Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Al-Fatehah Untuk Almarhum Dr Fathi Yakan

Berbanding dengan kematian Micheal Jackson, kematian Ustaz Dr Fathi Yakan tidak banyak diperkatakan. Biasalah dalam zaman ini. Selebriti dari kalangan artis, penyanyi, pelakon, pemuzik serta ahli sokan sering menjadi bahan berita ’bernilai’ berbanding dengan seorang tokoh agama. Akupun hanya baru tahu lewat beberapa hari dari hari kematiannya. Mungkin tidak banyak didengari keadaannya, namun kematiannya agak mengejutkan. Sekurang-kurangnya aku dapat tahu perginya seorang pendakwah tersohor menemui Allah.

Apabila menyebut nama Fathi Yakan, terus aku teringatkan kepada salah satu bukunya yang termasyur dari kalangan berpuloh-puloh buku karangannya, iaitu Apa Ertinya Saya Menganut Islam ? Buku itu amat menarik dan mudah difaham. Dikatakan buku ini menjadi teks perbincangan usrah oleh pelbagai pihak dan peringkat umur.

Syeikh Dr Fathi Yakan telah meninggal dunia di hospital di Lubnan setelah dimasukkan ke hospital beberapa hari kerana menghadapi masalah kesihatan yang teruk, dikatakan penyakit angin ahmar (stroke). Akhir hayatnya, beliau sangat bergantung kepada alat bantuan hayat Beliau telah menghembuskan nafasnya terakhir ketika mencapai umur 76 tahun Sabtu 13 Jun 2009, jam 4.45 petang. Beliau telah meninggal dunia di Hospital Hotel Dieu, Lubnan.

Jenazah Syeikh Dr Fathi Yakan telah selamat dikebumikan di bandar Tarablas selatan Lubnan selepas solat asar kelmarin. Jenazah beliau telah diiringi secara rasmi dan ribuan manusia dalam keadaan kesedihan memenuhi masjid Tinal ( tempat jenazah disembahyangkan ). Ramai wakil dan pimpinan gerakan Islam seperti Hamas, Jihad Islami, Hizbullah serta ulama seluruh dunia telah hadir.

Lubnan atau lebih tepat lagi Tripoli pasti menangisi pemergian tokoh ini. Di sinilah tempat beliau dilahirkan pada tanggal 9 Februari 1933. Beliau mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan kemudian mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau merupakan pengasan dan telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam Cawangan Ikwanul Muslimin di Lubnan sehinggalah pada tahun 1992.

Pada peringkat awal, beliau kurang bersetuju dengan penglibatan gerakan Islam menyertai demokrasi dan terlibat dalam pilihanraya. Namun setelah melihat suasana yang tidak berubah dan tindakan merubah kerajaan daripada luar tidak berjaya, beliau telah mula menerima pilihanraya sebagai salah satu cara untuk meletakkan Islam di tempat berkuasa.

Pada tahun 1992 beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Pada tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai Jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Nahrul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pada tahun 2007.

Lebih daripada 35 buah buku telah beliau hasilkan, tidak termasuk yang telah diterjemah kepada bahasa lain. Beliau turut memantau laman web dakwah.net. Beliau meninggalkan seorang isteri bernama Dr Mona Haddad Yakan dan mempunyai 4 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Almarhum bersama isterinya, menubuhkan Universiti Jinan di Utara Lubnan. Universiti ini menerima ramai pelajar dalam pelbagai bidang termasuk dari Malaysia. Almarhum dikatakan rapat dengan Almarhum Ustaz Fadzil Nor sehingga menyebabkan pelajar Kolej Islam Darul Ulum Kedah memperolehi potongan istimewa sekiranya melanjutkan pelajaran di Universiti Jinan.

Almarhum pernah beberapa kali berkunjung ke Malaysia dan menjadi tetamu khas PAS. Malah sepatutnya beliau sekali lagi menjadi tetamu PAS di Muktamar yang diadakan di Ipoh, Perak pada tahun 2008. Walaupun semua persiapan telah di buat termasuk tempahan tikat kapalterbang, namun di saat akhir saya sendiri menerima panggilan telefon dari beliau yang menyatakan keuzuran untuk bersama di Muktamar PAS.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatehah.

Share:

The World's Greatest Holes

Baru-baru ini aku menerima e-mail mengenai beberapa Lubang Terhebat ( Great Holes ) yang terdapat di atas muka bumi ini. Ada juga yang memanggilnya Lubang Terbesar ( Biggest ), Lubang Yang Mengkagumkan ( The World's Most Amazing Holes ) serta Lubang-Lubang Ajaib Dunia ( The Magnificant Great Holes In The WOrld ). Sekali imbas melihatnya memang menakjubkan dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Tetapi kadangkala terasa gerun juga. Apa taknya, lobang sebesar itu berjaya digali oleh manusia bertahun-tahun lamanya. Kalau tertimbus atau yang di permukaan tanah menjadi takungan air lagu mana ?

Namun daripada 7 lobang tersebut, 3 daripadanya merupakan akibat aktiviti perlombongan intan berlian. Wah, patut pun rega intan berlian begitu mahal, selain daripada kualitinya. Sudahlah lokasinya pun agak pelik atau tersorok. Mungkin ada hikmah disebalik Allah 'letakkan' intan berlian tersebut di tempat-tempat begitu. Pepandai manusialah nak gunakan apa kaedah atau alat untuk berusaha mendapatkannya.

1. Kimberley Big Hole - South Africa

Dengan sedalam 1097 meter ( 1 kilometer ), dianggap sebagai lubang terbesar pernah digali atau dikorek (the largest hand-dug excavation in the world ) hasil perlombongan intan sebelum ditutup pada tahun 1914. Dikatakan lebih daripada 3 tan atau juta karat intan berlian berjaya dikeluarkan dari sini.

Kini dijadikan tempat tarikan pelancongan dimana pelancong boleh melihat bagaimana aktiviti perlombongan pernah dijalankan di sini.


2. Glory Hole - Monticello Dam, California

“Glory Hole” ini terletak dalam kawasan tadahan air oleh Empangan Monticello, California. Apabila paras air naik, lubang ini digunakan untuk melepaskan air keluar. Dianggap lubang untuk tumpahan air yang terbesar seumpamanya dan mampu mengalirkan sejumlah 14,400 kakipadu air setiap saat. Bagaimana nak bayangkan tu ?

3. Bingham Canyon Mine , Utah

Dianggap sebagai the largest man-made excavation on earth. Penggalian perlombogan jenis terbuka ini bermula pada tahun 1863 untuk mendapatkan tembaga dan masih lagi giat dijalankan sehingga kini dengan keluasan kira-kira 4 km lebar dan sedalam 1.2km atau meliputi keluasan 1,900 ekar.


4. Great Blue Hole , Belize

Yang ini agak ‘menggerunkan’ bagiku. Mungkin dikenali sebagai lubang biru lantaran warnanya. Great Blue Hole merupakan lubang besar di bawah permukaan air, terletak kira-kira 100 kilometer daripada tanah besar Belize atau Bandar Belize, sebuah Negara yang terletak di tengah benua Amerika Tengah, dahulunya dipanggil sebagai British Honduras.

Lubang berbentuk bulatan selebar 300 meter dan 125 meter dalam, membentuk gua bawah permukaan air. Telah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO. Juga menjadi tempat tumpuan penyelam untuk melihat keindahannya serta pelbagai spesis ikan. Terdapat banyak lubang seumpamanya di seluruh dunia, tetapi tiada yang sangat mengkagumkan seperti Great Blue Hole ini.



5. Mirny Diamond Mine , Serbia

Sungguh menakjubkan. Dengan keluasan 1,200 meter lebar, kedalaman 525 meter, lubang yang terhasil akibat perlombongan intan berlian ini dikatakan sebagai perlombongan intan terbuka yang terbesar di dunia. Dijadikan sebagai ‘no-fly’ zone di atasnya kerana terdapat kejadian beberapa helicopter ‘disedut’ masuk . Aktiviti perlombongan bermula tahun 1955 tetapi telah ditutup pada tahun 2004. Dua jam diperlukan untuk sesebuah kenderaan sampai ke atas daripada dasar lobang tersebut.


6. Diavik Mine , Canada

Lubang lombong intan ini terlampau besar serta sukar dihubungi sehingga terpaksa memiliki ‘landasan terbang’ sendiri yang mampu mendaratkan Boeing 737. Tampak menarik apabila air disekitarnya membeku.

Kawasan ini agak baru, kajian bermula tahun 1992, diikuti kerja pembangunan 2001 dan pengeluaran secara komersial tahun 2003. Dihubungkan dengan ‘ice road’ serta lapangan Terbang Diavik. Memandangkan hayat perlombongan ini dijangka selama 16 hingga 22 tahun lagi, kaedah perhubungan lain seperti pelabuhan kapal laut sedang dirancang bagi menghadapi masalah terputus hubungan sekiranya musim saji dan beku.

7. Sinkhole in Guatemala

Agak mengerunkan juga. Lubang ini wujud pada 24 Februari 2007 yang menelan kira-kira 12 buah rumah dikawasan kejiranan penduduk yang juga mengakibatkan 3 orang mati. Kedalamannya cuma 100 meter dan terjadi disebabkan hujan serta aliran kumbahan di bawah tanah.




Share:

Akibat Tersalah Tekan Pedal Pecut Vs Brek

Gambar berikut sebenarnya sudah lama hendak aku paparkan, tetapi masa sibuk sangat-sangat. Hingga baru-baru ini aku teringat semula. Kejadian berlaku kira-kira jam 10.00 pagi 26 Jun 2009, di tempat letak kenderaan terbuka di Parcel D, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Putrajaya. Masa itu ruang parking memang amat terhad. Dalam tercari-cari ruang parking, tetiba sebuah kereta terlangar sebuah kenderaan lain yang hendak keluar.

Tak perasan gamaknya. Pemandu kenderaan yang melanggar tu agaknya jadi panik. Tetapi dalam keadaan panik tu yang ditekan bukannya pedal brek, sebaliknya pedal 'tekan minyak'. Atau mungkin nak reverse, tetapi tak masuk gear reverse.

Apa lagi, disapunya semua-semua kenderaan yang dihadapannya, melibatkan kira-kira 6 buah semuanya. Aduss ... malang tak berbau. Kenderaan lain yang 'tidak bersalah' jadi mangsa, ada yang terhimpit ke sebelah dan ada yang melompat bahu jalan hadapannya.

Namun khabarnya empunya kenderaan yang melanggar tu bersetuju untuk membiayai kerosakan kenderaan lain menerusi insuranya. Tetapi masa cerita ini ku coretkan, khabarnya masih ada sebuah kenderaan yang masih di worksyop.

Share:

Karnival Jom Ke Surau Terakhir ?

Aku kira Program Karnival Jom Ke Surau 2009 yang diadakan dan dianjurkan oleh Surau Al-Hidayah Saujana Utama pada 4 Julai 2009 merupakan yang terakhir bagiku as Pengerusi Surau Al-Hidayah. Alhamdulillah sungguh meriah program berjalan pada tahun ini, seperti yang diharapkan. Pelbagai agensi kerajaan dan NGO turut serta, selain jualan gerai. Dinamakan sebagai Karnival Jom Ke Surau Kali-5. Bagaimana boleh jadi kali ke-5 ? Yang aku pasti cuma Pertandingan Nasyid Antara Institusi Pendidikan Pra Sekolah sahaja yang kali Ke-5. Sebelum ini ianya diadakan sempena dengan sambutan lain seperti Maulidur Rasul serta Israk & Mikraj. Tahun 2008 baru dinamakan Karnival Jom Ke Surau, tanpa ada ’kalinya’. Takpelah kalau nak disekalikan dengan Pertandingan Nasyid yang menjadi core event.

Alhamdulillah, YB Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Zulkefly Ahmad pun dapat hadir merasmikan karnival. Dalam ucapannya beliau melahirkan rasa kagum dan ajaib dengan kemampuan yang dilakukan oleh Surau Al-Hidayah menganjurkan karnival ini. Beliau memberikan markah 10 out of 10 ( markah penuh ) kepada karnival ini. Sempat juga beliau menyampaikan hadiah kepada pemenang dan melawat gerai sebelum bergegas pulang untuk ke suatu majlis lain pulak.

Bagiku program karnival seumpama ini adalah peluang bagi penduduk dan ahli kariah dapat bertemu dan merapatkan silaturahim. Mereka juga berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pameran dan perkhidmatan yang disediakan, yang mungkin payah atau tidak berkesempatan kita melakukannya pada masa-masa lain. Derma Darah, Semakan & Daftar Mengundi dengan SPR, Kaunter Penerangan SUK Selangor, Khairat Kematian dan Pemeriksaan Kesihatan

Aku berkesempatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Pusat Kesihatan Ijok. Alhamdulillah, Tekanan darah = 120/88 mmHg, Blood Sugar 5.2 dan Cholesterol = 4.66. Kiranya semua orait, kecuali kena kurangkan berat badan dari 81.5 kepada 66kg. Tapi aku gunakan timbang di rumah, beratku cuma 78kg aje ? Takpelah, kata doktor tu jangan fikir yang 15kg, dapat kurangkan 5kg by this year pun sudah orait.

Menerusi karnival ini, menunjukkan bahawa surau boleh menjadi focal point dalam aktiviti kemasyarakatan, tidak hanya surau pandangan konvensional iaitu sebagai tempat solat berjamaah dan untuk mengikuti kuliah agama. Ini bertepatan dengan moto surau iaitu, Al-Hidayah Untuk Semua. Al-Hidayah sebagai surau untuk dikunjungi oleh semua orang dan mudah-mudahan dengan kewujudan, peranan dan aktiviti yang dilakukan, akan memberikan hidayah kepada masyarakat sekitar khususnya. Rasanya banyak aktiviti kemasyarakatan seumpama ini dilakukan oleh Surau Al-Hidayah sebelum ini seperti Hari Muslimat, Street Soccer Remaja, Khatam Al-Quran, Wayang Pacak dan Pertandingan Sukan Antara Surau.

Yang paling manis untuk aku kenang ialah satu tayangan menyorot kembali peranan ku sebagai Pengerusi Surau ( PS ) Al-Hidayah dan Pengerusi AJK Pengurus ( PK ) KIDaS, Memula tu rasa terharu juga, entah dimana mereka cilok gambar aku dan famili selain daripada blogku ini ? tetapi bertukar jadi lucu bila menyentuh tentang The Reds dengan slogan ‘You Will Never Walk Alone’. Ha … Ha …

Karnival yang berlalu akan menjadi kenangan manis bagiku untuk ku kenang dalam lipatan sejarah sepanjang menjadi warga Saujana Utama. Pastinya aku akan merindui suasana tersebut suatu masa nanti. Cabaranku ialah bagaimana di tempat baruku. Ianya seperti baru hendak bermula semula. Walaupun orang telah ramai tinggal di sini, tetapi suraunya masih tidak berapa meriah. AJK Pengurusan pun belum dibentuk sedangkan Ramadhan semakin hampir. Apakah persiapannya nanti ? Kekadang aku ke surau, khususnya pada waktu Isyak, akulah Bilal, akulah Imam dan akulah Makmum ... maksudnya sorang-sorang aje.
Share:

Bahtera Nabi Nuh Ditemui ??

Maksud firman Allah ”Hai Bumi, telanlah airmu dan hai langit, berhentilah dan surutlah air dan selesai perintah dan berlabuhlah dia di Judiy dan difirmankanlah, ”Kebinasaanlah bagi kaum yang zalim” ( Surah Hud : 44 ) Berdasarkan maksud beberapa ayat sebelum ayat tersebut, ayat tadi menjelaskan bahawa Bahtera Nabi Nuh a.s akhirnya telah mendarat di Bukit Judiy setelah beberapa ketika ’berlayar’ dalam banjir besar. Persoalannya kini, di manakah letaknya Bukit Judiy sehingga disebutkan namanya dalam Al-Quran lebih 1400 tahun yang lalu ? Apakah dalam tempoh tersebut sehingga sekarang, tiada usaha untuk mencari di manakah lokasi sebenar Bahtera Nabi Nuh a.s ?

Aku tertarik untuk membicarakan perkara ini setelah mengikuti suatu kuliah maghrib beberapa minggu lalu, yang memaparkan ’bangkai’ Bahtera Nabi Nuh telah lama ditemui di Bukit Judiy. Kajian menerusi internet aku semakin konpius dan mungkin agak celaru sikit. Ini kerana dikatakan dalam Bible bahawa Bahtera Nabi Nuh ’mendarat’ di Gugusan Pergunungan Ararat di sempadan antara Turki dan Armenia ( dulu sebahagian Rusia ). Antara Mt Judiy dengan Mr Ararat, sama ada keduanya sama ( cuma panggilan mengikut zaman) atau saling bertukar lokasi, kisah atau gambar foto antara satu sama lain. Itu yang aku kata konpius dan agak celaru sikit. Sedang kalau ikutkan peta sekarang, jarak antara keduanya kekira 200 batu. Mungkin penemuan lokasi Bahtera Nabi Nuh dijadikan hujjah tentang kebenaran Bible, berbanding dengan Al-Quran ?


Memang apabila berkisah mengenai Nabi Nuh a.s, kisah yang sering kita dengar ialah mengenai Bahtera Nabi Nuh dan tempoh dakwah beliau yang lama iaitu sehingga 950 tahun. Namun dalam akhir tempoh usia 1000 tahun penghidupannya, dikhabarkan hanya 83 orang pengikutnya. Kenapa tidak ramai pengikutnya. Apakah dakwah beliau kurang efisien dan tidak kena metodologinya, berbanding dengan Rasulullah s.a.w yang berdakwah selama cuma 23 tahun daripada 65 tahun usia baginda ? Adakah Nabi Nuh a.s melalui 950 itu dengan senang-lenang, tanpa tentangan dan halangan ?



Surah Nuh menjelaskan kisah dakwah Nabi Nuh a.s. Baginda sebenarnya tidak henti-henti berusaha. Kalau cara terang-terangan tak berjaya, dia ubah kepada senyap-senyap, bila lama menggunakan cara senyap-senyap dan tidak berjaya, dia kembali menggunakan cara terang terangan. Kalau dengan menyatakan berita gembira tidak berjaya, dia cuba membawa pula kepada ancaman neraka. Namun insan Nuh a.s ini tidak pernah lesu, tidak pernah letih, bosan atau jemu melalui 950 tahun dakwahnya dalam keadaan manusia menyumbat telinga, memalingkan muka, memasukkan muka ke dalam baju apabila baginda menyeru.

Bayangkan apabila kita berucap, semua pendengar menyumbat telinga mereka dengan jari telunjuk, apakah kita mampu berbicara? Jawapnya tentu tidak. Ternyata hari ini sudah hampir pupus manusia yang mempunyai kesabaran seperti Nabi Nuh a.s ini.

Kisah perjuangan Nabi Nuh a.s banyakdijadikan motivasi kepada para pendakawah atau mereka yang hendak menyeru kepada kebaikan. Tentangan juga datang di kalangan kaum keluarganya apabila isteri serta anak-anak baginda tidak menjadi pengikutnya. Lalu Nabi Nuh a.s mengadukan segala kesedihan dan kepedihan yang ia hadapi kepada Allah dan memohon pertolongan dan petunjuk-Nya sehingga Allah mewahyukan kepada-Nya, “Bahwasanya sekali-kali tidak akan beriman diantara kaummu, kecuali orang yang telah beriman (saja), karena itu janganlah kamu bersedih hati tentang apa yang selalu mereka kerjakan” ( Surah Hud : 36 )

Ini memberikan isyarat yang dapat difahami oleh Nabi Nuh bahawa seramai itulah sahaja pengikutnya. Lantas Nabi Nuh .a.s memohon agar Allah musnahkan sahaja orang yang ingkar dari muka bumi ini. Mungkin ini kemuncak kekecwaan Nabi Nuh s.a ( jika boleh dikatakan demikian ). Lantas Allah memerintahkan Nabi Nuh a.s membina bahtera atau kapal besar.

Bagaimana hendak membina kapal pada awal peradaban atau tamaddun manusia ketika itu yang belum pandai membuat alat untuk belayar ? Arkitek, engineer dan tukangnya ? Alat menebang pokok, gergaji dan penukul ? Tentunya pembinaan kapal tersebut dengan bantuan wahyu Allah. “Buatlah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami, dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang halim itu; sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.” ( Surah Hud : 37). Ini dikira suatu mukjizat.

Semasa pembinaan, memang berbagai cemuhan dan penghinaan daripada orang ramai lantaran membuat bahtera di tengah-tengah padang, jauh dari sungai dan laut. Bagaimana hendak melayarkan bahtera ini nanti ? Ada yang mencemuh apakah Nabi Nuh sudah bertukar profession dari seorang Nabi kepada Tukang Kayu atau Tukang Pembina Bahtera ?

Berapa lama tempoh masa membina bahtera tersebut ? Ada ahli tafsir yang mengatakan selama 100 tahun, itu bermula dari menanam pokok hinggalah kepada menebang dan mengergaji pokok tersebut. Ada pelbagai pandangan berhubung dengan saisz bahtera. Ibn Qatadah mengatakan 300 hasta panjang X 50 hasta lebar. Al Hassan mengatakan 600 hasta X 300 hasta dan Ibnu Abbas mengatakan 1,200 hasta X 600 hasta. Saiz sebagaimana pandangan Ibn Qatadah adalah yang sangat hampir dengan yang ditemui di .... Satu hasta atau jarak antara siku hingga penghujung jari tengah, iaitu sekitar 18 inci atau sekaki setengah.

Namun apabila telah siap bahtera dan sampai ketika yang dinantikan, mengelegak dan membusut air keluar dari tanah atau permukaan bumi. Akhirnya bahtera mulai terapung di permukaan air. Orang yang ingkar dengan Nabi Nuh a.s. mulai berlari menyelamatkan diri ke tempat yang lebih tinggi. Ketika inilah Nabi Nuh a.s masih cuba merayu kepada anak Kan’an dan isterinya yang ingkar untuk naik bahtera bersamanya, walaupun Allah telah menyatakan ‘tidak perlu dirayu lagi’.

Akhirnya bukit, gunung-ganang ditengelami air juga dan terkantung kantunglah kapal dipermukaan lautan tanpa sebarang daratan. Persoalan timbul adakah seluruh dunia yang tenggelam atau apakah hanya sebahagian sahaja dunia iaitu yang berpenghuni ? Berbagai pendapat mengenai hal ini. Tetapi kalau gunung ( tapi setinggi mana ? ) pun jadi tenggelam, fikir-fikirkanlah sendiri ? Agaknya ketika ini banyak haiwan seperti dinasour jadi pupus. Ini perlkan suatu kajian lanjut barangkali.

Ibu Abbas meriwayatkan bahawa manusia di dalam bahtera Nabi Nuh a.s seramai 80 orang termasuk Nabi Nuh a.s, tiga anaknya dan perempuan perempuan. Turut berada dalam bahtera ialah haiwan yang berpasang-pasangan.

Riwayat dari Ibu Abbas mengatakan bahawa tempoh bahtera terapung dalam banjir besar tersebut ialah 150 hari. Ibnu Qatadah pula menyatakan 150 hari, mulai dari 10 Rejab hinggalah kepada 10 Muharram. Maka keluarlah apa yang disebut sebagai Hari Asyura pada 10 Muharram yang dianjurkan berpuasa, tetapi sebaliknya umat Melayu merayakannya dengan membuat Bubur Asyura. Dikatakan bahawa mendaratnya bahtera Nabi Noh a.s di atas Bukit Judiy pada 10 Muharram datangnya daripada hadith yang lemah, apatah lagi hendak menjelaskan tentang anjuran memasak bubur khas tersebut. So, tidak perlulah membuta mengikutinya dan mungkin lebih baik menyambutnya dengan puasa, berzikir dan membaca Al-Quran.

Diriwayatkan bahawa ketika hampir wafat Nabi Nuh a.s, baginda ditanyakan oleh malaaikat, “Bagaimanakah rasanya tinggal di atas muka bumi ini bertahun begitu lama”, Nabi Nuh a.s menjawab, “Aku melihat kehidupaan di atas muka bumi ini seperti sebuah rumah dengan dua pintu. Aku masuk menerusi satu pintu dankeluar daripada pintu yang satu lagi”. Maksudnya ianya berlaku begitu cepat sekali.
Share:

Pengalaman Menghadapi Disaster ICT

Sejak beberapa bulan yang lalu, kapasiti Central Processing Unit ( CPU ) komputer di pejabat ku sering mencecah 100%. Kalau ikutkan fahaman biasa, 100% bermaksud fully utilize, kira baguslah. Tetapi dalam istilah computer , apabila CPU mencapai tahap 100%, bermakna system akan menjadi slow dan silap-silap program jadi hang dan kena ‘reboot’. Namun sejak awal Jun, keadaan CPU di pejabatku semakin teruk. Komplen mulai diterima sana dan sini. Ini mencetuskan beberapa siri mesyuarat bersama penyelenggara sistem komputer pejabatku. Namun masih kurang berhasil. Lantas mesyuarat tergempar diadakan bagi menjelaskan perkara ini kepada pihak atasan serta mencadangkan tindakan yang sewajarnya diambil.

Mulai daripada mesyuarat pertama pada 17 Jun 2009, aku sendiri menjadi kelam kabut. Pelbagai maklumat, data, perangkaan dan analisis perlu di sedia dan dibuat untuk pihak pengurusan membuat keputusan. Aku menjadi tension. Sering pulang lewat malam dalam keletihan mental dan fizikal. Beberapa siri mesyuarat diadakan yang melibatkan pelbagai pihak termasuk rakan niaga serta agensi pusat yang berkaitan.

Tindakan awal untuk mengurangkan beban pemprosesan CPU dengan mengurangkan pelaksanaan aplikasi on-line serta pemrosesan kelompok data yang diterima daripada rakan niaga tidak banyak membantu. CPU tetap mencecah hampir 100% dan respon sistem komputer masih slow. Komplen masih diterima. Namun bagi membolehkan orang ramai dapat berurusan, waktu komputer dibuka sehingga 6.30 petang setiap hari bekerja, manakala hujung minggu dibuka dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Pihak pengurusan masih tidak mahu membuat kenyataan akhbar, atas arahan Tan Sri KSN supaya mendapatkan jalan penyelesaianya dahulu. Rakan niaga yang dipanggil walaupun diminta merahsiakan masalah yang dihadapi, tetapi diminta menghebahkan bahawsa ’sistem menghadapi gangguan dan kerja mengatasinya sedang dilakukan’. Ada yang mendakwa kerugian sebab transaksi tidak dapat dijalankan. Habis tu nak buat camana ? Gomen pun kurang collection hariannya !!! Orang tengah nazak, patutnya bantulah sama ....

Apake jadah tetiba keluar kat paper The Star, my ofis is now ’on-line’. Tak kena masa betul. Mungkin atas keluarnya artikel tersebut serta taluan komplen yang terus terusan masuk kedalam ‘blackberry’ bos no 1 ku, lantas ‘darurat’ atau bencana diistiharkan. Sistem komputer terpaksa dipindahkan kepada Data Recovery Center ( DRC ) di Bukit Jelutong Shah Alam. Memandangkan MIPS CPU di DRC lebih rendah, pihak pembekal sudi menambahkannya kepada yang lebih tinggi keupayaannya. Sebelum ini aku ingat untuk meningkatkan MIPS, kena tambah sekeping atau beberapa keping MIPS. Rupanya hanya masukkan ’kod-mikro’yang dihantar daripada Perancis. Teknologi sekarang berbanding dahulu.

Penggunaan DRC adalah sementara waktu iaitu untuk tempoh 3 bulan. Sementara itu, usaha akan dilakukan untuk mendapatkan CPU baru menggantikan yang sedia ada. Sekurang-kurangnya dapat dibuktikan bahawa kalau selama ini jika dikatakan komputer ofisku yang sudah uzur dan akan ‘collapse’ bila-bila masa tetapi tidak diendahkan, sekarang inilah buktinya. Permohonan untuk menukar kepada yang baru telah dikemukakan sejak 2 tahun yang lalu, tetapi last-last ( baru bulan lepas diketahui ) kena retender.


Maka berkampung kami di sebuah hotel berdekatan DRC tu petang 26 Jun 2009. Selepas taklimat pelaksanaan, kami melawat DRC bersama wakil-wakil agensi pusat yang hadir. Berbanding dengan simulasi dan latihan DRC sebelum yang pernah diadakan sebelum ini, peralihan ke DRC kali ini hanya melibatkan CPU serta tape drive dan storan.

Manakala server masih kekal di pejabat asal. Ini dibuat bagi membolehkan peralihan ini dapat dilakukan dengan cepat dan kira transparen kepada agensi rakan niaga. Mereka tak perlu buat sebarang setting seperti yang pernah dibuat dalam latihan atau simulasi sebelum ini

So komputer ofisku ‘berpindah’ secara rasminya ke DRC Bukit Jelutong mulai 8.30 pagi 27 Jun 2009. Semuanya rasa gembira sebab pada awal pagi itu semuanya berjalan lancar. Tetapi sungguh mengejutkan apabila kapasiti pemprosesan CPU hanya di sekitar 30%.

Daripada laporan yang diterima, semuanya kata laju, cepat dan kini boleh tersenyum lebar memberikan khidmat kepada orang ramai, berbanding kekalutan yang dihadapi sebelum ini. Mulalah terima bertalu-talu email dan sms ’penghargaan’.Apa yang sedang dilakukan sekarang ialah memantau pelaksanaan dan membuka talian, perhubungan atau perkhidmatan kepada orang ramai satu demi satu dan impaknya kepada peratus CPU.

Pagi Ahad 28 Jun 2009, aku sempat bersama KP melawat salah sebuah cawangan berdekatan. Lenggang saja kaunter. Rasa macam membazir sahaja. Hanya beberapa orang sahaja datang membuat urusan. Sempat mendengar temubual dengan salah seorang pelanggan, dia kata ’ kerja sabtu dan ahad is not good, Saturday anda Sunday adalah hari untuk family’. Bagus juga jawapan dia. Tapi dia tahu kaunter buka pun sebab dia runner dan sering ke pejabat cawangan untuk berurusan. Patut pun tidak suka buka sabtu dan ahad, kurang income lah kepada dia nanti ...

Rabu 2 Julai 2009 jam 4.00 petang, berlangsung kekira macam ’exit conference’ atau majlis kesyukuran di Cyberbiew Lodge. Majlis ini untuk menghargai semua pihak yang terlibat secara langsung dengan program atau pelan pemulihan sistem komputer pejabatku. Sebelum itu, mereka yang hadir daripada jabatan atau bahagian lain dibawa melawat sekitar Pusat Data pejabatku yang terletak berhampiran sahaja.

Namun bagiku ada pelbagai hikmat disebalik ’krisis’ yang dihadapi. Jika selalunya menghadapai krisis begini hanya secara teori dalam kelas, namun apa yang baru berlaku kiranya secara praktikal, buka olok-olok mahupun cobaan. Krisis yang dihadapi perlu diurus dengan baik, bukan membiarkan apa yang berlaku menguruskan kita, terok dibuatnya kita. Yang penting kerjasama di kalangan raka setugas dan sepejabat. Sekurang-kurangnya tempat meluahkan apa yang terpendam.

Umpama kapal yang hendak karam atau overloading. Perlu dibuang keluar mana yang tidak perlu dengan segera sebelum betul-betul karam. Persoalannya mana yang perlu hendak dibuang dahulu, apa fakta atau data yang menyokongnya ? Apa implikasi lain sekiranya ianya dibuang ?

Aku pula kini mulai kenal lebih ramai warga sepejabat denganku. Kalau dulu kekadang kat kedai makan di bawah ofis pun tidak kenal. Tetapi kini kenal dengan lebih rapat dan tahulah sedikit sebanyak tabiat, cara kerja, cara bertindak dan perangai memasing. Ini kerana kerja di ruang yang dekat-dekat ( sebab takde ruang kerja yang selesa ) dan makan minum pun ditempat yang sama yang disediakan.

Lagi gambar di http://picasaweb.google.com/jhm1663/CPU100#
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.