Bario bermaksud angin dalam bahasa Kelabit. Kelabit merupakan suku kaum utama di Bario. Bario merupakan dataran tinggi yang terletak kira-kira 1,150 meter dari aras laut, di kawasan timur-laut Sarawak bersempadan dengan Kalimantan Indonesia. Bario dikelilingi hutan tebal yang bergunung ganang yang cantik pemandangannya, termasuklah Gurung Murud setinggi 2,400 dari paras laut, yang merupakan gunung tertinggi di Sarawak. Memandangkan terletak di kawasan tinggi, udara di sekitar Bario sentiasa sejuk ( sekitar 15 – 25 darjah Celcius ) dan boleh dikatakan nyaman.
Aku berkesempatan ke sana pada September lalu atas program Jabatanku. Perjalanan ke Bario dari Miri adalah dengan kapal terbang kecil yang dipanggil Twin Otter. Muat untuk 19 orang tidak termasuk 2 orang pilot dan pembantunya. Sebelum berlepas, kena timbang dimana setiap orang tidak melebihi 100kg termasuk beg hand-carry. Aku bersama jajan yang dibeli, seberat 99.5kg !!! Jajan ku beli di Miri atas pesanan rakan untuk di sumbangkan kepada penduduk, khususnya bebudak di Bario nanti.
Walaupun penerbangan cuma selama kira-kira 50 minit, namun ia merupakan pengalaman yang cukup menyiksakan. Kapal terbang terbang rendah sahaja. Pemandangan luar yang cantik pun tidak dapat nak dihayati sepenuh hati lantaran bunyi bising enjin kapal terbang serta flight macam tidak stabil, terutamanya selepas melanggar awan.
Bergoyang-goyang kejap turun dan naik ke atas, kecut perut jadinya. Aku tak dapat bayangkan kalau angin kuat atau hujan lebat turun ketika itu. Bebanyak istighfar, mengicap dan berselawat sajalah.
Perjalanan darat menerusi jalan raya serta off-road dari Miri ke Bario dikatakan memakan masa kira-kira 14 – 17 jam, bergantung kepada cuaca. Fuh !! Aku kira Twin Otter yang dikendalikan oleh MASWing sekadar khidmat masyarakat. Hanya dua penerbangan sehari ke Miri dengan tambang kira-kira RM 98 sehala.
Hutan, gunung ganang, ladang, kawasan sawah, berpenduduk dapat dilihat dengan jelas semasa perjalanan dari tingkap Twin Otter. Sempat juga melihat Bukit Lawi yang merupakan nature yang agak ajaib di kawasan pergunungan berdekatan Bario.
Sambutan Bario
Di Bario, kapal terbang mendarat di Lapangan Terbang Bario, sebuah lapangan terbang bersaiz kecil, khusus untuk pesawat penumpang MASWings Twin Otter. Sampai di airport, kami di sambut mesra oleh Penghulu serta pimpinan penduduk di sini.
Kemudian kami dibawa dengan kenderaan 4WD ke satu kawasan lain untuk sambutan kedatangan daripada penduduk pula.
Selain daripada alunan muzik dan tarian tradisional, kami juga dihulurkan dengan buah nanas, untuk di sedut airnya dengan menggunakan straw yang disediakan. Memang tengah kehausan, sebab tidak disediakan minuman atas flight tadi.
Homestay Pak Mus
Kemudian kami makan tengahari di tempat penginapan kami berupa ala-ala homestay. Itulah satu-satunya rumah tumpangan yang dikendalikan oleh seorang Muslim yang juga ketua salah sebuah kampung bernama Mustaffa Raja (a Muslim convert ) atau kami panggil Pak Mus.
Dalam homestay binaan kayu tersebut, terdapat kira-kira 12 bilik yang berkongsi dua orang setiap bilik. Terdapat dua bilik air yang dikongsi semua penghuni serta kemudahan TV satelit. Air dan api Nampaknya kena ambik giliran nak masuk bilik air.
Nanas Dan Beras Bario
Kerana terlalu lapar, atau terasa kosong perut selepas kecut perut menaikki Twin Otter tadi, banyak juga yang dimakan. Aku dimaklumkan bahawa banyak bahan mentah yang dibawa oleh Jabatanku dari Miri lagi. Selain memastikan kehalalan, juga memudahkan berbanding jika beli di sini yang juga tinggi harganya.
Khabaranya nasi tengahari tersebut merupakan beras Bario. Memang terasa lemak semacam, walaupun butirannya kecil-kecil sahaja. Tapi yang paling bestnya ialah rasa nanas bario. Manis, sedap dan tidak lidas. Rupanya di sini memang terkenal dengan nanas Barionya.
Kalau di Semenanjung, nanas banyak terdapat di tanah gambut seperti di Benut dan Pontian. Tetapi nanas Bario di tanam juga di lerang-lereng bukit.
Sawah Padi Bario
Selesai makan dan solat, kami di bawa ke Rumah Panjang Bario Asal. Dalam perjalanan kami dapat melihat suasana sekitar Bario. Memang cantik pemandangan sawahnya yang luas menghijau serta berlatar belakangkan gunung ganang.
Namun ketika ini, kebanyakkan sawah seperti masih baru ditanam. Tiada pokok padi yang telah berbuah, apatah lagi sedia untuk dituai. Malah ada yang sedang di semai lagi. Kelihatan petak sawahnya seperti biasa di semenanjung sahaja.
Cuma kelebihannya barangkali di tanam di dataran tinggi. Sebelum ini aku ingat padi bario ditanam di lereng bukit. Ternyaka salah sangkaan aku. Jentera moden seperti bajak kelihatan digunakan. Aku difahamkan benihnya Padi Bario disemai terlebih dulu pada Jun sebelum dipindahkan ke sawah sekitar Julai dan Ogos. Manakala musim menuai bermula pada Disember hingga awal Februari.
Beras Bario memang dikenali ramai dan harganya juga mahal. Apakah mahal kerana ianya sedap atau mahal kerana kos hendak membawanya keluar dari Bario adalah tinggi. Tetapi kalau tiada permintaan dari luar tentang beras Bario ( lantaran keistimewaannya ), tentunya tiada nilai dagangan juga beras ini.
Beras Bario dihasilkan secara organik dan bebas daripada pencemaran alam, menyebabkan ia selamat dan sesuai dimakan semua peringkat umur. Tak pastilah kandungan kanjinya.
Rumah Panjang Asal Bario
Penduduk Bario pada asalnya dulu merupakan sebuah rumah panjang yang kemudiannya berkembang dan menjadi lebih moden sehingga hari ini. Kini hanya terdapat sebuah rumah panjang yang dianggap moden juga serta menjadi tarikan pelancung atau sesiapa yang berkunjung ke Bario. Rumah Panjang Bario Asal itu merupakan satu-satunya rumah panjang yang masih tinggal.
Ia juga dikaitkan dengan usaha pihak berkuasa suatu ketika dahulu untuk mengumpulkan penduduk Bario yang bertaburan khusunya yang bersempadanan dengan Indonesia, bagi melindungi mereka daripada serangan semasa konfrantasi.
Tiba sana, kami di sambut mesra keluarga ketua rumah panjang tersebut serta penghuninya. Kebanyakkan mereka nampaknya berpakaian tradisional mereka.
Ikut sahaja tarian mereka yang simple, kemudian sesi ucapan balas, jamuan serta gambar beramai-ramai. Kami juga diberikan peluang masuk ke dalam rumah-rumah tersebut untuk melihat dengan lebih lanjut lagi keadaan rumah panjang.
Rumah panjang ini merupakan rumah kayu beratap zink dengan kira-kira 30 buah rumah atau pintu. Not too bad, lengkap dengan set sofanya, peralatan elektrik, malahan flat TV 42 inci pun ada. Terdapat juga kedai yang menjual hasil kraftangan penduduk Bario barangkali. Dikatakan reganya murah jika dibandingkan dengan di Miri nanti. Tidak ketinggalan, mereka juga melanggani siaran stesen TV berbayar.
Kebanyakan penduduk Bario terdiri daripada kaum Kelabit, etnik terkecil di Sarawak. Dikhabarkan masih terdapat sekitar 5,000 orang Kelabit di Sarawak dari 1,000 daripadanya menetap di Bario. Majoritinya penganut keristian.
Di Padang Bola
Selepas itu, kami di bawa ke padang sekolah bagi menyaksi pertandingan bolasepak antara penduduk dengan Jabatanku. Padangnya sangat tidak rata.
Mungkin itulah satu-satunya juga padang untuk masyarakat Bario bermain bola. Kami dimaklumkan ada pemain Sarawak yang berasal dari Bario. Hebat juga.
Sambil menonton perlawanan bola, sempat berbuat dengan salah seorang guru SK Bario yang berasal dari Melaka. Dah dua tahun mengajar di ini. Katanya tiada masalah dengan orang di sini walaupun berlainan agama. Orang Bario baik-baik belaka dan menghormati kehadiran beliau.
Apa Istimewanya Bario ?
Kalau nak dikirakan, apa istimewanya Bario ? Beras dan nanas Bario sahaja ? Dikatakan ramai orang Bario telah menjadi terkenal dan memegang jawatan tinggi. Antaranya Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Manteri yang sebelumnya merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia. Aku berkesempatan melalui rumah keluarga beliau di sini. Rumah kayu biasa sahaja tapi agak besar juga.
Aku difahamkan, setiap keluarga di sini mempunyai sasaran, mesti ada di kalangan ahli keluarga mereka yang berjaya ke menara gading. Walaupun mempunyai pelajar atau murid sekitar 200 orang, SK Bario dan SMK Bario menjadi begitu penting di sini.
Just imagine, sekiranya ada pasukan atau penyertaan dari sekolah di sini hendak menyertai sebarang pertandingan peringkat MMSD atau MSSM, dengan flight Maswing Twin Ottter juga ? Yang duduk asrama, belajar di IPTA pula ....
Kemudahan Awam
Selepas habis perlawanan bola, hujan gerimis turun dan kami balik ke rumah penginapan untuk bersiap bagi progam malam ini. Dalam perjalan pulang kami melalui bangunan sekolah serta asrama yang menempatkan pelajar dari pendalaman. Terdapat juga perpustakaan awam serta gereja yang berdekatan.
Nampaknya banyak juga kemudahan yang terdapat di sini. Rasanya pelbagai inisiatif dan projek dilaksanakan. Antaranya yang jelas kelihatan ialah Pondok / Balai Polis, Kem Tentera, Sekolah Menengah dan Sekolah Kebangsaan, klinik, Projek eBario ( perhubungan Internet menerusi komputer untuk komuniti ) serta ‘kompleks perniagaan. Di sini nampaknya hanya talian Celcom 019 sahaja yang boleh digunakan.
Khabarnya kadar kelahiran di sini masih rendah. Pasangan muda yang telah berkahwin banyak yang memilih untuk keluar dari Bario. Ada juga mana yang hampir bersalin, memilih untuk ke bandar Miri atau Marudi yang lebih dekat.
Bekalan elektrik di sini katanya masih menggunakan generator. Suatu ketika dulu ada usaha membina empangan hidro elektrik. Tapi projek yang bernilai RM 13 juta, terbiar begitu sahaja hanya selepas berkhidmat tidak sampai 10 minit memberikan bekalan elektrik kerana tak ‘cukup power’. Ia kemudian dikatakan musnah akibat tanah runtuh.
Rasanya tak ada bank serta tak nampak pulak pejabat pos di sini. Bagaimana orang sini nak pos-mengepos ?? Masjid mahupun surau ?
Jalan-jalan di sini nampaknya merupakan jalan tanah biasa. Permukaannya tidaklah rata. Sesekali jalan simen. Tetapi tidaklah boleh bergerak laju. Kelihatannya hanya kenderaan 4WD digunakan di sini. Kalau hendak buat jalan tar tentunya kos tinggi untuk membawanya dari luar. Kos penyediaan jalan bersimen di sini pula khabarnya menelan belanja RM 3,000 untuk sepanjang 6 kaki sahaja.
Tiada pengangkutan awam di sini. Kenderaan pickup atau 4WD diguna untuk mengangkut barang dan motosikal serta basikan menjadi pengangkutan utama oleh penduduk di sini. Tidak kelihatan pulak kereta jenis saloon.
Kesejukan
Hujan semakin lebat. Air paip begitu sejuk. Tapi terasa badan tak sedap, aku gagahkan diri dan mandilah juga. Sejuk sungguh, tambahan hujan pulak tu. Aku difahamkan air di sini disalurkan daripada empangan yang juga dibina untuk pengairan sawah di Bario.
Lepas Maghrib, kami berkumpul semula di Dewan Orang Ramai untuk acara jabatanku. Kami dibawa dengan kenderaan 4WD secara bergilir, 3 atau 4 orang setiap trip. Jalan tanah berselut akibat hujan yang turun tadi.
Majlis Harga Barang Negara – MHBN
Macam pertama kali aku dengar. Perkataan MHBN banyak terdapat di beberapa premis pekedai di sekitar Bario. Ia merupakan usaha Kementgerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan bagi membolehkan orang Bario mendapatkan barangan perlu dan barangan kawalan seperti minyak masak, gula, susu, tepung, bawang, makanan tin dengan harga sama dengan di bandar Miri.
Umpamanya sebelum adanya MHBN, orang Bario terpaksa membayar RM 150 – RM 250 untuk setong gas masak, RM5 untuk satu liter petrol dan diesel, RM4 untuk 1kg gula dan RM3 untuk 1kg tepung gandum. Di bawah projek itu, kementerian melantik peruncit terpilih untuk membekalkan barangan keperluan dan minyak dengan kos pengangkutan ditanggung kementerian.
Permintaan gas memasak semakin tinggi di sini, memandangkan kayu api dikatakan sukar juga hendak diperolehi ketika ini. Ia juga berkaitan dengan pertambahan permintaan daripada homestay yang turut mengguna gas berkenaan.
Peruncit MHBN banyak beroperasi di kawasan pendalaman khususnya di Sabah dan Sarawak, dimana pengangkutan menjadi masalah yang besar.
Perubahan Budaya
Semasa majlis Jabatanku pada malam tersebut barulah nampak penduduk Bario dengan pelbagai rupa dan gaya. Aku kira orang di sini berkulit agak putih, maklumlah di tanah tinggi dengan suhu yang rendah. Tak adalah panas terik yang membakar kulit.
Betulkah bagai dikatakan, orang pendalaman di sini cantik-cantik berbanding kalau pendalaman Semenanjung. Entahlah. Tak nampak sangat anak dara, kecuali pelajar sekolah yang membuat persembahan atas pentas.
Mungkin ini majlis lebih kepada orang yang tua-tua dan tidak menarik minat remaja. Atau mungkin mereka sedang belajar di asrama or IPT di luar Bario atau telah berhijrah ke bandar dengan pelbagai pekerjaa.
Migrasi penduduk ke luar menjadi masalah di sini. Apabila kadar literasi bertambah, taraf pendidikan penduduk juga bertambah, mereka akan ke luar dari Bario. Perhubungan telefon juga ada. Tambahan TV satelit dan internet juga telah masuk di sini. Ini memberikan kesan kepada budaya penduduk Bario, khususnya generasi muda.
Makam malam itu, aku semeja dengan Pak Mus. Rupanya Pak Mus pernah mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Pulau Melaka kelantan.
Beliau juga menunjukkan jam tangan yang dipakainya, yang merupakan hadiah daripada Tuan Guru. Pak Mus beristeri dua, seorang lagi tinggal di Miri. Harap Pak Mus diberikan kekuatan dan dapat istiqamah dengan Islamnya.
Garam Bario
Satu lagi kemahsyuran Bario ialah garam Bario. Di sini terdapat lubang yang dipanggil Bario Salt Springs. Airnya yang masin, dimasak selama 24 jam sebelum diekstrak garamnya. Garam ini kemudian dimasukkan ke dalam paip buloh dan dibakar untuk mengeraskannya. Ia kemudiannya dikeluarkan dari buloh, dibungkus dengan daun dan dicadangkan disimpan di tempat yang kering dan selamat. Garam ini digunakan dalam masakan serta untuk preserve daging.
Untuk menggunakannya, buka daripada bungkusan dan dipecah hancurkan. Warnanya cokelat kelabu gitulah. Apa keistimewaan garam ini ? Rasanya tidaklah begitu masin berbanding garam biasa yang terdapat di kedai atau supermarket. Mungkin istimewa sebab ia dihasilkan dari sumber mineral yang natural.
Ke Bario Semula ?
Oh tidak !! Tak terfikir langsung. Bukan kerana kecut perut naik Twin Otter, tetapi tak ada istimewanya jika nak pergi semula dengan family. Terdapat juga dua-tiga kerat mat Salleh yang dah jadi ‘warga’ Bario lantaran berkahwin dengan penduduk di sini. Tak tahulah apa kerja dia orang.
Apakah memang ada usaha pihak kerajaan untuk mempromisikan aktiviti pelancungan supaya dapat datang ke Bario ? Setakat mana beras, nanas, garam Bario dan etnik Kelabit menjadi tarikan orang. Kalau nak berehat menenangkan fikiran di tengah-tengah pergunungan yang nyaman, tetapi berada pula ditengah-tengah kekurangan kemudahan awam, payah juga. Kalau tak ada tugas, memang tidak terfikir untuk ke sini.
Terima Kasih Musti
Yang menariknya, bersama aku sepanjang berada di Bario ialah kawan lama masa di sekolah menengah dahulu. Masa sekolah kami panggil Musti. Nama sebanarnya ialah Musti @ Sunif bin Naiman. Beliau kini bertugas sebagai Pegawai Kanan Lapangan Terbang Kuching. Tak sangka betul ...
Selepas habis tingkatan 5, kami berpisah. Dua bulan lepas jumpa sekejap di KLIA, tapi kini jumpa lagi di Bario. Beliau hadir mewakili Pengerusi Malaysia Airport Kuching.
Lagi Gambar Di Bario
Hantar anak ke balai polis kerana tak siapkan kerja sekolah
14 minutes ago
9 Komen:
Assallammualaikum, saya baru saja jadi peminat blog Tuan..nak tanya sikit Tuan bersekolah menengah dimana kerana saya dlm entry "Bario" saya terpandang gambar tuan dengan sunip Naiman ..saya pernah bersekolah dan tinggal satu asrama dengan beliau di sek men ibrahim sungei petani tahun 1982/183.
Saya satu sekolah dengan beliau dari 1976-1980, di SMS Johor ..
Cantik..terima kasih atas info ttg Bario...
salam ziarah
bila baca N3 tuan ni baru tau macam mana rupa tempat ini. info yang lengkap
Sy teringin nk ke bario. Love the nature. Phobia tang twin otter je.
Assalamualaikum. Ada tak contact info Pak Mus Homestay?
maaflah 'Ain', saya takde ...
Terbaik blog tuan..
Halo, saya mencari Bario Salt. Bolehkah anda beritahu saya jika anda boleh menjual saya?
Salam sejahtera,
Jonathan
Post a Comment