Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Gerhana Matahari 4 Januari 2011

Pada petang 4 Januari 2011, Gerhana Matahari Separa berlaku di kawasan Asia Tengah , Afrika Utara dan Eropah. Yang 'terbesar' kelihatan adalah di langit Sweden. Namun agak malang kita di Malaysia, tidak dapat melihat fenomena ini kerana kita berada di luar kawasan laluan gerhana. Gerhana bermula pada jam 2:40:11 petang Waktu Malaysia 4 Jan 2011.

Kemuncak gerhana ialah pada jam 4:50:35 petang Waktu Malaysia dan tamat pada jam 7:00:54 petang Waktu Malaysia.Walau bagaimana fenomena ini dikatakan merupakan salah satu daripada 4 kejadian yang akan berlaku dalam 2011, iaitu 1hb Jun, 1 Julai dan 25 November. Namun tidak pasti adalah kita di Malaysia berpeluang melihatnya.

Saksikanlah beberapa gambar untuk dikongsikan saat kejadian dan reaksi orang ramai dalam melihat fenomena gerhana matahari serata dunia yang aku terima daripada pelbagai emel.

Menurut astronomi, gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari, ia menutup cahaya matahari sama ada separa atau sepenuhnya. Walaupun bulan lebih kecil,bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana bulan dengan purata jarak 384,400 kilometer adalah lebih dekat kepada bumi berbanding matahari yang mempunyai jarak purata 149,680,000 kilometer.

Langit musim sejuk bertukar menjadi gelap di Switzerland kerana fenomena gerhana matahari separa yang bermula di Asia Barat dan melitupi hampir seluruh Eropah pada pagi semalam.Sebuah akhbar melaporkan, keadaan di bandar raya ini menjadi gelap seperti senja semasa orang ramai berpusu-pusu keluar dari tren dan bas untuk ke tempat kerja.

Gerhana itu dapat dilihat dengan jelas di Geneva dan beberapa kota lain di Switzerland menjelang pertengahan waktu pagi sebelum langit beransur cerah.Gerhana itu buat pertama kalinya dilihat adalah di langit Baitulmuqaddis manakala gerhana matahari paling jelas berlaku di Sweden apabila hampir 85 peratus matahari berada di belakang bulan.

"Kerana jajaran kedudukan bulan dengan matahari, gerhana kali ini kelihatan kecil," kata seorang ketua balai cerap, Tycho Brahe di selatan Sweden. Gerhana matahari berlaku apabila bulan berada di antara matahari dan bumi menyebabkan bayang bulan dapat dilihat dari bumi manakala dalam gerhana separa hanya sebahagian matahari terhalang oleh bulan. Sementara itu, penduduk di pedalaman Rusia, Kazakhstan, Mongolia dan barat daya China dapat melihat gerhana matahari itu pada waktu senja.

Lagi gambar koleksi

Share:

Al-Fatehah Untuk Arwah Cikgu Abdul Rahman Karim

Sedang berehat selepas solat isyak, 6 Januari 2010 ( malam Jumaat ) tiba-tiba dapat mesej BB yang Cikgu Abdul Rahman karim meninggal dunia dan jenazahnya masih berada di atas jalan raya akibat kemalangan pulang dari solat isyak di Masjid di Api-Api Pontian Johor. Aku tetiba teringat kembali kenangan lama semasa sekolah di SM Sains Johor ( SMSJ ) Kluang antara tahun 1976-1980. Arwah Cikgu Rahman merupakan ketua warden asrama ketika itu. Selain daripada mengajar Sains Paduan, dia juga merupakan guru serta jurulatih hoki sekolahku.

Oh ... walaupun selepas meninggalkan SMSJ hanya beberapa kali bertemu beliau, tetapi amat terasa akan pemergian beliau. Apatah lagi perginya dalam keadaan yang agak tragis. Teringat akan jasa-jasa beliau mendidik kami dahulu serta menguruskan hal ehwal asrama. Kalau nak cuti balik kampung, beliaulah yang mengumumkan tiket waren keretapi balik kampung serta menggunakan perkataan 'One-Way Ticket', sebuah lagu yang juga popular ketika itu.

Kali terakhir bertemu beliau ialah ketika Majlis Makan Malam Amal di KL pada Mei 2010 bagi mengutip derma Tabung Pembinaan Surau SMSJ ( dalam gambar - baju batik oren ). Kelihatan masih sihat dan kuat lagi ketika itu. Arwah memang pernah kuat bergiat dalam dunia hoki. Selain pernahmenjadi Setiausaha Persatuan Hoki Johor, beliau juga pernah menjadi Pengurus Pasukan bagi pasukan hoki negara di Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Jenazah beliau telah disemadikan sebelum Solat Jumaat pada 7 Januari 2010. Semoga Allah menerima amal jariah beliau mendidik anak bangsa, mengurus dan menjaga kami di asrama dahulu diterima Allah sebagai ibadahnya dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Mudah-mudahan akhir hidupnya yang pulang dari masjid pada malam Jumaat memberikan suatu petanda baik Allah menerimanya dan ditempatkan bersama orang yang beriman. Al-Fatehah.

Arwah Cikgu Rahman duduk di barisan hadapan, yang ke-8 dari kanan. Gambar sekitar 1979/80.

Share:

Menyelami Langkawi Geopark

Pulau Langkawi merupakan salah satu daripada destinasi utama dalam industri pelancongan negara. Langkawi yang kaya dengan keindahan semula jadi dan lagenda masa silam ini telah menjadikannya sebagai salah satu daripada destinasi perlancongan yang paling popular di Malaysia. Dianugerahkan sebagai tapak geopark ke-52 ( ada menyebutkan yang ke 49 serta 47 ) dunia dan pertama di Asia Tenggara dalam senarai geopark dunia di bawah Unesco pada 1 Jun 2007.

Anugerah ini meliputi keseluruhan 99 buah pulau, meliputi setiap tunggul batu yang terserlah dimuka laut, segenap hutan belantara serta pelusuk kampung dan desa. Ini menyemarakkan lagi industri pelancongan Langkawi dengan adanya produk pelancongan geopark. Aku kira dalam kujunganku dan keluarga ke Langkawi pada 30 Disember 2010 kali ini dapat menyaksikan sejauh mana ciri geopark yang terdapat di sana. Tempat lain sudah pernah dikunjungi dalam beberapa kunjungan kami sebelum ini.

Apa ertinya Geopark ? Geopark atau Geotaman merujuk kepada sesuatu kawasan yang mempunyai unsur-unsur seperti sejarah batu, formasi menarik pelbagai jenis batu, landskap unik dan indah yang menarik dan penting dari sudut pandangan para akademik, menarik dan mempersonakan dari sudut pandangan orang awam. Apa yang penitng, terdapat nilai warisan yang boleh dihayati dan wajar dipelihara, meliputi biodiversiti flora, fauna dan kegiatan ekonomi setempat.

Bagi Unesco anugerah ini penting bagi melindungi kawasan yang mempunyai kepentingan geologi di peringkat tempatan, negara dan antarabangsa serta dilindungi melalui peruntukan undang-undang tertentu. Landskap batu kapurnya unik dan antara yang terindah di dunia hasil hakisan serta cuaca.

Kilim Mangrove Tour
Ini merupakan target utama kami. Dengan menaikki motorbot, kami sekeluarga dibawa menyusuri Sungai Kilim hingga ke Laut Andaman, kemudian berpatah balik dan akhirnya singgah ke Gua Kelawar.

Harga lawatan sebenarnya berbeza, bergantung kepada berapa ramai rombongan dalam setiap bot serta pakej lawatan.

Hutan Paya Bakau
Mula-mula kami menyusuri Sungai Kilim membelah pokok bakau di kiri dan kanan. Memang habitat pokok bakau ialah kawasan muara sungai. Kami hanya dapat melihat pokok bakau dari bot saja. Ini berbeza dengan di Tg Piai Johor dimana kami melalui titian yang disediakan membelah hutan bakau.

Sebenarnya di sini ada juga disediakan seumpamanya iaitu berhampiran jetty tadi. Sesekali tu merentasi dinding batu-batu yang menunjukkan formasi batu kapur. Agak menarik juga. Sesekali bertembung dengan bot-bot lain.



Helang
Tiba-tiba bot kami berhenti seketika. Ada apa ? Tetiba burung helang terbang berlegar sambil menyambar sesuatu di atas permukaan air. Pemandu pelancung kami barulah beritahu yang dia baru mencampakkan daging ayam di permukaan air untuk dijadikan makanan kepada burung helang tersebut.

Kami diberitahu spesis yang ada merupakan yang kecil saiznya. Memang pendapat tersohor mengatakan nama Langkawi berasal daripada burung helang. Pada suatu masa dahulu, pulau ini menjadi tempat tinggal kepada sejumlah burung helang kawi. Kawi adalah bererti merah hati, kerana helang di sini mempunyai bulu merah hati dan berkepala putih.

Batu Manusia
Selepas meneruskan perjalanan, kami berhenti di tengah-tengah kawasan air yang agak luas. Pemandu pelancong kami menunjukkan untuk memandang kepada satu bentuk batu yang seolah-olah muka manusia.

Terdapat dua bentuk. Namun aku tanyakan pemandu pelancung kami, ada apa-apa kisah disebaliknya. Beliau hanya mengelengkan kepada. Tapi apabila mendekatinya, bentuk tersebut tidak begitu kelihatan. Mungkin terbentuk disebabkan hakisan pergerakan air. Ketika itupun air laut sedang surut.

“Kilim Geoforest Park”
Meneruskan perjalanan beberapa minit kemudian, kami berhenti di suatu kawasan laut luas yang merupakan sebahagian Laut Andaman. Namun yang menariknya ialah mengabadikan foto bersama perkataan “Kilim Geoforest Park’ yang terpahat di dinding salah sebuah tanah tinggi atau bukit batu kapur yang terdapat di situ. Ini suatu sejarah, we were there.


Seterusnya menyusuri sebahagian lautan yang luas dan kembali melalui batu bentuk manusia tadi. Kami dikejutkan dengan biawak yang sedang berenang di hadapan boat dan pemandui pelancung kami memperlahankan pergerakan bot.

Taman Ternakan Ikan
Kemudiannya kami berhenti di suatu tempat peliharaan ikan yang dibina khas di atas permukaan air. Kami di sambut dan diberikan penerangan oleh pemandu pelancung lain. Terdapat pelbagai ikan-ikan yang unik dan menarik dipelihara bagi menarik pengujung.

Antara yang menarik ialah ikan sumpit. Ikan ini mampu menyumpit mangsanya yang berwarna cerah untuk dijadikan makanan dengan menggunakan air. Daripada demo yang dilakukan, nampak sentiasa tepat mengena sasaran pada setiap kali sumpitan dibuat. Makanan yang jatuh terus diterkam.

Bagaimana ia melakukannya ? Menganggar jarak dengan biasan air dan sekuat mana sumpitan hendak dilakukan. Dikatakan ikan ini mampu menyumpit sehingga 1-2 meter ... wau .. hebatnya !!!

Kemudian kami ditunjukkan beberapa spesis ikan siakap dan kerapu yang besar. Kami juga berpeluang memegang ikan pari besar yang begitu jinak dan lembut kulitnya. Kalau kat pasar tu dah mati dan terasa pejal dagingnya.

Yang menarik lagi ialah ikan tudung periuk. Ikan ini aktif waktu malam, tetapi sangat pemalas pada waktu siang hari. Kelihatan asyik membaringkan badan, makanan lalu depan mulutpun tidak dihiraukannya. Nak tunggu jatuh direct masuk mulut. Tetapi badan besar gajah !!! Agaknya masa waktu malam dia pulun habis makanan mana yang ada.

Ternyata pengalaman ke taman ikan ini sangat menarik. Tak sangka ada mahluk Allah yang sedemikian rupa serta gelagatnya. Kami teruskan perjalanan.

Gua Kelawar
Seterusnya ke Gua Kelawar. Gua ini terletak di kaki bukit di Kilim yang dikelilingi hutan paya bakau dan pintu guanya menghadap Sungai Kilim. Ruangan gua tersebut berbentuk terowong panjang.

Bagi kemudahan pelancong, telah dibina beberapa titian batu di dalam gua ini. Tapi masuk aje gua, suasananya amat gelap dan menyeramkan. Kena gunakan lampu suluh yang disediakan oleh pemandu pelancung. Dengan flash kamera ( walaupun dilarang ) rupanya benyak kelawar bergantungan di siling atau lelangit gua.

Di dalam gua, dalam kesamaran dapat dilihat juga pelbagai bentuk hiasan asli gua batu kapur seperti stalagtit dan stalagmit yang pelbagai bentuk, saiz dan arca indah. Aku belasah aje dengan flash kameraku. Baru boleh melihat keindahannya.

Tiang Purba
Selain itu dapat dilihat pelbagai khazanah alam yang berusia bertahun-tahun formasi batuan akibat hakisan air. Juga dapat dilihat tiang purba yang terbentuk daripada stalagtit dan stalagmite yang bersambung satu sama lain menerusi proses yang memakan masa dikatakan ribuan tahun.


Ini berdasarkan kiraan pembesaran pada kadar 1000 tahun untuk pembesaran sepanjang 1 meter. Wah hebat ni !!

Fosil Hidup
Disatu tempat seolah-olah tergantung pokok Bogak ( nama saintifiknya Cyas Clivicola ) di tebing dinding batu yang dikatakan berusia lebih 200 juta tahun lalu. Entahlah macamana dia orang sukat. Daun pokok ini seperti pokokpaku pakis saja.

Pokok ini dikira tahan lasak dan mampu hidup di atas tanah liat dan batu kapur. Nampaknya ia mampu hidup lebih lama daripada kewujudan dinosour. Ini suatu lagi pengalaman yang mengkagumkan. Memandangkan ianya dianggap telah terlampau lama dan kuno, sebab itu dipanggil fossil yang hidup

Perkampungan Air Hangat
Kolam air panas semulajadi menjadi tarikan di Kampung Air Hangat. Ia terletak kira-kira 14km dari Pekan Kuah dan 3 atau 4 km dari jety Kilim. Air panas tersebut dikatakan berpunca dari beberapa aktiviti gunung berapi di bawah tanah sejak berjuta tahun dahulu. Air tersebut dikatakan berkhasiat untuk kesihatan khususnya untuk kulit dan ruam.

Kini kawasan kolam tersebut sedang diupgrade menjadi kompleks yang membolehkan aktiviti spa serta berendam dalam jakuzi dibuat dalam bilik-bilik yang khas. Tetapi masa kunjungan kami kesana, kawasan kolam tersebut agak kotor dan penuh dengan lumut rumpai. Kolam yang besar, airnya tidaklah panas atau hangat-hangat.

Mungkin ada masalah untuk maintain atau belum siap projek. Tapi terasa geli juga nak rendamkan kaki dalam kolam yang begitu rupa.

Menurut kisah lagenda pula, telah berlaku pergaduhan antara keluarga Mat Cincang dan Mat Raya. Dalam pergaduhan tersebut, jug, cawan, pinggan dan kuali saling berterbangan. Salah satu jug tersebut yang dipenuhi dengtan air panas jatuh ke bumi dan tiba-tiba keluar pancutan air panas dan menjadi kolam air panas. Entahlah ... yang penting sesuatu perlu dilakukan supaya Kompleks Air Hangat terus dapat menarik pengunjungnya.

Klik Untuk Lagi Gambar
Share:

Wujudkah Dinosour ?

Benarkah dinosour pernah wujud ? Jika berdasarkan rekod fossil yang ditemui, dinosour dikatakan pernah wujud. Malah tapak kaki besar yang ditemui mengukuhkan bukti kewujudannya. Dikatakan juga dinosour pernah hidup ratusan juta tahun yang lampau dan pupus kekira puluhan juta tahun sebelum manusia hidup di atas muka bumi ini. Jika demikian, bermakna dinosour bukan pupus disebabkan menjadi buruan manusia atau tenggelam akibat banjir besar dalam zaman Nabi Nuh a.s.

Apakah ada bukti terdapat dalam Al-Quran dan hadis mengenai kewujudan dinosour ? Walaupun terdapat Nabi & Rasul yang hidup lama ratusan tahun, tetapi apakah jarak tahun diantara zaman Nabi Adam a.s sehingga Nabi Muhammad s.a.w. Hal mempercayai kewujudan dinosour mungkin tidak berkait dengan akidah, tetapi dengan pelbagai penemuan termasuk fosil, tulang dan gigi manusia, fakta bahawa Nabi Adam a.s sebagai manusia pertama didunia terus ingin diganggu gugat.

Tidak usah pergi jauh, penemuan Perak Man atau Orang Perak yang ditemui Gua Gunung Runtuh terletak di Bukit Kepala Gajah, di Lembah Lenggong, Hulu Perak pada tahun 1991. Baru ini arkeolegist Israel menemui gigi manusia yang dikatakan berusia ratus ribu tahun yang lalu.

Penemuan ini dibimbangi menjadi modal bagi mereka tentang betapa tamaddun awal umat manusia sebenarnya berasal daripada bumi mereka, walaupun belum dapat dipastikan bangsa pemilik gigi berkenaan.

Berbalik dengan pameran Dinosour Alive di Pusat Sains Negara yang aku kunjungi pada 26 Disember 2010 yahg lalu. Ku kira agak menarik juga, walaupun sebahagian ruang pameran di Pusat Sains Negara ditutup untuk kerja-kerja naik taraf. Pameran berlangsung dari 1 Disember 2010 hingga 31 May 2011. Lama betul ...

Tetapi kenapa dinosour yang dipaparkan ditempatkan dalam bilik yang agak gelap. Apakah banyak cacat celanya atau sekadar hendak mewujudkan mood seram atau sebaliknya juga mengurangkan rasa takut dengan replika atau model dinosour tersebut.
Share:

Kompleks Pekan Rabu Hilang Serinya ?

Pada bulan lepas, aku berkesempatan ke Alor Setar Kedah kerana menghadiri mesyuarat Jabatanku. Kompleks Pekan Rabu terletak tidak jauh daripada hotel penginapanku. Namun disebabkan jadual mesyuarat yang agak padat, aku tidak berkesempatan kesana, kecuali pada hari terakhir sambil menantikan flight kembali ke KLIA. Apa taknya, meeting habis lewat petang dan ketika itu Pekan Rabu telahpun tutup. Tapi sebenarnya aku pernah berkunjung ke sana sekitar tahun 2000, fuh .. 10 tahun lalu.

Dalam kunjunganku ketika hari hampir tengahari, aku dapat merasai betapa kurang meriahnya berbanding dengan kunjungan aku sebelum ini. Tidak ramai pengunjungnya, sedang aku sendiri pun tidak tahu apa yang hendak dibeli. Apa sudah jadi ? Apakah persaingan dengan kedai-kedai lain berhampiran atau ada faktor lain yang menyebabkan orang ramai kurang gemar ke sana ? Kurang parkir ? Harganya ? Entahlah ...Sedangkan suatu ketika dahulu bagi pelancong-pelancong, sekiranya ke Alor Setar, semacam tidak cukup syarat, jika tidak singgah atau membelah-belah di Kompleks Pekan Rabu.

Kompleks Pekan Rabu terletak di tengah-tengah bandar Alor Setar. Namanya memang tidak asing lagi di kalangan penduduk tempatan ataupun luar negeri Kedah. Kompleks perniagaan orang-orang Melayu yang tersergam indah itu dikatakan sebagai lambang kemegahan bukan sahaja kepada peniaga-peniaga bumiputera di Kedah, bahkan menjadi kebanggaan kepada seluruh masyarakat bumiputera di Kedah. Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir sendiri pernah berniaga di situ.

Kegiatan perniagaan Pekan Rabu bermula sejak selepas Perang Dunia Pertama atas inisiatif YTM Tunku Yaacob, seorang Putera Diraja Kedah, supaya orang-orang melayu dapat terus menjalankan perniagaan dalam bandar. Ianya bermula dari pasar minggu di Tanjong Chali, yang terletak dipersinggahan antara Jalan Pekan China dan Jalan Pengkalan Kapal di bandar Alor Setar.

Tanjong Chali merupakan sebuah tapak bagi melatih orang-orang Melayu di dalam perniagaan. YTM Tunku Yaakob telah mengasaskan kawasan perniagaan ini menjadi pasar minggu di situ pada setiap hari Rabu sahaja pada awal 1920 an. Perniagaan mingguan ini kemudiannya berkembang maju dan berlangsung pada setiap hari. Ini menyebabkan kerajaan negeri terpaksa memindahkan Pekan Rabu ini ketapak barunya yang ada sekarang pada tahun 1932 kerana kawasannya menjadi sempit akibat perkembangan perniagaan yang di jalankan.

Dengan bantuan pinjaman dari pihak MARA, sebuah kompleks yang berharga RM 3.2 juta telah dapat dibina pada tahun 1975 dan diubahsuai pada tahun 1995 dengan belanja RM 6.5 juta. Kompleks perniagaan yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim ini telah di rasmikan pembukaannya oleh YAB Datuk Seri Dr. Mahathir pada 25 Februari 1978, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Sebelum Kompleks Pekan Rabu ini wujud, peniaga-peniaga di situ hanya berlindung di sebuah bangunan yang terbuka, tanpa dinding dengan tempat berniaga yang agak berselerak dan tidak teratur. Kini Kompleks Pekan Rabu yang mengandungi 347 buah kedai yang menjalankan berbagai jenis perniagaan, menjadi sebahagian daripada mercu tanda bandar Alor Setar.


Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.