Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Kendatipun sekadar catatan peribadi, mana yang baik jadikanlah pengajaran. Mana yang kurang sesuai jadikanlah sempadan. Dalam kehidupan ini, ada saat manis, saat pahit, indah, muram, genting dan gembira. Semoga Allah memberkati hidup kita.

Pameran Topeng Muzium Negara

Topeng merupakan sesuatu yang menutupi muka dengan tujuan berselindung. Oleh yang demikian ianya direka pelbagai rupa selaras dengan sebagai maksud tertentu, hiburan, persembahan melambangkan kepercayaan dan budaya individu atau sesuatu bangsa. Topeng telah digunakan sejak ribuan tahun dahulu sehinggalah sekarang. Terdapat lebih daripada 500 topeng dari seluruh dunia kini dipamerkan di Muzium Negara sejak 20 Disember 2012 dan akan berakhir pada 20 Mac 2013.

Aku berkesempatan ke sana pada 10 Februari 2013 lalu sempena cuti Tahun Baru Cina. Pemeran di Muzium Negara terbahagi kepada dua iaitu satu yang tetap dan satu lagi yang bermusim. Nampak ramai yang menuju ke tempat pameran tetap, sebaliknya tidak ramai yang ke Pameran Topeng. Apakah kerana takut, menyeramkan serta takut termimpi-mimpi. Tiket mahal ? Dewasa cuma RM5 sahaja dan kamera RM3.

Pameran ini diadakan bagi memberikan kefahaman tentang latar belakang sejarah dan sosio budaya masyarakat umum di dunia, khususnya di negara yang mengamalkan kebudayaan topeng. Ia juga cuba memberikan kefahaman berkaitan falsafah pemakaian topeng yang diamalkan sejak dahulu kala.

Topeng-topeng yang dipamerkan didatangkan dari negara Asia Tenggara ( Indonesia, Thailand, Kemboja ), Asia ( Jepun, China, India, Korea, Nepal, Sri Lanka, Mesir), Eropah (Itali), Amerika ( Amerika Syarikat, Kanada ), Amerika Latin ( Mexico, Guatemala, Caribbean, Haiti, Peru, Ecuador, Bolivia ) dan Benua Afrika ( Nigeria, Burkine Faso, Ivory Coast, Malawi ). Dari Malaysia pula kebanyakkannya di datangkan dari Sabah dan Sarawak.

Pelbagai bentuk, rupa dan warna topeng. Ada yang nampak cantik, ceria, menyeramkan dan juga yang burok. Ada rupa manusia, binatang dan rupa entah apa-apa, abstrak ? Teringat aku akan topeng yang dipakai semasa persembahan kuda kepang zaman kanak-kanak dulu yang dipanggil ‘pentol’. Di sini dipamerkan bersama 'barongan' dari Indonesia.

Penggunaan dan pemakaian topeng dalam sesuatu masyarakat banyak berhubung kait dengan kepercayaan yang wujud dalam masyarakat tersebut. Mereka percaya bahawa topeng mampu mewakili satu kuasa luar alam nyata, mewakili nenek moyang atau kuasa-kuasa lain yang mempunyai hubungan dengan masyarakat berkenaan.

Ini memberi pengertian bahawa topeng dijadikan medium untuk berhubung dengan dunia ghaib, di samping menjadi pelindung terhadap ancaman kuasa-kuasa luar lain yang tidak diketahui mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian mereka. Bunyi macam menyeramkan sikit.

Ada sesetengah topeng yang dipemerkan diberikan tanda topeng yang digunakan sebagai ritual, maknanya memang benar-benar digunakan untuk ritual adat istiadat, keagamaan dan pemujaan. Nampak topeng-topeng ini macam biasa aje.

Penggunaan topeng juga dapat dikesan melalui seni persembahan tradisional terutama bagi masyarakat Melayu tradisi seperti Menora dan Makyung di Kelantan serta Mek Mulung dan Awang Batil di Kedah dan Perlis.

Sebelum ke bahagian kedua pameran, kena melalui terowong gelap yang penuh dengan topeng bergantungan dengan bentuk, warna dan suasana seram. Taklah seram sangat, takdelah macam rumah hantu seperti kat pameran tu.

Bahagian kedua, nampak lebih kepada topeng benua luar seperti Amerika, Eropah dan Afrika. Di Eropah siap ada majlis topeng dengan para hadirin memakai topeng. Digambarkan juga perisai yang digunakan semasa peperangan dianggap juga topeng. Selain melindungi muka, juga melindungi diri.

Walau apapun bentuk topeng, terasa bagiku bahawa sebenarnya kreativiti pengukir topenglah yang sangat hebat sehingga mampu memberikan hasil yang dianggap sebagai mewakili kreativiti bagi setiap bangsa yang terdapat di dunia ini. Oleh yang demikian, dipandang daripada objektif topeng maknanya ianya masih relevan digunakan sehingga hari ini.

Klik Untuk Lagi Gambar
Share:

0 Komen:

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

Blog Tazkirah