain yang ku kira baru dikeluarkan atau diperkenalkan seperti tempe stick, nasi goreng dan beriyani segera, handphone al-Quran dan jus delima. Bagi tempe stick, memang sedap dan begitu terasa rasa tempenya, walaupun rupanya sudah jadi lain berbanding kepingan tempe yang selalu di jual di kedai-kedai.

Aku kira ekspo ini juga hendak menunjukkan kepada pengunjung bahawa barangan tempatan setanding kualitinya berbanding kita yang selalu membeli serta membandingkannya dengan produk dari luar negara

Bagi pengusaha pula, pasaran tempatan memang diperlukan bagi membina asas atau tapak sebelum mereka melangkah jauh melebarkan sayap ke luar negara, sama ada di pasaran serantau mahupun ke peringkat antarabangsa.



Share:

Selamat Hari Bapa Ke-100 ?

Jika dibandingkan dengan sambutan Hari Ibu, Hari Bapa seperti tidak dihiraukan. Malah ramai yang tidak menyedari bilakah Hari Bapa. Tidak banyak publisiti diberikan berbanding Hari Ibu. Jika Hari Ibu diadakan bagi mengenang jasa mereka yang bergelar ‘ibu’, apakah peranan bapa tidak penting atau tidak sepenting peranan ibu.

Apakah suasana ini sebagai tanda protes tentang betapa bapa-bapa sekarang sudah tidak boleh dipercayai dan diharapkan ekoran banyak dipaparkan bapa yang tidak bertanggungjawab meninggalkan rumah dan keluarga, bapa umpama haruan yang makan anak dan bapa atau suami yang mendera serta menyeksa isterinya.

Asal Usul
Menurut sejarah yang agak mashyur berdasarkan wikipedia dan http://www.fathersdaycelebration.com, Hari Bapa moden diilhamkan oleh seorang wanita, Sonora Smart Dodd dari daerah Spokane, Washington, selepas beliau mendengar syarahan dalam suatu gereja pada tahun 1909 mengenai sambutan Hari Ibu. Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mengenang kaum bapa seperti bapanya, William Smart, seorang duda veteran perang saudara yang ditinggalkan oleh isterinya dan membesarkan enam orang anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil. Ketika itu Sonora berusia 16 tahun.

Idea Sonora diterima oleh pihak gereja. Hari Bapa yang pertama kemudian disambut pada tahun 19 Jun 1910 berbanding dengan cadangan asal oleh Sonora agar diadakan pada 5 Jun 1910, bagi mengambil sempena hari kelahiran bapanya William Smart. Pada tahun 1972, President USA, Nixon mengistiharkan Ahad ketiga bulan Jun setiap setiap tahun sebagai Hari Bapa seluruh USA. Gambar di atas ialah rumah Sonora pada hari ini.

Pada hari tersebut anak-anak menghantar kad ucapan tidak setakat kepada kaum bapa, tetapi datuk, pakcik atau sesiapa sahaya yang berperanan sebagai bapa. Ini diikuti dengan trend memberikan hadiah dan yang popularnya seperti tali leher dan bunga rose rasmi Hari Bapa. Warna bunga ros merah dipilih untuk bapa yang masih hidup, sementara warna putih untuk bapa yang sudah meninggal dunia. Kini acara sambutan serta pemberian hadiah menjadi pelbagai.

Sedikit demi sedikit, sambutan Hari Bapa tersebar ke seluruh dunia. Ketika inilah juga stesen televisyen menghidangkan pelbagai filem dan drama bertemakan jasa dan pengorbanan bapa. Badan-badan perniagaan menggunakan sambutan Hari Bapa untuk mengiklankan produk-produk mereka dan mengadakan jualan murah. Kanak-kanak dan juga orang dewasa disadurkan dengan kempen-kempen supaya mereka sedar akan jasa dan pengorbanan ibu bapa. Pada masa inilah Rumah Orang Tua menjadi meriah dengan kunjungan aktivis muda yang mahu menghiburkan bapa-bapa tua yang ditinggalkan ini.

Kali ke-100 ?
Tarikh sebenar sambutan hari tersebut sebenarnya berbeza-beza mengikut negara berdasarkan persepsi masing-masing. Namun di Malaysia, Hari Bapa disambut pada hari Ahad ketiga dalam bulan Jun. Oleh itu pada tahun 2010, ianya jatuh pada 20 Jun 2010. Jika diambil dari tarikh 19 Jun 1910, bermakna tahun 2010 merupakan sambutan kali ke-100. Tetapi tidak pasti bilakah sambutan Hari Bapa mula diperkenalkan di Malaysia.

Sama ada kali ke 100 atau berapa sahaja, apa signifikannya sambutan Hari Bapa kepada kita ? Yang jelas sambutan Hari Bapa bukan berasal dari Islam dan tiada dalam Islam. Jika demikian apakah pula hukum menyambutnya ?

Hukum Menyambutnya
Apakah kita boleh berpegang, selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat dan peraturan Islam, ianya boleh diraikan dengan cara yang munasabah. Bagi setiap Muslim, sepatutnya paling kurang pun mengingati peranan ibu bapa dengan mendoakan kesejahteraan mereka mereka 5 kali sehari setiap kali selepas solat 5 waktu, di samping berusaha sedaya upaya menjaga kebajikan dan perasaan mereka yang bersusah payah membesarkan anak-anak.

Kita juga dikehendaki terus menerus berbakti, mentaati, menghormati dan menghargai kedua-dua ibu dan bapa sepanjang masa tanpa mengira hari dan waktu. Setiap hari dan bukannya menunggu pada Hari Ibu atau Hari Bapa. Islam mewajibkan setiap umatnya berbuat baik dan taat kepada ibu bapa tanpa perlu adanya hari-hari tertentu. Ibu bapa wajib ditaati selagi mana mereka tidak menyuruh membuat perkara yang menyalahi syara’ dan wajib disayangi sepanjang masa.

Hari Ibu & Bapa Sepanjang Masa
Apa yang dikhuatiri ialah kempen sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa akan melahirkan generasi akan datang yang hanya mewujudkan perhubungan baik dengan ibu bapa mereka pada masa yang tertentu saja. Selepas itu, dalam jangka masa yang lebih panjang, mereka melupakan ibu bapa mereka. Lama kelamaan, kempen itu akan menjadi suatu faktor keruntuhan institusi keluarga dalam masyarakat Islam. Mungkin dalam kegawatan masyarakat barat sekarang dalam memelihara keutuhan institusi kekeluargaan yang tiada lagi rasa hormat kepada orang tua, sambutan Hari Ibu dan Bapa dilihat ada relevannya.

Tambahan pula, haruskah juga sambutan Hari Ibu diasingkan daripada Hari Bapa. Jika mengambil semangat asal, Hari Bapa ialah hari bagi mengenang jasa bapa-tunggal, sebagaimana bapa kepada pencetus idea Hari Bapa ini. Hari Ibu atau Bapa sebenarnya tidak dapat dipisahkan, kerana bagaimana seorang wanita boleh menjadi ibu tanpa kehadiran bapa dan begitulah sebaliknya.

Muhasabah
Namun sentiasalah para bapa bermushasabah diri, melihat kembali amanah, peranan dan tanggungjawab yang telah di berikan dalam berumahtangga. Ini adalah kerana Islam juga telah meletakkan peranan bapa di tempat paling tinggi dalam institusi keluarga. Peningkatan nilai murni di dalam kehidupan isteri dan anak-anak bergantung kepada kualiti seorang suami atau bapa, selain kerjasama dengan pasangannya yang juga isteri atau ibu. Mungkin ada yang terlepas pandang dan terabai, khususnya dalam dunia modern yang semakin mencabar, berbanding ketika kita kecil suatu masa dahulu.

Bagaimana menjadi seorang suami atau bapa yang berilmu, jujur, ikhlas, berakhlak mulia, bermoral, bijak, cekap dan tegas dengan kebenaran. Sebagaimana peringatan dari Al-Quran, Jagalah diri dan ahli keluarga dari api neraka. Sedangkan diri sendiri tidak dapat dipastikan sama ada dapat dijauhi daripada api neraka, inikan pula isteri dan anak-anak. Yang paling penting sekali, bagaimana menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai role model seorang bapa mithali.

Alfatihah juga untuk arwah bapaku yang telah pulang ke Rahmatullah, semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya. Alfatihah.
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.