Melihat bakal haji sampai di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu pada 26 September 2013 untuk bertolak mengerjakan haji, mengingatkan aku kepada pengalamanku yang pernah sampai ke sana. Ini menimbulkan rasa kerinduan untuk sampai lagi ke sana mendakap bumi haramain. Kerinduan yang menggamit kenangan pada keindahan lantaran terpilih menjadi tetamu Allah. Rindu betapa seronoknya berada di sana, meskipun terpaksa meredah segala kepayahan, meskipun berjauhan daripada rumah, keluarga, kampung halaman dan sanak saudara.
Dalam aku menyaksi dan merakamkan pergerakan mereka, tidak aku sangka apabila aku lihat dalam foto yang aku ambil sebagaimana di atas ( cuba teka ), merupakan seorang Ahli Parlimen Malaysia yang aku kira agak lantang bersuara dan boleh dianggap tersohor kerana kepetahan berbicara dengan fakta dan hujah beraninya.
Mengunjungi Mekah dan Madinah bukan seperti ziarah biasa. Ia merupakan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bukan juga cuma ulang alik dari Masjid Nabawi ke Hotel penginapan sahaja atau ulangalik Hotel ke Masjidil Haram dan pakai redah sahaja Tawaf, Saie, Wukuf, Mina serta melontar jamrah. Ini kerana setiap perlakuan dalam ziarah, umrah dan haji mempunyai sejarah dan hikmatnya yang tersendiri. Oleh yang demikian, penziarah atau bakal haji sangat digalakkan untuk mengenali dua tempat penting itu iaitu Mekah dan Madinah, agar menjadikan penghayatan serta rasa kyusyu’ yang lebih lagi.
Buku Sejarah Mekah Dan Madinah
Masa pertama kali aku ke tanah suci mengerjakan haji, aku sempat membeli buku di bawah di bumi Madinah sebagai rujukan. Tetapi bahasa Indonesianya agak kelam kabut dan gambarnya agak lama serta banyak gambar hitam putih. Mungkin sekarang sudah tidak dijual di sana atau telah diupgrade mutunya.
Memang masa kursus sebelum ke Mekaqh dan Madinah ada disentuh, tetapi masa tu tumpuan pemahaman lebih kepada tatacara dan aliran kerja ibadah haji dan tawaf. Tak fikir sangat bab ziarah, sedangkan kita ada masa sehingga 45 hari di bumi Madinah-Mekah. Takkan nak ibadat khusus, mengaji, makan dan tidur sahaja. Apabila mengikuti program ziarah aku cuba merujuk kepada buku ini. Walaupun ada pemandu mengiringi kami, namun pengkisahannya adalah terhad. Kalau nasib tak baik, mereka cuma tunjuk itu dan ini sahaja.
Madinah Munawwarah & Mekah – Kelebihan & Sejarah
Dua buku ini aku anggap terbaik, padat dengan info bergambar, lengkap serta menyeluruh dalam menceritakan tentang Mekah dan Madinah sebagai bandar lama yang bersejarah. Gambarnya banyak yang terkini, berwarna dan jelas. Selalunya memang kena ada dua-dua, tentang Madinah dan tentang Mekah. Aku boleh kategorikan buku ini sebagai mesti baca sebelum berangkat ke tanah suci.
Penulisnya pun orang yang pernah tinggal lama di sana semasa belajar di Universiti Madinah daripada peringkat ijazah pertama sehinggalah ke peringkat kedoktoran. Tentulah kajiannya menyeluruh. Aku beli buku ini sebelum berangkat mengerjakan umrah bersama keluarga pada tahun 2011.
Walaupun harganya agak murah berbanding buku lain mengenai Madinah dan Mekah, namun ia mengandungi huraian yang agak terperinci berkenaan tempat-tempat yang ada sekitar Mekah dan Madinah. Turut disertakan nas-nas, kisah Nabi lain yang terlibat serta beberapa tokoh yang terkait dengan tempat-tempat tersebut.
Sejarah Kota Madinah Munawarrah Dan Tempat-Tempat Bersejarahnya
Aku beli buku ini semasa di Mekah. Tetapi aku tidak pasti mengapa hanya tajuk Madinah sahaja, tanpa buku tentang Mekah. Sudah habis stok, tidak cukup duit nak beli atau memang tiada versi Mekah ?
Buku ini dicetak di Arab Saudi tetapi dalam bahasa Indonesia agak standard dan mudah difahami. Aku anggap buku ini sesuai bagi mereka yang pertama kali masuk Madinah sebab penerangannya yang menyeluruh. Murah sahaja SR15.
Destinasi Haji dan Umrah, Travelog Haji Bergambar
Buku ini aku beli masa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Ia hasil atau buah tangan daripada orang yang banyak buat novel Islamik sehingga ada yang difilemkan. Membukanya lembaran demi lembaran yang penuh dengan gambar-gambar yang menarik, terasa syahdu lantas mengingatkan aku kepada pengalaman sama semasa berada di sana.
Bermula daripada persiapan hendak berangkat, pengkisahan beririnagan engan gambar-gambar sampai lah balik semula ke kampong halaman. Yang menariknya ialah perkara di belakang tabir yang kita tidak tahu seperti persiapan pihak berkuasa, kesihatan, pengangkutan dan pasukan keselamatan.
Bayu Kerinduan di Bumi Haramain
Ini merupakan buku terbaru tentang perjalanan Haji Mekah dan Madinah yang aku milikki dan sangat menarik untuk dibaca kepada mereka sebelum berangkat ke tanah suci. Malah bagi yang pernah ke sana, membacanya memberikan bibit-bibit kerinduan untuk berangkat ke tanah suci lagi.
Ini adalah kerana ia dipenuhi dengan pelbagai warna pengalaman sebenar penulis di Haramain yang turut menyingkap hikmah dan penghayatan setiap peristiwa, penuh dengan pelbagai info dan maklumat yang jarang diketahui umum, termasuk cara kupasan dan penceritaan yang santai. Tentunya ianya merupakan catatan perkongsian penulis yang boleh dianggap sangat berpengalaman dalam menguruskan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.
Catatan Perjalanan Haji & Umrah
Tidak dinafikan aku sering mengimbas kembali perjalanan Haji dan Umrah sebagaimana dipaparkan dalam blog ini, khususnya apabila teringatkan Mekah dan Madinah.
Mungkin gaya bahasanya tidak mempunyai nilai komersial untuk dibukukan sebagaimana buku di atas, namun sekurang-kurangnya cukup untuk aku mengimbau kembali kenangan dan perasaan semasa berada di sana, selain dapat dimanafatkan oleh pengunjung blogku.
Polis temui 12 mayat ditanam berhampiran kuil di Bangkok
15 minutes ago
1 Komen:
rasanya itu Rafizi Ramli. kan? haha..
Post a Comment