Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Umrah Keluarga 2011 : Umrah Dua Kali

09 Jun 2011 – Dua Kali Umrah

Bangkit 1.30 pagi untuk umrah lagi kali yang ke-4. Kali ini aku sedekahkan lagi untuk arwah ayahandaku. Hanya aku serta mak dan anak bungsuku. Pesan anakku, naik taxi Makkah juga. Beberapa taxi yang kami sapa, ada yang mengenakan SR20 pergi ke Tanaim dan SR20 balik semula Masjidil Haram untuk seorang. Ada yang SR50 untuk satu kereta, akhirnya dapat taxi yang menawarkan SR40 sahaja untuk pergi dan balik satu taxi.

Namun Alhamdulillah, perjalanan umrah dari tawaf dan saienya berjalan lancar sebagaimana biasa. Memang kelihatan orang agak ramai masa saie. Agaknya sebab malam sejuk, jadi orang lebih memilih waktu begini berbanding waktu siang yang agak panas. Seperti biasa habis umrah, ada masa untuk sambung dengan qimullail sebelum masuk suboh. Sampai hotel, aku diberitahu anak sulongku dah clear untuk buat umrah. Legaa ...

Makan Me Hoon Plastic
Apakah hendak diuji lagi kesabaran kami ? Mee Hoon yang dihidangkan macam plastic, tidak boleh dimakan. Komplen kat penyedia makanan tu, dia macam buat muka selamba aje. KR lalu membuiat tinjauan, lalu aku sapa sudah makan ke belum. Sudah makan Maggie kat bilik tadi. AKu minta KR rasa makanan yang disediakan. Kenapa tanyanya. Aku sarankan rasa ajelah, macam mee plastic aje. OK, nanti saya bagitau diaorang, jawab KR.

Orang sebelah meja makan ku kata, sambil bergurau tanyakan ada kuali ? Kalau ada nak kena masak sendiri ni. Mungkin merujuk kepada mee hoon yang dirasanya belum masak lagi, jadi nak kena masak semula.

Umrah Ke-5
Maka lepas sarapan dan berehat kira-kira jam 7.00 pagi, aku gagahkan diriku untuk bersama menemani anakku untuk mengerjakan umrah kali pertama. Dapat taxi yang menawarkan SR50 untuk pergi dan balik satu taxi. Nampaknya siang hari, taxi mudah diperolehi. Pemandu orang Pakistan, boleh cakap melayu setakat 10, 20, 30, 40, kiri, kanan dan terus .. ha .. ha .. Jika selalunya pergi Tanaim waktu gelap, terasa berbeza apabila perjalanan ke Tanaim waktu siang.

Walaupun agak panas, namun perjalanan tawaf dan saie kami agak lancar juga. Namun sebaik sebelum kami bertahalllul mengunting rambut, anakku gatal gosok matanya dan tercabut bulu matanya sehelai. Kenalah dam ... aduhai. Nasib baik mengaku dan nasib baik juga cuma sehelai.

Terasa penat jugak. Tapi Alhamdulillah, aku berpuas hati yang semua ahli keluargaku sempat mengerjakan umrah. Ini umrah ke-5 bagi ku. Rasanya kalau berkesempatan, nak juga pegi lagi buat kali terakhir malam ini.

Selesai jam 10.00 pagi, lantas ke kedai KFC di salah sebuah bangunan hotel berhadapan Pintu No 1. Walaupun disediakan dua kaunter berasingan untuk lelaki dan perempaun, tapi kaunter lelaki sahaja yang dibuka untuk semua. Tidak banyak pilihan menu, beli saja yang Set Plate berharga SR20 sebanyak dua set. Bawa balik dan makan bersama di hotel.

Berbanding di Malaysia, rasa ayamnya agak masin. Apakah pak Arab suka masin-masin. Habis makan KFC, terus bersiap untuk Zuhor di Masjidil Haram.

Selipar Oh Selipar ...
Dalam ratusaan ribu manusia mengunjungi Masjidil Haram, menguruskan selipar sendiri sebenarnya kelihatan mudah dan memang mudah. Tetapi sebab ambil mudah jadi berlakulah timbunan kasut dan selipar yang entah siapa tuannya. Kasut pula kadang tu hampir serupa sahaja rupa dan bentuknya. Menjadi satau masalah pula kepada pentadbiran Masjidil Haram.

Banyak rak-rak disediakan dalam Masjidil Haram, sama ada yang mudahaliah dengan nombornya atau yang tetap pada dinding atau binaan tertentu dalam masjid. Terpulang kepada kita bagaimana hendak menggunakannya.

Tetapi dalam kursus umrah rasanya hal ini tidak disentuh. Mungkin terasa mudah sangat ... Tak mengapalah, kalau banyak yang hilang kasut atau selipar, tentu akan meningkatkan lagi jual beli di kedai-kedai sekitar. Kilang pun akan bertambah productionnya ???

Taklimat Keberangkatan Dan Tawaf Wida
4.30petang kami diberikan taklimat mengenai urusan keberangkatan pulang. Argh ... sudah nak pulang rupanya. Sebelum itu, kami diberikan Tazkirah oleh Ustaz UTM Skudai mengenai tawaf wida, konsep yang pelaksanaanya. Ringkas tapi mantap.

Satu perkara baru, pengambilan gambar sebaik tawaf wida boleh membatalkan tawaf wida kerana tindakan mengambil gambar selepas tawaf wida tiada kaitan dengan urusan ibadat dan jemaah juga dianggap melengahkan perjalanan pulang. Tetapi perbuatan yang melancarkan perjalanan pulang atau keluar dari Makkah dibolehkan seperti buang air atau membeli makanan jika kelaparan. Tidur mengulor tidak dibenarkan tetapi tertidur kerana menunggu tak mengapa.

Kami dikehendaki melaksanakan tawaf wida sebaik solat suboh esok, manakala barangan diturunkan seawal 4 pagi. Boleh juga diobawa turun awal, tetapi dikumpulkan setempat mengikut robongan kami di lobi. KutipanSR20 seorang atau keluarga juga dibuat untuk memudahkan urusan penghantaran barangan bagasi. Bagasi yang dimasukkan di Jedah akan dituntut semua di KLIA.

Terpaksa juga aku jumpa KU untuk urusan bayar dam tercabut bulu mata anakku. Bayaran damnya bernilai SR15, sebagai gantian nilai makanan sehari untuk fakir miskin. Tapi nasib baik Tanya KU. Sebelum ini aku tanyakan petugas penghidang makanan kami, lantaran mereka orang sini dan agaknya tahu selok belok tentang fakir miskin yang boleh disampaikan dam yang dikeluarkan. Tapi dijawapnya damnya seekor kambing !!! Lorrr ... Mulalah syak aku yang bukan-bukan. Pendek cerita, tidak boleh dipercayai !!

Pekerja Malaysian
Sebelum maghrib aku ambil kesempatan menatap suasana orang tawaf dari tingkat atas. Memang ramai orang mengerjakan tawaf dan suasana seperti yang aku lihat ketika mengerjakan haji dahulu.

Besebelahanku dua pekerja Malaysia yang sedang bertugas di Jedah, datang menghabiskan hujung minggu di MH. Seorang sudah 6 bulan di Jeddah dan seorang lain sudah sebulan di sana. Aku rasa mereka sebahagian daripada orang luar yang datang dan sedang meramaikan Masjidil Haram ketika ini. Best juga kalau dapat kerja dekat-dekat sini, boleh selalu buat umrah atau ke Masjidil Haram.

Tapi tak tentu juga. Kadang kita di Malaysia, rumah depan masjid atau surau pun asyik tak menyempat nak solat berjemaah di surau walaupun tahu fadilatnya 27 kali ganda lebih pahalanya.

Last Minute Shopping
Ini merupakan malam terakhir berada di Makkah. Lepas tawaf wida’ dah tak boleh membeli di tanah haram. So kami ambil peluang lepas isyak untuk membeli mana yang cadang hendak dibeli bagi menghabiskan sisa duit SR yang ada dalam tangan.

Sebelum tidur, packing semua barangan untuk di bawa turun sebelum suboh nanti seperti yang diminta oleh TA. Tidaklah banyak mana barangan tambahan yang hendak di bawa pulang.

Klik Untuk Gambar Hari ke-13
Share:

Umrah Keluarga 2011 : Mencium Hajarul Aswad

08 Jun 2011 – Mencium Hajarul Aswad & Ziarah Tempat Lama

Argh, sedar-sedar sudah jam 4.30. Siaran langsung di TV menunjukkan solat Suboh sedang berlangsung. Ya Allah, apalah salah kami hingga tidak terkejut pagi ini. Tak bunyi ke alarm handphone memasing. Mungkin ada hikmahnya. Solat jemaah dikalangan ahli keluarga dalam hotel. Kalau ikut ‘fatwa’ Tabung Haji 2009, asal solat dalam tanah haram dapat gandaan pahala 100,000 kali juga.

Aku termenung sebentar, apakah yang Allah hendak tunjukkan kepada kami. Apakah sebab terlalu keletihan akibat kepanasan yang ‘mengiler’ semalam. Atau doa serta amalan kami selama berada di tanah suci ini tidak ‘kemana’.

Lantas aku mengambil keputusan ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf sunat selepas sarapan pagi. Jam 7.00 pagi aku ke Masjidil Haram. Seperti biasa, setelah solat tahiyatul masjid, sunat taubat dan hajat, aku pun tawaf. Walaupun mulai terasa panas, tapi rasanya tidak ada masalah sangat. Orang pun tidaklah berapa ramai. Aku pernah berhasrat untuk ke Hajarul Aswad jam 3.00 petang. Ini kerana sebelum ini aku lihat kekira jam 3 petang orang memang teramat kurang di Masjidil Haram, namun ketika itu panas pulak.

Selesai tawaf, aku berjaya memasukki Hijir Ismail dan seterusnya mengusap rukun Yamani. Dalam perjalanan keluar, aku lihat keadaan seperti tenang di kawasan ramai berhampiran Hajarul Aswad. Akupun ambil keputusan merapatinya dan terus bernekad. Mungkin inilah harinya untuk aku dapat mengucup Hajarul Aswad.

Mengucup Hajarul Aswad
Aku semakin menghampiri kelongsong perak yang terletak dalamnya Hajarul Aswad. Aku tanggalkan cermin mata dan masukkan dalam beg sandangku. Bimbang kalau terjatuh, tentunya akan terpijak-pijak dalam asakan orang ramai. Keadaan yang tenang tadi tetiba bertukar menjadi menyesakkan. Himpitan orang ramai yang berasak untuk mendapatkan peluang ke Hajarul Aswad semakin kuat terasa. Aku kuatkan dirikan, kuatkan pertahananku. Aku bernekad bahawa inilah harinya, Ya Allah berilah ku peluang kali ini. Allahu Akbar, Allahu Akbar aku bertakbir bersama beberapa jemaah lain.

Dalam asakan yang semakan kuat, akhirnya kelongsong perak dengan Hajarul Aswad betul-betul di hadapan ku. Aku masukkan tangan kananku sebagaimana dianjurkan untuk mengusap-usapnya. Kelihatan seperti beberapa kepingan batu kecil di permukaan lantainya. Tetapi seingatan ku, selain yang berwarna hitam, ada yang kelihatan berwarna biru. Betulkah biru ? Apakah sebab sinaran matahari, biasan atau silauan mataku ? Tetapi batu tersebut tidaklah begitu timbul sebagaimana aku bayangkan sebelum ini, iaitu seperti batuan yang timbul di trek urutan terapi kaki.

Lantas aku tekupkan mukaku ke dalam kelongsong perak tersebut. Terasa beberapa batu berjaya aku sentuh dan kucup dengan bibirku. Daripada lapan kepingan batu, tidak pasti berapa yang berjaya dilakukan. Tidak sempat nak kira atau mungkin payah nak kira. Di belakang orang terus menolak-nolakku. Selesai, aku keluarkan kepalaku. Lantas aku memijakkan kaki kananku di binaan Syahzarwani di kaki Kaabah. Dengan satu tolakkan ke belakang, aku berjaya mengeluarkan diriku dari asakan jemaah yang ramai dibelakangku. Kelihatan jemaah lain menyerbu masuk cuba menggantikan tempatku.

Semuanya berlalu dengan pantas. Aku keletihan dan berpeloh-peloh sehingga basah jubahku. Lantas aku mencari ruangan di lantai Kaabah untuk solat sunat selepas tawaf dan duduk merehatkan diri. Ya Allah, apakah nikmat yang aku perolehi daripada mengucup Hajarul Aswad dalam keadaan yang baru aku alami tadi ? Tak mengapalah, terseraah dan terpulanglah kepadaMu ya Allah untuk menilainya.

Seterusnya, aku mencari tempat yang agak stategik untuk merehatkan diri. Aku berhenti di salah satu tangga yang agak lenggang dengan Kaabah betul-betul kelihatan dihadapan tanpa terselindung. Sambil sesekali memandang Kaabah, aku meneruskan bacaan al-Quranku.

Keistimewaan Hajarul Aswad
Hajarul Aswqad dianggap batu yang punyai kelebihan dan ketinggian khusus yang tiada pada batu lain. Ia pernah dikucup oleh Rasulullah s.a.w. dan para nabi dan rasul sebelumnya. Ia menjadi tempat pertemuan bibir orang soleh dan para jemaah haji dan umrah sepanjang umur sejarah.

Terdapat beberapa hadis yang menyebutkan bahawa mengucupnya akan dapat menghapuskan dosa kecil sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Mengusap Rukun Yamani dan mengucup Hajarul Aswad dapat menghapuskan kesalahan (dosa)” ( H.R Tirmidzi )

Rasulullah s.a.w. juga bersabda, “Demi Allah, Allah s.a.t akan membangkitkannya pada hari kiamat kelak, baginya dua mata. Dia akan melihat dengannya dan baginya lidah yang mampu berkata-kata menjadi saksi kepada sesiapa yang mengusapnya dengan kebenaran.” ( H.R Tirmidzi )

Rumah Kelahiran Rasulullah s.a.w
Kira-kira jam 9.30 aku beredar untuk ke kawasan yang pernah dan sering aku kunjungi semasa mengerjakan haji tahun 2009 dahulu. Mula-mula aku singgah di bangunan yang dinamakan Perpustakaan Rasulullah, yang dibina di atas tanah yang pernah menjadi tempat kelahiran Rasulullah s.a.w.

Tak tahulah apakah nasib bangunan ini akhirnya dengan sekitaranya telah dibangunkan. Aku ada pernah terdengar cerita dari jemaah lain yang ada usaha hendak merobohkannya. Tetapi gagal dan ada saja halangan terhadap jentera jentolak yang hendak merobohkannya. Apa salahnya jika bangunan ini dikekal atau disubahsuai supaya nampak setaraf dengan pembangunan sekitarnya ? Aku kira banyak lagi bangunan sejarah di sekitar Masjidil Haram yang tidak berkaitan dengan ibadah Haji telah dimusnahkan oleh pemerintah.

Tempat mengambil air zam zam yang berada di sebelah bangunan tersebut, masah berkeadaan seperti dahulu. Walaupun tidaklah ramai orang mengambil air zam zam ketika aku disana, namun kerja-kerja pengambilan tetapi diawasi oleh pegawai keselamatan masjid. Air zam zam di sini boleh diambil secara percuma dalam bekas yang besar yang dibawa sendiri.

Masjid Kuching Tiada
Dalam aku berjalan kaki menuju kawasan lama yang pernah aku tinggal masa mengerjakan haji dulu, aku lihat banyak telah berubah. Banyak kedai dan hotel berdekatan telah tiada kerana telah dirobohkan.

Hanya kawasan lapang jadinya. Di sini dulu popular dengan kedai bukunya yang sering memainkan lagu La Taiban, kedai ais kerim selain kedai ayam goring KFC dan bazar ala-ala bazar Arked Mara Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Begitu juga Masjid al-Rayah atau dikenali sebagai Masjid Kuching oleh jemaah Malaysia. Kedai-kedai yang terdapat berhampiran dengannya telah tiada, termasuk Kedai Melayu. Ianya kini lapang dan menjadi pejabat tapak bagi pembangunan yang sedang berjalan. Tidak dapat dipastikan kenapa dipanggil Masjid Kuching oleh Jemaah Malaysia.

Ziarah Tempat Lama
Seterusnya aku teruskan lagi ke kedai-kedai berhampiran tempat masa aku pergi haji dulu. Nampaknya tidak banyak berubah, seperti itu juga kekal dan tidak dirobohkan. Kebanyakkan kedai-kedainya masih wujud dan beroperasi. Cuma orang sahaja yang tidak berapa ramai. Maklumlah bukan musim haji. Aku cuba cari buah delima dikedai-kedai yang pernah aku beli dahulu. Nampaknya tidak terjual, diluar musim barangkali.

Singgah di beberapa kedai untuk membeli permaidani corak ala-ala Raudhah serta kopiah di kedai borong kopiah. Selalunya kopiah yang ada di sini ialah buatan China dan Bangladesh. Namun kali ini banyak kopiah Malaysia turut di jual. Kiranya ada juga barangan buatan Malaysia dijual di Makkah.

Memang mulanya makku pesan nak beli kopiah Malaysia ni, tapi tak sangka ada jual di sini sebab sebelum ini aku ingat boleh dapat dengan murah di Pasaraya Mydin saja. Ada seorang jemaah dari Kemaman beli satu kodi ( 20 unit ). Aku tanya, mengapa beli di sini. Jawabnya, nak dapat barakah Makkah. Harganya sekitar SR28 – SR30. Akupun beli beberapa sebagai kenang-kenangan selain yang mak ku pesan tolong belikan.

Tempat Nyaman Di Masjidil Haram
Untuk solat Zuhor hari ini, aku ke tempat yang dikatakan ada aircond oleh al-Ustaz semasa Tazkirah semalam. Aku masuk di pintu no 39. Wah memamg sejuk dan nyaman suasananya. Sudah nak balik balru tahu ada tempat sesejuk begini. Terasa macam di Masjid Nabawi. Ketika kami sampai orang tidak berapa ramai lagi.

Tetapi masalahnya, berada di sini, tidak nampak langsung binaan Kaabah. Aku cuba juga beralih mencari-cari tempat yang boleh nampak, tetapi hanya nampak sikit sahaja. Tidak mengapalah, lain kali. Memang selesa dan mengaji pun boleh tenang dan lancar.

Mungkin kerana kenyamanan di sini, nampaknya ramai yang mengambil peluang berbaring, lena dan lepah-lepak sambil berehat menunggu masuk waktu Zuhor. Tetapi satu lagi masalah ialah apabila masuk waktu solat, walaupun orang semakin ramai, namun kelihatan terputus saf dengan kumpulan saf di hadapan iaitu di tempat yang tiada hawa dingin. Dah sedap nyaman di tempat berhawa dingin, payahlah nak beralih ke tempat lain.

Begitu juga semasa waktu asar, kami pun memasukki kawasan ini. Kenapa baru sekarang kami mendapat maklum tentang adanya kawasan ini. Mungkin pernah tahu tapi tidak terlintas nak pergi atau sebab agak jauh sikit daripada pintu masuk yang selalu kami gunakan untuk masuk ke Masjidil Haram.

Sempat Satu Umrah ?
Hanya tinggal beberapa hari untuk berada di Makkah, aku mulai bimbang sama ada seroang dari anakku uzur semasa dalam perjalan ke Makkah tempohari, sempat ‘clear’ untuk mengerjakan umrah. Tak kan nama saja pergi umrah, tetapi tidak sempat buat umrahwalaupun sekali di Makkah.

Biasanya seminggu clear. Aku kira masuk memang disengajakan oleh mana-mana TA bahawa jumlah hari berada di Makkah ialah sekurang-kurangnya 7 atau 8 hari. Ini menjadikanpakej umrah dalam masa dua minggu atau 13- 14 hari. Tetapi bagaimana pula ada pakej yang sediakan cuma 9 atau 10 hari. Mungkin pendek masa di Madinah, sekadar sempat ziarah makam Rasulullah s.a.w.

Klik Untuk Gambar Hari Ke-12
Share:

Umrah Keluarga 2011 : Umrah Ke-3 Dan Panas Giler !!

07 Jun 2011 – Umrah Ke-3 Dan Panas Giler

Bangun awal untuk Umrah kali ke-3. Tetapi hanya tinggal bertiga sahaja. Yang lain keuzuran. Aku ambik keputusan untuk tidak bawa kamera kali ini. Kalau ada apa-apa pun harapkan handphone ku saja. Makumlah, semalam pun sudah kena rampas. Nasib baik dapat semula. Sampai sahaja di bawah hotel, lalu sebuah kereta agak burok menawarkan perkhidmatan taxi untuk ke Tanaim. Tanya berapa rial, dijawabnya dalam bahasa Arab. Yang aku fahami pergi dan balik SR10 sahaja. Yealah kereta buruk macam tu, takkan nak caj mahal. Entah macamana aku setuju dan kami pun naik.

Alamak, bukan main panas dalam kereta. Tingkap tak boleh tutup. Aircond tak ada, kerusi pulak burok sangat. Sungguh tidak selesa. Dalam kereta kami senyap, agaknya senyap kerana menahan kesiksaan naik taxi ini. Sampai sahaja di Tanaim, pemandu tu berkata seolah-olah kami kena bayar SR10 untuk pergi dan SR10 balik setiap seorang. Sudah jadi SR60 semuanya. Ini tidak boleh jadi, kata hatiku. Lalu aku bayar aje SR30 untuk tiga orang dengan harapan kami tidak akan naik semula kereta ini. Tidak padan dengan keadaan kereta !!! Berdasarkan pengalaman, aku tahu ada banyak kenaikan lain boleh didapati di Masjid Aisyah ni untuk kembali ke Masjidil haram.

Lepas solat sunat ihram, aku sapa seorang pemandu yang sedang mencari pelanggan untuk ke Tanaim. Lalu aku tanya berapa rial, memula dijawabnya SR10, tapi aku berikan isyarat tanganku bagi menunjukkan SR5 setiap seorang. Halal halal kata beliau, maka aku pun setuju. Maka kami pun menaiki van lain dari Tanaim kembali ke Masjidil Haram. Aku Nampak kereta burok tadi masih ada, agaknya menunggu kami. Ah, peduli apa.

Van memuatkan kira-kira 10 orang. Kami dihentikan untuk kami turun berdekatan dengan Pintu Umar Abdul Aziz, ok juga. Tidak pernah ikut pintu ini. Aku bayar saja SR 15 untuk 3 orang. Tapi anakku bising merungut, lain kali jangan naik kereta buruk macam itu. Naiklah taxi putih Makkah yang biasa tu.

Masuk Hijir Ismail
Kami dapat selesaikan tawaf dengan lancar seperti biasa. Sebaik selesai pusingan ke-7, kami mengikuti arus ramai sambil mendekat Kaabah dan cuba masuk ke dalam Hijir Ismail. Ia merupakan kawasan di dalam binaan setinggi 1.5 meter berbentuk separa bulat. Menurut beberapa hadis, solat di dalam kawasannya bermakna solat di dalam Kaabah dan merupakan antara tempat mustajab berdoa.

Orang memang bersesak dalam Hijir Ismail. Kami bertiga berjaya masuk tetapi belum dapat ruang untuk solat. Tetapi makku macam kurang selesa dan tersepit dalam kesempitan asakkan orang ramai. Lalu aku mintanya tunggu di luar tempat masuk tadi.

Akhirnya aku berjaya dapat tempat dan juga anakku. Seorang jemaah yang habis bermunajat, beredar dan memberikan ruang kepada ku tetapi meminta anakku berada di belakang bersama jemaah perempuan lain. Tidak dibenarkan dalam Islam katanya dalam bahasa Inggeris. Betul juga. Tetapi Alhamdulillah, dapat solat sunat dan berdoa dalam Hijir Ismail dalam keadaan yang agak selesa jugak. Tetapi tidak sempat nak baca doa sebagaimana dalam buku yang aku bawa. Semoga Allah menerima doa kami.

Mengusap Rukun Yamani
Keluar dari Hijir Ismail, mak aku sedang menunggu. Kami berpeluang menyentuh kelambu kaabah yang hitam tu. Aku kira sama saja seperti pernah ku sentuh dulu. Kelihatan ramai orang yang sedang meratap dan mendakapi kelambu Kaabah. Tetapi yang kami cari ialah Rukun Yamani yang terletak di bucu terakhir mengikut pusingan tawaf sebelum rukun Hajarul Aswad.

Terdapat hadis yang menyebutkan, ‘Mengusap Rukun Yamani dan mengucup Hajarul Aswad akan menghapuskan kesalahan ( dosa ) ( H.R Ahmad ).

Manakala dalam sebuah hadis lain, dari Ibn Umar r.a, telah bersabda Rasulullah s.a.w, ‘Sesungguhnya mengusap Hajarul Aswad dan Rukun Yamani menghapuskan dosa-dengan sungguh-sungguh’ ( H.R Bukhari ). Itu yang kami cari dan akhirnya dapat dengan mudah sekali. Tidak ramai orang di sana, sebaliknya tumpuan ramai tetap di Hajarul Aswad.

Anakku tanya, tak mahu cuba ke abah. Lain kalilah. Nak masuk ke Hajarul Aswad dengan berihram, bimbang terlerai pulak kain ihram dari badan. Alhamdulillah dapat masuk Hijir Ismail dan dapat mengusap Rukun Yamani. Apakah ini balasan Allah s.w.t atas kesabaran dengan kesusahan yang dialami semasa menaikki taxi tadi ?

Anakku kata tangannya tersentuh dengan tangan lelaki lain semasa mengusap Rukun Yamani tadi. Jadi nak kena ambik wudhu nampaknya sebaik selesai umrah. Itu tidak menjadi masalah lantaran penghujung umrah nanti ialah di Bukit Marwah dan itu berdekatan dengan bilik air.



Shopping Lagi
Lepas sarapan pagi, kami berjalan ke Makkah dan Safwah Tower untuk melihat-lihat apa lagi yang boleh dibeli di kedai-kedai yang terdapat disana, sambil jalan-jalan. Dah beberapa kali nak ke sini, tapi tergendala sahaja. Kedua-dua tower tersebut mempunyai kompkeks membeli belah selain hotel di atasnya. Nampak agak mewah kedai-kedai di Makkah Tower, tetapi ketika kami di sana masih banyak kedai yang belum dibuka. Masih awal ke ?

Aku berjaya draw duit dengan ATM Bank Ar-Rajhi yang terdapat di sini. Aku sebenarnya perlukan cash. Kebanyakkan kedai-kedai pulak tidak nampak ditampal tanda yang mereka menerima pembayaran menerusi kad kredit.

Kedai-kedai di kompleks Safwa Tower, walaupun banyak kedai telah dibuka, tetapi tidaklah ramai pengunjungnya semasa kami di sana. Boleh survive ke peniaga di sini ? Entahlah, apakah orang belum bangun tidur atau memang kurang pengunjung kerana menjangkakan harga barangannya lebih mahal berbanding daripada tempat lain. Yealah nak cover bayaran sewa yang tentunya mahal berbanding kedai-kedai biasa.

Melihat barangan yang terjual, tidak ketemu pun mana yang buatan Malaysia. Yang banyaknya barang buatan China, Bangladesh, India, Indonesia, Thailand dan Turki. Sedangkan jemaah haji atau umrah dari Malayisa bukan main ramai. Apakah barangan Malaysia tidak mencapai standard atau ada kelas yang tersendiri. Kalau nak ikutkan, barangan China yang terdapat di sini pun walaupun memamg murah tetapi kualitinya tidaklah bagus sangat. Namun umum mengetahui kos buroh di China memang murah. Itu yang jubah-jubah Made in China di sini murah-murah berbanding yang dijahit di Arab Saudi.

Sana sini, asyik kelihatan orang Malaysia saja. Sehingga anakku bertemu dengan ex-classmatenya. Apakah kerana orang Malaysia kita suka shopping ? Atau suka shopping di tempat-tempat seperti di Makkah atau Safwah Tower berbanding kedai-kedai tepi jalan.

Habis shopping kami minum-minum di Restoran D’Saji Felda lagi. Setelah kesejukan berada dalam bangunan Safwa Tower, terasa panas apabila keluar bangunan untuk berjalan pulang ke hotel penginapan.

Wifi Percuma
Beberapa kali sempat aku update blog maklimah.blogspot serta hantar berita dalam www.saujanautama.net menerusi kemudahan internet percuma yang terdapat di lobi hotel sahaja. Mereka menggunakan ‘sekuriti key’. Nak dapat memula dulu bukan main seksa, sebab orang di kaunter hotel tidak faham English, apatah lagi Melayu.

Anak-anakku pun ambik kesempatan sama berkongsi dengan netbook yang dibawa. Sengaja aku bawa netbook untuk memudahkan aku membuat cacatan perjalanan Umrah ini dan save gambar-gambar yang dibawa. Masa aku ke Makkah menunaikan haji dahulu, tiada kemudahan Wifi di hotel penginapan. Mungkin zaman telah berubah, wifi jadi seperti keperluan. Lagi pun masa tu aku belu memiliki netbook.

Tazkirah II
Selepas solat asar, diadakan majlis tazkirah yang disampaikan oleh ustaz yang sama tempohari iaitu Ustaz Adli, pensyarah UTM. Dalam ceramahnya al-Ustaz meminta kita menyemak kembali niat mengapa kita berada di sini, asas serta tanggungjawab utama iaitu penyembahan kepada Allah.

Al-Ustaz juga mengingatkan dengan pelbagai bentuk ujian dan cabaran yang tempuhi. Walau pakej harga berapa pun, cabaran dan ujian tetap ada. Tidak perlulah datang kesini dengan ego diri. Apa yang perlu ialah sejauh mana kesabaran kita menghadapinya. Selain daripada itu, al-Ustaz memberikan tips bagaimana nak rasa sejuk dengan air-cond di Masjidil haram.

Mengakhiri tazkirah, ustaz menyebutkan beberapa tips untuk mencium Hajarul Aswad. Antaranya solat taubat, solat hajat dulu serta memohon doa kepada Allah sebelum merapati tempat Hajarul Aswad berada, mengikut arus jemaah tawaf. Tanamkan juga keyakinan pada diri. Kata al-Ustaz, jika bernasib baik askar penjaga yang sentiasa berada di sebelah Hajarul Aswad tu akan memberikan peluang kepada jemaah wanita Malaysia yang kelihatan tubuh fizikalnya kecil sedikit untuk masuk mencium. Entahlah, aku sebenarnya macam tak berapa teringin nak kucup Hajarul Aswad. Cukuplah bagi isyarat sahaja.

Tidur Awal
Entah kenapa aku terasa terlalu letih hari ini. Terasa bahang kepanasan yang naik ke muka membakar. Siang tadi ada orangkata suhu mencecah 45, ada yang kata 47 walaupun kat TV macam paparkan 44 Celcius. Mungkin itu dalam ramalan cuaca. Sebaik solat Isyak, aku terus masuk tidur sementara ahli keluargaku lain pergi makan malam.

Klik Untuk Lagi Gambar Hari Ke-11
Share:

Umrah Keluarga 2011 : Ziarah Hudaibiyah

06 Jun 2011 – Ziarah Hudaibiyah

Bersemangat untuk program ziarah lagi hari ini. Sebagaimana diminta, 6.30 telah turun. Tetapi seperti biasa, bas lewat tiba dan naik bas pun pakai naik saja tanpa mengikut kumpulan tertentu sebelum ini. Agaknya bagi TA ini yang mudah. Tidak payah nak fikirkan siapa naik yang mana. Tempat tujuannya sama juga. Syarikat TA yang sama juga. Janji semua dapat pergi dan balik.

Berbanding ziarah Ja’ranah, kami difahamkan perjalanan ke Masjid Hudaibiyah lebih jauh. Aku kira suatu binaan yang agak menakjubkan dan banyak terdapat di Makkah ialah terowong. Walau tidak dinafikan bukit-bukit lain yang dibina terowong juga ditebuk, tetapi melihat bukit batu yang kaw-kaw solid batu terdapat disini, entah berapa lama masa diambil untuk menebuk lubang itu sahaja. Apa teknik dan teknologi yang digunakan ?

Jalan-jalan terowong tentunya banyak membantu dalam sistem penyuraian trafik di sekitar Makkah, khususnya Masjidil Haram. Makkah terletak di sebuah lembah yang dikelilingi dengan bukit-bukit batu. Bayangkan ribuan manusia saban hari mengunjunginya dari serata dunia dan bayangkan jutaan jemaah ketika musim haji. Pembinaan terowong itu juga telah memudahkan dan memendekkan perjalanan dari Makkah ke tempat lain khususnya Mina, Mudzalifah dan Arafah.

Terowong ini turut dilengkapi dengan ciri keselamatan dan kemudahan yang mengambilkira sistem pengudaraan, lampu, generator dan talipon sebagaimana yang kedapatan juga di negara kita. Malah terdapat terowong yang mengasingkan antara khusus untuk pejalankaki dengan terowong kenderaan. Dulu-dulu beberapa kali kita dengar kejadian yang menyebabkan ramai jemaah mati di terowong. Nampaknya sudah tidak kedengaran sekarang kejadian seumpamanya.

Lalu Muzium Dua Masjid Suci
Dalam perjalanan, kami hanya melewati atau melalui di hadapan bangunan Muzium Dua Masjid Suci ( Al-Haram dan Nabawi ). Pemandu pelancong hanya menunjukkan bangunannya dan mengatakan kami tidak akan singgah memasukkinya. Argh, kecewanya. Anakku asyik tertanya-tanya kenapa tidak masuk. Kecewa juga sebab banyak tinggalan asal yang terdapat di Masjid Nabawi dan masjidil Haram terdapat dalam muzium ini seperti kelambu kaabah, pintu masjid, rangka pagar telaga zam zam dan pelbagai lagi.

Aku tanyakan seorang urusetia TA, Tn Hj Nasaruddin, dia kata nak masuk agak susah sebab terhad dan kena dapatkan kebenaran daripada pemerintah.Ada beberapa TA di Malaysia dapat kebenaran tu. Jadi bila aku tanyakan adakah pihak TA ada memohon, katanya tidak. Kalau tiada, kenapa masukkan aktiviti ini dalam jadual program.

Pihak TA telah memberikan harapan yang tinggi kepada jemaah, tetapi kemudiannya memberikan pelbagai alas an, rupanya harapan palsu. Tapi aku pernah dengar dulu ada jemaah yang boleh pergi dengan teksi saja, tak payah minta kebenaran. Apakah zaman sekarang baru kena minta kebenaran ?

Ladang Ternak Unta
Seterusnya kami berhenti di suatu tepi jalan yang agak luas dengan kawasan lapang dan tandus. Rupanya kami singgah di ladang ternak unta. Kami begitu teruja. Wah banyaknya unta, bersih kulitnya dan kelihatan sihat tubuh badannya. Kelihatan bukan sahaja banyak unta di sini, tetapi juga kelihatan dari jauh, penternakan di tempat lain di sebalik padang tandus yang luas itu.

Kami pun mengambil peluang untuk lebih mendekati unta serta bergambar dengannya. Unta memang binatang yang begitu menakjubkan. Kebolehannya untuk tidak makan selama beberapa hari atau minggu serta tahan panas, menjadikannya mahluk yang cukup sesuai untuk hidup di padang pasir seperti di negara Arab. Bonggolan di atas badan menjadi tempat simpanan bekalan air untuknya. Harga seekor unta di sini adalah sekitar SR 3,000.

Namun apa yang turut menjadi tumpuan ramai jemaah ialah susu unta di satu khemah yang disediakan. Promosinya minum percuma, tetapi bawa balik SR5 dikenakan bagi setiap botol tanpa kira saiznya. Pada mulanya tidak dapat nak ku bayangkan bagaimana rupanya susu unta, apatah lagi keinginan untuk merasainya. Tetapi apabila sekali rasa, wau ... sedap lemak berkrim !!!

Tapi susu unta agak sukar didapati di kedai-kedai atau pasaraya sekitar Makkah setakat yang aku pergi. Susu unta dikatakan menguatkan antibodi serta tubuh badan. Agaknya kalau kat Malaysia, nak bagi laku kena buat susu unta campur Tongkat Ali atau Kacip Fatimah ... ha ! ha !

Masjid Hudaibiyah
Dalam bas, al-Ustaz menceritakan tentang Perjanjian Hudaibiyah yang ditandatangani oleh Rasulullah s.a.w. Masjid yang kami akan singgah ialah Masjid Hudaibiyah, mengambil sempena dengan perjanjian tersebut. Masjid ini terletak kira-kira 25 km dari Makkah.

Di Hudaibiyah rombongan umrah Rasulullah s.a.w dihalang oleh kafir Quraisy daripada memasuki Makkah. Lantas Saidina Uthman Affan diutus untuk berunding dan kembali dengan butiran cadangan perjanjian gencatan senjata. Antara kandungan cadangan tersebut ialah Rasulullah s.a.w serta orang Islam dibenarkan masuk Makkah tahun depan selama tiga hari dan hanya bawa senjata bersarung serta gencatan senjata selama 10 tahun.

Terkandung juga dalam cadangan tersebut bahawa orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga hendaklah dikembalikan semula, manakala orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.

Rasulullah s.a.w menyetujui cadangan berkenaan walaupun ada para sahabat yang tidak senang dengan kandungannya. Perjanjian itu kemudiannya dikenali dengan ‘Perjanjian Damai Hudaibiyah’. Kemudian rombongan Rasulullah s.a.w kembali ke Madinah.

Di sebelah kanan kiblat masjid ini, terdapat bekas bangunan masjid lama yang dibangun dengan batu hitam bersimen. Selain dari menjadi tumpuan untuk jemaah umrah bermiqat, sebagaimana biasa suasana jualan pasar terbuka begitu rancak dilakukan di sini seperti di Masjid Ja’ranah.

Pembangunan Sekitar Masjidil Haram
Lepas solat Asar, aku cuba tinjau-tinjau kawasan yang sedang rancak dilaksanakan pembangunan. Pembngunan ini tentunya bertujuan untuk meningkatkan imej Masjidil Haram, selain bagi menampng keperluan jemaah yang semakin bertambah. Satu kawasan adalah di lereng sebahagian daripada bukit yang bertentangan dengan Menara Jam.

Kawasan ini masa akau kerjakan haji memang sedang rancak dengan aktiviti memecahkan batu-batuan. Habuknya masa itu tidak terkira. Tetapi kali ini pintu laluan masuk ke Masjidil Haram daripada kawasan ini nampaknya ditutup. Masa ku ke sini dulu, banyak kedai-kedai sementara di sini.

Satu lagi kawasan ialah seberang jalan sebelah kanannya. Dulu ada tertera berapa hari lagi nak siap projek, tetapi kali ini sudah tak ada. Apakah sudah tidak tercapai target atau ada perubahan dalam perancvangan. Atau rosak jam countdownnya. Apakah rupa Makkah khususnya sekitar Masjidl haram tiga epat tahun akan datang ?

Khatam Al-Quran ?
Aku masuk semula Masjidil Haram agak awal untuk solat Maghrib. Sampai sahaja, terus mencari ruang di lantai Kaabah, di tempat yang sudah redup sedikit. Di sana aku teruskan membaca al-Quran sehinggalah berjaya menghabiskan bacaan hingga suran An-Nas. Bermaknanya akhir ayat dan khatam al-Quran.

Memang hajatku hendak khatam sekurang-kurangnya sekali. Tetapi sebenarnya belum khatam. Aku hanya sambung bacaan setakat mana yang telah aku baca di tanah air dahulu. Silap aku tidak tandakan muka surat mana aku berhenti semasa di Malaysia, tetapi agak-agak sekitar muka surat 250 - 300. Memang agak sukar bagiku nak dapat membaca al-Quran berterusan dalam jangkamasa hususnya masa solat Zuhor dan Asar lantaran cuaca yang panas. Walaupun dalam Masjidil Haram, bahang kepanasan naik kemuka menyukarkan untuk membaca.

Buka Puasa
Entahlah,kenapa aku tidak terfikir untuk berpuasa di Makkah ? Mungkin sebab terasa berat atau kerana cuaca yang panas. Atau kerana terlalu memikirkan amalan lain yang hendak dicapai. Kalau nak kirakan sayang nak tinggalkan makanan yang disajikan oleh TA, tidak jugak.

Tetapi setiap Isnin dan Khamis, suasana persiapan orang hendak berbuka puasa jelas kelihatan. Ini sekurang-kurangnya mengingatkan kami bahawa hari ini adalah sama ada hari Isnin atau Khamis. Petang ini, tiba-tiba sahaja di hadapanku dibentangkan saprah plastik untuk orang berbuka puasa. Wah, rezeki nampaknya. Orang sebelahku ( orang Sabah ), makan saja tanpa tunggu azan maghrib. Yealah, nak juga hormat orang yang berbuka puasa. Maka aku makan saja setakat mana yang kelihatan boleh aku makan. Sesetengah hidangan tu, nampak macam pelik saja.

Sebaik azan berkumandang, mereka berbuka puasa dengan hidangan yang ada. Cepat-cepat makan dan habis azan sahaja, terus digulung saprah plastik dengan sisa hidangan. Tak kisah sama ada habis atau tidak. Tapi aku cepat-cepat tapau dalam plastic kecil, buah kurma yang dihidangkan. Agak sedap rasanya. Lepas tu terus solat sunat maghrib.

Pihak TA maklumkan esok 4.30 petang ada tazkirah di tempat biasa kami makan. Jadual asal tak ada pun program ini. Kami diberitahu ini dibuat lantaran tidak ramai dari kumpulan kami yang menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan semalam di Hotel sebelah, walaupun jemaah dari kumpulan TA kami juga.


Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.