Day 1 ( Rabu, 21 Okt / 2 Zulkaedah )
Kapalterbang menjejaki Lapangan Terbang Madinah kekira jam 7.30 pagi waktu tempatan. Alhamdulillah sampai dan lega rasa dapat keluar dari perut kapalterbang. Namun untuk melepasi pemeriksaan di lapangan terbang, jam 9.30 baru dapat keluar. Ketika itu jemaah Turki dengan pakaian yang sama dan seragamnya sedang membuat pemeriksaan dan jemaah Malaysia diminta menunggu.
Selain pemeriksan kesihatan secara rambang. kami terpaksa melakukan scanning sepuloh jari kiri dan kanan serta diambil gambar menerusi kamera yang disediakan. Itu yang lama, beberapa jemaah Malaysia yang tidak sabar cuba memotong giliran apabila kumpulan jemaah dari Turki telah hampir selesai dan tiada yang queue.
Nampaknya petugas TH kurang membantu, khususnya macam tidak mahir berbahasa Arab untuk berkomunikasi dengan petugas lapangan terbang. Mungkin TH boleh ambil sementara pekerja rakyat Malayisa yang belajar/bertugas di Madinah.
Dengan menaikki bus yang sedia menunggu, terus kami di bawa ke hotel tempat penginapan kami. Melihat keluar cermin bus, keadaan bangunan dan bentuk muka bumi, bukit-bukit gondol serta bangunan kotak-kotak, terasa tak sabar nak sampai ke hotel penginapan untuk berehat.
Kekira 10.15pagi, sampailah kami ke Hotel Movenpick. Seronok bukan kepalang aku rasa, sebab hotel tu terletak beberapa meter sahaja daripada Masjid Nabawi. Pada asalnya aku ditempatkan sebilik dengan adik iparku, manakala adik perempuanku serta anaknya tiga orang sebilik dengan isteriku.
Lantas kami membuat penukaran. Maka duduklah aku dan isteriku sebilik. Aku rasa pakej TH atau swasta lain pun tak dapat macam ini. Syukur. Bilik kecik saja, tetapi lengkap dengan TV, peti sejuk, bilik air serta pantry. Agaknya 4-star hotel kot ? Tapi ada jemaah lain duduk sebilik tiga atau empat orang sebilik dengan katil berasingan.
Terkejut sebab 12.10 tengahari sudah dengar azan zuhor dan terus bergegas ke Masjid Nabawi. Aku mahu pastikan yang aku sentiasa dapat solat berjemaah di Masjid Nabawi bagi menggarap janji Rasulullah sebagaimana sabdanya, ‘Solat di masjidku ini lebih afdhal 1,000 kali daripada solat di tempat lain, kecuali di Masjidil Haram. ( H.R Bukhari & Muslim ).
Aku juga mahu pastikan dapat solat di sana setiap lapan hari berada di Madinah bagi mencukupkan 40 waktu berturut-turut, kerana terdapat hadis yang menyebut keutamannya berbuat demikian walaupun dikatakan hadiz dhaif. Dari Anas bin Malik, berkata Rasulullah s.a.w bersabda, 'Sesiapa yang mengerjakan solat 40 kali dalam masjidku tanpa tertinggal satu waktu pun akan ditulis untuknya keselamatan daripada neraka, selamat daripada seksaan dan terlepas daripada sifat Munafiq'( H.R Ahmad ).
Lepas solat cuba-cuba intai juga di mana Rawdah dan maqam Rasulullah s.a.w. Tapi terus kembali hotel untuk makan tengahari, sebab terasa lapar.
Lepas asar jam 3.15 petang, aku berjaya masuk ke kawasan Rawdah, berdasarkan warna karpet. Alhamdulillah. Memang terasa lain, tetapi apakah disebabkan warna karpet serta tiang dan hiasannya.
Inikah yang dikatakan taman syurga ? Tapi aku rasa syurga jauh lebih daripada ini. So aku cuba sampaikan ‘doa-doa kiriman’ selain doaku sendiri.
Kemudian aku lalui hadapan maqam Rasulullah s.a.w, sambil mengucapkan salam serta berdoa. Maqam tu terletak dalam bilik yang malap dan tidak begitu jelas kelihatan kedudukan dan bentuknya, termasuk maqam Abu Bakar dan Saidina Ali. Tetapi ukiran dan hiasan di luar sangat cantik. Ramai yang kelihatan berdoa menghadap maqam, sedang yang dianjurkan ialah berdoa menghadap kiblat. Kemudian aku masuk balik sebelah belakang maqam. Di sana, sempat aku sampaikan semula salam kepada Rasulullah s.a.w serta kiriman salam saudara mara dan rakan-rakan dengan lebih tenang sekali sebab orang tidak beramai. Ambik gambar posing sendiri pun senang.
Lepas Maghrib baru aku mulakan bacaan al-Quran ku. Sasaranku khatam 30 juzuk sekali sepanjang pemergian aku ke tanah suci ini, dengan al-Quran khas yang aku bawa, bertajwid serta ada terjemahan. Lepas isyak lakukan window shopping dalam perjalanan pulang ke hotel, sebab terasa malam masih awal.
Day 2 ( Khamis, 22 Nov / 3 Zulkaedah )
Aku bangkit seawal 2.30 pagi untuk Qiamullail di Masjidil Nabawi. Jam 4.10 pagi aku terkejut sebab azan dilaungkan sedangkan masuk Suboh jam 5.10 pagi. Rupanya memang rutinnya begitu. Agaknya untuk membangkitkan orang supaya bangkit awal.
Jam 8.00 pagi kami jemaah dari KT03 berkumpul di halaman Hotel untuk aktiviti Ziarah Dalam yang dikendalikan oleh TH. Ketika ini aku bertemu dengan Sdra Mohd Rezal, jiran lama di Cemara 2, Saujana Utama. Secara berkumpulan kami dibawa kepada ‘Pintu As-Salam’. Selepas itu kami di bawa masuk ke masjid oleh Pegawai Masjid.
Setelah solat tahiyatul masjid, kami di tunjukkan kawasan Rawdah dan dibariskan secara berlima. Ingatkan ini peluang untuk dibawa untuk solat di hadapan mimbar di kawasan Rawdah, tapi entah kenapa tak jadi.
Rawdah merupakan satu tempat mulia yang terletak antara rumah asal Rasulullah s.a.w hingga mimbar masjid. Hadis riwayat Bukhari & Muslim, sabda Rasulullah s.a.w, ‘Diantara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga’.
Rawdah menjadi tempat ibadah utama Rasulullah dan para sahabat, tempat turunnya wahyu dan menjadi salah satu tempat makbul doa. Kini dibezakan dengan kawasan lain di masjid ialah karpetnya yang berwarna hijau keputihan, manakala kawasan lain merah. Juga dibezakan dengan tiang yang ditutupi marmar berwarna putih.
Seterusnya ditunjukkan kedudukan Maqam Rasulullah s.a.w, Saidina Abu Bakar serta Ali bin Abu Talib yang terletak bersebelahan. Rupaya dalam kawasan makam ini masih terdapat satu lagi ruang kosong yang akan menjadi maqam untuk Nabi Isa nanti. Jika dilihat daripada luar, maqam tersebut terletak betul-betul di bawah kubah berwarna hijau,
Keluar daripada masjid, kami terus diarahkan ke Tanah Perkuburan Baqi. Tanah perkuburan ini adalah bagi penduduk bumi Madinah sejak zaman Rasulullah dan masih digunakan.
Terdapat kira-kira 10,000 perkuburan para sahabat dan di sinilah dimaqamkan semua isteri Rasulullah ( kecuali Saidatina Khadijah ), puteri dan cucu baginda, Hassan.
Gambar di atas adalah ketika aku berada disisi maqam Saidina Usman Affan. Saidatina Aisyah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah setiap malam giliran dengannya, baginda akan keluar lewat malam menziarahi perkuboran ini lalu memberi salam dan memohon keampunan buat mereka yang dikebumikan di situ. Inilah kelebihan tanah perkuboran ini. Malangnya kami tidak diberikan sebarang petunjuk kubor-kubor orang tertentu. Apakah dibimbangi akan menjadi bahan pemujaan orang ramai ?
Lepas lawatan, cari apa yang boleh dimakan buat sarapan. Beli kebab dengan harga SR4 satu. Banyak kedai telah dibuka, malah seawal sebaik selesai solat suboh. Kemudian balik makan di bililk. Kebab tidaklah sesedap seperti yang terjual di pasar malam Malaysia. Ambil peluang tipon Mak di Johor serta anakku, Kak Di.
Isteriku tidak berapa sihat kerana selsema, kemudian kami ke Klinik Tabung Haji yang disediakan. Juga singgah di tempat pengeluaran wang Tabung Haji yang disediakan dalam bangunan hotel. Nampaknya kSaudi Rial lebihrendahnilainya daripada Ringgit Malaysia. Kalau keluarkan RM300, TH akan berikan kita SR330.
Ketika hampir maghrib, ramai yang kerkumpul dan bersusun elok dalam masjid Nabawi untuk berbuka puasa. Menarik juga pemandangannya. Mereka pelawa juga aku makan apabila melaluinya, tapi malulah rasanya sebab kita tak puasa. Lepas berbuka, habis semuanya dimasukkan dalam karung sampah dengan pekerja masjid, sama ada habis dimakan atau tidak.
8.30 malam, diadakan ceramah untuk jemaah KT03. Ustaz Abu Bakar mengingatkan kita agar menjaga kata-kata dan tingkah laku baik di Madinah.
Tinggalkan ego diri dan yang berlaku, terimalah dan anggaplah sebagai suatu ujian sejauh mana kemampuan pengorbanan kita serta menjadikan kita lebih mengenali diri kita lagi. Ambillah peluang beribadah memandangkan pahala 1,000 kali solat di Masjid Nabi berbanding masjid lain. Sebenarnya aku agak mengantuk dan keletihan malam itu, balik bilik terus tidur.
Day 3 ( Jumaat 23 Nov / 4 Zulkaedah )
Selepas sarapan seawal 6.30 pagi, kami berkumpul untuk aktiviti Ziarah Luar dengan menaikki bas. Pemandu Pelancong kami merupakan seorang pelajar tahun 2 University Madinah, berasal dari Kedah. Nampak bagus penerangan yang diberikannya.
Keistimewaan Madinah
Sambil bas berjalan beliau menerangkan mengenai keluasan Madinah yang meliputi batas 16km dari utara ke selatan. Terdapat hadis sahih yang menyebutkan tentang batas bumi Madinah, lantas kerajaan Arab Saudi meletakkan batas sempadannya.
Bumi yang penuh berkat ini mempunyai banyak keistimewaan seperti janji syafaat dan kesaksian Rasulullah di akhirat bagi yang sabar dengan kesusahan dan kesulitan di Madinah, syafaat Rasullullah bagi yang meninggal di Madinah, doa Rasulullah akan keberkatan dalam urusan kehidupan penduduknya serta terpelihara daripada fitnah dajal dan ancaman wabak taun.
Dalam pada itu, diharamkan bukan Islam memasukkinya, membunuh atau memburu binatang, mencabut atau membinasakan pokok yang hidup dan melakukan kejahatan kepada penduduknya.
Masjid Quba
Mula-mula kami di bawa ke Masjid Quba yang terletak kira-kira 5km dari Masjid Nabawi. Inilah masjid yang mula-mula dibina oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat setelah berhijrah dari Mekah.
Namun binaan sekarang bukan lah yang asal dan telah mengalami beberapa renovasi. Keistimewaan masjid ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, ‘Barangsiapa telah bersuci ( berwudhu ) di rumahnya, kemudian mendatangi masjid Quba’, lalu solat didalamnya dua rekaat, maka baginya sama dengan pahala umrah’. ( Sunan Ibnu Majah )
Lantaran itu, Rasulullah s.a.w sering menziarahi atau berkunjung ke masjid ini.
Medan Uhud
Kemudian kami menuju ke Medan Pertempuran Uhud yang terletak kira-kira 5 km daripada Kota Madinah.
Tiada sebarang binaan kelihatan atas bukit ini. Tetapi tampak meriah disebabkan aktiviti jualan di Pasar Uhud di kaki Jabal Uhud. Sabda Rasulullah, ‘Uhud adalah bukit yang mencintai kami dan kami mencintainya’( H.R Bukhari ). Bagaimana mencintai bukit ?
Di sini Pemandu pelancong kami menceritakan dengan agak terperinci detik Peperangan Uhud dengan mengaitkannya dengan lokasi serta bukit yang terdapat disekitar medan pertempuran yang masih ada.
Bukit Memanah yang menempat pasukan memanah yang ingkar akan arahan Rasulullah untuk sentiasa berada pada kedudukannya masih gah berdiri di belakangku untuk memberikan keinsaafan kepada para pengunjung.
Terdapat kawasan perkuburan bagi mereka yang syahid di medan Uhud, termasuk Saidina Hamzah. Rasulullah sering ke sini mengucapkan salam dan berdoa, ‘Selamat sejahtera buat kamu di atas kesabaran kamu dan nikmatilah sebaik-baik tempat tinggal ( syurga )’ ( Surah Al-Radu : 24 ).
Lokasi masjid yang dibina di sini merupakan tempat gugurnya Saidina Hamzah. Melihatkan suasana sekitar Jabat Uhud, tidak dapat aku bayangkan bagaimana agaknya ‘suasana’ peperangan zaman Rasulullah, khususnya Peperangan Uhud.
Masjid Qiblatain
Disini bas yang kami naikki cuma berhenti di sebelahnya sahaja, memandang masjid dari dalam bas. Ah! kecewa juga aku dibuatnya.
Masjid ini menjadi sejarah bersempena dengan turunnya ayat agar Rasulullah s.a.w menjadikan Kaabah sebagai kiblat ketika Rasulullah sedang solat menghadap Baitul Maqdis.
Masjid Tujuh
Masjid tujuh pun Cuma lalu dan lihat dari dalam bas. Menurut pemandu pelancung, menjadi tradisi orang Arab dahulu menjadikan tempat para sahabat beribadat dalam menghadapi peperangan sebagai masjid. Masjid Tujuh timbul daripada peperangan Khandak, di lokasi mana para sahabat bermunajat. Kesan parit yang digali bagaimanapun sudah tiada dan walaupun dinamakan Masjid Tujuh, hanya satu masjid sahaja ada.
Ladang Kurma
Kemudian kami dibawa ke sebuah ladang kurma. Namun rupanya bukan musimnya, so tidak nampak tangkai kurma di atas pokok.
Jualan pelbagai produk berkaitan buah kurma dijual di kedai yang disediakan. Namun aku rasanya agak mahal sikit. Aku katakan dengan isteriku, nanti kita pergi Pasar Kurma, katanya di sana lagi murah. Namun ramai juga yang berpusu-pusu serta ghairah membelinya di sini.
Lepas tu terus balik ke Hotel sebab hari ini hari jumaat dan kebiasaannya orang ramai termasuk yang duduk di luar Madinah atau yang berjauhan datang untuk bersolat Jumaat di Masjid Nabawi.
Waktu malam, round-round sekitar sebahagian masjid serta bazar jualan di sebelah hadapan Masjid Nabawi.
Terasa macam di Chow Kit Road atau pasar malam, apabila mereka mempelawa kita singgah dalam bahasa Melayu. Tetapi apa yang tidak menariknya, dalam hal menarik pelanggan ke kedai masing-masing, penjual di bazar tersebut 'menarik tangan' kita seolah-olah memaksa masuk. Apabila tidak beli terdengarlah perkataan seolah-olah bunyi 'bakhil' daripada mulut mereka, seperti mengatakan kita bakhil sangat sampai tak mahu beli barangan jualan mereka.
Lama tidak kelihatan, 2 beradik warga emas disahkan maut
12 minutes ago
3 Komen:
Salam Hj,Saya ingin bertanya kan kepada tuan Hj, berapa harga pakej tuan hj pergi ke mekah ni? sya ni tak tahu apa sebenarnya. sekadar bertanya. Wassalam
Waaaa... dapat tidur sebilik... adakah tahun hadapan akan lahir seorang anak "buatan" madinah hehe.... Apa-apapun.. Tahniah Bang Hassan kerana telah berjaya menyempurnakan Rukun Islam Kelima.. Takbirrr
Saya pergi dengan pakej muasasah tabung haji yang biasa. Rega RM 9,998 saja. Tapi dengonya dapat subsidi drp TH RM 2,500. Kekiranya akan datang kos haji melalui pakej muasasah TH akan meningkat akan datang.
Post a Comment