Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Kendatipun sekadar catatan peribadi, mana yang baik jadikanlah pengajaran. Mana yang kurang sesuai jadikanlah sempadan. Dalam kehidupan ini, ada saat manis, saat pahit, indah, muram, genting dan gembira. Semoga Allah memberkati hidup kita.

Menyelami Sedekad Tsunami @ Aceh : Day 1 - 25/12/14

Keinginan ku untuk ke Aceh, Indonesia didorongi untuk melihat sendiri kesan tsunami yang telah melanda pada 26 Disember 2004. Tidak dinafikan tsunami melanda banyak negara tetapi kesan di Aceh berdasarkan media elektronik, banyak keistimewaannya. Lagipun bukanj auh sangat dengan Kuala Lumpur.

Kebetulan 2014 merupakan ulang tahun ke-10 atau sedekat tsunami. Mei 2014 lagi aku dah book flight untuk ke Banda Aceh. Berbantukan kenalan di pejabat, aku dapat travel agent yang boleh menguruskan perjalananku di Banda Aceh yang dikira berpatutan harganya.

Maka pada tengahari 25hb Disember 2014, aku bersama isteri dan anak sulongku bertolak ke Aceh. Masa penerbangan pergi dan balik sebenarnya telah ditukar beberapa kali oleh pihak Air Asia. Terpaksa akurlah, asalkan tidak tukar tarikh. Memang tidak banyak flight ke Aceh. AirAsia hanya satu penerbangan sehari. Firefly menawarkan penerbangan ke Aceh dari Penang.

Ketibaan
Kami tiba di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda pada jam 1.45tengahari. Waktu Aceh lewat sejam berbanding Kuala Lumpur. Senibina luaran lapangan terbangnya agak cantik dan rupanya baru sahaja di siapkan bagi meningkatkan hubungan Aceh dengan dunia luar termasuk industri pelancongan. Aku kira saiznya lebih kurang sebesar Airport Langkawi sahaja.

Di luar balai ketibaan, telah menunggu pemandu pelancongku (PP), namanya Tuanku Ihsan Munawar empunya Sahabat Packer Tour & Travel. Kami menaikki Avanza dan terus menuju Banda Aceh yang terletak kira-kira 25km dari airport.

Ketika itu hujan turun renyai-renyai. PPku kata sudah seminggu hujan, malah di tempat tertentu dilanda banjir. Aku mulai bimbang ianya boleh mengganggu kelancaran kunjunganku.

Perkuburan Masal Siron
Terletak di tepi jalan menuju Banda Aceh. Menurut PPku, bukan semua Banda Aceh binasa oleh tsunami. Air sampai kekira sehingga 5-6 kilometer dari pantai. Tanah perkuburan ini tidak terkena dan menjadi kawasan yang terbesar dimana kira-kira 47ribu jenazah tsunami di kebumikan di sini dalam tiga lapisan. Masal bermaksud, beramai-ramai.

Sejurus selepas tsunami, mayat bergelimpangan di sana sini tanpa dituntut oleh sesiapa. Nak tuntut macamana, sedara mara waris pun agaknya turut terkorban sama. Mau tak mau, bagi mengelakkan penyakit, keputusan dibuat menguburkannya secara beramai-ramai di sini. cadangan untuk membakar, dibantah para alim ulama.

Asalnya merupakan padang bola dengan seluas 2 hektar. Tiada batu nisan, kecuali beberapa batu tanda, mungkin sebagai hiasan. Beberapa tugu peringatan turut dibina di kawasan perkuburan ini.

Menurut PPku, pada peringkat awal banyak kejadian misteri di kawasan ini seperti ‘orang’ menahan kereta yang lalu lalang, katanya nak balik rumah. Juga dikatakan wanita yang berkeliaran mendukung anaknya di tangan kiri dan kanannya pada waktu malam.

Lunch Dengan Masakan Ayam Tangkap
Perut dah mula terasa lapar. PPku bawa singgah makan tengahari di sebuah restoren tepi jalan. Sebenarnya macam makan nasi padang, nasi dengan pelbagai lauk-lauk dalam pinggan disediakan atas meja. Tetapi satu daripada juadahnya tu dinamakan ayam tangkap.

Ayam Tangkap adalah masakan khas Aceh yang terbuat dari ayam yang digoreng dengan rempahh khas. Ia diperap dengan bahan seperti bawang putih, lada dan garam kekira 10 minit, kemudian digoreng bersama rempah dedaun seperti daun kari dan daun pandan. Dedaun itu pula yang kemudian menutupi sajian ayam goreng tadi di atas piring.

Di beberapa tempat, masakan ini dipanggil juga dengan ayam tsunami kerana masakan ini biasanya disajikan dengan ditebarkan bertaburan dalam pinggan seperti setelah bencana tsunami.

Masjid Raya Al-Makmur @ Masjid Oman
Seterusnya kami singgah untuk solat jamak Asar dan Zuhur di Masjid Raya Al Makmur. Semasa tsunami, masjid ini mengalami kerosakan yang teruk. Ramai beranggapan masjid itu tidak sesuai lagi untuk digunakan.

Namun pembaikan masjid dilakukan antara 2006 hingga 2008 dengan mendapat biayai daripada kerajaan Oman sehingga kelihatan cantik, gah dan semakin dikenali. Lantaran itu dipanggil juga Masjid Oman.

Memang cantik binaan dalamannya. Bersih dan kelihatan baru. Tempatnya yang strategik ditepi jalan, tidak hairanlah ramai yang singgah solat di sini.

Khabarnya ketika solat Jumaat, tidak mampu menampung jemah sehingga melimpah keluar.

Hotel Penginapan - Hotel Medan
Hotel ini dipilih oleh PPku. Tengok kat internet, agak esklusif pulak. Sesampai saje kelihatan baner sambutan 10 tahun tsunami terpampang macam tahu-tahu saja tujuan kedatangan kami dan meraikan kedatangan kami.

Malahan di lobinya terpampang sebuah foto yang memaparkan sebuah kapal besar yang terdampar tepat di depan hotel ketika tsunami terjadi.

Kiranya hotel ini terselamat daripada kerosakan, runtuhan atau keadaan yang lebih teruk berbanding sekiranya dirempuh kapal tersebut.

Kapal tersebut kemudiannya dituntut dan dibawa keluar oleh empunya kapal.

Bilik VVIP yang kami sewa memang besar dan bersih. Tengok publish rate ialah Rp460,000 semalam atau kekira RM140 sahaja. Lengkap kemudahan, cuma kena kongsi sterika untuk seluruh hotel. Tak patut betul.

Rehat-Rehat
Selepas check-in kami berehat di bilik. Janji untuk keluar makan malam lepas solat maghrib. Tapi aku ambil kesempatan ronda lihat apa yang ada di hadapan hotel penginapan kami. Hujan renyai ketika itu.

Wah, banyak kedai-kedai berhadapan hotel penginapan. Ini termasuklah kedai runcit, gerai makanan, barangan souvenir serta beg dan kasut. Kawasan gerai penjualan makanan itu dipanggil Rex, yang dibuka sehingga larut malam.

Makan Malam - Sate Matang
Terletak dekat aje dengan hotel, sebelahan dengan gerai Rex. Sate dibakar di hadapan kedai yang dibuka mulai sebelah petang sahaja. KUAT ASAPNYA, Habis baju kami berbau asap.

Apa yang menariknya sate ini ? Matang bukan bermakna masak dalam bahasa Jawa. Tetapi kerana awal mulanya diperkenalkan di bandar bernama Matang dan awal 1990an baru popular di Aceh.

Sate biasa aje, ada kambing lembu dan ayam. Tapi kecil-kecik sangat saiznya. Cuma acara hidangan agak pelik sikit ada pelbagai kuah dan bebawang. Nasi pulak bukan nasi impit, tetapi nasi biasa aje.

Tambahan di kedai yang kami kunjungi, kerusinya jenis yang menyandar. Rasa tak sesuai makan kemudian menyandar. Kalau nak banding dengan Sate Hj Samuri, rasanya sate kita lagi sedap dan besar saiznya.

Sedikit tentang PPku
Sambil makan baru aku tahun PPku ini rupanya pernah belajar dalam bidang Sains Komputer UKM, tetapi kini lebih memilih bidang pelancongan. jauh berbeza. Masih bujang dan merupakan anak bungsu dari 3 orang adik beradik.

Kebetulan orang sebelah mejaku mempunyai sedara yang masih belajar di Malaysia, mereka menegur PPku. Bahasa utama pertuturan di Aceh ialah bahasa Aceh. Mendengarkannya, sepatah haram pun tak faham berbanding dengan bahasa Indonesia. Beribu bahasa dipertuturkan di Indonesia, pening tentunya. Bagus dia, petah bercakap BM, banyak informasi diberikan dan buat perbandingan dengan kita di Malaysia.

Zikir Memperingati 10 Tahun Tsunami
Selesai makan malam, terus ke Masjid Baitur Rahman di Kota Banda Aceh. Azan Isyak sedang berkumandang. Dekat sahaja tetapi terpaksa meredah kesesakan orang ramai, ditambah hujan renyai. Tiba orang dan mulai solat, tetapi aku telah jamak tadi. Selesai solat aku bersama hadirin lain terus menerjah masuk mencari ruang di celahan saf. Penuh sesak ruang dalam masjid.

Majlis dimulai dengan ucapan dari Gabenur Aceh, Zaini Abdullah. Dalam ucapannya beliau menyeru agar umat Islam Aceh terus kembali berpegang dengan prinsip dan syariah Islam. Baginya tsunami adalah tazkirah dari Allah untuk dunia. Aceh perlu bangkit untuk menjadi Negara Baldatun Tayibatun Warabbur Gaffur.

Ini diikuti dengan gimik penyerahan bantuan kepada anak yatim mangsa tsunami dan seterusnya tazkirah atau tausiyah oleh Syaikh Ali Jabir, seorang penceramah yang tersohor ketika ini di Indonesia. Beliau berasal dari Madinah dan telah lebih 4 tahun ditugaskan khas oleh kerajaan Indonesia untuk berdakwah di Indonesia. Bahasa Indonesianya fasih sekali. Kebetulan semasa di Madinah lagi beliau telah berkahwin dengan orang Lombok Indonesia.

Syaikh Ali Jabir menyeru agar orang Aceh tidak lupa sejarah Aceh. Melalui Aceh, Indonesia bisa bangkit, tidak lagi terus bersedihan dan menjadi cahaya Islam untuk dunia. Aceh perlu melahirkan ramai ulama, huffaz dan cendikiawan Islam. Pesannya juga agar tidak sekali meninggalkan solat.

Zikir akbar dan doa bersama peringatan 10 Tahun Tsunami Aceh ini dipimpin Syaikh Ali Jaber. Ingatan aku asalnya zikir tu ala-ala selawat ya hanana.

Namun tersentuh dengan doa yang disampaikan. Kedengaran ramai yang teresak-esak.
Share:

0 Komen:

Blog Tazkirah

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.

Harian Metro

The Star Online

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

kata2