Aku bangkit awal dengan harapan dapat solat suboh berjemaah dengan masjid terdekat. Semasa pulang semalam, aku kira jaraknya tidak sampai 200meter atau 5 minit perjalanan, iaitu Masjid Kodam Iskandar Muda. Kodam bermaksud Komando Daerah Militer, agensi di bawah Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat.
Masjidnya kecil sahaja, mungkin kalau penoh boleh muat sekitar 300 orang. Jemaah pula tidaklah ramai, kekira 20 orang termasuk wanita. Selepas solat ada kuliah suboh, rupanya dikendalikan oleh Al-Ustaz yang membawa rombongan dari Shah Alam, Selangor. Al-Ustaz menjelaskan mengenai bagaimana menjadikan sesuatu perbuatan dan tindakan kita menjadi ibadah kepada Allah.
Perkampungan Nelayan Lampulo
Selepas sarapan pagi, kami bertolak ke Lampulo yang merupakan perkampungan nelayan di Banda Aceh.
Kerana menghormati peristiwa tsunami, selalunya mereka tidak turun ke laut menangkap ikan, menjelang 26 Disember. Apatah lagi tahun ini, ia jatuh pada hari Jumaat dan genap 10 tahun.
Nelayan memang dilarang menangkap ikan pada hari Jumaat, lagipun bagaimana nak solat Jumaat nanti ?Melalui tepian sungai dan jeti pelabuhan agak sunyi dan kelihatan banyak kapal nelayan berlabuh.
Kapal Atas Rumah Lampulo
Satu lagi keajaiban tsunami. Sebuah kapal nelayan berada di atas rumah yang telah musnah sebahagiannya. Sebelum tsunami, kapal yang berukuran 25meter panjang dan 5 meter lebar itu sebenarnya sedang berada di dermaga untuk pembaikan.
Datang tsunami, ianya dihanyutkan tanpa pemandu dan enjin. Apabila surut, ianya tersangkut dan mendarat di atas rumah seperti yang ada sekarang .
Dikatakan kira-kira 59 orang telah terselamat dan menyelamatkan diri ke kapal ini. Termasuklah keluarga tuan rumah serta Ustaz Mujibur TV Al-Hijrah yang ku temui semalam. Mereka terpaksa bertahan kira-kira 7 jam di atas kapal tersebut sehinggalah air surut. Apakah bermakna tsunami menenggelami Banda Aceh selama itu ?
Bagaimanakah pengalaman mereka yang di atas kapal melihatkan kejadian sekeliling di hadapan mata.Dikatakan turut terselamat dalam rumah di bawah kapal tersebut ialah beberapa ekor buaya yang terlepas dari muara sungai. Mengerikan ….
Ketika pembersihan selepas tsunami, banyak saki baki binaan, rumah diroboh dan pecah dindingnya. Namun dituliskan perkataan di satu dinding meminta ianya tidak dipecahkan bagi membolehkan kapal tersebut terus berada di atas.
Kini telah dibuat beberapa binaan untuk menyokong kedudukan kapal tersebut supaya kukuh dan tidak jatuh untuk jangka panjang dan boleh menjadi tontonan ramai demi mengenang tsunami.
Juga dibina laluan menaik sehingga menyamai paras kapal bagi membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat bahagian dalam dan atas kapal. Bila berada di atas, dapat juga melihat pemandangan sekitar Lampulo.
Daripada atas, PPku menunjukkanku beberapa bangunan awam seperti sekolah, rumah sakit sekitar Lampulo dibangunkan semula dengan pembiayaan pelbagai negara dan syarikat besar dunia.
Terdapat juga binaan rangka besi yang dulunya diletakkan bumbung, namun sekarang sudah tiada. Terdapat juga gerai-gerai menjual souvenir di sekitar.
Rumah Bantuan Tahan Gegaran Gempa
Berdekatan kapal atas rumah tersebut aku ditunjukkan oleh PPku sebuah rumah bantuan yang dilengkapi dengan besi sebagai penahan gegaran oleh gempa bumi.
Melihatnya aku terasa macam serabut pula. Mencacatkan pandangan dan rumah jadi tak cantik. Pilihan, antara keselamatan dan cantik mata memandang ?
Apakah Aceh Di Ramal Akan Dilanda Gempa ?
Janganlah berdoa macam itu, kata PPku. Contoh dari rumah tahan gegaran tadi, maksudku apakah Aceh bersedia untuk berhadapan dengan bencana gempa pada masa akan datang.
Tidak dinafikan semuanya ketentuan Allah s.w.t. Namun Aceh malah sebahagian besar Indonesia terletak di atas Lingkaran Api Pasifik yang merupakan rangkaian gunung berapi. Potensi tu ada, cuma masa menentukan.
Untuk itu, pelbagai program evakuasi dilakukan oleh pemerintah yang melibatkan latihan menyelamatkan diri sekiranya berlaku bencana besar. Ini dikendalikan oleh Pusat Riset Tsunami dan Mitigasi Bencana atau Tsunami and Disaster Mitigation Research Center (TDMRC) bagi menguji kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana.
Latihan evakuasi selalunya mendapat kerjasama ramai membabitkan semua golongan masyarakat termasuk pelajar sekolah, universiti, pekerja kerajaan dan swasta, penduduk kampung serta Bandar. Maklumlah keselamatan mereka sendiri. Kesan tsunami 2004 telah mengajar mereka. Jalan-jalan baru dibina melebar untuk laluan menyelamatkan diri dengan papan tanda arah.
Pusat Riset Tsunami
PPku kata ada sekurang-kurangnya 5 bangunan evakuasi sekitar Aceh untuk orang ramai menyelamatkan diri. Bangunan tersebut bertingkat, setinggi 18 meter dan tahan gempa bumi sehingga skala 10 Richter.
Dengan harga kira-kira RM40 juta setiap satu, pembinaannya dibiayai bersama oleh pihak Aceh serta Kerajaan Japun melalui Japan International Cooperation Agency ( JICA ). Ia juga dilengkapi dengan siren dan pemancar untuk memberikan amaran sekiranya berlaku bencana.
Pada sesuatu masa, ia boleh menempatkan sekitar 2000 orang dan di tingkat atas sekali atau bumbung, helikopter boleh mendarat bagi membawa mangsa keluar dari Banda Aceh atau ke tempat yang lebih selamat.
Tugu Tanda Aras Ketinggian Bah Tsunami
Aku ditunjukkan oleh PPku satu tugu atau tiang yang menjadi tanda aras, bahawa aras air semasa tsunami di sesuatu kawasan ketika tsunami melanda pada tahun 2004. Ia juga peringatan kepada orang ramai.
Entah berapa banyak dibina dan pembinaannya dibiayai oleh kerajaan Jepun. Tanda aras berdasarkan tanda sekitar kawasan berkenaan seperti tanda dipokok serta binaan yang terselamat.
Tsunami Ciptaan Jahat Amerika ?
Semasa mengaji di Malaysia, PPku kata dia ada beli sebuah buku dekat kedai dia Masjid Jamek KL yang membongkarkan satu teori bahawa tsunami yang berlaku 2004 itu adalah ciptaan Amerika. Agak mengejutkan, tak pernah aku dengar.
Menurut beliau, gempa bumi dalam laut sering berlaku di Sumatera tetapi kesan ombaknya tidaklah besar seperti tsunami 2004. Tentu ada ledakan air di kedalaman tertentu, umpamanya tenaga nuclear !!! Tsunami kata sampai Afrika Selatan, tetapi kenapa pengkalan Tentera Amerika di Deigo Garcia tidak terjejas ?
Hipotesis ini dikuatkan lagi dengan keadaan mayat syuhada tsunami yang kulitnya berwarna hitam pekat seumpama mayat bom atom Hiroshima dan Nagasaki. Selalunya kematian akibat lemas di lautan tidak mengubah sangat warna kulit.
Ok, mungkin kerana belerang letusan gempa. Tetapi bagaimana kapal laut perang Amerika USS Abraham Lincoln boleh tiba di perairan Aceh dengan cepat ‘memberikan bantuan’ di Aceh. Aset tentera Amerika, Apache berlegar-legar di udara Aceh. Apa yang dicarinya ?
Dua bulan selepas tsunami, Program Alam Sekitar Pertubuhan PBB ( UNEP ) menemukan sampah nuklear di wilayah Somalia yang kemudian dikatakan datang dari Lautan Hindi ( Aceh ).
Jika benar, kenapa tidak diheboh-hebohkan perkara ini ? Ini suatu kebiadaban dan jenayah terancang paling besar lantaran kemusnahan yang berlaku !! Mungkin sebab dunia takutkan Amerika. Sebelum ini pun didakwa Amerika sendiri dalang dalam peristiwa 9/11 dan MH370 ?
Rumah Aceh Di Muzium Aceh
Akhirnya sampai ke kawasan Muzium Aceh, nampak sibuk dengaan pelbagai acara. Kata PPku, walaupun kesultanan Aceh telah terhapus oleh Belanda, masih ada mereka yang mengaku keturunan Sultan Aceh meneruskan kingdomnya.
Kekiranya macam di Malaysia juga, ada yang mengaku Sultan Melaka. Kemudian kami ke bangunan yang dinamakan Rumah Aceh.
Rumah tersebut dibina oleh keraajaan Belanda dulu untuk menyertai satu pertandingan diadakan di Jakarta. Ia telah memenangi beberapa anugerah..
Rumah adat ini ada 3 bahagian utama iaitu serambi depan, serambi tengah yang meninggi sikit dan serambi belakang.
Di serambi tengah, satu hujung menempatkan bilik ibu bapa. Manakala satu hujung lain ialah bilik anak wanita. Kata PPku, anak lelaki kena tidur di surau bagi mendalami agama.
Para tetamu dilayan di serambi depan. Manakala serambi belakang menempatkan dapur serta stor makanan. Serambi depan dan belakang mempunyai tangga yang unik untuk membolehkan naik turun melaluinya.
Yang uniknya, atap rumbia rumah ini diikat dengan tali khas. Sekiranya ada musoh atau orang membakar atap rumah ini, tali tersebut diputuskan bagi menjatuhkan atap ke tanah. Ini dapat mengelakkan rumah daripada terbakar keseluruhannya.
Loceng Cakra Dunia
PPku membawa kami ke satu binaan yang tergantung dalamnya apa yang dinamakan Loceng Cakra Dunia. Memang berbentuk loceng yang besar giler …
Loceng tersebut dikatakan pemberian Kerajaan China dulu melalui Laksamana Cheng Ho kepada Kesultanan Samudera Pasai sebagai tanda persahabatan. Nama Cakradonya adalah nama kapal perang sultan ketika itu yang bermaksud ‘kabar dunia’.
Lonceng tersebut berfungsi sebagai tanda isyarat perang. Pernah loceng itu di gantungkan di Masjid Raya Baiturrahman dan dibunyikan untuk memanggil orang ramai mendengar pengumuman daripada sultan. Banyak lagi ruang pameran hendak dikunjungi, namun disebabkan halangan oleh banyak aktiviti lain sedang berlangsung, kami terus beredar.
Museum Tsunami Aceh
Seterusnya kami ke Muzium Tsunami Aceh. Mendekati muzium, Jalan agak sesak dan orang ramai. Mungkin sebab semalam di tutup. Muzium ini dibangunkan setelah tsunami melanda yang mengenang peristiwa tsunami kepada orang ramai.
Muzium yang berbentuk kapal ini direkabentuk oleh Encik Ridwan Kamil iaitu Dekan Institut Teknologi Bandung yang kemudiannya menjadi Datuk Bandar Acheh. Ia telah dibuka dengan rasminya oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 23 Februari 2008.
Bangunannya juga berbentuk ombak mengambarkan tsunami yang pernah melanda Aceh. Muzium ini berada tinggi sedikit dengan tiang besar ‘rumah Aceh’ bagi membolehkan air lalu di bawahnya. Terdapat 4 tingkat, setinggi 45 meter dan Ia boleh memuatkan seramai 2,000 orang bagi tujuan evakuasi sekiranya tsunami atau bencana melanda.
Rebentuk serta corak warna dinding luarnya juga agak unik. Kata PPku dia menyerupai anyaman saman, satu corak yang sohor di Aceh. Memasukki pntu masuk, kami melalui lorong yang gelap. Kata PPku sepatutnya ada air di kiri dan kanan yang turun dari atas. Rosak kot ? Ia bagi mengambarkan ketinggian air tsunami ketika melanda Aceh.
Ruang Ingatan
Ditemukan pula ruang yang besar sedikit dengan beberapa monitor yang di susun bertingkat-tingkat.
Semua monitor memaparkan foto-foto yang sama, kejadian tsunami dalam bentuk slide bagi mengingati semula detik-detik hitam bagi Aceh.
Sumur Doa
Kemudian kami memasuki satu ruangan atau bilik yang suram di mana tercatat dikeliling dinding, sebahagian daripada mangsa yang terkorban selepas kejadian gempa dan tsunami.
Katanya baru sekitar 2,000 nama dan akan ditambah dari semasa ke semasa memenuhi ruangan ke atas sehinggalah sampai kepada ‘siling’ di atas dengan tulisan kalimah Allah.
Ia mengambarkan bahawa, "Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali" ( Surah Al-Baqarah : 156 )
Lorong Kebingungan
Kemudian kami melaalui Lorong Kebingungan yang suram dan permukaan lantai yang tidak rata. Itu gambaran dimana sebaik berlaku tsunami, masyarakat Aceh kebingungan mengenakan apa yang telah berlaku serta bagaimanakah masa depan mereka selepas ini.
Bingung mencari saudara mara dan harta benda yang hilang dan musnah.
Jambatan Kedamaian
Di tengah-tengah bangunan Bahagian dalam di bina satu jambatan yang dinamakan Jambatan Perdamaian. Tsunami datang memberikan perdamaian kepada Aceh, lantaran konflik sosial politik yang berlarutan sebelum ini, ditamatkan disebabkan tsunami.
Jambatan Perdamaian sepanjang 15 meter berada di atas kolam ikan dengan dikelilingi 55 batu besar ( yang boleh dijadikan tempat duduk ) bagi menunjukkan 55 buah negara penyumbang kepada pembangunan semula Aceh.
Tayangan Video
Aku berkesempatan masuk menyaksikan tayangan dalam bilk tayangan yang boleh menempatkan kekira-100 orang pada satu-satu masa.
Namun tayangan kekira 9 minit, suasana tsunami melanda banda Aceh itu adalah seperti apa yang sering kita lihat di internet dan youtube. Tiada apa yang menarik sangat.
Selepas itu, kami menyaksikan bahan-bahan pameran berupa foto kejadian, tayangan simulasi atau animasi kejadian tsunami, program pemulihan, foto kebangkitaan Aceh, bahan kesan tsunami serta diorama gambaran tsunami.
Aku kira muzium ini menarik dan wajib dikunjungi sekiranya ke Aceh bagi menyelami lebih detail, kejadian tsunami daripada pelbagai aspek.
Masuk pun percuma. Kami tidak sempat nak lama dalam muzium ini kerana jam 12.00 tengahari, muzium ditutup rehat.
Ayam Penyet Wong Solo
Atas permintaan kami, seterusnya PPku bawai lunch di kedai ini. Kata anakku, ini antara jenama yang terdapat di Malaysia yang disahkan Halal JAKIM. Dalam bahasa jawa, wong solo bermaksud orang Solo. Solo tu sama ada bermaksud bujang atau keseorangan.
Agak besar restorennya. Walaupun macam gerai biasa, tetapi bersih. Ruang parking pun cukup luas dan pelayan atau pekerja wanitanya semuanya bertudung.
Orang pun agak ramai. Kami pun memesan apa yang special di kedai ini, iaitu Nasi Ayam Penyet Wong Solo.
Memang sedap ayam penyetnya. Aku pernah juga makan yang di Malaysia, tetapi bukanlah ayam penyet yang branded. Memang terasa perbezaannya. Harganya pun kalau ditukar kepada RM, murah sangat-sangat. Sekitar RM6 satu set tanpa air.
Universiti Syiah Kuala
Bunyi ‘syiah’ tu macam senstif sahaja di Malaysia. Sebenarny bunyi ‘Shah’. Tetapi itulah nama ulama besar Aceh dulu banyak berjasa kepada orang Aceh. Aku pun tidak pasti kenapa ada lawatan ini dalam acara kunjungan kami. Padahal kami hanya tengok dari dalam kereta sahaja. Lagi pun tengah mengantuk kekenyangan, tak dapat fokus apa yang PPku ‘berceloteh’.
Universiti ini merupakan university tertua ( 1960 ) dan terbesar di Aceh yang menyediakan pelbagai aliran pengajian seperti ekonomi, perubatan, undang-undang, pertanian dan kejuruteraan, tapi tiada aliran agama rasanya. Mereka juga terlibat dalam penyelidikaan berkaitan riset tsunami menerusi Tsunami and Disaster Mitigation Research Center ( TDMRC )
Banyak bangunan yang dibina dengan biaya syarikat negara-negara luar termasuk Petronas. Semasa tsunami, pelajarnya sedang bercuti ‘winter’. Ribuan pelajar dan ratusan staf serta keluarga telah syuhada dan hilang. Tsunami juga telah merosakkan kira-kira 1/3 daripada bangunan dan kemudahan kampus.
Shopping Di Pasar Atjeh
Kembali ke Pusat Banda Aceh untuk memulakan aktiviti shopping. Aktiviti lawatan telah selesai. Kiranya bangunan Pasar Atjeh ni macam Pasar Baru di Bandung dengan jualan telekong, tudung dan kain baju.
Tetapi jualannya tidaklah sebanyak macam Pasar Baru Bandung. Daripada segi harga, tak pastilah. Mungkin tidaklah semurah di Bandung.
Menurut PPku, bangunan baru Pasar Atjeh ni dibangunkan semula dengan bantuan negara Jepun. Banyak juga kedai-kedai lain bersekitaran Pasar Atjeh ni yang menawarkan banyak pilihan.
Kebanyakan mereka tidak menerima belian dengan kad kredit, tetapi menerima RM Malaysia.
Yang selesanya tiada sangat orang meminta dan merayu simpati mohon sumbangan itu ini seperti di Pasar Baru Bandung.
Kota Seribu Warong Kopi
Kota Banda Aceh bukanlah pengeluar kopi, tetapi wilayah Aceh merupakan pengeluar 40% kopi Indonesia. Mungkin kerana itulah, dimana-mana akan terdapat apa yang disebut sebagai ‘warkop’ ataupun warong kopi sehingga disebukan bahawa Aceh merupakan Kota Seribu Warong Kopi.
Ada yang berbentuk warkop biasa, sehinggalah yang menyajikan music, tontonan TV dan wifi, warkop sederhana dan esklusif sehingga membentuk rangkaian business dalam industry warkop. Kekira budaya minum di warkop telah menjadi budaya sejak dulu kala lagi.
Aku berkesempatan dibawa singgah ke salah satu rangkaan warkop iaitu warkop solong. Suasana kedainya biasa sahaja. Pengunjungnya ramai lelaki, lantaran itu kuat sangat bau asap rokok.
Mungkin aku bukanlah pengemar sangat kopi. So tak tahulah sejauh mana ‘best’ nya rasa kopi di sini. Turut terdapat juadah berupa kuih-kuih tempatan.
Dibahagian belakang, terdapat bilik memproses serbuk kopi yang dihidang dalam warkop ini. Aku berpeluang melihatnya. Nampaknya diproses dalam suasana yang tidak terkawal kebersihannya.
Shopping di Matahari Mall
Shopping Complex Matahari mungkin antara yang modern dan terbesar. Kata PPku, sebesar macam Kajang Metropoint sahaja. Tidaklah grand seperti kebanyakan di Malaysia.
Mungkin ini pilihan bagi generasi baru yang mementingkan mutu dan jenama. Tetapi seramai mana orang di Aceh yang mempunyai cita rasa sebegini.
Sempat memasuki beberapa kedai utamanya. Jualan murah sedang berlangsung. Aku kira harganya boleh tahan murah juga jika dibandingkan dengan RM. Kad kredit juga diterima.
Ke Masjid Raya Baiturrahman Lagi
Hampir memasuki waktu maghrib, kami bergegas ke Masjid Raya Baiturrahman lantaran isteriku berhajat nak solat Maghrib di sana.
Walaupun seperti pergerakan kami ke hulu hilir, namun sebab jalan yang tidak sesak, perjalanan tidak memaskan masa yang lama. Padahal Pasar Atjeh bersebelahan dengan Masjid Raya Baiturahman.
Bangunan indah dan megah yang mirip dengan Taj Mahal di India ini terletak di pusat Banda Aceh dan menjadi titik pusat dari segala kegiatan di Aceh.
Masjid ini telah mengalami beberapa fasa perkembangan daripada dibina oleh pemerintah Belanda dengan satu kubah pada tahun 1879 sehinggalah kini memiliki 7 kubah dan 4 menara azan. Asal mulanya merupakan bangunan kayu yang kemudiannya dibakar oleh penjajah Belanda dalam satu pertempuran dengan tentera Aceh.
Beberapa jam setelah masjid terbakar, Jenderal Kohler komandan tertinggi Belanda yang sedang berada di halaman masjid, berjaya dibunuh oleh tentera Aceh di tempat di mana binaan batu tanda sekarang. Ia juga dikenali sebagai Tugu Kohler.
Semasa tsunami, Masjid Raya Baiturrahman masih tetap berdiri dengan megahnya walaupun air setinggi kira-kira 2 meter memenuhi sekitar masjid . Malah Masjid Raya Baiturrahman menjadi tempat bagi rakyat Aceh berlindung sebagai tempat evakuasi. Apabila surut pula, menjadi tempat ribuan jenazah para korban tsunami diletakkan.
Masjid ini mempunyai siaran radionya sendiri serta penerbitan surat khabar mingguan yang diedarkan secara percuma. Program kuliah atau ceramah dari masjid akan disiakrkan secara langsung menerusisaluran radionya.
Menariknya masjid ini lagi, ia menjadi pengukur kepada beberapa perkara di Banda Aceh. Tiada masjid atau musollah yang boleh melaungkan azan selagi azan tidak berkumandang dari Masjid Raya Baiturrrahman. Menara setinggi 45 meter yang disebut sebagai Menara Perjuangan, merupakan bangunan tertinggi di Banda Aceh. Tiada bangunan lain yang boleh setingginya, kata PPku.
Makan Mee Ketam
Selepas solat kami ke satu gerai yang menjual mee ketam untuk makan malam. Mie Ayah ? Tak pasti apa nama tempatnya. Mak datuk !!! Besarnya ketam. Menurut PPku, memang speciality gerai ini ialah mee ketam.
Untuk memakannya siap disediakan pengepit bagi memecahkan ketam sekiranya payah untuk memecah bagi mendapatkan isinya. Harganya pula Cuma Rp 30,000 sepinggan. Murah kan ?
Shopping Souvenir
Terus kami kembali ke hotel. Namun kami tidak masuk ke bilik, sebaliknya singgah ke kedai menjual souvenir di hadapan hotel. Kami dah tidak ada masa lagi untuk shopping sebab esok terus ke airport sebaik selesai sarapan pagi.
Since dah survey semalam, memudahkan kami membuat pilihan. Tambahan pula kedai dibuka sehingga 10.30 malam. Jadi tidak perlulah terburu-buru membuat keputusan.
Aku kira Aceh banyak hasil kraftangan rakyatnya yang menarik untuk dibeli sebagai ole-ole. Harganya pun kira murah berbanding RM. Malam itu kami berkemas supaya tidak tergesa-gesa untuk balik esok pagi. Lagi pun kami hanya tempah bag sebanyak 20kg sahaja untuk check-in. Nampak macam lebih muatan sahaja.
Wanita maut tercampak keluar kereta dipandu suami
2 minutes ago
0 Komen:
Post a Comment