Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Umrah Keluarga 2011 : Umrah Pertama Dengan Pelbagai Cabaran

1 Jun 2011 – Memasukki Makkah Dengan Penuh Cabaran

Memang terasa suntuk masa di Madinah. Terasa masih belum puas di Masjid Nabawi. Tengahari ini sudah nak berangkat ke Makkah. Tapi kalau tak ke Makkah, tidak kerjakan umrahlah namanya. Beberapa perkara nak kena selesaikan sebelum berangkat. Shoppingnya belum habis terutama yang kiriman serta ziarah wida’.

Beberapa ketika selepas solat suboh, kami berjalan bersama ke hadapan Masjid Nabawi sehingga di hadapan Perkuburan Baqi’. Sekaligus melalui kubah hijau yang dibawahnya makam Rasulullah s.a.w dan kira ziarah selamat tinggal kepada Rasulullah s.a.w khususnya bagi yang perempuan. Bagiku, aku berhajat untuk lakukan sebelum zuhor nanti, sebab aku bercadang nak masuk Raudhah lagi nanti.

Seperti biasa, perempuan tidak dibenarkan masuk kedalam kawasan Perkuburan Baqi. Tapi aku dah masuk kelmarin. Kami hanya berdoa dari luar sahaja. Agak ramai juga orang ketika ini, maklumlah ini masa ziarah kubor Baqi dan cuaca masih belum begitu panas.

Keindahan Payung Terbuka
Dalam perjalanan pulang ke Hotel Penginapan, payung di sekitar Masjid Nabawi terbuka. Ia dikatakan menunjukkan waktu Dhuha telah masuk, begitulah sebagaimana aku dimaklumkan.

Nampak cantik, terbuka secara perlahan-lahan sehingga terbuka keseluruhannya.

Hari Ulang Tahun Kelahiranku
Aku rasakan hari ini sepatutnya hari yang istimewa. Bukan kerana hari ini Hari Ulang Tahun Kelahiranku, tapi ini kiami akan masuk ke Makkah. Beradanya kami sekeluarga di sini merupakan satu hadiah dariku untuk semua. Semoga ada manfaatnya, insya’allah. Semasa sarapan, aku menerima ucapan selamat hari lahir dari ahli keluargaku. Selepas sarapan aku dapat bekalan pil Panadol dari al-Ustaz mutawwif. Agak lega sikit dari demamku, Alhamdulillah. Aku perlu berkeadaan sihat dan kuat sebelum memasukki Makkah petang atau malam ini kerana sampai saja kena terus buat umrah.

Lepas sarapan pagi, kami keluar pergi shopping lagi. Kali ini targetnya kedai-kedai di bawah tanah di beberapa hotel berhampiran Masjid Nabawi. Disini banyak pilihan, harganya pun ok dan sejuk sikit kerana ada air-cond berbanding kedai-kedai di atas dan tepi jalan.

Dapat tukar duit dikedai pengurup wang, RM 100 = SR 121. Duit RM kita lebih tinggi nilainya dan secara tidak langsung keupayaan berbelanja juga jadi lebih tinggi. Apabila membeli selalunya sifir dharab 0.8 atau 0.85 digunakan. Kalau rasa berbaloi, maka belilah.

Ketika dalam perjalanan balik ke hotel, aku lihat kekecohan berlaku di tempat jualan lambak terbuka. Ada yang sibuk menyelamatkan diri dan jualan lantaran pihak berkuasa sedang membuat rondaan penguatkuasaan. Memang jualan lambak yang terbuka itu tidak dah ikut undang-undang tempatan, sama seperti di negara kita lantaran bukan di tempat yang dibenarkan dan entah-entah takde lesen pun.

Sampai hotel terus siap berkemas dengan tambahan barangan yang baru dibeli. Alah, bukannya banyak pun. Lagipun barangan nak kena letak di luar bilik hotel, sebelum diangkat ke bawah.

Raudhah Lagi
Setelah bersiap, kami ke Masjid Nabawi awal sikit. Maklumlah ini kali terakhir ke sana. Entah bila dapat datang lagike sini. Semoga diberikan peluang untuk kembali ke sini semula.

Aku ambil kesempatan untuk masuk ke Raudhah. Kali ini nampaknya sukar dan berasak sikit dengan orang ramai. Tidak seperti kunjungan akau dua hari lepas. Sedang aku menunggu mencari peluang dan giliran untuk masuk, tetiba aku ditegur. Argh, rupanya Bilal Surau As-Syakirin, Ustaz Amiruddin menyapa. Ok, memang aku tahu beliau dan keluarga datang umrah beberapa hari setelah keberangkatanku.

Aku dapat ruang di Raudhah tetapi agak sempit. Tapi orang disebelahku menyempitan keadaan, sedangkan dia duduk saja. Tak nampak pun sama ada solat, zikir atau mengaji. Apabila sujud dan duduk antaranya, sempit dengan kaki lutut orang sebelah. Tak mengapalah, aku manfaatkan ruang yang ada.

Ziarah Wida’
Kemudian aku keluar dari kawasan Raudhah dan menuju ke Makam Rasulullah s.a.w melalui kawasan Imam. Nampak penuh sekitar kawasan Imam, kelihatan juga rasanya berpuluh microphone di bahagian atas ( barangkali untuk ketika Imam berdiri ) serta di bahagian bawah ( barangkali untuk ketika imam duduk atau sujud ).

Sebagaimana biasa, orang ramai di hadapan makam Rasulullah s.a.w. Masih juga ramai yang berdoa menghadap makam Rasulullah s.a.w.

Ya Allah kurniakan aku dan keluargaku syafaat Rasulullah s.a.w pada hari akhirat nanti. Berilah aku kekuatan untuk melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w. Terimalah amal ibadah dan doaku semasa aku berada di sini. Berilah peluang untuik aku kembali ke sini suatu masa nanti. Amin ya rabbal ‘alamin.

Zuhor Terakhir Di Masjid Nabawi
Walaupun terasa agak panas, namun payung yang terbuka di sekitar Masjid Nabawi sedikit sebanyak dapat memberikan keteduhan kepada jemaah ketika menghampiri Masjid Nabawi.

Sebagaimana biasa, sebelum masuk zuhor, sempat aku mengaji. Nampaknya target untuk aku habiskan 80 muka surat al-Quran sehari sukar untuk dicapai. Banyak masa dihabiskan untuk ziarah dan tawaf kedai nampaknya. Lagipun macam aku kata tadi, masa di Madinah agak suntuk. Kecualilah skip ziarah dan shopping.

Jadi aku habiskan masa dengan mengaji sebelum masuk zuhor dan sementara menunggu solat setelah azan berkumandang. Aku teruskan hajat untuk khatam sekurang-kurangnya sekali sepanjang berada di tanah suci.

Bergerak Ke Makkah
Selesai solat terus balik ke hotel untuk makan tengahari. Wah, nampaknya juadah best hari ini. Nasi arab, tapi tak macam kat Restoran SABA Cyberjaya pun.

Selesai makan tengahari, akupun bersiap mandi sunat ihram. Beg telahpun dibawa turun ke lobi hotel agaknya, lantaran sudah tiada dari muka pintu bilik. Akupun mengenakan pakai ihramku yang ku bawa hanya satu set sahaja. Itulah set yang hanya sekali digunakan semasa wukuf di Arafah dahulu.

Dulu aku bawa dua set, tetapi set satu lagi aku tinggalkan entah di mana, kotor sangat lantaran khemah wukuf yang basah selepas hujan lebat turun. Aku kira untuk umrah kali ini, cukuplah dengan satu set. Targetnya kali ini supaya dapat buat umrah sekurang-kurangnya 4 kali, maknanya selang sehari semasa di Makkah.

Bas tiba jam 2.15 tengahari. Aku terus naik dan booking untuk enam tempat duduk berhampiran. Tetapi setelah mendapat tempat duduk, bukan main lama kami terpaksa menunggu dalam bas. Entah apa yang ditunggu sedangkan barangan telahpun dimasukkan ke dalam perut bas. Hampir jam 3.00 petang baru bertolak.

KU memperkenalkan Ustaz yang akan bertindak sebagai mutawif bagi anggota kumpulan dalam bas kami kami naikki, iaitu Ustaz Sazwan. Nampaknya slang Indonesianya pekat sekali. Bas B yang kami naikki disebutkan sebagai ‘Bes Bay’. Jenuh nak fahaminya mula-mula. Ketika berangkat keluar dari Madinah, ustaz membacakan doa sepatah demi sepatah untuk kami ikuti.

Miqat Di Bir Ali
Sampai di Bir Ali, kami pun turun. Banyak bas kelihatan di kawasan berdekatan masjid ini. Memang inilah tumpuan jemaah umrah dari Madinah. Al-Ustaz memperingatkan kami untuk solat tahitul masjid dan sunat ihram. Ustaz memperuntukkan 20 minti sahaja, sedangkan waktu asar ada kira-kira 25 minit lagi masuk.

Sebaik sahaja habis solat sunat ihram, azan waktu Asar berkumandang. Aku pun ikut sahaja mana-mana jemaah yang buat solat asar secara berjemaah, tanpa perlu tunggu iqamat bilal. Kalau dah selesai solat Asar, lega sikit rasanya.

Selesai sahaja terus ke bas, bimbang ditinggalkan. Rupanya ramai yang menunggu di luar bas. Pintu bas masih berkunci. Ahli keluargaku pun dah ambil kesempatan solat asar sekali. Sekali lagi kami terpaksa menunggu lama dalam bas yang agak panas. Entah apa yang ditunggu lagi. Kesabaran kami terus diuji. Tak larat nak merungut. Kalau naik bas beginilah selalunya. Masak kami dibuatnya dalam bas.

Kira-kira jam 4.30petang kami pun bertolak. Kalau berjemaah ikut Imam Masjid pun sempat agaknya. Mesti ada sesuatu yang tidak kena. Sebaik mula bertolak, ustaz memperingatkan untuk sama-sama berniat Umrah. Bagi yang wanita, ada niat bersyarat.

Monyet Gurun
Dalam keadaan lalai melihat keadaan sekitar dari cermin bas, aku tertidur. Beberapa kali juga terbangun. Perjalanan sekitar 400km dan anggaran memakan masa sekitar 6 jam tentu meletihkan. Tiba-tiba menjelang gelap, bas kami berhenti sebentar di tepi jalan yang kelihatannya lapang dan tandus sahaja. Kelihatan ramai jemaah yang turun.

Rupanya al-Ustaz nak menunjukkan kepada kami satu lagi hidupan selain unta yang dapat bertahan di padang pasir, iaitu monyet gurun. Kelihatan banyak dan bergerombolan. Seolah-olah mereka menantikan makanan daripada jemaah yang berhenti di sana.

Memang menurut al-Ustaz, di padang pasir yang tandus, mana ada makanan. Monyet tersebut mengharapkan ihsan daripada jemaah yang berhenti. Malah ada jemaah yang biasa, sengaja membeli dan memberikan makanan seperti roti kepada monyer tersebut.

Keuzuran
Kemudian kami meneruskan perjalanan dan ketika hari telah gelap, bas kami berhenti di satu R & R untuk solat jamah Maghrib dan Isyak. Tiada makanan diberikan oleh TA untuk kami, beli aje di kedai yang terdapat di situ. Agaknya makanan di Makkah sedang menunggu.

Tiba-tiba dalam bas, salah seorang ahli keluargaku keuzuran, datang haid. Macamana, sedangkan sudah berniat ihram. Apakah kena teruskan patang larang sehingga bersih atau ada dam yang membebaskan diri daripada pantang larang yang 13. Dam yang macama mana pulak ?

Aku cuba tanya dimana al-Ustaz untuk dapatkan kepastian. Ada juga ustaz lain dalam rombongan kami, tapi beliau tidak pasti dalam bab ini. Jika mengikut buku semasa mengikut kursus umrah dengan TA, serta penerangan beberapa ustaz, sekiranya keuzuran datang sebelum tawaf dan saie, maka gugur dengan sendirinya jika niat bersyarat umrah diniatkan tadi.

Bagaimanapun untuk membebaskan diri daripada pantang larang, kena juga bertahallul dengan gunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut. Takpe nanti kami tanya ustaz atau ustazah semula apabila sampai di Makkah. Persoalannya kini yang bermain dalam kepalaku, sempatkah bersih untuk mengerjakan umrah nanti dalam jangkamasa 7 – 8 hari di Makkah ?

Makkah Yang Mengimbau Kenangan
Sebaik bas meneruskan perjalanan, al-Ustaz menyatakan kira-kira 2 jam lagi akan sampai di hotel penginapan. Tak sabar pulak rasanya. Lagipun dah terasa penat dan puas perjalanan dalam bas. Apakah ada kenaikan lain dari Madinah ke Makkah ? ERL or monorail ...

Hampir memasukki Makkah. Al-Ustaz mengejutkan sambil memberikan beberapa penerangan serta berdoa dengan doa memasukki Makkah. Seperti biasa, kami menuruti bacaan doa beliau patah demi patah.

Daripada bas, sudah kelihatan jam menara yang tersergam dari jauh, menunjukkan di bawahnya adalah Masjidil haram. Cantik menghijau menerangi suasana malam. Melintasi Masjid Aisyah di Tanaim, membuatkan aku mengimbas kenangan lalu. Itulah miqat paling dekat bagi penduduk atau sesiapa yang tinggal di Makkah untuk mengerjakan umrah.

Semakin hampir kepada Masjidil haram, kami melewati salah satu pintu dalam perjalanan menuju ke hotel. Hatiku semakin tidak sabar. Tidak sabar untuk sampai hotel,lagipun perut sudah lapar. Tidak sabar sampai nak masuk bilik penginapan dan tidak sabar nak selesaikan umrah malam ini juga.

Kalut Mencari Penyelesaian
Tiba sahaja di perkarangan hotel penginapan, Hotel Saraya Eiman, kami terus naik ke tingkat 4 untuk makan malam dan penyerahan kunci. Sedang duduk menantikan arahan aku bertanyakan KR hal anak perempuan ku yang keuzuran dalam perjalanan tadi. Dia kata kena dam untuk bebaskan tahallul, aneh bunyinya ! Aku tanyakan al-Ustaz mutawwif pula. Wah, ustaz kata agak berat ni, kena menjaga pantang larang sehingga bersih.

Lalu aku tunjukkan kandungan buku panduan umrah yang kami terima dari TA semasa kursus dahulu. Lalu dia kata cuba dapatkan pengesahan dari orang lain dahulu. Kami tanyakan juga seorang Ustazah pembantu mutawwif, ini soalan cepumas katanya. Ustazah juga cadangkan kekalkan menjaga pantang larang sehingga bersih, apa yang susah sangat katanya sebab rambut kalau gugur tak mengapa asal jangan dicabut, wangian nak buat apa sekarang. Ah, senang aje cakap.

Kalut juga nak cari penyelesaian. Kami bukannya nak cari yang mudah atau ringan, tetapi mengikut buku serta catatan kuliah lain pulak. Aku hubungi Ustaz Yahya di Malaysia untuk mendapatkan pandangan. Aku kira masa aku telefon tu, waktu Malaysia sudah 3 pagi, tapi Alhamdulillah al-Ustaz mengangkatnya. Memang Ustaz Yahya sudah pesan, tak mengapa call saja dari Makkah bila-bila masa, walaupun tengah malam.

Lantas isteriku bercakap dengan Ustaz Yahya dan mengesahkan apa yang kami fahami sebagaimana dalam buku panduan serta catatan nota. Ini yang kami pegang dan yakin dengannya. Segala cakap-cakap al-Ustaz Mutawwif, KR dan ustazah tadi kami abaikan. Kemudian al-Ustaz Mutawwif datang dan katanya terdapat pelbagai pandapat dan terpulang kepada kita. Kalau memilih lagi yang sukar, mungkin pahalanya lebih besar.

Kalut Lagi
Lepas makan, kami dibahagikan kunci. Apalah, aku tempah pakej sebilik dua orang dengan sebilik 4 orang, tapi yang diberinya dua bilik bertiga. Aku letih dan tak larat nak bantah. Di Madinah sudah aku ingatkan perkara ini, jangan berulang lagi. Memang kalut pengurusan TA ni. Tapi di Makakah kali ini bilik kami bersebelahan, berbanding di Madinah, bilik kami di tingkat yang berlainan.

Kemudian kami diberitahu beg angkat sendiri. Rupanya jemaah rombongan kami ditempatkan di tingkat yang berlainan. Memang geram dengan kekalutan pengursan TA ni. Lantas kami turun ke bawah untuk angkat barang sendiri. Memang sebahagian jemaah sedang mendapatkan bag masing-masing. Dalam masa yang sama kelihatan air entah dari mana mendekati kumpulan bag kami. Salah satu kotak barangan aku basah terkena air. Tambah geram ...

Lalu kami kumpul dan bawa naik bag ke bilik penginapan. Sebab ada beberapa bag tambahan, dua kali trip juga membawanya. Nampaknya jemaah lain juga turut merungut. Cakap tidak serupa bikin TA ni.

Terus Buat Umrah
Pihak TA ada memaklumkan lepas masuk bilik kumpul di lobi untuk melaksanakan urmah bersama-sama mutawwif. Aku rasa dengan kekalutan yang ada, nak tunggu pukol berapa semua dapat kumpul ? Sekarang sudah menghampiri 11.30 malam waktu Makkah. Lantas kami berlima pergi sahaja ke Masjidil Haram untuk buat umrah, aku jadi mutawwifnya.
Jarak hotel penginapan dengan pintu No 1 adala kira-kira 350meter. Senang aje nak cam jalannya sebab beberapa menara Masjidil Haram jelas kelihatan menerusi kecerahan cahayanya.

Sampai di Masjidil Haram, apabila terpampang sahaja Kaabah berdiri gagah di depan mata, aku jadi terharu. Allahu Akbar, Alhamdulillah aku dapat ke sini lagi. Syukur diberikan peluang ke sini lagi, walaupun pelbagai cabaran ditempuhi hari ini. Anakku kata macam tidak percaya, Kaabah kini ada di depan mata secara live.

Kami solat tahiyatul masjid, dan terus menuju garisan permulaan tawaf berlampu hijau. Aku jelaskan kepada anak dan ahli keluargaku, ikuti track sebagaimana dilantai bagi memastikan bahu kiri ke Kaabah. Jika hilang atau terputus, jangan pandang belakang. Sebaliknya teruskan perjalanan dan jumpa semula di bawah lampu hijau.

Aku bersama makku dan anak-anakku bersama isteriku, kami memulakan Tawaf. Memula kami bersama, tetapi kemudian terpisah dua. Orang tidaklah berapa ramai. Tawaf dilakukan dengan perlahan kerana sebenarnya agak kepenatan. Penat dalam bas, penat perjalanan yang panjang, penat menunggu dalam bas dan penat menguruskan bag. Mungkin sikit aje berbanding Rasulullah s.a.w atau orang dulu-dulu yang sudahlah jauh perjalanan, kenderaan tidaklah secanggih sekarang.

Dalam masa 40 minit selesai Tawaf. Aku dan makku tunggu anak dan isteriku di tempat sebagaimana dijanjikan. Kekira 10 minit, tak nampak muka, akupun teruskan perjalanan ke tempat Saie. Harapannya jumpa masa Saie nanti.

Selesai Umrah Pertama
Alhamdulillah, Saie dilakukan juga lancar. Kami lakukan Saie di tingkat bawah sekali. Orang tidaklah berapa ramai. Cumanya terasa kepenatan kaki. Beberapa kali dalam perjalanan aku berhenti minum air Zam Zam yang disediakan sepanjang perjalanan Saie.

Nampaknya Bukit Marwah masih seperti itu, Cuma Bukit Safa yang sudah dipagar cermin. Hanya boleh dilihat daripada luar sahaja. Masa aku pergi haji 2009 dahulu, pemagaran cermin belum dibuat. Hanya dipagar dengan plywood sahaja.

Dalam pusingan ke-6 aku Nampak isteri dan anakku. Rupanya mereka pun dalam pusingan yang sama. Nampak mereka laju sahaja berjalan, macam tidak terasa letih. Kami berkumpul semula dalam pusingan ke-7 dan sama-sama mengakhiri Saie dan bertahallul.

Sedang menggunting rambut, ada jemaah lain yang cuba meminjam gunting. Kami tak beri. Mereka macam berkata ‘why, what wrong’. Dah tahu nak buat umrah, gunting serial dua pun tak boleh bawak ? Bukan kami tak mahu bagi, kalu bagi nanti dikongsi-kongsikan dalam kumpulan jemaah mereka, tak kembali gunting tu atau kalau nak juga kena menunggu pulak.

Alhamudlillah, satu umrah selesai. Kami yakin dengan tawaf, saie dan tahallul yang dilakukan. Kami yakin dengan umrah yang ditunaikan. Kami segera balik ke hotel untuk bersih diri, rehat hilangkan kepenatan. Jam menghampiri 3.00 pagi. Subuh masuk 4.05 pagi dan nak kena datang lagi.

Klik Untuk Lagi Gambar Hari Ke-5
Share:

Umrah Keluarga 2011 : Ziarah Luar Dan Kekalutan

31 Mei 2011 – Ziarah Luar Kawasan Masjid Nabawi
Sebagaimana semalam seawal 3.00 pagi telah ke Masjid Nabawi. Selepas solat suboh, kami pusing-pusing singgah sebenar melihat jualan lambak yang terdapat di lorong dalam perjalanan pulang ke hotel. Agak riuh dengan gelagat penjual menarik perhatian pelanggan. Aku nak cari DVD mengaji yang memaparkan ayat yang dibaca serta tafsirannya di kedai berdekatan, tetapi tiada.

Selepas sarapan pagi, seperti di arahkan, kami berkumpul seawal 6.30 pagi di lobi hotel. Sambil menunggu kedatangan bas, kami jalan-jalan di kawasan sekitaran hotel. Payah juga TA nak menepati janjinya iaitu bas sampai jam 6.30pagi.

Sebenarnya banyak tempat hendak dilawati hari ini dan selalunya kena balik sebelum azan zuhor Masjid Nabawi supaya sempat jemaah zuhor di Masjid Nabawi. Akhirnya bas sampai dan bertolak jam 7.30. Itu pun pakai naik sahaja. Tempohari KU kata naik bas ikut nombor sebagaimana dari Jeddah ke Madinah. Tak tegas dan tidak boleh pakai cakap KU tempohari masa di Jeddah.

Masjid Quba
Sebenarnya di atas bas, kami disediakan Al-Ustaz berbangsa Indonesia sebagai pengiring serta pemandu pelancong. Dalam awal perjalanan, al-ustaz meraikan jemaah dan bertuahnya dapat menjadi tetamu Allah di tanah suci ini. Dalam ziarah yang dilakukan hari ini, beliau mengingatkan betapa perlu kita mengambil iktibar ke atas tempat bersejarah yang terdapat di sekitar Madinah.

Ketika menghampiri Masjid Quba barulah al-Ustaz menyatakan Rasulullah s.a.w sering solat sunat di Masjid Quba sebelum ketika solat 5 waktu difardhukan.Tiba sahaja kami pun turun sendiri menuju ke Masjid Quba. Al-Ustaz tidak menyebutkan apa kepentingan masjid ini, fadhilatya serta apa iktibar yang seharusnya diambil. Paling pelik tidak sebut pun berapa lama masa nak diambil untuk kembali semula ke bas.

Sebaik solat, kami mengambil gambar kenangan serta membeli di jualan pasar lambak yang terdapat di perkarangan masjid. Banyak betul jualan. Orang pun ramai yang datang. Sekurang-kurangnya kami sudah dapat 1 umrah sebelum sampai Makkah, iaitu fadhilat mengambil wuduk di rumah atau penginapan dan datang solat dua rakaat di Masjid Quba.

Tunggu punya tunggu, entah apa yang ditunggu, hampir 1 jam kami berada dalam bas sehingga terasa panas. Apakah kurang air-cond atau memang cuaca luar yang panas. Aku tanya Al-Ustaz di bawah bas, apa tunggu lagi, kami dah kepanasan air-cond tak ada. Baru gelabah dia. Aku tegur dia kenapa tak bagi tahu tadi berapa lama kena kembali ke bas. Dia minta maaf sebab terlupa. Kalut betul !!!

Ladang & Pasar Kurma
Sedang al-Ustaz menyebutkan bahawa perjalankita seterusnya ialah ke Bukit Uhud, tiba-tiba bas telah sampai ke persinggahan kedua iaitu Ladang Kurma. Apalah kalut sangat pengurusan ziarah ni. Ladang ini sama sahaja dengan seperti yang pernah aku singgah masa kerjakan haji dahulu.

Nampak tak ada beza sangat, kecuali kali ini kelihatan pokok kurma sedang berbuah dengan lebat dan masih hijau-hijau lagi buahnya. Masa singgah dahulu tidak buah langsung.

Ramai yang membeli di kedai yang terdapat di lading kurma. Tapi aku tidak berminat sangat, sebab aku target nak beli di Pasar Kurma yang berdasarkan kunjungan dahulu, memang lebih banyak pilihan serta harganya pun lebih murah.

Masa turun tadi diberikan masa 20 miniot sahaja, tapi hampir satu jam baru bas bergerak semula untuk ke destinasi seterusnya. Masih ada yang belum naik bas. Daolam bas sudah mula kepanasan. Hati pun mulai naik panas sama. Leceh betul, borong habis ke kurma di kedai tu ?

Bukit Uhud
Kemudian kami terus di bawa ke Bukit Uhud, Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh tidak singgah langsung. Aku perasan macam melaluinya saja, tapi al-Ustaz senyap sahaja. Sekurang-kurangnya sebutlah. Fail betul !!!

Sampai di Bukit Uhud, parking bas jauh dari kawasan yang kebanyak parking. Al-Ustaz kata 15 minit sahaja, tapi tengok dari jauh sahaja. Dalam pada itu aku ajak anak-anakku untuk kesana. Tapi mereka takut. Dalam masa yang sama ada yang suroh kumpul disana, ada yang suroh kumpol di sini. Kelam kabut sungguh, akhirnya tiada apa-apa penerangan yang diberikan.

Lantas kami diminta naik bas untuk ke destinasi seterusnya. Geram betul. Bagiku Bukit Uhud banyak pengajarannya dan banyak yang boleh dihayati khususnya dalam usaha memperjuang Islam. Aku berhasrat nak naik Bukit Al-Rumah, nampaknya kena datang lagi. Entah bila pulak.

Tapi dalam bas, kami kena tunggu juga sebab ada jemaah yang sudah terlepas ke Bukit al-Rumah, bersama mutawwif pengiring lagi. Grma betul. Memang kalut pengurusan ziarah hari ini. Perkara ini mesti ku adukan kepada pihak TA. Kalau setakat suroh tengok dalam bas, baik tak payah datang. Dari bilik hotel pun sudah nampak sebahagian Bukit Uhud dan kalau nak lagi jelas, tengok aje gambarnya kat internet !!!

Bukit Magnet
Dalam perjalanan, tiba-tiba aku tersedar dari tidur al-Ustaz berkata inilah kebesaran Allah. Rupanya bas sedang bergerak kebelakang dengan enjin bas dimatikan. Gerakan ini adalah disebabkan adanya tarikan magnet. Beberapa minit kemudian enjin bas dihidupkan dan terus bergerak kehadapan, tidak dapat nak berhenti untuk turun kerana sudah ‘lewat’. Tapi yang mana satu bukitnya ?

Ada pernah dengar orang cerita, pernah berlaku kejadian bas terpusing hilang kawasan di kawasan ini akibat tarikan magnet yang kuat. Bimbang juga. Setakat mana kekuatan tarikan magnet di sini. Apakah boleh tertanggal spek mata contohnya.

Lantas aku teringat tentang kedudukan Makkah yang dikatakan sebagai kawasan zon bebas magnet dan selayaknya menjadi rujukan standard dunia menggantikan waktu standard Greenwich Mean Time (GMT). Tapi rupanya jika di search melalui google, terdapat berpuloh lokasi di dunia yang mempunyai tarikan medan magnet seperti yang terdapat di Bukit Magnet di Madinah ini.

Padang Tandus
Lepas itu kami dibawa semakin jauh keluar dari Madinah merentasi kawasan lapang yang tandus tetapi dikelilingi dengan bukit-bukit batu yang kaw-kaw solid batu. Terdapat juga pokok-pokok yang tidak berapa banyak dahan dan daunnya tumbuh seperti ditanam secara tersusun.

Menurut al-Ustaz, pada waktu malam kawasan ini menjadi kunjungan penduduk Madinah dan sekitar untuk berkelah dan berehat. Dulunya pernah jadi tempat orang beruzlah. Masa kami lalu agak sunyi kawasan ini. Tidak dapat dibayangkan bagaimana kemeriahan waktu malam di kawasan ini dengan ketandusan kawasannya. Baik duduk kat Masjid Nabawi !!

Sampai disatu penghujung kami berhenti dan di sana terdapat beberapa kenderaan menjual ais-krim yang menjadi tumpuan kami yang memang sedang kahausan. Kemudian patah balik melalui jalan yang sama. Rupanya tadi memang dikira jalan mati.

Perladang Kurma
Jalan pulang meninggalkan Bukit Magnet tidak kalah menariknya, karena ada hamparan perkebunan kurma di sepanjang perjalananan sama ada di sebelak kira dan kanan jalan.

Terasa macam melalui ladang kelapa sawit. Kelihatan subur menghijau dan aku rasa ini menjadi penyumbang kepada industri kurma di Madinah, malah di dunia. Sekali sekala nampak perumahan mungkin juga ‘kilang’ dalam ladang kurma yang dilalui. Kalau singgah di sini pun bagus.

Kilang Percetakan Al-Quran
Orang ramai turun akupun ikut sama. Sebenarnya sudah kesal dan tawar hati dengan program Ziarah yang macam dibuat sekadar buat untuk memenuhi program, buat untuk melepas batuk titangga.

Kami jemaah lelaki diminta ambil wuduk kerana nak masuk kilang al-Quran. Jalan punya jalan, rupanya sampai saja di suatu pintu, kami hanya diberikan senaskah al-Quran oleh pegawai yang sedia menunggu dan kemudian patah balik.

Bagi jemaah wanita, diminta pergi di galeri [ameran yang turun menjual al-Quran. Ramai orang sana rupanya. Lagipun sejuk sebab ada air-cond. Pelbagai jenis cetakan al-Quran dipamerkan di sana. Tapi kami diminta bergerak segera sebab sudah menghampiri Zuhor.

Mungkin kami sampai sudah lewat nak masuk Zuhor. Itu yang kami tidak dapat masuk dalam melihat sendiri bagaimana Al-Quran di cetak di sini. Rugi jugak.

Terasa Panas
Masa singgah di Kilang Percetakan Al-Quran tadi mulai terasa peningkatan kepanasan, maklumlah sudah menghampiri Zuhor. Tiba hotel terus bergegas ke Masjid Nabawi, tidak mahu terlepas jemaah dengan ganjaran solat di Masjid Nabawi walaupun keadaan begitu panas.

Kepanasan begitu terasa ialah apabila membahang naik ke muka. Itu yang kadangkala tutup muka dengan kain serban yang aku bawa. Setakat mata boleh pakai spek clip on yang hitam tu. Angin yang bertiup masih tidak mampu meredakan keadaan. Tetapi bahang dari lantai sebelum masuk ke Masjid Nabawi betul-betul membahang naik ke muka. Beginikah yang dikatakan suhu 47 C ?

Suasana Masjid Nabawi
Aku mula terasa macam nak demam. Kena cari panadol ni. Apakah kafarah lantas asyik tidak puas hati dengan pihak TA. Entahlah.

Sebelum waktu asar ketika dalam Masjid nabawi, aku perhatikan sekitar suasana masjid yang bakal aku tinggalkan esok. Sebagaimana disebutkan sebelum ini, aku lihat suasananya tidak banyak beza. Lebih kurang sama sahaja, walaupun orangnya berbeza, jemaahnya berbeza.

Memang senibina, lampu, kipas serta hiasan masih sama, tetapi gelagat jemaah memanfaatkan masa dalam Masjid Nabawi, suka membentuk saf kat belakang dekat pintu, melintas hadapan orang solat dan berasakkan di Raudhah masih berlaku seperti itu juga. Mungkin ini gambaran bahawa umat Islam seluruh dunia sukar bersatu padu, masih leka dan masih mementingkan diri sendiri sahaja.

Taklimat Ke Makkah
Lepas solat asar, kami diberikan taklimat keberangkatan menujuk ke Makkah. Kami dikehendaki bersiap untuk naik bas pada jam 2.00 petang dengan pakaian ihram yang sesuai. Manakala barang-barang dikehendaki diletakkan di hadapan pintu bilik seawal 9.00 pagi untuk dibawa turun ke lobi oleh petugas hotel.

KU memaklumkan beberapa perkara larangan yang perlu dipatuhi apabila berada di Makkah supaya tidak berhadapan dengan tindakan daripada pihak penguatkuasaan. Antaranya larangan merokok di tempat terbuka dan jemaah wanita berjalan tanpa mahramnya termasuk dengan mutawwif khususnya pada malam hari.

KU minta maaf kerana terpaksa meletakkan jemaah di Hotel Karam sehingga menyebabkan jemaah tidak diletakkan di satu tingkat yang sama. Bagaimanapun menurut KU, para jemaah tidak perlu risau kerana akan ditempatkan di tingkat yang sama apabila berada dalam hotel di Makkah. Ini akan memudahkan petugas hotel mengangkat dan meletakkan di tingkat berkenaan.

Anehnya, pihak TA meminta pandangan para jemaah bagaimana hendak memastikan beg barangan dimasukkan ke dalam perut bas para jemaah. Katanya lagi mereka tidak mempunyai komputer serta printer bagi menyelesaikan tugasan ini. Apa ke jadah ??

Masa sampai di Jedah mula-mula tempohari, beria-ia KU minta jemaah naik no bas yang sama, sama ada semasa ziarah serta perjalanan ke Makkah. KU mencadangkan bagaimana kalau ikut Nombor Bilik ? Masalahnya bilik tidak semestinya ikut mahram, sebaliknya banyak ikut jantina. Tapi apa yang susahnya, kalau nanti ditempatkan di satu tingkat yang sama, ikutlah nak bas mana pun. Akhirnya pihak TA kata akan memikir mengenainya dan maklum kemudian.

Pasar Kurma
Nampak sudah tidak banyak masa. Sebiji kurma pun tidak beli lagi sedangkan target kami memang nak beli di Pasar Kurma yang terletak di sebelah hadapan Masjid Nabawi, berdekatan Masjid Al-Ghamamah. Maka lepas taklimat, kami terus ke Pasar Kurma.

Argh, terasa lemah lutut sebab agak jauh juga perjalanan. Aku masih ingat jalan ke sana sebab pernah mengunjunginya tahun 2009 dulu. Jam hampir menghampiri 6.00 petang dan orang ramai mulai berduyun ke Masjid Nabawi. Menghampiri pasar kurma aku tanyakan pemandu taxi yang sedang menunggu pelanggan, berapa SR untuk Hotel Karam, dikatanya SR50 ... alamak, padahal bukan bukan jauh sangat pun.

Berbanding masa aku pergi masa musim haji dahulu. Nampaknya kali ini tidak banyak kurma dan tidak banyak pilihan. Apakah hari sudah hampir petang atau kedai-kedai hendak mulai ditutup. Ada kurma yang lebih murah berbanding dengan di Ladang Kurma yang kami lawati pagi tadi, ada juga yang lebih mahal. Entahlah, pelik juga. Hajat nak cari kurma segar, tapi tidak ketemuan.

Lepas membeli beberapa kilogram pelbagai kurma, kami pun berpatah balik ke Hotel. Kira sampai juga hajat, walaupun tidak seberapa. Kami tahu di Makkah nanti sukar diperolehi, itu yang mesti beli di Madinah.

Packing
Malam lepas isyak, kami pun mulai packing sebagaimana diminta. Tapi tidaklah payah sangat sebab bukan banyak mana pun barang. Cuma yang penting nak pisahkan mana yang hendak dibawa dengan tangan dan mana yang dimasukkan dalam perut bas. Ini kerana berdasarkan taklimat tadi, sampai hotel terus makan, ambil kunci dan masukkan beg ke dalam bilik yang diletakkan di atas tingkat tempat penginapan masing-masing dan terus buat umrah yang pertama.

Klik Untuk Lagi Gambar Hari 4
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.