Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Jualan Buku The Big Bad Wolf 2012

Ini bukan kali pertama, tetapi aku pernah mengunjunginya dalam dua jualan sebelum ini, di Plaza South City dan kemudian Dewan MAEPS Serdang pada tahun lepas. Penganjuran tahun 2012 adalah edisi yang ke-4, sejak bermula pada tahun 2009. Namun yang dikatakan menarik untuk edisi kali ini ialah, tag line daripada pihak penganjur, ‘The World’s Biggest Book Sales’ dengan sasaran jualan sebanyak tiga juta buku pada harga diskaun 75 – 95% daripada harga asal. Apa jenis buku yang hendak dijual habis ?

Aku sebenarnya masih tertanya-tanya, kenapa dipanggil The Big Bad Wolf ? Agak janggal bunyinya. Entahlah !! Bagus sangatkah jualan ini dan sejauh mana kebenaran apa yang didakwa sebagai The World’s Biggest Book Sales ? Aku sempat hadir ke jualan buku The Big Bad Wolf Book ( BBWB12 ) pada 15 Disember. Jualan berlangsung dari 7 hingga 23 Disember 2012 di THE Mines Convention Centre, Seri Kembangan, Selangor. Jalan masuk ke The MINES pada petang itu agak sesak, sama ada disebabkan orang ramai hendak ke pusat membeli belah The MINES atau juga ke BBWB12.

Sampai sahaja dalam dewan The MINES, aku agak terpegun. Dewan yang luas dengan keluasan 1,500 meter persegi serta berhawa dingin itu dipenuhi setakat dengan buku-buku, tetapi juga orang yang bukan main ramai. Namun masih mudah untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain. Bagi memudahkan untuk membawa buku, aku ambil kotak yang disediakan. Malah ada orang ramai yang turut membawa bag atau troli sendiri. Idea bagus jugak tu, mungkin mereka sudah biasa.

Walaupun buku-buku cuba di asingkan mengikut genre buku seperti Business, Novel, Self Help, Photography, Art & Marital, Home & Garden serta kanak-kanak, aku kira tidaklah semua buku daripada penerbit terkemuka ada di sini. Jadi buku jenis apa yang ada di sini. Rasanya 95% buku di sini dalam bahasa Inggeris. Hanya satu dua sudut sahaja melonggokkan buku dalam bahasa Melayu, tetapi daripada penerbit yang mungkin tidaklah ternama di negara kita. Apakah buku yang tidak laku di pasaran, lantas dijual murah di sini untuk habiskan stok ?

Mungkin betul kalau dikatakan BBWB12 sebagai the world’s biggest English book sale ? Jualan sebesar begitu diadakan bukan di Britain, Australia, Singapura atau USA, tetapi di Malaysia yang penduduknya hanya 28 juta orang dan purata membaca hanya 8 buah buku setahun ? Entahlah ... Habis tu Pesta Buku Antara Bangsa Kuala Lumpur yang diadakan saban tahun, di mana pula kedudukannya ?

Walau bagaimanapun ada satu rekod yang dicatatkan dalam jualan buku ini, iaitu jualan terus-menerus tanpa henti 24 jam selama 63 jam bermula 7 Disember sehingga hujung minggu. Khabarnya ia diteruskan pada hari-hari lain yang aku sendiri tidak pasti setakat mana pencapaiannya. Adake orang nak datang tengah malam atau pepagi buta ?

Lantaran murah, kebanyakan pengunjung ambil saja buku yang dirasakan diperlukan ke dalam kotak tanpa memeriksa sama ada buku tersebut berguna serta bermanfaat untuk dimiliki nanti ? Kemudian di suatu sudut, sebelum membayar, mereka akan membelek semula kandungan buku. Rasa tidak sesuai atau sudah terlebih budget, buang ketepi sahaja jawapannya buku yang tidak diperlukan. Membayar agak mudah, banyak kaunter, tidak perlu beratur panjang dan boleh bayar sama ada cash atau dengan kad kredit.

Mungkin rakyat Malaysia agak ‘kedekut’ untuk memiliki buku dalam bahasa Inggeris yang memang diketahui ianya diterbitkan daripada penerbit luar negara dan harganya pun agak mahal. Mahal mungkinjuga merujuk kepada nilai matawang negara penerbit berbanding RM. Lantaran itu, mereka menanti-nantikan jualan buku ini bagi mendapatkan buku berbahasa Inggeris yang dihajati. Apakah andaian ini boleh diterima ?

Mungkin begitu juga bagi buku berbahasa Malaysia, mereka lebih suka menunggu pesta buku atau jualan buku daripada penerbit atau pengedar tempatan bagi mendapatkan buku yang dihajati.
Share:

Di Sebalik MAHA 2012

MAHA 2012 telah diadakan mulai pada 23 Nov 2012 hingga 2 Disember 2012 dari 10 pagi — 10 malam. MAHA atau Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia merupakan acara dwi tahunan yang di adakan MARDI – Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), UPM Selangor. Seperti dua kali MAHA yang aku kunjungi sebelum ini, aku tidak melepaskan peluang untuk hadir lagi pada tahun ini. Aku memang menjangkakan tidak akan selesai untuk ‘ziarah’ atau mengunjungi semua gerai serta bahan pameran yang terdapat sepanjang MAHA berlangsung. Memang luas kawasannya.

Apakah tahun ini lebih luas berbanding dengan dua tahun lepas atau keluasan lebih kurang sama Cuma kandungan, gerai atau bahan pamerannya meningkat ? Memang MAHA bertujuan untuk mengubah persepsi orang ramai di mana pertanian bukan lagi sektor untuk orang miskin atau kurang berpendidikan, tetapi kepada semua orang dan boleh menjanjikan keuntungan sehingga kepada jutawan tani. Namun sepanjang 10 hari MAHA berlangsung, dua tahun sekali pulak tu, sejauh mana ianya memberikan kesan sebagaimana diharapkan.

Kali pertama aku datang pada hari ketiga MAHA bermula melalui Pintu 1. Target aku ialah untuk masuk mengunjungi 4 bangunan besar yang terdapat berdekatan dengan Pintu 1, serta gerai sekitarnya. Memang ramai sungguh orang tiba ketika itu. Tidak kira tua muda serta kanak-kanak termasuk bayi. Parking nampaknya tidak begitu masalah, malahan bas-bas pelbagai jenis pengangkutan turut disediakan. Aku jalan sahaja sebab nampak barisan menunggu giliran naik bas kelihatan sangat panjang dan tidak tersusun elok.

Burung Walid & Seaweed
Bangunan Utama disediakan untuk pameran agensi pertanian. Ada beberapa yang menarik perhatian ku pada pameran kali ini yang aku terasa begitu banyak dipromosikan iaitu produk burung walid serta sea weed.

Mungkin masa MAHA 2010 dulu tidak banyak ditonjolkan atau hanya daripada segi teori masa depannya yang baik. Namun kali ini banyak diceritakan ‘success story’ serta pelbagai produk hasil daripadanya.

Pohon Istimewa
Satu yang menarik perhatianku ialah satu pohon ‘lelimau’ yang mengandungi 5 pohon lelimau lain, pohon istimewa. Dalam satu pokok limau purut yang menjadi dasarnya, ditot sehingga ada dahan limau nipis, limau kasturi, limau kasturi batik dan lemon.

Aku kira sekiranya pohon ini berjaya membesar dengan mengekalkan perasa setiap lelimau, boleh diaplikasikan pula kepada pohon lain seperti jambu air dengan jambu madu, jambu mawar atau pelbagai jenis jambu air lain.

Atau pokok rambutan dengan rambutan kawin, budak sekolah, pulasan serta rambutan gading.

Apakah fitrah kehidupan akan tercabar ? Satu pohon dengan akar yang sama tetapi menghasilkan buah yang berbeza jenis ?

Jalan punya jalan, mengujungi pameran daripada agensi yang terlibat dalam industri pertanian, keletihan mula terasa. Walaupun dilengkapi dengan penghawa dingin, namun penat juga kaki berjalan.

Industri urut kaki juga tidak ketinggalan disediakan di banyak tempat oleh pempamer, yang aku kira brlainan.

Terdengar ‘komen’ daripada seorang kanak-kanak, best juga pasar tani ni sebab ada air-cond !!! Akhirnya aku balik sahaja. Hanya sempat masuk di dua bangunan berbanding empat bangunan pameran besar. Esok atau lain kalilah kataku.

Kunjungan Kedua
Kunjungan kali kedua, aku melalui Pintu 2. Sungguh meriah kelihatan di kawasan puntu masuk. Namun aku merasa macam ada yang tidak kena. Ini MAHA, Pasar Tani atau Pasar Malam ? Pasar Tani atau Pasar Malam pun jual produk pertanian, tapi apa atau di mana eksklusifnya MAHA ?

Pameran paling hampir dengan Pintu 2 ialah haiwan ternakan serta industri yang berkaitan dengannya. Tapi tahunini tak nampak kandang kambing modern yang macam aku berkenan seperti tahun lepas.


Kebetulan aku temui sorang kawan yang juga bertugas di salah satu daripada gerai jualan produk makanan. Beliau melahirkan tidak puas hati dengan kedudukan gerai yang diberikan, tidak kurang lebih macam pasar malam sahaja.

Demontrasi Bantahan
Rupanya kedudukan dan penempatan gerai telah menjadi bantahan kepada pengusaha gerai. Mereka ditempatkan di kawasan yang agak tersorok sehingga sukar dikunjungi oleh pengunjung MAHA. Sedangkan peniaga haram dibiarkan melaksanakan akjtiviti di kawasan orang ramai lalu-lalang.

Akibatnya mereka berdemontrasi. Lepas itu barulah dipindahkan ke kawasan dengan susunannya macam di pasar malam sahaja. Di sini timbul pula, siapa sebenarnya penganjur MAHA ? FAMA, MARDI, MOA ? Malah timbul juga soal sub-kontraktor kepada kroni parti politik … entahlah.

Agro-Pelancongan
Kompleks tanaman nanas, padi dan ternakan ikan terletak berhampiran. Bahan pamerannya aku kira menarik, agak lengkap dan begitu berinformatif.

Namun persoalan yang juga aku tujukan kepada salah seorang petugas, apakah kompleks ini hanya diubuka dua tahun sekali sahaja ? Bukankah itu membazir sahaja …

Patutnya ia boleh dijadikan tarikan dalam agro-pelancongan. Siapa sangka baju cantik di atas diperbuat daripada serat nanas ? Kalau tidak boleh dibuka setiap hari pun, bukalah pada hujung minggu atau cuti sekolah kepada orang ramai. Kalau tidak pun lawatan atas permohonan khususnya sekolah-sekolah.

Tapi mungkin kalau dibukapun, kurang permintaan. Maklumlah sekarang ini orang tidak kisah kisah sangat dengan tanaman atau industri tersebut.

Sebaliknya yang lebih entertaining akan menjadi kunjungan parent atau rombongan sekolah seperti taman tema atau zoo. Atau mungkin perlukan selebriti tertentu menyambut kahadiran pengunjung ?

MAHA yang Mahal ?
Aku sempat mengunjungi juga pavilion yang dibina khas mengikut negeri-negeri di Malaysia. MAHA dulu pun menempatkan negeri yang sama. Maknanya khas untuk negeri berkenaan sehingga bila-bila selagi MAHA diadakan.

Semasa MAHA, pavilion tersebut mempamerkan bahan atau produk istimewa daripada negeri yang berkenaan.

Persoalannya, selepas MAHA apa berlaku kepada pavillion tersebut ? Jadi rumah rehat atau rumah singgah pembesar negeri berkenaan ?

Kuching & Arnab
Pertandingan kucing cantek yang diadakansempena MAHA cukup menarik perhatianku. Pelbagai jenis dan rupa kucing dipertontonkan. Tidak kurang juga kempen program adopting kucing.

Arnab pula nampaknya semakin popular sebagai satu industri kepada anak-anak untuk merasai bermain dan membelai arnab. Sekurang-kurangnya 3 gerai yang kutemui menyedia taman permainan arnab untuk kanak-kanak.

Kurang Kemudahan ?
Penganjur tidak seharusnya berbangga dengan bilangan peserta pameran, bilangan pengunjung serta keluasan atau kebesaran saiz MAHA. Khabarnya tercatat dalam 'The Malaysia Book of Records’ selepas berjaya menarik lebih 3.2 juta pengunjung sepanjang 10 hari diadakan yang melibatkan 2,240 pempamer.

Namun ianya perlu disekalikan dengan kemudahan pengangkutan yang mantap pengurusannya. Ramai yang dikatakan mengeluh berikutan kekurangan pengangkutan trem dan jarak yang jauh. Aku sendiri lihat queue yang panjang, lantas jalan kaki sahaja sambil exercise badan. Tapi letih juga dibuatnya di tambah dengan kepanasan matahari yang terik.

Namun demikian, dengan dua kali kunjungan tidak sempat nak merasai pengalaman MAHA secara keseluruhannya. Masih ada yang tidak pernah sempat dikunjungi iaitu sudut tanaman bunga-bunga. Mungkin dalam penganjuran kali ke-8 nanti, iaitu MAHA 2014.
Share:

Boleh Mendoakan Kemusnahan Pihak Lain ?

Isu ini mungkin telah sebulan lebih berlalu, Memandangkan ia lebih dicanang sebagai isu politik, aku sekadar tidak ambil kisah sangat. Media massa sorat khabar serta pelbagai rancangan khas di saluran TV diwujudkan bagi membincangkan isu ini dengan hasrat untuk mendedah dan menemplak tindakan PAS yang mendoakan kemusnahan parti BN dalam pilihanraya akan datang. PRU13 semakin. Seolah-olah tindakan pihak kerajaan serta parti pemerintah sekarang seharusnya mencerminkan kebaikan mereka dan sebaliknya imej negatif perlu dicanang dan diletakkan ke muka parti pembangkang atau Pakatan Rakyat.

Aku pun sebenarnya tidak pasti, atas event apa doa tersebut dibacakan, apa sebenarnya bait-bait doa tersebut dan siapa yang sebenarnya membacakannnya. Dengan timbullah pelbagai hujah ( sama ada berdasarkan lojik akal dan nas ) serta pandangan mengenai perkara ini sama ada setuju atau tidak, media massa memainkan peranan besar.

Aku terdengar persoalan yang sama diutarakan oleh seorang pendegra Radio IKIM yang tersiar semasa slot bersama Ustaz Fahrol Mohd Joi, bolehkah mendoakan kehancuran sesuatu pihak?’. Aku kira Al-Ustaz terkejut. Namun dijawabnya kebih kurang yang aku ingat, boleh dan kita boleh minta bantuan Allah untuk menghancurkan kezaliman dan menghapuskan penganiayaan secara umumnya. Namun secara secara khusus terpulang kepada pihak yang berdoa, jika dia yakin, punya bukti, bahawa dia dizalimi oleh pihak tertentu maka untuknya dibolehkan berdoa secara tertentu pula. Begitulah lebih kurang.

Jawapan tersebut nampak macam ‘natural’, tidak condong kepada mana-mana pihak. Rasanya Al-Ustaz tidak kena ‘ban’ dengan jawapan tersebut dan masih dibenarkan bersiaran di Radio IKIM. Kalau tanya ulamak UMNO serta ulamak PAS tentu kita sudah boleh mengagak jawapannya. PAS pula akan digambarkan sebagai sudah ketandusan idea serta begitu tamak, gelojoh sehingga sanggup buat apa sahaja bagi mencapai cita-cita menaklukki Putrajaya termasuk menyalahgunakan doa.

Ustaz Azhar Idrus dalam menjawab soalan daripada hadirin semasa berkuliah di Masjid Jamek Kajang pada 24 November 2012 yang lalu juga menjawab ‘boleh, sekiranya kita dianiaya’. Namun ada beberapa informasi umum dan ringkas berikut ( selain yang di atas ) boleh dijadikan panduan untuk terpulang kepada kita membuat kesimpulan.

Makna kata kalau kita dizalimi, tertipu, dianiaya oleh pihak atau orang lain, maknanya boleh kita mohon sama ada Allah berikan petunjuk atau turunkan bala ke atas mereka yang melakukannya ke atas kita ?

Share:

Sukarnya Rakyat Menerima AES

Mungkin disebabkan timing. Pelaksanaan Automated Enforcement System ( AES) oleh Kementerian Pengangkutan bagi pihak kerajaan menjadi mangsa keadaan di mana tarikh Pilihanraya Umum Ke-13 ( PRU13 ) yang semakin hampir tetapi masih menjadi teka-teki umum. Sebut sahaja Kementerian Pengangkutan atau JPJ ketika ini, hot topiknya ialah AES. Forum perbincangan menerusi internet serta media massa memberikan liputan yang agak luas terhadapnya.

Persepsi umum yang cuba ditanamkan bagi yang menentang pelaksanaan AES ialah AES bermotif keuntungan atau mendapatkan semula collection secara halal daripada orang ramai bagi menampung atau membayar kembali insenti yang di janji oleh parti kerajaan menerusi KR1M, BR1M, TR1M dan sebagainya. Atau setidak-tidaknya bagi mendapatkan dana dalam menghadapi PRU13.

Akibatnya Ahli Parlimen dari parti kerajaan sendiri menjadi goyah sehingga ada yang membuat kenyataan supaya pelaksanaannya ditangguh dan dikaji semula. Sekurang-kurangnya bagi menunjukkan keperihatinan terhadap permasalahan yang dihadapi oleh orang ramai, bakal pengundi dalam PRU13 nanti. Sejauh mana agenda melindungi atau membela pesalah jalan raya serta pemandu berbahaya hendak diperjuangkan dalam meraih undi PRU13 ?

Apa yang nak dirisaukan dengan AES. Bermula 23 September, setakat ini baru 14 kamera daripada 803 telah dipasang. Lokasi serta koordinatnya pun diberitahu menerusi www.jpj.gov.my. Tidak cukup dengan itu, kekira 2-5 kilometer sebelum kamera pun, ada papan tanda peringatan. Ini memang peringatan yang dianggap cukup berhemah.

Kalau kawasan itu had lajunya 80km/j, pastikan kelajuan kenderaan anda tidak melebihi 80 + 10 = 90km/j. Kalau tempat itu 90km/j, pastikan tidak melebih 100km/j. Lepas 5 kilometer, pecutlah sepuas manapun. Insya’allah selamat daripada menerima saman kamera AES dan moga selamat juga perjalanan. Atau kalau terasa lambat sangat, pecutlah kepada kelajuan 300km/j khususnya kereta yang mahal-mahal serta ‘CC’ besar. Aku difahamkan kamera tersebut tidak mampu merakam pergerakan kenderaan dengan kelajuan melebihi 300km/j.

Kalau semuanya ikut had laju yang ditetapkan, apa masalahanya ? Kadar kemalangan jalan raya khususnya yang membawa maut pun boleh berkurangan lantaran tidak dinafikan kelajuan kenderaan bukananya satu-satunya factor untuk berlakunya kemalangan. Sebab itu ada jalan yang had lajunya 30, ada yang 50, 70, 80, 90 dan sebagainya. Perbezaan ini mengambil kira keadaan jalan, mukabumi serta suasana persekitaran.

Anggaplah kamera AES sebagai salah satu usaha dalam mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya dengan mematuhi had laju yang ditetapkan. Mungkin kalau ahli keluarga atau sedara mara kita sendiri menjadi mangsa dalam kemalangan jalan raya, baru nak terasa AES begitu relevan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ? Tidak timbul isu vandalism dengan merosakkan kamera AES yang telah dipasang.

Berilah peluang AES dilaksanakan dahulu then sesama kita lihat implikasi pelaksanananya. Pelaksanaan AES meningkatkan keberkesanan pengatkuasaan trafik melalui sistem yang berjalan sepanjang masa atau works around the clock. Ia telah banyak dilaksanakan di beberapa Negara maju seperti Jerman, Australia dan Singapura. Sama ada siang, malam, hujan dan panas, berjalan tanpa interaksi manusia secara langsung antara pesalah dengan sistem AES. Ini menghindarkan diskriminasi serta amalan tidak sihat lain seperti rasuah.

Buktikan kita semua pemandu yang berhemah, berdisiplin dan menjadikan jalan raya Malaysia lebih selamat. Apakah kita hendak menjadikan jalan raya menjadi tidak selamat dan nyawa pengguna jalan raya akan sentiasa terancam. Buktikan jika AES merupakan projek menguntungkan kroni ( betulkah, sedangkan perlantikann dilakukan menerusi prosedur biasa tender kerajaan ? ), biarkan syarikat tersebut bangkrap lantaran tidak banyak saman AES dikeluarkan lantaran kita telah mematuhi peraturan had laju jalan raya dan lampu isyarat. Malaysia boleh ?
Share:

Muharram & Penghijrahan Rasulullah s.a.w

Jika mengikut perkiraan tarikh lahir Masehiku sebagaimana tercatat atas surat beranak dan Kad Pengenalan, 8 Muharram 1434 Hijrah ini genaplah usiaku 51 tahun mengikut perkiraan Hijrah. Nampaknya lebih tua daripada perkiraan mengikut tahun Masehi. Apakah akan menjadi azamku untuk menyambutnya setiap tahun bagi menggantikan tarikh mengikut Masehi ? Entahlah ... apa signifikannya. Sekurang-kurangnya aku sedar angka usiaku mengikut tahun Masehi atau Hijrah. Apatah lagi kita baru menyambut Maal Hijrah 1434H.

Kita begitu lumrah di mana-mana surau dan masjid, Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah, diadakan menjelang berakhirnya Zulhijjah dan menjelmanya Muharram. Malahan menjadi program rasmi bagi pihak pemerintah dengan mengadakannya di masjid negeri atau utama sesebuah negeri yang diakhirnya dengan perhimpunan Sambutan Maal Hijrah kemudiannya. Tidaklah aku berhajat nak membahaskan hukumnya salah atau tidak, boleh atau tidak.

Pemilihan tahun berdasarkan kalendar Islam bermula semasa pemerintahan Khalifah Saidina Umar apabila timbul kekeliruan merujuk dokumen dalam baginda menjalankan urusan pemerintahannya. Lalu peristiwa besar penghijrahan Rasulullah s.a.w dipilih sebagai tahun pertama. Manakala Muharram dipilih sebagai bulan pertama dengan hujjah bahawa Muharram adalah bulan orang ramai bersurai daripada perhimpunan besar kerana mengerjakan haji, pulang ke kampung halaman dengan keperibadian baru setelah dosa diampunkan Allah hasil ibadah haji.

Daripada sudut bahasa, Muharram bermaksud diharamkan atau pantang. Ini kerana suatu ketika dahulu dalam bulan ini, Allah melarang keras sebarang peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian, larangan ini dikatakan ditamatkan setelah pembukaan semula Mekah oleh Rasulullah s.a.w setelah baginda berhijrah.

Terdapat banyak tulisan sama ada dalam buku, majalah, surat khabar serta laman web dan blog memperkatakan tentang hikmah dan falsafah hijrah, serta kelebihan dan kemuliaan bulan Muharram. Namun bagiku, kita perlu berhati-hati dengan hadis-hadis mengenai kelebihan, amalan khusus dan peristiwa dalam bulan Muharram. Aku berharap apa yang aku catatkan di bawah, tidak lari daripada itu. Yang penting kita kena jelas kaitan 1 Muharram dengan peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w.

Peristiwa Hijrah Dan Bulan Muharram ?
Muharram bukanlah bulan berlakunya penghijrahan Rasulullah s.a.w ke Madinah. Tetapi ia adalah bulan pertama yang dipilih dalam dalam kalendar tahunan Islam. Hanya tahun penghijrahan Rasulullah s.a.w dipilih sebagai tahun pertama. Terdapat pendapat pengkaji sirah menyatakan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi Rasul. Baginda kemudian memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal.

Habis tu, kenapa 1 Muharram kita menyambutnya dengan cuti kelepasan am sambil saranan untuk menghayati pengertian hijrah ? Bagaimana pula kini dikaitkan dengan Maal Hijrah serta penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah, selain mengambil tahun penghijrahan Rasulullah sebagai tahun pertama dalam Islam.

Hari Asyura atau 10 Muharram
Hari ke 10 Muharram disebut juga sebagai Hari Asyura. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Bagi masyarakat kita, lekat nama Bubur Asyura yang diambil sempena bubur masakan mereka yang terselamat bersama Nabi Nuh, keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan dengan bah besar.

Apa yang disunatkan pada hari tertsebut ialah berpuasa dan bersedekah. Dari Ibnu Abbas, “Bahwa Rasulullah s.a.w berpuasa pada hari ‘Asyura dan memerintahkan untuk berpuasa padanya”. (Muttafaqun ‘Alaihi). Manakala dari Abu Qatadah r.a bahawaq Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari ‘Asyura. Beliau menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu” ( H.R Muslim ).

Akhirnya, hadits yang Ketiga, Dari Ibnu Abbas r.a.beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Apabila (usia)ku sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan” ( H.R. Muslim ) Ini adalah lantaran orang Yahudi juga membesarkan 10 Muharram ketika itu. Jadi puasa 9 Muharram bagi membezakannya dengan orang Islam. Namun Rasulullah s.a.w tidak sempat melaksanakannya kerana wafat tahun berikutnya.

Abu Musa al-Madani pula meriwayatkan dari Ibnu Abas, “Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura adalah seperti berpuasa setahun dan sesiapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah baginya bersedekah setahun” ( H.R Al-Bazzar )

Daripada Ibnu Mas'ud, daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda, "Sesiapa yang memperluaskan makanan ke atas keluarganya pada hari Asyura, akan sentiasa berada salam keadaan diperluaskan rezekinya sepanjang tahun itu" ( H.R al-Tabrani )


Peristiwa Besar Muharram
Berbanding dengan hal 1 Muharram, nampaknya 10 Muharram lebih besar peristiwanya. Berdasarkan kisah yang dicatatkan dalam pelbagai media, terdapat pelbagai kejadian besar berlaku ketika 10 Muharram, antaranya seperti berikut :-
• Hari pertama Allah menciptakan alam.
• Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
• Hari pertama Allah menurunkan hujan.
• Allah menjadikan 'Arasy.
• Allah menjadikan Luh Mahfuz.
• Allah menjadikan Malaikat Jibril.
• Nabi Adam a.s. dicipta.
• Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah.
• Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit.
• Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
• Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud.
• Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
• Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun.
• Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut.
• Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.
• Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
• Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s..
• Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
• Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah.
• Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
• Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda.
• Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh tentera khalifah Bani Umaiyyah iaitu Khalifah Yazid.

Kepentingan Hijrah
Memang kita akui akan kepentingan Hijrah Rasulullah s.a.w untuk kita hayati sempena Maal Hijrah. Jika tidak bersempena dengan Maal Hijrah 1 Muharram, bila lagi hendak diperingati ? Rasulullah s.a.w dan para sahabat berhijrah untuk menyelamatkan agama dan akidah, mencari jalan bagi melicinkan usaha memantapkan penghayatan agama dan merupakan usaha mengembangkan risalah Islam kepada seluruh manusia sekalipun mereka terpaksa menanggung kerugian duniawi. Mereka berhijrah meninggalkan semua harta setelah kaum muysrikin Mekah menghalang mereka membawa bersama-sama harta mereka.

Ini berbeza dengan hijrah atau perpindahan manusia zaman kini dari kampung ke bandar yang bertujuan mencari rezeki dan keselesaan hidup. Namun, kedua-dua bentuk hijrah dan perpindahan tersebut aku kira tetap mendapat ganjaran dari Allah s.w.t selagi mana dilakukan kerana-Nya.

Intipati peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah bukan sahaja tertumpu kepada perpindahan jasad, tetapi antara tujuan yang penting ialah untuk membimbing dan mendidik para Sahabat yang baru sahaja memeluk agama Islam ke arah kesempurnaan penghayatan Islam sedikit demi sedikit.

Pendek kata, falsafah penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah adalah untuk memastikan perpindahan keyakinan, tasawur, akhlak dan sikap para Sahabat dari pengaruh jahiliyah kepada pengaruh wahyu dan fitrah, dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Buktinya, Islam menjadi lebih terbilang setelah penghijrahan berlaku.

Hijrah Meninggalkan Maksiat
Dari sudut bahasa, Hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah, hijrah adalah meinggalkan sesuatu yang dilarang. Ini adalah berdasarkan hadis bahawa Rasulullah s.a.w, "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan kejahatan, maka dia menjauhinya" ( H.R Ahmad )

Makna yang luasnya, hijrah difahami sebagi perpindahan dari suatu keadaan tidak baik atau kurang baik kepada keadaan yang lebih baik dan tentunya yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Nota : Dipublish semula, pertama kali pada SATURDAY, DECEMBER 11, 2010 dengan sedikit penyesuaian. Kemudian pada 27 November 2011 dan pada hari ini sempena 1 Muharram 1434H.

Share:

Buku Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali

Baru bulan lepas aku beli buku ini. Sebenarnya telah diterbitkan tahun lepas. Agak menarik juga walaupun ia merupakan kenangan hidup penulis tentang perjuangan politiknya untuk menegakkan apa yang dikatakannya sebagai keadilan, kebajikan dan kebenaran bagi rakyat.

Bagi yang tidak mengenal penulis, mungkin tidak begitu berminat untuk membacanya. Bagi yang mengenalinya pula, sekiranya tidak berminat untuk mengetahui mengenai penyertaan, kegiatan, pengalaman dan pandangan beliau terutama berhubung beberapa peristiwa politik yang melibatkan rakyat, mungkin tidak perlu membacanya.

Namun aku dapati menerusi buku ini banyak dipaparkan soal politik yang berpusat kepada catatan-catatan tentang penyertaan dan pengalaman penulis serta sikap, pandangan dan fikirannya terhadap beberapa isu, perkembangan, peristiwa dan kontroversi politik yang berlaku dalam parti dan negara. Kisah awal semasa beliau belajar tidak begitu menarik perhatianku.

Terdapat banyak perkara yang menjelaskan tentang apa berlaku selepas kemenangan parti-parti pembangkang di lima negeri, pembentukan PAKATAN, percubaaan UMNO-BN untuk menjatuhkan Kerajaan PAKATAN, terutama Selangor, percubaan Anwar yang dianggap gagal berkaitan 16 September dan sebagainya. Memoir ini mendedahkan banyak juga hal mengenai pertimbangan yang tidak diketahui umum tentang mengapa dan bagaimana sesetengah keputusan politik telah diambil.

Yang menariknya didedahkan bagaimana Ezam terpaksa mel.etakkan jawatan dan keluar daripada Keadilan kerana masalah ‘kesempitan pendapatan’ yang hanya bergantung kepada gaji isteri. Mungkin benar cerita tersebut kerana sehingga kini rasanya tiada penafian daripada Sdra Ezam. Yang kedengaran ialah saman daripada tetuan Zulkifli Nordin, MP Bandar Kulim yang mendakwa kandungan buku tersebut terdapat fitnah ke atas dirinya.

Selain daripada itu, terpulanglah kepada diri masing-masing untuk mempercayai segala catatan penulis.
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.