Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Sekilas Keputusan PRU13

Seminggu berlalu PRU13, suatu pilihanraya yang dianggap sengit dalam sejarah antara parti yang bertandiung, khususnya komponen BN dengan Pakatan Rakyat ( PR ). Menanti keputusan satu demi satu di kaca TV sehingga larut malam dan memasukki hari berikutnya sungguh mendebarkan. MB Johor tewas dengan Pengerusi DAP dan MB Melaka tumbang dengan Pengerusi PKR Melaka. Juga beberapa Pak Menteri serta timbalan menteri.


UMNO meningkatkan kerusi Parlimen yang diwakilinya daripada 79 kepada 88. Bagi kerusi DUN juga menyaksikan peningkatan kerusi Umno daripada 239 pada 2008 kepada 242 selepas PRU13. Namun MCA yang bertanding di 15 kawasan parlimen dan 90 DUN, hanya memenangi 6 kawasan Parlimen dan 10 DUN. Manakala MIC pula memenangi 4 kawasan parlimen dari 9 kawasan dan 5 DUN berbanding 18 yang ditandinginya.



PR memperolehi 50.3% undi popular berbanding BN memperolehi 46% di kawasan parlimen, tetapi memperolehi 89 kerusi parlimen daripada 222 kerusi berbanding 133 untuk BN. Dikalangan 89 kerusi dimenangi oleh PR, 38 adalah DAP ( meningkat berbanding 29 sebelum PRU13 ), PKR 30 ( berbanding 25 ) dan PAS 21 ( berbanding 23 sebelum PRU13 ).

Di DUN, BN memperolehi 275 kerusi ( berbanding 344 dalam PRU12 ), manakala pembangkang memenangi 230 kerusi ( meningkat berbanding161 dalam PRU12 ). DAP memperolehi 95, PAS 85,PKR 49 dan 1 STAR. Kalau ikut undi popular parlimen, PR sudah memerintah. Negara kita mengamalkan sistem bilangan kerusi yang dimenangi, Parlimen untuk memerintah Negara dan DUN untuk memerintah negeri. Bagaimana hendak mengulas keadaan ini ?

Tsunami Pengundi Cina ?
Beberapa hari menjelang pilihanraya, seorang columnist akhbar milik MCA, The Star membayangkan sokongan semakin solid pengundi Cina terhadap parti pembangkang. Pengundi Melayu masih banyak yang di atas pagar. Nampaknya ia benar-benar berlaku. PR banyak menang di kawasan bandar manakala BN di kawasan luar Bandar yang masih memerlukan bantuan kerajaan.



Tapi digambarkan bahawa pengundi Cina begitu rasis atau bersifat perkauman dengan menyokong Calon Cina sahaja sehingga menyebabkan MC hanya menang 6 dari 12 kerusi Parlimen ? Sekiranya benar begitu, bagaimana Rafizi (PKR) menang lawan Gary Lim (BN) di Pandan, Tan Sri Khalid (PKR) menang lawan Tan Kok Eng (BN) di Bandar Tun Razak dan Jeneral Bersara Imran Hamid (PKR) menang lawan bekas Menteri Pengangkutan Kong Cho Ha (BN) di Lumut.

Malah terdapan calon DAP melayu yang menang seperti Datuk Arif (DAP) menang lawan Hoh Khai Mun (BN) di Raub dan Khairil K. Johari (DAP) menang lawan Teh Leong Meng (BN) di Bukit Bendera. Apakah pula actor kemenangan Dr Siti Mariah (PAS) yang menang lawan S. Murugesan (BN) di Kota Raja serta Kamarul Bahrin (PKR) menang lawan V.S Mogan (BN) di Telok Kemang ?

Walapun MCA dengan kempena undi DAP bererti memberikan undi kepada PAS, memberikan undi kepada Islam dan cuba mengaitkanya dengan turut menyokong Hukum Hudud sekiranya PAS berkuasa, namun ia seolah-olah tidak memberikan kesan.

Menang Dan Tewasnya Jagoaan PAS
Selain Salahuddin Ayob dan Husam, Mat Sabu, serta Dato’ Haron Din juga tewas. Apakah silap strategi atau memang mereka tidak diterima oleh rakyat ? Dr Zulkefli Ahmad yang sebelum ini menang di Kuala Selangor, kali ini tewas tipis 460 undi sahaja.



Tetapi yang menariknya, kemenangan beberapa orang besar PAS seperti Ketua Pemudanya di Temerloh, Ustaz Nasaruddin Hassan yang menewaskan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Ustaz Idris Ahmad di P9 Bukit Gantang yang boleh diharapkan menyampaikan suara Islam di Parlimen selain Mahfuz Omar dan Dr Hatta Ramli yang masing-masing menang di Pokok Sena dan Kuala Kerai.

Bagaimana dengan Ahli Parlimen baru PAS nanti seperti Dr Khairudin Aman Razali (Kuala Nerus), Datuk Raja Bahrin (Kuala Terengganu), Timbalan Ketua Pemuda, Nik Abduh Nik Abdul Aziz (Pasir Mas) yang juga anak kepda TGNA serta Peguam PAS Mohamad Hanipa Maidin (Sepang).

Pengundi Cina Menolak Calon PAS ?
Lihat pertarungan di parlimen Gelang Patah yang turut menyaksikan 2 Dun di dalamnya. Lim Kit Siang memperolehi 54,284 menewaskan Datuk Ghani Othman (BN) yang memperolehi 39,522. Nakala DUN Skudai, Boo Cheng Hau (DAP) memperolehi 33,692 menewaskan Liang Ah Chy (BN) yang memperolehi 15,642 di N48 Skudai dan Zaini Abu Bakar (BN) memperolehi 23,166 menewaskan Salahudin Ayub (PAS) yang memperolehi 20,965 di N49 Nusa Jaya. Maknanya daripada segi jumlah, yang mengundi Lim Kit Siang juga mengundi Salahuddin Ayob.

Kempen jahat MCA bagi mengelirukan orang ramai turut dibuat menerusi poster berikut yang tidak dapat dipastikan sejauhmana ianya disokong juga oleh parti komponen lain dalam BN. Teruk sangat, terdesak sangat kah ?



Realitinya pengundi Cina lebih menyokong dan mengundi PR. Tetapi kenapa ? Apakah kerana tertarik dengan janji-janji manifesto PR ? Sedar apa yang berlaku menerusi berita media alternatif ?Apakah sudah meluat dengan ungkitan pemerintah dengan pelbagai intensif dan pemberian ala 1Malaysia ?

Datuk Husam Dan Putrajaya
Kehadiran Husam berkempen Husam di Putrajaya betul-betul berjaya menawan hati ramai penduduk Putrajaya. Setiap program beliau mendapat respon yang luar biasa di kalangan warga Putrajaya. Namun kebanyakkan mereka mungkin bukan pengundi Putrajaya. Kempen bukan main rancak dan Putrajaya merayakan PRU13 dengan baner, sepanduk, bunting, bendera dan billboard yang pelbagai dengan meriah sekali.


Tidak tahulah kalau ada faktor luar, pengundi import luar negara atau hantu. Apakah benar kehilangan beberapa peti undi pada malam pengiraan benar-benar berlaku, atau sekadar spekulasi.


Pokoknya daripada 3 warga Putrajaya, seorang daripadanya ialah penyokong atau pengundi Husam. Mungkin kalau setahun sebelum pilihanraya, Husam telah diumumkian sebagai calon, ramai yang bertukar pusat mengundi ke Putrajaya.


Mungkin Husam dilihat sebagai mempunyai ketokohan yang lebih berbanding calon BN yang sana sini poster kempen menyenaraikan jasa dan sumbangan kepada warga Putrajaya.


Husam kalau pun tidak sebagai PM, dilihat semacam calon sesuai menjadi TPM. Namun isu beliau tidak terpilih sebagai Timbalan MB Kelantan menimbulkan pelbagai persepsi dan spekulasi. Benarkah beliau tidak disukai Sultannya sendiri ?

Kelantan Dan Berundurnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz
Memang sudah dijangka, suatu masa nanti Tuan Guru Nik Abdul Aziz ( TGNA ) akan berundur sebagai MB. Sebaik PR menang semula di Kelantan, beliau menyatakan untuk berundur bagi memberikan laluan kepada salah seorang Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Mad sebagai MB yang baru. Orang ramai khususunya di luar Kelantan tidak begitu mengenali beliau.


Ramai yang melihat bahawa inilah penggal terakhir PAS di Kelantan. Zaman kejatuhan PAS di Kelantan bermula. Factor hormat kepada Tok Guru bagi TGNA yang selama ini telah menyebabkan PAS terus mendapat sokongan di Kelantan akan mulai luntur. Ini cabaran pimpinan baru di Kelantan untuk bekerja bagi membuktikan PAS bukan parti individu.


Walaupun masih kuat mencengkam, namun sejauh mana kempen PM sebelum pilihanraya yang bukan sekadar menjanjikan pelbagai perkara tetapi juga menyenaraikan 7 dosa besar PAS yang memerintah Kelantan menjadi punca bertambahnya kerusi yang dimenangi oleh BN di Kelantan ? Mungkin masih ketiadaan calon daripada BN yang boleh menandingi keperibadian dan ketokohan TGNA. Pelbagai isu cuba ditimbulkan sebelum PRU seperti kes tanah yang kononnya diberikan kepada anggota DAP dan TGNA memiliki asset bernilai jutaan RM. Apakah ia senjata makan tuan ?

BN memberikan alasan pengundi luar yang pulang mengundi tidak tahu kesempitan yang dirasai oleh mereka yang tinggal di Kelantan berbanding dengan kehidupan mereka di perantauan. Betul kah ? Apakah semua pengundi luar tu pengundi PR ? Mungkin BN tidak cukup pitih lagi bagi menaja pengundi mereka pulang mengundi ?

Johor Bukan Lagi Kubu Kuat BN
Kemampuan PR memperolehi kemenangan di kawasan Parlimen dan Dun di Johor menunjukkan bahawa Johor bukan lagi kubu kuat BN. Selain Gelang Patah, beberapa bandar kini dicengkam oleh PR seperti Muar, Batu Pahat, Keluang dan Kulai. Timbalan menteri tewas di Batu Pahat. Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Ju Meng tewas tipis di Segamat. PAS pula bertambah dengan menang di 4 DUN.


Di kawasan majority Melayu, BN masih menguasai kukuh. Jiran sekampung ku yang bertanding sebagai calon PKR di P141 Sekijang, Julailey Jumadi hanya tewas 3,000 undi. Kalau tidak tentu jadi YB gamaknya. Tak sangka juga sebab keluarganya memang terkenal dengan UMNOnya.

Selangor kekal Dengan PR
Sering kedengaran sebelum PRU13, sekiranya BN kalah atau gagal memerintah semula Malaysia sekalipun, dapat semula negeri Selangor pun tak mengapa !!! Itu hasrat BN, siap dengan video dan lagunya dimainkan di semua saluran TV. Kalau ikut media arus perdana memang Selangor digambarkan sebagai negeri yang banyak masalah sejak dari hari pertama mengambil alih Selangor. Bukan seribu satu masalah, tetapi lima ribu satu masalah !!!


Pelbagai demontrasi bantahan, siap kena saman lagi. Benarkah Selangor tidak mengotakan janjinya ? Apakah mesej di sebalik keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 14 Mei lalu yang telah membatalkan saman Murtini Kasman beserta 2019 ibu tungggal lain di Selangor terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar. Hakikatnya mereka yang sengaja tidak mendaftar sebagai ibu tunggal, macamana Kerajaan Selangor hendak menghulurkan bantuan. Begitulah juga yang didengari terhadap anak-anak tadika yang mana yang belajar di Tadika Kemas memang diarahkan untuk tidak mendaftar.


PR menambah kerusi yang di menangi di Selangor. Di Sepang Timbalan Pengarah Jentera Pilihanraya BN ditentang sendiri oleh Ketua Pemudanya yang bertanding sebagai calon bebas. PAS kemudian menang di parlimen Sepang.


Paling hot pertarungan di Parlimen Shah Alam. Apakah kemenangan Khalid Samad menguburkan karier politik Zulkili Nordin atau setidak-tidaknya menutup mulut celupar beliau ? Kemenangan Rafizi (PR) dengan majority selesa di Parlimen Pandan bakal menyebabkan Pak Menteri serta ahli parlimen BN tidak senang duduk apabila parlimen bersidang.

Namun isu perlantikan menteri Besar tetiba menjadi polemik media arus perdana dengan dakwaan pelbagai kenyataan mengenai kedudukan Azmin Ali yang digambarkan sebagai mementingkan diri sendiri dan gila kuasa.

Rapatnya Jurang Di Perak Dan Terengganu
Walaupun BN menguasai, namun tidak berupaya membentuk 2/3 majoriti. Malah apa-apa boleh berlaku lantaran perbezaan kerusi yang kecil. Sekiranya ada yang melompat atau pilihanraya kecil, tentu sengit semula. PR membuat pencapaian baik di Terengganu apabila menang 15 kerusi DUN ( 14 Pas, 1 PKR ) berbanding BN 17 kerusi. PAS juga menang empat kerusi Parlimen daripada lapan kerusi di Terengganu iaitu Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun.


Apa yang mendorong rakyat Terengganu yang majority pengundi adalah Melayu, cuba beralih kepada PR. Memang sukar hendak diramal pengundi Terengganu. Apakah lantaran keberkesanan program PGU atau PAS Ganti UMNO mereka yang membenam keegoaan BN ? Atau ini kesan daripada fatwa haram undi PAS dan PKR oleh UMNO yang dipelopori oleh Ustaz Abdullah Saamah, pengasas Pondok Geting Tumpat yang dipasangkan di billboard kempen merata tempat.

Kekalahan PAS di Kedah
Mungkin sudah di agak dan PAS seolah-olah tidak begitu terkilan. Ternyata kelemahan dan pertelagahan di kalangan pimpinan PAS khususnya, sebagaimana yang didedahkan dalam media atus perdana. Biarlah ianya menjadi pengajaran kepada semua.

Sejauh mana pula MB baru mampu mengangkat Kedah yang dikatakan selama ini antara negeri yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi di di Malaysia. Namun pendek kata, kawasan dengan Majoriti Melayu, pengundi masih lebih setia kepada BN.

Strategi Akan Datang ?
Bayangkan yang Gobind ( DAP ) menang majority 32,802 di Puchong, Tonu Pua ( DAP ) menang majority 44,672 di PJ Utara, Tan Seng Giaw ( DAP ) menang majority 40,307 di Kepong dan Teressa Kok ( DAP ) menang majority 51,552 di Seputeh, Dr Siti Mariah menang majoriti 29,395 di Kota Raja selain Lim Kit Siang dan DSAI.


Bayangkan sekiranya jumlah majoriti tersebut di agih kepada parlimen lain, khususnya dimana PR menang tipis, sudah tentu PR boleh memenangi beberapa lagi kerusi parlimen dan sudah boleh membentuk kerajaan baru.


Seolah-olah pembaziran lebihan undi. Tapi kalau dipindahkan ke kawasan lain, itu yang timbulnya pengundi hantu !!! Hantu yang nampak dan bukan yang ghaib … ha ... ha , tapi ini mungkin strategi lama BN ?

Pengundi Bangla & Blackout Semasa Pengiraan Undi
Sejauh mana perkara ini berlaku dan mempengaruhi keputusan. bagaimana untuk membuktikannya sehingga boleh dibawa ke mahkamah.

Benarkan pulohan kapal terbang mendarat membawa pengundi luar bukan warga negara yang pernah bertugas di Malaysia benar-benar berlaku dan memenangkan BN ? Logiknya ada, tetapi kalau sebuah kapal boleh memuatkan 400 penumpang, 10 kapal baru 4,000 pengundi dan 100 kapal menjadi 40,000 sahaja.

Tetapi ketika aku singgah di Uptown The Mines di suatu malam selepas PRU13, seorang pekerja bangla mengatakan kawan dia dibayar 1,000 untuk keluar mengundi. Wah !!! Memang patut pun kat youtube ada rakaman video pengundi yang kelihatan seperti seorang bangla atau warga asing. tidak tahu siapa PM Malaysia apabila ditanya ...

Sungguh tragis kejadian di sebalik penggunaan dakwat kekal ini.
Share:

Ke Pesta Buku Antarabangsa KL 2013

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 telah diadakan pada 25 April hingga 5 Mei di tempat biasa iaitu PWTC, Kuala Lumpur. Berbeza dengan tahun-tahun lepas, promosinya dan tumpuannya agak tenggelam berbanding dengan kedatangan Musim Pilihanraya Umum 2013 ( PRU13 ). Mungkin tidak dijangka awal lagi oleh penganjur yang ianya akan diadakan serentak dengan PRU13.

Malah aku sendiri disamping kesibukan dengan pelbagai urusan, hampir tidak dapat menghadiri pesta yang aku hadiri setiap tahun ini. Dapat hadir pun sekejap sahaja iaitu pada hari akhir, memandangkan tempoh pesta akhirnya dipendekkan sehari iaitu sehingga 4 Mei bagi memberi peluang kepada petugas pesta menjalankan kewajipan membuang undi pada 5 Mei. memang aku plan nak datang pada 4 Mei tu.

Kehadiran aku pada petang hari akhir itu agak mendukacitakan. Banyak gerai-gerai yang telah tutup dan sedang ditutup. Banyak gerai-gerai yang pekerjanya sedang bersiap dan berkemas untuk pulang. Itu yang payahnya, sedang pengunjung sibuk hendak memilih buku, gerai-gerai pula hendak dikemas tutup.

Tetapi yang bagusnya pengunjung tidaklah ramai, berbanding kesesakan yang aku alami pada tahun lepas. Aku sendiri pun tidak mempunyai hasrat untuk membeli buku-buku tertentu, sekadar kot-kot terjumpa buku yang menarik.

Kehadiran tawaran buku menerusi on-line dengan pembayaran menerusi kada kredit aku lihat sebagai alternati yang selsesa digunakan. Malah aku juga memilihi beberapa kad ahli untuk beberapa pengedar buku utama di negara kita yang boleh aku manfaatkan untuk mendapatkan buku dengan diskaun 10-15%. Kira okey lah tu …



Sebab lewat menghadiri pesta ini, memang tidak berkesempatan untuk mengikut pelbagai aktiviti samping yang sering diadakan sepanjang pesta buku seperti pelancaran buku, ulasan buku serta persembahan pentas. Ok takpe, harap dapat datang lagi tahun depan jika dipanjangkan umur, insya’allah.

Pertama kali hadir ke pesta buku, tetapi mereka sedang sibuk berkemas gerai. teringat aku yang Pesta Buku Selangor telah diakhiri pada hari Isnin bagi membolehkan pada hari Ahad ketika orang ramai berkunjung, pengusaha gerai sibuk mengemas buku pula.
Share:

PRU13 Dan Fenomena Husam Di Putrajaya

Pengumuman pembubaran Parlimen oleh PM bagi memberikan laluan kepada Pilihanraya Umum Ke-13 ( PRU13) tidaklah begitu mengejut. Orang ramai memang tertunggu-tunggu setelah tempoh 5 tahun pemerintahan semakin menjelang tamat. Tidak dapat dipastikan apakah sebab sebenar PM lambat membubarkan Parlimen ? Masih belum cukup masa untuk melaksanakan pembangunan Negara ? Masalah pemilihan calon di kalangan komponen parti pemerintah ? Kedudukan komponen parti pemerintah di Sabah dan Sarawak yang ‘tegang’ ? Ada yang mengatakan belum siap pack barang atau fail sekiranya tidak kembali memerintah … entahlah.

Menghampiri hari penamaan calon, pelbagai spekulasi yang mungkin juga strategi tentang bakal calon yang bertanding di sesuatu kawasan. Dato’ Husam Musa yang juga Naib Presiden PAS tetiba naik nama untuk bertanding di Putrajaya. Menyerah leher untuk di sembelih ? Tak takut hilang wang pertaruhan ke ? Apakah sentimen Kelantan yang hendak diraih ? Orang Kelantan yang tinggal di sini pun balik ngundi di mereka.


Bagi merasai debaran PRU13, aku turun untuk menyaksikan suasana proses penamaan calon bagi Parlimen Putrajaya ( P125 ) di Dewan Komuniti Presint 9. Dua calon diistiharkan sebagai calon yang menyaksikan penyandang semasa Tengku Adnan dicabar oleh Dato’ Husam Musa. Pertembungan ini menjadi antara tumpuan dalam kempen PRU13 yang dijangka sengit.

Suasana penamaan calon di Dewan Komuniti Presint 9 sungguh menarik. Pengiring calon Dato’ Husam aku kira ada seramai 3 atau 4 kali lebih ramai daripada pengiring calon BN. Sudah tentu kebanyakkan mereka orang luar dan bukan pengundi Putrajaya. Itu yang Tengku Adnan dengan yakinnya berkata, Husam akan hilang wang pertaruhan.

Sebaik penamaan calon, banyak kisah serta pertembungan yang menarik. Buat pertama kalinya, calon bebas begitu ramai yang bertanding. Pulohan daripadanya juga merupakan ahli komponen parti pemerintah yang kecewa kerana tidak terpilih semula. Malah ada antaranya memegang jawatan tertinggi dalam parti. Ternyata dakwaan kononnya iklas berjuang untuk rakyat, untuk bangsa dan negara, sekadar manis di bibir sahaja. Realitinya menipu !!!

Terfikir olehku, apakah strategi yang akan digunakan oleh jentera pilihanraya Dato’ Husam ? Masyarakat dan pengundi Putrajaya majoritinya kakitangan kerajaan. Malah ramai juga yang tidak minat dengan politik kepartian, sama ada disebabkan halangan jawatan atau sibuk dengan tugasan harian. Balik-balik rumah, kepenatan dan ngadap RTM, beRehat Tunggu Mati kalaupun tidak ASTRO. Yang rajin sikit, muncullah di surau. Itupun berapa kerat aje.

Bagaimana jentera Dato Husam hendak pergi rumah ke rumah meraih undi ? Dalam PRU12 dulu, pengundi sekitar 6,000 orang dan kini meningkat secara drastik kepada 15,000 orang. Bayangkan perumahan apartment yang tertutup. Mungkin edaran risalah kepada pengundi menerusi tong pos sebagaimana dilakukan oleh BN ? Bendera Dato Husam memula tu kejap ada kejap takde.

Tetapi ceramah-ceramah Husam nampak ramai yang hadir. Sure orang luar yang meramaikan. Berani ke kakitangan kerajaan yang simpati kepada Husam menghadiri ceramah beliau ? Bimbang Special Branch ambik nama dan lapor kepada Ketua Jabatan atau Ketua Setiausaha Negara ?

Sedangkan memberikan peluang berta’aruf di Surau Abdul Rahman Auf pun menyebabkan AJK kena panggil ke JAWI dan khabarnya dipecat serta merta semua AJKnya ? Jika benar, kenapa takut begitu sangat. Dato Husam datang untuk bersahabat, bukan cari pasal. Kisah kejadian bendera parti Dato Husam di cabut oleh orang, sama ada orang itu orang BN atau Perbadanan Putrajaya tersebar luas beserta gambar sekali khususnya dalam media alternatif seperti blog dan facebook.

Tapi aku kira Dato Husam atau mungkin pengarah strategiknya agak bijak. Dengan menggunakan kemudahan facebook, email dan teknologi ICT beliau bergerak menerima cadangan dan menyampaikan kepada pejabat-pejabat kerajaan di sekitar Putrajaya. Mana-mana agensi kerajaan yang mengadakan hari Bertemu Pelanggan, itulah yang utama ditujunya. Entah-entah next week, semua Hari Bertemu pelanggan dibatalkan jika itu menjadi sasaran Dato Husam.

Husam juga mendakwa akan menggunakan media elektronik. Bagaimana caranya selain menerusi media social ? Menceroboh sistem email kakitangan awam di setiap agensi dalam menyampaikan amanat dan pesanan beliau ?


Walaupun di ‘boo’ oleh entah sapa apabila berkunjung meraih undi dan simpati atau ingin bersama masyarakat di tempat awam, beliau tetap teruskan. Tidak kurang juga yang menyambut beliau, siap bergambar lagi. Dato Husam kelihatan mudah atau cepat mesra dengan warga Putrajaya berbanding dengan Tengku Adnan yang sering dilaporkan garang dan muka sombong. Malah bebaru ini kedengaran meluas cerita beliau menampar dan menyepak seorang pimpinan UMNO yang datang menemuinya. Laporan polis juga dikatakan dibuat atas insiden ini. Duduk sahaja di Putrajaya, bandar yang indah, moden serta dikatakan canggih. Tetapi mentaliti warganya tidak mengambarkan sedemikian.

Tidak dapat dinafikan banyak sumbangan melalui Tengku Adnan sebagai Ahli Parlimen Putrajaya sebelum ini dalam bentuk RM, disalurkan kepada warga Putrajaya menerusi aktiviti kemasyarakatan penduduk, surau dan sekolah. Tapi itu guna duit siapa ? Duit peruntukan persekutuan sebagai ahli parlimen kan ? Beliau sekadar menyalurkan kepada yang memerlukan. Atau duit gaji ? Atau pendapatan ekoran pemilikan saham beliau dalam Berjaya Group yang juga pemilik saham kepada syarikat judi Sport Toto. Dulu kecoh kejap semasa beliau jadi Menteri Pelancongan, mencadangkan pub dan pusat hiburan dibuka sehingga 5.00 pagi bagi membolehkan pelancung luar negara berhibur. Malah untuk menarik lagi ramai pelancong, beliau mencadangkan cukai arak dikurangkan bagi menjadikan harganya murah. Yeala ... itu cerita lama.



Hari demi hari, sepanduk, bendera, bunting serta bill board gambar PM, TPM dan Tengku Adnan semakin bertambah sehingga menenggelamkan bahan kempen parti Dato Husam. Apakah itu menunjukkan kekuatan BN atau sebaliknya menunjukkan ketakutan BN dalam menyaingi Dato Husam. Kalau yakin Dato Husam akan hilang wang pertaruhan, buat relaks ajelah.

Ceramah Dato Husam berjaya menarik crowd yang besar, yang mungkin tidak pernah berlaku dalam sejarah kempen pilihan raya di Putrajaya sebelum ini. Orang luar pun orang luarlah, tetapi Dato Husam memberikan satu petanda bahawa Pakatan Rakyat memang serius untuk menaklukki Putrajaya dan Parlimen Malaysia. Bak dikatakan, menang Putrajaya bermakna menang Malaysia ...

Kini, sejauh mana fenomena Dato Husam melanda Putrajaya dalam menyampaikan mesejnya, usaha meraih undi daripada 15,000 pengundi berdaftar. Apakah sekadar memeriahkan suasana pilihanraya di Putrajaya ? Sejauh mana isu yang dibawanya relevan untuk diperjuangkan bagi warga Putrajaya yang kelihatan sudah selesa dengan apa yang ada.

Bagiku, terima sahaja siapa kerajaan yang terpilih. Kakitangan kerajaan kena akur dengan kerajaan yang semasa, usah taksub sangat dengan parti yang memerintah. Nak cari makan ... Kalau tukar pemerintahan nanti, sanggup letak jawatan atau tukar kerja ?

Selamat berjuang untuk Dato Husam, moga tidak menjadi seperti bidalan, yang dikejar tak dapat tetapi kerusi DUN Salor yang dipertahankan akan keciciran. Tetapi kalau menang di kedua-dua tempat, apakah beliau bakal menjadi Menteri Besar Kelantan serta jemaah Kabinet ? Atau lain kalilah ….
Share:

Selamat Jalan Che Nah ...

Walaupun sukar hendak mempercayai, namun itulah hakikatnya. Ibu saudaraku Hjh Rafeah binti Hj Dayat yang lebih aku kenali termasuk saudara mara terdekat dengan panggilan sebagai Che Inah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 10.05malam, Rabu 10hb April 2013 pada usia 53 tahun kerana kanser paru-paru dalam rumahnya sendiri di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Arwah baru sahaja pulang mengerjakan umrah bersama jiran-jiran taman perumahannya pada 12 Mac lalu. Sebelum berangkat pada 28 Februari, arwah dikatakan mengalami batuk-batuk sehinggalah sepanjang mengerjakan umrah dan sehari selepas pulang terus dimasukkan ke Darul Ehsan Medical Center ( DEMC ) Shah Alam. Aku dan keluarga sempat melawat arwah di DEMC pada 17 Mac dan beliau kelihatan ceria sahaja berborak walaupun mengadu agak sakit di dada apabila batuk dan bernafas.

Selepas beberapa hari sambil menunggu keputusan imbasan doctor, beliau disahkan menghidap kanser paru-paru dan di pindahkan ke HUKM, Cheras lantaran tidak ada kepakaran di DEMC. Hairan juga, sebesar DEMC yang nampak canggih, takde kepakaran tersebut. Sempat juga melawat arwah pada malam 21 Mac 2013. Pada ketika itu daripada raut wajah, nampak agak keletihan walaupun masih boleh bersapa dan cakap.

Selepas daripada itu, kunjungan ziarah aku ke HUKM hanya dapat memerhatikan keadaannya dalam keadaan kesukaran walaupun mendapat bantuan pernafasan. Namun alhamdulillah, arwah masih kuat untuk melakukan solat secara berbaring. Sepanjang arwah di HUKM, dua kali aku mendapat panggilan kecemasan tentang keadaan arwah.

Kali pertama pada tengah malam atau awal pagi 2 April, arwah dikatakan tenat walaupun mendapat bantuan pernafasan. Doktor kata stabil, cuma paru-paru masih tidak kuat serta demam sikit. Doktor kata tapi tidak boleh berikan harapan yang terlampau tinggi. Sesekali arwah kelihatan tercungap-cungap untuk bernafas, aku berserta sedara maraku yang berada yang berada di sana mejadi resah gelisah. Sedara maraku yang tinggal sekitar Lembah Kelang saling silih berganti mengajar mengucap, mengaji dan baca surah Yasiin. Memasing berdoa moga Allah memulih dan memberikan yang terbaik untuk Che Nah.

Pada petang 9 April mendapat panggil arwah tenat. Memang nampak perlahan sangat pernafasannya. Berdasarkan info doktor yang disampaikan tengahari tadi, memang arwah tengah tenat. Kanser dah melarat ke paru-paru sebelah kiri. Hanya 1/3 daripada paru kiri masih berfungsi. Yang sebelah kanan sudah 'out'. Rupanya kanser sudah tahap 4.

Aku semakin terasa akan kehilangan arwah. Aku hanya mampu membacakan Yassin di sisi arwah dan berdoa menagih keajaiban daripada Allah untuk arwah terus hidup serta berdoa agar Allah berilah yang terbaik baginya, sebagai insan suci setelah pulang menjadi tetamuNYA di tanah Al-Haram.

Kasihan pula aku melihatkan keadaan Che Rauf, suami kepada Che Inah yang turut keletihan berjaga berada di sisi Che Inah silih berganti dengan sesekali membisikan kalimah syahadah di telinga arwah. Makan minum pun sudah tidak lalu, badan pun mengurus jugak.

Kemudian aku mendapat maklumat yang arwah dibawa pulang ke rumah petang 10 April. Terdetik dalam hatiku, mungkin keputusan diambil setelah kesihatan semakin susut dan tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan. Lantas aku ke rumah arwah pada malam itu. Di rumah arwah diletakkan di atas katil di tengah ruang tamu rumah sedang para jemaah surau/masjid sedang bacakan surah Yasin. Bersamanya tong oksigen beserta alat pernafasan untuk arwah bernafas yang disewa daripada HUKM. Aku mendekati arwah yang masih bernafas perlahan. Keadaan arwah macam tak berubah, mungkin semakin susut.

Selesai kumpulan pertama, datang kumpulan kedua yang ramai membacakan surah Yasiin diikuti dengan bacaan doa. Sebaik bacaan doa, arwah terus kelihatan nazak dan meninggal menghembuskan nafasnya yanag terakhir dengan iringan bacaan beramai-ramai secara perlahan akan kalimah syahadah. Aku tidak sanggup melihatkan keadaan tersebut hanya mampu terduduk menangisi akan pemergian arwah yang dikasihi. Moga arwah dapat mengikuti bacaan kalimah tersebut sehingga nafasnya yang terakhir.

Arwah Che Nah pergi jua, setelah berjuang melawan kanser yang dihadapinya. Mungkin agak terkilan, arwah pergi pada usia baru 53 tahun, namun aku percaya ada hikmah daripada Allah. Cuba bayangkan sekiranya Allah menerima umrah beliau ( insya’allah ), arwah ‘pergi’ dalam keadaan suci bersih dosa diampunkan Allah …. Moga janji Allah, syurga buat arwah.

Inilah yang sempat aku bisikkan kepada suami arwah, ‘anggaplah pemergian arwah sebagai suatu rezeki buatnya setelah kembali daripada Umrah. Moga Allah menerima umrah arwah’. Nampaknya suami arwah redha dan tidak terkilan sangat sebab sempat 3 kali buat umrah semasa di Mekah bebaru ini.

Sebaik arwah meninggal, suasana rumah sunyi sepi sebentar. Mungkin masih tidak percaya arwah telah tiada. Namun tangisan daripada mereka yang menyayangi arwah memang tidak dapat ditahan-tahan lagi. Tiba giliran kumpulan wanita mengadakan tahlil dalam rumah. Turut hadir menziarahi arwah ialah exco kerajaan Selangor, iaitu YB Rodziah Ismail yang juga Adun Batu 3, Shah Alam.

Arwah merupakan seorang yang baik hati, rajin membantu serta disenangi bukan sahaja oleh sedara mara, tetapi juga oleh kengkawan pejabat serta jiran tetangga. Semasa diberitahu yang rumah berselerak ditinggalkan apabila arwah hendak di bawa pulang, ramai kengkawan arwah membantu mengemaskan rumah sehingga dibelikan katil serta tilam bantalnya. Di atas katil itulah arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Walaupun tidak dikurniakan zuriat, namun anak anak serta cucu sedara cukup menyayangi beliau. Semasa terlantar di hospital, tidak putus-putus menerima kunjungan sehingga terasa kesian pulak mungkin kepenatan.

Malah semasa menyembahyangkan arwah di surau, aku kira mungkin sampai 1,000 orang yang hadir termasuk lelaki dan wanita. Ini mungkin petanda memasing begitu terasa akan kehilangan dan pemergian arwah yang disayangi dengan begitu ‘cepat’. Sedang arwah juga dikatakan tidak pernah sakit sehingga dimasukkan ward sebelum ini. Setakat demam tu biasala ...

Semasa bangku sekolah rendah, aku kira agak rapat juga dengan arwah sebab ketika itu aku tinggal sebumbung bersama datuk dan nenekku, lantaran dekat dengan sekolahku berbanding rumah ibubapaku. Namun apabila aku masuk sekolah asrama, mulalah terpisah dengan beliau.

Masa remaja serta usia muda pun beliau agak aktif terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan di kampong sebelum berhijrah mendapat perkerjaan di Kuala Lumpur sehinggalah ke Syarikat Telekom yang kemudiannya di swastakan.

Ternyata Allah lebih menyayangi arwah yang merupakan seorang hamba Allah yang baik dan ‘berjurus’. Beliau merupakan anak bungsu daripada yang dari kalangan 8 orang adik-beradiknya termasuk ibuku yang masih hidup. Berehatlah dalam persemadian aduhai nindaku.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Kami yang sedang meneruskan penghidupan ini akan menyusul jua, cuma tidak tahu bila …

Antara Kenangan Bersama Arwah





Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.