Pengumuman pembubaran Parlimen oleh PM bagi memberikan laluan kepada Pilihanraya Umum Ke-13 ( PRU13) tidaklah begitu mengejut. Orang ramai memang tertunggu-tunggu setelah tempoh 5 tahun pemerintahan semakin menjelang tamat. Tidak dapat dipastikan apakah sebab sebenar PM lambat membubarkan Parlimen ? Masih belum cukup masa untuk melaksanakan pembangunan Negara ? Masalah pemilihan calon di kalangan komponen parti pemerintah ? Kedudukan komponen parti pemerintah di Sabah dan Sarawak yang ‘tegang’ ? Ada yang mengatakan belum siap pack barang atau fail sekiranya tidak kembali memerintah … entahlah.
Menghampiri hari penamaan calon, pelbagai spekulasi yang mungkin juga strategi tentang bakal calon yang bertanding di sesuatu kawasan. Dato’ Husam Musa yang juga Naib Presiden PAS tetiba naik nama untuk bertanding di Putrajaya. Menyerah leher untuk di sembelih ? Tak takut hilang wang pertaruhan ke ? Apakah sentimen Kelantan yang hendak diraih ? Orang Kelantan yang tinggal di sini pun balik ngundi di mereka.
Bagi merasai debaran PRU13, aku turun untuk menyaksikan suasana proses penamaan calon bagi Parlimen Putrajaya ( P125 ) di Dewan Komuniti Presint 9. Dua calon diistiharkan sebagai calon yang menyaksikan penyandang semasa Tengku Adnan dicabar oleh Dato’ Husam Musa. Pertembungan ini menjadi antara tumpuan dalam kempen PRU13 yang dijangka sengit.
Suasana penamaan calon di Dewan Komuniti Presint 9 sungguh menarik. Pengiring calon Dato’ Husam aku kira ada seramai 3 atau 4 kali lebih ramai daripada pengiring calon BN. Sudah tentu kebanyakkan mereka orang luar dan bukan pengundi Putrajaya. Itu yang Tengku Adnan dengan yakinnya berkata, Husam akan hilang wang pertaruhan.
Sebaik penamaan calon, banyak kisah serta pertembungan yang menarik. Buat pertama kalinya, calon bebas begitu ramai yang bertanding. Pulohan daripadanya juga merupakan ahli komponen parti pemerintah yang kecewa kerana tidak terpilih semula. Malah ada antaranya memegang jawatan tertinggi dalam parti. Ternyata dakwaan kononnya iklas berjuang untuk rakyat, untuk bangsa dan negara, sekadar manis di bibir sahaja. Realitinya menipu !!!
Terfikir olehku, apakah strategi yang akan digunakan oleh jentera pilihanraya Dato’ Husam ? Masyarakat dan pengundi Putrajaya majoritinya kakitangan kerajaan. Malah ramai juga yang tidak minat dengan politik kepartian, sama ada disebabkan halangan jawatan atau sibuk dengan tugasan harian. Balik-balik rumah, kepenatan dan ngadap RTM, beRehat Tunggu Mati kalaupun tidak ASTRO. Yang rajin sikit, muncullah di surau. Itupun berapa kerat aje.
Bagaimana jentera Dato Husam hendak pergi rumah ke rumah meraih undi ? Dalam PRU12 dulu, pengundi sekitar 6,000 orang dan kini meningkat secara drastik kepada 15,000 orang. Bayangkan perumahan apartment yang tertutup. Mungkin edaran risalah kepada pengundi menerusi tong pos sebagaimana dilakukan oleh BN ? Bendera Dato Husam memula tu kejap ada kejap takde.
Tetapi ceramah-ceramah Husam nampak ramai yang hadir. Sure orang luar yang meramaikan. Berani ke kakitangan kerajaan yang simpati kepada Husam menghadiri ceramah beliau ? Bimbang Special Branch ambik nama dan lapor kepada Ketua Jabatan atau Ketua Setiausaha Negara ?
Sedangkan memberikan peluang berta’aruf di Surau Abdul Rahman Auf pun menyebabkan AJK kena panggil ke JAWI dan khabarnya dipecat serta merta semua AJKnya ? Jika benar, kenapa takut begitu sangat. Dato Husam datang untuk bersahabat, bukan cari pasal. Kisah kejadian bendera parti Dato Husam di cabut oleh orang, sama ada orang itu orang BN atau Perbadanan Putrajaya tersebar luas beserta gambar sekali khususnya dalam media alternatif seperti blog dan facebook.
Tapi aku kira Dato Husam atau mungkin pengarah strategiknya agak bijak. Dengan menggunakan kemudahan facebook, email dan teknologi ICT beliau bergerak menerima cadangan dan menyampaikan kepada pejabat-pejabat kerajaan di sekitar Putrajaya. Mana-mana agensi kerajaan yang mengadakan hari Bertemu Pelanggan, itulah yang utama ditujunya. Entah-entah next week, semua Hari Bertemu pelanggan dibatalkan jika itu menjadi sasaran Dato Husam.
Husam juga mendakwa akan menggunakan media elektronik. Bagaimana caranya selain menerusi media social ? Menceroboh sistem email kakitangan awam di setiap agensi dalam menyampaikan amanat dan pesanan beliau ?
Walaupun di ‘boo’ oleh entah sapa apabila berkunjung meraih undi dan simpati atau ingin bersama masyarakat di tempat awam, beliau tetap teruskan. Tidak kurang juga yang menyambut beliau, siap bergambar lagi. Dato Husam kelihatan mudah atau cepat mesra dengan warga Putrajaya berbanding dengan Tengku Adnan yang sering dilaporkan garang dan muka sombong. Malah bebaru ini kedengaran meluas cerita beliau menampar dan menyepak seorang pimpinan UMNO yang datang menemuinya. Laporan polis juga dikatakan dibuat atas insiden ini. Duduk sahaja di Putrajaya, bandar yang indah, moden serta dikatakan canggih. Tetapi mentaliti warganya tidak mengambarkan sedemikian.
Tidak dapat dinafikan banyak sumbangan melalui Tengku Adnan sebagai Ahli Parlimen Putrajaya sebelum ini dalam bentuk RM, disalurkan kepada warga Putrajaya menerusi aktiviti kemasyarakatan penduduk, surau dan sekolah. Tapi itu guna duit siapa ? Duit peruntukan persekutuan sebagai ahli parlimen kan ? Beliau sekadar menyalurkan kepada yang memerlukan. Atau duit gaji ? Atau pendapatan ekoran pemilikan saham beliau dalam Berjaya Group yang juga pemilik saham kepada syarikat judi Sport Toto. Dulu kecoh kejap semasa beliau jadi Menteri Pelancongan, mencadangkan pub dan pusat hiburan dibuka sehingga 5.00 pagi bagi membolehkan pelancung luar negara berhibur. Malah untuk menarik lagi ramai pelancong, beliau mencadangkan cukai arak dikurangkan bagi menjadikan harganya murah. Yeala ... itu cerita lama.
Hari demi hari, sepanduk, bendera, bunting serta bill board gambar PM, TPM dan Tengku Adnan semakin bertambah sehingga menenggelamkan bahan kempen parti Dato Husam. Apakah itu menunjukkan kekuatan BN atau sebaliknya menunjukkan ketakutan BN dalam menyaingi Dato Husam. Kalau yakin Dato Husam akan hilang wang pertaruhan, buat relaks ajelah.
Ceramah Dato Husam berjaya menarik crowd yang besar, yang mungkin tidak pernah berlaku dalam sejarah kempen pilihan raya di Putrajaya sebelum ini. Orang luar pun orang luarlah, tetapi Dato Husam memberikan satu petanda bahawa Pakatan Rakyat memang serius untuk menaklukki Putrajaya dan Parlimen Malaysia. Bak dikatakan, menang Putrajaya bermakna menang Malaysia ...
Kini, sejauh mana fenomena Dato Husam melanda Putrajaya dalam menyampaikan mesejnya, usaha meraih undi daripada 15,000 pengundi berdaftar. Apakah sekadar memeriahkan suasana pilihanraya di Putrajaya ? Sejauh mana isu yang dibawanya relevan untuk diperjuangkan bagi warga Putrajaya yang kelihatan sudah selesa dengan apa yang ada.
Bagiku, terima sahaja siapa kerajaan yang terpilih. Kakitangan kerajaan kena akur dengan kerajaan yang semasa, usah taksub sangat dengan parti yang memerintah. Nak cari makan ... Kalau tukar pemerintahan nanti, sanggup letak jawatan atau tukar kerja ?
Selamat berjuang untuk Dato Husam, moga tidak menjadi seperti bidalan, yang dikejar tak dapat tetapi kerusi DUN Salor yang dipertahankan akan keciciran. Tetapi kalau menang di kedua-dua tempat, apakah beliau bakal menjadi Menteri Besar Kelantan serta jemaah Kabinet ? Atau lain kalilah ….
2 Komen:
Bang Hassan undi kat Johor lagi ke?
apa pulak ... tak semak ke kat senarai pengundi Saujana Utama ? Saya sekeluarga ngundi di SMk Saujana Utama
Post a Comment