Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Umrah Keluarga 2011 : Ketibaan Di Madinah Munawwarah

29 Mei 2011 - Hari Ketibaan

Seawal 4 pagi seolah-olah kedengaran bacaan Tahrim dan azan. Ini kawasan Muslim ke ? Lepas solat, lantas turun ke loby hotel bersama beg barangan. Berdasarkan hiasan dinding denganseni khatnya serta pekerja wanitanya yang bertudung kepala, tidak syak lagi, ciri keislaman hotel ini agak terserlah.

Rupanya ramai jemaah telah turun dan 3 buah bas pun sudah menunggu. Aku dalam kumpulan 40 jemaah terakhir naik bas C. Maka barangan pun disusun teratur mengikut Bas supaya mudah di naikkan ke dalam perut bas.

Dengan dibekalkan roti dan air, bas pun bertolak ke Airport. Hari mulai siang. Baru nampak sikit pemandangan bangunan di Kota Bangkok.

Kira-kira 20 minit kemudian tibalah di lapangan terbang. Kami pun check-in secara perseorangan dengan penerbangan Etihad. Ada satu yang agak berbeza, beg yang dipegang masuk flight pun minta ditimbang semasa check-in, agaknya untuk pastikan tidak melebihi berat tertentu. Kami terus diberikan dua boarding pass, iaitu satu ke Abu Dhabi dan satu dari Abu Dhabi ke Jeddah.

Lapangan Terbang Suvarnabhumi
Rupanya Lapangan Terbang Suvarnabhumi ( bunyinya su-wan-na-poom ) ini baru siap dibina dan mulai digunakan pada September 2006. Suvarnabhumi bermaksud The Golden Land.

Lapangan terbang ini terletak kira-kira 30 kilometer di timur Bangkok. Memang cantik dan kelihatan baru ruangan perlepasan dan check-in. Bentuk bangunannya membulat dengan cermin kelilinginya, macam konsep Green House pulak.

Orang sudah ramai dan kelihatan agak sibuk. Patutpun dikatakan airport ke-6 paling sibuk di Asia. Manakala lapangan terbang lama iaitu Don Mueng hanya mengendalikan penerbangan dalam negara sahaja. Satu keistimewaan lagi, airport ini mempunyai menara kawalan yang tertinggi di dunia, setinggi 434 kaki atau 132.2 meter.

Masya’allah, untuk melepasi pemeriksaan sebelum menaikki flight, tali-pinggang, jam tangan dan kasut pun kena ditanggalkan. Kamera, laptop dan wallet tu sudah biasalah. Waduh ...

Ke Abu Dhabi Dengan Eitihad
Kemudian kami menaikki flight Eitihad dan bertolak ke Abu Dhabi jam 8.35 pagi. Seperti dalam Thai Airways, nampak agak selesa tempat duduknya yang juga dilengkapi dengan skrin serta panel entertainment.

Rasanya kalau nak flight MAS, agak sempit tempat duduknya. Aku sempat tonton filem Melayu Haq. Ada juga filem dokumentari khas tentang pasukan bola tajaan Eitihad iaitu Manchester City.

Makanan yang disediakan pun sedap-sedap. Kad Menu makanan diberikan terlebih dahulu untuk kita membuat pilihan. Bukan banyak pilihan pun. Tapi yang lucunya dikatakan dalam menu tersebut, penyediaan adalah berdasarkan hukum syariat, tapi ada beberapa jenama minuman keras pulak. Eh, Pak Arab nie ? Biar betul ...

Abu Dhabi International Airport
Kami tiba di Abu Dhabi International Airport kira-kira jam 12.00 waktu Abu Dhabi. Terus keluar ke ruang transit dan masuk semula ke bilik menunggu di hadapan flight yang kami naikki dari Bangkok tadi. Dapat berehat sikit sambil chek blog maklimah.blogspot.com.

Kelihatan kompleks terminal yang kami lalui macam masih baru. Kelihatan bersih, modern dan cantik. Ia merupakan lapangan terbang kedua terbesar di United Arab Emirates ( UAE ) untuk Abu Dhabi yang juga ibu Negara UAE.

Dalam perjalanan ke tempat menunggu, kedengaran azan zuhor berkumandang dalam bangunan terminal. Bagusnya ... kalau kat airport Malaysia tentunya dah kena tegur.

Kemudian kami menaikki semula flight tadi, tapi berubah tempat duduk dan terpisah dari kalangan keluarga. Ini yang tak bestnya. Flight berlepas jam 1.20 tengahari. Atas flight diberi makan lagi, sedap !

Menghampiri Jedah, degan kaedaan cuaca yang terang dan panas, dapat dilihat dengan jelas bandar Jedah dari udara. Tak ada sangat, seperti susunan kotak-kotak sahaja.

Tiba di Airport Jeddah
Jam 3.10 waktu Jeddah, flight mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz. Sampai sana bas menunggu untuk membawa kami ke Terminal Haji. Waduh, agak jauh juga perjalanan, kekira 20-30 minit rasanya.

Masuk ke bangunan terminal, hanya kumpulan kami yang ada. Kemudian kami melepasi pemeriksaan passport imigresen dan seterusnya ke tempat menuntut bagasi untuk mengambil barangan masing-masing.

Keluar dari bangunan terminal terasa kepanasan dan terasing. Sebab hanya kumpulan kami sahaja. Muka wakil agen TA entah dimana untuk memberikan arahan selanjutnya. Kami seperti tidak tahu hala mencari-cari tempat solat yang rupanya berbentuk terbuka.

Lepas solat terus menunggu arahan selanjutnya untuk menaikki bas. Katanya bas telah sampai tapi tak boleh masuk sebab takde tempat nak parking.

Entahlah, aku tampak macam tak ada banyak bas di barisan tempat berhenti bas di luar bangunan terminal. Kemudian dua buah bas dan satu coaster sampai.

Sebelum bertolak kami diperkenalkan oleh Ketua Urusetia ( KU ), Tn Hj Mohamad Damis yang telah berada di Arab Saudi. Dia sedang cuti tanpa gaji untuk berkhidmat dengan TA yang mengendalikan kami. Sambil mengucapkan selamat datang, beliau meminta para jemaah memastikan dan ingat nombor bas yang dinaikki kerana inilah kumpulannya dalam pergerakan menggunakan bas nanti, sama ada semasa ziarah juga ke Makkah.

Beliau juga menyarankan agar setiap orang menyumbang SR1 sebagai saguhati kepada petugas hotel yang akan membawa beg turun dari bas dan meletakkan di tingkat bilik penginapan hotel nanti serta SR1 lagi untuk membawa turun beg ke lobi dan memasukkan dalam bas bagi perjalan ke Makkah nanti.

Terminal Haji King Abdul Aziz Jeddah
Katanya terminal ini baru dibaikpulih semula. Pernah digunakan suatu masa dulu. Kini dibaik pulih khas untuk mengendali jemaah haji serta umrah. Masa aku menunaikan fardhu haji 2009 dahulu, aku tidak melalui terminal ini.

Agak menarik, terbuka dan simple juga rekabentuk. tetapi dengan cuaca panas, para jemaah tidak banyak pilihan selain berhadapan dengan kepanasan tersebut sebelum berjaya masuk ke dalam bangunan terminal

Menuju Madinah Al-Munawwarah
Letih dalam perjalanan tapi tidak sabar untuk sampai ke bumi Madinah. Perjalanan dari Jeddah ke Madinag mengambil masa kira-kira 6 jam. Jauh juga. Kalau terus dari Abu Dhabi masuk Madinahkan bagus, macam aku pergi menunaikan haji 2009 lalu.

Dalam perjalanan kami berheti di suatu tempat macam R & R untuk solat jamak maghrib dan isyak serta menjamu hidangan makan malam yang disediakan secara bungkus.

Kami tiba di hotel penginapan kira-kira jam 10 malam. Sebelum tiba, sudah kelihatan menara Masjid Nabawi yang unik dan mulai mengimbau kenangan lalu.

Berkumpul di tingkat 2 ruang makan untuk taklimat dan pembahagian kunci. Geram betul, sebab pakej yang aku tempah ialah dua bilik, satu untuk dua orang dan satu untuk 4 orang. Tapi yang diberikan ialah dua bilik untuk 3 orang setiap satu. Ada implikasi kos tentunya ... pihak TA ni nampaknya, sejak mula lagi asyik ada yang tidak kena, ada saje tidak mengikut apa yang dijanjikan ..

Hal beg pulak, bagaimana petugas hotel tahu tingkat atau nombor bilik kita sedangkan kami dalam kumpulan yang sama pun berlainan tingkat hotel. Pening, malas nak fikir panjang. Angkat sendiri sajalah.

Sudahlah tu, patutnya ditempatkan di Hotel Jawharat, tapi kini di Hotel Karam. Tak pasti pulak berapa jarak dengan Masjid Nabawi.

Dalam keletihan tak dapat aku nak komplen banyak, cuma ingatkan pihak TA supaya pastikan ianya tidak berulang di Makkah nanti. Letihlah kalau asyik komplen saja ... Apakah kami sedang berhadapan pengurusan jemaah umrah yang tidak cekap ?

Klik Untuk Gambar Hari Ketibaan
Share:

Umrah Keluarga 2011 : Hari Keberangkatan

28 Mei 2011 – Hari Keberangkatan Bermula Ujian

Mak serta keluarga adik beradik telah tiba petang semalam. Riuh rendah rumahku dibuatnya. Tapi semuanya telah siap sedia. Jika hendak diselesaikan hal tugasan seharian di pejabat, memang tidak akan ada kesudahannya. Terpaksa ada yang ditinggal dan dipesan-pesankan kepada mereka yang tinggal. Malahan sehingga lewat petang semalam pun aku masih cuba menyelesaikan apa yang patut. Ini disusuli dengan beberapa perkara pula mengenai hal ehwal Surau As-Syakirin SMK P14(1). Sekurang-kurangnya memberikan sedikit kelegaan sebelum berangkat hari ini.

Persiapan pakaian mudah sahaja, sebab memang telah dirancang tidak mahu bawak banyak pakaian. Cukup dengan beg yang diberikan oleh Travel Agent ( TA ). Hanya pakaian ihram sahaja yang memenuhi banyak ruang beg pakaian. Tidak juga merancang hendak beli di sana. Sebab kalau beli pun belum tentu ngam saiznya untuk terus di pakai.

Jam 9 pagi mulai bertolak ke KLIA dengan rombongan 4 buah kereta. Perjalanan lancar dan tiba di KLIA kira-kira 45 kemudian. Jika mengikut surat daripada TA, kena kumpul di kaunter K atau L jam 10 pagi, tapi nampak ahli rombongan lain yang telah tiba lebih awal berkumpul di kaunter G. Kami diberikan tag nama gantung serta beg non-woven berisi cokelat, pen dan brosur TA.

Kemudian kami menyusun beg yang hendak di bawa masuk di kaunter sebagaimana di minta oleh TA. Kami diminta menulis nama pada label yang kemudiannya di tagkan pada bag kami. Hanya 3 bag sahaja. Ku lihat petugas TA mulai memeriksa beg dan meletakkan passport di atasnya. Aku mulai sangsi apabila begku tidak diletakkan pun passport berbanding dengan yang lain.

Kecoh !!
Tiba-tiba diberitahu, penerbangan rombongan seramai 100 orang dipecahkan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan seramai 60 orang bertolak sebagai sepatutunya iaitu 1.20 tengahari manakala kumpulan kedua jam 8.30 malam. Aku dan keluargaku bertolak dalam kumpulan kedua. Geram bukan kepalang, ramai jemaah lain juga tidak berpuas hati. Keadaan menjadi kecoh sedikit. Ada yang marah-marah.

Bagaimana ini boleh berlaku ? Mengapa tidak diberitahu lebih awal. Mesti ada yang tidak buat kerja betul. Malah ada jemaah yang pernah beberapa kali buat umrah, mengakui tidak pernah ‘terkena’ begini. Sementara tunggu penerbangan malam ini, kami dijanjikan ditempatkan di Hotel Nilai dengan bas. Terfikir sama ada nak balik semula rumah atau ke Hotel Nilai, jarak lebih kurang saja. Tapi takkan balik semula rumah, malulah dengan jiran pulak ? Orang kampong semua dah tahu ...

Ketua Rombongan ( KR ), Tn Hj Ahmad mendakwa mereka baru sahaja tahu perubahan jadual penerbangan ini semasa menguruskan check-in pagi ini. Aku tidak dapat menerima alasan ini kerana berdasarkan salinan emel e-Ticket menunjukkan ianya telah dikeluarkan pada 22 Mei 2011, maknanya telah dimaklumkan awal dan ada banyak waktu untuk memaklumkan semula kepada jemaah. Aku boleh terima perubahan ini kalau diberitahu lebih awal. Aku syak, pihak pejabat TA telah dimaklum lebih awal, tapi tidak sempat atau tidak memaklumkan kepada jemaah terlibat. Yang jadi mangsanya ialah petugas TA di KLIA.

Aku dan keluarga mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke Hotel NIlai. Dalam keadaan kelam kabut, tidak harap nak tunggu kenderaan yang TA sediakan. Kejap kata naik bas, kejap kata naik van secara bergilir.

Jadi, kami berpisah, bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal dengan rombongan keluarga yang menghantar di Hotel Nilai, nak buat camana. Kesian pulak mereka yang setia menunggu sejak awal pagi. Kami disediakan 3 bilik kecil untuk 6 orang serta makan tengahari. Oklah jugak.

Chek-in Semula
Setelah beberapa jam berehat dan solat jamak, kira-kira jam 4.30 petang kami dibangkitkan untuk turun kerana bas telah sampai. Sampai di KLIA, kami berkumpul semula untuk check in. Aku rasa tidak semua jemaah 40 orang jemaah ikut ke Hotel Nilai. Check-in kali ini tampak agak lancar.

Seperti pagi tadi juga, memang kelihatan ramai para jemaah umrah sedang check-in. Memang jemaah Malaysia ramai menunaikan umrah sempena cuti sekolah pertengahn tahun dua minggu ini.

Kami kemudian dipanggil untuk taklimat oleh Petugas TA, dimulai dengan apa yang dinamakan semakan kehadiran. Bukan semak kehadiran, sekadar membacakan senarai jemaah, tanpa tanya ada atau tidak. Buat cincai macam tidak pernah buat kerja !!!

Lepas itu cerita sedikit sebanyak hal perjalanan, transit, Bangkok, Abu Dhabi dan check-out Jeddah dan diikuti dengan bacaan doa. Tidak pun memberikan alasan perubahan jadual. Seingatanku, tak adapun nak meminta maaf daripada para jemaah. Sombong !!!

Dalam masa yang sama kelihatan Imam Muda Tawfik dengan jemaah kendaliannya. Memang aku baru tahu beliau sedang menguruskan syarikat pelancongan dan jemaah umrah. Mungkin ini kali pertama beliau mengendalikan jemaah umrah.

Kemudian masuk untuk boarding. Naik aerotrain dan jam 8 malam mulai masuk flight. Mak, kakyong serta isteriku sempat solat maghrib-isyak. Takpelaha yanglain sempat di Bangkok nanti.

Dalam flight Thai Airways, kami tidak duduk setempat. Katanya ini perkara biasa dan pepandailah nak susun semula antara jemaah lain.

Agak luas dan lapang susunan kerusi dalam flight ini, lengkap dengan entertainmentnya. Aku rasa jauh berbeza dibandingkan dengan flight MAS. Hidangan makanannya pun sedap, maklumlah tengah lapar.

Tiba Bangkok
Tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok jam 9.45 waktu Bangkok. Cantik nampaknya airport ni. Selepas keluar dari pemeriksaan imigresen, kami pergi ke tempat menuntut bagasi untuk mengambil beg yang dimasukkan dalam masa cgeck-in di KLIA tadi. Seorang wakil TA telah menunggu di luar dan membawa kami menaikki bas.

Perjalanan kira-kira 30 minit menuju ke hotel penginapan kami iaitu New World City Hotel. Waktu gelap, tidak ada apa sangat yang kelihatan untuk dijadikan kenangan selain lampu menghiasi bangunan.

Masuk hotel, solat dan terus tidur sahaja sebab nak kena bangun seawal 4.30 waktu suboh di Bangkok sebelum ke airport semula. Nama aje New World City Hotel, tapi rekabentuk dalamannya macam stail lama aje.

Bermulanya ujian ?
Apakah ini sebagai tanda cabaran kesabaran untuk mengerjakan umrah bermula. Sebelum ini pun telah ada beberapa perkara tidak seperti apa yang dijanji oleh TA. Kesangsian terhadap TA telah mulai timbul.

Sebelum ini janjinya naik MAS terus ke Jeddah, tapi yang berlaku ialah transit dan bermalam di Bangkok dan kemudian di Abu Dhabi. Sebelum itu juga, timbul masalah diskaun keahlian. TA salahkan kakitangannya dan orang tersebut pun katanya dah kena pecat.

Hari ini sepatutnya memberikan perjalanan penuh semangat dan keceriaan. Tapi cukup meletihkan dan bagaimana aku boleh sabar dengan perjalanan yang masih panjang ?

Klik Untuk Gambar Hari Keberangkatan

Share:

Doakan Selamat Mengerjakan Umrah

Gambar semasa di KLIA bersama rombongan menghantar. Cabaran mengerjakan umrah bermula. Namun doakan agar kami selamat sampai, dipermudahkan urusan di sana serta diterima doa dan amalan.
Share:

Utusan Bukan Lagi Pemangkin Fikiran Rakyat ?

Pendedahan bekas wartawan kanan Utusan Malaysia ( Utusan ), Sdra Hata Wahari bahawa agenda Utusan ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin Presidennya, yang juga PM agak mengejutkanku. Aku juga pasti ia juga mengejutkan pelbagai pihak. Maknanya agenda Utusan juga agenda Umno dan apakah juga bermakna Utusan sebagai lidah rasmi Umno ? Ini tentunya akan menjadi punca ramai yang mula tawar hati dengan Utusan, yang mengakibatkan kurangnya pembaca dan seterusnya jualan akhbar Utusan akan semakin jatuh.

Ini berbeza dengan Harakah, Suara Keadilan dan terbitan parti pembangkang lain yang memang terang-terang ‘Untuk Ahli-Ahli Sahaja’ ( walaupun dijual secara terbuka ) dan diketahui umum sebagai lidah rasmi parti politik berkenaan. Usah marah dengan mereka dan dijadikan alasan untuk Utusan menghalalkan tindakan mereka.

Rasanya macam tidak ada penafian daripada Utusan, sebaliknya Pemuda Umno dan Perkasa mengemukakan memorandum dalam mempertahankan Utusan. Entah apa yang dipertahankan, aku sendiri pun kurang jelas. Sama ada mempertahankan segala tindakan Utusan, mempertahankan Utusan daripada bungkus tutup kilang atau mempertahankan daripada sesiapa yang hendak menggugat Utusan.

Memang tidak dapat dinafikan, media arus perdana di Malaysia selama ini umumnya tidak banyak memberikan ruang positif kepada parti pembangkang. Sebaliknya berita yang memberikan imej buruk dan negatif sahaja. Pada 1 Mac 2011, Ketua Pengarang Utusan, Datuk Aziz Ishak sendiri telah mengakui bahawa peranan Utusan adalah untuk menyokong Umno dan BN.

Persoalannya kini, sejauh mana penetapan agenda Utusan ditentukan oleh Biro Politik Umno pimpinan PM ? Apakah secara langsung atau tidak langsung ? Sejauhmana sokongan terhadap Umno dan BN ? Ini kerana sejak akhir ini terdapat pelbagai pandangan dan perspektif daripada Utusan yang agak mengelirukan. Apakah itu juga pandangan Umno ? Bagaimana pula dengan isu-isu politik lain yang begitu digarap dalam akhbar Utusan.

Mengapa Hatta Dipecat ?
Rupanya kisah ini dah lama. Hata yang juga Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan ( NUJ ), merupakan telah Wartawan Kanan Utusan yang telah digantung kerja sejak Januari 2011. Beliau sering mengutarakan pandangan yang lantang berhubung isu pemilikan akhbar Utusan, kejatuhan edaran akhbar dan ‘kelemahan’ dalam kepengarangan akhbar berkenaan.

Pada 14 April lalu, panel siasatan dalaman Kumpulan Utusan mendapati Hata bersalah atas tuduhan memburuk-burukkan nama syarikat melalui laporan yang disiarkan beberapa media tempatan. Belia juga dikatakan secara berani mengkritik tindakan Utusan sendiri yang sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman melalui penerbitannya dan mengambil pendirian yang berat sebelah terhadap Umno di dalam laporan politiknya.

Gagasan 1Malaysia Vs 1Bumi, 1Melayu
Antaranya slogan 1Bumi 1Melayu. Apakah maksudnya kini ? Tidakkah ianya bertentangan dengan keazaman yang diutarakan oleh PM dalam memperkenalkan 1Malaysia. Malah dalam Forum Kempimpinan Asean bebaru ini, PM mengutarakan idea 1Asean pula.

Ini benar-benar mengelirukan rakyat ? Atau aku sahaja yang terkeliru, orang lain semua ok ? Apakah 1Bumi, 1Melayu serta 1Malaysia sekadar slogan retorik untuk kepentingan dalam menarik semula sokongan orang ramai terhadap Umno dan BN, khususnya setelah melihat rentetan kemenangan BN dalam beberapa Pilihanraya Kecil lalu ? Apa yang dibimbangi, ini meningkatkan tanggapan orang ramai betapa PM bersikap bermuka-muka dan ini boleh menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap beliau dan terhadap tindakan kerajaan pimpinannya.

Isu ‘Kristian Agama Rasmi’
Kegelisahan rakyat timbul lagi apabila isu Kristian Agam Rasmi cuba dicetuskan dan digarap dengan meluas oleh Utusan yang mungkin mempunyai agenda bagi menimbulkan kebencian ramai terhadap Pakatan Rakyat, khusunya DAP.

Isu ini mungkin agak sensitif sehingga Pengerusi Perkasa hendak melancarkan Jihad menentang gerakan untuk menjadikan Keristian sebagai Agama Rasmi Persekutuan. Penafian daripada parti yang dituduh menjadi dalang tidak mendapat tempat, sebaliknya terus diutarakan penemuan-penemuan apa yang dikatakan sebagai bukti oleh pihak Polis untuk melakukan siasatan.

PM akhirnya muncul sebagai hero apabila mengadakan perbincangan dengan majlis tertinggi Gereja Keristian peringkat nasional yang sekaligus dikatakan meredakan suasana yang timbul atau segaja ditumbulkan.

Utusan Menjadi Kebal
Walaupun apapun isu, sentimen, berita dan pelbagai rencana dibangkitkan dalam Utusan, pastinya tidak akan ada tindakan daripada Kementerian Dalam Negeri ( KDN ) yang mengeluarkan permit penerbitannya. Utusan akan menjadi kebal. Utusan boleh kata apa sahaja dan Biro Politik Umno yang kebetulan dianggotai beberapa menteri kabinet, pasti akan mempertahankan tindakan Utusan.

Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dilaporkan telah dipanggil dan diberikan surat teguran oleh KDN berikutan penyiaran berita bertajuk “Kristian Agama Rasmi?” pada 7 Mei lalu. Tindakan itu dikatakan dibuat selepas mendapati penyiaran berita itu menggemparkan fikiran orang ramai. Bagaimana hasil pertemuan tersebut ?

Utusan Porno ?
Berita dan liputan perbicaraan Ketua Pembangkang mendapat liputan yang begitu meluas tanpa selindung, siap dengan gambarnya seklai. Mungkin nak menjelaskan dengan sejelas-sejelasnya supaya orang ramai menjadi jelas. Akibatnya pembaca yang terdiri daripada pelbagai golongan dan lapisan umur yang pada mulanya atas dorongan ingin mengetahui, menjadi muak dan geli gelemang nak membacanya.

Ini ditambah dengan kisah video porno yang juga kononnya dikaitkan dengan hubungan seks Ketua Pembangkang dengan seorang pelacur warga Cina. Saban hari dipaparkan, khususnya menjelang pilihanraya DUN Sarawak. Memang kebenarannya hanya Allah dan mereka yang terlibat dalam video tersebut saja yang tahu. Kalau satu ketika dahulu hal ini dikira tersangat janggal dengan budaya kita, nampaknya Utusan menjadi pelopor mempopularkannya.

Pemangkin Fikiran Rakyat ?
Utusan mungkin boleh dianggap tidak lagi melambangkan pemikiran dan kemahuan masyarakat Malaysia. Tagline Pemangkin Fikiran Rakyat seperti sudah tidak boleh digunapakai lagi. Utusan seperti hanya melambangkan mentaliti dan kemahuan pimpinan Umno yang sedang berkira-kira dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan datang.

Yang pastinya, pihak pembangkang dan para penyokongnya akan terus meningkatkan pemboikotan terhadap Utusan. Utusan bukan lagi akhbar media arus perdana, ia adalah tabloid lidah rasmi Umno. Kerajaan negeri Pulau Pinang umpamanya, telah melarang wartawan Utusan untuk masuk membuat liputan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Apakah nasib Utusan selepas ini ?

Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.