Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Berakhirnya Kuliah Liwat II

9 Januari 2012 telah menjadi hari yang dinanti oleh sebahagian besar rakyat Malaysia khusus bagi yang mengikuti perkembangan politik negara, perbicaraan kes Liwat II dan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Ia diberikan juga jolokan sebagai 901. Sepanjang tempoh perbicaraan, rakyat Malaysia dari pelbagai kaum serta lapisan umur disajikan dengan kuliah Liwat percuma. Budak sekolah tadika pun agaknya kini dah tahu apa tu Liwat, bagaimana perlakuan yang dikatakan liwat, tentang DNA dan air mani. Bagus juga tu !!!

Namun menjelang 901, pelbagai kalau atau andaian orang ramai dibuat di sebalik pihak pemerintah sibuk memperkatakan kekacauan atau kekecohan yang bakal tercetus disebabkan perhimpunan 901 anjuran parti pembangkang di kawasan sekitar Mahkamah. Bagaimana kalau DSAI didapati bersalah dan sebaliknya bagaimana kalau DSAI didapati tidak bersalah.

Ramai yang cuba menjadi Pak Nujum Blalang membuat ramalan bagi mensasikan keputusan yang bakal diumumkan. Bagaimana dengan nasib pakatan pembangkang atau parti DSAI. Siapa yang bakal menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen mnggantikan DSAI ? Siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang PRU-13. Bagiku mudah sahaja, DSAI akan didapati bersalah dan Pilihanraya Umum Ke-13 diadakan pada cuti sekolah Mac 2012. Aku sebenarnya terkejut bsar apabila mahkamah umumkan bahawa DSAI didapati tidak bersalah.

Mungkin lebih ramai yang mengandaikan seperti aku bahawa DSAI didapati bersalah dan dihumban buat kali ke dua di Penjara Sg Buloh, berbanding dibebaskan. Sebaik keputusan diumumkan, penyokong dan yang bersimpati dengan DSAI gembira meraikan keputusan tersebut dengan pelbagai cara sebagai tanda bersyukur. Mungkin sukar nak dapat bayangkan btapa perasaan ahli keluarga serta anak menantu DSAI, khususnya setelah sekian lama terasa diaibkan dan tertekan dengan isu ini.

Bagi pendokong parti pemerintah, jawapan bahawa kputusan ini menunjukkan mahkamah adalah bebas dan keputusan mahkamah tidak dipengaruhi oleh parti pemerintah sekadar nak meredakan dan melayan kekecewaan. Berita arus perdana pun hanya satu hari membuat liputan dan ulasan ekoran keputusan mahkamah tersebut.

Peserta perhimpunan 901 pula digambarkan seolah-olah hanya seramai ratusan orang sahaja. Apakah kalau DSAI dibebaskan, mereka akan berdemo gembira dan memuji Kehakiman Malaysia kerana bebas dan berani. Kalau DSAI kalah dan disabitkan kesalahan pula, mereka akan berdemonstrasi kerana kehakiman tidak memihak kepada mereka dan menuduh Kehakiman Malaysia dikongkong pemerintah.

Sama ada betul keputusan mahkamah, hendak percaya atau tidak, sama ada perlakuan antara DSAI dengan Saiful benar-benar berlaku atau tidak, hanya kedua-duanya serta Allah s.w.t dan malaikat sahaja yang tahu. Antara pelaku, pemfitnah, hakim, pendakwa, peguambela dan penokok tambah semuanya akan diadili seadil-adilnya di Padang Mahsyar dan menerima hukuman yang pasti adil di hadapan Allah s.w.t.

Memang aku merasai keputusan kes Liwat II ini memberi kesan terhadap PRU13 nanti. Namun tidak pastilah sejauh mana ianya memberikan kelebihan sama ada terhadap parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Apakah kini, PM dan parti pemerintahnya bakal menghadapai masalah besar dalam PRU13 nanti. Apakah kini DSAI dilihat sebagai hero atas 'kemenangan' ini atau sekurang-kurang wajar diberikan undi sebagai tanda sokongan dan simpati?

Namun masih ada masa untuk rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Keluarga Saiful tentu menghendakinya. Apakah Kuliah Liwat II akan disambung semula ?

Share:

Keunikan Sambutan Coundown 2012

Menjelang Tahun Baru Masehi, seringkali pelbagai sambutan dibuat di sana ini yang selalunya juga dikaitkan dengan persembahan artis, joget-joget, sorak-sorak dan diakhiri dengan permainan bunga api. Memang itu kelazimannya, sama ada di barat atau negaraku Malaysia. Malah ia juga dikaitkan dengan gejala berpoya-poya hingga larut malam dan maksiat zina. Tapi entah kenapa pada akhir 2011 lalu, pelbagai iklan sambutan bersempena dengan tahun baru dianjurkan oleh badan-badan Islam aku terima.

Tapi yang menarik perhatianku ialah Sambutan Coundown 2012 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor mulai 6.00 petang 31 Disember 2012 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam. Program ini menampilkan pelbagai artis naysid, Imam Muda Asyraf, pendakwah bebas Ustaz Syed Nor Hisham serta penceramah agama yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Azhar Idrus dan pelawak Zizan. Lantaran menjangkakan keunikan, kami sekeluarga telah hadir ke sana.

Ternyata sungguh menakjubkan. Sejak maghrib lagi orang ramai telah berpusu-pusu dating memenuhi Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang terletak antara Muzium Negeri dengan Masjid Negeri. Sebaik solat Maghrib, Ustaz Asyraf bersembang santai dengan pengacara yang mengajak orang-orang muda untuk memanfaat usia muda bagi membentuk ahlak mulia dan berpegang dengan Islam bagi mewarisi generasi akan datang.

Memang aku sedari, kira-kira 80% yang hadir malam itu adalah orang muda. Yealah orang tua lebih suka rehat kat rumah daripada jem, bersesak dan bersejuk tengah padang begitu. Kehadiran orang muda dalam program seumpama itu seolah-olah membayangkan hasrat mulia generasi yang dahagakan hiburan mendidik jiwa dan bakal memikul pembentukan ummah akan datang. Insya’allah.

Apakah ini juga menunjukkan bahawa anak muda mula meminati program-program mendidik, terutama jika ditampilkan dengan cara yang kena gayanya.

Sebaik solat Isyak, orang semakin ramai memenuhi dataran yang mungkin kebanyakkannya dari Masjid Negeri yang berhampiran. Sebaik celoteh pengacara, Shahir AF8 muncul dengan dua lagu, diikuti dengan persembahan bekas gitaris kumpulan Kamikaze, Shamril Salleh atau Sham Kamikaze yang sudah melakukan penghijrahan serta artis yang dikenali sebagai Dakmie.

Dr Halimah selaku Exco Kerajaan Selangor kemudian melancarkan facebook GeMS 2012, Generasi Idaman Selangor sebagai salah satu usaha dalam membentuk generasi idaman yang bebas daripada gejala sosial, zina dan aktiviti tidak bermoral.

Suasana menjadi gamat apabila Ustaz Azhar Idrus muncul di atas pentas dan diikuti dengan Zizan Raja Lawak. Rupanya memang ramai pengikut Ustaz Azhar terdiri daripada orang-orang muda. Mereka berdua kemudian mengendlikan sesi soal jawab agama dengan soalan-soalan yang kelihatan remeh, tetapi disampai dan dijawab dengan bernas, secara bersahaja dan berjenaka.

Tidak ketinggalan al-Ustaz menunjukkan bakatnya bermain gitar dengan diiringi dengan lagu lawak Zizan. Aku menjangkakan tentu ada kontraversi selepas ini.

Dikhabarkan yang hadir pada malam tersebut kira-kira 80ribu orang. Entahlah. Betulkan kerana aura Ustaz Azhar ? Jika benar, memanghebat. Ini kerana pada mulanya sebelum sampai ke Dataran tersebut, aku menjangkakan sekitar dua tiga ribu sahaja yang hadir. Yang datang pulak bukan sahaja pak lebai, tetapi mat rempit pun ada. Malah yang tidak bertudung pun tidak ketinggalan.

Sebaik sesi soal jawab, diadakan peraduan sepontan tiru gaya Al-Ustaz berceramah dan persembahan oleh Ustaz Akhir Hayy. Cumanya aku tak pasti sama ada orang ramai boleh faham apa yang dibicarakan oleh Zizan dan Ustaz Azhar memandangkan loghat Terengganu yang begitu pekat digunakan. Terasa macam berada di Kuala Terengganu, bukan di Shah Alam.

Dalam menyanyikan lagu HambaMu seorang pononton tampil untuk berduet dengan Akil Hayy seolah-olah menggantikan Mawi. Seterusnya para VIP yang terdiri antaranya Exco Dr Halimah, Yaakob Sapari, MP Shah Alam naik kepentas untuk sesi cabutan bertuah dan penyampaian hadiah kepada pemenang.

Menjelang 12 tengah malam, secara beramai-ramai mengalunkan Asmaul-Husna. Bukan bedilan meriam, mecum atau bunga api. Sebaik selesai ‘Asmaul-Husna’, bacaan doa oleh Ustaz Azhar Idrus dengan diaminkan oleh orang ramai.

Apa yang aku alami pada malam tersebut merupakan suatu pengalaman kelainan yang unik dan seharusnya membuka mata semua pihak bagaimana menyambut tahun baru masehi dalam lingkungan yang baik. Tahniah kepada pengarah program pada malam tersebut yang begitu kreatif menganjurkan sambutan sebegitu rupa.

Share:

Warna Warna Kota Kinabalu

Pada 17 -20 Disember 2011 lalu, aku mewakili ofis untuk menghadiri mesyuarat Jabatanku di Kota Kinabalu, Sabah. Ini merupakan kali ke tiga aku ke sana dan semuanya atas urusan rasmi pejabat. Harapnya suatu nanti boleh datang sekali lagi dengan keluarga sekiranya dapat tiket tambang murah, khususnya nak ke kaki Gunung Kinabalu … kaki sahaja, bukan puncak.

Memandangkan tiket flight yang payah lantaran dekat dengan musim cuti perayaan Krismas, aku terpaksa datang awal. Kesempatan ini aku ambil untuk meronda jalan-jalan keliling , tambahan hotel penginapanku memang terletak di tengah-tengah bandar raya. Memang sibuk Kota Kinabalu ketika itu, mungkin kerana itulah weekend terakhir untuk penganut Kristian membeli belah membuat persiapan sebelum Hari Krismas yang kebetulan juga sedang berlangsungnya Year End Sale.

Waterfront
Aku memulakan rondaanku dengan berjalan di celahan bangunan menuju ke tepian laut atau dipanggil juga sebagai waterfront. Cantik pemandangan di sini. Walaupun ditepi kesibukan jalan serta pelbagai bangunan yang berhampiran namun ketenangan dapat dirasai dengan melihat keindahan laut, pulau, sampan atau boat ke hulu hilir membawa penumpang serta aktiviti yang terdapat di tepian tersebut.

Kehadiran tugu ‘swordfish’ menarik pengunjung untuk bergambar dengannya. Kawasannya bersih dan turut dilengkapi dengan tempat beristirehat atau lepak-lepak.

Pasar Besar Kota Kinabalu
Aku menyusuri tepian sehinggalah kepada Pasar Besar Kota Kinabalu. Aku tidak berhasrat nak masuk pasar yang besar lagi sibuk ini. Cukuplah berjalan dan memerhati gelagat penduduk menjalankan aktiviti dalam pasar ini di tingkat bawah. Nanti busuk pulak pakaianku.

Dikatakan dibuka sewal 5.00pagi. Tapi disini 4.30 sudah masuk subuh. Aku rasa pasar ini mempunyai sekurang-kurangnya dua tingkat. Pelbagai barangan keperluan harian dijual di sini. Patut pun jalan besar di hadapan dengannya pun sibuk.

Terasa lapar, beli buah-buahan yang dijual campur-campur secara paket RM6. Tidak seperti Pasar Payang di Kuala Terengganu atau Siti Khadijah di Kota Bharu, tiada pakaian kelihatan dijual di sini.

Pasar Ikan Masin
Seterusnya aku menuju ke Pasar Ikan Masin, bersebelahan Pasar Besar. Tidak banyak kedai atau gerai disini, berbanding Pasar Besar. Aku kira ada sekitar 20 buah kedai atau gerai. Maklumlah yang dijual hanyalah ikan masih atau ikan kering. Semuanya menjual benda yang sama, tapi harganya tak pastilah. Mana sempat nak tanya semua.

Pasar ini dikatakan dibuka kira-kira 7.30 pagi. Melihatkan susunan dan gantungan produk jualannya, kelihatan cantik dan para peminat ikan kering atau ikan masin tentunya tersenyum lebar.

Antaranya adalah kerapu, kurau, talang, gelama, tenggiri dan pari yang kesemuanya dijual pada harga bermula RM8 sehingga RM50 sekilogram. Bukan hanya ikan, udang dan sotong yang dikeringkan, malah tumbuhan laut serta gamat kering juga ada di jual di pasar itu.

Yang penting orang sini kata, kena bijak tawar harga sebab harga yang ditawarkan selalunya harga untuk pelancong. Itu biasalah. Satu perkara lagi ialah kaedah pembungkusan juga disediakan supaya mudah untuk dijinjing dan bawa masuk ke dalam kaparterbang, walaupun hanya menggunakan kotak terpakai.

Pasar Filipina @ Pasar Kraftangan Kota Kinabalu
Mengunjungi Kota Kinabalu, dikatakan tidak sah kalau tida singgah di Pasar Filipina atau disebut juga Pasar Kraftangan. Disinilah tempat mencari pelbagai cenderamata kenang-kenangan serta yang tersohornya ialah barangan dan aksesori perhiasan seperti rantai, gelang berasaskan mutiara. Bagi kaum pompuan, tentunya rambang mata di sini. Tapi awas, wang tunai sahaja, sediakan secukupnya dan no kad kredit.

Di luar bangunan terdapat deretan orang dengan mesin jahit yang akau kira mengambil upah orang ramai untuk repair seluar masing-masing. Majoritinya lelaki. Agak unik pemandangannya.

Dari mana datangnya mutiara ini. Kenapa Sabah popular dengan mutiara ? Memang mutiara ini asli produk Sabah atau daripada Filipina ? Aku rasa ini kena buat kajian atau penyelidikan lanjut.

Pasar Filipina pada dulunya dikatakan pernah menjadi Pusat Penyaluran Bantuan PBB bagi Pelarian rakyat Selatan Filipina yang menderita akibat Perang Saudara di sana. Lantaran ramai rakyat Filipina berniaga di sana, maka dinamakan sebagai Pasar Filipina. Tapi sekarang penjualnya bukan semestinya orang Filipina sahaja.

Banyak kedai disini dan sudah tentunya kena pandai tawar menawar. Isteriku pesan tak payah belilah mutiara, yang beli dulu pun tak pakai-pakai ( sebab salah beli ). Entah-entah kat KL bukan setakat lebih cantik, tapi lebih murah. Nampak macam lagi murah dan bcantik lagi yang dalam katalog jualan langsung.

Dikatakan ada dua jenis mutiara iaitu mutiara sungai atau air tawar dan mutiara air masin. Yang lebih cantik dan berkualiti ialah mutiara air masin dan kelihatan lebih cantik dan lebih mahal. Bagiku kalau nak belipun tak tahu nak beza, air masin atau air tawar. Harap kejujuran penjualnya sahaja.

Keropok Amplang
Bersebelahan Pasar Filipino, terdapat bangunan yang agak terbuka, yang terdapaat dalamnya gerai menjual produk makanan tempatan serta daripada laut seperti hasil daripada tumbuhan laut yang sesuai dijadikan ubat untuk penjagaan kesihatan tubuh badan Yang istimewanya, terdapat terjual di sini keropok yang merupakan makanan ringan signatur Sabah iaitu Keropok Amplang. Keropok cincin pun ada !!!

Ia dijual dalam paket pada harga serendah RM 5 sehinggalah RM36 sekilogran. Terdapat juga dalam pelbagai perasa seperti ikan, ketam udang dan sotong. Keropok ini sebenarnya asal mahsyurnya iakah dari Tawau. Patut pun aku terasa yang di Kota Kinabalu mahal sikit berbanding di Tawau.

Manifestasi Seni Abstrak ?
Jalan punya jalan, terserempak dengan suatu pemandangan yang menimbulkan tanda tanya. Apakah itu ? Macam sisa projek terbengkalai. Tetapi adakah sebagai tanda protes ? Apakah ini juga hasil golongan seni atau tinggalan lantaran berhantunya kawasan tersebut untuk dibangunkan semula.

Ia terletak ditengah-tengah kesibukan aktiviti Kota Kinabalu. Malah berhadapan degna satu kompleks membeli belah yang baru siap dibina serta memulakan perniagaannya. Tidak juga mencacatkan pemandangan lantaran hiasan yang melingkari sisa binaan tersebut. Lalu aku cuba mendekatinya.

Aku difahamkan bahawa tanah tersebut memang sepatutnya dibangunkan sebagai Galeri Seni, tetapi secara misteri terbakar pada tahun 1992 sehingga meninggalkan sisa konrit seperti yang ada sekarang. Lantas pecinta seni di sana menghiasi sisa konkrit tesebut dengan hiasan lukisan seperti sekarang sebagai tempat mengasah bakat seni memasing.

Persoalannya sampai bila ? Mengapa tidak dibangunkan semula ? Tiada peruntukan … sejak 1992 pulak tu !!! Mungkin bukan prioriti bagi pemerintah, barangkali.

Pasar Malam Sinsuran
Kawasan serta lorong jalan yang pada waktu siangnya sibuk dengan pelbagai aktiviti, bertukar menjadi pasar malam yang menjual pelbagai barangan. Tapi nampak agak tersusun juga pembahagiannya iaitu antara jualan makanan, pakaian serta aksesori perhiasan mutiara.

Malam tu gerimis sedikit. Ronda-ronda juga kawasan jualan makanan, tetapi terasa agak takut juga nak beli. Agak pelik-pelik juga juadahnya. Tak terfikir ketika itu apa yang istimewanya di Kota Kinabalu ni.

Pasar malam ini berlangsung setiap malam sejak lewat petang sehinggalah sekitar 10-11 malam. Pusing punya pusing, kembali ke Pasar Ikan Masin. Rupanya harga lewat malam hari lebih murah berbanding siang. Katanya ini harga malam. Sebungkus ikan bilis yang siangnya tadi berharga RM10- RM12, kini dapat ku beli dengan RM8 sahaja. Begitu juga dengan keropok amplang dan kuih cincin.

Pulau Manukan Yang Indah
Pada kesempatan hari yang lain, aku berkesempatan ke Pulau Manukan. Perjalanan dengan boat dari Jetty Jeselton memakan masa kira-kira 15 minit. Risau juga dengan bot yang memuatkan 15 orang, tetapi simple dan bergerak laju. Bila melanggar ombak kuakan air dari bot lain yang melintas, terasa macam naik kereta laju melanggar bendul kecil. Kecut perut juga dibuatnya.

Cantik juga pemandangan di pulau ini. Pantainya kelihatan bersih dan airnya pun agak jernih. Pulau ini merupakan sah sebuah dari pulau-pulau yang diistiharkan sebagai Taman Laut Tunku Abdul Rahman.

Daripada jeti pulau, dapat lihat ikan-ikan yang ‘jinak’ berkeliaran di bawah jeti. Tampak juga macam beberapa batu karang di sebalik airnya yang jernih dan tenang.


Orang kelihatan ramai juga yang berada di tepi pantai, sama ada mandi saja atau snorkeling. Aku turun sama, tetapi agak mengecewakan. Tak ada apa yang kelihatan, selain pasir dasar pantai. Cuba snorkeling di jeti yang kelihatan banyak ikan tadi, namun pandangan tidaklah secantik mana. Nampak ikan yang kecil-kecil, yang lain menjauhkan diri.

Jika nak dibandingkan dengan aktiviti snorkeling yang pernah aku lakukan di Pulau Payar Langkawi, memang jauh berbeza. Di Pulau Payar jauh lebih menarik. Namun tidak juga standing dengan Pulau Kapalai Semporna yang lebih menakjubkan. Mungkin kerana ditengah laut, kurang berpasir

Klik Untuk Lagi Gambar

Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.