Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Pengalaman Mengikuti ESQ Basic Training

ESQ (Emotional Spiritual Quotion) adalah sebuah Kursus Kepimpinan dan Pengurusan yang diasaskan oleh Ary Ginanjar Agustian di bawah Syarikat ESQ Leadership Center berpusat di Jakarta. Kursus ESQ telah berkembang ke Malaysia sejak beberapa tahun lalu sehingga timbullah isu kontroversi pengharaman aktivitinya di Wilayah Persekutuan pada tahun 2009. Namun pada 22-23 November 2011 lalu aku berkesempatan mengikuti kursus ini di sebuah resort di Melaka. Kursus ESQ tak mainlah kat masjid surau atau balairaya. Maklumlah untuk executive, leader or senior officer.

Pengalaman mengikuti kursus ESQ selama dua hari itu memberikan aku sesuatu untuk dikongsikan. Tiada buku atau handsout diberikan sehingga memaksaku membuat catatan sendiri. Katanya kursus ini memerlukan penghayatan menerusi pengalaman aktiviti yang dilakukan serta kesedaran dari hati nurani. Dilarang membuat sebarang rakaman dan semuanya adalah hakcipta terpelihara ESQ.

Hari pertama dilalui dengan aku tertanya-tanya kepada diriku sendiri. Apakah yang sebenarnya cuba disampaikan oleh pihak ESQ. Aku konpius dan pening serabut memikirkannya. Patutpun kursus ini kosnya tinggi, sebab nak kena sediakan bahan serta system siaraya yang mantap bagi menghasilkan multimedia yang berkesan. Mungkin bagi setiap lagu yang dimainkan dibayar royalty kepada pemilik lagu seperti Raihan, Haddad Alwi dan Kitaro.

Dentuman Teori Big Bang
Ditekankan dengan teori Big Bang yang disahkan menerusi penemuan sains serta ayat al-Quran bagi menginsafkan kerdilnya diri serta bukti adanya Allah yang maha pencipta. Payah rupanya nak sedarkan manusia serta menimbulkan keyakinan bahawa Allah yang mencipta alam ini. Para peserta diusik hati dan perasaan, seolah-olah di paksa atau diprovok untuk merenungi, menghayati, menginsafi dan mengalirkan air mata dalam suasana kegelapan lampu dewan.

Rangkap ayat yang berulang-ulang diutarakan dengan nada mendayu dan merayu, membuatkan aku jadi bosan sehingga terlelap, walaupun dari alunan lemah lebut muzik sehingga berdentum bingit muzik memenuhi segenap ruang bilik. Mungkin lantaran aku yang sudah tua, pendekatan ini macam tidak sesuai, kecualilah bagi orang muda remaja. Zaman Rasulullah s.a.w tidak perlu multimedia. Apakah pendekatan ini sebagai nak mengganti mukjizat yang dikurniakan Allah ke atas Rasulnya bagi menimbulkan keinsafan akan kebenaran risalah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Namun bagiku kesedaran yang cuba disampaikan oleh diperolehi dengan percuma menerusi kuliah dan tazkirah di surau masjid secara biasa walauun tanpa sebarang dentuman muzik. Sebaiknya menimbulkan persoalan lain, tetapi tidak berpeluang untuk diutarakan sepanjang program dijalankan. Apakah pendekatan ini juga dilakukan oleh pihak gereja ? Gerakan fasilitator utama di atas pentas meniru gerakan burung terbang di angkasa mengingatkan aku kepada beberapa perilaku yang dilakukan oleh pendeta keristian dan TV atau filem. Kalau teori Bing Bang dikemukakan bagi menunjukkan proses kejadian alam ini sejak 15,000 juta tahun lalu, siapakah yang mencetuskan the Bing Bang dan mengapa ia berlaku ?

Rutin Yang Melenakan
Begitulah setiap kali sesi demi sesi, bermula dengan satu aktiviti atau game, diikuti dengan pengajaran darinya dan diikuti dengan rayuan keinsafan dalam suasana gelap tetapi dilatar belakangkan dengan alunan muzik multimedia, sama ada secara santai atau berdentum-dentum.

Dalam suasana rayuan keinsafan yang cuba dibangkitkan, salah seorang akan dipilih untuk meratapi doa yang diluahkan dari isi hati keinsafan. Tidak cukup dengan itu, dipanjangkan dengan doa yang dibacakan dengan ratapan daripada fasilitator ESQ. Ia diikuti dengan berjabat tangan raya dikalangan peserta serta bersalam semut. Entahlah, mungkin kerana hatiku yang ‘keras’ atau kesombongan yang masih menebal dalan sanubariku.

165 The ESQ Way
Apa yang dapat aku fahami, pendekatan ESQ mengambil sempena dari 5 Rukun Islam, 6 Rukun Iman dan satu adalah ihsan atau fitrah. ESQ 165 merupakan satu model pembangunan diri dan kepimpinan yang ditafsirkan berasaskan 3 perkara tadi, iaitu rukun iman, rukun Islam dan ihsan.

5 tonggak atau asas kejayaan ialah mempunyai penyataan misi yang jelas ( dirujuk kepada penyataan syahadah dalam rukun Islam ), mempunyai value dan pembinaan karakter ( manifestasi daripada solat yang laksanakan ), self-control ( berdasarkan kawalan diri menerusi ibadah puasa yang ditunaikan ), mempunyai strategic collaboration dan contribution ( berdasarkan semangat zakat dan fitrah yang dikeluarkan ) serta totakl action ( berdasarkan perlakuan dalam ibadah haji yang merupakan perbuatan seperti saie dan tawaf )

Manakala 6 perkara pula yang menjadi prinsip keyakinan dan ialah ultimate principle ( berdasarkan Iman kepada Allah ), angel principle ( berdasarkan Iman kepada para Malaikat ), leadership ( berdasarkan keimanan kepada para Rasul dan Nabi ), learning continuous ( berdasarkan kepercayaan kepada kitab yang diturunkan sebagai rujukan), mempunuyai visi ( lantaran kepercayaan kepada hari akhirat yang akan dituju ) dan well-organized ( merujuk kepada qadar dan qadar, dimana usaha bersungguh dan berkesan, namun tidak semua yang diusahakan akan berhasil ).

Penekanan dibuat dimana Allah sebagai pencipta dan maha luas penciptaannnya. Kepadanya kita dikembalikan, dinilai dan dipersoalkan.

Allah telah menanamkan fitrah dan nilai-nilai murni kepada manusia sehingga jika ditanyakan kepada setiap manusia, siapa yang maha berkuasa menjadikan alam ini, tentunya mereka akan menjawab Allah. Malah dalam keadaan terdesak dan kesusahan, Allah juga yang dicari. Nilai-nilai ini lalu dihubungkaitkan dengan AsmaulHusna yang secara sedar atau tidak terjelma dalam kebanyakan mana-mana penyataan dan visi manusia dalam sesuatu organisasi.

Bukan setakat misi dan visi serta nilai Jabatanku dikaitkan dengan Asmaul-Husna, malah Rukun Negara serta senikita Jalur Gemilang pun hendak dikaitkan. Bagaimana kalau dipanjangkan kepada agama-agama lain ? Dalam kursus ini nilai samurai, kaizen serta Bushido dijadikan contoh betapa nilai-nilai baik seperti jujur, ikhlas, tanggungjawab, disiplin, adil dan perihatin. Tidak tahulah, apakah ini hendak menuju kepada 'semua agama menuju yang sama' ?

Allah Juga The Greatest Consumer
Manusia menggunakan segala rezeki serta anugerah daripada Allah dan ditekankan juga bahawa sebenarnya Allah juga adalah the greatest consumer, lantaran apa yang dihasilkan semula oleh manusia, akan dimanfaatkan oleh hamba-hamba Allah juga. Maknanya berbakti kepada Allah juga, besar tu.

Oleh yang demikian, ditekankan betapa dengan berbuat sesuatu kebaikan yang sungguh-sungguh, dimanfaat ramai hamba Allah maka segala usaha serta pengorbanan yang dilakukan dalam dunia pekerjaan kita adalah merupakan ibadah, merupakan sajadah yang panjang untuk sampai kesyurga. Perjalanan ulang alik yang dilakukan adalah umpama perlakuan tawaf atau saie. Usaha dan lontaran buah fikiran sebagai melontar jamrah. Ilmu dan pengajaran yang disampaikan kepada anak buah merupakan amal jariah yang berpanjangan.

Perkara ini sewajarnya menjadi motivasi dalam kejayaan dalam pekerjaan yang sebenarnya dan bukan pangkat, jawatan serta gaji mahal yang menjadi dorongan, lantaran itu semuanaya sementara dan tidak kekal lama. Kalau apa yang kita ‘hasilkan’ dapat dimanfaatkan untuk kebaikan maka kita dapat pahala, bagaimana pula jika digunakan oleh hamba Allah untuk kejahatan walaupun dinamakan salah guna ?

Nilai Sahaja ?
Tapi yang terkilannya, penekanan diberikan terhadap nilai, nilai dan nilai. Jika tidak diperlakukan manakah hendak dapat nilainya. Walaupun mungkin rata-rata atau 90% peserta dalam keadaan musafir, namun tidak sewajarnya dilengah-lengahkan waktu solat sehingga zuhur 1.40 tengahari ( masuk 1.00 tengahari ) dan maghrib 7.30 malam ( masuk maghrib 6.55 petang ). Bagaimana hendak mendapatkan nilai solat yang berkesan jika lewat dan perlakuan pun jadi tergesa-gesa.

Ataukah jika telah diberikan tumpuan kepada pekerjaan yang dapat dimanfaatkan kepada hamba Allah yang lain ( dikira sebagai amal jariah dan ibadah juga ), tidak perlulah solat awal waktu atau berjemaah di surau masjid. Asal solat bila-bila dan dimana, sekadar mengambil nilai solat iaitu mempunyai good character sebagai asas untuk mencapai kejayaan. Sewajarnya ditekankan apakah konsep ibadah dalam islam atau bagaimana sesuatu tugas dan perilaku boleh dikira menjadi ibadah.

Awal hari kedua, aku terasa hendak balik sahaja. Pening kepala hendak meneruskan kursus pada hari kedua. Tapi entanlah, aku gagahi juga walaupun keikhlasanku sudah boleh dipersoalkan. Aku ikuti saja satu demi satu aktiviti, game dan celotehan fasilitator ESQ sampai 7.40 malam baru selesai. Tidak nampak pulak fasilitator ESQ solat berjemaah bersama. Jamak kot, atau ini isu remeh ?

Balik rumah keesokan, mulalah aku tercari-cari dalam internet tentang ESQ dan mengapa diharamkan di Wilayah Persekutuan walaupun di negeri lain ianya OK. Salah soang daripada ofis-mateku yang beragama Keristian, hanya sempat bersama dalam sesi hari pertama. Kata beliau terdapat beberapa pendekatan yang dilakukan oleh fasilitator serta penggunaan musik, telah lama menjadi pendekatan yang dilakukan oleh gereja keristian. Mungkin kebetulan. Waullahu alam.
Share:

Aidil Adha 1432H

Alhamdulillah, buat pertama kalinya pakatan berkorban seekor lembu dari kalangan ahli keluargaku telah dapat diadakan pada hari pertama Hari Raya Korban 1432H, yang jatuh pada hari Ahad, 6 November 2011. Selalunya Adil Adha aku tak balik kampong, kerana cuti pun sehari sahaja. Berbanding dengan Aidil Adha yang lalu, peluang cuti yang agak panjang tahun ini dapat juga dimanfaatkan untuk semua ahli keluarga dapat berkumpul. Memang sudah rancang beberapa bulan lalu supaya bolehlah memulakan simpanan bulan demi bulan.

Penyembelihan dilakukan oleh Imam Masjid Pt Kadir, iaitu Imam Hj Osman yang dibantu oleh kalangan jiran tetangga pada kira-kira jam 10.30 pagi. Begitu juga proses melapah dan membungkus daging korban dilakukan secara bergotong royong dengan jiran tetangga. Alhamdulillah, urusan semuanya siap kira-kira jam 1.30 tengahari.

Walaupun apa pun, adalah diharapkan agar ibadah korban yang dilakukan bersama diterima oleh Allah s.w.t. Kalau ada rezeki nanti, bolehlah pakat-pakat untuk buat lagi pada tahun-tahun yang akan datang.



Solat Raya
Ada satu kekurangan apabila solat raya, sama ada Aidil Fitri atau Aidil Adha di kampungku, iaitu ketiadaan jemaah wanita. Maknanya wanita tidak mengambil peluang untuk solat raya. Namun pada tahun ini, aku sertakeluarga solat di masjid kampung bersebelahan. Namun jemaahnya wanitanya boleh dibilang dengan jari.


Entahlah, terasa macam tidak meriah sahaja di Masjid pagi itu. Jemaahnya pun berpakaian bukan macam raya. Takbirnya tidak bersemangat manakala khutbahnya pun bukan sahaja tersangat, tetapi entah apa isinya dan gaya penyampaiannya pun kurang jelas.

Kentut Nyaring Ketika Solat
Masjid dua tingkat, bolehdikira baru. Binaan masjid yang lamam masih kekal di sebelahnya. Namun di masjid lama ini, mengingatkan aku tentang peristiwa ketia aku di sekolah rendah dahulu.

Ketika tahiyat akhir, tetiba aku terasa hendak kentut dan aku tahan-tahankannya. Namun akhirnya tidak tertahan dan meletuslah ia, mengeluarkan bunyi yang nyaring dan 'cantikkkkkk' ... apa lagi jemaah bubudak disekitarku ada yang tertawa kuat sedang aku cuba buat tak tahu menahan 'malu'.

Kesalahan Dalam Ibadah Korban
Aku ada menerima info dan e-mel mengenai perkara ini untuk dikongsikan bersama di sini tentang beberapa kesalahan dalam ibadahkorban. Tak pastinya bagaimana dengan dalil dan nas-nya.

1. Ada beberapa golongan masyarakat yang melakukan kesilapan dengan melakukan ibadah korban pada malam hari raya. Amalan ini tidak menepati sunnah dan sekiranya dilakukan juga, sembelihan tersebut tidak dikira sebagai ‘Ibadah Korban’, kerana para ulamak mengaggap perbuatan tersebut sebagai ‘Makruh’.

2. Begitu juga dalam masalah pembahagian daging korban. Masih ada amalan di mana daging yang telah dikorbankan dibahagi kepada tujuh bahagian, manakala bahagian tertentu (biasanya kepala, bahagian rusuk, batang pinang) diperuntukkan atau dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah. Tindakan ini sama sekali tidak dibenarkan, kerana setiap bahagian daging korban adalah sedekah dan sedekah sama sekali tidak boleh dijadikan sebagi upah. Sekiranya kita masih ingin memberikan upah kepada tukang sembelih, pihak yang berkongsi korban, boleh membayar lebih sedikit daripada harga sebenar binatang korban dan menyerahkan lebihan wang tersebut kepada tukang sembelih.

3. Melaksanakan ibadah korban dengan tujuan untuk menunjukkan kepada orang ramai akan kemampuan dirinya untuk melakukan korban, supaya dengan itu mereka akan dipandang mulia, dihormati dianggap sebagai orang yang hebat di sudut kemampuan kewangan, sedangkan dia sepatutnya insaf bahawa hanya korban yang disertakan dengan keikhlasan dan ketaqwaan sahaja yang diterima di sisi Allah. Firman Allah SWT maksudnya, Daging-daging korban dan darahnya itu, sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan) yang lahir dari ketaqwaan darimulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah memudahkan bagimu (binatang korban itu) untuk kamu supaya kamu mengagongkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”(Surah al-Haj : ayat 37)

4. Pembaziran daging korban, di mana terdapat daging korban yang lambat diagih-agihkan menyebabkan daging tersebut menjadi busuk. Di samping sikap sebahagain daripada kita yang terlalu tamak menghimpunkan daging korban, tetapi akhirnya menjadi busuk dan rosak, apabila ruang peti ais rumah kita tidak mampu memuatkan semua daging korban yang kita bawa pulang.

5. Pembahagian daging korban yang hanya ditentukan kepada kumpulan-kumpulan atau puak-puak tertentu sahaja, dengan mengenepikan hak orang lain terutama yang tinggal sejiran, sekampung atau setaman dengan kita.

6. Kedatangan ke masjid, ke surau atau ke tempat sembelihan, semata-mata untuk mendapatkan bahagian dari pembahagian daging korban, namun begitu tidak mensyukuri nikmat Allah setelah memakan dan menikmati daging korban tersebut, dengan cara melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Malah ada di antara mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke surau dan ke masjid atau bermuamalah dengan penduduk setempat.


Lagi Gambar Sekitar Aidil Adha Dan Majlis Korban
Share:

Kausar : Selamat Menghadapi SPM 2011

Belum pun SPM 2011 bermula, tapi dah buat Hari Graduasi. Itulah yang dilakukan oleh MRSM Langkawi dan aku kira juga di semua MRSM seluruh negara. Hari Graduasi ini dibuat berasaskan keputusan peperiksaan percubaan SPM yang diadakan sebaik Cuti Raya Aidil Fitri yang lalu. Aku dan isteri berkesempatan hadir bagi memberikan semangat kepada anak bungsuku, Kausar yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi.

Ujian bertulis SPM 2011 akan berlangsung mulai 14 November sehingga akhir bulan ini. Jika bagi Kausar ianya suatu yang mendebarakan. Lebih-lebih lagilah ibubapanya. Namun tidak dapat tidak, semua perlu ditempuhi juga dan tidak boleh dielakkan. Hanya usaha serta doa mengiringi perjuangan menghadapi SPM. Selamat menghadapi SPM, semoga dipermudahkan Allah dan mendapat keputusan yang cemerlang nanti.

Ramai juga yang hadir khususnya ibubapa dan ahli keluarga pada Hari Graduasi MRSM Langkawi yang telah diadakan pada 29 Oktober 2011 di Dewan Besar MRSM Langkawi. Majlis telah dirasmikan oleh Prof Dr Khudzir bin Hj Ahmad, Rektor UITM Perlis.


Graduan yang terlibat adalah merupakan calon yang telah menduduki PMR baru-baru ini dan calon SPM. Sebaik majlis, pelajar PMR terus dibenarkan balik dan bercuti akhir tahun. Wah, panjangnya cuti mereka ...

Dalam majlis tersebut Kausar memperolehi Anugerah Sijil Graduasi Kelas Pertama Tingkatan 5. Seramai 64 orang memperolehi anugerah dalam kelas yang sama, tetapi daripada segi ranking, Kausar menduduki tempat ke-11. Kausar juga memperolehi anugerah pelajar terbaik bagi subjek Pengetahuan Agama Islam. Tahniah diucapkan, semoga terus cemerlang dalam SPM sebenar nanti.

Lagi Gambar Sekitar Hari Gradusi MRSM Langkawi 2011
Share:

Suatu Pagi Memerhati Pelukis Jalanan

Pelukis Jalanan ? Kerana melukis di tepi-tepi jalan. Jalanan juga bermaksud lorong dan berkait dengan sepanjang jalan, tanpa tempat tertentu. Namun jalanan juga dikaitkan dengan mutu yang rendah. Musik jalanan merujuk kepada mutu musik yang rendah kualitinya. Begitukah juga dengan lukisan atau pelukis jalanan, merujuk kepada pelukis di tepi jalan dengan hasil karya yang kurang berkualiti.

Imej pelukis jalanan pula, nampak macam selekeh, berseluar jean lusuh, berambut panjang terurai walaupun lelaki. Apakah itu memang imej standardnya ? Mungkin imej tersebut sengaja ditonjolkan begitu supaya orang tidak takut meminta khidmat pelukis berkenaan dengan beranggapan bayarannya tidaklah mahal.

Suatu pagi, aku berkesempatan memerhatikan gelagat pelukis jalanan dalam memenuhi permintaan pelanggannya di hadapan sebuah kompleks membeli belah yang tersohor di Kuala Lumpur. Nampak ramai juga peminat yang turut mengerumuni dan memerhatikan kerja-kerja pelukis jalanan.

Tidak semua orang boleh melukis. Melukis juga memerlukan bakat. Mungkin juga bakat boleh di asah, tetapi sejauh mana ianya berjaya juga bergantung kepada minat, tekun dan kesabaran seseorang.

Dalam pada itu, sejauh mana masyarakat kita di Malaysia sedar dan pandai menghargai bakat serta hasil kerja seseorang pelukis ? Mungkin bagi pelukis jalanan, tidak begitu tinggi nilaiannya, maka bayarannya juga tidaklah tinggi. Pelukis jalanan juga seperti orang berniaga yang ada pasang surutnya dalam mendapatkan pelanggan. Sudahlah bayaran yang diterima dianggap rendah, berapa banyak pelanggan diterima dalam sehari.

\
Cumanya tidak banyak modal yang diperlukan bagi seorang pelukis jalanan, selain bakat dan kamahiran yang ada. Tidak perlu sewa tempat, tidak payah dapatkan lesen perniagaa. Melukislah di tepi jalan mana pun, mungkin tidak kena halau dengan pihak berkuasa PBT. Income Tax pun tidak perlu istihar.
Share:

SKSJ Serkam Darat, PRU13 & Projek Homestay

Pada 23 Oktober lalu, aku berkesempatan hadir ke Majlis Penutup Program jabatanku, SKSJ di SK Serkam Darat Melaka. Selepas lagu Negaraku dinanyikan beramai-ramai, lagu Melaka Maju jaya pula dinyanyikan. Aku tetiba teringat macam pernah dan biasa saja nyanyikan lagu tersebut. Lalu aku teringata dan ingatan terimbau kembali ketika aku mengikuti Kelas Matrikulasi di SM Muzaffar Shah yang ketika itu dinamakan SM Sains Melaka pada tahun 1981-82.

Nampak sambutan ramai terhadap program Penutup yangaku hadiri. Mungkin kerana sepatutnya dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka. Ketua Menteri tidak dapat hadir lantas diwakilkan kepada ADUN setempat. Dikatakan sedang bersama pimpinan partinya bersama untuk program turun padang, bersama rakyat. Yang disini pun bukan rakyat ke ? tetapi di sana mungkin rakyatnya lagi ramai dan kena hadir tunjukkan muka lantaran pimpinan tertinggi kerajaan pusat yang turun.

Semalam pun isterikua 'dipaksa' turun meramaikan majlis untuk menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, walaupun kelihatannya itu program parti. Ternyata kita masih tidak pro, tidak dapat nak bezakan program parti dan program rasmi kerajaan. Namun itu bulan persoalannya di sini, tetapi gelombang dan bahang pilihanraya ke-13 (PRU13) semakin terasa dan pastinya akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Di Melaka, warta kerajaan Negeri diterbitkan hari-hari dan jabatan atau agensi kerajaan pusat dan negeri dipaksa membelinya atau melangganinya. Nak agensi dikeluarkan atau dimasukkan dalam suratkhabat tersebut, kenalah aktif buat aktiviti yang menunjukkan kebaikan serta sokongan rakyat terhadap program-program kerajaan.

Berdekatan Serkam darat, aku menginap di sebuat resort di sekitar Alai. Simple saja resortnya tapi nampak praktikal dan murah sahaja. Kemudahan kira ok lah untuk aku yang sekadar nak jadikan tempat berehat.


Namun ini cukup untuk menimbulkan idea bagaimana mengurus dan mengusahakan projek penginapan chalet seperti ini. Kira ala-ala homestay. Tapi entahlah, mungkin nampak macam mudah, tetapi pengurusannya kenalah cekap, baik dan modalnya macamana pula ?

Klik Untuk Lagi Gambar SKSJ Serkam Darat
Share:

Memanfaatkan Keistimewaan Zulhijjah

Zul bererti 'yang empunya'. Hijjah ertinya 'haji'. Maka Zulhijjah membawa erti ‘bulan haji’. Sejak dari zaman sebelum Rasulullah s.a.w, umat manusia mengerjakan haji dalam bulan ini. Bulan haji sebenarnya bermula seawal 1 Shawal dan bulan Zulhijah adalah kemuncak bulan haji. Mendapat khabar dan melihatkan rakan-rakan serta umat Islam berangkat ke Mekah, membuatkan terasa ingin menumpang seronok, terasa bertuah terpilih menjadi tetamu Allah. Memang pengalaman sekali ke Mekah menunaikan haji, meninggalkan kesan yang mendalam sehingga terpahat kuat keinginan dihati untuk ke sana semula.

Apakah ini lantaran doa yang sering disyorkan semasa di Arafah Ya Allah, berilah aku peluang sekali lagi untuk kembali berwuquf di Arafah ini. Mengingati kembali suasana Arafah khususnya ketika wuquf ... aduh !!! Aku kira itulah saat dan suasana yang paling hening, syahdu dan teristimewa terpahat dalam sejarah hidupku ini. Masih terasa begitu mendalam kesannya ... Buat rakan, kenalan dan sedara mara serta seluruh umat Islam yang menjadi tetamu Allah, berlazat-lazatlah dalam mengerjakan ibadah di sana. Semoga memperoleh haji yang mabrur.

Bulan Zulhijjah bukanlah bulan hanya bagi tetamu Allah tetapi bulan istimewa bagi seluruh umat Islam yang peka dengan waktu-waktu yang dimuliakan oleh Allah dan bijak mengambil peluang bagi meraih curahan rahmat, maghfirah (keampunan) dan keredaan-Nya. Dalam bulan ini, terkandung beberapa kelebihan yang sewajarnya tidak dilepaskan begitu sahaja kepada umat Islam. 1 Zulhijjah 1431H bermula pada 8 November 2010, atau lebih tepat selepas maghrib 7 November.

Amalan 10 Hari Pertama
Sabda Rasulullah s.a.w, Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, “Bukankah jihad fi sabililllah?” Jawab baginda, “Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit”. ( H.R Al-Bukhari)

Sabda Rasulullah s.a.w, "Tidak ada hari yang lebih mulia disisi Allah, dan tidaklah paling disukai Allah s.w.t di dalamnya melainkan dari hari yang sepuluh, maka perbanyakkan Tasbih, Tahmid, Tahlil dan Takbir" ( H.R Tabrani )

Hadis-hadis ini memberikan suatu motivasi dalam menggalakkan umat Islam meningkatkan semua jenis amal ibadah seperti puasa, bersedekah, qiyamullail dan seumpamanya pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. Di dalam kitab Fathul Bari, Al-Hafiz telah menerangkan mengapa amal ibadah amat digalakkan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah kerana terhimpunnya semua ibadah utama padanya iaitu solat, puasa, zakat dan haji, yang mana tidak berlaku pada masa yang lain.

Puasa Hari Arafah ( 9 Zulhijjah )
Hari Arafah adalah hari yang kesembilan dari bulan Zulhijjah yang mana bagi jemaah haji mereka diwajibkan berada di padang Arafah untuk wuquf di sana. Sabda Rasulullah s.a.w, ‘Haji adalah wuquf ( di Arafah )’. Haji adalah urusan kita dengan Allah. Kerana itu setiap individu yang menunaikan haji, mesti melaksanakan wuquf pada 9 Zulhijjah walau dalam apa keadaan sekalipun. Ini antara yang membezakannya dengan Umrah.

Bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadat haji, disunatkan berpuasa pada hari Arafah, sejajar dengan hadis Rasulullah s.a.w, “Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyura (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu” ( H.R Muslim )

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. juga bersabda, “Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid”. ( H. R Ahmad).

Namun bagi jamaah haji, mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari tersebut sebagai mencontohi Nabi s.a.w. dan juga untuk menjaga kekuatan bagi memperbanyakkan berdoa pada hari itu. Wukuf adalah satu perhimpunan besar yang melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak. Dengan pakaian ihram yang sama putih, tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan, warna kulit, taraf kedudukan, kekeluargaan dan sebagainya. Suasana ini menyedarkan umat manusia bahawa mereka semua pada hakikatnya adalah sama rata di sisi Allah.

Dari sudut sejarahnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Arafah itu berasal dari pertemuan kembali Nabi Allah Adama.s dan isterinya Siti Hawa yang diturunkan ke bumi berasingan dan akhirnya bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang dengan Padang Arafah. Ada juga yang menyatakan bahawa ia berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Ibrahim a.s dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail a.s yang lama berpisah.

Ada juga berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim a.s yang menghayati perintah Allah s.w.t yang tersirat di dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail a.s. Oleh kerana itulah, hari Wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud Hari Renungan. Nabi Ibrahim a.s sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya yang berturut-turut dan sehingga akhirnya baginda faham ( maksud perkataan Arafa ) maksud mimpi dan terus melaksanakan mimpi berkenaan.

Hari Raya Aidil Adha
Selepas wukuf dan bertolak dan tinggal di Mina beberapa hari. Tidak terasa bahawa di tanah air, umat islam sedang merayakan Aidil Adha. Tapi tiada Hari raya Aidil Adha, malah solat Jumaat pun tiada. Manakala di tanah air seperti biasa, tiada Sale !!! Tiada Lagu Raya. Tiada konvoi balik kampong. Tiada filem atau rancangan khas di televisyen. Tiada mercun yang hingar bingar menghias malam seperti menyambut ketibaan Shawal. Apa yang sayup-sayup terdengar hanyalah Takbir di menara masjid, di surau-surau, sekali di kaca TV dan di sesetengah rumah.

Sedangkan amalan yang digalakakan ketika mula Raya dikira hampir sama. Disunatkan bertakbir, solat sunat raya dan berqiamullail menghidupkan malam. Tetapi bagus juga sebab kurang gangguan untuk beramal berbanding godaan merayakan malam pertama Shawal, dengan persiapan Aidil Fitrinya. Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesiapa yang menghidupkan dua malam Aidilfitri dan Aidil Adha ( dengan ibadah ), maka hatinya tidka akan mati pada hari di mana hati-hati manusia akan mati ( leka dari mengingati Allah ). ( H.R Ibnu Majah )

Berkorban
Disyariatkan berjorban menyembelih haiwan ternakan pada hari raya Aidil Adha dan hari-hari Tasyrik ( 11, 12 dan 13 Zulhijjah ). Dari Aisyah r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada amalan anak Adam pada hari Aidil Adha yang disukai Allah selain daripada menyembelih korban. Korban-korban itu akan datang kepada orang yang melakukannya pada hari kiamat seperti keadaan semula, iaitu dengan anggotanya, tulangnya, tanduknya dan bulunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan Tuhan sebelum jatuh ke atas tanah. Oleh sebab itu, berkorbanlah dengan senang hati” ( H.R al-tarmidzi & Ibnu Majah ).

Berbeza dengan kebanyakan amalan lain, keistimewaan berkorban ialah ganjaran pahala korban sampai ke pada Allah sebelum jatuh darah haiwan yang disembelih kebumi Walaupun ianya sunat, tetapi awas dengan amaran berat Rasulullah s.a.w, “Barangsiapa berkelebihan ( dalam harta ) tetapi tidak meyembelih haiwan korban, janganlah dia mendekati masjidku.” ( Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah )

Rasa Kebersamaan Dengan Jemaah Haji
Orang yang menunaikan ibadah korban sebenarnya turut menyertai pesta ibadah haji. Dengan sebab itulah ada beberapa larangan kepada jemaah haji yang turut dikongsi sama dengan mereka yang berniat untuk menunaikan Korban.

Umpamanya larangan bercukur dan memotong kuku kepada jemaah haji yang sedang berihram yang turut sama dikongsi larangan tersebut kepada umat Islam yang bukan menunaikan haji tetapi ingin melaksanakan ibadah qurban. Sabda Rasulullah s.a.w, Sekiranya masuk sepuluh hari Zulhijjah, dan antara kamu ada yang ingin menyembelih kurban, maka janganlah menggunting/cukur rambut atau memotong kukunya (sehinggalah haiwan tersebut disembelih). ( H.R Muslim )

Jika jemaah haji mengulangi talbiah sebagai simbolik kejayaan mereka menyahut seruan Allah dan juga mengagungkanNya, umat Islam di tempat lain seluruh dunia turut digalakkan mengulangi takbir sehinggalah ke hari terakhir haji pada 13 Zulhijjah.
Share:

Cetusan Dari Halal Fest 2011

Pada 16 Oktober 2011 yang lalu, aku berkesempatan ke Halal Fest ( Halfest ) 2011 di PWTC, Kuala Lumpur. Mungkin ini festival atau ekspo halal terbesar di Malaysia. Aku kira ekspo ini diadakan bagi memperkukuhkan dan merangsang industri halal tempatan sebelum melangkah ke pasaran golbal. Melihat daripada penyertaan gerai yang terdapat dalam ekspo tersebut, tentunya ia menjadi platform dalam membangunkan dan mempromosi pasaran halal di peringkat negara.

Ekspo diadakan di tiga buat dewan atau tempat yang berasingan. Walaupun masuk free, tetapi kena daftar. Hebat juga, tetapi letih berjalan di buatnya. Tak larat nak berkunjung ke semua gerai. Macam pesta buku yang selalu di adakan di PWTC. Bagiku, inilah peluang melihat pelbagai produk halal keluaran tempatan atau IKS dan yang paling penting tentunya yang turut serta telah mendapat iktiraf atau sijil halal JAKIM. Sekurang-kurangnya mengurangkan kebimbangan tentang integriti produk-produk halal dalam minda semua pengguna-pengguna halal.

Berdasarkan aturcara pengisian, nampaknya beberapa artis tempatan turut di jemput membuat promosi di atas pentas utama. Apakah sekadar untuk menarik perhatian dan kunjungan ramai ? Atau apakah aspek halal yang hendak dipaparkan ? Hala barangan yang dipromisikan, halal kaedah promosinya atau halal juga kegiatan artis berkenaan ?



Maksud Makanan Halal
Negara kita telah menetapkan makanan Halal melalui MS1500:2004: Makanan Halal – Pengeluaran, Penyediaan, Pengurusan & Penstoran – Panduan Umum ( Rujukan Pertama ) sebagai makanan yang dibenarkan di bawah undang-undang Syariah dan memenuhi syarat-syarat berikut.”

 Tidak mengandungi mana-mana bahagian atau produk haiwan yang tidak Halal kepada orang Islam atau produk haiwan yang tidak disembelih mengikut undang-undang Syariah,

 Tidak mengandungi sebarang ramuan yang najis mengikut undang-undang Syariah,

 Selamat dan tidak membahayakan,

 Tidak disediakan, diproses atau dikeluarkan menggunakan alatan yang tercemar dengan najis (kotoran dan tidak bersih) mengikut undang-undang Syariah,

 Makanan atau ramuan makanan tidak mengandungi mana-mana bahagian manusia atau penghasilan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang Syariah,

 Dan semasa pembuatan, pemprosesan, pembungkusan, penstroran atau pengangkutan, makanan tersebut terasing secara fizikal dengan mana-mana makanan yang tidak mencapai syarat yang telah dinyatakan dalam a., b., c., d. atau e. atau sebarang benda lain yang telah dikelaskan sebagai najis (kotoran atau tidak bersih) oleh undang-undang Syariah.

Definisi ini jelas menunjukkan bahawa produk yang tidak selamat, memabukkan dan membahayakan tidak akan disahkan Halal di bawah Piawaian Malaysia.

Melihatkan beberapa gerai yang turut serta, ada beberapa keraguan timbul apabila semua yang terlibat dalam booth pameran serta pengeluaran sesuatu barangan diusahakan oleh non-Muslim. Sejauh mana amalan pengilangan dilakukan sehingga dapat sijil halal JAKIM ?

Pernah aku dimaklumkan tentang statistik pengusaha atau permohonan bagi mendapatkan pengesahan atau pengiktirafan halal di negara kita. Majoritinya adalah pengusahan daripada non-Muslim. Dikatakan 80% dari makanan kita disediakan oleh non-Muslim. Apakah nisbah ini disebabkan memang non-Muslim yang banyak terlibat dalam industri pengeluaran barangan yang memerlukan pegesahan halal ? Mungkin juga.

Bagaimana bagi mereka yang terlibat dalam IKS ? Sedangkan kita amat berharap agar kita boleh kembali menjadi bangsa yang bijak dan maju apabila segala urusan makan minum diuruskan sendiri oleh tangan-tangan yang beriman dan bertaqwa. Makanan yang halal dan baik sahaja boleh mengubah diri umat Melayu Islam kepada suatu bangsa yang mampu bangkit dan berjaya.

GMP & IMP
Mungkin di sini timbulnya, perluasan maksud halal kepada beberapa amalan lain, iaitu GMP ( Good Manufacturing Practice ) dan IMP ( Islamic Manufacturing Practice ). Secara umumnya pengilangan GMP begitu biasa di kalangan industri pengilangan. GMP ialah pensijilan yang mendapat pengiktirafan dari Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia.

Sementara IMP pula ialah suatu piawaian yang bertaraf "HALALAN THOYYIBA"; iaitu suatu proses pengilangan yang bukan sahaja suci dari sudut Fizikalnya (yakni tidak ada bahan-bahan haram ataupun kontiminasi dengan bahan-bahan haram) malahan juga suci dari sudut rohaniahnya. Maknanya tangan-tangan yang memproses produk-produk juga suci dan halal iaitulah Islam.

Membentuk Keperibadian
IMP mencetuskan cetusan satu kesedaran untuk mewujudkan satu jaringan perniagaan berasaskan hukum-hukum syarak Islam yang melibatkan pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna. Dengan gabungan GMP dan IMP,tentunya memberikan satu dimensi baru terhadap industri halal negara dan penyelamat kepada pengguna umat Islam yang mementingkan soal halalan toyyiban. Produk dari kilang IMP menjadi suatu keperluan bagi menjamin lahirnya keperibadian yang mulia lagi luhur ager seseorang muslim itu kekal muslimnya dalam kehidupan serta mempunyai fikrah islamiah yang kukuh terhadap agamanya.

Makanan yang terhasil dari proses pengilangan yang halal lagi suci menjadi darah daging dan memberi kesan yang cukup kuat ke atas fikiran, perasaan, roh dan peribadi manusia. Hasilnya mampu mengubah keseluruhan diri ruhani dan jasmani dari kegelapan kepada petunjuk.

Kemampuan Pelaksanaan
Persoalannya sejauh mana pelaksanaan kod amalan GMP dan IMP bagi pengusaha umat Islam mampu dilaksanakan. Jika satu atau dua kilang berkemampuan, mampukan memenuhi keperluan seluruh umat Islam. Apakah juga sekadar tertumpu kepada makanan tambahan, penguat tenaga lelaki atau untuk keintiman perhubungan rumahtangga suami isteri ?

Melihat kepada kod amalan berkenaan, agak mencabar juga !! Contoh pekerjanya sahaja. Mesti Muslim yang beriman kepada Allah dan Rasulnya ( termasuk menutup aurat). Pekerjanya juga mampu membaca al-Quran dan doa-doa semasa proses pengilangan serta sentiasa mempunyai wudhu, selain mengetahu hukum hakam mengenai thoharah serta hukum air.

Jika begitulah keadaanya, sudah tentu memberikan impilkasi baik terhadap pengguna produk IMP. Ianya akan menjadikan kita lebih taat akan perintah Allah dan Rasul. Memakan makanan Halalan Thoyyiba, InsyAllah akan merubah 4 perkara iaitu pemikiran, perasaan, jiwa dan budi pekerti.

Cabaran ?
Namun apakah ini boleh juga menimbulkan kebimbangan terhadap non-Muslim, bimbang nanti tertarik atau convert menjadi Islam jika memakan makanan yang mendapat pengiktirafan IMP. Atau produk IMP sendiri tidak mendapat tempat atau sokongan daripada umat Islam, terutamnya apabila produk IMP lebih mahal walaupun 5 sen berbanding produk non-IMP.

Lagi Gambar Sekitar HalFest 2011
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.